Pancaroba

Dunia penuh pancaroba waspada

Tuesday, July 1, 2014

Pelik tapi benar.. hanya di KL, memberi sedekah jadi satu kesalahan..



Pemberi dan peminta sedekah bakal berdepan hukuman seperti denda apabila undang-undang berkaitan kegiatan mengemis di ibu negara diperketat, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata langkah itu akan dilaksana di beberapa tempat tumpuan bagi mengurangkan budaya meminta sedekah yang mencemar imej ibu negara.

Tengku Adnan berkata keputusan itu diambil selepas pihaknya bermesyuarat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan beberapa agensi berkaitan baru-baru ini yang antara lain, membincangkan masalah kebersihan serta isu gelandangan.

"Kita akan ambil satu kaedah di mana yang pemberi kita akan saman dan penerima pula akan kita 'angkut' kerana kebanyakan peminta sedekah ini adalah orang asing.

"Selain itu, badan bukan kerajaan yang memberi makanan secara percuma kepada gelandangan juga akan ditetapkan tempatnya dan tidak boleh merata-rata tempat kerana ini akan mengundang kekotoran," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Nur Ramadan peringkat Putrajaya malam ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Tengku Adnan berkata kementerian itu dan agensi di bawahnya akan mengadakan majlis berbuka puasa di semua 13 kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan agar dapat mendengar permasalan rakyat dan lokasi pertama ialah Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 780 penerima antaranya anak yatim, fakir miskin dan orang kelainan upaya. – Bernama
Abu Hatim at 11:34 PM No comments:
Share

Sharifah Aini Di ICU Akibat Jangkitan Paru-Paru



Sharifah Aini



HALAMAN HIBURAN
PETALING JAYA: Biduanita negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan swasta dekat sini akibat jangkitan pada paru-paru.

Beliau yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 61 pada Rabu (esok) dibawa ke pusat perubatan berkenaan oleh anaknya Aliff Omar Ali pada pagi Selasa selepas mengalami kesukaran bernafas.

Pakar perubatan Dr Zainudin Md Zain berkata keadaan penyanyi itu dilaporkan stabil.

mStar Default Image
Sharifah Aini bersama anaknya, Aliff.

Buat masa ini Sharifah Aini tidak dibenarkan menerima lawatan mana-mana tetamu melainkan ahli keluarga terdekatnya sahaja. Terdahulu pada hujung Mei lalu, Sharifah Aini berkata beliau reda jika dijemput Allah selepas 28 hari dirawat di hospital akibat penyakit paru-parunya.

Dalam luahan yang ditulis menerusi Facebook miliknya itu beliau meminta agar seluruh peminat mendoakan kesejahteraannya selain menghadiahkan Al-Fatihah sekiranya beliau sudah tiada. (mStar)
Abu Hatim at 11:07 PM No comments:
Share

Serangan Seksual: Mindef sokong tarik balik imuniti diplomatik

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan (Mindef) menyokong tindakan menarik balik imuniti diplomatik pegawainya yang didakwa membuat serangan seksual terhadap seorang wanita di New Zealand pada Mei lepas, bagi membolehkan lelaki itu didakwa mengikut undang-undang New Zealand.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Mindef memandang serius tuduhan itu dan akan melakukan siasatan menyeluruh terhadap pegawai terbabit.

"Kami akan siasat dan bekerjasama dengan Kementerian Luar dan Kerajaan New Zealand dan akan memastikan mana-mana pegawai yang didapati bersalah akan dijatuhkan hukuman yang setimpal," katanya kepada pemberita selepas taklimat Jawatankuasa Khas Kabinet berhubung insiden MH370 di Parlimen, hari ini.

Hishammuddin juga menegaskan Mindef tidak akan memberi perlindungan kepada mana-mana pegawainya yang didapati melakukan kesalahan.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman hari ini yang dilapor berkata Wisma Putra sedia menarik balik kekebalan diplomatik pegawai tersebut yang dikehendaki oleh pihak berkuasa New Zealand.


Lelaki berpangkat Pegawai Waran II daripada Mindef yang dihantar bertugas selama setahun di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington itu ditahan polis negara berkenaan pada 9 Mei atas tuduhan cuba melakukan pecah rumah dan serangan seksual terhadap seorang wanita.

Bagaimanapun pegawai itu dikatakan menggunakan imuniti diplomatiknya daripada menghadapi tuduhan jenayah di sana dan telah pulang ke tanah air pada akhir Mei.

Wellington mahukan pegawai itu menghadapi dakwaan jenayah di mahkamah negara tersebut. - Bernama
Abu Hatim at 11:06 PM No comments:
Share

PAS desak kembalikan jawatan Prof Redzuan


HARAKAHDAILY | 01 Julai 2014.
KUALA LUMPUR: PAS mendesak agar Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman dikembalikan jawatannya sebagai Pengarah UMcedel dan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, Perdana Menteri seterusnya wajib memberikan jaminan kebebasan akademik kepada ahli-ahli akademik di negara ini agar mereka dapat melaksanakan tugas mereka dengan berkesan.

"Saya juga menyeru supaya seluruh masyarakat sivil agar bangkit menyatakan keprihatinan ke atas nasib yang menimpa Prof Redzuan. Hal ini tidak boleh kita diamkan begitu sahaja," ujarnya yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen PAS.

Berikut kenyataan penuh beliau.

PAS memandang serius tindakan universiti tertua di negara ini, Universiti Malaya (UM) yang mengarahkan ahli akademik terkemuka, Prof Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman supaya meletakkan jawatan sebagai Pengarah University of Malaya Centre for Democracy and Elections (UMcedel) serta tidak menyambung perkhidmatan Prof Redzuan sebagai Dekan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

Apa yang mengejutkan, kedua-dua tindakan ini dikatakan diambil hasil dari desakan politik pihak tertentu di Kementerian Pendidikan yang tidak senang dengan kajian-kajian berkaitan politik negara yang dijalankan oleh UMcedel di bawah kepimpinan Prof Redzuan.

Dengan mengambil tindakan sebegini ke atas Prof Redzuan, jelas menunjukkan bahawa janji perlaksanaan transformasi politik yang dilaungkan oleh Perdana Menteri untuk memberi ruang kebebasan bersuara yang lebih luas kepada rakyat, adalah suatu pembohongan semata-mata.

Bukan setakat kerajaan yang ada hari ini tidak boleh berkompromi dengan sebarang kritikan dari parti pembangkang, tetapi sudah sampai ke tahap tidak boleh berlapang dada di atas hasil kajian yang dijalankan oleh ahli-ahli akademik non-partisan. Dalam dunia akademik, apa jua dapatan di dalam sesuatu kajian itu adalah terbuka untuk dicabar dan dinilai semula.

Jika tidak berpuas hati dengan dapatan yang diperolehi oleh Profesor Redzuan dan UMcedel, kerajaan Umno dan BN boleh sahaja mengemukakan sebarang hasil kajian balas untuk seterusnya dinilai secara akademik. Tetapi bukan dengan mengambil tindakan ‘menghukum’ Prof Redzuan kerana tidak selesa dengan kajian beliau.

Saya ingin menegaskan bahawa Perdana Menteri dan timbalannya yang juga merupakan Menteri Pendidikan harus bertanggungjawab dan membuat penjelasan umum berhubung dengan arahan kepada UM yang dikaitkan dengan Kementerian Pendidikan agar Prof Redzuan diketepikan sebagai Pengarah UMcedel dan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM.

Campur tangan politik sempit kepartian di dalam hal ehwal akademik dan pengurusan universiti adalah perbuatan yang amat jijik kerana ianya bukan sahaja menzalimi individu terbabit, bahkan ianya juga mencemar reputasi insititusi pendidikan terulung di negara ini dan seterusnya memburukkan lagi pandangan dunia terhadap intitusi pengajian tinggi di Malaysia.

Dalam keadaan kedudukan ranking UM dan universiti-universiti di negara ini semakin merudum jika hendak dibandingkan dengan negara-negara serantau yang lain, tidak dapat dibayangkan apakah yang menguasai cara berfikir dan bekerja para penggubal dasar, pegawai-pegawai kementerian, pentadbir-pentadbir universiti di negara ini selain dari hanya semata-mata untuk membodek dan menyatakan hanya perkara-perkara yang sedap didengar kepada para menteri dan ahli politik pemerintah.

Kongkongan kuku besi ke atas sistem pendidikan di Malaysia menjadikan negara kita semakin tertinggal di belakang. Lihat sahaja di dalam laporan yang dikeluarkan oleh The Times Higher Education Asia University Rankings 2014 yang dikeluarkan beberapa minggu lalu menyaksikan tidak ada satu pun universiti awam di Malaysia yang menduduki kedudukan 100 universiti terbaik di Asia.

Selepas kajian ranking ini dikeluarkan, kita tidak mendengar sebarang ulasan samada dari Perdana Menteri atau timbalannya tentang apakah langkah-langkah segera yang bakal diambil kerajaan untuk memperbaiki kualiti universiti awam di negara kita. Rupa-rupanya ‘langkah’ pertama yang diambil kerajaan ialah dengan tidak menyambung perkhidmatan seorang tokoh akademik yang berwibawa!

Bagi pihak PAS, saya mendesak agar Prof Redzuan dikembalikan jawatannya sebagai Pengarah UMcedel dan Dekan Fakulti Sastera.

Perdana Menteri seterusnya wajib memberikan jaminan kebebasan akademik kepada ahli-ahli akademik di negara ini agar mereka dapat melaksanakan tugas mereka dengan berkesan.

Saya juga menyeru supaya seluruh masyarakat sivil agar bangkit menyatakan keprihatinan ke atas nasib yang menimpa Prof Redzuan. Hal ini tidak boleh kita diamkan begitu sahaja.

Politik sempit dan sikap balas dendam yang diamalkan hingga memangsakan tokoh-tokoh dan institusi-institusi yang memberi sumbangan kepada negara, harus dihentikan demi masa depan negara yang lebih gemilang. - HARAKAHDAILY 1/7/2014
Abu Hatim at 11:06 PM No comments:
Share

Pihak Polis bertindak ganas terhadap kami, kata peserta Perhimpunan Hijau

misc03_30016 orang peserta telah ditahan di IPD Kuantan, dakwa dicederakan oleh anggota Polis.
KUALA LUMPUR: Peserta Perhimpunan Hijau menyerahkan memorandum kepada SUHAKAM menyatakan bahawa mereka amat kecewa dengan tindakan pihak polis daripada Ibu Pejabat Daerah Kuantan dalam mengendalikan perhimpunan aman rakyat ini. Perhimpunan ini telah diadakan pada 22 Jun lalu bagi membantah pembinaan kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.
“Bantahan pada 22 Jun 2014 merupakan upaya untuk menuntut penutupan operasi kilang Lynas di Gebeng. Lebih 1000 orang telah hadir untuk menyatakan bantahan dan memberikan sokongan solidariti kepada gerakan Himpunan Hijau ini,” kata salah seorang peserta himpunan, Dr. Phua Kia Yaw.
Menurut beliau, peranan polis sepatutnya memberi bantuan kepada Himpunan Hijau untuk memastikan perhimpunan aman dijalankan secara lancar. Tetapi apa yang berlaku, pihak polis langsung tidak menghormati hak rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
” Pihak polis menghentikan perhimpunan ini dengan kekerasan yang akhirnya menyebabkan 16 orang peserta telah ditangkap di IPD Kuantan.
“Ini bukan sahaja mencabuli hak rakyat untuk berhimpun dan hak bersuara, malah hak kebebasan individu telah dilanggar oleh pihak Polis,” katanya.

Tambah beliau, 15 orang tahanan telah dibebaskan pada awal pagi 23 Jun 2014 tetapi aktivis Friends of the Earth yang berasal dari Australia, Natalie Lowrey, telah terus ditahan dan hanya dibebaskan pada 27 Jun 2014.
“Ini merupakan salahguna kuasa oleh polis. Penggunaan undang-undang immigrasi untuk menahan beliau selama 6 hari juga merupakan satu tindakan berniat jahat untuk menghukum Natalie Lowrey sebagai warga asing yang menyokong Himpunan Hijau,” katanya.
Pada 22 Jun, telah berlaku pergelutan dan penangkapan oleh pihak Polis terhadap para peserta Himpunan Hijau. Menurut peserta, mereka mendakwa telah dipukul oleh pihak polis dan diberi layanan yang sangat teruk. Saksi dan mangsa kejadian telah membuat laporan polis tentang keganasan itu.
“Kami rasakan bahawa penindasan, penyalahgunaan kuasa dan keganasan polis semasa Himpunan Hijau adalah pencabulan hak asasi yang teruk dan mereka yang terlibat harus dibawa ke muka pengadilan.
Sehubungan itu, para peserta Himpunan Hijau menggesa agar pihak SUHAKAM melaksanakan penyiasatan awam dan terbuka terhadap tindakan polis yang bertindak ganas pada Himpunan Hijau 22 Jun lalu.
Sidang media ini turut dihadiri oleh ADUN Semambu, Lee Chean Chung.
Abu Hatim at 11:00 PM No comments:
Share

UM tidak jawab isu pokok, kata Saifuddin

SALMIYAH HARUN | 01 Julai 2014.

KUALA LUMPUR: Bekas Felo Penyelidik Kanan Universiti Malaya (UM) Datuk Saifuddin Abdullah membidas pihak UM yang tidak menjawab isu pokok iaitu campur tangan politik dalam isu peletakan jawatan Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.

Beliau tidak menolak adanya campur tangan politik dalam arahan supaya Profesor Redzuan meletak jawatan sebagai Pengarah UMcedel.

Bahkan katanya, kenyataan UM tentang jawatan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) yang melibatkan Prof Redzuan membawa beberapa konotasi iaitu, Prof Redzuan antara yang dicalonkan oleh pensyarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) sekaligus membuktikan beliau mendapat pengiktirafan akademik.

"Beliau tidak dilantik semula kerana akan bersara tahun depan, bermakna tidak timbul soal kualiti," katanya di laman Facebooknya hari ini.

Katanya, Profesor Dr Md Sidin Ahmad yang dilantik sebagai dekan baru untuk meneruskan kecemerlangan penyelidikan di bawah FSSS, bermakna Prof Redzuan menjalankan tugas dengan baik termasuk sebagai Pengarah UMcedel.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan UM yang menafikan dakwaan kontrak Prof Redzuan tidak disambung kerana campur tangan politik.

"Tetapi kenyataan ini tidak jawab isu pokok iaitu campur tangan politik dalam arahan beliau letak jawatan sebagai Pengarah UMcedel," katanya.

Terdahulu, dalam satu kenyataan UM berkata, kontrak Profesor Redzuan Othman tidak dilanjutkan berikutan keputusan pemilihan yang dibuat secara telus.

"Bertentangan dengan laporan media, keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak Mohammad Redzuan itu adalah berdasarkan proses pemilihan yang demokratik dan telus.

"Pemilihan tersebut telah dijalankan selaras dengan Perlembagaan UM 2010," lapor kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut, Perlembagaan menyatakan bahawa Naib Canselor hendaklah melantik seorang Dekan atau Pengarah daripada tiga calon yang disenarai pendek yang menerima markah tertinggi.

Prof Redzuan merupakan salah seorang daripada tiga calon yang disenarai pendek. Calon lain yang tersenarai termasuk Profesor Dr Md Sidin Ahmad dan Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah.

Profesor Redzuan yang mengetuai UMcedel sering mengadakan kajian politiknya termasuklah beberapa siri pilihan raya umum dan kecil, namun hasil kajian yang dijalankan dilihat sering memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat. - HARAKAHDAILY 1/7/2014
Abu Hatim at 10:41 PM No comments:
Share

Redzuan dipecat kerana kritik pentadbiran Umno

anwar
SHAH ALAM - Pemecatan Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (Umcedel) Prof. Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman didakwa sebagai hukuman kerana mengkritik pentadbiran Umno.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak terkejut dengan tindakan itu bagaimanapun tetap melahirkan rasa kecewa.

Katanya, tindakan itu tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila kajian Mohamad Redzuan itu memihak kepada pembangkang.

"Hukuman itu cukup pantas menimpa mereka yang menyokong apa-apa pandangan atau pendapat yang kelihatan kritikal terhadap Umno.

"Penyingkiran secara melulu bertujuan memberi amaran kepada semua ahli akademik bahawa kebebasan mereka akan berakhir semata-mata untuk mempertahankan kepentingan Umno," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohammad Redzuan dilaporkan menerima arahan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk meletakkan jawatan.

Bukan itu sahaja, jawatan beliau sebagai dekan kepada Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti itu juga tidak diperbaharui.

Kesal dengan sikap KPM itu, Datuk Saifuddin Abdullah juga mengumumkan peletakan jawatannya sebagai felo penyelidik kanan di fakulti sama di Universiti Malaya (UM) berkuat kuasa hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar turut mengingatkan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa kuasa pelantikan dan pemecatan bukannya mutlak.

"Tindakan terbaru ini bukan sahaja melanggar kebebasan akademik malah pengkhianatan terhadap harapan rakyat terhadap peningkatan mutu dan kedudukan institusi pengajian tinggi," katanya.
Abu Hatim at 6:59 PM No comments:
Share

'Atas prinsip...saya letak jawatan'

Datuk Saifuddin Abdullah
Datuk Saifuddin Abdullah
MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANISHAH
ALAM - Kesal dengan tindakan Kementerian Pendidikan yang mengarahkan Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (Umcedel) Prof. Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman supaya meletakkan jawatan, Felo Penyelidik Kanan Universiti Malaya, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini memutuskan untuk melepaskan jawatannya.


Saifuddin berkata, tindakan tersebut dilakukan adalah sebagai tanda sokongannya terhadap Mohamad Redzuan, serta atas prinsip kebebasan akademik.

“Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman adalah Pengarah-Pengasas Umcedel dan Dekan Fakulti Sains Sosial UM.

“Oleh kerana arahan daripada pihak tertentu di Kementerian Pendidikan Malaysia baru-baru ini, beliau diarah meletak jawatan sebagai Pengarah Umcedel. Tapi beliau tidak menghebohkan cerita ini," ujar Saifuddin yang juga bekas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

“Hari ini, beliau tidak disambung sebagai Dekan (walaupun dicalon oleh pensyarah FSSS). Saya tahu akan cerita ini sejak awal (melalui beliau dan Naib Canselor UM)...," kongsinya lagi di laman sosial Facebook miliknya.

Terdahulu memetik laporan sebuah portal, Mohammad Redzuan diarahkan meletakkan jawatan sebagai Pengarah Umcedel oleh Kementerian Pendidikan atas ‘campur tangan politik’.

Menurut laporan itu lagi, walaupun Mohammad Redzuan disokong oleh rakan akademiknya untuk terus menjadi dekan, tekanan politik menyebabkan universiti tidak meneruskan khidmatnya.

Kajian Umcedel yang kerap kali ‘memihak’ kepada Pakatan Rakyat dianggap sebagai antara punca Mohammad Redzuan dipaksa melepaskan jawatannya.

Antara hasil kajiannya ialah sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih besar berbanding Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelang PRU13.

Hasil kajian itu terbukti benar apabila PR mendapat lebih undi popular berbanding Barisan Nasional (BN) dalam PRU13 lalu.

Menurut laman sesawang UM, Mohammad Redzuan berkhidmat sebagai Pengarah Umcedel dari 26 Febuari 2012 hingga 31 Disember 2014.


Abu Hatim at 6:18 PM No comments:
Share

MILF mula hilang sabar isu autonomi


Manila: Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dilaporkan semakin hilang sabar dengan kelewatan Manila meluluskan Undang-undang Asas Bangsamoro (BBL) kepada Kongres untuk mendapatkan pengesahan pembentukan wilayah autonomi mereka.

MILF melalu laman sesawang mereka memberi amaran kelewatan itu akan memberi impak buruk kepada keseluruhan perjanjian damai ditandatangani sebelum ini.


“Perjanjian damai antara Filipina dengan MILF perlu bergerak seiring seperti yang dijanjikan. “Jika wujud gangguan pada mana-mana elemen, ia akan memberi kesan buruk secara keseluruhan,” katanya.

Kelmarin Presiden Benigno Aquino bertemu pemimpin kanan MILF, Al-Haj Murad Ebrahim ketika melawat .


Pertemuan itu dibuat bagi meyakinkan MILF mengenai komitmen pentadbirannya mewujudkan wilayah autonomi Bangsamoro sebelum penggal pemerintahannya berakhir.


Aquino memberi jaminan draf BBL itu akan dihantar kepada Kongres sebelum ucaptamanya pada 28 Julai bagi memastikan ia dilaksanakan dalam tahun ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/30
Abu Hatim at 2:27 PM No comments:
Share

Saya akan bantu cari MH370: Hishammuddin


2014/07/01 - 05:42:54
Putrajaya: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, akan terus bekerjasama dengan Menteri Pengangkutan yang baharu, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dalam misi pencarian pesawat MH370.

Hishammuddin, yang sebelum ini memangku jawatan Menteri Pengangkutan, berkata walaupun tumpuan selepas ini kepada kementeriannya, beliau akan terus membantu sehingga Tiong Lai selesa mengendalikan isu MH370 terutama dari segi hubungan dengan pemimpin negara yang terbabit.

“Saya sudah sinonim dengan MH370 dan akan terus membantu. Jika Tiong Lai memerlukan saya pada sidang media, saya tidak keberatan untuk bersama,” katanya pada sidang media bersama selepas majlis serah terima tugas di Kementerian Pengangkutan di sini, semalam.

Hishammuddin memangku jawatan Menteri Pengangkutan sejak 15 Mei tahun lalu dan terbabit dalam mengendalikan beberapa kes besar membabitkan kementerian itu termasuk tragedi bas terbalik di Genting Highlands, pesawat terhempas di Kudat, Sabah dan bot karam di Sarawak.

Hishammuddin berkata, sidang media mengenai MH370 selepas ini adalah lebih khusus, bukan hanya mengenai penempatan aset seperti Bluefin-21 dan Ocean Shield tetapi turut membabitkan syarikat swasta seperti Petronas yang menggunakan aset mereka dalam usaha mencari.

Sementara itu, Tiong Lai berkata beliau akan ke Canberra, Australia dan Beijing, China, dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai MH370.

Beliau akan bertemu Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss dan Ketua Pusat Penyelaras Agensi Bersama (JACC), Angus Houston serta Menteri Pengangkutan China, Yang Chuantang.
Abu Hatim at 7:56 AM No comments:
Share

Mahkamah Hak Asasi Manusia Kekal Larangan Berpurdah Di Perancis


Diterbitkan: Selasa, 1 Julai 2014 10:20 PM

MAHKAMAH Hak Asasi Manusia Eropah mengekalkan keputusan larangan memakai purdah oleh kerajaan Perancis terhadap kaum wanita Islam di negara itu.
Kes itu sebelum ini dibawa ke Mahkamah Hak Asasi Manusia oleh seorang wanita Perancis kerana larangan itu didakwa melanggar hak pemakaian masyarakat Islam.
Undang-undang Perancis melarang sesiapa sahaja memakai pakaian yang menutup muka dan mereka yang ingkar akan dikenakan denda 150 Euro.
Undang-undang itu diperkenal oleh bekas Presidennya, Nicolas Sarkozy pada tahun 2010.
Perancis mempunyai lima juta penduduk tetap beragama Islam yang mewakili jumlah masyarakat Islam terbanyak di Eropah.
Daripada jumlah itu seramai 2,000 wanita Islam memilih memakai purdah.
mstar
Abu Hatim at 6:53 AM No comments:
Share

Ramadan : Khidmat di Masjidilharam dipertingkat


Kerajaan Arab Saudi meningkatkan usaha menangani pertambahan bilangan jemaah umrah sepanjang bulan Ramadan bagi memudahkan mereka beribadat di masjid tersebut. - AGENSI
JEDDAH 30 Jun - Pihak berkuasa Masjidilharam meningkatkan usaha menangani pertambahan bilangan jemaah umrah sepanjang bulan Ramadan untuk memudahkan mereka beribadat di masjid tersebut.
Menurut laman web arabnews.com, kebanyakan jemaah umrah yang datang dari negara-negara Asia terdiri daripada warga emas dan pihak berkuasa memberi perhatian lebih bagi memastikan mereka dapat mengerjakan ibadat dengan lancar dan selesa.
Perkhidmatan tersebut termasuk menyediakan terjemahan dan memberi ringkasan pendek mengenai ayat-ayat suci al-Quran yang dibacakan ketika menunaikan solat sunat tarawih.
"Kami menyediakan terjemahan dan memberi ringkasan pendek dan bacaan ayat-ayat al-Quran ke dalam bahasa Urdu, Inggeris, Perancis dan Bahasa Melayu kepada jemaah dari luar negara," kata Pengurus Perkhidmatan Terjemahan di Masjidilharam, Walid Al-Saqabi.
Walid berkata, terjemahan ayat al-Quran tersebut boleh didapati berhampiran Pintu Raja Fahd selepas solat tarawih.
Selain itu katanya, pihak Masjidilharam turut menyediakan kira-kira 10,500 kerusi roda bagi kegunaan jemaah warga emas dan yang uzur.
Pegawai berkaitan hal tersebut, Mashleh al-Mahmadi berkata, pihaknya juga akan menambah bilangan kerusi roda mengikut keperluan dan perkhidmatan itu ditawarkan secara percuma.
Selain itu, pihak berkuasa juga sedang menguji kira-kira 200 buah kereta elektrik yang boleh digunakan jemaah apabila terbukti berjaya dan lulus dalam ujian-ujian pemeriksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140701/lu_04/Ramadan-Khidmat-di-Masjidilharam-dipertingkat#ixzz36AA9gNkZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 
Abu Hatim at 6:13 AM No comments:
Share
‹
›
Home
View web version
Powered by Blogger.