Monday, March 22, 2010

Anwar perlu orang-orang seperti Dr. Badrul Amin

Anwar perlukan anggota parti yang kuat pegangan agamanya supaya mereka tidak lompat parti seperti yang telah berlaku sekarang ini.Satu contoh yang ada sekarang dalam PKR adalah  Dr Badrul Amin. PKR perlu orang-orang seperti ini untuk menjadi sebuah parti yang kuat.Mereka tidak akan mudah  tergoda dengan wang ringgit atau harta benda.
Walau bagaimana tinggi tawaran yang dibuat oleh UMNO mereka tetap tidak akan tergoda.Mereka
mempunyai pendirian yang teguh dan berpegang teguh dengan tali agama.Walaupun ditahan
dibawah akta zalim ISA mereka tetap tidak berubah fikiran.Bagi mereka hidup didunia ini hanya sesaat kalau
dibandingkan dengan kehidupan akhirat yang kekal abadi.Pilihlah calon yang terbaik untuk kekuatan parti.Utamakanlah orang-orang yang kuat pegangan agamnya.
Parti UMNO sudah lama menyalahgunakan kuasa.Akta zalim ISA digunakan untuk kekuasaan politik mereka.
Sabda Rasulullah SAW " Akan datang suatu masa nanti ummatku cinta dunia dan takut mati "

Kempen rebut Presiden MCA bermula





LIOW Tiong Lai (duduk tiga, kiri) bersama penyokongnya selepas mengumumkan bertanding Timbalan Presiden MCA pada pemilihan parti 28 Mac ini pada sidang akhbar di Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 21 Mac - Perebutan jawatan Presiden MCA akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang, Datuk Seri Ong Tee Keat; bekas Presiden, Tan Sri Ong Ka Ting dan bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek.
Hari ini Soi Lek menjadi calon ketiga bagi jawatan itu apabila mengumumkan untuk bertanding pada pemilihan 28 Mac ini.
Beliau membuat pengumuman tersebut di sebuah hotel di sini menjelang hari penamaan calon esok.
Tee Keat awal-awal lagi sudah mengumumkan untuk mempertahankan jawatan tersebut.
Ka Ting pula mengumumkan untuk bertanding setelah mendakwa didesak oleh pemimpin-pemimpin akar umbi dalam usaha memulihkan semula MCA daripada krisis dalaman.
Perebutan jawatan Timbalan Presiden pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu iaitu antara dua bekas Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Datuk Kong Cho Ha.
Tiong Lai mengumumkan untuk bertanding dengan menyatakan bahawa menjadi tugas beliau untuk melangkah ke depan dengan membawa tanggungjawab lebih besar.
Pemilihan pemimpin MCA kali ini menyaksikan pertembungan tiga kumpulan iaitu kumpulan Tee Keat, Soi Lek dan Ka Ting.
Sementara bagi jawatan Naib Presiden pada masa ini hanya empat pemimpin telah menyatakan hasrat untuk bertanding iaitu Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen yang akan mempertahankan jawatan serta dua ahli CC iaitu Datuk Donald Lim Siang Chai dan Datuk Seri Tan Chai Ho serta seorang bekas anggota CC, Datuk Chor Chee Heung.
Seorang lagi bekas Naib Presiden, Tan Kok Hong belum menyatakan pendirian sama ada untuk mempertahankan jawatan atau tidak.
Sebanyak 31 jawatan akan dipertandingkan iaitu masing-masing satu bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, empat untuk jawatan Naib Presiden serta 25 jawatan CC

Isu tukar MB provokasi politik






PADANG BESAR 21 Mac – Menteri Besar, Datuk Seri Md. Isa Sabu menyifatkan khabar angin kononnya beliau akan digantikan pada 17 Mac lalu sebagai mengarut dan satu provokasi politik.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menegaskan, isu tersebut sengaja dimainkan oleh pihak tertentu setelah mereka gagal mencapai matlamat politik yang diimpikan.
“Khabar angin digembar-gemburkan kononnya akan berlaku pertukaran Menteri Besar Perlis pada 17 Mac lalu. Pihak itu mendakwa saya tidak sihat. Mereka kata saya tidak sihat, di mana yang tak sihatnya?
“Setakat ini saya tidak ada masalah kesihatan,” katanya
semasa berucap merasmikan Majlis Ramah Mesra Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Padang Besar di Dewan Orang Ramai Kampung Beseri Dalam di sini semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Dr. Por Choo Chor adalah satu-satunya muka baru pada majlis angkat sumpah jawatan Exco bagi penggal 2010-2011 kelmarin manakala tujuh yang lain kekal.
Choo Chor dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Pertumbuhan Bandar Baru menggantikan ADUN Titi Tinggi, Yip Sun Onn.
Pertukaran antara Choo Chor dengan Sun Onn dibuat oleh kerajaan negeri sebagai amalan biasa atas permintaan kepimpinan MCA sendiri.
Sementara itu, Md. Isa secara sinis mengaitkan penyebaran khabar angin itu dengan pihak yang tidak berpuas hati ekoran kelulusan akademiknya yang dilihat ‘rendah’.
“Mungkin pihak itu merasakan pelajaran saya yang bermula di Sekolah Kebangsaan Padang Melangit di sini tidak sesuai untuk menjadi Menteri Besar,” jelasnya dalam nada menyindir.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Perlis tidak terpengaruh dengan khabar angin berkenaan jika disebarkan lagi pada masa depan.

Tindakan persenda Raja-Raja Melayu




JEMPOL 21 Mac - Tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mencapai cita-citanya dianggap mempersendakan institusi Raja-raja Melayu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pembohongan Anwar seperti yang didedahkan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim merupakan isu besar yang tidak boleh dipandang ringan.
''Ini bukan soal mempersendakan, tetapi ini soal besar dengan nama Tuanku sebagai Ketua Negara dan Ketua Angkatan Tentera dilibatkan dalam satu angan- angan politik yang kosong.
''Soalnya kepada kita sekarang ini kerana rakyat tidak boleh ada pemimpin yang ada karakter seperti itu. Ini yang perlu kita lihat dalam aspek sebenar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bersama Pewaris Muda Negara 1Malaysia di Felda Pasoh 2 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rais berkata, Anwar harus dikenakan tindakan dengan dirujuk ke Jawatankuasa Khas Dewan Rakyat supaya hal-hal seperti ini tidak akan diulangi oleh mana-mana pemimpin politik yang lain.
Jelas beliau, ia dilihat penting dalam memberi pengajaran kepada mana-mana ahli politik supaya mengeluarkan fakta yang tepat dan bukannya mengeluarkan pembohongan untuk meraih sokongan.
"Saya mengulangi bahawa Dewan Rakyat perlu bertindak untuk menjalankan siasatan di bawah satu Jawatankuasa Khas supaya intipati yang didedahkan oleh Zahrain dapat diketahui.
"Ini akan menjadi pengajaran supaya kita tidak akan tunduk kepada kehendak berbohong atau memutar belit.
"Saya berasa dukacita dengan perkara itu sedangkan dia (Anwar) dipandang tinggi oleh pelbagai pihak namun dia sendiri tidak mengamalkan apa yang diperkatakan," kata beliau.

16 September: Pemuda UMNO serahkan pihak berkuasa siasat





PETALING JAYA 21 Mac - Pergerakan Pemuda UMNO menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan mengatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaitkan Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam "Rancangan 16 September" beliau.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, sekiranya pendedahan itu benar, tindakan Anwar tersebut nyata telah mencemarkan imej institusi diraja, istana dan ATM.
"Apa yang penting di sini adalah pendedahan Datuk Seri Zahrain (Mohamed Hashim) itu telah menimbulkan pelbagai masalah.
"Sama ada benar atau tidak, saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk buat siasatan sebab sudah ada beberapa laporan polis dibuat termasuk oleh Pemuda (UMNO) Selangor dan Pemuda (UMNO) Wilayah," katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar sebelum perlawanan akhir Liga Bola Sepak Subang dan program Juara Rakyat UMNO di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Ir. Muhammad Bushro Mat Johor dan Ketua Pemuda UMNO Subang, Harison Hassan.
Khairy mengulas pendedahan Zahrain yang merupakan Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru di Dewan Rakyat Rabu lalu, berhubung rancangan Ketua Pembangkang itu untuk mengambil alih kerajaan Pusat pada 16 September 2008.
Terdahulu hari ini, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Rizalman Mokhtar dan Ketua Pemuda UMNO Selangor, Suhaimi Mohd. Ghazali membuat laporan polis berhubung pendedahan Zahrain itu.
Dalam perkembangan sama, kata Khairy, persidangan Dewan Rakyat bukan sahaja bertujuan membahaskan isu berkaitan rakyat tetapi juga untuk membincangkan isu integriti dan kredibiliti para pemimpin dalam negara.
"Jika benar Anwar sanggup mencemar dan menyalahgunakan nama istana dan ATM, itu menyentuh secara langsung (tentang) kredibiliti kepimpinan dan asas demokrasi negara kita. Saya rasa ini penting untuk rakyat nilai," jelasnya.
Sementara itu, beliau yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) memberitahu, generasi muda negara khususnya di dalam BN mengharapkan supaya pemilihan MCA pada 28 Mac ini menjadi noktah kepada segala masalah dalaman parti itu selama ini.
Katanya, proses pemilihan itu menunjukkan ahli-ahli MCA telah diberikan hak mereka sepenuhnya untuk memilih para pemimpin mengikut perlembagaan parti.
Beliau memberitahu, UMNO khususnya Pemuda bersedia memberikan kerjasama penuh kepada para pemimpin MCA yang bakal dipilih demi menjayakan gagasan 1Malaysia.

Pemuda UMNO 3 negeri buat laporan


Pemuda UMNO Selangor yang diketuai oleh Suhaimi Mohd. Ghazali (tengah) menunjukkan surat laporan polis berdasarkan pendedahan Zahrain di Parlimen melibatkan Anwar Ibrahim di Sepang, semalam. – BERNAMA


KUALA LUMPUR 21 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO dari tiga negeri hari ini membuat laporan polis berhubung pendedahan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Selangor dan Johor terbabit turut mendesak supaya siasatan dibuat terhadap dakwaan yang Anwar menjaja nama Yang di-Pertuan Agong kononnya memperkenankan beliau sebagai Perdana Menteri keenam jika rancangan membentuk kerajaan 16 September menjadi kenyataan.
Di ibu negara, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Rizalman Mokhtar membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini kira-kira pukul 11 pagi ini.
Rizalman ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya memandang serius pendedahan tersebut yang bukan sahaja menggemparkan negara malah, merungkai segala penipuan dan sikap tamak pihak pembangkang.
“Kita mahu polis menyiasat dakwaan mengatakan Anwar ada menjaja cerita kononnya Tuanku Mizan Zainal Abidin menunggu di istana untuk mengesahkan jumlah ahli Parlimen pembangkang yang melompat parti.
“Perbuatan mengheret institusi diraja ke dalam kancah politik murahan tidak patut dibiarkan,” tegasnya.
Zahrain dalam perbahasan Dewan Rakyat pada Khamis lalu mendedahkan temberang Anwar kononnya dia telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menjayakan rancangan mengambil alih kerajaan Pusat pada 16 September 2008.
Antara pembohongan lain yang didedahkan ialah dakwaan Anwar kononnya ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang bersedia melompat parti sudah mencukupi untuk membentuk kerajaan pintu belakang.
Di SEPANG, Pergerakan Pemuda UMNO Selangor turut membuat laporan polis berhubung pembongkaran itu menerusi Ketua Pemuda UMNO negeri, Suhaimi Mohd. Ghazali.
Beliau yang diiringi 10 ahli pergerakan itu membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi.
“Tindakan perlu diambil ke atas Anwar jika pendedahan oleh Zahrain itu terbukti benar,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, seramai 40 ahli Pergerakan Pemuda UMNO Johor membuat laporan polis berhubung isu yang sama di IPD Pontian petang ini.
Laporan tersebut dibuat oleh ketuanya, Mohd. Fadil Muskon pukul 4.30 petang ini.
“Bagi Pemuda UMNO Johor, tindakan Anwar itu tidak bertanggungjawab dan mencemarkan nama baik kedua-dua institusi tersebut hanya untuk mencapai cita-cita politik beliau menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Sidang Dewan Rakyat akan terus panas



PONTIAN 21 Mac - Sidang Dewan Rakyat yang bersambung esok dijangka terus panas apabila lebih banyak drama dan pendedahan baru dijangka dibuat oleh bekas ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sejak sidang bermula minggu lepas, hanya Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru) yang sudah berucap membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, semua mata kini tertumpu kepada tiga lagi bekas wakil rakyat PKR iaitu Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) dan Zukifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu)
"Jika pada minggu lalu, ucapan yang dibangkitkan Zahrain menyebabkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim keluar meninggalkan sidang Dewan Rakyat, ia mungkin akan berlaku lagi pada minggu depan.
"Kami menanti perbahasan tiga ahli Parlimen Bebas itu yang akan mewarnai landskap politik seperti dilakukan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru itu,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Program Operasi Khidmat Masyarakat (Opkim) di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pontian, di sini hari ini.
Program Opkim bersama Gerakan Belia 4B Parlimen Pontian itu melibatkan seramai 32 mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam serta 75 pelajar dari tiga buah sekolah menengah sekitar Pontian.
Hadir sama, Pengerusi Gerakan Belia 4B Pontian, Mohd. Sumali Riduan dan Pengetua MRSM Pontian, Ahmad Kamal Abu Bakar.
Minggu lalu, Zahrain menggegarkan sidang Dewan Rakyat apabila 'memecahkan tembelang' Ketua Pembangkang itu berhubung rancangan 16 September 2008.
Beliau mendedahkan bagaimana Anwar membohongi wakil rakyat pembangkang kononnya ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional ( BN ) yang akan melompat parti menyertai pembangkang lebih daripada mencukupi bagi membentuk kerajaan pintu belakang itu.
Tambah Ahmad yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, pendedahan pada minggu lalu itu sewajarnya membuka mata rakyat mengenai sikap sebenar Anwar.
"Beliau bukan sahaja tidak berani menjawab segala tuduhan yang dilemparkan malah telah melarikan diri ke London untuk meminta simpati dan campur tangan negara asing," tegas beliau.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata, walaupun tindakan Zahrain tidak disenangi oleh ahli Parlimen pembangkang, tetapi hakikat rancangan untuk mengambil alih kerajaan pada 16 September 2008 memang berlaku.