Tuesday, June 15, 2010

ADUN Malim Nawar ada sebab keluar DAP



15/06/2010 5:34pm

KUALA LUMPUR 15 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar dari DAP, Keshvinder Singh keluar daripada parti itu untuk menjadi wakil rakyat Bebas sudah pasti berasaskan kepada sebab tertentu.
``Tentu ada sebab, tetapi kena tanya dialah apa sebabnya,'' kata Perdana Menteri selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Guru KAFA 2010 di sini hari ini. - Utusan

Usul Gaza: OIC akan bekerjasama dengan Malaysia



15/06/2010 7:01pm

KUALA LUMPUR 15 Jun - Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) akan bekerjasama dengan Malaysia untuk melaksanakan usul yang diluluskan di Parlimen minggu lepas, mengutuk serangan Israel terhadap kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, Freedom Flotilla.
Setiausaha Agung OIC, Prof. Ekmeleddin Ihsanoglu berkata, usul itu sangat penting kerana ia perlu untuk menunjukkan kepada dunia mengenai komitmen negara-negara Islam besar dunia mengenai perkara ini.
"Kita di OIC bekerja selari dan menghargai kenyataan ini (usul) dan kita akan bekerjasama dengan Malaysia untuk pelaksanaan keputusan ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Sains Politik oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dekat sini hari ini.
Ijazah Kehormat itu disampaikan oleh Presiden UIAM Tan Sri Mohd. Sidek Hassan yang juga Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Prof. Ekmeleddin berkata, Malaysia mempunyai tempat dan peranan khas dalam sejarah OIC dan juga kepada perkembangan terkini pertubuhan yang mempunyai 57 negara anggota dan beribu pejabat di Jeddah, Arab Saudi.
"Dan sebab itu suara negara menerusi Parlimen dan resolusi kuat ini...idea dan cadangan dalam resolusi itu sangat penting,” kata beliau.
Usul 15 perkara yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak 7 Jun lepas, menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengutuk serangan rejim zionis di bawah kepimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, yang menyerang Mavi Marmara di perairan antarabangsa pada 31 Mei lepas.
Sambil memberikan sokongan terhadap gesaan masyarakat antarabangsa bagi satu siasatan bebas dan bertanggungjawab terhadap serangan itu, Malaysia juga menyeru negara-negara yang sependapat untuk mebawa resolusi ini ke Majlis Keselamatan itu bagi merujuk rejim zionis tersebut ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Ia juga mencadangkan negara-negara sependapat untuk mengemukakan resolusi ini kepada Perhimpunan Agung PBB bagi mendapatkan pandangan nasihat daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). - Bernama

Permaisuri Agong lebih tinggi daripada "wanita pertama"



15/06/2010 7:04pm

KUALA LUMPUR 15 Jun - Kedudukan Raja Permaisuri Agong adalah lebih tinggi daripada ”wanita pertama” kerana kedudukan baginda diberi keutamaan seperti yang termaktub dalam Perkara 32 (2) Perlembagaan Persekutuan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, tanggapan bahawa gelaran ”wanita pertama” merujuk kepada Raja Permaisuri Agong adalah tidak tepat.
Katanya, terminologi ”wanita pertama” tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan, justeru menyamakan Raja Permaisuri Agong dengan terminologi tersebut adalah tidak tepat sama sekali.
"Sekiranya ada dan diamalkan, ”wanita pertama” di Malaysia mestilah berada di bawah daripada kedudukan Raja Permaisuri Agong,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Tian Chua (PKR-Batu) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Perkara 32 (2) Perlembagaan Persekutuan menyebut; “Permaisuri Yang di-Pertuan Agong (yang digelar Raja Permaisuri Agong) adalah mengambil keutamaan mengatasi segala orang lain dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong.
"Berdasarkan adat, budaya dan amalan protokol di Malaysia, gelaran ”wanita pertama” tidaklah menjadi suatu amalan. Ramai orang berpendapat dalam konteks negara Malaysia, gelaran itu merujuk kepada Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong,” kata Najib. - Bernama

Pas cabar bubar Parlimen



KOTA BHARU - Pas Kelantan mencabar kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membubarkan Parlimen, sekali gus mengadakan Pilihan Raya Umum dengan segera sekiranya beliau yakin untuk memperoleh kemenangan pada pilihan raya itu.

Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri, Abdul Fatah Harun berkata, kenyataan yang dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa sokongan Perdana Menteri kini terus kukuh tidak melambangkan realiti sebenar pada suasana politik negara.

“Kenyataan Tun tidak berpijak kepada realiti politik semasa. Beliau gunakan analisis Merdeka Centre untuk buat kesimpulan tetapi Pakatan Rakyat (PR) juga mempunyai analisis sendiri.

“Oleh itu jika Perdana Menteri berani, sila bubar Parlimen sekarang dan kita beri peluang kepada rakyat sekarang untuk memilih kerajaan baru untuk mentadbir Putrajaya, kita boleh tengok kebenaran analisis itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Kelmarin, Tun Dr Mahathir berkata, Pilihan Raya Umum ke-13 boleh diadakan dalam masa terdekat memandangkan keyakinan dan kepuasan hati rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri sudah meningkat 72 peratus.

Katanya, 72 peratus adalah satu angka baik kerana beliau sendiri mampu dapat majoriti dua pertiga (pada 1999), meskipun kedudukan hanya pada tahap 60 peratus sokongan.

1,447 diselamatkan




SERAMAI 1,447 orang berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa aktiviti pemerdagangan orang sehingga Mei lalu hasil daripada usaha dan tindakan bersungguh kerajaan melalui agensi penguat kuasaan sedia ada bagi membanteras kegiatan terbabit.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata mangsa terbabit diberikan Perintah Perlindungan Sementara (IPO) bawah Seksyen 44 (2) Akta Antipemerdagangan Orang 2007 dan daripada jumlah terbabit, seramai 338 orang dikenal pasti sebagai mangsa sebenar pemerdagangan orang dan diberikan Perintah Perlindungan (PO) bawah Seksyen 51(3) akta sama.
Beliau berkata, kerajaan menghadapi pelbagai cabaran dan masalah dalam menangani jenayah pemerdagangan manusia, seperti kebanyakan mangsa masuk ke negara ini secara sah sebagai pelancong, tetapi kemudiannya menjadi sasaran sindiket pemerdagangan orang. “Ini menyebabkan anggota penguat kuasa menghadapi kesukaran mengenal pasti mangsa ketika mereka berada di pintu masuk utama negara,” katanya, menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) mengenai pemerdagangan manusia, masalah dihadapi untuk menanganinya dan bilangan mangsa.

Hishammuddin berkata, pihaknya juga menghadapi masalah kurang kerjasama dan penyampaian maklumat daripada orang awam dan mangsa, yang menyukarkan agensi penguat kuasa mengambil tindakan.

patut ke tak patut ( kalau duit sendiri , tak patut )

Kos binaan berpatutan

KUALA LUMPUR: Kospembinaan Istana Negara yang baru di Jalan Duta, Kuala Lumpur masih berpatutan dibandingkan dengan beberapa buah istana lain walaupun kosnya melebihi daripada harga asal yang disebut bekas Menteri Kerja Raya sebelum ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng, berkata perubahan kos terbabit kepada lebih RM800 juta berbanding kos asal RM400 juta disebabkan kos asal tidak menyeluruh, malah tidak merangkumi harga rundingan.
Menurutnya, pembinaan Istana Negara yang baru itu terbahagi kepada tiga komponen utama iaitu Kompleks Istana Negara bernilai kira-kira RM650 juta, persimpangan bertingkat menelan belanja RM130 juta dan menaik taraf jalan sebanyak RM32.5 juta.

“Sebenarnya kalau kita ikutkan kos, Istana Negara (saja) sebanyak RM650 juta. Kalau kita kira perkaki persegi ialah RM670.

“Kalau dibandingkan dengan istana lain, Istana Selangor, Putrajaya, Istana Melawati di Putrajaya...Istana Selangor RM1,000 satu kaki persegi dan Melawati RM860 perkaki persegi. Kalau kita nak banding dengan banglo dua tingkat di Bukit Damansara RM1,280 sekaki persegi.

“Harganya memang kita runding dan harganya boleh kita katakan berpatutan. Kalau kira jalan, persimpangan dan projek ini, tiga bahagian. “Dua bahagiannya ambil RM160 juta lebih, yang sebenarnya bangunan istana sendiri dekat RM650 juta saja,” katanya, menjawab soalan Nga Kor Ming (DAP-Taiping), yang bertanyakan kos pembinaan Istana Negara baru dan tender terbuka di persidangan Dewan Rakyat.

Yong berkata, Istana Negara mercu tanda dan simbol kebanggaan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan di Malaysia yang mana kemudahannya mestilah membabitkan aspek keselamatan dan ciri estetika khusus.

“Kerajaan menimbangkan beberapa faktor dan menawarkan projek ini secara rundingan terus kepada tiga syarikat bagi ketiga-tiga komponen utama Istana Negara,” katanya.

Katanya, Istana Negara sedia ada di Jalan Istana pada asalnya adalah banglo milik perseorangan yang dibina pada 1928 sebelum diambil alih dan diwartakan sebagai Istana Negara pada 1957.

“Kerajaan pada 2005 memutuskan tiba masanya dibina istana baru iaitu di Jalan Duta bagi menggantikan istana sedia ada. Projek Kompleks Istana Negara ini dijangka siap Februari tahun depan,” katanya.

Mengapa 400 Juta Jadi 800 Juta?



Kos pembinaan Istana Negara yang baru di Jalan Duta, Kuala Lumpur, telah meningkat dua kai ganda dalam tempoh empat tahun, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini. 
Semasa sesi soal-jawab pagi ini, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng berkata istana tersebut dianggar menelan belanja RM400 juta pada tahun 2006 tetapi kini kosnya meningkat kepada RM811 juta.

Kontrak pembinaan Istana Negara yang baru itu diberikan kepada tiga syarikat melalui perundingan langsung, dan bukan melalui tender terbuka, kata Yong. Katanya, kontrak tersebut diberikan melalui cara tersebut kerana Istana Negara adalah "unik" dan memerlukan pertimbangan keselamatan tambahan.

Kenyataannya itu mengundang reaksi daripada Nga Kor Ming (DAP-Taiping) - yang mengajukan soalan tersebut - dengan menyatakan bahawa perundingan langsung itu bertentangan dengan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di bawah Model Ekonomi Baru (MEB).

ADMIN: Dalam keadaan ekonomi yang masih belum stabil, kerajaan terus membakar wang rakyat dengan projek yang tiada mendatangkan hasil pada masyarakat umum. Kos pembinaan naik sekali ganda, sekiranya mereka tersepit sumber kewangan, rakyat akhirnya dituju kembali dengan menarik semula subsidi dan sebagainya. Sebahagian rakyat masih gagal menilai...

Kos bina Istana Negara baru RM800 juta - Khoon Seng



KUALA LUMPUR - Kos pembinaan Istana Negara yang baru kini bernilai lebih RM800 juta, termasuk kos menaik taraf jalan dan pembinaan persimpangan bertingkat. 

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng berkata, perubahan kos itu, berbanding kos asal RM400 juta diumumkan sebelum ini, disebabkan kos asal tidak meliputi harga rundingan dan tidak menyeluruh. 

Katanya, pembinaan bangunan baru di Jalan Duta itu terbahagi kepada tiga komponen utama iaitu Kompleks Istana Negara bernilai kira-kira RM650 juta, persimpangan bertingkat (RM130 juta) dan menaik taraf jalan (RM32.5 juta). 

“Istana Negara adalah mercu tanda dan simbol kebanggaan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan di Malaysia, kerajaan menimbangkan beberapa faktor dan menawarkan projek ini secara rundingan terus kepada tiga syarikat bagi ketiga-tiga komponen utama Istana Negara,” katanya menjawab soalan Nga Kor Ming (DAP-Taiping) yang ingin tahu kemudahan yang bakal dibina dan jumlah kos perbelanjaan pembinaan Istana Negara yang baru. 

Khoon Seng berkata, Istana Negara sedia ada di Jalan Istana pada asalnya adalah banglo milik perseorangan yang dibina pada 1928 sebelum diambil alih dan diwartakan sebagai Istana Negara pada 1957. 

“Kerajaan pada 2005 memutuskan bahawa sudah tiba masanya dibina istana baru iaitu di Jalan Duta. Projek dijangka siap Februari tahun depan,” katanya. - Bernama      

Polis tahan 10 anggota JI sejak awal tahun

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 10 individu yang merupakan anggota Jemaah Islamiah (JI) sejak awal tahun ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Beliau berkata, 10 anggota warga asing itu merupakan saki baki dari kumpulan JI yang terus berusaha untuk menghidupkan kembali perjuangan mereka.
"Anggota-anggota terbabit yang mendapat sokongan daripada rakyat tempatan telah ditangkap di merata tempat sejak enam bulan lalu dan diusir keluar dari negara ini," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Musa berkata, mereka dikatakan cuba merekrut penuntut universiti dan remaja tempatan untuk berjihad di luar negara yang melibatkan 20 hingga 30 penuntut.

"Trend ini amat membimbangkan kerana terbukti anasir-anasir militan kini telah mengubah taktik dan strategi mereka dalam merekrut anggota baru terutamanya untuk tujuan berjihad di luar negara," katanya.

Katanya, JI menarik golongan remaja untuk menyertainya kerana zaman sekarang golongan itu tertarik dengan panggilan untuk berjihad menerusi ceramah-ceramah yang mereka dengar.

"Polis akan memantau pelajar-pelajar yang mendengar sebarang ceramah yang membawa kepada pergolakan dan keselamatan negara.

"Kita perlu berhati-hati dengan ideologi yang dibawa oleh warga asing untuk mendapatkan sokongan daripada pelajar-pelajar tempatan," katanya.

JI ialah sebuah kumpulan pejuang agama yang berdedikasi untuk mendirikan sebuah negara Islam raya di Nusantara khususnya Indonesia, Singapura, Brunei, Malaysia, Thailand dan Filipina.

Sepuluh anggota JI itu adalah kumpulan yang berasingan daripada 10 individu termasuk sembilan warga asing yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) awal tahun ini kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa.-Bernama

Bekas Timbalan Presiden PAS meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden PAS, Hassan Shukri meninggal dunia dipercayai akibat sakit jantung di Hospital Selayang, dekat sini kira-kira jam 2 petang tadi.
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, Allahyarham, 71, menghembuskan nafas terakhirnya selepas dimasukkan ke hospital berkenaan pagi tadi selepas mengadu sakit dada. "Allahyarham sebelum itu pulang dari Kota Baharu malam tadi selepas menyertai Muktamar Pas dan mengadu sakit dada sehingga pagi tadi. "Ahli keluarganya kemudian membawanya ke hospital dan ditempatkan di Unit Rawatan Jantung sebelum disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata jenazahnya kini berada di rumah mereka di Taman Melewar, Gombak dan akan dikebumikan esok. -Bernama

Jualan kondom meningkat selepas Korea Selatan menang perlawanan pertama

SEOUL: Jualan kondom di Korea Selatan melonjak lima kali ganda selepas penyokong meraikan kemenangan pasukan bola sepak mereka sewaktu menentang Greece pada perlawanan pembukaan Piala Dunia.

Kira-kira sejuta penyokong berbaju merah di seluruh negara itu, termasuk 200,000 di Seoul, memenuhi kompleks perniagaan, stadium dan taman tema, Sabtu lalu untuk menyokong pasukan mereka yang menang 2-0 ke atas juara Euro 2004, Greece.

Bagaimanapun, pihak yang paling beruntung adalah kedai serbanika dan premis menjual ayam goreng segera ketika penyokong membanjiri jalan raya, lapor JoongAng Daily, semalam.

Selepas perlawanan itu, penyokong yang bergembira membeli lima kali ganda kondom berbanding ketika persembahan luar biasa pasukan itu sewaktu Piala Dunia 2006. - AFP

MISC Umum Siap Pasang FPSO Ruby II



KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- MISC Bhd hari ini mengumumkan penyiapan pemasangan FPSO Ruby II, iaitu kemudahan pemunggahan dan penyimpanan pengeluaran terapung (EPSO).

Ia dimiliki dan dikendalikan oleh Vietnam�Offshore�Floating�Terminals, iaitu syarikat kerjasama antara MISC dan PetroVietnam�Technical�Services�Corporation (PTSC)�Vietnam.

FPSO�Ruby�II, yang menggantikan FPSO�Ruby�Princess, dipajakkan kepada PC Vietnam Ltd,�cabang eksplorasi dan pengeluaran Petronas di Vietnam, dan pengendali Blok 01�dan�02,�mengikut kontrak pajakan masa bagi tempoh lapan tahun.

Ia juga melambangkan satu pencapaian baharu dalam penerokaan MISC dalam bidang perniagaan minyak dan gas di luar persisir, demikian menurut kenyataan syarikat itu.

FPSO�Ruby�II�merupakan kontrak FPSO pertama MISC menerusi tender kompetitif antarabangsa dan diserahkan ke kawasan di luar Malaysia.

Keseluruhan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan kerja skop pelaksanaan, dan keseluruhan pemasangan, operasi dan penyelenggaraan diamanahkan kepada MISC dan PTSC oleh Vietnam Offshore Floating Terminals yang mewakili nilai kira-kira US$300 juta.�

-- BERNAMA

Musa Hassan Nafi Tidak Akan Letak Jawatan



KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menafikan laporan sebuah akhbar bahasa Inggeris hari Isnin yang mendakwa beliau tidak akan meletakkan jawatan dan akan kekal dalam jawatannya itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Bukit Aman malam ini, Musa menafikan sekeras-kerasnya laporan terbabit dan berkata tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan secara bertulis atau pun lisan kepada mana-mana media.

"Malah para wartawan atau wakil media yang hadir dalam sidang akhbar yang diadakan selepas perhimpunan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman hari ini tidak mengemukakan sebarang soalan berkaitan," kata kenyataan itu.

Sehubungan itu PDRM ingin menasihatkan media supaya mendapatkan fakta-fakta yang sahih dan disahkan benar daripada pegawai-pegawai berkenaan.

Mereka juga boleh menghubungi pusat media PDRM Bukit Aman sebelum menyiarkan sesuatu perkara yang diragukan kesahihannya, menurut kenyataan itu.

Akhbar itu melaporkan bahawa Musa berkata demikian selepas perhimpunan tersebut.

-- BERNAMA

Turki sangsi suruhanjaya ditubuh Israel



ANKARA: Turki tidak percaya bahawa suruhanjaya yang ditubuhkan Israel bagi menyiasat serangan maut ke atas kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza akan menjalankan siasatan tidak memihak, tegas Menteri Luarnya, Ahmet Davutoglu.

“Kami tidak percaya langsung bahawa Israel, sebuah negara yang melakukan serangan itu ke atas konvoi awam di perairan antarabangsa, akan menjalankan siasatan tidak memihak,” kata Davutoglu.
Turki mendesak agar serangan pada 31 Mei itu, di mana sembilan orang maut, disiasat oleh sebuah suruhanjaya “di bawah kawal selia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang tidak memihak kepada Turki mahupun Israel,” katanya.
“Sebarang siasatan yang dilakukan oleh sebelah pihak tidak ada nilai bagi kami,” katanya.

“Pihak defendan yang bertindak secara serentak sebagai pendakwa dan hakim tidak menepati mana-mana prinsip undang-undang,” katanya. – AFP

Teheran hantar kapal bantuan ke Gaza


TEHERAN: Iran menghantar kapal bantuan ke Gaza, yang disifatkan oleh Israel sebagai langkah provokasi berikutan dakwaannya bahawa Teheran membantu penduduk Palestin dengan kelengkapan senjata.

Satu kapal meninggalkan pelabuhan kelmarin manakala yang lain akan berlepas Jumaat ini, dipenuhi dengan makanan, bahan pembinaan dan permainan, kata laporan berita tempatan. Bot terbabit adalah sebahagian usaha antarabangsa untuk menghalang pemulauan Israel terhadap Gaza.
“Sehingga berakhirnya halangan terhadap Gaza, Iran akan terus menghantar kapal bantuan,” kata seorang pegawai Persatuan Pertahanan Penduduk Palestin Iran.
Ketika Israel sejak sekian lama mengesyaki Iran, yang menolak hak kewujudan negara Yahudi itu, membekalkan senjata kepada Hamas, Teheran berkata mereka hanya memberi sokongan moral kepada kumpulan terbabit.

Tentera Israel dua minggu lalu menyerbu sebuah kapal bantuan Turki menuju ke Gaza pada 31 Mei dan membunuh sembilan aktivis pro-Palestin, kebanyakan mereka rakyat Turki.

Rakyat di kebanyakan negara Islam marah dengan pembunuhan terbabit. Seorang pegawai Persatuan Bulan Sabit Merah Iran berkata, kira-kira 100,000 penduduk Iran secara sukarela menjadi krew kapal bantuan terbabit, lapor akhbar harian Iran.

Seorang pegawai kanan Iran sebelum itu berkata Pengawal Revolusi elit Iran bersedia menyediakan tentera pengiring bagi kapal bantuan itu menuju ke Gaza jika diarahkan pemimpin, Ayatollah Ali Khamenei.
Bagaimanapun timbalan ketua, Hossein Salami berkata sehingga kini mereka tiada rancangan untuk berbuat demikian.

“Perkara seperti itu tiada dalam agenda kami,” katanya yang dipetik agensi berita IRNA, semalam.

Sebarang tindakan tentera akan memberi risiko kepada peperangan lebih besar dengan Israel yang bimbangkan program pengkayaan nuklear Iran bertujuan untuk mewujudkan bom atom. – Reuters

Lelaki Palestin tembak mati polis Israel




ANGGOTA-ANGGOTA pasukan keselamatan Israel menyiasat lokasi sebuah kereta polis Israel diserang dekat Hebron, Tebing Barat semalam.


BAITULMUQADDIS - Beberapa lelaki Palestin yang bersenjata disyaki menembak mati seorang anggota polis Israel dan mencederakan dua yang lain dalam satu serangan ke atas kenderaan mereka di Tebing Barat semalam.
"Ia merupakan satu serangan pengganas yang dilakukan terhadap sebuah kereta polis. Kami sedang menyiasat lokasi kejadian," kata seorang jurucakap polis, Micky Rosenfeld.
Setakat ini tiada pihak daripada kumpulan Palestin mengaku bertanggungjawab dalam serangan dekat bandar Hebron di Tebing Barat.
Jumlah serangan dan kematian di Tebing Barat telah menurun dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Namun, pada bulan lalu, beberapa peneroka haram Yahudi menembak mati seorang remaja Palestin berhampiran Ramallah selepas mangsa membaling batu ke arah kereta mereka.
Serangan maut yang terakhir ke atas warga Israel berlaku pada Februari lalu apabila seorang anggota polis Palestin menikam sehingga mati seorang askar di Tebing Barat.
Dianggarkan terdapat 500,000 peneroka haram Yahudi dan 2.5 juta warga Palestin tinggal di Tebing Barat serta beberapa kawasan berhampiran Baitulmuqaddis yang dikuasai Israel sejak perang Arab-Israel berlaku pada tahun 1967. - Reuters

Bicara lafaz cerai Anne Ngasri 21 Jun




ANNE bersama Abdul Wafi di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR - Permohonan pengesahan lafaz cerai talak tiga pelakon Naszriah Ngasri atau Anne dan suaminya, Abdul Wafi Hassan ditetapkan untuk perbicaraan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam pada 21 Jun depan.
Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaluddin menetapkan tarikh tersebut setelah membenarkan permohonan peguam syarie, Mohd. Hamidullah Che Hassan yang memohon supaya ditetapkan perbicaraan penuh kes itu dalam tempoh seminggu.
Mohd. Hamidullah mewakili Abdul Wafi, 29, selaku defendan manakala Anne, 26, yang bertindak sebagai plaintif tidak melantik peguam.
Terdahulu, peguam defendan memaklumkan bahawa pihaknya telah memfailkan pembelaan terhadap tuntutan plaintif dan menyerahkan penyata pembelaan tersebut kepada plaintif pagi semalam.

hang saman aku, aku saman hang


Gulatis saman balas Zahnita RM15 juta



KUALA LUMPUR - Model dan pelakon, Zahnita disaman balas sebanyak RM15 juta oleh syarikat Gulatis Exclusive Sdn. Bhd. (Gulatis) kerana didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur fitnah kepada media ketika mahu memfailkan saman sebanyak RM2 juta terhadap syarikat itu tahun lalu.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh peguam Gulatis, Abdullah Abd. Rahman yang menegaskan model tersebut berbuat demikian ketika bercakap dengan wakil media di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 11 Disember tahun lalu.
Abdullah berkata, pihaknya telah memfailkan saman tersebut pada 5 Februari lalu tetapi tarikh perbicaraan masih belum ditetapkan.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kes tersebut.
"Selagi belum melalui proses perbicaraan, saya tidak boleh memberi sebarang kenyataan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Meskipun Gulatis menyaman balas Zahnita sebanyak RM15 juta, kes artis tersebut menyaman Gulatis sebanyak RM2 juta sebelum ini, masih diteruskan di mahkamah.
Zahnita atau nama sebenarnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 25, pula terkejut bagaimana perkara tersebut boleh tersebar di Internet sedangkan beliau tidak pernah mendedahkannya.
"Memang saya akui disaman sebanyak RM15 juta dengan beberapa tuntutan lain oleh Gulatis dan telah menerima surat saman sekitar Februari lalu tetapi apa yang mengejutkan saya macam mana hal ini boleh tersebar.
"Saya tidak boleh memberi sebarang kenyataan terhadap kes ini kerana bimbang ia akan memburukkan lagi keadaan," katanya ketika dihubungi.
Beliau juga bersedia sekiranya Gulatis mahu menyelesaikan kedua-dua kes itu di luar mahkamah.
"Saya lebih suka ia diselesaikan dengan cara baik. Bagaimanapun, jika mereka mahu ia diteruskan di mahkamah, saya bersedia untuk menuntut segala hak saya walaupun ia memakan masa yang lama," ujarnya.

Dua budak kenit kini kesempitan hidup



ZULL HANIF (kiri) dan adiknya, Zurin Hazlin dipimpin oleh ibu bapa mereka di Kampung Batu 9, Sungai Miang, Pekan kelmarin.



PEKAN - Dua budak kenit ini yang menetap di Kampung Batu 9, Sungai Miang di sini pernah menggemparkan negara apabila kisah istimewa mereka menghiasi dada akhbar-akhbar utama pada sekitar 2007.
Keunikan hidup yang dilalui oleh Zull Hanif Abd. Halim yang ketika ini berusia 9 tahun dan adiknya, Zurin Hazlin, 6, turut menarik perhatian Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tidak hairan jika Najib yang ketika itu masih Timbalan Perdana Menteri turut menyerahkan kerusi bermotor ciptaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) kepada Zull Hanif bagi memudahkan pergerakannya di sekolah.
Namun itu semua kisah-kisah manis sekitar tiga tahun lalu. Nasib kanak-kanak istimewa itu kini semakin dilupakan.
Percaya atau tidak, ibu bapa mereka kini menghadapi kesempitan wang untuk membesarkan anak mereka itu disebabkan pendapatan yang kecil.
Bapa mereka, Abd. Halim Sulaiman, 36, tidak mampu menempah sepasang baju sekolah untuk anaknya yang berharga antara RM100 dan RM200.
Menurutnya, gaji sebagai pekerja kontrak ladang sebanyak RM25 sehari memang tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga.
"Saya memerlukan belanja besar untuk menghantar dua anak saya ini ke sekolah kerana pakaian mereka perlu ditempah kerana tiada dijual di kedai.
"Jika dihantar ke kedai jahitan pula, tukang jahit akan mengenakan bayaran yang mahal kerana mereka kata, susah untuk menjahit pakaian yang kecil," katanya ketika dihubungi semalam.

Israel tubuh suruhanjaya



BAITULMAQDIS 14 Jun - Kabinet Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu hari ini meluluskan penubuhan sebuah suruhanjaya bagi menyiasat tindakan tentera Zionis memintas enam kapal asing yang membawa bantuan dan aktivis pro-Palestin ke Genting Gaza dua minggu lalu.
Suruhanjaya 'awam bebas dan khas' itu akan dipengerusikan oleh bekas hakim Mahkamah Agung, Jacob Turkel dan dianggotai oleh pakar undang-undang antarabangsa, Shabtai Rosen dan mejar jeneral bersara, Amos Horev, menurut kenyataan kerajaan.
Pemenang Hadiah Keamanan Nobel dari Ireland, Lord William David Trimble dan peguam antarabangsa dari Kanada, Ken Watkin akan turut serta dalam sesi keterangan dan perbincangan sebagai pemerhati yang tidak mempunyai hak mengundi.
Suruhanjaya itu juga dibenarkan, atas sebab keselamatan Israel, tidak mendedahkan maklumat tertentu kepada dua pemerhati tersebut, menurut kenyataan kerajaan.
Ia akan mengkaji tindakan tentera memintas 'Flotila Pembebasan' itu serta sekatan tentera laut Israel ke atas Gaza, dalam konteks undang-undang antarabangsa.
Suruhanjaya itu akan mengemukakan laporannya kepada Perdana Menteri dan Kabinet.
"Memandangkan Suruhanjaya itu perlu menentukan perkara sebenar demi kepentingan umum, pihak penguat kuasa undang-undang tidak akan menggunakan keterangan yang diberikan kepada Suruhanjaya sebagai bahan bukti dalam sebarang prosiding undang-undang," menurut kenyataan itu.
Netanyahu berkata, butir-butir Suruhanjaya itu diputuskan dengan kerjasama kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Komando Israel menyerang dan merampas flotila enam kapal bantuan itu pada 31 Mei lalu, menyebabkan sembilan aktivis pro-Palestin terdiri daripada lapan rakyat Turki dan seorang warga AS keturunan Turki terbunuh.
Serangan itu mencetuskan kutukan hebat masyarakat antarabangsa terhadap Israel dan desakan supaya sebuah suruhanjaya siasatan antarabangsa ditubuhkan bagi menyiasat insiden itu. - DPA

Terpulang kerajaan – Dr. M



DR. Mahathir Mohamad menyampaikan ucaptama pada Perhimpunan Melayu Bangkit di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam. – BERNAMA


KUALA TERENGGANU 14 Jun – Tahap kepuasan hati rakyat terhadap prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meningkat kepada 72 peratus mungkin boleh menjadi petunjuk bagi kerajaan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 dalam masa terdekat.
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, terpulang kepada kerajaan sama ada ingin mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat dengan mengambil kira kaji selidik yang dibuat Merdeka Centre.
“Alhamdullilah kalau dia (Najib) terima 72 peratus. Tapi ranking agensi itu kita nak kena tahu juga siapa mereka.
“Yang saya tahu semasa saya menang sehingga dua pertiga kerusi, kedudukan ranking saya 60 peratus saja. Tetapi kalau 72 peratus, kita harap boleh menang lebih daripada dua pertigalah. Boleh buat sekaranglah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau mengulas hasil kaji selidik agensi itu yang mendapati tahap kepuasan hati rakyat terhadap prestasi Perdana Menteri meningkat 72 peratus bulan lepas berbanding 69 peratus pada April lalu.
Bancian yang dijalankan dari 6 hingga 16 Mei itu menyaksikan tahap kepuasan hati paling tinggi dicatatkan oleh kaum India iaitu 80 peratus berbanding Melayu (77 peratus) dan 58 peratus oleh kaum Cina.
Peningkatan tahap kepuasan hati itu adalah yang tertinggi sejak Merdeka Centre menjalankan kaji selidik untuk meninjau populariti Najib sejak Mac tahun lalu, iaitu hanya 44 peratus ketika beliau mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada masa itu.
Menurut Merdeka Centre, sejumlah 1,028 rakyat Malaysia dibanci melalui telefon dan hampir separuh atau 47 peratus daripada responden terdiri daripada golongan tidak bekerja.
Ketika kajian itu dijalankan, beberapa peristiwa dalam negara turut mempengaruhi keputusan antaranya pilihan raya kecil Sibu, kes Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati oleh polis, pembatalan perhimpunan 13 Mei yang dianjurkan oleh Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) serta pengumuman lesen perjudian bola sepak.
Kajian juga menunjukkan sebanyak 50 peratus responden yakin bahawa Najib dapat mencapai sasarannya dalam tempoh dua tahun terhadap inisiatif yang dilakukan beliau iaitu gagasan 1Malaysia, Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi (MBE).
Menyentuh pembentangan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) oleh Najib baru-baru ini, Dr. Mahathir berkata ia sedikit sebanyak menepis tanggapan orang Melayu tentang kepentingan Melayu diketepikan dalam perancangan Model Baru Ekonomi (MBE).
“Saya belum meneliti RMK-10 ni, tetapi nampak dalam perancangannya masalah-masalah orang Melayu akan diberi perhatian oleh pihak kerajaan.
“Ini kerana MBE telah menerima kritikan daripada orang Melayu. Bukan daripada parti-parti pemerintah tetapi daripada badan bukan kerajaan (NGO) Melayu. Saya percaya kritikan ini telah diambil kira dalam RMK-10,” katanya.
Beliau juga menegaskan MBE bukan satu kesinambungan daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) tetapi perancangan RMK-10 yang diumumkan itu sebahagiannya mempunyai kesinambungan daripada DEB,” katanya.
Dr. Mahathir sebelum itu berucap lebih sejam pada Perhimpunan Melayu Bangkit anjuran Gertak di Stadium Negeri, di sini.
Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dan pengerusi Gertak, Razali Idris serta lebih 2,000 wakil pertubuhan bukan kerajaan. – BERNAMA

Dagang manusia: Kedudukan kita melonjak ke Tahap Dua



KUALA LUMPUR 14 Jun - Malaysia berupaya melaksanakan kempen memerangi pemerdagangan manusia berikutan komitmen dan sikap kepimpinan negara, termasuk Perdana Menteri yang mengakui mengenai kewujudan masalah tersebut.
Menurut Laporan Perdagangan Manusia yang dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat untuk tahun 2010, keadaan itu telah melonjakkan kedudukan Malaysia daripada Tahap Tiga sebelum ini kepada Tahap Dua.
Dengan mengakui mengenai kewujudan masalah itu, kerajaan Malaysia melalui pelbagai agensi meningkatkan penyiasatan dan pendakwaan terhadap mereka-mereka yang terlibat dalam kes-kes berkaitan.
Antara langkah yang diambil ialah meningkatkan bilangan pegawai terlatih di bawah undang-undang berkaitan, menjalankan kempen kesedaran awam, membuka tiga lagi pusat tahanan imigresen dan melancarkan pelan tindakan lima tahun.
"Kerjasama membanteras kegiatan itu turut dibantu usaha beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemantauan ke atas beberapa pegawai kerajaan yang dikatakan menerima rasuah," menurut laporan itu.
Kedudukan terbaru itu merupakan peningkatan berbanding kedudukan ketiga dalam laporan yang dikeluarkan bagi tahun 2009.
Dalam piawaian itu, setiap negara dikelaskan dalam tahap tertentu yang mana Tahap Pertamamerupakan tahap terbaik, manakala Tahap Ketiga dikelaskan tahap terburuk dengan anggapan kerajaan tidak serius menangani masalah itu.
Malaysia dikategorikan antara negara yang terlibat dalam perdagangan manusia yang melibatkan pendatang daripada negara-negara seperti Indonesia, India, Thailand, Nepal, China, Filipina dan sebagainya.
Menurut laporan itu, kebanyakan mereka yang bermigrasi untuk meningkatkan pendapatan dan kehidupan lebih baik terjebak dalam beberapa kes seperti pelacuran dan buruh paksaan selepas terikat dengan majikan mereka.
Laporan itu berkata, bagaimanapun, usaha pencegahan perlu dilaksanakan secara berterusan kerana masih banyak terdapat masalah pemerdagangan manusia berlaku di negara ini.
Maklumat lanjut tentang laporan tersebut boleh diperoleh di laman web http://www.state.gov.

Anwar dicabar buktikan dakwaan Ahli Parlimen ditawar RM2 juta



14/7
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bebas dari Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengemukakan bukti bahawa anggota-anggota Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah ditawarkan RM2 juta untuk lompat parti.
“Saya terdengar kat luar Yang Berhormat Permatang Pauh sebut tentang cabar yang melompat ini kononnya diberi RM2 juta, saya pula nak cabar Yang Berhormat kemukakan bukti…serta bukti 16 September.
“Saya minta penjelasan, dah dia cabar saya, saya cabarlah (dia),” katanya ketika mencelah perbahasan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) oleh Anwar (PKR-Permatang Pauh) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Anwar berkata beliau akan memberikan keterangan dan mendedahkan maklumat mengenai orang perantaraan yang menyediakan berjuta-juta ringgit kepada mereka yang melompat parti apabila tiba masanya.
“Tahniah…kereta baru, rumah elok…semua orang tahu, satu Pulau Pinang tahu, saya buat ucapan di luar tentang orang yang ambil wang ini, saya dah sebut di luar, saya akan keluarkan kenyataan mengenai orang perantaraan yang sediakan berjuta ringgit pada ketikanya nanti,” katanya.
Sementara itu, bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Zahrain berkata Anwar tidak perlu menunggu masa yang sesuai untuk membongkar dakwaan berkenaan kerana Parlimen adalah tempat terbaik untuk berbuat demikian.
“Tadi dia ada cakap pasal rumah baru, kereta baru…dia pun ada. Ini dah jadi macam politik kebudak-budakan. Sekarang saya nak dia kemukakan bukti, kalau tidak tutup mulut jangan cakap,” katanya.
Turut hadir, anggota konsensus Bebas yang lain iaitu Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai), Zulkifli Noordin (Kulim/Bandar Baharu dan Wee Choo Keong (Wangsa Maju).
Zahrain berkata jika gagal mengemukakan bukti, Anwar dianggap tidak layak menjadi Ketua Pembangkang dan wakil kepada rakyat. – BERNAMA
Sumber : Bharian.com.my