Friday, May 8, 2015

Datin Seri Dr Wan Azizah menang


Zoo Jepun Mohon Maaf Namakan Anak Monyet Sempena Puteri Charlotte


Diterbitkan: Khamis, 7 Mei 2015 1:36 PM
Pusat Zoologi Semulajadi Takasakiyama di barat daya Jepun.

TOKYO: Sebuah zoo di barat daya Jepun membuat permohonan maaf selepas dikecam kerana menamakan anak monyet dengan nama Charlotte, yang dikatakan tidak menghormati puteri pasangan diraja Britain, Putera William dan Kate Middleton.
Pusat Zoologi Semulajadi Takasakiyama yang terkenal dengan habitat monyet liar memohon maaf di laman webnya selepas tindakan itu mendapatkan kritikan orang ramai.
Japan Times melaporkan zoo yang menjadi lokasi tumpuan orang ramai itu sering mendapatkan nama pilihan orang ramai untuk monyet yang pertama dilahirkan setiap tahun.
Nama Charlotte dikatakan menduduki pilihan utama apabila memperoleh 59 daripada 853 undian, dengan Kei (nama sempena pemain tenis Jepun, Kei Nishikori) dan Elsa (watak utama filem animasi Disney, Frozen) turut dipertimbangkan.
Nama anak monyet itu mendapat inspirasi daripada Charlotte Elizabeth Diana, nama anak kedua Putera William dan isterinya, Kate. Puteri kepada pasangan diraja itu dilahirkan pada 2 Mei lalu.
Bagaimanapun, keputusan itu memakan diri apabila zoo berkenaan dihujani panggilan telefon dan emel yang mendesak supaya menarik balik nama tersebut.
Menurut pegawai zoo yang terletak di pulau Kyushu itu, pihaknya berbincang mengenai perkara tersebut sambil menambah bahawa mereka sedang mempertimbangkan untuk menamakan semula anak monyet tersebut.
Kyodo News turut melaporkan bahawa pengadu meminta pandangan orang ramai di Jepun mengenai respons mereka sekiranya sebuah zoo di Britain menamakan seekor haiwan dengan nama ahli keluarga empayar Jepun. - The Straits Times/Asia News Network

Hukuman Penjara Anwar Faktor Kemenangan - Wan Azizah


Diterbitkan: Jumaat, 8 Mei 2015 9:55 AM

BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui hukuman penjara terhadap suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi antara faktor kemenangannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh.
Malah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, kejayaan mempertahankan kerusi berkenaan juga membuktikan bahawa Anwar yang kini sedang menjalani hukuman penjara masih relevan.
"Ternyata pemenjaraan bermotifkan politik terhadap Anwar, menzahirkan simpati yang tinggi dan ianya adalah bukti bahawa beliau masih relevan kepada rakyat.
"Kemenangan ini, bukan hanya kemenangan PKR sahaja. Tetapi ianya adalah kemenangan rakyat, yang menentang kezaliman Barisan Nasional (BN) terhadap saudara Anwar Ibrahim dan ianya merupakan suatu referendum rakyat menolak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), penentangan terhadap rasuah dan salah guna kuasa," katanya di sini.
Beliau berkata demikian selepas diumumkan memenangi PRK Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti 8,841 undi selepas mendapat 30,310 undi.
Sementara itu calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin mendapat 21,475 undi manakala calon Bebas, Salleh Isahak (367) dan calon Parti Rakyat Malaysia (RPM), Azman Shah Othman (101).
Mengulas lanjut Dr Wan Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang berkata, beliau berpuas hati dengan peningkatan undi khususnya di kalangan pengundi Melayu.
"PRK kali ini menyaksikan peningkatan undi kepada PKR sekitar empat hingga lima peratus daripada kalangan masyarakat Melayu, khususnya anak-anak muda.
"Kemenangan hari ini adalah bukti bahawa rakyat, khususnya pengundi-pengundi di Permatang Pauh, mahukan sebuah Pakatan Rakyat yang kuat," katnya.
Sementara itu dalam nada sebak, Dr Wan Azizah turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi Permatang Pauh kerana menerima beliau untuk kembali berkhidmat di kawasan itu.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya, Anwar  hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah disabitkan kesalahan liwat dan sedang menjalani hukuman penjara lima tahun.

Tabung Haji perlu dipisahkan dari orang politik

Dr Maszlee Malik
Dr Maszlee Malik

SHAH ALAM – Kontroversi pembelian hartanah 1MDB oleh Lembaga Tabung Haji (TH) yang didedahkan hari ini adalah disebabkan penglibatan orang politik di dalam pentadbiran tertinggi TH itu sendiri.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik berkata, perkara itu berkait rapat dengan kedudukan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang merupakan ahli Parlimen Umno sebagai pengerusinya.

“Pelantikan orang politik sebagai Pengerusi TH hanya menimbulkan situasi 'conflict of interest' di dalam pentadbiran dan hala tuju LTH itu sendiri. Malah, kewujudan orang politik sebagai pengerusi TH akan hanya menimbulkan kesangsian dan keraguan para pencarum.

“Adalah tidak wajar bagi sesebuah institusi kewangan Islam yang memegang amanah para jemaah haji dari seluruh negara dipengerusikan oleh orang politik yang dilantik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Saya nafikan TH beli 2 unit, bukannya...]

Dr Maszlee yang juga Presiden Academic Staff Association (ASA) berkata, pengerusi TH itu akan dilihat sebagai mewakili kepentingan parti yang diwakilinya berbanding kepentingan para pencarum.

“TH sepatutnya dipengerusikan oleh tokoh-tokoh korporat berjiwa Islamik, bebas politik, yang telah terbukti kemampuannya dan mempunyai rekod yang diperakui oleh semua pihak,” katanya.

Isu membabitkan Lembaga Tabung Haji menjadi kontroversi apabila dikatakan terlibat dengan pembelian meragukan dalam 1MDB , namun dinafikan oleh pihak TH dalam satu sidang media hari ini.

Militan IS buka hotel mewah?

KUMPULAN militan IS didakwa membuka sebuah hotel mewah di bandar kedua terbesar di Iraq - Mosul kepada ahli kumpulan ekstrimis berkenaan.

Beberapa keping gambar yang dimuatnaik di mikro Twitter kumpulan itu menunjukkan kemudahan hotel berkenaan yang dilengkapi 262 bilik, dua restoran, dua dewan, kolam renang, gimnasium dan bendera IS turut menghiasi depan hotel berkenaan.

Hotel berkenaan dipercayai Ninawa International Hotel pernah mendapat komen positif di laman Trip Advisor sebelum ia diambil alih oleh kumpulan itu.

Akuan Twitter milik IS turut mempromosikan pembukaan hotel berkenaan pada 1 Mei lalu di mana kehadiran adalah percuma kepada masyarakat Muslim.

Gambar menunjukkan ramai pengunjung berkumpul di kolam renang semasa pembukaan tersebut dan turut dihiasi persembahan bunga api.

Memetik laporan The Indepedent, penyebaran gambar itu dilihat sebagai propaganda kumpulan itu untuk menarik minat anak muda lelaki mahupun wanita untuk menyertai kumpulan itu.

Sementara itu, penyelidik badan Quilliam, Charlie Winter berkata, tujuan kumpulan itu adalah untuk menunjukkan kekuatan mereka tidak terjejas selepas serangan bom di bandar Mosul oleh Amerika Syarikat

"Ia adalah mesej propaganda yang mengambarkan bahawa serangan yang dilakukan itu tidak mendatangkan kerosakan kerana dapat menganjurkan pembukaan hotel.

Khidmat risikan Kanada diberi kuasa lebih besar

Stephen Harper
Stephen Harper

OTTAWA - KANADA. Ahli Parlimen Kanada, kelmarin, meluluskan undang-undang kontroversi yang memberi kuasa secara meluas kepada agensi risikan negara tersebut.

Rang undang-undang C-51 tersebut membolehkan perkhidmatan perisikan negara terbabit beroperasi di luar negara.

Menurut laporan Press TV, kandungan rang undang-undang yang disokong Perdana Menteri, Stephen Harper dan turut mendapat undian majoriti Dewan Rakyat itu pertama kali diumumkan pada Januari lalu.
Ia disifatkan sebagai undang-undang kontroversi kerana ia boleh menyebabkan mana-mana individu ditahan tanpa sebarang dakwaan dan memberi kuasa lebih besar kepada Perkhidmatan Risikan Keselamatan Kanada (CSIS).

Di bawah undang-undang itu, CSIS diberi kuasa untuk mengumpulkan maklumat dan melakukan pengintipan di luar negara.

Ia turut menerima kritikan banyak pihak kerana dianggap sebagai satu perlanggaran hak asasi manusia kerana tidak mempunyai fokus sebenar dan tiada pengawasan pihak sepatutnya.

Difahamkan, rang undang-undang itu dibentangkan susulan insiden serangan bersenjata yang dilancarkan oleh Michael Zehaf-Bibeau ke atas Tugu Peringatan Kebangsaan dan bangunan Parlimen di Ottawa yang turut meragut nyawa seorang tentera pada 22 Oktober lalu.

TH nafi beli Signature Tower (Fasa 2)


Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan membeli Signature Tower (Fasa 2) di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) seperti yang dilaporkan dalam sebuah blog.
Kebocoran maklumat melalui kertas cadangan tidak boleh dijadikan sebagai bukti keputusan muktamad pelaburan itu, kata Timbalan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Johan Abdullah dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Bagaimanapun, dalam kenyataan yang sama, Johan menjelaskan TH ada membuat pelaburan hartanah bagi pembangunan menara kediaman (hartanah) di TRX.
Ini, katanya, sejajar dengan strategi pelaburan hartanah TH yang menumpukan kepada sektor domestik.
"Pelaburan ini adalah keputusan komersial yang menepati selera risiko dan sudah melalui semua proses penilaian dalaman yang teliti.
"Pembelian hartanah pada harga RM188.5 juta itu adalah pada kadar diskaun berlandaskan nilai pasaran semasa dan sudah dinilai oleh sebuah badan penilai bebas profesional," kata Johan.
Cadangan pembangunan kediaman tersebut akan dibangunkan oleh anak syarikat TH, TH Properties Sdn Bhd, yang dijangka memberi pulangan positif kepada kumpulan pada masa hadapan.
Johan berkata, TH akan terus meneroka peluang pelaburan dalam pasaran domestik seperti yang digariskan dalam rangka kerja Peruntukan Aset Strategiknya. Bernama
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49324#sthash.BUKau1i0.dpuf

Lepas T/Haji.. Zakat, KWSP, Felda, Khazanah Pula? -Tuan Ibrahim.


Posted by Ibnu Hasyim



Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan, apakah selepas Lembaga Tabung Haji, Putrajaya akan menggunakan wang agensi lain untuk menyelamatkan 1MDB. – Gambar The Malaysian Insider, 7 Mei, 2015.

PAS mempersoalkan sama ada wang zakat pula akan digunakan bagi menyelamatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selepas pengesahan Lembaga Tabung Haji hari ini membeli tanah daripada syarikat bermasalah milik kerajaan itu.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan, apakah selepas Lembaga Tabung Haji, Putrajaya akan menggunakan wang agensi lain untuk menyelamatkan 1MDB.

"Apakah Lembaga Zakat, KWSP, Felda ataupun Khazanah akan digunakan untuk membeli aset yang dijual oleh kerajaan kepada 1MDB dengan harga murah pada harga yang lebih tinggi?" soal Tuan Ibrahim Tuan Man ‎dalam kenyataannya hari ini.

Bagi Pesuruhjaya PAS Pahang itu, kebimbangan yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin sebelum ini sudah berlaku.

"Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengotakan janjinya yang lalu untuk memastikan Putrajaya tidak patut terlibat untuk menyelamatkan 1MDB," katanya.

Beliau memetik kata-kata Muhyidin tiga bulan lalu:

"Kerajaan juga akan menanggung kerugian jika penstrukturan semula 1MDB melibatkan penjualan tanah TRX (Tun Razak Exchange) dan Bandar Malaysia yang diperolehi pada harga yang rendah daripada kerajaan dan hasil penjualan digunakan untuk membayar hutang syarikat."  Tuan Ibrahim mempersoalkan sama ada "kebimbangan" Muhyiddin sudah direalisasikan.

"Apakah beliau akan bertindak memihak kepada rakyat atau terus membisu seperti Najib?"  Ketua Pegawai Eksekutif TH hari ini mengakui lembaga itu membeli satu lot tanah di Tun Razak Ezchange (TRX) yang berharga RM188.5 juta, berpuluh kali ganda lebih tinggi dari harga yang dijual kerajaan kepada 1MDB.
"Dengan lubang RM42 bilion, 1MDB kini cuba mencairkan aset-aset yang diperolehinya untuk mendapatkan keuntungan.
"Dengan imej 1MDB yang sebegitu teruk sehingga gagalnya rancangan untuk IPO, siapakah lagi yang sanggup berurusan dengan mereka?" soal Tuan Ibrahim.

Kata Tuan Ibrahim, malangnya, penjual aset kepada 1MDB ialah kerajaan dan pembelinya pula ialah rakyat menerusi simpanan TH.  TH mengaku berurusan dengan 1MDB dalam pembelian tanah di TRX, iaitu salah satu projek pembangunan utama oleh 1MDB.

"Yang menyedihkan ialah gelagat Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang menafikan dakwaan awal apabila berita itu terledak.
"Apakah wajar TH berurusan dengan 1MDB yang sudah terkenal dengan masalah hutangnya?
"Ini masalahnya apabila jawatan Pengerusi TH merupakan lantikan politik, dan lantaran itu, mereka hilang sikap berdikari dan terpaksa akur dengan bos politik mereka," katanya.

Menurutnya, perkara yang paling busuk dalam isu ini ialah, yang menjual tanah TRX kepada 1MDB pada harga yang paling rendah ialah kerajaan, dan yang membeli semula tanah ini pada harga yang sangat tinggi daripada 1MDB ialah rakyat melalui caruman di Tabung Haji.

"Ini model perniagaan mudah untuk 1MDB – bapa jual pada anak pada harga murah, lepas itu memaksa menantu beli pada harga tinggi. Ke mana duit untung ini akan berakhir di 1MDB?" katanya. – 7 Mei, 2015. (TMI)
http://www.ibnuhasyim.com/