Saturday, June 20, 2015

Masyarakat Uighur dilarang berpuasa

Masyarakat Uighur dilarang berpuasa
Penduduk Uighur diharamkan berpuasa dan terlibat dalam aktiviti kegamaan sepanjang Ramadan.

BEIJING - CHINA. Kerajaan China didakwa melarang guru, pelajar dan kakitangan awam Islam di wilayah Xinjiang berpuasa, sebagai sebahagian daripada tindakan keras ke atas masyarakat Uighur pada permulaan bulan Ramadan.

"Tempat kerja perkhidmatan makanan akan beroperasi seperti biasa ketika Ramadan," menurut notis Pentadbiran Makanan dan Dadah di daerah Xinjiang Jinghe yang disiarkan di laman webnya.

Menurut notis itu lagi, penduduk Islam di wilayah itu juga tidak dibenarkan terlibat dalam sebarang aktiviti keagamaan dan berjaga di tengah malam untuk beribadah sepanjang Ramadan ini.

Kumpulan hak asasi manusia difahamkan telah membuat aduan sejak sekian lama berhubung peraturan kerajaan yang dianggap hanya membawa kepada peningkatan ketegangan di Xinjiang.

Jurucakap Kongres Dunia Uighur, Dilxat Rexit berkata, matlamat China dalam mengharamkan puasa adalah untuk membuang etnik minoriti itu secara paksa dari budaya masyarakat Islam mereka pada bulan Ramadan.

Pegawai kerajaan memaklumkan, tindakan keras yang dilaksanakan terhadap komuniti Uighur adalah kerana sebab keselamatan dan pihak berkuasa dikatakan berhadapan dengan ancaman pengganas di rantau terbabit. - Press TV

Lelaki putus cinta jual separuh harta

Lelaki putus cinta jual separuh harta
Antara barangan yang dipotong Der Juli dan dijual di laman eBay.

SEORANG lelaki warganegara Jerman membuat keputusan untuk menjual separuh harta kepunyaan bersamanya dengan bekas isteri dengan cara paling ekstrim.

Lelaki tersebut, yang hanya dikenali sebagai Der Juli juga telah memuatnaik sebuah video berbahasa Jerman bertajuk 'Untuk Laura' yang menunjukkan seorang lelaki memotong pelbagai barangan.

Antara barangan yang menjadi 'mangsa potong' Der Juli adalah perabot, televisyen, laptop jenis Macbook, telefon bimbit jenis iPhone dan yang paling mengejutkan, sebuah kereta jenama Opel.

'Separuh' barangan tersebut kemudian dijual di laman sesawang eBay.de dimana laptop 'separuh' tersebut dijual pada harga £9.50 (RM40.02).

Video berkenaan yang dimuatnaik pada 16 Jun lepas diakhiri dengan kata-kata "Terima kasih untuk 12 tahun yang 'indah' Laura! Anda berhak ke atas separuh (harta),"

Sehingga kini, seramai 1,116,747 pelayar laman Youtube sudah menonton video berkenaan dan majoriti dari mereka bersimpati dengan nasib Der Juli.

Menurut seorang pelayar yang bertindak menterjermahkan video tersebut, Der Juli menceraikan isterinya selepas mendapati isterinya curang bersama rakan sepejabat.

"Penceraian boleh membuat lelaki menjadi gila, (tetapi) perkahwinan juga tidak jauh berbeza. Siapa yang patut dipersalahkan?" kata John Connor.

"Di Singapura, jika suami berjaya tangkap isteri curang dengan lelaki lain, suami tersebut terpaksa membahagikan hartanya kepada isteri (selepas bercerai)," kata Tarui.

Aplikasi WhatsApp tidak selamat?


WhatsApp berada di kedudukan paling teruk bagi aplikasi atau perisian
WhatsApp berada di kedudukan paling teruk bagi aplikasi atau perisian yang melindungi data pengguna daripada diintip kerajaan. AGENSI
LONDON 19 Jun – Sebuah pertubuhan yang menjalankan kajian berhubung pengintipan Internet mendedahkan, aplikasi perkhidmatan mesej, WhatsApp berada di kedudukan paling teruk bagi aplikasi atau perisian yang melindungi data pengguna daripada diintip kerajaan.
Selain WhatsApp, kumpulan itu turut mengajak orang ramai menjauhkan diri daripada menggunakan enjin carian Google dan perisian Microsoft, sebaliknya memilih untuk menggunakan peranti Apple dan aplikasi Dropbox.
Hampir setiap ciri WhatsApp dikritik oleh Yayasan Sempadan Elektronik dalam laporannya bertajuk Who Has Your Back? dengan menyenaraikan aplikasi itu sebaris dengan syarikat teknologi AT&T.
Meskipun WhatsApp dimiliki Facebook, aplikasi itu dinilaikan berbeza daripada laman sosial tersebut kerana WhatsApp berkeupayaan memberikan maklumat kepada kerajaan sekiranya diperlukan.
Ini merupakan kali pertama WhatsApp tersenarai dalam laporan yayasan itu, lapor portal independent.co.uk.
“Walaupun Yayasan Sempadan Elektronik memberi syarikat itu tempoh setahun sebagai persediaan untuk dimasukkan dalam laporannya, mereka tidak mengguna pakai amalan terbaik yang kami kenal pasti sebagai sebahagian daripada laporan terbabit,’’ kata yayasan tersebut dalam satu kenyataan.
Apple merupakan satu-satunya daripada beberapa syarikat yang mendapat kelulusan tentang semua lima kriteria yang ditetapkan yayasan terbabit diikuti Dropbox, Adobe, Wikimedia, WordPress, dan Yahoo yang mendapat markah penuh dari yayasan tersebut.
Laporan itu meletakkan lima kriteria kepada syarikat teknologi iaitu sama ada mereka mengikut amalan terbaik untuk keselamatan data, memberitahu pengguna apabila kerajaan memerlukan data, terbuka tentang dasar tentang pengekalan data, mendedahkan apabila kerajaan meminta supaya kandungan dibuang, dan secara terbuka menentang jalan lain yang membolehkan kerajaan mendapat akses mudah kepada data tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/aplikasi-whatsapp-tidak-selamat-1.104945#sthash.cIGVcvj9.dpuf