Tuesday, October 27, 2015

'Kroni dapat RM8 bilion bina hospital RM600 juta’


Rafizi Ramli (PKR-Pandan) hari ini mendakwa kerajaan pada peringkat menganugerahkan seorang tokoh usahawan yang dikaitkan dengan Umno sebanyak RM8.2 bilion bagi pembinaan projek hospital yang hanya bernilai RM599 juta.

Rafizi memaklumkan Dewan Rakyat, bahawa 'hospital super' yang dicadangkan di kampus Universiti Teknolog Mara (UiTM) Puncak Alam.


"Adakah benar bahawa kerajaan akan menganugerahkan projek penswastaan hospital di UiTM Puncak Alam kepada syarikat ini?

"Perjanjian konsesi membabitkan pembinaan sebuah hospital yang berharga RM599 juta sahaja. Tetapi melalui perjanjian itu, kerajaan sebaliknya terpaksa membayar RM8.2 bilion," dakwanya.

Rafizi membuat dakwaan ketika membahaskan Bajet 2016 di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara menunggu jawapan rasmi, Malaysiakini tidak akan menyiarkan nama usahawan dan syarikat yang terbabit.

Syarikat itu juga, kata Rafizi, terbabit dalam penswastaan UiTM Shah Alam.

Ia juga dikatakan sedang disaman oleh seorang kontraktor berhubung projek di universiti itu.

Pembangkang Atau BN - Tanya Amanah Kepada PAS



Diterbitkan: Selasa, 27 Oktober 2015 6:09 PM
Khalid Samad.

KUALA LUMPUR: PAS perlu menjelaskan jika parti Islam itu mahu kekal sebagai parti pembangkang atau memihak kepada Barisan Nasional (BN).
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Samad berkata walaupun PAS ada hak untuk memilih dengan siapa mereka mahu bekerjasama, parti itu harus menyatakan dengan jelas hala tuju politik mereka.
"Mereka perlu menyatakan hala tuju parti, sama ada mereka mahu perubahan dalam kerajaan atau kekal dalam pembangkang dan pada masa sama mempertahankan Barisan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen pada Selasa.
Beliau berkata PAS perlu memberikan gambaran jelas mengenai hala tuju parti itu supaya pengundi boleh membuat pilihan tepat pada pilihan raya.
Khalid Samad mendakwa PAS cuba meraih undi sebagai parti pembangkang tetapi akhirnya menyokong kerajaan.
Timbalan Ketua Whip Parti Keadilan Rakyat (PKR) Abdullah Sani Abdul Hamid berkata PAS tidak konsisten dalam perkara itu.
"Mereka tidak konsisten walaupun dalam hala tuju politik mereka sendiri," katanya.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Loke Siew Fook hanya mahu mengucapkan 'selamat maju jaya' kepada PAS dalam usaha mereka.
Pemimpin Pakatan Rakyat diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu sedia menjalin kerjasama dengan Barisan demi kebaikan bersama.

Najib Dan Ku Nan Berjaya Gantung Prosiding Kes Saman PKR


Diterbitkan: Selasa, 27 Oktober 2015 1:22 PM
Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Selasa berjaya menggantung prosiding kes saman oleh PKR atas dakwaan berbelanja berlebihan dalam kempen pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membenarkan permohonan Najib dan Tengku Adnan serta memutuskan terdapat keadaan khas bagi membolehkan kedua-dua defendan menggantung prosiding itu sehingga permohonan mereka untuk membatalkan saman itu selesai.

Beliau berkata jika permohonan untuk menggantung prosiding itu tidak dibenarkan, ia akan menyebabkan prejudis kepada Najib dan Tengku Adnan kerana mereka dikehendaki membekalkan dokumen berkaitan kes itu kepada plaintif.

"Jika dokumen-dokumen itu diserahkan kepada plaintif-plaintif dan sekiranya permohonan defendan-defendan (Najib dan Tengku Adnan) untuk membatalkan writ saman dibenarkan, mahkamah dapati ia akan prejudiskan mereka," katanya.

Mohd Zaki berkata plaintif-plaintif bagaimanapun tidak akan mengalami prejudis sekiranya mahkamah membenarkan permohonan Najib dan Tengku Adnan kerana mereka boleh mendapatkan dokumen berkaitan kes itu kemudian, jika mahkamah tidak membenarkan permohonan membatalkan saman itu.

Mohd Zaki menetapkan 11 November sebagai tarikh akhir untuk pengurusan kes bagi membolehkan semua pihak memfailkan afidavit berhubung kes itu.

"Kalau boleh saya tidak mahu kes ini dilambatkan,' katanya.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Tengku Adnan juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa arahan daripada anak guamnya juga supaya menyegerakan kes itu.

Pada 12 Ogos lepas, PKR memfailkan saman terhadap Najib atas dakwaan berbelanja berlebihan dalam kempen PRU ke-13 dan melanggar undang-undang pilihan raya.

Plaintif dalam saman itu ialah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana sabitan kes liwat, Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Anggota Parlimen Batu Tian Chua, bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan anggota Gerakan Harapan Baru Dr Dzulkefly Ahmad.

Mereka menamakan Najib, Tengku Adnan, firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai defendan.

Pakatan Harapan Parti 'Bas Ekspres' - PAS


Diterbitkan: Selasa, 27 Oktober 2015 2:26 PM

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan Pakatan Harapan sebagai sebuah parti 'bas ekspres' yang tidak mungkin mencapai matlamat dalam membela rakyat di negara ini.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan PAS tidak akan  berkompromi dengan Pakatan Harapan malah akan terus menjadi sebuah parti pembangkang yang berpegang teguh kepada prinsip sebuah parti berteraskan Islam.
"PAS tidak akan menyertai sebarang rangka yang tidak berteraskan Islam kerana kami tidak mungkin naik bas ekspres yang tidak sampai destinasi yang hendak dituju, lepas itu kena jalan kaki.
"Kami mahu proses demokrasi yang beradab serta berakhlak dan tidak melupai konsep Raja Berperlembagaan malah pada masa sama mesti memelihara hubungan masyarakat majmuk," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Selasa.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada September lepas mengumumkan bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bersetuju menubuhkan pakatan pembangkang baharu dikenali sebagai Pakatan Harapan.
Abdul Hadi juga yakin PAS yang selama ini bersendirian akan terus berjuang sebagai sebuah parti yang memberi harapan kepada rakyat.
"Kami tidak punyai (harapan) dengan (Pakatan) Harapan, kami akan sampai ke destinasi yang kami mahukan. PAS tidak bergantung kepada mana-mana parti, yang bergantung itu parti lain," kata anggota Parlimen Marang itu.
Bagaimanapun, katanya PAS tidak bongkak dengan kekuatan yang dimiliki parti berusia 64 tahun itu sebaliknya sedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk Barisan Nasional (BN), DAP dan PKR dalam semua perkara demi kepentingan rakyat.
"Kerjasama ini adalah kerana PAS lebih memelihara hubungan dengan rakyat bukan sahaja dengan anggota Parlimen. Kami sedia berbahas di Parlimen atau bertemu dengan pihak kerajaan dengan mengetengahkan pelbagai alternatif yang mementingkan hak rakyat," katanya.

Pas Ulangi Pendirian Bekerjasama Dengan BN


Diterbitkan: Selasa, 27 Oktober 2015 3:26 PM

KUALA LUMPUR: PAS sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk menjalinkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) demi kepentingan rakyat.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagaimanapun menegaskan bahawa parti itu tidak berhasrat untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan parti pemerintah itu.
"Kita sedia bertemu kerajaan. Ini sikap kita sebagai parti pembangkang kerana kita mahu pelihara hubungan rakyat.
"Bukan satu step (langkah permulaan) sudah banyak step kita sertai kerajaan campuran...masuk BN keluar BN.
"PAS bekerjasama dengan perkara baik, tak kerjasama dengan perkara yang tak baik," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini, Selasa.
Selain itu Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, PAS memilih untuk tidak bertindak secara agresif dalam berhadapan musuh politiknya.
"PAS akan terus menjadi pembangkang dan tidak akan sesekali menyertai BN. PAS akan menjadi pembangkang yang menerang bukan menyerang. Itu pendekatan yang kita ambil,” katanya.
Ditanya sama ada PAS sedia bekerjasama dengan kumpulan serpihan PAS iaitu Parti Amanah Negara (Amanah), Abdul Hadi bagaimanapun menolak sebarang usaha ke arah itu.
"PAS tak akan menyertai sebarang langkah yang tidak berteraskan Islam dan tidak mencapai matlamat.
"Kita tidak ada harapan dengan Harapan yang tak sampai destinasi. Bas ekpress nak pergi kuantan, tapi tersekat tengah jalan di Kuala Lipis," katanya.

Malaysia Akan Terus Bantu Indonesia Padam Kebakaran


Diterbitkan: Selasa, 27 Oktober 2015 4:03 PM

KANGAR: Kerajaan Malaysia akan terus membantu Indonesia untuk memadam api kebakaran di negara itu bagi membantu mengatasi masalah jerebu yang melanda rantau ini termasuk Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, kerajaan kini menunggu kelulusan daripada Wisma Putra dan pihak tentera untuk penghantaran kapal terbang penyembur air bagi kerja-kerja memadam kebakaran berkenaan.
Penghantaran kali ini akan melibatkan dua kapal terbang penyembur air ke sana, kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Maqasid Syariah Peringkat Kebangsaan di Dewan Warisan di sini, Selasa.
Menurut Shahidan, tempoh penghantaran kapal terbang penyembur air ke Indonesia akan mengambil kira perkembangan semasa apabila berlaku perubahan cuaca yang membawa hujan lebat.
Mengenai kedatangan musim hujan, beliau berkata persiapan sudah dilakukan untuk menggerakkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir terutama di negeri-negeri pantai timur dan sebahagian Sarawak.
Menurut beliau, skreateriat bantuan berkenaan dipindahkan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) namun MKN akan terus membantu mana-mana negeri yang lebih terdedah dengan malapetaka banjir.
Semasa berucap merasmikan seminar berkenaan, Shahidan berkata kerajaan juga akan memberi penekanan menyedarkan mangsa-mangsa banjir jangan lupa tanggungjawab mereka kepada agama walaupun ditimpa musibah.
Sementara itu Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin memberitahu seminar dua hari itu melibatkan 350 peserta dari seluruh negara dengan pembentangan enam kertas kerja.

PM Jawab Isu RM2.6 Bilion Pada Persidangan Kali Ini - Peguam


Diterbitkan: Selasa, 27 Oktober 2015 3:03 PM
Datuk Seri Najib Tun Razak

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan akan menjawab soalan mengenai wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi beliau pada sesi persidangan Dewan Rakyat.

Peguamnya Datuk Hafarizam Harun pada Selasa berkata, satu tarikh awal akan diminta daripada Mahkamah Tinggi untuk mendengar permintaan perdana menteri untuk membatalkan saman berhubung dana itu.

Katanya, beliau tidak mahu jawapan Najib di Parlimen meninggalkan kesan kepada perbicaraan itu nanti.

“Saya minta tarikh pengurusan kes awal dan tarikh perbicaraan awal kerana perdana menteri dijadualkan menjawab soalan mengenai RM2.6 bilion di Parlimen dan saya tidak mahu jawapan di Parlimen mempunyai pengaruh terhadap perbicaraan di sini dan begitu juga sebaliknya.

“Apa sahaja yang dihujahkan di sini tidak akan dibangkitkan di Parlimen apabila perdana menteri menjawab soalan mengenai wang RM2.6 bilion itu,” beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita di mahkamah, Selasa.

Hafarizam mahu mahkamah menetapkan 4 November sebagai tarikh pengurusan kes, tetapi peguam plaintif, Michelle Kumar, memohon tarikh itu ditangguhkan dan ia dipersetujui Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab.

Selepas prosiding mahkamah, Hafarizam berkata anak guamnya akan menjawab berkenaan RM2.6 bilion itu di Parlimen, justeru beliau mahu saman itu dibatalkan sebelum berbuat demikian.

"Saya mahu pembatalan saman itu dilakukan supaya apabila PM menjawab di Parlimen, kes ini bebas daripada perbahasan kehakiman, yang ada cuma perbahasan politik atau parlimen.

"Jadi, arahan saya ialah supaya permohonan ini dibuat secepat mungkin," katanya.

Mahkamah Tinggi telah menetapkan 11 November bagi pengurusan kes akhir bagi semua pihak terlibat memfailkan afidavit balas dalam saman terhadap Najib, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Saman sivil itu difailkan PKR, memohon keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dibatalkan oleh mahkamah atas dakwaan kesalahan pilihan raya yang dilakukan Najib susulan pemindahan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya.

Dana itu dipindahkan menerusi beberapa syarikat berkaitan 1MDB, dengan sebahagian besar darinya dipindahkan sebelum PRU13 pada Mei 2013.

Malaysia Negara Ke-5 Paling Mahal Untuk Mendapatkan Pendidikan Tinggi


Diterbitkan: Selasa, 27 Oktober 2015 10:45 AM
- Gambar hiasan

PETALING JAYA: Malaysia disenaraikan sebagai negara kelima paling mahal untuk mendapatkan pendidikan universiti berdasarkan pendapatan isi rumah.

Purata ibu bapa yang bekerja di Malaysia menghabiskan 55 peratus dari gaji mereka untuk setiap orang anak bagi melengkapkan pengajian di peringkat tinggi, menurut Expert Market yang berpangkalan di London.

Kajiannya terhadap 40 buah negara dibuat berdasarkan yuran pengajian yang disenaraikan dalam Quacquerelli Symmonds Top Universities untuk tahun akademik 2014/2015 dan Pendapatan Gallup Median Self-Reported 2013.

Negara yang paling mahal untuk pendidikan universiti adalah Hungary, yang merupakan salah sebuah daripada negara dengan pendapatan isi rumah terendah.

Ibu bapa di sana perlu menggunakan sehingga 92 peratus daripada gaji hanya untuk membiayai ijazah anak mereka.

Negara-negara lain 'di hadapan' Malaysia dalam senarai adalah Romania, di mana ibu bapa menghabiskan 86 peratus daripada gaji mereka untuk tujuan itu, Romania (86 peratus), Estonia (76 peratus) dan Chile (73 peratus).

"Menariknya, Britain merupakan salah sebuah daripada negara di Eropah yang mengenakan sebilangan kecil yuran pengajian. Norway, Greece, Poland dan Ireland adalah antara beberapa negara Kesatuan Eropah yang menawarkan ijazah percuma secara keseluruhan," kata Expert Market.

Ironinya, kaji selidik itu menunjukkan bahawa Malaysia mencatatkan kos yuran pengajian paling rendah antara '10 tempat paling mahal untuk menghantar anak-anak ke universiti' pada kos £11,875 (RM76,925).

"Negara ini mempunyai kira-kira 20 universiti dan yurannya adalah kompetitif berbanding dengan negara lain di dunia.

"Walau bagaimanapun, bagi dalam negara, gaji purata masih hanya RM2,052 sebulan," kata Business Insider Malaysia, yang merupakan sebuah laman web berita perniagaan dan teknologi.

"Ini bermakna tanpa biasiswa atau pinjaman, ibu bapa akan kehilangan lebih dari separuh gaji mereka untuk yuran pengajian," katanya.

Mana RM2.6b?: Kenapa saya tak bangun?


RAZIATUL HANUM A.RAJAK
25 OKTOBER 2015
Share on facebookShare on twitterShare on google_plusone_shareMore Sharing Services
10
Nik Abduh Nik Abdul Aziz Nik Abduh. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Pas, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz menegaskan beliau tetap protes kepada BN meskipun tidak turut bangun bersama PKR, DAP dan Amanah di Parlimen sambil mengangkat poster 'Mana RM 2.6b?'.

Menurutnya, dalam duduk, berdiri mahupun rebah, beliau tetap menentang Bajet 2016 yang disifatkan sebagai 'bajet panadol'.

"Ramai desak saya, mengapa tak turut bangun tanya 'Mana RM 2.6b?'. Saya jawab, kerana semua di hadapan saya bangun berdiri puji PM sambil angkat buku bajet.

"Saya pun duduk, protes 'bajet panadol' yang takkan berjaya. Saya protes BN dalam duduk, berdiri dan dalam rebah pun," katanya melalui satu status di Facebook.

Jumaat lalu, barisan ahli Parlimen pembangkang mengangkat plakad 'mana RM 2.6 b?' selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selesai membentangkan Bajet 2016.

Namun, kelihatan ahli Parlimen Pas seperti Nik Abduh dan Nasruddin Hasan tidak menyertai barisan pembangkang mengangkat poster yang sama.

Sehubungan itu, Nik Abduh menjelaskan bahawa untuk menentang pengkhianat, beliau hanya perlu bersama ALLAH dan rakyat.

"Saya tak perlu bersama atau sama dengan sesiapa untuk menentang pengkhianat. Saya hanya perlu bersama rakyat selepas ALLAH," katanya.

Geeta kembali ke India selepas 13 tahun


New Delhi: Seorang wanita bisu dan pekak dari India yang tersesat serta terkandas selama 13 tahun di Pakistan selamat kembali ke negaranya hari ini .

Kisah Geeta, wanita beragama Hindu berusia 20-an menyentuh perasaan penduduk kedua-dua negara yang sudah lama bertelagah.


“Geeta tiba di New Delhi ditemani wakil Edhi Foundation," kata jurucakap Kementerian Luar India, Vikas Swarup, melalui Twitter.

Edhi Foundation ialah pertubuhan kebajikan di Pakistan yang menjaga Geetha.

Geeta berusia 11 atau 12 tahun ketika dia menyeberang sempadan yang dikawal ketat tentera ke Pakistan dan terkandas di negara itu kerana tidak boleh memberitahu siapa dirinya dan dia dari mana.

Dia diserahkan kepada rumah penjagaan kanak-kanak di Lahore dan diberi nama Fatima. Geeta yang kini berusia 20-an, kemudian dijaga pertubuhan kebajikan terbesar Pakistan, Edhi Foundation di Karachi. Malah nama Geeta itu diberi oleh kakitangan Edhi.

Difahamkan Geeta ditemui seorang diri tanpa dokumen pengenalan diri di atas kereta api dari India ke Lahore dan polis menyerahkannya kepada Edhi Foundation.

Kepulangannya ke India selepas dia mengenal pasti gambar sebuah keluarga di Bihar, India, yang dihantar pihak berkuasa India sebagai keluarganya,

Wanita itu akan menjalani ujian DNA sebelum diserahkan kepada keluarga berkenaan.

Geeta yajin keluarga dari Bihar itu adalah keluarganya dan menyimpan gambar itu sepanjang masa.

“Ini bapa dan ini adik lelaki saya,” katanya sambil menunjuk orang di dalam gambar berkenaan ketika ditemuramah di Karachi awal bulan ini, menggunakan bahasa isyarat.

Namun, timbul persoalan kerana keluarga di Bihar itu mendakwa anak perempuan mereka yang hilang sudah berkahwin dan mempunyai anak manakala Geeta masih kanak-kanak ketika ditemui di Lahore.

Menurut pihak berkuasa India, jika ujian DNA mendapati Geeta tiada hubungan dengan keluarga itu, dia akan dijaga institusi yang bersesuaian dan usaha mencari keluarganya akan diteruskan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 6:01 PM

Geeta ketika temuramah dengan media di lapangan terbang di Karachi, Pakistan, sebelum berlepas di New Delhi hari ini. - Foto AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/88358#sthash.RH1syMiU.dpuf