KUALA LUMPUR - Jabatan Audit Negara yakin ia dapat menyelesaikan siasatan terhadap akaun-akaun 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menjelang akhir tahun ini.
  
Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata jabatan itu telah menyelesaikan separuh daripada kerja yang diarahkan oleh kerajaan awal tahun ini.
  
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan laporan awal mengenai 1MDB kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di bangunan Parlimen hari ini.
  
"Terdapat banyak dokumen (untuk kami teliti), sesetengahnya telah diterima dan sesetengahnya belum lagi. Kami masih menunggu dokumen tertentu daripada 1MDB," katanya.
  
Beliau berkata 1MDB patut diberikan sedikit masa untuk menyerahkan dokumen berkenaan.

"Kami belum lagi selesai melakukan kerja kami dan kami sentiasa berhubung dengan mereka," katanya.
  
Ambrin berkata jabatan beliau pada masa sama meneliti perkara-perkara seperti urus niaga PetroSaudi, pembangunan Tun Razak Exchange dan transaksi tanah di Pulau Pinang.
  
Pada 4 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun-akaun 1MDB.
  
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, laporan Ketua Audit Negara akan diserahkan untuk pemeriksaan telus kepada PAC yang bersifat bipartisan sepenuhnya dan mencerminkan komposisi Parlimen.
  
"Jika terbukti ada salah laku, undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian," kata Najib dalam kenyataan itu. - Bernama