Tuesday, September 13, 2011

Filem Bukit Kepong berdasarkan sejarah sebenar - Jins



JINS Shamsuddin pada sidang akhbar khas mengenai filem Bukit Kepong di Studio Panca Delima, Hulu Kelang, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 12 Sept. - FilemBukit Kepong yang mengisahkan serangan komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong dibuat berdasarkan sejarah sebenar tragedi berdarah pada 23 Februari 1950 itu, bukannya mengikut perspektif UMNO seperti dituduh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.
Pengarahnya, Tan Sri Jins Shamsuddin berkata, beliau membuat penyelidikan rapi dengan menemu bual bekas anggota komunis yang terbabit dalam serangan itu, waris mangsa serta ahli keluarga terdekat Muhammad Indera, lelaki tempatan yang bersekongkol dengan pengganas komunis.
Justeru itu, beliau menolak kenyataan Mohamad atau Mat Sabu yang menganggap 200 anggota Pasukan Kompeni Keempat, Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh 25 anggota keselamatan serta ahli keluarga mereka dalam tragedi itu, ialah hero sebenar.
Pada masa sama, beliau menafikan dakwaan kononnya Muhammad Indera mengetuai operasi itu bagi 'mengajar' anggota keselamatan yang mabuk.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Mat Sabu bahawa filem ini dihasilkan berdasarkan perspektif UMNO hanya kerana saya ahli UMNO. Filem ini digarap berdasarkan fakta sejarah yang sebenar dan saya sendiri menetap di Pagoh, Johor selama setahun.
"Saya sendiri membuat penyelidikan dan hasil penyelidikan tersebut, faktanya langsung tidak bercanggah dengan apa yang diberikan oleh pihak polis. Malah, ahli keluarga Muhammad Indera sendiri datang berjumpa dengan saya bagi berbincang mengenai filem ini.
"Muhammad Indera terlibat secara langsung dalam serangan ini. Benar dia tidak membunuh dan ada menyuruh beberapa mangsa supaya melarikan diri tetapi hasil arahan dia yang menyebabkan 25 nyawa menjadi korban," katanya kepada pemberita di Studio Panca Delima di sini hari ini.
Beliau mengadakan sidang akhbar khas itu bagi mengulas kenyataan biadab Mat Sabu yang memperlekehkan pergorbanan anggota keselamatan dalam tragedi Bukit Kepong, sebaliknya mengagungkan pula pengganas komunis sebagai hero sebenar.
Mat Sabu semasa berceramah di Padang Menora, Tasik Gelugur dilaporkan berkata: "Dekat nak merdeka nanti, siarlah cerita mengenai Bukit Kepong. Bukit Kepong ini, polis yang mati polis British. Hat (yang) serang Bukit Kepong itulah pejuang kemerdekaan sebenar, yang serang itu Mat Indera.
"Jins Shamsuddin buat filem, Jins Shamsuddin ini orang UMNO. Cerita Bukit Kepong (yang dibuat Jins) hat serang itu pula jahat, hero yang mempertahan balai polis. Padahal Mat Indera yang mengetuai operasi itu akhirnya dihukum gantung."
Mengulas lanjut mengenai penyelidikannya, Jins berkata, berdasarkan keterangan daripada bekas anggota komunis, mereka mengesahkan bahawa operasi itu diketuai Mat Indera dan bekas guru agama tersebut yang bertanggungjawab mengarahkan serangan melalui tiupan trompet.
Tambahnya, operasi berkenaan juga dirancang dengan begitu rapi dan pengganas komunis sudah mula mengambil posisi dari atas Bukit Kepong sejak petang sebelum serangan bermula lagi.

Paip minyak meletup, 100 penduduk mati

NAIROBI: Kira-kira 100 orang maut apabila paip minyak meletup dan terbakar di kawasan miskin di ibu kota Kenya, semalam.
Kata komander polis kawasan, Thomas Atuti, “Kami sedang menunggu beg mayat.”
Letupan berlaku di kawasan perindustrian Lunga Lunga yang dikelilingi oleh kawasan setinggan Sinai yang padat.

Seorang penduduk, Joseph Mwego berkata, “Ada kebocoran di paip itu dan penduduk menadah minyak yang keluar.


“Kemudian terdengar satu letupan yang kuat, diikuti api besar dan asap tebal,” katanya. - AFP

Lakonan percuma Bachchan dalam The Great Gatsby


TOKOH veteran, Amitabh Bachchan.
TOKOH veteran, Amitabh Bachchan.

MUMBAI: Bintang Bollywood Amitabh Bachchan berkata, beliau akan berlakon secara percuma dalam filem Hollywood pertamanya arahan pengarah Baz Luhrmann yang diadaptasikan dari novel klasik 'The Great Gatsby'.

Pelakon berusia 68 tahun itu, dilaporkan menulis dalam blognya pada Ahad beliau akan membuat kemunculan seperti dalam filem berkenaan yang turut dibintangi oleh Leonardo DiCaprio, Tobey Maguire dan Carey Mulligan.
Watak yang akan dilakonkan Bachchan, Meyer Wolfsheim, adalah bayangan tokoh jenayah berkumpulan yang membantu jutawan misteri, Jay Gatsby membuat wang dalam novel tulisan F. Scott Fitzgerald pada tahun 1925.
Pelakon yang dikenali sebagai ‘Big B’ di kalangan berjuta peminatnya di India dan seluruh dunia berkata beliau bersetuju untuk terbabit dalam filem itu selepas Luhrmann, seorang peminat filem Bollywood melawat India tahun lalu.

“Beliau menghubungi bulan lalu dan bertanyakan jika saya mahu terbabit dalam peranan kecil dalam filemnya dan saya terus bersetuju. Ia adalah satu petanda baik. Saya menolak sebarang bayaran dalam filem ini juga,” tulis beliau dalam bigb.bigadda.com, yang juga komen pertamanya mengenai filem berkenaan.

Bachchan melawat Australia bulan lalu tetapi tidak mendedahkan tujuan kunjungannya. Pada Ahad beliau mendedahkan bahawa beliau berada di Sydney untuk membaca skrip awal bersama pelakon selain terbabit dalam raptai dandanan rambut dan kostum.

“Ia satu pengalaman menarik menjadi sebahagian daripada sistem mereka (Hollywood) dan memantau dengan teliti kerja mereka,” katanya.
Bachchan disifatkan sebagai seorang tokoh veteran dalam filem Hindi dan berlakon lebih 150 filem. Beliau dikenali kerana peranannya dalam filem tahun-tahun 1970-an seperti Sholay, Deewaar dan Don. – AFP