Tuesday, February 22, 2011

Islam 'dikurung' di pejabat agama: Hadi






ALOR SETAR - Pas mendakwa Islam di negara ini ’dikurung’ di pejabat agama, malah skopnya juga disempitkan demi mempertahankan sistem sekular warisan penjajah.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Islam hanya tertumpu kepada sembahyang, puasa, perkahwinan dan zakat, berbeza dengan pendekatan kepimpinan yang diamalkan Rasulullah SAW.

Menurutnya, selain menghakis Bahasa Melayu sebagai ‘jiwa’ bangsa, UMNO dan BN juga gagal mengurus ekonomi negara sehingga berlaku penyelarasan harga barangan yang bebankan rakyat.

“Kekayaan negara hanya berpusing dalam kalangan pemimpin atasan mereka sahaja dan tauke-tauke yang berkepentingan.

“Orang Melayu kena sedar, bila pilihan raya, tauke-tauke besar bagi duit kepada UMNO. Bila habis pilihan raya, harga barang diselaraskan sebab nak tolong tauke dia yang tolong dalam pilihan raya,” katanya sewaktu menyampaikan ceramah di hadapan kira-kira 30,000 rakyat di perkarangan Kompleks Pas, Kota Sarang Semut, dekat sini, malam kelmarin.

Turut serta berceramah pada malam kemuncak Himpunan 30K Dewan Pemuda Pas itu adalah Timbalannya, Nasharuddin Mat Isa; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abd Razak dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani.

Abdul Hadi turut mengingatkan UMNO agar mengambil iktibar dari kejatuhan pemerintah Tunisia dan Mesir akibat kebangkitan rakyat yang ditindas pemerintah.

“Rakyat ni umpama ’spring’, sekiranya orang yang tekan spring sudah tidak mampu menahannya, spring itu akan naik ke muka orang yang menekan dan mencederakannya.

“Sebelum UMNO dimalukan dengan kejatuhan sebegitu, mereka perlu beri padang sama rata kepada parti politik lain dalam pilihan raya, agar kejatuhan mereka lebih bermaruah,” katanya.

Abdul Hadi berkata sudah tiba masanya Pas menggantikan UMNO untuk memerintah negara ini.

Beliau mendakwa, parti itu terbukti tidak mampu membawa keadilan Islam untuk rakyat semua kaum dengan sistem penjajah yang diwarisi mereka.

“Lebih memburukkan keadaan, sistem sekular itu sendiri merosakkan Islam dan sebagai buktinya umat Islam di Malaysia masih lemah walaupun dipimpin orang Islam sejak negara beroleh kemerdekaan.

“Kelemahan itu disebabkan kepimpinan Malaysia ini mewarisi pemikiran penjajah barat, pemimpin negara tidak berperangai Islam, tidak boleh tolong orang Islam, tidak boleh tunjuk contoh baik kepada orang bukan Islam,” katanya.

Justeru, Abdul Hadi mahu jentera Pas bekerja kuat untuk memastikan Pakatan Rakyat (PR) menggantikan UMNO pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Pertahankan Kedah. Kalau Kedah dan Kelantan tidak diperkuatkan, hendak pergi Putrajaya macam mana?

“Jangan cakap sahaja hendak Putrajaya, kerja malas, daftar pengundi tak buat, ceramah datang berbatu-batu, tapi nama daftar pemilih tidak wujud,” katanya.

Sampainya hati ibu



PASIR GUDANG – Tiga beradik malang yang ditemui terkurung di dalam rumah mereka sendiri di Taman Chendana di sini bukan sahaja tidak terurus malah keadaan mereka, malah begitu kelaparan.

Setiap kali ibu mereka pergi ke tempat kerja, setiap kali itulah mereka akan terkurung di dalam rumah tanpa disediakan bekalan makanan.

Tetapi kali ini nasib anak-anak itu lebih malang apabila ibu mereka langsung tidak pulang menyebabkan mereka hampir kebulur.

Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, ibu ke kanak-kanak malang itu dikatakan mencari rezeki di sebuah stesen minyak untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Menurutnya, wanita tersebut yang merupakan ibu tunggal langsung tidak mengambil berat soal keselamatan anaknya yang ditinggalkan dalam keadaan rumah tidak terurus.

“Saya kerap melihat mereka bertiga ditinggalkan kelaparan dan pernah sebelum ini salah seorang daripada mereka memakan najisnya sendiri kerana terlalu lapar.

“Jiran ada membantu menghulurkan makanan kerana kasihan melihat tetapi ibunya akan mengamuk dan memukul anaknya jika mengetahui mengambil makanan daripada kami,” katanya.

Beliau turut mendakwa kerap melihat asap keluar dari rumah kanak-kanak yang dikurung itu kerana adik yang masih kecil bermain api, tetapi sempat dipadam.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Taman Cendana, Shamsul Bahrin Ibrahim berkata, ibu kanak-kanak itu adalah penerima bantuan perumahan Majlis Agama Islam Negeri Johor (Maij).

Menurutnya, pihaknya menerima aduan mengenai tiga kanak-kanak yang ditinggalkan sendirian sejak keluarga itu menetap di rumah pangsa itu tiga tahun lalu.

“Kita difahamkan kanak-kanak itu pernah dihantar ke pusat perlindungan kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini, tetapi diambil ibunya, kecuali anak sulungnya berumur 10 tahun masih di Rumah Anak Yatim Darul Hanan Pasir Gudang.

Menurutnya, hasil bantuan anggota polis dari Balai Polis Pasir Gudang, kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan dan dibawa ke balai polis untuk dihantar ke pusat perlindungan kanak-kanak JKM kerana keselamatan di tempat itu lebih terjamin.

Dalam pada itu, Pegawai JKM Daerah Johor Bahru, Mohd Faizal Abu Bakar berkata, kanak-kanak itu akan ditempatkan di wad selama semalaman untuk pemeriksaan perubatan sebelum dibawa ke mahkamah pada hari ini untuk mendapatkan perintah perlindungan siasatan selama 30 hari.

“Dalam tempoh 30 hari kanak-kanak itu akan dihantar ke Pusat Perlindungan Kanak-Kanak Juwita, Johor Bahru sebelum siasatan terhadap ibu dilakukan untuk mengenal pasti siapa layak menjaga mereka,” katanya.

Pemberontak Bahrain tuntut pemerintah baru

BAHRAIN
Berkhemah di dataran di ibu kota, disokong oleh mogok guru yang menyebabkan sekolah ditutup


MANAMA (Bahrain): Para pemberontak berkhemah di Dataran Mutiara di Manama semalam bagi menuntut satu pemerintah baru, dengan disokong satu mogok guru hingga sekolah-sekolah ditutup.
'Kami tidak akan mengajar hingga pemerintah dijatuhkan,' laung lebih 1,500 guru yang berhimpun di dataran di ibu kota Bahrain itu.Sehingga 10,000 penunjuk perasaan membanjiri Dataran Mutiara, di tengah-tengah pemberontakan yang sudah berlangsung seminggu.Pemberontakan itu diketuai kaum majoriti Syiah, yang menuntut suara lebih banyak dalam kerajaan yang diterajui kaum Sunni, yang merupakan sekutu rapat Amerika Syarikat dan Arab Saudi.'Pada mata rakyat pemerintah sudah pun jatuh,' kata seorang kakitangan sektor minyak pemerintah, Encik Amir Ahmed, 38 tahun.Pembangkang menuntut satu kerajaan berperlembagaan agar rakyat dapat memainkan peranan lebih besar dalam pemerintah yang dilantik. Mereka menuntut juga tahanan politik dibebaskan.Raja Hamad bin Isa al-Khalifa telah meminta anaknya, Putera Mahkota Sheikh Salman bin Hamad al- Khalifa, berunding dengan semua pihak, tetapi selepas berlaku pertumpahan darah di jalanan, parti-parti pembangkang mula sangsi.Seorang ketua pembangkang Syiah yang dibuang negeri, yang percubaannya menjatuhkan pemerintah sedang dibicarakan di Bahrain tanpa kehadirannya, berkata beliau akan pulang ke tanah airnya dari London hari ini, meningkatkan lagi taruhan dalam pertelingkahan antara pemerintah Bahrain dan para seterunya.Dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, pemimpin Gerakan Haq bagi Kebebasan dan Demokrasi itu, Encik Hassan Mushaimaa, berkata beliau ingin 'melihat jika kepimpinan itu serius mahu berdialog'.Gerakan itu mempertikai kesahan proses pembaharuan yang dilancarkan oleh raja negara itu sedekad lalu dan memulaukan pemungutan suara.Ia telah berpecah daripada pembangkang Syiah utama Bahrain, Wefaq, ketika parti itu menyertai satu pilihan raya parlimen pada 2006.Seorang penggubal undang-undang Wefaq berkata putera diraja harus menunjukkan tanda kesanggupannya menerima satu kerajaan yang benar-benar berperlembagaan sebagai permulaan bagi rundingan.Penunjuk perasaan di Dataran Mutiara sudah tidak sabar lagi mahu melihat pembaharuan.Tujuh orang maut dalam pertempuran berdarah dengan polis dan tentera sejak Isnin lepas.Beratus-ratus orang juga cedera.Walaupun Syiah membentuk sekitar 70 peratus penduduk Bahrain, mereka merupakan minoriti dalam parlimen yang mempunyai 40 kerusi.Hal ini, ditambah lagi dengan diskriminasi, menghalang mereka membuat keputusan dan menyukarkan mereka mendapatkan pekerjaan atau tempat tinggal.Namun, pemerintah menafikan ia tidak adil kepada kaum Syiah. -- Reuters.

Gunung berapi di Filipina meledak


FILIPINA
MANILA: Keluarga ini terpaksa 'menembusi' abu tebal apabila gunung berapi Bulusan, setinggi 1,559 meter, di bandar Irosin di wilayah Sorsogon, Filipina, meledak semalam. Ia memuntahkan abu yang menyelimuti seluruh bandar Irosin, yang didiami 46,000 orang.
Namun, belum ada laporan segera mengenai kerosakan dan kematian. Jurucakap pusat operasi pertahanan awam di bandar Legaspi, Cik Harriet Sayson, memberitahu agensi berita AFP jarak penglihatan begitu dekat dan pihaknya tidak dapat menghubungi para pegawai di sana.Menurut pakar gunung berapi Filipina, Encik Ramil Vaquilar, satu ledakan berlaku sekitar 9.12 pagi waktu tempatan tetapi tiada aktiviti besar dilihat sejak itu.Kali teakhir Bulusan meledak antara Mac dengan Jun 2006. -- AFP.

Rakyat tuntut raja Maghribi lepaskan sebahagian kuasa


BANTAHAN GOLONGAN MUDA: Encik Oussama el Khlifi, ketua sebuah kumpulan aktivis muda Mahgribi, Demokasi dan Kebebasan, memberi arahan semasa satu mogok duduk di sebelah parlimen negara itu di Rabat kelmarin. -- Foto AP


RABAT (Maghribi): Ribuan orang keluar ke jalan-jalan di Maghribi kelmarin menuntut Raja Mohammed melepaskan sebahagian kuasanya, menyingkirkan pemerintah dan bertegas terhadap rasuah.
Di Rabat, ada mengibar bendera Tunisia dan Mesir bagi mengiktiraf pemberontakan besar-besaran di dua negara itu. Sekurang-kurangnya 5,000 orang berarak di tengah ibu kota itu.Polis beruniform hanya melihat dari jauh tetapi pegawai berpakaian preman kelihatan berada di tengah- tengah orang ramai yang melaung 'rakyat tolak perlembagaan yang dibuat untuk hamba' dan 'jatuhkan autokrasi'.Ada menuntut pemerintah gabungan Perdana Menteri Abbas El Fassi letak jawatan.Sepanduk dan slogan yang dilaungkan tidak mengecam raja secara langsung, walaupun ada mengkritik firma yang keluarga raja pelabur terbesarnya.Maghribi salah satu sekutu Barat yang cenderung pada pembaharuan dan mempunyai ekonomi berkembang.Ia dilihat sebagai negara tidak begitu mudah terpengaruh oleh pergolakan dalam Dunia Arab, berbanding negara-negara jirannya.'Ini satu tunjuk perasaan aman bagi menuntut pembaharuan perlembagaan, memulihkan martabat serta menghentikan rasuah dan penyalahgunaan wang rakyat,' kata Encik Mustapha Muchtati daripada kumpulan Baraka, yang membantu menganjurkan perarakan bantahan itu.Selepas tunjuk perasaan itu, berlaku penjarahan yang penunjuk perasaan berkata tiada kena-mengena dengan bantahan itu.Agensi berita rasmi MAP melaporkan 'kejadian-kejadian terpencil' bangunan dibakar atau dilempar batu di Marrakesh, Larache, Tetouan and Al Hoceima.Tunjuk perasaan itu anjuran satu kumpulan Gerakan bagi Perubahan 20 Februari, yang telah menarik 20,000 pengikut di laman rangkaian sosial Facebook.Mereka disertai parti- parti pembangkang dan militan Berber.Bantahan berlaku juga di Marrakesh dan Casablanca, tempat 10,000 orang menunjuk perasaan, kata seorang anggota kumpulan penganjur itu, Encik Mohamed Al-Aouni. -- Reuters.

Tunisia minta ekstradisi Ben Ali



TUNIS 21 Feb. - Kerajaan sementara Tunisia, semalam meminta Arab Saudi mengekstradisi bekas Presiden Zine El Abidine Ben Ali ke negara ini bagi menghadapi pelbagai tuduhan baru ke atasnya.
Perdana Menteri, Mohamed Ghannouchi mengemukakan permintaan rasmi itu kepada Riyadh, menurut satu kenyataan Kementerian Luar yang disiarkan oleh agensi berita TAP.
Permohonan itu dibuat 'selepas beberapa tuduhan baru dikemukakan terhadap bekas Presiden Tunisia itu berhubung pembabitannya dalam beberapa jenayah berat', katanya.
Kerajaan sementara juga meminta maklumat dari Riyadh mengenai keadaan kesihatan Ben Ali, 74, berikutan laporan minggu ini yang melaporkan bahawa beliau mengalami koma akibat tekanan dan kini dirawat di sebuah hospital di Jeddah.
Sementara itu, Ghannouchi turut menghadapi demonstrasi baru, semalam termasuk protes yang dihadiri oleh 4,000 orang di tengah Tunis, yang menuntut beliau meletakkan jawatan.
"Kami menentang kerajaan Ghannouchi kerana dengan beliau, revolusi kami tidak mendatangkan sebarang faedah.
"Tidak ada perubahan kerana kerajaan sekarang adalah pasukan Ben Ali," kata seorang guru, Samia Mahfoudh. - AFP

Omar al-Bashir umum tidak tanding pilihan raya



KHARTOUM 21 Feb. - Presiden Sudan, Omar al-Bashir tidak akan bertanding semula pada pilihan raya akan datang, kata seorang pegawai daripada parti pimpinannya, Parti Kongres Kebangsaan (NCP), hari ini.
Pegawai itu, Rabie Abdul Ati juga menegaskan bahawa keputusan Bashir itu bukan kerana sebarang tekanan daripada gelombang bantahan yang kini menggegarkan negara-negara Arab.
''Saya boleh mengesahkan 100 peratus Bashir tidak akan bertanding pada pilihan raya akan datang. Beliau akan memberi peluang kepada personaliti lain untuk bertanding.
''Beliau tidak menerima sebarang tekanan. Keadaan ini tidak berada dalam konteks perubahan yang berlaku dalam dunia Arab. Ia berlaku kerana strategi politik NCP untuk meluaskan lagi penyertaan,'' katanya kepada AFP.
Bashir yang berkuasa selepas satu rampasan kuasa tentera pada 1989, menang pada pilihan raya pada April tahun lepas, walaupun menghadapi dakwaan daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas tuduhan terbabit melakukan jenayah perang dan pembunuhan kaum di Darfur. - AFP

Presiden Yemen tolak desakan letak jawatan



SANAA 21 Feb. - Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh, hari ini menolak tuntutan supaya beliau meletakkan jawatan, sebaliknya berikrar hanya kekalahan dalam pilihan raya akan memaksa beliau berundur.
Saleh menyifatkan protes meluas menentang rejimnya sebagai perbuatan provokasi yang tidak boleh diterima, meskipun beliau mengulangi seruan supaya rundingan diadakan dengan penunjuk perasaan.
"Jika mereka mahu saya meletakkan jawatan, saya akan berundur hanya dengan kekalahan di peti undi," kata Saleh pada satu sidang media di sini, sementara beribu-ribu penunjuk perasan termasuk ahli Parlimen pembangkang berhimpun di luar Universiti Sanaa untuk mendesak beliau berundur.
Selepas protes selama seminggu setengah yang telah meragut sembilan nyawa, Saleh berkata, beliau mengarahkan tentera menembak penunjuk perasaan 'hanya untuk mempertahankan diri'.
Saleh mendakwa mereka yang menentang kerajaannya tidak lebih daripada 200,000 orang berbanding kira-kira 25 juta penduduk Yemen.
Di BAHRAIN, penunjuk perasaan yang berkhemah di Dataran Mutiara, Manama hari ini menuntut sebuah kerajaan baru, dengan sokongan lebih 1,500 guru yang mogok sehingga memaksa banyak sekolah ditutup.
Di ALGERIA, Menteri Luarnya, Mourad Medelci berkata, protes antikerajaan yang menumbangkan Presiden di Tunisia dan Mesir tidak akan merebak ke Algeria sebagai sebahagian 'kesan domino' di seluruh Asia Barat. - AFP/AP/Reuters

Gaddafi akan patahkan protes



Sebahagian penunjuk perasaan membuat kekacauan semasa mengadakan tunjuk perasaan di Marrakech salah sebuah bandar di Maghribi kelmarin bagi menuntut pelaksanaan demokrasi yang lebih luas di negara itu. – AP


TRIPOLI 21 Feb. – Anak lelaki Muammar Gaddafi, Seif al-Islam berkata, bapanya akan bertindak mematahkan segala protes di negara ini yang disifatkan sebagai ‘komplot didalangi oleh pihak asing’.
“Kita bukan Tunisia dan Mesir. Pemimpin kita, Muammar Gaddafi mengetuai perjuangan di Tripoli dan kita bersama-samanya (Gaddafi),” kata Seif dalam ucapan di televisyen kerajaan, semalam.
Seif yang sebelum ini dipaparkan sebagai tokoh pembaharuan dalam rejim Libya, mengisytiharkan bapanya masih berkuasa dengan mendapat sokongan tentera dan akan ‘berjuang sehingga ke lelaki terakhir, wanita terakhir dan peluru terakhir’.
Seif berkata demikian selepas protes antikerajaan merebak ke ibu negara Libya, Tripoli dan penunjuk perasaan menguasai pangkalan tentera dan merampas senjata.
Dalam kenyataan pertama rejim mengenai demonstrasi di Libya, yang masuk hari keenam semalam, Seif turut memberi amaran kepada penunjuk perasaan, mereka boleh mencetuskan perang saudara yang akan ‘membakar’ kekayaan minyak Libya.
Ucapan itu menyusul daripada tindakan keras pasukan keselamatan yang melepaskan tembakan ke arah beribu-ribu penunjuk perasaan dan ke arah mereka yang berarak mengiringi jenazah di Benghazi, bandar raya kedua terbesar di Libya dalam siri keganasan yang meragut 60 nyawa dalam satu hari, semalam.
Sekurang-kurangnya 233 orang terbunuh sejak kekacauan itu tercetus sejak seminggu lalu, kata pegawai perubatan, pertubuhan hak asasi manusia dan penentang kerajaan dalam buangan.
Tindak balas kerajaan Libya adalah yang paling keras di kalangan negara-negara Arab yang digegarkan oleh protes yang setakat ini telah menyebabkan pemimpin veteran di Tunisia dan Mesir digulingkan.
Dalam ucapannya, Seif mengakui tentera melakukan kesilapan semasa protes kerana askar tidak dilatih untuk menangani penunjuk perasaan, tetapi beliau mendakwa angka kematian telah dibesar-besarkan, dan katanya, hanya 84 orang terkorban sebenarnya.
Seif juga berkata, beliau akan mengemukakan usul pembaharuan dalam masa beberapa hari lagi sebagai satu ‘inisiatif kebangsaan yang bersejarah’. – AFP

Penunjuk perasaan tawan beberapa bandar di Libya



22/02/2011 2:30am

KAHERAH 22 Feb. - Penunjuk perasaan ketika ini telah mengambil alih beberapa bandar di Libya manakala pasukan rejim juga dilihat sudah berpaling tadah terhadap pemerintahan Moamer Kadhafi yang dilaporkan telah melarikan diri dari negara ini.
Menurut Persekutuan Hak Asasi Manusia Antarabangsa (IFHR) yang berpengkalan di Paris, beberapa bandar termasuk Benghazi di sebelah timur Libya telah ditawan oleh penunjuk perasaan menentang rejim Kadhafi, 41, selepas pasukan keselamatan meninggalkan bandar-bandar tersebut. - AFP

Calon pilihan raya UM ditemui lemah di Bangi




MASTURAH (kiri) ditemani ibunya, Mariam pada sidang akhbar mengenai kehilangannya di UM, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Pelajar Universiti Malaya (UM), Masturah Abu Bakar, 22, yang hilang pada petang Sabtu lalu dijumpai awal pagi semalam dalam keadaan lemah di tepi jalan berdekatan sebuah masjid di Teras Jernang, Bangi.
Menurut ibunya, Mariam Abdul Rashid, 50, Masturah telah menghubunginya dengan meminjam telefon bimbit seorang pemilik kedai makan yang berada bersebelahan masjid di situ.
"Dia hanya panggil saya umi, umi, lepas itu saya suruh dia panggil pemilik telefon bimbit sebab Masturah seolah-olah tidak boleh bercakap lagi," katanya pada satu sidang akhbar di Akademi Pengajian Melayu UM di sini semalam.
Mariam memberitahu, selepas diberitahu oleh pemilik kedai makan itu mengenai lokasi Masturah berada, beliau sekeluarga terus menjemput anaknya di masjid berkenaan.
"Keadaan Masturah lemah dan tidak bermaya sebab tidak makan. Dia ditinggalkan di situ oleh seseorang selepas hilang sejak petang Sabtu lalu... dia anak yang baik dan saya percaya dia tidak buat perkara yang tidak betul," tambahnya.