Tuesday, February 4, 2014

Hanyut di lautan lebih setahun


ALBARENGO dibantu seorang jururawat lelaki semasa dia tiba di Majuro semalam.


MAJURO, Kepulauan Marshall - Seorang nelayan El Salvador yang terkandas di laut bersyukur kepada Tuhan kerana dia masih hidup sejurus tiba dengan sebuah bot polis di sini semalam setelah dia hanyut di atas bot lebih setahun.
Nelayan berusia 37 tahun itu, Jose Salvador Albarengo berkata, dia minum darah penyu dan menangkap ikan dan memakannya mentah- mentah serta burung dengan tangan kosong untuk terus hidup.
Albarengo memberitahu pemberita akhbar MailOnline, dia juga meminum air kencingnya sendiri kerana ketiadaan air bersih.
Albarengo ditemui dalam keadaan kusut masai dan berambut panjang di sebuah pulau terumbu karang dekat sini pada Khamis lalu. Dia dipercayai hanyut selama 16 bulan.
Dua orang lelaki menemuinya selepas bot Albarengo sepanjang 7.3 meter terdampar di pulau tersebut yang merupakan sebahagian daripada Kepulauan Ebon Atoll.
Dia kemudian dihantar ke sini dengan menaiki sebuah bot polis.
Wajah nelayan itu mirip aktor Tom Hanks yang berjambang semasa dia berlakon dalam filem Cast Away yang ditayangkan pada tahun 2000.
Dalam cerita itu, Hanks yang berlakon sebagai seorang kakitangan syarikat penghantar surat dan bungkusan, terdampar di sebuah pulau di Lautan Pasifik selepas pesawat yang dinaikinya terhempas.
Albarengo memberitahu pihak berkuasa, dia keluar belayar untuk menangkap ikan jerung pada penghujung Disember 2012 dari Mexico yang terletak sekitar 10,000 kilometer dari sini.
Namun, dia dan seorang rakannya yang berusia antara 15 hingga 18 tahun telah dihanyutkan ombak selepas bot yang dinaikinya ditiup angin dan mereka kemudiannya sesat di lautan.
Namun, rakannya itu telah meninggal dunia sebulan selepas mereka hanyut di lautan.
Seorang pembikin filem yang berpangkalan di sini, Jack Nieden- thal memberitahu agensi berita Reuters, Albarengo turun dari bot tersebut dengan mukanya dipenuhi janggut.
"Dia mengalami kesukaran untuk berjalan, kedua-dua kakinya amat kurus. Saya tidak bersedia untuk menganggap kisahnya itu sebagai satu penipuan," tambahya.
Seorang jururawat lelaki kemudian membantunya menuruni tangga bot tersebut sebelum membawanya ke hospital bagi menjalani rawatan.
"Dia sepatutnya keluar menangkap ikan selama sehari sahaja tetapi dihanyutkan ombak akibat tiupan angin utara," kata Duta Amerika Syarikat (AS) ke Kepulauan Marshall, Tom Armbruster kepada media.
Nelayan itu memberitahu Armbruster, dia berasal dari El Salva- dor tetapi telah menetap di Mexico selama 15 tahun.
Armbruster menjadi penterjamah kerana nelayan tersebut hanya boleh berbahasa Sepanyol.
Nelayan itu tinggal di Tapachula dekat sempadan Mexico dengan Guatemala dan bekerja untuk syarikat Camoronera Dela Costa.
Albarengo berkata, dia mahu menghubungi keluarganya iaitu isteri dan seorang anak perempuan- nya di El Salvador.
Namun begitu, dia tidak dapat mengingati nombor telefon rumahnya itu.
Edidor Marshall Islands Journal, Giff Johnson berkata, semasa ditemui dua orang penduduk, nela- yan tersebut hanya memakai sepasang seluar dalam.
Menurutnya, terdapat air di dalam bot gentian kaca yang dinaiki- nya itu.
Ketua Imigresen Kepulauan Marshall, Damien Jacklick berkata, pihak berkuasa akan berusaha untuk mendapatkan lebih banyak maklumat daripadanya.
Menurutnya, Jabatan Luar kepulauan itu merancang untuk menghubungi beberapa pegawai di luar negara bagi membolehkan dia dihantar pulang.
Namun, nelayan itu menyatakan, dia tidak dapat mengingati semua kejadian yang berlaku semasa botnya hanyut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0204&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2sMjp7GAw 
Hakcipta terpelihara 

Amal makan sireh setiap hari

Amal makan sireh setiap hari
Bidah menunjukkan MyKad yang menunjukkan umurnya melebihi 103 tahun.
ZAIMATULJUWITA
4 Februari 2014


BACHOK – Masih sihat. Begitulah keadaan seorang warga emas yang berusia lebih 100 tahun dari Kampung Wakaf Aik, Tawang di sini.

Bidah Senik, atau lebih mesra dipanggil Wo, lahir pada 11 Oktober 1911, dan kini umurnya melebihi 103 tahun.

Menurutnya,  ketika sebelum merdeka pendaftaran kelahiran sukar dilakukan dengan pelbagai faktor termasuk penempatan yang jauh dan kemudahan kenderaan.

Bidah berkata, kesihatan yang dikecapnya kini mungkin kerana mengamalkan makan sireh setiap hari yang menjadi makanan rutinnya sejak remaja lagi.

“Tiada petua tertentu yang Wo amalkan kecuali bangun awal pagi dan makan 10 helai sireh setiap hari.

“Selain itu, setiap pagi Wo akan bangun sebelum subuh dan membersihkan sekeliling rumah sebagai rutin harian,” katanya.

Bidah berkata, setiap hari dia tidak akan berenggang dengan tapak sireh warisan keluarganya dan peralatan yang dikenali sebagai ‘cekati’ dan ‘gobek’ yang digunakan untuk menghancurkan sireh pinang.

“Alhamdulillah setakat ini mata dan telinga Wo masih baik. Tidak ada sakit kronik dan demam pun jarang.

“Cuma banyak perkara yang Wo tak ingat. Cucu cicit sendiri pun kadang- kadang tak kenal. Tetapi Wo ingat, negeri ini pernah dilanda banjir besar dipanggil Bah Merah sekitar tahun 1926 ketika itu Wo masih remaja, selain pengalaman zaman pendudukan Jepun,” katanya yang dikurniakan lapan orang anak hasil dua perkahwinan lalu.

Anak-anaknya, Yusof Wan Lah, 70; Saadiah Salleh, 68; Che Ibrahim Salleh, 67; Awang Salleh, 64; Che Mah Salleh, 62; Mat Diah Salleh, 57; Abdullah Salleh, 56, dan Che Esah Salleh, 53.

Wo juga mempunyai 60 cucu, 100 cicit, 30 piut dan lima piat yang kebanyakannya menetap di Kelantan.

Sementara itu, anak keenamnya, Abdullah berkata, dia menganggap usia ibunya  panjang kerana tidak mengalami sebarang masalah kesihatan dan ia adalah kurniaan ALLAH SWT.

Mandela tinggalkan RM13 juta untuk keluarga


Johannesburg: Bekas presiden Afrika Selatan Nelson Mandela meninggalkan harta bernilai AS$4.1 juta (RM13.7 juta) kepada ahli keluarganya, Kongres Kebangsaan Afrika yang memerintah, bekas kakitangan dan beberapa sekolah tempatan, menurut surat wasiatnya semalam.

Timbalan Ketua Kehakiman Dikgang Moseneke memberitahu wartawan, pembahagian harta bernilai itu tidak termasuk royalti - diterima oleh keluarga Mandela tanpa sebarang bantahan setakat ini.


Moseneke berkata, isteri ketiga Mandela, Graca Machel sudah mengetepikan tuntutannya terhadap pusaka berkenaan.



“Beberapa bahagian pusaka itu akan dibahagikan antara tiga dana yang dibentuk oleh Mandela, termasuk dana keluarga yang diwujudkan bagi membiayai lebih 30 anak, cucu dan cicit beliau,” katanya dalam satu kenyataan.


Pembacaan surat wasiat Mandela itu dijangka mencetuskan perbalahan baru antara ahli keluarganya yang besar terhadap legasi kewangan wira antiaparteid itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04