Sunday, December 21, 2014

Interpol keluar waran tangkap terhadap Yusuf Al-Qaradawi



Dr Yusuf Al-Qaradawi
KUALA LUMPUR: Polis Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan waran tangkap terhadap sarjana Islam terkenal Dr Yusuf Al-Qaradawi selepas beliau dikaitkan dengan kegiatan kumpulan Ikhwanul Muslimin yang diharamkan di Mesir.
Menurut laman web Interpol pada 5 Disember lalu, notis merah terhadap Yusuf, 88, dikeluarkan terhadap Al-Qaradawi selepas dikehendaki pihak berkuasa kehakiman Mesir bagi pendakwaan dan sabitan hukuman kerana dituduh menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri dari penjara, aktiviti vandalisme dan kecurian.
Kerajaan Malaysia pernah menganugerahkan beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah pada 2009.

Al-Qaradawi yang kini menetap di Qatar dituduh mempunyai kaitan dengan insiden kekecohan ahli kumpulan Ikhwan Muslimin di dalam penjara dan penentangan terhadap pemimpin diktator Hosni Mubarak.
Pemimpin kanan Ikhwan Muslimin, Mohamed Morsi yang dilantik menjadi Presiden Mesir pada tahun 2012 adalah antara individu yang berjaya melarikan diri ketika insiden berkenaan.
Terdahulu, Al-Qaradawi mengkritik kerajaan baharu Mesir selepas penyingkiran Morsi pada Julai 2013.
"Dari hari dia (Presiden baru, Abdel Fattah al-Sisi) dilantik, semua yang kita lihat adalah pembunuhan dan pertumpahan darah serta tahanan wanita diperkosa," kata Al-Qaradawi sebelum pilihan raya pada Mei lalu.
Sementara itu, pada Februari lalu, pegawai kanan Mesir menuntut Qatar mengekstradisi Al-Qaradawi.
Mereka juga mendesak Interpol supaya menahan Al-Qaradawi tahun lalu.
Menurut Global Muslim Brotherhood Daily Watch, Interpol mengeluarkan notis merah yang menunjukkan tahap berjaga-jaga paling tinggi dan memerlukan tindakan segera oleh agensi polis antarabangsa terhadap Al-Qaradawi.
Sementara itu, mengulas mengenai waran yang dikeluarkan oleh Interpol itu, Al-Qaradawi berkata, beliau terkejut dengan waran tangkap berkenaan yang menyatakan beliau bertanggungjawab terhadap beberapa kesalahan yang dilakukan di Mesir, beberapa tahun lalu.
Bercakap menerusi perbualan telefon dengan stesen televisyen Ikhwan Muslimin, Rab, minggu ini, pemimpin Islam kelahiran Mesir itu memberi maklum balas terhadap tuduhan berkenaan dengan berkata:
"Saya tidak tahu apa piawaian Interpol gunakan... Bagaimana saya mengambil bahagian dalam insiden kekecohan di penjara dan membebaskan tahanan ketika tinggal di Qatar? Saya membawa pasport Qatar dan menggunakannya semata-mata untuk perjalanan saya.
"Adakah saya meninggalkan Qatar dalam tempoh itu? Adakah saya ke Mesir dalam tempoh itu? Mereka boleh menyemak dan mengetahui bahawa saya tidak terbabit dalam perkara itu." - Agensi

Nurul Izzah: Usah layan serangan rasis Tun M


Nurul Izzah
Nurul Izzah
KUALA LUMPUR - Rakyat khususnya pengundi yang menyokong PR tidak perlu melayan serangan rasis yang acap kali dilontarkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam banyak ucapannya.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mendakwa kebanyakan ucapan Dr Mahathir itu hanya boleh mengundang kebencian dan kemarahan rakyat akibat isu perkauman yang dimainkan.

"Agak ironik ianya datang daripada pemimpin yang terpaksa dan bergantung kepada undi bukan Melayu pada 1999 kerana ketika itu undi Melayu 54 peratus bersama dengan Barisan Alternatif.

"Jadi pada saya, usah kita mengendahkan naratif yang bersifat manupulatif Tun Mahathir kerana erlalu banyak kebencian disemaikan, pada kami (PKR), Pas dan DAP dalam semua perbincangan.

"Selalunya untuk memenangi naratif semua rakyat Malaysia, khususnya memberikan keyakinan kepada masyarakat Melayu," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembuangan sisa binaan secara tidak sah di Jalan Bukit Pantai, Bangsar, di sini, hari ini.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam yang mengatakan Umno, PKR dan Pas terpaksa mengemis untuk mendapatkan sokongan politik daripada golongan Cina bagi memenangi pilihan raya.

ARTIKEL BERKAITAN: [ Melayu mengemis pada Cina raih sokongan]

Dr Mahathir berkata lagi, keadaan itu berpunca daripada perpecahan yang berlaku dalam kalangan orang Melayu yang terbahagi kepada tiga puak.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata lagi, rakyat tidak perlu terpengaruh dengan serangan berbaur perkauman yang sentiasa menjadi agenda BN dan sekutunya.

"Jangan terpengaruh dengan serangan rasis, serangan agama dan provokasi perkauman yang dibawa BN dan sekutunya seperti Perkasa dan Isma.

"PR sekarang berusaha keras untuk memenangi dan mempamerkan naratif buat masyarakat Melayu supaya mereka yakin PR akan berusaha mengangkat martabat dan kedudukan ekonomi mereka," katanya lagi.

Muhammad Ali Masuk Hospital, Alami Radang Paru-Paru


Diterbitkan: Ahad, 21 Disember 2014 12:52 PM
Muhammad Ali.

OUISVILLE: Bekas juara tinju dunia, Muhammad Ali dikejarkan ke hospital pada Sabtu akibat penyakit radang paru-paru.
Jurucakap Muhammad Ali, Bob Gunnell, berkata lagenda tinju berusia 72 tahun itu sedang menjalani rawatan dan kini berada dalam keadaan stabil.

Gunnell berkata, radang paru-paru yang dialami Ali berada dalam keadaan terkawal kerana berjaya dikesan pada peringkat awal.

Beliau dijangka berehat untuk beberapa hari di hospital tersebut.

Sebelum ini, Ali dilaporkan menghidap penyakit Parkinson.

Beliau muncul di khalayak ramai pada September lalu untuk menghadiri satu majlis di kampung halamannya di Louisville sempena Anugerah Kemanusiaan Muhammad Ali.

Muhammad Ali bersara daripada sukan tinju pada 1981 dan mula terlibat dengan misi kemanusiaan.

Beliau menerima Pingat Presiden Kebebasan dari Presiden George W. Bush pada 2005.

Puteri Elsa (Frozen) 'Pekerjaan Impian' Seorang Dari Lima Budak Perempuan Britain


Diterbitkan: Sabtu, 20 Disember 2014 11:31 PM

APAKAH yang anda mahu menjadi apabila dewasa nanti merupakan satu soalan yang sering diajukan kepada kanak-kanak.
Satu tinjauan yang dibuat oleh sebuah syarikat penerbitan, Kids Educational Booksmendapati 'pekerjaan impian' seorang daripada lima kanak-kanak perempuan di Britain adalah mahu menjadi Puteri Elsa daripada filem animasi terbitan Walt Disney, Frozen.
Menerusi tinjauan itu turut mendapati majoriti kanak-kanak Britain tidak mengetahui apakah yang dilakukan oleh ibu bapa mereka dan terputus hubungan dengan 'dunia sebenar' pekerjaan.
Kaji selidik yang dibuat di seluruh Britain itu melihat seorang daripada empat kanak-kanak Britain juga keliru mengenai nilai wang dan sedikit mengetahui tentang bagaimana ia mesti diperolehi.
Pengasas Kids Educational Books, Mairi McLellan berkata: "Kita semua tahu bahawa permainan berasaskan keseronokan adalah penting dalam pembangunan kanak-kanak. Bagaimanapun kita perlu berusaha untuk mencapai keseimbangan yang sihat bagi menggalakkan minat mereka dalam pekerjaan, dan memupuk minda itu seawal yang mungkin."
Syarikat penerbitan itu membuat tinjauan ke atas 950 ibu bapa mengenai pandangan anak-anak mereka sendiri tentang pekerjaan dan persepsi golongan muda secara umum.
Sebanyak 55 peratus berkata, anak-anak mereka hanya mempunyai pengetahuan asas mengenai apakah yang dilakukan oleh ibu bapa mereka, dengan 32 peratus hanya tahu sedikit berhubung perkara itu.
Berdasarkan tinjauan berkenaan, berikut adalah 10 pekerjaan yang diimpikan oleh kanak-kanak apabila mereka dewasa nanti:
1. Doktor / jururawat.
2. Ahli bomba.
3. Pemain bola sepak / atlet.
4. Pegawai polis.
5. Puteri Elsa dari filem Frozen.
6. Guru.
7. Doktor haiwan.
8. Golongan profesional.
9. Peladang.
10. Perniagaan (termasuk tukang paip, tukang bina, juruelektrik dan lain-lain) - mirror.co.uk

'Tuntut Harga Minyak RM1.90' tak bermotif politik


Azan Safar
Azan Safar
SHAH ALAM - Kempen Tuntut Harga Minyak RM1.90 melalui pengedaran risalah di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil petang ini tidak bermotifkan politik sama sekali meskipun dilakukan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pengerusi NGO Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Azan Safar menegaskan pihaknya tidak menghalang mana-mana NGO dan parti politik melakukan kempen itu mengikut cara masing-masing selagi mana ia tidak mencetuskan kontroversi.

"Terpulang kepada rakyat untuk terima atau tidak, itu hak rakyat, kerja kita hanya menyeru dan memberi penerangan.

"Namun saya juga tidak bersetuju kalau masuk untuk mengganggu program dan sokongan rakyat Malaysia kepada perlawanan malam ini," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas hasrat Nik Nazmi yang juga Exco Selangor yang mahu mengedarkan risalah Tuntut Harga Minyak RM1.90 pada perlawanan akhir Piala AFF Suzuki yang telah menimbulkan kemarahan peminat bola sepak negara.

Nik Nazmi memuat naik posting tersebut di akaun Instagramnya, semalam yang turut meminta peminat bola sepak bersama-sama mengedarkan risalah itu.

Kebanyakan mereka tidak bersetuju dengan hasrat Nik Nazmi itu kerana merasakan tempat dan masanya tidak sesuai untuk 'bermain politik'.

Mengulas lanjut, Azan berkata lagi, kehadiran Nik Nazmi juga bukan sahaja ingin mengedarkan risalah bahkan untuk memberi sokongan kepada pasukan Harimau Malaya.

"Tiada (agenda lain), saya akan ingatkan supaya mereka turut sama menyokong Harimau Malaya dan tidak mencetuskan sebarang provokasi di sana nanti.

"Saya tengok dalam risalah di pintu kuning, bermakna edar di luar, tidak termasuk agenda mereka buat edaran dalam stadium," ujarnya.

Ditanya tentang pengumuman kerajaan baru-baru ini yang mengatakan bahawa harga runcit RON95 dan diesel dijangka turun di bawah paras RM2, beliau berkata, himpunan pada 31 Disember itu akan tetap diteruskan.

"Kalau kerajaan benar-benar jujur dan ikhlas turun bawah RM2, maka ia menjadi satu perkara yang mendatang manfaat kepada rakyat dan ia perkara yang kita sokong dan perjuangkan," katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Strategi AMK, Akmal Nasir berkata, sayap PKR itu menangguhkan hasrat mereka untuk mengedarkan risalah tersebut pada perlawanan akhir Piala AFF Suzuki hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi mengelakkan tercetusnya provokasi atau kejadian tidak diingini susulan cadangan itu mendapat reaksi negatif daripada peminat bola sepak.

"Kami akan tetap hadir ke stadium untuk memberikan sokongan penuh buat pasukan Harimau Malaya," katanya dalam satu kenyataannya, sebentar tadi.

Melayu mengemis pada Cina raih sokongan


Dr Mahathir sempat melayan permintaan untuk bergambar kenangan bersama sebahagian daripada peserta
konvensyen selepas menyampaikan ucaptama di Akademi Kenegaraan Biro Tatanegara, semalam. - Foto Bernama
Dr Mahathir sempat melayan permintaan untuk bergambar kenangan bersama sebahagian daripada peserta konvensyen selepas menyampaikan ucaptama di Akademi Kenegaraan Biro Tatanegara, semalam. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR – Orang Melayu kini terpaksa mengemis kepada orang bukan Melayu untuk raih sokongan bagi memenangi pilihan raya.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini berpunca daripada perpecahan yang berlaku dalam kalangan orang Melayu yang terbahagi kepada tiga puak.

“Orang Melayu kini tinggal 60 peratus dan dengan jumlah ini sepatutnya menang setiap kali pilihan raya kerana kita mempunyai majoriti. Tetapi kita berpecah sesama sendiri dan terbahagi kepada tiga puak yang jumlah setiap satu kurang 50 peratus.

“Dengan jumlah ini, kita tak mungkin mendirikan kerajaan dengan majoriti mutlak. Sebaliknya untuk dapat majoriti memerintah negara, kita terpaksa menjadi pengemis minta pertolongan kaum lain khususnya Cina,” katanya ketika menyampaikan ucap tama di Konvensyen Kepimpinan Melayu Muda Nusantara (NUSA’14) di sini, semalam.

Katanya lagi, baik Umno, Pas dan PKR masing-masing mengemis di kaki orang Cina DAP supaya mendapat sokongan.

“Bila kita jadi pengemis, kita tidak lagi jadi orang yang berkuasa. Namun, inilah keadaan yang berlaku sekarang,” katanya.

Beliau turut menegur sikap orang Melayu yang lebih utamakan kata-kata pemimpin atau puak sendiri berbanding ajaran Islam dan al-Quran.

“Kalau puak kita bertindak bercanggah dengan ajaran Islam sekalipun, kita lebih utamakan puak kita, pemimpin kita. Dengan itu, berlakulah perpecahan kerana pemimpin ada hasrat tertentu bagi dirinya.

“Dikumpulkan orang kita di kelilingnya dan mereka ini akan patuh kepada pemimpin walaupun bertentangan dengan agama. Sebab itu, hari ini perpecahan berlaku dalam kalangan orang Islam,” katanya.

Patung mainan patuh syariah


London: Atas nama ‘Islam,’ sebuah syarikat mengeluarkan anak patung yang didakwa mematuhi syarak dengan memperkenalkan mainan seperti kanak-kanak biasa - kecuali tanpa wajah.
Ia juga dilengkapi dengan pakaian menutup aurat.
Dikenali sebagai Deeni Doll, anak patung itu dinamakan sebagai Rumaysa bersempena nama isteri Rasulullah SAW.
Pencipta anak patung itu, Ridhwana B berkata, Islam melarang penghasilan objek menyerupai hidupan dalam sebarang bentuk, termasuk gambar atau patung.
“Saya mendapatkan pandangan daripada ulama di Leicester dan mereka memberi nasihat mengenai apa dibenarkan dan apa yang dilarang.
“Deeni Doll ini tidak memiliki wajah bagi membolehkan ia mematuhi syariah,” katanya.
Mengenai ilham mencipta Rumaysa, Ridhwana berkata, dia terfikir mengenainya selepas berbual dengan ibu bapa yang bimbang dengan kemunculan anak patung menyerupai manusia sebenar.
Bekas guru itu berkata, dia mengambil masa empat tahun untuk muncul dengan Rumaysa.
Sementara itu, beberapa pihak menganggap produk Deeni Doll sebagai keterlaluan.
Pakar sosial dan politik Sekolah Ekonomi London, Prof Fawaz Gerges berkata, Deeni Doll adalah produk yang terhasil daripada kejahilan.
“Kini Muslim adalah sebahagian daripada komuniti global.
“Larangan pada zaman silam dibuat atas faktor tertentu, tetapi isunya kini ialah keadaan berbeza.
“Kita hidup pada abad ke-21 dan bukannya membeku dalam abad keenam,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 5:05 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/17866#sthash.zwi3lCa2.dpuf

Presiden China ingatkan penduduk Hong Kong, Macau

Jinping berjabat tangan dengan Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran
Jinping berjabat tangan dengan Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Macau, Fernando Chui semasa kunjungannya ke wilayah autonomi itu, semalam. – REUTERS
MACAU 20 Dis. – Presiden China, Xi Jinping mengingatkan Hong Kong dan Macau bahawa mereka adalah sebahagian daripada ‘satu China’, ketika aktivis pro-demokrasi di kedua-dua wilayah autonomi itu giat menuntut pilihan raya bebas diadakan bagi memilih kepimpinan di kedua-dua wilayah itu.
Kunjungan pemimpin nombor satu China itu diselubungi tunjuk perasaan sebilangan kecil aktivis yang berarak berhampiran lokasi Jinping berada sambil memegang payung bewarna kuning, namun perarakan mereka dihalang polis.
Tegas Jinping, kedua-dua wi­layah autonomi itu perlu sedar mereka perlu mengelak daripada sebarang ‘pendekatan tidak bijak’.
“Kedua-dua kita (Hong Kong, Macau) mesti berpegang teguh kepada prinsip ‘satu China’ dan menghormati perbezaan dua sistem,’’ katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri majlis angkat sumpah jawatan Ketua Eksekutif Macau, Fernando Chui yang dipilih buat penggal kedua oleh jawatankuasa pro-Beijing pada Ogos lalu.
Sementara itu, lebih 100 orang dijangka keluar menyertai satu perhimpunan pro-demokrasi di kawasan bersejarah Macau petang ini.
“Mengambil kira pergerakan payung kuning, saya berpendapat penduduk Macau perlu mening­katkan tindakan mereka untuk demokrasi,’’ kata pemimpin tunjuk perasaan tempatan, Jason Chao. - AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/presiden-china-ingatkan-penduduk-hong-kong-macau-1.38933#sthash.APwzM0iB.dpuf

Sony Picture nafi tunduk dengan penggodam

Filem The Interview  keluaran Sony Picture terpaksa ditarik balik
Filem The Interview keluaran Sony Picture terpaksa ditarik balik tayang yang dijadualkan 25 Disember ini selepas dikecam berikutan plot cerita yang kontroversi. – AGENSI
LOS ANGELES 20 Dis. - Studio perfileman, Sony Picture menafikan syarikat itu membatalkan tayangan filem ‘The Interview’ yang dijadual pada 25 Disember ini kerana ‘tunduk’ setelah syarikat itu digodam oleh pihak tertentu, sebaliknya menyatakan bahawa Sony akan mencari jalan lain untuk menayangkan kembali filem kontroversi itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Sony Picture, Michael Lynton, turut membidas kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang mengkritik keputusan Sony membatalkan tayangan filem itu dengan menyifatkan tindakan studio perfileman itu sebagai satu ‘kesilapan’, hampir empat minggu selepas Korea Utara berang dengan filem itu yang dianggap memburukkan negara komunis itu.
Syarikat Sony menjadi sasaran penggodam pada 24 November lalu, diikuti dengan beberapa ugutan, termasuk awal minggu ini yang mencadangkan supaya dilancarkan serangan seperti 11 September.
Biro Penyiasatan Kebangsaan (FBI) mendakwa ia mempunyai bukti Pyongyang menjadi dalang dalam serangan godam itu, walaupun Duta Korea Utara ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menafikan dakwaan tersebut.
Beberapa jam selepas kejadian itu, Obama pada satu sidang media di Washington menuduh Sony Pictures tunduk terhadap ancaman itu sehingga mengambil keputusan membatalkan tayangan filem itu pada Krismas ini.
Obama memberi amaran kepada Korea Utara akan berhadapan de­ngan tindakan balas berikutan serangan penggodam ke atas studio itu.
“Kami tidak akan mengalah, kami cuma bertahan dan kami kami tidak akan berundur,” kata Lynton kepada Stesen televisyen kabel, CNN, sejurus selepas Obama mengecam keputuan Sony membatalkan penayangan filem komedi itu.
Sony dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah membuat tinjauan untuk membolehkan pihaknya menayangkan kembali filem tersebut menggunakan platform yang berbeza.
Filem itu antara lain mengisahkan dua wartawan penyiaran, dilakonkan Seth Rogen dan James Franco yang perlu bekerjasama dengan pihak Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk membunuh pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/sony-picture-nafi-tunduk-dengan-penggodam-1.38942#sthash.ZRZ87rRX.dpuf

Kate Upton Wanita Paling Seksi

Kate Upton
Kate Upton
LOS ANGELES 20 DIs. - Aktres, Kate Upton dinobatkan sebagai Wanita Paling Seksi oleh majalah People semalam, sekali gus menjadi wanita pertama mendapat gelaran tersebut.
Menurut laman web hollywoodlife.com, selain Upton,22, aktor, Chris Hemsworth turut dipilih sebagai Lelaki Paling Seksi pada Anugerah majalah People yang diadakan di Hotel Beverly Hilton, di sini baru-baru ini.
Upton yang kini menjadi model untuk Sports Illustrated Swimsuit Edition dan juga terlibat dalam filem komedi The Other Women, mengenakan gaun berwarna hitam ketika menerima anugerah tersebut.
“Ini adalah penghormatan kepada saya kerana seksi, sekali gus memberi makna bahawa seseorang itu yakin dan gembira dengan penampilan diri saya,” kata Upton ketika menerima tropi tersebut.
Selain Upton, beberapa selebriti lain turut memenangi anugerah pada malam itu termasuk aktres, Karlie Kloss yang menerima Anugerah Model Sepanjang Tahun, aktres, Kate Hudson menerima anugerah Model Selebriti Terbaik, Jimmy Fallon menerima anugerah Pengacara Rancangan Temu Bual Terbaik serta penyanyi, Gwen Stefani menerima anugerah Ikon Gaya Terbaik.
Pemenang pada anugerah tersebut tidak dipilih oleh peminat, sebaliknya dipilih oleh pengarang majalah People dan pengurusan penerbitan Entertainment Weekly.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kate-upton-wanita-paling-seksi-1.38950#sthash.hAOgyI4r.dpuf

Usaha rundingan damai konflik Ukraine gagal

Seorang penunjuk perasaan memegang bendera Ukraine di sebuah bangunan
Seorang penunjuk perasaan memegang bendera Ukraine di sebuah bangunan yang dibakar oleh penunjuk perasaan ketika bertempur dengan polis pada 20 Februari lalu di Kiev. – AFP
MOSCOW 20 Dis. – Perbincangan untuk membawa Kiev dan pembe­rontak pro-Rusia kembali ke meja rundingan gagal selepas kumpulan pemberontak di timur Ukraine itu gagal menetapkan tarikh untuk mengadakan rundingan, ketika Jerman selaku pengantara ber­usaha membantu menyelesaikan krisis itu.
Di Moscow, Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov sudah menghubungi Menteri Luar Jerman, Frank-Walter Steinmeier selaku pengantara run­dingan dan menggesa satu mesyuarat tiga hala antara Rusia, Ukraine dan Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) diadakan.
Pemimpin kumpulan pembe­rontak di Donetsk, Denis Pushilin memberitahu agensi Interfax bahawa persidangan video berkumpulan antara pihak-pihak yang terlibat gagal untuk menyelesaikan suatu tarikh bagi mesyuarat fizikal berhubung rundingan itu.
“Terdapat keadaan yang perlu dibincangkan sebelum mencapai satu kompromi,’’ katanya, sambil menambah kata, beliau berharap satu perbincangan dapat diadakan sebelum hujung tahun ini.
Menurut Pushilin, terdapat `isu-isu positif’ termasuk gencatan senjata sedia ada yang dilaksanakan untuk tempoh 10 hari.
Diplomasi terhadap krisis itu semakin rancak pada minggu ini, ketika krisis ekonomi Rusia semakin meruncing ekoran kejatuhan harga minyak.
Steinmeier berlepas ke Kiev semalam untuk bertemu Presiden dan Perdana Menteri Ukraine, Petro Poroshenko serta Arseny Yatsenyuk.
Beliau gagal menggesa kesemua pihak terbabit untuk berhimpun di Minsk, Belarus bagi membincangkan berhubung rundingan damai. - DPA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/usaha-rundingan-damai-konflik-ukraine-gagal-1.38952#sthash.EpDOwTuy.dpuf

Turki keluar waran tangkap ulama


ANKARA 20 Dis. - Sebuah mahkamah Turki, semalam meluarkan waran tangkap ke atas seorang ulama negara ini yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Fethullah Gulen (gambar) yang dianggap Presiden Recep Tayyip Erdogan sebagai musuh utamanya dalam satu kes kontroversi yang merengangkan hubungan Ankara dan Kesatuan Eropah (EU).
Mahkamah bersetuju dengan permintaan awal pendakwa raya untuk notis penahanan itu, namun ia masih belum dapat dilihat sekiranya AS menunjukkan sebarang minat bagi mengekstradisi Gulen bagi menghadapi perbicaraan di Turki atas tuduhan keganasan.
Waran itu dikeluarkan selepas mahkamah terdahulu mengeluarkan reman tahanan ke atas ketua sebuah rangkaian televisyen dan tiga bekas pegawai polis, kesemuanya dianggap ada kaitan dengan Gulen atas tuduhan keganasan.
Erdogan menuduh Gulen melaksanakan ‘negara selari’ dan dalang dalam tuduhan rasuah ke atas kumpulannya yang tercetus pada 17 Disember tahun lalu.
Gulen yang dipercayai mempunyai jutaan pengikut di Turki mengendalikan sekolah swasta di seluruh dunia menerusi kumpulan Hizmet, bagaimanapun menafikan semua tuduhan tersebut. - AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/turki-keluar-waran-tangkap-ulama-1.38954#sthash.MaLBGqdT.dpuf