Saturday, January 30, 2016

Sanggup berhabis duit demi teman wanita upahan

29 JANUARI 2016

HUNAN - CHINA. Oleh kerana tidak sanggup menghabiskan masa seorang diri pada sambutan perayaan Tahun Baru Cina, sesetengah lelaki bujang di China sanggup menghabiskan ribuan yuan untuk mendapatkan khidmat teman wanita upahan di beberapa agensi cari jodoh.
Memetik laporan portal antarabangsa, Shanghaiist.com, kebanyakan lelaki bujang kebiasaannya akan ke agensi cari jodoh yang menyediakan gadis cantik untuk dijadikan teman wanita upahan.
Difahamkan, individu yang mahukan servis berkenaan akan dikenakan caj daripada 3,000 yuan (RM1891.47) hingga 4,000 yuan (RM2521.96).
Sebuah stesen televisyen wilayah itu mendedahkan bahawa agensi itu menyediakan khidmat tersebut selama enam atau tujuh hari, bergantung kepada kontrak.
Lelaki yang mendapatkan khidmat ini juga akan menjalani sesi penerangan dan antara perkara yang diterangkan termasuk prospek perkongsian ruang bilik tidur bersama teman wanita upahannya.

Siasatan 1MDB, Switzerland dedah AS$4 bilion disalah guna syarikat kerajaan Malaysia



Pihak berkuasa di Switzerland yang menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendapati kira-kira AS$4 bilion (RM16.8 bilion) daripada syarikat Malaysia disalahgunakan, dengan sebahagiannya dipindahkan ke beberapa bank Swiss oleh pegawai dari Malaysia dan Emiriyah Arab Bersatu, lapor The Wall Street Journal (WSJ), hari ini.
Pejabat Peguam Negara Switzerland berkata ia menemui 4 kes salah laku jenayah antara 2009 dan 2013 “menggunakan struktur kewangan yang kompleks”. “Jumlah yang disyaki disalahgunakan ialah kira-kira AS$4 bilion,” kata akhbar itu memetik Pejabat Peguam Negara Switzerland sebagai berkata. “Tujuan sebenarnya kini menjadi subjek untuk siasatan lanjut.”
Peguam Negara Switzerland Michael Lauber berkata beliau bimbang dengan keputusan Malaysia untuk menghentikan siasatan terhadap pindahan wang AS$681 juta ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kerana langkah itu akan menjejaskan siasatan Switzerland terhadap syarikat milik Kementerian Kewangan yang bermasalah itu. “Kami sudah menemui bukti menunjukkan pindahan wang yang mencurigakan, berkait dengan 1MDB menerusi institusi kewangan Switzerland, dan kami percaya amat penting ia dikongsi dengan pihak berkuasa Malaysia.”Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada Selasa berkata “bukti tidak mencukupi” untuk mendakwa Najib kerana menerima AS$681 juta daripada keluarga diraja Saudi. “Berdasarkan kepada fakta dan bukti, tiada kesalahan jenayah dilakukan perdana menteri berhubung 3 kertas siasatan,” kata Apandi, selepas berbulan-bulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan.
“Maka dengan ini saya arah SPRM menutup kertas siasatan,” katanya. WSJ juga memetik jurucakap kepada peguam negara Switzerland sebagai berkata siasatan tidak sepatutnya ditutup kerana wujud “penipuan yang besar sedang berlaku”. “Tanpa bantuan dari Malaysia, siasatan kami di Switzerland berdepan risiko menemui jalan mati,” katanya kepada akhbar itu. – 30 Januari, 2016. 19.5px;">- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/siasatan-1mdb-switzerland-dedah-as4-bilion-disalah-guna-syarikat-kerajaan-m#sthash.Htqjd3fr.dpuf

Thursday, January 28, 2016

Arab Saudi sahkan dana RM2.6 bilion daripada Raja Abdullah


LONDON 27 Jan. - Arab Saudi mengesahkan dana berjumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan bantuan kewangan untuk membantu beliau memenangi Pilihan Raya Umum 2013.
Sumber terdekat keluarga diraja Arab Saudi yang enggan dikenali mendedahkan kepada rangkaian BBC, pemberian bantuan kewangan itu sebenarnya daripada Almarhum Raja Abdullah menggunakan wang peribadi dan negara.
Menurut sumber itu, sumbangan tersebut selepas wujud kebimbangan Arab Saudi berhubung penularan pengaruh Pergerakan Ikhwanul Muslimin.
“Tujuan pemberian dana ini sangat mudah, untuk membantu Najib menang besar pada Pilihan Raya 2013 dengan memberi fokus kepada kerja-kerja kempen, memberi tumpuan kepada Sarawak selain pembiayaan program-program lain ketika pilihan raya,” katanya kepada BBC.
Menurutnya, pemberian dana oleh Arab Saudi kepada Najib merupakan perkara biasa dan turut diberikan kepada negara-negara lain.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/arab-saudi-sahkan-dana-rm2-6-bilion-daripada-raja-abdullah-1.183995#sthash.vSp0e1mv.dpuf

Tindakan AG buatkan Mahathir pusing kepala Mahathir: Bagaimana wang 'beku' boleh dipulangkan?

http://mountdweller.blogspot.my/2016/01/tindakan-ag-buatkan-mahathir-pusing.html


mk - Hari ini, 2:43 petang, 27 Jan. 16

Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan penjelasan peguam negara bahawa Datuk Seri Najib Razak memulangkan kembali sebahagian besar wang sumbangan diterimanya kepada kerabat diraja Saudi. “Bagaimana dan bila ia dibuat? Kita diberitahu bahawa bakinya dibekukan oleh Singapura. “Boleh Singapura jelaskan berkaitan unfreezing dan penghantaran balik kepada Saudi?” soalnya dalam tulisan di blognya hari ini.

Beliau juga membangkitkan persoalan sama ada Singapura yang merupakan sebuah pusat kewangan akan begitu mudah tertipu.

Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali semalam berkata US$620 (RM2.03) daripada AS$681 yang diterima dipulangkan semula kerana tidak diguna pakai.

Pada 22 Julai tahun lalu, Reuters melaporkan bahawa pihak polis Singapura telah membekukan dua akaun bank susulan siasatan terhadap dakwaan salah urus kewangan dan rasuah berkaitan 1MDB.

Selain itu, Mahathir juga mengakui terkejut dengan keputusan peguam negara yang memutuskan bahawa perdana menteri tidak melakukan apa-apa perbuatan jenayah apabila wang RM2.6 bilion dimasukkan ke akaun peribadi Najib. "Mempunyai sejumlah wang seperti itu di dalam akaun perdana menteri pun sudah menjadi kesalahan walaupun ia mungkin bukan jenayah. "Tetapi peguam negara sekarang mengumumkan wang tersebut merupakan hadiah daripada Arab Saudi. "Dan peguam negara membuat kesimpulan bahawa tiada kes untuk Najib menjawab.

Beliau juga mengarahkan SPRM untuk menutup kes itu dan hentikan siasatan," katanya lagi.

Bekas pemimpin negara itu juga secara sinis mempersoalkan SPRM yang sepatutnya menjadi sebuah badan bebas tetapi dilihat seolah-olah menerima arahan daripada Apandi. "Saya fikir SPRM adalah sebuah badan yang bebas.

 Tetapi kini ia seolah-olah berada di bawah peguam negara dan mengambil arahan daripada dia. "Tidak hairanlah Malaysia termasuk di kalangan sepuluh negara yang paling korup di dunia. Badan pencegahan rasuahnya tidak bebas," kata Mahathir lagi.


Wednesday, January 27, 2016

Akhirnya Umno Kedah kalah di tangan sendiri



MOHD IDROS MOHD ALI ALOR SETAR - Masing-masing cuba mempertahankan kumpulan sendiri dalam kemelut Umno Kedah sejak minggu lalu.
Kedua-dua pihak mengeluarkan kenyataan dan alasan sendiri untuk mewajarkan tindakan mereka iaitu mengekalkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah dan Pengerusi Umno Kedah agar keadaan kembali seperti sedia kala.
Manakala kumpulan atau penyokong Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pula mempunyai alasan lain agar dibuat perubahan dalam pentadbiran negeri ini termasuk dari segi politik dan parti pemerintah.
Kehangatan kedua-dua pihak mengeluarkan 'fatwa' dan hujah menampakkan seakan-akan masing-masing terlupa bahawa mereka dari satu kapal yang sama dan melayari ke destinasi yang sama.
Namun pertembungan yang berlaku kelihatan seolah-olah mereka adalah dari parti berbeza dan cuba melakukan usaha bermati-matian demi survival politik masing-masing di Kedah.
Seorang veteran Umno ketika ditemui mengakui masalah ini walaupun nampak kecil tetapi rumit kerana melibatkan pertembungan idea dan matlamat berbeza dalam Umno Kedah.
Beliau mengakui keadaan itu sudah melampaui batasan pemikiran waras dengan penyebaran pelbagai 'emel layang' dan 'WhatsApp layang' termasuk video tertentu seolah-olah mereka sudah berpatah arang berkerat rotan untuk terus kekal dalam persada politik negeri Jelapang Padi ini.
Menurutnya, episod yang menyedihkan dalam Umno Kedah berulang lagi dan tidak pernah menjadi iktibar dalam kalangan pemimpinnya sejak 1980-an lagi.
“Peristiwa dan episod hitam yang berlaku sebelum ini tidak pernah menyedarkan mereka. Sepatutnya mereka menoleh sebentar dan melihat kesan dirasai Umno akibat perebutan kuasa sesama pemimpinnya.
“Kekalahan dalam PRU12 tidak pernah menginsafkan mereka untuk bermuhasabah dan mengambil pedoman untuk tidak mengulangi kesilapan sama.
“Umno membayar harga paling tinggi akibat kerakusan sesetengah pemimpinnya untuk mengambil kuasa termasuk melalui cah keting atau tikam rusuk kawan, apabila tewas dan gagal mengekalkan pentadbran kerajaan negeri,” katanya.
Beliau bimbang episod hitam 2008 berulang jika tiada usaha ke arah pemulihan dan penyatuan parti dilakukan segera kerana kini mereka berpecah kepada beberapa puak atau kumpulan.
“Adakah ada jaminan kesan luka akibat perebutan kuasa tahun 2016 boleh sembuh dan pulih dalam masa dua tahun akan datang.
“Bolehkah mereka bekerjasama sebagai satu kumpulan untuk terus mengekalkan kuasa pentadbiran negeri dalam PRU14 dan semua penyokong bemaaf-maafan dan melupakan apa yang sudah berlaku,” katanya.
Tokoh veteran ini meragui keadaan itu akan tidak dapat membayangkan nasib yang bakal menimpa Umno di Kedah dalam pilihan raya umum akan datang.
“Dengan kekuatan dan sokongan rakyat sekadar nyawa-nyawa ikan, adakah Umno boleh bangkit dan melonjak semula selepas ini?
“Nasib baik pembangkang pun dalam keadaan meruncing. Tetapi ini  tidak boleh menjadi alasan atau sumber kekuatan untuk Umno berpaut dengannya. Tidak logik untuk kita bangkit meraih kejayaan dengan menafikan kelemahan sendiri sebaliknya menuding jari kepada pihak lawan,” katanya.
Seorang lagi veteran Umno berpendapat apa-apa tindakan perlu dilakukan dengan teliti dan tidak melukakan hati mana-mana pihak dan perpaduan dalam parti tidak terjejas.
“Kenapa perlu membuat hebahan untuk menyatakan rasa tidak puas hati atau tidak lagi percaya kepada kepimpinan.
“Kita masih ada banyak lagi cara lain untuk melakukan. Apakah pemimpin Umno sudah tidak boleh duduk semeja dan berbincang sesama mereka untuk mencari jalan terbaik agar peralihan kuasa dapat berjalan lancar tanpa perlu membuka pekung di dada,” katanya.
Melihat kepada senario semasa, beliau menganggapnya seperti nasi sudah menjadi bubur dan agak sukar kedua-dua pihak menarik brek tangan atau menggunakan 'gear gostan' bagi meredakan keadaan.
“Saya bimbang dengan kekuatan dan keutuhan Umno Kedah yang makin merosot, kita akan keciciran dan akhirnya tewas di gelanggang sendiri akibat sikap balas dendam sesama sendiri.
“Orang luar akan tepuk tangan melihat pergesesaran yang berlaku dalam Umno Kedah. Jangan lupa pesan orang tua - menang sabung kampung tergadai,” katanya.
Menurutnya, apa guna mendapat jawatan dan kedudukan tetapi ia tidak dapat dipertahankan dalam pilihan raya kelak.
“Akhirnya yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu. Tiada siapa pun yang untung dalam kemelut kali ini,” katanya.
Untuk itu, tokoh ini meminta semua pemimpin Umno Kedah perlu menilai diri sendiri dan melihat semula matlamat perjuangan mereka selama ini sama ada benar-benar untuk bangsa, agama dan tanah air atau sebaliknya untuk diri sendiri dan orang sekeliling sahaja.
“Umno bukan bertunjangkan kepada perjuangan individu tetapi secara kumpulan. Pemimpin datang dan pergi tetapi Umno perlu terus unggul dalam persada politik tanah air dengan syarat diurus dengan baik, jujur, ikhlas dan sabar,” katanya
.

Lelaki Sikh diusir keluar dari kempen Trump

Lelaki Sikh diusir keluar dari kempen Trump
26 JANUARI 2016 DES MOINES - AMERIKA SYARIKAT. Gara-gara mempamerkan kain rentang tertera 'Hentikan kebencian', seorang lelaki Sikh telah diusir keluar dari perhimpunan anjuran calon Presiden kontroversi mewakili parti Republikan, Donald Trump di Muscatine, Iowa kelmarin.
Insiden itu berlaku selepas jutawan hartanah itu bercakap mengenai serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001 dan insiden tembakan ganas di Amerika Syarikat (AS).
"Ada kumpulan radikal yang melakukan keganasan di seluruh dunia dan kita ada presiden (Barack Obama) yang hanya membisu mengenai perkara itu," katanya.
Trump juga seakan mempersendakan turban berwarna merah yang dipakai oleh lelaki tersebut sebelum menyambung semula ucapannya yang berbaur perkauman. - CB
S

Monday, January 25, 2016

Trump makin melampau

Trump
25 JANUARI 2016 IOWA - AMERIKA SYARIKAT. Calon presiden daripada Parti Republikan, Donald Trump kembali mengeluarkan kenyataan kontroversi.
Kali ini, pendahulu senarai calon presiden Amerika Syarikat (AS) itu berkata sokongan terhadapnya tidak akan terjejas meskipun beliau menembak seseorang di tengah jalan.
"Saya boleh berdiri di tengah-tengah Fifth Avenue dan menembak seseorang, dan saya tidak akan kehilangan sebarang undi," katanya.
Trump membuat kenyataan melampau itu ketika berkempen di Sioux Center, Iowa, kelmarin.
Ini bukanlah kali pertama Trump, 69, mengeluarkan kenyataan gila kerana sebelum ini beliau kerap menggunakan retorik anti-Islam ketika berkempen.
Beliau juga menggunakan sentimen berbaur perkauman dengan melabel migran Mexico sebagai perogol dan pengedar dadah.
Sementara itu, pesaingnya Senator Ted Cruz hanya menggelang kepala ketika diminta mengulas kenyataan Trump.
"Saya akan biar Trump bercakap untuk dirinya sendiri.
"Apa yang saya mahu katakan, saya tiada niat menembak sesiapa sepanjang kempen ini," katanya. - Reuters

Derita akibat hilang kerakyatan


gambar bertarikh 19 Mac 2013 merakamkan pelarian Syria di Kem
Gambar bertarikh 19 Mac 2013 merakamkan pelarian Syria di Kem Atme, di sepanjang sempadan Turki dengan wilayah Syria, Idlib. AFP
Ketegangan diplomatik antara Haiti dan Republik Dominica me­rupakan contoh terbaik yang me­nunjukkan bagaimana seseorang itu boleh menderita dalam sekelip mata akibat kehilangan status ke­rakyatan dan keistimewaan sebagai warganegara.
Secara ringkasnya, Republik Dominica memperoleh kemerdekaan daripada Haiti pada 1844 sekali gus menjadikan ramai penduduk yang berketurunan Haiti sebagai tidak mempunyai kerakyatan.
Sehinggalah pada 2013, Mahkamah Perlembagaan Republik Dominica mendapati kira-kira 200,000 hingga 250,000 penduduk berketurunan Haiti yang lahir seawal 1929 menjadi penduduk tanpa kerakyatan atau negara, namun golongan tersebut diberi peluang untuk mendaftar sebagai rakyat.
Namun malangnya, penduduk Haiti yang lahir di negara itu tidak pernah diberikan sijil kelahiran.
Kini selepas enam bulan program naturalisasi itu berakhir, hanya segelintir orang sahaja memperoleh permit penduduk dan beribu-ribu penduduk berketurunan Haiti terpaksa pulang ke negara asal mereka semula, tetapi kerajaan Haiti sendiri tidak boleh menerima golongan terbuang ini kerana tiada sebarang dokumen yang mengesahkan mereka adalah penduduk asal negara itu.
Akibatnya, kira-kira 3,000 penduduk Haiti terpaksa tinggal di dalam kem yang hanya mempunyai khemah buatan sendiri di kawasan sempadan Republik Dominica dan Haiti, dengan hanya berbekalkan bekalan makanan yang sedikit, tidak mendapat akses air bersih dan penjagaan kesihatan.
Di Malaysia sendiri, berpuluh-puluh ribu kanak-kanak di Sabah dikategorikan sebagai tiada ke­rakyatan kerana mereka merupakan anak kepada rakyat Indonesia dan Filipina yang berhijrah ke ne­geri itu untuk bekerja sama ada secara sah atau haram.
Tanpa kerakyatan, kanak-kanak terbabit tidak mempunyai hak untuk mendapat pendidikan atau akses kesihatan, menyebabkan mereka menjadi buruh kanak-kanak dan lebih teruk lagi, terlibat dengan aktiviti jenayah.
Ibu bapa kanak-kanak ini tidak mahu mendaftarkan anak mereka kerana bimbang dihantar pulang ke negara asal atau tidak berkahwin secara sah disebabkan faktor kewangan.
Sementara itu di Thailand, lebih 540,000 orang tidak mempunyai taraf kerakyatan melibatkan kumpulan etnik Yao, Hmong, dan Karen yang tinggal di kawasan pergunungan di utara sempadan Myanmar dan Laos.
Keengganan kerajaan Thailand memberi kad pengenalan kepada mereka atau menyediakan perkhidmatan asas menyebabkan ekonomi mereka terjejas selain terdedah kepada ancaman sindiket penyeludupan manusia.
Di benua Eropah, kira-kira 80,000 etnik Roma yang berasal India yang tidak mempunyai kerak­yatan menghuni di kawasan tengah dan timur benua tersebut.
Perpecahan bekas negara Czech-Slovakia dan bekas negara Yugoslavia menyebabkan kesulitan kepada mereka apabila negara baharu yang terbentuk tidak mengiktiraf mereka sebagai penduduk.
Malah terdapat ramai etnik Roma di Kosovo dan Bosnia hilang kerakyatan akibat menjadi pelarian ekoran konflik perang.
Keluarga etnik Roma kebiasaannya tidak mendaftar kelahiran baharu dan memiliki dokumen rasmi terhadap harta mereka dan lebih gemar mewariskan rumah mereka kepada ahli keluarga yang lain.
Situasi tersebut menyebabkan sukar untuk mengenalpasti tempat asal mereka selain mengakibatkan mereka mudah terdedah kepada bahaya termasuk dikenakan tindakan undang-undang.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/derita-akibat-hilang-kerakyatan-1.183139#sthash.444tg1oQ.dpuf

Hidup tanpa kerakyatan


MOHD HASRIQ AMIRUDDIN DAN KASTHURI JEEVENDRAN  |  25 Januari 2016 12:26 AM




ALBERT Einstein bukanlah nama asing kerana sumbangannya yang besar dalam dunia sains. Namun, pasti ramai yang tidak tahu sejarah hidup beliau yang pernah menjadi orang tanpa kerakyatan selama lima tahun bermula dari 1896 sehingga 1901.
Sejarah Einstein sebagai pelarian bukanlah satu rahsia selepas saintis kelahiran Jerman itu mengelak daripada menyertai tentera dengan mengisytiharkan dirinya bukan lagi rakyat di bawah pemerintahan Kerajaan Wurttemberg.
Namun disebabkan kepintarannya, beliau diberi kerakyatan oleh beberapa negara iaitu Switzerland, Austria, Jerman, dan Amerika Syarikat (AS).
Kisah Einstein yang pernah hidup tanpa sebarang kerakyatan merupakan contoh yang diambil pada abad ke-19 yang ketika itu isu orang tanpa kerakyatan bukanlah satu masalah yang besar.
Namun pada abad ke-21 ini, orang tanpa kerakyatan boleh ditemui di mana-mana bahagian di dunia sama ada di rantau Asia, Afrika, Asia Barat, Eropah, dan Amerika dengan melibatkan sekelompok masyarakat, bayi yang baru lahir, kanak-kanak, pasangan suami isteri, dan golongan tua yang tidak mempunyai kewarganegaraan.
Kira-kira 10 juta penduduk di dunia kini tergolong sebagai orang tanpa kerakyatan.
Secara jelasnya, masalah besar akan timbul sekiranya tidak memiliki kerakyatan kerana segala hak akan dinafikan terutamanya dalam soal pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan apatah lagi jika tidak memiliki kepintaran atau nama sehebat Einstein.
Etnik Rohingya merupakan contoh terbaik yang menunjukkan betapa serius isu orang tanpa kerakyatan walaupun masyarakat beragama Islam itu telah menetap di wilayah barat Myanmar sejak puluhan tahun lalu.
Kemelut yang dialami oleh etnik Rohingya sudah cukup menunjukkan punca sebenar bagaimana isu orang tanpa kerakyatan boleh wujud akibat kemelut politik, sistem perundangan dan krisis sempadan.
Satu populasi penduduk juga boleh menjadi orang tanpa ke­rakyatan hanya dalam satu malam sahaja seperti yang berlaku ketika pemecahan Kesatuan Soviet apabila lebih 600,000 orang terpaksa hidup tanpa sebarang kerakyatan.
Selain itu, kira-kira 300,000 etnik minoriti Biharis dinafikan hak untuk memiliki kerakyatan oleh kerajaan Bangladesh apabila negara itu memperoleh kemerdekaan pada 1971.
Begitu juga dengan kira-kira 1.7 juta penduduk Palestin yang kehilangan negara gara-gara penjajahan rejim Israel sejak 1948 sehingga menyaksikan penduduk di Tebing Barat dan Genting Gaza menderita di tanah air sendiri.
Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), satu pertiga daripada 10 juta penduduk tanpa kerakyatan merupakan golongan kanak-kanak yang paling terdedah kepada kesan buruk kemelut itu.
Tanpa sijil kelahiran, kelayakan pendidikan mereka akan dinafikan sekali gus mengundang masa depan yang kelam.
Sejak konflik perang saudara di Syria tercetus pada 2011, dianggarkan 50,000 bayi dilahirkan oleh ibu bapa mereka yang menjadi pelarian di Jordan, Iraq, Lebanon, Turki, dan Mesir.
Secara teknikal, mereka merupakan rakyat Syria, tetapi tanpa pendaftaran sijil kelahiran, kanak-kanak itu bakal berdepan masalah yang lebih serius apabila sudah dewasa.
Selain masalah pendidikan, orang tanpa kerakyatan berisiko dikenakan tindakan undang-undang kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan identiti sehingga menyebabkan mereka sentiasa diselubungi rasa takut ditahan, diusir atau dalam dilema untuk meneruskan kehidupan.
Golongan tanpa kerakyatan itu terpaksa menempuh kehidupan seharian dengan perasaan malu dan kecewa kerana tidak memiliki hak yang sama seperti manusia lain.
Mereka juga sentiasa berasa seperti dikepung sehingga takut untuk keluar kerana khuatir ditahan akibat tidak memiliki sebarang dokumen. Situasi itu menyebabkan mereka lebih suka menyendiri, tidak bercampur masyarakat, sekali gus mengundang persepsi buruk daripada orang lain.
Perasaan itu mungkin tidak akan wujud lagi dalam tempoh lapan tahun akan datang apabila UNHCR secara serius menangani isu golongan tanpa kerakyatan menjelang 2024 dengan melancarkan kempen khas melalui bajet sebanyak AS$68 juta (RM290 juta).
Memetik kata-kata Pesuruhjaya Tinggi UNHCR, Antonio Gutteres; “Mengakhiri ketidakadilan sosial yang berlanjutan sejak berdekad lalu bukan mudah, tetapi merupakan perkara yang betul perlu dilakukan.
“Hampir semua golongan tanpa kerakyatan mempunyai hubungan yang kuat antara setiap negara dan melalui semangat politik yang tinggi serta usahasama yang baik, hubungan antara golongan ini dan negara yang didiami akan diiktiraf.
“Berjuta-juta orang akhirnya boleh memiliki sebuah negara dan kerakyatan sekali gus menikmati kehidupan sebagai seorang manusia yang memiliki hak sama rata.”
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/hidup-tanpa-kerakyatan-1.183124#sthash.aq8WQfV4.dpuf

Graduan mohon 
jadi tukang sapu


Sanggup terima gaji rendah

  12  3 Google +0
NEW DELHI 24 Jan. - Lebih 19,000 calon kebanyakannya penuntut lepasan universiti atau kolej sanggup memohon pekerjaan sebagai tukang sapu sampah di daerah Amrohar, negeri Uttar Pradesh, walaupun tugas berkenaan menawarkan gaji yang rendah.
Kadar pengangguran yang tinggi di India, menyebabkan ribuan graduan memilih untuk pekerja sebagai tukang sapu. AGENSI
Portal indian.express.com melaporkan, bukan sahaja tidak memilih kerjaya, ribuan graduan itu juga perlu berebut untuk mendapatkan pekerjaan tersebut memandangkan hanya terdapat 114 kekosongan sebagai tukang sapu.
Menurut laporan portal terbabit, permohonan sebagai tukang sapu itu turut dihantar graduan jurusan sains, seni, dan kejuruteraan walaupun tugas menyapu sampah hanya menjanjikan bayaran sekitar 17,000 rupee (RM1,075) sebulan
Namun disebabkan kadar pengangguran yang tinggi, pelajar lepasan universiti tidak mempunyai pilihan mendapat pekerjaan yang lebih baik dan sanggup menjadi tukang sapu.
Pegawai Majlis Perbandaran Amhroha, Faiz Alam berkata, pihaknya telah menyemak kira-kira 6,000 permohonan yang kebanyakannya daripada pelajar lepasan universiti.
“Situasi ini menunjukkan tahap pengangguran yang tinggi di India sehingga mereka sanggup menjadi tukang sapu sampah,” katanya.
Sementara itu, pegawai kanan majlis perbandaran tersebut, Prem Prakash berkata, tugas berkenaan tidak memerlukan sebarang kelayakan pendidikan kerana pekerja perlu menyapu sampah di jalanan dan menyelenggara sistem pembetungan.
“Masih ramai pemohon yang layak menunggu panggilan untuk sesi temu duga,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/graduan-mohon-8232-jadi-tukang-sapu-1.183107#sthash.34f1QyTA.dpuf

Sunday, January 24, 2016

DATUK ABDUL HAMID BADOR – SURAT TERBUKA KEPADA KERAJAAN.


Terlebih dahulu izinkan saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua ahli keluarga, saudara mara, sahabat, jiran, serta anak Malaysia yang bencikan kemungkaran, yang tidak berhenti-henti memberikan galakan serta mendoakan keselamatan diri saya serta keluarga. Saya amat terhutang budi. Sesungguhnya galakan dan doa-doa suci inilah yang memberikan saya kekuatan dan keberanian untuk terus memerangi kemungkaran.
Saya juga amat terhutang budi kepada pihak media kerana telah sudi memberikan ruang untuk menyiarkan rintihan hati kecil saya ini untuk tatapan rakyat Malaysia yang berasa amat terguris hati, marah, kecewa, hampa, geram serta terhimpit dengan “tingkahlaku tidak bertanggungjawab” pemimpin-pemimpin kerajaan sejak kebelakangan ini.
Sesungguhnya keputusan yang saya ambil untuk menulis SURAT TERBUKA KEPADA KERAJAAN ini adalah keputusan saya sendiri tanpa disogok atau dibatu-apikan oleh mana2 individu atau organisasi yang berkepentingan. Saya bertindak atas sifat sebagai seorang pegawai kerajaan yang TERANIAYA, disebabkan oleh pendirian saya tidak mahu bersekongkol dengan pihak yang secara terang-terangan telah melakukan kesalahan besar kepada negara.
Saya faham bahawa sebagai seorang pegawai bawahan saya terikat dengan beberapa peraturan yang melarang saya untuk menyuarakan apa2 kritikan terhadap kerajaan tanpa terlebih dahulu mendapat keizinan dari ketua jabatan. Saya juga faham bahawa satu bentuk tindakan disiplin boleh dikenakan ke atas diri saya. Malahan surat Beri Penjelasan 1 oleh Ketua Polis Negara telahpun saya jawab panjang lebar pada 15 Sept lalu.
Tetapi di waktu yang sama saya juga sedar tentang hak dan tanggungjawab saya, yang jauh lebih besar dan suci, di bawah PERLEMBAGAAN dan UNDANG-UNDANG NEGARA untuk mempertahankan negara dari segala bentuk ancaman termasuk yang berkaitan dengan JENAYAH. Apatah lagi saya adalah seorang pegawai Polis Di Raja Malaysia yang telah mengangkat sumpah untuk berkhidmat dengan penuh kejujuran sebagaimana yang dikehendaki oleh AKTA POLIS.
Oleh demikian dengan penuh keinsafan dan berbekalkan doa orangramai ini saya memberanikan diri untuk berusaha menegakkan kebenaran bagi menyelamatkan pertiwi dari ancaman manusia-manusia rakus yang sedang bermaharajalela memporakperandakan segala sistem pentadbiran sedia ada dan secara terang-terangan melanggar undang-undang bagi memuaskan nafsu buas mereka. Saya rasa terpanggil untuk tampil ke depan sekali lagi bagi bersuara kerana pihak yang bersalah dilihat belum insaf. Apalah pilihan yang ada pada saya untuk membuat aduan mengikut prosedur jabatan apabila hampir semua ketua-ketua jabatan terbabit dengan komplot membohongi rakyat sambil “merestui perlakuan jenayah” pemimpin-pemimpin tertinggi negara!!!
“What choice do I have???”. Perlu juga saya tegaskan di sini bahawa niat saya BUKANNYA UNTUK MENUMBANGKAN KERAJAAN. Niat suci saya hanya untuk MENEGAKKAN KEADILAN. Siapa yang bersalah maka dialah yang akan menerima padahnya di sisi undang-undang. Sesungguhnya undang-undang itu buta dari segi darjat dan kedudukan……tiada bezanya di antara seorang Pembantu Am Rendah dengan seorang Menteri……di antara seorang prebet dengan seorang general……di antara seorang konstabel dengan seorang komisioner dan di antara seorang peneroka FELDA dengan seorang jutawan terbilang!!! Jenayah tetap jenayah.
Ramai juga rakan-rakan saya yang ikhlas menyuarakan kebimbangan mereka tentang keselamatan diri saya. Ada di antara mereka yang menyarankan kemungkinan besar “hired killer atau killers” dari Selatan Thai telah diupah oleh “perompak-perompak” wang rakyat ini untuk membunuh saya. Insya Allah saya tidak sekali-kali akan berundur. Saya akur dengan KEAGUNGAN ALLAH SWT. Lagi cepat saya mati….lagi cepat mereka masuk jel dan digantung leher sampai mati. Jika saya gugur sekalipun saya yakin perjuangan saya ini tidak akan terhenti di situ saja.
Ingin saya tegaskan di sini bahawa usaha saya ini bukannya bermatlamatkan untuk saya mendabik dada demi kemenangan. Usaha saya ini hanyalah untuk menegakkan keadilan. Saya lakukan semua ini semata-mata untuk menghambakan diri saya kepada rakyat bagi menyedarkan kerajaan bahawa keadaan negara semakin meruncing dan rakyat sudah loya melihat segala sandiwara yang dipersembahkan oleh pemimpin-pemimpin haprak ini. Jauh sekali niat di hati kecil saya ini untuk cuba menjadi jagoh atau mencari populariti.
Saya bukannya manusia yang egoistik…..bukan seorang berdarah panglima…..seorang yang sudah besar kepala……atau JOBO, mengikut slang orang REMBAU. Saya hanya ingin berbakti pada pertiwi tercinta. Apabila sudah pencen nanti saya tidak akan menyesal kerana saya telah berusaha gigih menjalankan amanat Allah SWT.
Saya mendapat tahu bahawa usaha untuk menghakiskan kredibiliti saya sedang giat dijalankan oleh pucuk pimpinan Cawangan Khas yang ada sekarang. Saya digambarkan sebagai seorang yang kecewa dan selfish kerana tidak dilantik menjadi Pengarah Cawangan Khas. Kononnya saya tidak mengenang budi apabila permohonan saya untuk pencen awal telah ditolak oleh Ketua Polis Negara. Bila pulak saya memohon untuk pencen awal??? Saya menyeru kepada Dato Sri Fuzi Harun, Pengarah Cawangan Khas, supaya ingat pesanan arwah orangtua kita dulu……jangan berbohong dan jangan gadaikan maruah diri dengan membela orang yang terang-terang bersalah demi merebut jawatan.
Seluruh peringkat organisasi Cawangan Khas didendangkan dengan cerita-cerita bohong yang kononnya saya ini “meroyan” dan seperti seorang yang “gila talak” selepas “ditendang keluar” dari Cawangan Khas. Oh…oh…oh…jauh sekali melesetnya pemikiran mereka. Sebenarnya saya bukan seperti mereka yang hanya suka dan pandai “menjilat” tulang-tulang yang dilemparkan oleh pemimpin politik haprak ini. Saya BELUM PERNAH MENCIUM TANGAN pemimpin-pemimpin haprak serta tangan isteri mereka.
Sebelum ini saya telah berkali-kali menzahirkan pendirian saya kepada anakbuah saya di dalam Cawangan Khas bahawa saya tidak rela meneruskan perkhidmatan dalam Cawangan Khas jika saya terpaksa bersekongkol dengan mereka untuk membohongi rakyat dengan kerja-kerja kotor demi menyelamatkan Perdana Menteri dan kuncu-kuncunya itu dalam kes “rompakan” wang 1MDB ini. Saya juga tidak mahu diperalatkan oleh seorang Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri yang lagaknya seperti seorang gengster.
Jika beginilah kotornya imejnya dua pemimpin tertinggi negara maka sebagai seorang pegawai polis yang masih bermaruah saya tidak sekali-kali ingin meneruskan khidmat saya dalam Cawangan Khas. Tetapi ini tidak bermakna saya tidak lagi mahu berkhidmat dengan PDRM. Sebaliknya saya merayu kepada KPN supaya saya dikekalkan di Bukit Aman, paling tidak dalam Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS) supaya saya boleh terus menyumbang secara positif kepada PDRM dalam hal-hal disiplin dan pembasmian rasuah.
Itu saja sebabnya yang saya berani berdiri berseorangan diri memerangi kemungkaran. Ingat ye….saya tidak pernah menghasut mana-mana warga Cawangan Khas untuk menyokong segala usaha saya menegakkan kebenaran. Mereka sudah matang dan boleh berfikir sendiri. Tepuk dada tanya selera. Semaklah semua rekod komunikasi saya. Sepatutnya Dato Sri tunjukkan kepimpinan yang baik dan bukannya memfitnah orang-orang yang terdahulu. Saya berjuang bersendirian tanpa ada bodyguard.
Insya allah saya tidak memerlukan tenaga Unit Tindakan Khas dan outrider polis untuk menjaga keselamatan saya. I AM NOT A COWARD!!! Kepada Dato Sri Fuzi Harun saya menyeru supaya jangan membodek berlebih sangat. Kalau nak mengampu bos tu ampulah puas-puas. Insya allah bila tiba masanya nanti bolehlah Dato Sri sama-sama mengiringi beliau masuk jel……I Know What You Did Last Summer!!!
Semenjak pertemuan saya dengan pihak media pada 23 Ogos yang lalu saya telah menerima pelbagai nasihat, teguran, kritikan, dan juga ancaman dari individu-individu tertentu. Ada yang bersifat konstruktif dan tidak kurang juga yang bernada ugutan dan gertakan untuk menangkap saya. Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang berniat baik.
Kepada mereka yang berniat serong saya doakan juga agar Allah SWT memberikan mereka kesedaran dan peluang untuk kembali ke jalan yang diredhai. Jangan pula cuba untuk nak membabitkan sejarah perkahwinan saya dalam isu ini sebagaimana yang dilakukan Dato Rizal Mansor, pegawai khas 1st Lady tu, tempohari.
Ibarat ayam jantan yang mengepak dan berkokok megah sedangkan buntutnya sendiri bersememeh dengan tahi. Bukan saja skandal Dato’ Rizal itu boleh saya dedahkan malahan “cerita-cerita menarik” tentang bosnya Datin Sri Rosmah sendiri boleh saya riwayatkan di khalayak ramai. Afterall birds of the same feathers flock together. Oleh demikian janganlah sesiapa mahu cuba memutarbelitkan hal peribadi saya dalam JIHAD MENEGAK KEADILAN ini. Stick to the issue!!!
Pada hari ini saya ingin mengambil kesempatan untuk membuat beberapa saranan atau gesaan penting kepada beberapa pegawai tertinggi kerajaan yang selama ini, secara sedar ataupun tidak, atau samada dengan penuh kerelaan atau secara keterpaksaan, telah terpalit dengan kontroversi isu 1MDB. Kedudukan kes ini sebenarnya bolehlah dirumuskan sebagai sesuatu yang SUDAH TERANG LAGI BERSULUH.
Itulah kata-kata terakhir Tan Sri Gani Patail kepada saya sebelum beliau “dipecat”. Saranan ini terpaksa saya buat kerana sesungguhnya majoriti rakyat telah berasa amat marah dan meluat terhadap tindak tanduk pegawai-pegawai tertinggi kerajaan ini yang secara terang-terangan telah menyalahgunakan kuasa.
Sungguh menjijikkan tindak tanduk desprados ini untuk terus berkuasa dan mengelakkan diri dari MASUK KE DALAM JEL. Mereka sanggup berbuat apa saja untuk memastikan siasatan ini terhenti. Serentak dengan usaha itu mereka menggunakan strategi mengelirukan rakyat dengan mencipta skrip basi yang tidak masuk akal kononnya wujud konspirasi untuk MENGGULINGKAN KERAJAAN. Siapa yang nak gulingkan kerajaan???
Kononnya orang-orang CINA NAK RAMPAS KUASA!!! Ish ish ish jahat sungguh taktik “diversion” yang digunakan oleh para “perompak”ini. Dari isu Pecah Amanah Jenayah dah bertukar pula jadi isu perkauman. Siapalah agaknya penasihat strategi “perompak” ini ye….pandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua.
Sebenarnya apa yang rakyat mahukan ialah penjelasan Perdana Menteri tentang misteri “kehilangan” wang 1MDB. Rakyat berhak tahu cerita sebenar-benarnya kerana 1MDB telah meminjam RM4 billion dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP). Ini wang rakyat.
Ini bukan wang Yayasan Tan Sri Noah. As simple as that!!! Mengapa takut untuk tampil memberi penjelasan??? Mengapa mesti tunggu lagi 6 bulan untuk merungkai misteri ini??? Mengapa PAC dan Special Taskforce itu dibubarkan???
Mengapa tiba-tiba Peguam Negara “dipecat” dan pegawai SPRM ditangkap? Mengapa hasil siasatan Bank Negara itu masih belum diputuskan oleh Peguam Negara? Mengapa ketiga-tiga saksi utama kes itu masih berdolak-dalik dan tidak berani segera tampil memberi keterangan? Hanya orang bersalah saja yang takut!!! Rakyat juga ingin tahu betul kah berjuta-juta ringgit wang KWAP telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri dan samada benar sebahagian darinya telah digunakan untuk membayar caj solekan kulit Datin Sri Rosmah serta lain-lain perbelanjaan mewah beliau??
Tan Sri Dr Ali Hamsa
Saranan dan gesaan ikhlas ini saya tujukan kepada,
KETUA SETIAUSAHA NEGARA.
Kepada Y.bhg Tan Sri Ali Hamsa saya merayu agar Tan Sri dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai Penjawat Awam No. 1 dengan penuh kejujuran dan beramanah sebagaimana yang Tan Sri sendiri unjurkan dalam banyak amanat-amanat kepada penjawat awam sebelum ini. Tan Sri seharusnya berani dan ikhlas dalam menggunakan kuasa dan pengaruh jawatan dalam kes 1MDB ini. Sebagai bapa kepada perkhidmatan awam Malaysia adalah menjadi kewajipan Tan Sri untuk menunjukkan contoh kepimpinan yang terbaik kepada ratusan ribu anakbuah.
Takutilah kemurkaan Allah SWT. Jangan sekali-kali Tan Sri takut kepada tekanan pemimpin-pemimpin politik yang sudah jauh menyimpang dan menyeleweng. Tan Sri wajib sedar bahawa penjawat-penjawat awam amat mengharapkan Tan Sri untuk berlaku adil dan tegas menguatkuasakan peraturan -peraturan kerajaan dan bukannya bersubahat dengan mereka yang terang-terang bersalah, untuk menekan, menukar, mengugut, memecat dan menangkap penjawat-penjawat awam yang jujur melaksanakan tugas. Sepatutnya Tan Sri menjadi pembela kepada penjawat awam yang teraniaya!!!
Mengapa keadaan boleh jadi sebegini buruk Tan Sri??? Tidakkah Tan Sri nanti berasa malu kepada isteri, anak menantu dan ahli keluarga yang lain?? Tidak salah jika saya katakan bahawa moral para penjawat awam kini sudah jatuh merudum. Ikrar jabatan yang dilafazkan setiap bulan oleh penjawat awam untuk memberi perkhidmatan terbaik serta penuh integriti kepada rakyat dan negara sudah tidak bermakna lagi. Ingatlah Tan Sri….jangan sampai kita tergolong dalam kumpulan orang-orang MUNAFIK!!!
apandi ali peguam negara malaysia
PEGUAM NEGARA, TAN SRI APANDI ALI.
Rakyat di seluruh negara amat terkejut apabila Y.A Tan Sri tiba-tiba muncul di saat memuncaknya kontroversi 1MDB. Memanglah tidak terlintas langsung di benak mereka bahawa penggantian jawatan Tan Sri Gani Patail itu dilakukan se pantas kilat membelah bumi. Memanglah kami tahu bahawa penentuan siapa yang paling layak memegang jawatan paling berkuasa itu adalah hak mutlak DYMM SPB Agong atas syor Perdana Menteri. Tetapi di dalam kes Tan Sri prosesnya berjalan luarbiasa sekali.
Apakah nawaitu Tan Sri sewaktu mula-mula menerima jawatan tersebut…….to discharge your duties with the highest standard of integrity??? Atau adakah Tan Sri sendiri masih terpinga-pinga dan berat untuk menerima beban jawatan tersebut???Tetapi orangramai bertanggapan bahawa Tan Sri sendiri telah banyak menyumbang idea tentang halatuju tindakan kerajaan di saat-saat genting keputusan “memecat” Tan Sri Gani Patail itu dibuat.
Dalam ertikata lain….Tan Sri telah bersubahat dengan Perdana Menteri. Wahai Tan Sri yang budiman…..ingatlah betapa sakitnya hukuman di hari Pengadilan nanti. Pada tahap umur sekarang pintu Rahmatullah kelihatan sudah terenggang sedikit. Kita sudah tidak punyai banyak masa lagi. Janganlah dek kerana hendakkan glamor jawatan maruah diri kita gadaikan. Saya masih ada sedikit keyakinan bahawa dengan pengalaman sebagai hakim yang sebegitu luas Tan Sri mampu melaksanakan amanat Allah SWT supaya berlaku adil.
Segerakanlah membuat keputusan khususnya berkaitan hasil siasatan Bank Negara itu yang kini failnya sudahpun berada di tangan Tan Sri. Bukankah Jabatan Peguam Negara sedia mempunyai ramai pakar undang-undang lulusan dalam dan luar negara??? Sudah pasti tenaga otak bijak mereka boleh digembeling bagi membantu Tan Sri membuat keputusan dengan cepat dan tepat. Beranikanlah diri Tan Sri untuk disyukuri anakcucu kemudian hari. Jangan aibkan nama baik kita kepada generasi anakcucu kemudian hari.
khalid abu bakar bersih 4
KETUA POLIS NEGARA.
Kepada Ydh Tan sri saya ingin mengambil peluang untuk menasihati Tan Sri agar dapat menghayati setiap patah perkataan yang tertera dalam Sumpah Jawatan, Ikrar Polis, Rukun Negara dan Perlembagaan Negara. Kuatkuasakanlah Akta Polis itu dengan sejujur-jujurnya. Kita pernah sama-sama berikrar untuk mempertahankan pertiwi dari segala bentuk ancaman. Jangan sekali-kali kita gentar dengan gertakan pemimpin-pemimpin politik yang kian terdesak akibat sifat tamak mereka. Jangan takut dengan ugutan halus “are you with me or are you not?”
Janganlah PDRM bertindak MEMILIH BULU dalam penguatkuasaan undang-undang. Yakinlahlah Tan Sri bahawa 120 ribu warga PDRM ini akan tetap setia berdiri teguh mematuhi segala arahan Tan Sri yang berlandaskan undang-undang. Ingatkah Tan Sri kepada lirik lagu keramat kita “POLIS SEDIA BERKHIDMAT”? Perkhidmatan kita adalah untuk rakyat dan negara dan bukannya untuk melindungi petualang negara!!!
Sudah lupakah Tan Sri bahawa telah sekian banyak warga PDRM, majoritinya yang berpangkat rendah, yang ditangkap dan diadili serta dihukum kerana rasuah yang tidak seberapa besar nilainya jika dibandingkan dengan misteri “kehilangan” wang 1MDB??? Tanpa mengira kecil ataupun besar nilai wang serta tinggi rendahnya pangkat mereka yang terlibat dalam satu-satu kes itu…..jenayah tetap jenayah.
….. ukan oleh pemimpin tertinggi negara. Saya amat yakin ramai warga PDRM sendiri yang berasa kecewa dengan halatuju tindakan siasatan oleh pihak kita. Di sebalik kuasa yang begitu luas PDRM dilihat mengambil pendirian bersahaja, sambil lewa atau acuh tidak acuh dalam pendekatan siasatan kes 1MDB. Malahan Tan Sri sendiri dianggap oleh orangramai telah BERSUBAHAT DENGAN SENGAJA MELINDUNGI mereka yang terlibat dalam kes ini dan di waktu yang sama telah menganiaya pegawai-pegawai SPRM dan Bank Negara.
Adakah Tan Sri diugut oleh mereka dengan sesuatu yang menakutkan? Cukuplah Tan Sri. Kembalilah bernaung di bawah pancaran semangat Panji Di Raja PDRM yang kita arak setiap 25 March. Berilah pengisian yang terbaik kepada Ikrar Hari Polis itu. Gunakanlah segala kuasa yang ada pada jawatan Tan Sri itu di jalan Allah SWT. Jadilah KHALIFAH ALLAH di bumi tercinta atau setidak-tidaknya contohilah keberanian dan kebijaksanaan pahlawan Islam yang terbilang, KHALID AL-WALID.
gani-patail-rasuah
MANTAN PEGUAM NEGARA, TAN SRI GANI PATAIL.
Saya berasa amat sedih dan bersimpati sekali dengan nasib yang menimpa Y.Bhg Tan Sri. Ibarat pepatah Melayu….sudah jatuh ditimpa tangga. Tergamak mereka menggunakan alasan penyakit yang masih boleh diubati itu untuk “memecat” Tan Sri. Tan Sri sendiri pernah memberitahu saya dengan penuh bersemangat tentang perancangan doktor pakar untuk melakukan pemindahan buah pinggang itu selepas Aidil Fitri yang lalu. Hina dan menjijikkan sungguh tindakan mereka ke atas Tan Sri.
Sebelum tragedi pemecatan jawatan tersebut berlaku saya amat konfiden dengan ketegasan Tan Sri dalam mengepalai usaha Special Taskforce 1MDB tersebut. Bimbang betul Perdana Menteri dengan pendirian “no nonsense” Tan Sri itu.
Tetapi sesudah “dipecat” Tan Sri diam membisu seribu bahasa. Apa yang sudah terjadi pada diri Tan Sri? Ada pihak menyatakan bahawa Tan Sri diugut agar tidak melawan. Kononnya Tan Sri mempunyai skandal atau salahlaku yang boleh digunakan oleh mereka untuk mengaibkan Tan Sri di khalayak umum…… “Cummon Tan Sri !!! What is a small personal scandal, even if there is such, when compared to the horrific impact the 1MDB fiasco has unto the nation!!! People will easily forgive you. Come out and make a stand. All this while you are idolised as a tough fighter among the civil servants. Why in a sudden you become so timid? What have they done to you? Allah SWT will protect you sir”.
Ada juga suara-suara nakal yang menggambarkan bahawa Tan Sri telah termakan sogokan “perompak” ini dengan “habuan-habuan”tertentu. Tetapi mengenali diri Tan Sri saya yakin semua itu akan Tan Sri tolak mentah-mentah begitu sahaja. Saya masih ingat dengan jelas kata-kata bersemangat Tan Sri pada malam pertemuan terakhir kita sebelum Tan Sri “dipecat”……” Hey look…this difficult decision that I have made is not about toppling the government. I am not interested in politics. I am just doing my job”.
Lantaran mendengar kata-kata Tan Sri itu saya spontan berdiri dan memberi tabik hormat polis kepada Tan Sri. I can never forget this special moment sir. Saya mendoakan agar rawatan kesihatan ke atas Tan Sri berjalan dengan selamat dan sempurnanya. Aamiin.
Gambar ihsan Free Malaysia Today
Gambar ihsan Free Malaysia Today
PEGAWAI-PEGAWAI SPRM.
Kepada para pegawai SURUHANJAYA KERAMAT ini saya menyeru supaya Tan Sri/Datuk/Dato/tuan/puan semua agar berani untuk melaksanakan tanggungjawab dengan jujur. Ambillah iktibar dari semangat kerja Mendiang KEVIN MORAIS. Fear no one except Almighty God. Berani kerana benar. Jangan gentar dengan cubaan-cubaan “blackmail” oleh pihak petualang. Jangan dilewat-lewatkan siasatan. Jika ada saksi-saksi atau suspek-suspek yang bersandiwara atau menghilangkan diri atau “bermain tarik tali” maka gunakan INTERPOL untuk memburu penyamun-penyamun tarbus ini.
Saya tidak lagi berada dalam Cawangan Khas untuk menggunakan kepakaran dan rangkaian kerja kami untuk menjejak mereka. Jika tidak sudah pasti mereka “tidak cukup tanah untuk lari”. Se dalam mana cacing nak menyorok di dalam tanah??? Ingatlah bahawa SPRM lah tinggalnya satu-satunya badan penguatkuasa yang menjadi harapan rakyat untuk keadilan dilaksanakan dalam kes 1MDB ini setelah pihak-pihak yang lain samada “kecut perut” atau menjadi pengkhianat keadilan.
Rakyat tidak sabar lagi untuk menyaksi penghujung cerita melodrama 1MDB ini. Ganjaran yang menunggu selepas kiamat nanti amat besar sekali. Bersatulah demi kebaikan masadepan negara ini. Jangan berpecah dek “nak berebut harta perang”. Jangan lupa peristiwa Perang Uhud!!!
LAIN-LAIN PENJAWAT AWAM.
Kepada lain-lain penjawat awam termasuklah PDRM, ATM, Kastam Di Raja Malaysia dan pegawai/staf kedutaan/suruhanjaya tinggi Malaysia di luarnegeri, khususnya mereka yang mempunyai maklumat tentang salahlaku “perompak-perompak”1MDB ini, saya menyeru agar mereka semua berani berdiri dan tampil ke depan untuk menyumbang maklumat. Kepada yang MUSLIM eloklah bermuhasabah diri masing-masing.
Hayatilah isi kandungan pelbagai khutbah solat jumaat yang dibaca oleh khatib berkaitan dengan amanah dan integriti. Memanglah berat tanggungjawab yang kita pikul sebagai penjawat awam. Tetapi yakinlah kepada kuasa Allah SWT. Berani kerana benar. Tampillah ke hadapan untuk mendedahkan segala kemungkaran yang berlaku depan mata.
Seruan ikhlas ini khas saya tujukan kepada pegawai-pegawai agensi perisikan ATM dan Cawangan Khas yang mempunyai maklumat salahlaku “perompak” 1MDB ini. Jangan bersubahat kerana padah yang menanti kemudian hari amat buruk sekali.
Tidak lupa juga kepada pegawai-pegawai TUDM yang menjadi crew jet-jet rasmi kerajaan yang tahu tentang bagaimana pembaziran dilakukan oleh VVIP kita. Rakyat jelata berikat perut untuk berjimat tetapi pemimpin negara seronok membazir wang kerajaan.
Begitu juga dengan para pegawai kastam yang menyaksikan bagaimana barangan mewah bernilai jutaan ringgit yang dibeli oleh Datin Sri Rosmah Mansor “diseludup” masuk dan diyakini tidak dikenakan cukai samasekali. Amat menghairankan bagaimana seorang isteri kepada Perdana Menteri yang hanya seorang yang bertaraf surirumah mampu berbelanja sebegitu mewah. Dari mana puncanya wang yang dibelanjakan itu???
Tidak ketinggalan juga seruan saya ini ditujukan kepada pegawai/staf di misi-misi luarnegeri yang menjadi mangsa herdikan seperti hamba abdi oleh VVIP dan ahli keluarga mereka dalam urusan pembungkusan/pengiriman balik barangan mewah yang “dibeliborong” oleh mereka.
Ingatlah tentang tanggungjawab kita untuk menghentikan perbuatan mungkar manusia-manusia rakus ini…..sudah puas berbelanja barangan mewah dengan duit kotor…..cukaipun diyakini tidak dibayar. Ingat ye……apakah yang hendak kita jawab di hari akhirat nanti???
Ketika mati nanti jasad kita hanya dikafankan dengan kain putih yang tidak se mahal mana. Tiada Harley Davidson atau beg tangan Birkin yang akan dibekalkan bersama kita di liang lahat. Macamana nak bersiar-siar dan bershopping sakan dalam kubur yang sebegitu sempit itu nanti!!!
Sekian. Ini saja yang hendak saya tuliskan buat ketika ini. Saya akan terus berusaha mendedahkan kemungkaran oleh para pemimpin yang menyeleweng ini demi pertiwi tercinta.
Salam hormat dan salam perjuangan,
ABDUL HAMID BADOR.
1 OKT 2015.
Dinturtle: – Saya terima surat di atas dari watsapp grup. Mkini ada melaporkan sebahagian dari surat ini – Sumber asal blogger Dinturtle SINI

Saturday, January 23, 2016

1MDB jual 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia

KHAMIS, 31 DISEMBER 2015 @ 10:39 AM

Oleh Petah Wazzan Iskandar




PRESIDEN dan Pengarah Kumpulan Eksekutif 1MDB, Arul Kanda. - Foto Yazit Razali
KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB), hari ini melaksanakan Perjanjian Jual Beli Saham dengan menjual 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) kepada Konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC).
Presiden dan Pengarah Kumpulan Eksekutif 1MDB, Arul Kanda, berkata konsortium yang dikenali sebagai IWH-CREC Sdn Bhd adalah hasil usahasama 60:40 antara IWH an CREC.
"IWH yang juga pemaju utama bagi bahagian Flagship A Koridor Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Iskandar adalah perkongsian awam-swasta antara Credence Resource Sdn Bhd (60 peratus) dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (40 peratus), yang dimiliki oleh kerajaan negeri Johor.
"Konsortium terbabit menilai penuh 100 peratus tanah Bandar Malaysia pada harga RM12.35 bilion. Nilai bersamaan 60 peratus tanah adalah RM7.41 bilion dan 1MDB dan menerima deposit 10 peratus atau RM741 juta selepas pelaksanaan perjanjian.
"Urus niaga transaksi ini dijangka lengkap menjelang hujung Jun tahun depan," katanya pada majlis menandatangani perjanjian urus niaga, di sini, sebentar tadi.
Turut menyaksikan majlis terbabit, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

RM100,000 Harta Pemimpin UMNO Yang Dilelong Dipulang Kembali..

Saturday, January 23, 2016



Perkakasan rumah Datuk Hamidah Osman yang habis dilelong RM100,000 dalam cuma lima minit semalam dikembalikan semula selepas pembida tidak berhasrat menjadikannya milik peribadi.

Fatimah Mohd Isa, 52, berkata barangan itu dikembalikan semula kepada Hamidah kerana menyifatkan bekas ketua wanita Umno Gopeng itu sebagai “pejuang sejati.”

“Saya juga membuat keputusan mengembalikan semua barangan dibida itu kepada beliau yang bermakna tiada satu pun barangan dilelong itu akan dibawa keluar dari rumah ini,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.

Sebanyak 62 unit kelengkapan rumah dan tiga set bilik tidur bernilai RM200,000 itu dibida Fatimah dengan harga RM100,000, lapor portal Sinar Harian.

Barangan bekas wakil rakyat Sungai Rapat itu dilelong selepas disita Mahkamah Tinggi menyita pada 23 Disember tahun lalu.

Bekas exco Perak itu gagal melunaskan bayaran ganti rugi RM200,000 dalam satu kes saman malu kepada ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Pada 27 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan Hamidah membayar jumlah berkenaan kepada bekas pemimpin PAS itu atas penerbitan artikel yang bertajuk “Umat Islam Perlu Bersatu.”

Hamidah yang menulis artikel itu di blognya pada Januari 2010 memuatkan gambar yang diubahsuai seperti Khalid berpakaian seorang paderi.

Lelongan semalam yang bermula 11 pagi di rumah Hamidah di Kampung Tersusun Batu Gajah di sini dimulakan dengan harga bidaan RM200,000 tetapi tiada sambutan.

Pelelong berlesen Hasniza Abu Samah kemudian menurunkan harga kepada RM150,000 tetapi masih tiada sambutan setelah diumumkan tiga kali.

Apabila harga diturunkan kepada RM100,000, Fatimah membuat bidaan tanpa dilawan harga oleh sesiapa, lapor Berita Harian.