Friday, January 13, 2012

Malaysia diambang jadi pengeluar kondom utama dunia



January 13, 2012

NEW DELHI - Malaysia kini diambang menjadi pengeluar kondom utama di dunia pada tahun ini, dengan meninggalkan Thailand di belakang sebagai peneraju pasaran, demikian menurut Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC).

MREPC berkata Malaysia kini menguasai satu pertiga daripada pengeluaran dunia, yang dengan mudah melepasi paras satu bilion.

"Kita boleh menjadi pengeluar nombor satu dunia tahun ini berikutan banjir di Thailand. Angka pengeluaran tahun lepas boleh melepasi angka satu bilion kondom," kata Pengarah Pemasaran dan Pembanguan majlis itu, Low Yoke Kiew kepada Bernama.

Pada 2010, Malaysia, pengeluar getah asli keempat terbesar dunia, telah mengeksport sarung kontraseptif bernilai hampir RM300 juta, iaitu hampir tiga kali nilai eksport pada 2005.

Pengeluar utama Asia - Thailand, China, India, Jepun dan Malaysia - terus membanjiri pasaran global dengan jumlah lebih 10 bilion keping, yang dijual di dalam pelbagai warna, walau pun di negara yang konservatif seperti India.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menggalakkan pengguna kondom berikutan kesedaran terhadap kesihatan.

Di China, lebih dua bilion kondom dijual, di Jepun terjual 580 juta setahun manakala pengeluaran India telah melepasi satu bilion keping.

"Kondom Malaysia mendapat permintaan yang baik dan kompetitif. Kami kini banyak membekalkan kepada program PBB. Kita menjangka pertumbuhan yang baik bagi kesemua produk lateks kita tahun ini, yang termasuk kondom," kata Low.

Pengeluar kondom bergantung kepada getah asli kerana lebih 90 peratus daripada sarung kontraseptif itu dibuat menggunakan lateks manakala usus
biri-biri adalah satu lagi bahan yang digunakan di dalam industri itu.

Kondom getah yang pertama dikeluarkan pada 1855, yang mempunyai ketebalan tiub dalam tayar basikal tetapi perkembangan teknologi telah menjadikannya lebih murah, ringan nipis dan berpelincir.

Malaysia diambang jadi pengeluar kondom utama dunia - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

PKR: Beku aset NFC, Shahrizat cuti tidak penting


G MANIMARAN
January 13, 2012

SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, pihaknya konsisten mahu kepimpinan Datuk Seri Najib Razak membekukan segala operasi dan aset Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), projek ternakan lembu, yang dikaitkan dengan keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Sehubungan itu tegas Rafizi, Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan perlu mengambil tindakan itu dan ia menjadi keutamaan demi kepentingan rakyat berbanding keputusan Shahrizat mengambil cuti tiga minggu.

"Bagi saya, sebagaimana kami telah katakan dari dahulu lagi, kami konsisten dengan pendirian bahawa kerajaan harus membekukan aset NFC sementera siasatan dijalankan, harus menghentikan operasi NFC dan menghentikan sebarang bentuk bayaran dan menghalang NFC daripada membuat sebarang keputusan-keputusan penting.

"Soal Datuk Seri Shahrizat mengambil cuti selama tiga minggu bagi membolehkan siastaan dijalankan, ia adalah perkara kedua, bukan keputusan signfikan," kata beliau kepada Sinar Harian Online hari ini.

Kata beliau, kerajaan pusat perlu mengambil tindakan membekukan dana yang disalurkan sebab ia membabitkan wang rakyat dan kepentingan nasional.

Semalam, Shahrizat mengumumkan telah memohon bercuti rehat selama tiga minggu mulai hari ini daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ketua Wanita Umno itu berkata, beliau telah mengemukakan permohonan itu kepada Perdana Menteri.

Dalam kenyataannya Shahrizat berkata: "Saya berharap pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dapat menjalankan siasatan sama ada saya terlibat atau tidak di dalam apa-apa keputusan yang dibuat oleh kerajaan mengenai NFC di mana suami saya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail memegang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif."

NFC ialah projek Lembah Daging di Gemas, Negeri Sembilan bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import.

Masalah berkenaan projek itu didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan akhir tahun lalu.

Ekoran laporan itu, kepimpinan PKR dalam pendedahan bersiri sejak November lalu mendakwa wujud unsur salah guna dana RM250 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada NFC.

Beberapa pemimpin PKR turut meminta Shahrizat memikul tanggungjawab selaku anggota Kabinet dan melepaskan jawatannya.

Akhir November lalu, Shahrizat menyifatkan rakan sejawatannya dari PKR bersikap biadap kerana mendesak beliau untuk meletakkan jawatan.

"Saya mencabar Ketua Wanita PKR supaya mendesak Presiden parti itu, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail untuk meletakkan jawatan kerana suaminya (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ketika ini berdepan dengan pelbagai tuduhan di mahkamah," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada persidangan perwakilan Pergerakan Wanita Umno.

Mengulas lanjut perkembangan terbaru ini, Rafizi berkata, meskipun keputusan Shahrizat pergi bercuti merupakan isu kedua, beliau melihat sudah ada kemajuan di pihak Najib sendiri.

Kata beliau, Najib yang sebelum ini kelihatan tidak bertindak dalam kontroversi, "nampaknya sudah mula bertindak."

"Saya nampak Datuk Seri Najib buat kali pertama kali sudah mula bertindak, beliau mengambil tindakan ekoran tekanan publik... saya lihat ini satu perkembangan," kata beliau lagi sambil menambah Perdana Menteri perlu tampil bercampur tangan dalam kontroversi ini.

PKR: Beku aset NFC, Shahrizat cuti tidak penting - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Exco paling kaya di P Pinang


SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI
January 13, 2012
Exco paling kaya di P Pinang

GEORGETOWN - Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh adalah Exco yang paling kaya berdasarkan borang perisytiharan harta Kerajaan Negeri semalam.

Perisytiharan harta itu dilakukan untuk tempoh 8 Mac 2008 hingga 31 Disember 2011 dikeluarkan oleh syarikat akauntan bertauliah yang dilantik Kerajaan Negeri iaitu KPMG.

Boon Poh memiliki beberapa rumah dan tanah di Pulau Pinang dan New Zealand dengan nilai keseluruhan RM1.39 juta.

Beliau juga memiliki sebuah kereta jenis Alphard yang bernilai RM169,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Puyu itu juga memiliki beberapa unit saham antaranya 7,667 unit saham Amprop, 55,000 unit di Bursa, Dutaland Berhad (5,667), Pan Malaysian Ind Bhd (60,000) dan Jutajaya Holding Bhd (10,000) selain saham amanah iaitu 1.14 juta unit di Gain Assure dan 293,399 unit Global Infrastructures Fund.

Ketua Menteri, Guan Eng berkata, perisytiharan itu dilakukan syarikat swasta untuk memastikan perisytiharan dilakukan dengan telus.

“Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (termasuk ex-officio seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Pegawai Undang-undang Negeri) sudah mengisytiharkan harta mereka secara terbuka.

“Ini memenuhi amanah peribadi dan juga komitmen politik Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang,” katanya kepada media semalam.

Guan Eng pula memiliki simpanan tetap RM298,785 serta saham amanah berjumlah RM25,989. Beliau juga memiliki dua rumah kedai di Melaka yang keseluruhannya bernilai RM965,000.

Selain itu, beliau memiliki saham antaranya 124,845 unit di Amanah Mutual Berhad dan 2,000 unit DRB-Hicom.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman pula memiliki sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Sri Nibong berharga RM140,000 dan rumah flat di Teluk Kumbar berharga RM25,000.

Mansor juga memiliki saham Amanah Saham Bumiputera (ASB) bernilai RM157,819 serta sebuah kereta Toyota Camry berharga RM140,000.

Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy pula memiliki sebuah banglo di Semenyih, Selangor berharga RM328,000 serta tanah pusaka di Sitiawan.

Beliau turut memiliki dua kereta iaitu Perodua Kelisa berharga RM36,000 dan Mercedes 230E berharga RM200,000.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas, Chow Kon Yeow disenaraikan memiliki dua flat di Bukit Gambir dengan nilai RM196,000 serta sebuah rumah di Balik Pulau berharga RM590,000. Beliau memiliki sebuah kereta Proton Waja berharga RM65,000.

Kon Yeow juga memiliki saham yang disenaraikan antaranya 20,500 unit di Public China Select Fund, 21,000 unit di Public China Titans Fund serta 10,000 unit di Public Dividend Select Fund.

Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim pula tidak mencatatkan sebarang harta miliknya melainkan Proton Tiara berharga RM36,000 dan Honda CRV 2.0 berharga RM130,000.

Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng pula memiliki beberapa rumah antaranya di Seberang Jaya dan Vistana Perdana serta sebuah kilang di Permatang Pauh.

Beliau juga memiliki saham di Kotindak dan Kojadi serta beberapa kereta antaranya Volvo 2406L berharga RM61,000 dan Honda CRV berharga RM104,000.

Exco Pelancongan dan Kebudayaan, Law Heng Kiang pula memiliki sebuah kondominium di Island Glades yang berharga RM239,000 serta sebuah kereta Honda Civic 1.8 berharga RM114,000.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Air, Law Choo Kiang pula mempunyai sebuah rumah di Bandar Cassia berharga RM392,000 serta beberapa unit saham antaranya 100,000 unit di Ramunia, 100,000 unit di Poh Kong serta 100,000 unit di MNC.

Manakala Exco Jawatankuasa Perancangan Desa, Perumahan dan Kesenian, Wong Hon Wai pula memiliki sebuah apartmen di Paya Terubong berharga RM97,000 dan sebuah rumah di Balik Pulau berharga RM600,000.

Exco paling kaya di P Pinang - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Hasan digugur, Exco baru angkat sumpah minggu depan


RUWAIDA MD ZAIN
January 13, 2012
Hassan Ali

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan untuk membatalkan pelantikan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor ekoran keputusan Pas memecatnya sebagai ahli parti itu, awal minggu ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, baginda bertitah demikian selepas mempersembahkan surat rasmi bertarikh 10 Januari dari Pas memaklumkan jawatankuasa kerja pusat parti itu, yang bersidang 8 Januari lalu, membuat keputusan memecat Hasan berkuat kuasa serta-merta.

Menurutnya, memandangkan Hasan bukan lagi ahli Pas, beliau memutuskan bahawa Hasan tidak layak serta tidak boleh menjadi Exco Kerajaan Negeri dan menasihati Sultan Sharafuddin untuk membatalkan pelantikan beliau.

“Sultan Selangor telah bersetuju dengan pendapat saya dan baginda akan menulis surat pembatalan pelantikan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Pada masa yang sama, Tuanku bertitah, Tuanku menurunkan kuasanya kepada saya untuk melantik ahli Majlis Kerajaan Negeri yang baru. Tuanku turut menasihatkan saya agar menjalankan tanggungjawab ini dengan bijaksana tanpa dipengaruhi mana-mana pihak,” katanya.

Abdul Khalid berkata, pelantikan Exco baru dari Pas akan disempurnakan di Istana Bukit Kayangan, Rabu depan.

Bagaimanapun katanya, beliau belum menerima senarai calon yang bakal menggantikan Hasan sebagai Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam secara rasmi dari Pas.

“Belum secara rasmi, dalam dua hari ini saya akan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Pas untuk berbincang tentang perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga belum menerima surat peletakan jawatan dari Hasan tetapi Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia itu sebelum ini ada menulis surat untuk bercuti sahaja.

Hasan digugur, Exco baru angkat sumpah minggu depan - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Hattan sah bercerai


SYAIRAH ABDUL LAJIS
January 13, 2012
Hattan

KUALA PILAH - Desas-desus mengenai pergolakan rumah tangga penyanyi yang popular dengan lalu Biso Bona, Hattan dan isteri yang baru dinikahinya November lalu akhirnya terjawab.

Pasangan terbabit disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah, semalam.

Hattan atau nama penuhnya, Mohd Shukri Shahabuddin, 48, melafazkan talak satu di hadapan Hakim Abdul Rashid Ramli, sekitar jam 11.30 pagi, semalam.

Penyanyi berkenaan hadir bersama pasangannya, Farah Asyikin Othman, 34, untuk memfailkan perceraian dan memohon dibicarakan pada hari sama.

Difahamkan, penceraian itu berlangsung dengan baik dan dipersetujui kedua-dua belah pihak.

Hattan sewaktu dihubungi Sinar Harian menyatakan belum sedia untuk memberi sebarang penjelasan tentang perceraian ini.

Hattan dan Farah Asyikin baru dua bulan mendirikan rumah tangga selepas disatukan pada 11 November 2011 di kediaman penyanyi tersebut di Seri Menanti.

Majlis berkenaan diadakan secara tertutup tetapi meriah dengan kehadiran hampir 100 ahli keluarga terdekat dan teman rapat termasuk Datuk M Nasir, Ramli Sarip dan Man Bai.

Hattan sebelum ini pernah berkahwin tetapi jodohnya tidak panjang selepas dikurniakan seorang anak lelaki, Adam Eiman, 13. Beliau menduda selama enam tahun sebelum berkahwin dengan Farah Asyikin.

Hattan sah bercerai - Hiburan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Ibu Kugan fail saman RM100 juta terhadap Khalid dan empat lagi



January 13, 2012

KUALA LUMPUR - Ibu kepada seorang tahanan polis yang mati dalam lokap Balai Polis Taipan di Subang Jaya, A. Kugan, hari ini memfailkan saman RM100 juta terhadap Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar dan empat yang lain kerana didakwa gagal memastikan keselamatan anaknya semasa dalam tahanan, tiga tahun lepas.

Pentadbir estet N. Indra turut menamakan Konstabel Polis V. Navindran, bekas Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Indra memfailkan saman itu melalui Tetuan Edwin Lim Suren & Soh di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 9 pagi.

Dalam pernyataan tuntutannya, Indra mendakwa kesemua defendan telah gagal untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan si mati (Kugan) semasa dalam tahanan polis dari 14 hingga 20 Jan 2009 serta gagal untuk melaksanakan pengawasan dan pengawalan ke atas anggota polis.

Wanita berusia 44 tahun itu turut mendakwa defendan-defendan gagal menyediakan satu sistem yang selamat untuk menyoal dan mengendali suspek dalam polis tahanan serta gagal memastikan jagaan perubatan untuk anaknya.

Indra mendakwa para defendan juga cuba menyembunyikan sebab kematian sebenar anaknya dan/atau mengeluarkan kenyataan yang dikira membebaskan polis daripada tanggungjawab/liabiliti dengan pengetahuan sepenuhnya bahawa kematian itu adalah tidak disebabkan oleh mereka.

Wanita itu menuntut ganti rugi RM100 juta, serta ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Pada 28 Jan tahun lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepas dan membebaskan Navindran daripada dua tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Kugan.

Kugan, 23, suspek kes curi kereta mewah, meninggal dunia ketika dalam tahanan polis pada 20 Jan 2009. - BERNAMA

Ibu Kugan fail saman RM100 juta terhadap Khalid dan empat lagi - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

DPR pertahan projek baik pulih dewan mesyuarat RM6.6 juta


JAKARTA 12 Jan. - Setiausaha Agung Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Nining Indra Saleh berkata, kerja-kerja menaik taraf bilik mesyuarat DPR bukanlah membazir, sebaliknya keadaan sangat mendesak dan memerlukan kerja-kerja pembaikan dilakukan.

"Pembangunan ruang kerja yang selesa merupakan satu keperluan, bukannya ia dibuat atas permintaan anggota DPR," kata Nining mengulas kontroversi berhubung perbelanjaan berjumlah Rupiah 20.4 bilion (RM6.6 juta) untuk membaiki bilik mesyuarat DPR yang menjadi perdebatan umum.

Menurutnya, kapasiti bilik mesyuarat yang lama di Gedung Nusantara I sudah tidak mampu lagi menampung keperluan jawatankuasa khas DPR seramai 85 orang, lebih-lebih lagi untuk menerima kehadiran tetamu kerajaan.

Alasan lain ialah kerana keadaan bilik mesyuarat sebelum ini sudah terlalu lama menyebabkan permaidani di bilik berkenaan lusuh, saiz kerusi dan meja yang besar memakan ruang dan peralatan sistem audio yang kurang baik.

Sehubungan itu, usaha membina bilik mesyuarat baru di Gedung Nusantara II perlu dilakukan secepat mungkin.

Pengumuman membangunkan bilik mesyuarat baru DPR itu dibidas oleh banyak pihak kerana dianggap membazir dan dakwaan rasuah berkaitan proses belanjawan DPR termasuk tuduhan 'bajet mafia'. - UTUSANUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Shahrizat cuti rehat tiga minggu bantu siasatan SPRM isu NFC


KUALA LUMPUR 12 Jan. – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memaklumkan beliau akan mula bercuti rehat daripada menjalankan tugas sebagai menteri selama tiga minggu bermula esok.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini beliau berkata, permohonan cuti rehat itu dibuat bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadapnya berhubung isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang hangat diperkatakan sebelum ini.

Katanya, beliau telah pun membuat permohonan cuti tersebut daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

“Saya berharap SPRM akan dapat menjalankan siasatan sama ada saya terlibat atau tidak di dalam apa-apa keputusan yang dibuat oleh kerajaan mengenai NFC di mana suami saya Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail memegang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif,” katanya.

Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya diikuti dakwaan pembangkang wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta kepada NFC.

Ia termasuk dakwaan mengenai berlaku penyalahgunaan wang pinjaman yang diperoleh NFC bagi membeli kondominium mewah berharga RM9.8 juta di Lembah Klang.

Shahrizat sebelum ini menegaskan, beliau tiada kena-mengena dengan isu berkaitan NFC.Utusan Malaysia Online - Berita Utama:

'via Blog this'

Pertemuan Hadi, Pak Lah usaha dakwah - Nik Aziz


KOTA BHARU 12 Jan. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat enggan mengulas kenapa Majlis Syura tidak mengambil tindakan terhadap Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang.

Ini ekoran daripada perjumpaan Abdul Hadi dengan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi bagi membincangkan penubuhan kerajaan perpaduan antara Pas dan UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke -12 lalu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan sebaliknya menganggap perjumpaan antara Abdul Hadi dan Abdullah itu adalah umpama usaha dakwah iaitu memperkenalkan Islam kepada orang bukan Islam.

"Kita mahu sampaikan Islam kepada semua orang. Kalau orang Pas jumpa orang UMNO bagus kerana beri peluang kepada orang itu kenal Islam secara dekat, Islamkan komprehensif," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan dan Seminar Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Kelantan 2012 di sini, hari ini.

Nik Abdul Aziz diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Md. Alwi Che Ahmad bahawa Abdul Hadi perlu dipecat kerana telah datang ke kediaman rasmi Perdana Menteri untuk membincangkan mengenai pembentukan kerajaan perpaduan selepas pilihan raya umum lalu.

Md. Alwi yang juga bekas Setiausaha Politik Tun Abdullah menyatakan demikian kerana tindakan Abdul Hadi itu dilihat membelakangkan dasar parti tetapi tidak dipecat. Sebaliknya, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali dipecat kerana dianggap membelakangkan parti melalui kenyataan-kenyataan keras yang dikeluarkan.

Mengulas perkara itu, Nik Abdul Aziz sebaliknya meminta Md. Alwi dan pemimpin-pemimpin lain jangan mencampuri urusan dalam Pas kerana perjumpaan antara orang Pas dengan UMNO adalah usaha untuk memperkenalkan Islam kepada UMNO secara menyeluruh.

"Dia (Md. Alwi) sebenarnya orang UMNO, Pas ini parti lain, jangan campur hal orang lain, kalau campur hal orang lain, mereka campur hal kita pula," ujarnya.Utusan Malaysia Online - Politik:

'via Blog this'