Thursday, October 27, 2011

Umno terdesak, guna 3R tarik sokongan Melayu

Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 27 Oktober: Umno sedang cuba menggunakan strategi “3R” iaitu racial (perkauman), religion (agama) dan royal (raja) bagi memenangi undi pilihan raya, kata Timbalan Presiden PAS Haji Mohamad Sabu.

(Gambar: Mohamad Sabu menyampaikan Anugerah Tokoh PAS Pahang, Ustaz Idris Omar diwakili Pak Sheikh Hussin)

Beliau mendedahkan, serangan politik sedemikian digunakan setelah parti itu merasakan sukar dan tidak yakin untuk mendapatkan undi bukan Melayu dan bandar seperti keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

“Dalam keadaan politik sekarang untuk memenangi pilihan raya Umno mengharapkan empat komponen iaitu undi Melayu luar bandar, undi peneroka Felda, undi pos dan undi daripada Sabah serta Sarawak.

“Untuk itu strategi mereka mempermainkan isu-isu bersifat 3R iaitu racial (perkauman), religion (agama) dan royal (raja). Manakala negeri utama sasaran mereka ialah Selangor, Pulau Pinang dan Perak,” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 3,000 pendengar sempena Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat Negeri Pahang, di Tapak Kompleks PAS, Kerdau di sini malam tadi.

Turut berucap Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pemangku Pengerusi PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid, Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah dan Exco Pemuda PAS Pusat Kamal Ashaari.

Tambah Mohamad, dengan strategi 3R yang dimainkan itu membuat suhu politik negara menjadi panas mendidih, walhal semua itu dirancang Umno.

Beliau mengambil contoh mengenai tindak tanduk Umno cuba mengheret istana ke kancah politik dalam isu Lim Guan Eng dengan isu jenayah di Johor dan Dr Abdul Aziz Bari berkaitan titah Sultan Selangor.

“Nampak macam seolah-olah Umno mendukung raja. Tapi saya nak ingatkan pada tahun 1993 semasa saya menjadi ahli parlimen, pernah speaker menggantung peraturan Dewan yang menghalang menyentuh soal raja-raja. Masa itulah mereka ‘belasah’ raja-raja Melayu dalam isu kekebalan raja-raja dulu,” katanya.

Mat Indera dan Hang Jebat

Mengenai isu komunis yang cuba dikaitkan dengannya, Mohamad berkata itu merupakan isu baru yang mereka timbulkan untuk cuba bangkitkan kebencian sedangkan terdapat seorang bekas Menteri Besar (Umno) yang biasa melawat ke perkampungan bekas komunis di selatan Thailand untuk memberi bantuan.

Mohamad berkata, isu Mat Indera dan Bukit Kepong yang pernah dimainkan media satu ketika dulu hanyalah isu percanggahan pendapat tetapi sengaja dimainkan media untuk keuntungan politik.

“Contohnya macam ni... katakanlah ada seorang tu kata Hang Tuah hero, ada seorang lagi kata Hang Jebat hero. Sepatutnya bila timbul dua perbezaan pendapat begitu, berhujahlah secara ilmiah.

“Tapi apa yang berlaku apabila saya katakan Mat Indera yang menentang penjajah Inggeris itu sebagai pejuang kemerdekaan, saya dihentam dari segenap sudut sehingga ada yang cadang dilucut kewarganegaraan saya dan akhirnya didakwa di mahkamah,” katanya.

Umno terdesak, guna 3R tarik sokongan Melayu:

'via Blog this'

Lawak besar: Siapa halang guna dakwat kekal?

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 27 Okt: Pengakuan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa dakwaan badan itu yang sedang mengkaji penggunaan dakwat kekal sebagai "lawak besar" menimbulkan penuh tanda tanya kepada pelbagai pihak.

Sehubungan itu, persoalan selanjutnya yang timbul dan ingin diketahui oleh orang ramai tentunya mengenai pihak sebenarnya yang menghalang penggunaan dakwat kekal dalam pilihanraya di negara kita sejak dulu hingga sekarang.

Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat berkata, pengakuan Rashid perlu disusuli pendedahan itu kerana jika tidak bekas pengerusi SPR itu sendirilah yang membuat lawak.

Menurut beliau, penggunaan dakwat kekal sememangnya sesuatu yang praktikal bagi pilihanraya dan ia turut diakui oleh SPR, tetapi gagal dilaksanakan kerana dihalang oleh pihak tertentu.

Katanya, realiti itu terserlah dengan pengakuan Rashid sendiri kepada pihak media hari itu sehingga jelas memperlihatkan cengkaman yang dialami oleh badan tersebut untuk melaksanakan peranannya dengan sempurna.

"Jika sudah begitu realitinya, siapakah sebenarnya yang bersalah? Siapakah sebenarnya yang menghalang penggunaan dakwat kekal dalam pilihanraya di negara kita?

"Inilah persoalannnya sekarang yang perlu dijawab oleh Tan Sri Abdul Rashid sendiri selaku pihak yang berpengalaman dan terbabit secara langsung dalam hal itu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman seperti pengakuannya kepada pihak media hari ini berkata, beliau sememangnya menyokong penggunaan dakwat kekal, tetapi beliau dibidas teruk kerana menarik balik keputusan untuk menggunakan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 tahun 2008 lalu.

Katanya, tamparan akibat penarikan keputusan itu beberapa hari sebelum pilihan raya umum 2008 sebegitu hebat, sehingga beliau menganggapnya sebagai kegagalan terbesar dalam tempoh 26 tahun perkhidmatannya.

"Saya juga menimbangkan kemungkinan meletakkan jawatan, tetapi dinasihatkan oleh banyak kawan-kawan yang rapat supaya tidak berbuat demikian bagi mengelakkan krisis perlembagaan,” katanya.

Menurut Abdul Rashid, belia menyokong penggunaan dakwat bukan kerana terdapat bukti penipuan berlaku tetapi untuk meyakinkan orang ramai dengan integriti badan tersebut bagi pengendalian pilihan raya di negara ini.

Lebih jauh dari itu, beliau mengakui dakwaan SPR sekarang yang mengaku sedang mengkaji penggunaan dakwat kekal sebagai "lawak besar", namun enggan mencari musuh terutama setelah menjadi pesara sekarang.

Beliau juga berkata, sikap beberapa sektor kerajaan yang menyumbang kepada keputusan penggunaan dakwat kekal ditarik balik sebagai "tidak bertamadun dan bodoh" dan sedikit sebanyak menyumbang kepada bantahan yang merebak ke jalanan pada Julai lalu.

Menurut Suhaizan, penggunaan dakwat kekal sememangnya sesuatu yang praktikal bagi pilihanraya bagi mengelakkan pertindihan pengundian dan pembuangan undi dua kali.

"Kaedah tersebut ternyata jauh lebih berkesan berbanding penggunaan sistem biometrik yang memerlukan perbelanjaan jauh lebih besar.

"Sekiranya dakwah kekal tidak boleh digunakan, apakah kaedah yang boleh dipakai untuk pilihan raya yang telus dan adil di negara kita?" katanya yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Johor.

Lawak besar: Siapa halang guna dakwat kekal?:

'via Blog this'