Tuesday, November 26, 2013

Seramai 1.12 juta orang rebut 19,000 jawatan kerajaan di China

SEJUMLAH calon tiba untuk mengambil peperiksaan menduduki jawatan kerajaan di sebuah universiti di Nanjing kelmarin.


BEIJING - Seramai 1.12 juta orang kelmarin mengambil Peperiksaan Perkhidmatan Kebangsaan untuk mengisi hanya 19,000 jawatan dalam kerajaan China.
Persaingan sengit berlaku dalam Suruhanjaya Hubungan Etnik Kebangsaan apabila 14,384 calon menduduki peperiksaan untuk merebut hanya dua jawatan.
Peperiksaan untuk memegang jawatan dalam perkhidmatan kerajaan itu telah diperkenalkan pada abad ketujuh semasa negara tersebut mengamalkan pemerintahan beraja.
Jawatan dalam perkhidmataan kerajaan menjadi daya tarikan penduduk China kerana ia menyediakan banyak faedah untuk penjawat awam selain ia dianggap sebagai pekerjaan yang stabil.
Peperiksaan itu diadakan di beberapa buah lokasi seperti di dewan universiti di negara ini. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2ljtrb79R 
Hakcipta terpelihara 

Peguam saman Peguam Negara, 10 lain lebih RM47j

Rosli Dahlan
Rosli Dahlan

KUALA LUMPUR - Seorang peguam telah memfailkan saman berjumlah lebih RM47 juta terhadap Peguam Negara, bekas Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kerajaan  Malaysia dan tujuh lagi atas dakwaan mendakwanya secara salah.
  
Rosli Dahlan, memfailkan saman itu Jumaat lepas di Mahkamah Tinggi Sivil di sini melalui Tetuan Kumar Partnership.
  
Media memperoleh writ samannya hari ini.
  
Dalam pernyataan tuntutannya, beliau menamakan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed, SPRM, Kerajaan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, tiga Timbalan Pendakwa Raya, seorang pegawai penyiasat SPRM, dan seorang pegawai polis sebagai defendan.
 
Rosli mendakwa defendan-defendan dengan niat jahat menangkapnya dan mendakwanya di mahkamah berhubung kes di bawah SPRM.
  
Peguam itu berkata bagaimanapun beliau telah dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 20 Disember 2010.
  
Beliau mendakwa tindakan defendan-defendan telah menyebabkannya dan keluarganya mengalami trauma, penghinaan, cemuhan, ejekan, kesakitan dan penderitaan.
  
Rosli menuntut ganti rugi punitif, teruk dan teladan berjumlah RM47 juta dan ganti rugi khas berjumlah RM750,000, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah. - Bernama