Tuesday, September 28, 2010

Pemuda UMNO, PAS, PKR timbang ajakan PERKASA





2010/09/28

KUALA LUMPUR: Kepimpinan Pemuda UMNO, Dewan Pemuda PAS dan PKR bersetuju dan bersedia menimbang ajakan Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Kedah untuk mengadakan rundingan meja bulat membincangkan isu perpaduan Melayu. 

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata pergerakan itu bersetuju dengan cadangan Wira PERKASA dan sentiasa terbuka berbincang mengenai isu perpaduan Melayu.
“Perpaduan Melayu bukan milik UMNO saja tetapi merangkumi semua orang Melayu termasuk orang Melayu dalam PAS, PKR dan badan bukan kerajaan yang berteraskan Melayu.
“Cadangan persidangan meja bulat membincangkan perpaduan Melayu mesti dijadikan kenyataan membabitkan parti politik, termasuk pertubuhan Melayu dan bukan hanya cakap-cakap saja,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam. 

Kelmarin, Ketua Wira PERKASA Kedah, Shaharol Niza Omar mengajak pemimpin sayap Pemuda UMNO, PAS dan PKR menyertai rundingan meja bulat bagi membincangkan isu perpaduan Melayu. 

Shaharol Niza berkata, pihaknya berpendapat perpecahan bangsa Melayu sudah sampai ke tahap serius dan pihaknya bersedia menjadi orang tengah menemukan pemimpin sayap pemuda tiga parti itu mencari jalan penyelesaian demi masa depan perjuangan Melayu. 

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani, pula berkata cadangan rundingan meja bulat antara pemimpin sayap UMNO, PAS dan PKR adalah idea yang baik. 
Katanya, Dewan Pemuda PAS Pusat bersedia untuk memberikan kerjasama kerana rundingan berkenaan membawa kepada kebaikan umat Islam dan orang Melayu di negara ini. 

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Amirudin Shari, berkata pihaknya berminat dengan cadangan berkenaan bagi membincangkan masalah sebenar orang Melayu dan bukannya isu perpaduan semata-mata. 

“AMK mahu perbincangan intelek dan sihat dalam hal ini dan ia harus mengambil berat masalah sebenar orang Melayu pada zaman sekarang dan bukan isu perpaduan Melayu berdasarkan emosi,” katanya.

Azizan alu-alukan kedatangan I'DA World ke Kedah





2010/09/28

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah mengalu-alukan kedatangan I'da World Group Sdn Bhd (I'DA World), syarikat yang mencetuskan kontroversi apabila mengumumkan sumbangan RM4 bilion kepada PAS Kelantan baru-baru ini, jika syarikat itu benar-benar mahu melaksanakan projek pembangunan di negeri ini. 

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata bagaimanapun syarikat berkenaan perlu mematuhi syarat dan prosedur yang ditetapkan kerajaan jika mahu melabur di Kedah.
“Jika projek yang dicadangkan itu boleh membawa manfaat kepada penduduk kenapa tidak? Seperti syarikat lain, ia perlu mematuhi prosedur tertentu, termasuk mengemukakan kertas cadangan mengenai projek ingin dilaksanakan dan kerajaan akan melakukan penilaian.
“Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan mana-mana syarikat yang mahu melaksanakan projek pembangunan untuk menjana ekonomi dan mampu meningkatkan taraf hidup penduduk Kedah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pecah tanah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Pumpong di sini, semalam. 

Hadir sama, Ahli Parlimen Alor Setar yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung. 

Azizan berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan negeri akan membenarkan I'DA World melaksanakan projek pembangunan di negeri ini. 

“Buat masa ini kita belum berurusan dengan syarikat berkenaan,” katanya. dan saya juga belum pernah bertemu wakilnya," katanya. 

Beliau juga menafikan laporan yang menyebut syarikat itu akan terbabit dalam pembinaan saluran paip gas dan minyak dari Kuala Kedah, dekat sini ke Tumpat di Kelantan. 

I'DA World mencetuskan kontroversi baru-baru ini apabila Pengerusi Eksekutifnya, Abdul Rahim Abdul Wahab mengumumkan sumbangan RM4 bilion kepada PAS Kelantan untuk membantu kerajaan negeri membangunkan prasarana beberapa jajahan di negeri itu. 

Abdul Rahim dilaporkan berkata, sumbangan itu tiada kena mengena dengan Projek Super Mega Seri Tujuh (S7), di Tumpat, Kelantan, membabitkan kos RM313.71 bilion yang akan dibangunkan oleh syarikat berkenaan. 

Replika cek RM4 bilion itu diserahkan kepada Nik Din Nik Mat, yang juga adik Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada satu majlis makan malam anjuran syarikat berkenaan. 

Khamis lalu, akhbar melaporkan Kerajaan PAS Kelantan mengambil tindakan menyenaraihitamkan I'DA World daripada menjalankan sebarang aktiviti membabitkan negeri itu.

SPR belum terima notis kekosongan kerusi GALAS





2010/09/28

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih lagi menunggu notis rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berhubung kekosongan kerusi DUN Galas berikutan kematian penyandangnya, Che Hashim Sulaima semalam. 

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata beliau menjangkakan notis itu akan diterima sama ada esok atau Khamis.
"Sekiranya notis diterima, SPR mempunyai masa sehingga 7 Oktober untuk membuat pengumuman mengenai pilihan raya kecil," katanya ketika di sini hari ini.
Che Hashim, 46, daripada PAS memenangi kerusi Galas pada pilihan raya umum pada 2008 dengan menewaskan Mohd Saufi Deraman daripada Barisan Nasional dengan kelebihan 646 undi. 

Beliau meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur semalam akibat kanser. - BERNAMA

Dari mana kekayaan luarbiasa ahli keluarga Reezal Merican ?

Reezal Merican Naina Merican Ketua Pemuda UMNO Kepala Batas perlu mendedahkan kepada umum dari mana sumber kekayaan ahli keluarganya secara tiba-tiba.


Bapanya cuma seorang kakitangan awam biasa di Jabatan Pengangkutan Jalan manakala ibunya seorang jururawat desa.

Semasa hayatnya bapanya memiliki sebuah lori kecil empat tayar bagi menjalankan perniagaan 'gas masak'.

Reezal sendiri selepas tamatkan pengajian di IPTA, bekerja dengan Shahrizat Abdul Jalil.

Secara tiba-tiba apabila mendampingi Abdullah Badawi keluarga ini sudah mempunyai rumah harga berjuta-juta di Shah Alam, projek di sana-sini dan begitu juga memiliki banyak kereta mewah.

Orang Penang terkejut dengan kemewahan luar biasa keluarga Naina Merican ini dan berharap Reezal dapat memberitahu sumber kekayaan ahli keluarganya.

Orang ramai berpendapat jika ianya dari sumber halal - tidak mengapa. Jika dari sumber haram, orang Islam lebih rela menjauhi harta dan keluarga seumpama itu.

Itulah sebabnya UMNO dan Barisan Nasional bermati-matian enggan mengistiharkan harta yang mereka kira "harta emak bapa" mereka.


sumber

Kes liwat jejas reputasi negara

TINJAUAN pelaburan Malaysia di seberang laut pada masa ini amat menggalakkan, tapi beberapa isu perlu ditangani agar tidak menjejaskan reputasi negara di kalangan pelabur asing.
Hartawan yang memiliki syarikat penerbangan Virgin, Sir Richard Branson memberi contoh kes liwat bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘duri dalam daging’ di sebalik reputasi baik Malaysia.
Bercakap kepada kira-kira 800 pemimpin perniagaan di sini, beliau berkata, imej negara masih lagi penting kerana ia membolehkan kerajaan menarik pelabur dan pada masa sama, melaksanakan dasar yang lebih baik untuk melengkapinya.

“Saya rasa Malaysia mempunyai reputasi yang baik, tetapi beberapa isu seperti apa yang berlaku dengan bekas Timbalan Perdana Menteri anda, menjejaskan Malaysia,” kata beliau pada majlis khas forum Invest Asia 2010, anjuran International Herald Tribune di Kuala Lumpur, semalam. - Bernama

Arab Saudi gagalkan 230 serangan pengganas



RIYADH - Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Nayef bin Abdul Aziz memberitahu, pihak berkuasa negara itu telah berjaya menggagalkan 230 serangan yang dirancang oleh pengganas. Menurutnya, hanya sepuluh serangan dapat dilakukan oleh pengganas dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
"Arab Saudi menangani ancaman keganasan dengan sedaya upaya dan pihak berkuasa setakat ini berjaya menggagalkan 230 serangan daripada 240 percubaan pengganas," lapor akhbar Saudi Gazette.
Bercakap pada pembukaan persidangan Pendekatan Sederhana Arab Saudi di Universiti Raja Abdul Aziz di Jeddah kelmarin, Putera Nayef yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri Kedua menegaskan ekstremis dan keganasan adalah bertentangan dengan pegangan serta tradisi Islam. - AFP

Bekas Menteri Luar Mesir meninggal dunia



AHMED MAHER


KAHERAH - Bekas Menteri Luar Mesir, Ahmed Maher yang terkenal di kalangan dunia Arab telah meninggal dunia ketika berusia 75 tahun.
Agensi berita MENAmelaporkan, Ahmed Maher meninggal dunia pagi semalam kira-kira sejam selepas dia dimasukkan ke sebuah hospital kerana mengalami masalah kesihatan.
Pada 2003, selepas Ahmed Maher bersolat di Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis, beberapa penduduk Palestin membaling kasut ke arahnya kerana marah dengan tindakan beliau melawat Israel.
Beliau berkhidmat sebagai Menteri Luar dari 2001 hingga 2004.
Dia dipanggil semula daripada persaraan sebagai Menteri Luar untuk memegang jawatan tersebut pada 2001 bagi menggantikan Amr Moussa yang menjadi Setiausaha Agung Liga Arab.
Ahmed Maher merupakan Duta ke Washington sehingga 1999.
Sebelum ini dia pernah berkhidmat di Afrika dan Eropah termasuk di Moscow selama sembilan tahun.
Dia menghabiskan masa pada tahun-tahun terakhir dengan menulis dan memberi syarahan mengenai dasar luar negara. - AP

Kes bekas Presiden Perancis digugurkan




JACQUES CHIRAC (kiri) tiba di pejabatnya di Paris semalam.


PARIS - Dewan Bandar Raya Paris telah menggugurkan satu kes undang-undang ke atas bekas Presiden Perancis, Jacques Chirac selepas beliau serta partinya bersetuju untuk membayar pampasan atas kerugian yang dialami akibat satu skandal rasuah semasa beliau menjadi Datuk Bandar.
Semalam, 147 anggota Dewan Bandar Raya Paris itu mengundi menyokong kes itu digugurkan manakala 13 lagi menolak dan seorang anggota bertindak berkecuali.
Chirac dan parti konservatif UMP bersetuju membayar pampasan sebanyak AS$2.95 juta (RM9.12 juta).
Pemimpin itu berdepan satu perbicaraan atas dakwaan menggelapkan wang dan pecah amanah berikutan satu kes rasuah sewaktu Chirac menjadi Datuk Bandar dari tahun 1977 hingga 1995.
Pada 1 Oktober depan, sebuah mahkamah di Paris akan menetapkan tarikh perbicaraan yang mungkin berlangsung pada bulan November atau Februari. - AP

ADUN Galas meninggal dunia kerana barah





KOTA BHARU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Chek Hashim Sulaima (gambar), 46, yang menghidap barah paru-paru meninggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru, Kuala Lumpur kira-kira pukul 4.30 petang semalam.
Pegawai khasnya, Tuan Hassan Tuan Sulaiman berkata, Allahyarham telah dimasukkan ke hospital tersebut lima hari lalu selepas menerima rawatan tradisional sejak 14 September lalu di sekitar Kuala Lumpur.
Beliau berkata, setelah menjalani pemeriksaan menyeluruh, doktor mengesahkan keseluruhan paru-paru wakil rakyat tersebut telah diselaputi dengan air.
"Chek Hashim telah dibawa ke Kuala Lumpur pada hari raya kelima lalu untuk rawatan tersebut sebelum dibawa ke pusat rawatan ini sejak lima hari lalu untuk pemeriksaan lanjut.
"Bagaimanapun, keadaannya bertambah kritikal hari ini (semalam) dan beliau berada dalam keadaan separuh sedar sebelum menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 4.30 petang," katanya ketika dihubungi semalam.

Bapa kesal suspek kes rogol gagal ditangkap



GERIK 27 Sept. - Seorang bapa kesal kerana polis sehingga kini masih gagal menangkap suspek yang merogol anak perempuannya berusia 17 tahun sehingga melahirkan anak luar nikah, tiga bulan lalu.
Menurut Rosli Abd. Kadir, 47, dia telah membuat laporan di Balai Polis Gerik, lapan hari selepas dimaklumkan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, bahawa anaknya telah melahirkan anak, 29 Mei lalu.
Katanya, bagaimanapun kes itu sehingga kini tiada perkembangan.
"Ketika kejadian, anaknya itu yang masih bersekolah serta tiga anaknya dijaga oleh bekas isteri dan suami barunya di Felda Lawin Selatan.
"Saya telah bertanya kepada anak dan isteri saya siapa melakukan perbuatan itu tetapi mereka seolah-olah hendak menyembunyikan sesuatu.
"Saya mahu pihak polis menyiasat kes itu secara menyeluruh dan mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti bapa bayi itu," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Supritendan Mahad Nor Abdullah ketika ditemui memberitahu, polis sukar menjalankan siasatan kerana mangsa tidak mahu menceritakan kejadian sebenar.
"Namun, setelah didesak beberapa kali, mangsa akhirnya memberitahu dia dirogol di dalam ladang getah Felda Lawin Selatan ketika menolong bapa tirinya mengutip getah beku.
"Mengikut keterangan mangsa, dia dirogol oleh seorang lelaki memakai topeng muka semasa ditinggalkan berseorangan oleh bapa tirinya yang pergi ke kedai untuk menjual getah beku," katanya.
Beliau berkata, polis juga telah menyoal siasat pekerja-pekerja ladang getah terbabit tetapi gagal menemui sebarang bukti.

Netanyahu tidak lanjutkan pembekuan



Pendatang Yahudi menurunkan acuan simen pada batu asas bagi pembinaan bangunan di kawasan penempatan haram Kiryat Netafim di Tebing Barat, Palestin, kelmarin. – AP


BAITULMAQDIS 27 Sept. – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membiarkan pembekuan ke atas aktiviti pembinaan perumahan haram Yahudi di wilayah Palestin berakhir tengah malam tadi tanpa menghiraukan tekanan hebat masyarakat antarabangsa supaya beliau melanjutkan tempoh itu.
Netanyahu, bagaimanapun menggesa Presiden Palestin, Mahmoud Abbas tidak menarik diri daripada rundingan damai secara langsung dengan Israel sebagai protes.
“Saya menggesa Presiden Abbas meneruskan rundingan positif dan jujur yang baru kita lancarkan dalam usaha untuk mencapai perjanjian damai bersejarah antara kedua-dua rakyat kita,” kata Netanyahu dalam kenyataan, awal hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan sejurus selepas beliau membiarkan pembekuan selama 10 bulan ke atas sebahagian pembinaan kawasan penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin berakhir tanpa dilanjutkan.
Abbas sebelum ini menggesa Netanyahu melanjutkan pembekuan tersebut.
“Presiden Abbas mahu meneruskan rundingan tetapi Netanyahu mesti mengambil keputusan untuk membekukan aktiviti pembinaan bagi mewujudkan suasana yang sesuai untuk meneruskan rundingan damai,” kata jurucakap Abbas, Nabil Abu Rudeina kepada AFP di Paris.
Amerika Syarikat (AS) juga mengulangi desakannya supaya Israel terus membekukan pembinaan kawasan perumahan haram baru Yahudi, dan berkata, pendirian Washington berhubung isu tersebut masih tidak berubah.
“Kami terus berhubung rapat dengan kedua-dua pihak dan akan menemui mereka lagi pada hari-hari akan datang,” kata jurucakap Jabatan Negara, PJ Crowley.
Abbas telah berkali-kali memberi amaran beliau akan menarik diri daripada rundingan damai yang dilancarkan semula di White House pada awal bulan ini jika Israel menyambung semula aktiviti pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.
Namun, Abbas semalam berkata, beliau akan menemui menteri-menteri luar Arab pada 4 Oktober ini terlebih dahulu sebelum memutuskan langkah seterusnya.
Kawasan penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin adalah antara isu paling hangat dalam konflik Israel-Palestin.
Buat masa ini kira-kira 500,000 rakyat Israel tinggal di lebih 120 kawasan penempatan haram Yahudi di serata tempat di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis, wilayah-wilayah yang dituntut oleh Palestin untuk dijadikan negara mereka kelak. – AFP

PDRM, SKMM diarah siasat paderi hina Islam



KUALA LUMPUR 27 Sept. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat tindakan seorang paderi yang didakwa menyampaikan ceramah menghina Islam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ceramah yang dimuat naik ke dalam laman web Youtube itu merupakan satu tindakan biadap dan boleh mengugat keharmonian negara.
Beliau yang berang dengan perbuatan itu turut meminta PDRM merujuk kepada pejabat Peguam Negara untuk merangka tindakan boleh diambil terhadap paderi terbabit.
"Bagi penyiaran ceramah dalam laman YouTube, kita menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada SKMM.
"Jika benar, hukuman yang setimpal perlu dijatuhkan kepada paderi itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan pendedahan Presiden Penaja Perikatan Blogger Muslim (MBA), Zainol Abideen tentang tindakan seorang paderi, Benjamin Stephen yang didakwa menghina agama Islam dan Rasulullah.
Paderi tersebut dilaporkan menghina Islam ketika menyampaikan ceramahnya di sebuah gereja di Kuching, Sarawak baru-baru ini.
Zainol dalam blognya http://mahaguru58.blogspot.com turut meminta pihak berkuasa bertindak pantas sebelum umat Islam bertindak sendiri.
Hishammuddin memberitahu, beliau sendiri akan turut memantau perjalanan kes tersebut.
"Kita perlu yakin kes itu dapat diselesaikan melalui kepakaran yang ada pada PDRM dan SKMM.
"Selain itu, pejabat Peguam Negara juga akan membantu dalam mendapat bukti kukuh untuk mengheret paderi berkenaan ke mahkamah," tegasnya.

Ibu kesal pusat asuhan terlepas walaupun berlaku 2 kes kematian



Mazliana Nordin dan suaminya Mohd. Shahrunniezam Raihan bersama anaknya Mohamad Emier menunjukkan laporan polis dan gambar Nuramierah yang mati tercekik susu semasa di sebuah pusat asuhan pada sidang akhbar di Putrajaya, semalam. - Utusan/HANAFI KHAMIS


PUTRAJAYA 27 Sept. - Seorang ibu berasa sedih dan terkilan apabila setelah bertarung nyawa melahirkan bayi perempuan pertama melalui pembedahan, namun cahaya mata itu mati akibat tercekik susu, gara-gara kecuaian pusat asuhan yang menjaga anaknya tersebut.
Kelahiran Nuramierah Mohd. Shahrunniezam memang dinanti-nantikan oleh Mazliana Nordin, 27, dan suaminya, Mohd. Shahrunniezam Reihan, 36, bagi melengkapkan keluarganya setelah memperoleh anak sulung lelaki sebelum itu.
Malah, kelahiran anak kedua Mazliana itu amat menggembirakan ibunya, Kalsom Karim, 50, kerana pertama kali mendapat cucu perempuan.
Apatah lagi dalam keluarga mereka memang tidak ramai perempuan memandangkan Mazliana merupakan anak perempuan tunggal daripada empat adik-beradik.
Namun, malang sekali permata hati itu hanya sempat dibelai dan dilihat membesar sembilan bulan kerana Nuramierah disahkan mati akibat tercekik susu oleh doktor yang merawatnya di Hospital Putrajaya di sini pada 20 September lalu.
Kematian Nuramierah adalah kes kedua bayi mati akibat tercekik susu semasa di bawah penjagaan pusat asuhan yang dilaporkan berlaku di Putrajaya pada minggu lalu.
Pada Jumaat lalu, seorang bayi perempuan berusia tiga bulan, Farisha Nur Hazreen Fairuz Mohammad dilaporkan mati akibat tercekik susu setelah dibiarkan minum susu bersendirian oleh pengasuh.
Bagi kes Nuramierah pula, difahamkan insiden menimpa bayi malang itu adalah kali kedua berlaku di pusat asuhan terbabit setelah bayi seorang guru dilaporkan mati di situ pada 7 Julai tahun lalu.
Meskipun demikian. dua kes itu tidak menghalang pusat asuhan tanpa lesen terletak di Presint 18 di sini terus beroperasi, malah tinjauan Utusan Malaysia di premis terbabit mendapati ibu bapa masih lagi menghantar anak-anak mereka di pusat asuhan berkenaan pada hari ini.
Difahamkan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengetahui kewujudan pusat asuhan yang beroperasi tanpa lesen itu tetapi sehingga kini tidak mengambil tindakan terhadap pemiliknya yang dikatakan anak seorang kenamaan.
Menurut Mazliana, dia dihubungi oleh pemilik pusat asuhan terbabit memaklumkan Nuramierah dihantar ke Unit Kecemasan, Hospital Putrajaya, setelah mendapati tubuh anaknya tersebut bertukar kebiruan pada pukul 2 petang, 20 September lalu.
"Kejadian itu berlaku pada hari pertama saya bekerja selepas pulang bercuti ke kampung saya di Perling, Johor, untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri lalu.
"Dalam keadaan cemas, saya bergegas ke hospital dan menunggu kira-kira setengah jam sebelum dimaklumkan doktor, bayi saya sudah meninggal dunia akibat tercekik susu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks E7, Kementerian Kesihatan di sini hari ini.
Mazliana yang merupakan pembantu tadbir di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kementerian Kesihatan memberitahu, dia berasa amat terkilan apabila pemilik pusat asuhan menjaga bayinya bersikap lepas tangan selepas kejadian tersebut.
Menurutnya, pemilik pusat asuhan itu langsung tidak meminta maaf atau membuat laporan polis, sebaliknya menyebarkan khabar angin kononnya Nuramierah mati kerana sudah sakit semasa dihantar oleh ibunya pada hari kejadian.
Tuduhan pemilik pusat asuhan terbabit dinafikan sekeras-kerasnya oleh Mazliana kerana katanya, bayinya sihat sebelum itu, malah hasil laporan bedah siasat mengesahkan Nuramiera mati semasa dihantar oleh pengasuh ke hospital akibat tercekik susu.

Erni teruskan usaha terakhir ibu





Erni Dekritawati berjalan keluar sambil ditemani Zulkifli Bujang (belakang) selepas ditemuramah dalam program kerusi panas di Bernama Radio 24 di bangunan Bernama, Kuala Lumpur, semalam. – utusan/ASWAD YAHYA


KUALA LUMPUR 27 Sept. – Erni Dekritawati Yuliana Bukhairi akan meneruskan beberapa usaha terakhir ibunya, Datuk Sosilawati Lawiya termasuk membuat tuntutan terhadap bekas suaminya, Nash atau Jamaludin Elias.
Beliau berkata, meskipun perhubungan adik beradiknya dengan bekas penyanyi kumpulan Lefthanded itu masih akrab namun tuntutan tersebut terpaksa diteruskan bagi menyempurnakan usaha terakhir ibunya.
“Kalau dilihat pada usaha ibu (Sosilawati) yang begitu bersungguh-sungguh membuat tuntutan itu, saya rasa perlu untuk kami meneruskannya.
“Tetapi perkara ini masih dalam perbincangan antara saya dan adik-adik. Semalam kami telah berbincang mengenainya tapi masih belum membuat keputusan.
“Saya hanya dapat memberi keputusan ini selepas berbincang serta mendapat pendapat seluruh ahli keluarga,” katanya ketika menjadi tetamu Kerusi Panas kepada Radio 24 di sini petang ini, yang dikendalikan penyampai, Azman Idris.
Pada 26 Ogos lalu iaitu empat hari sebelum Sosilawati dilaporkan hilang, beliau telah memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, bahawa wang RM1.38 juta yang digunakan untuk membayar hutang rumah serta dilaburkan dalam tiga akaun atas nama Nash adalah hasil titik peluhnya sendiri.
Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain bagaimanapun menyambung perbicaraan tersebut pada 2 dan 3 Februari tahun depan.
Selain itu, Erni Dekritawati Yuliana memberitahu, beliau juga akan berusaha untuk menyenaraikan syarikat kosmetik ibunya, Nouvelle Visages di bursa saham.
Kepada satu soalan, beliau berkata, penyenaraian nama syarikat kosmetik berkenaan di bursa saham adalah matlamat ibunya dalam perniagaan.
Sambil tidak menafikan Sosilawati turut memiliki syarikat hartanah dan penjualan kereta, katanya, beliau akan berusaha untuk meneruskan hasrat ibunya itu dalam tempoh dua tahun.
Menurutnya, setakat ini perniagaan yang ditinggalkan ibu masih berada dalam keadaan baik.
“Walaupun perniagaan kosmetik itu kehilangan ibu, tetapi penjualan produknya masih berada dalam keadaan baik.
“Apa yang saya dapat beritahu juga setakat ini tidak ada kerugian dan tidak terdapat keuntungan berganda, semuanya seperti biasa,” ujarnya.
Malah jelasnya, kejadian yang menimpa ibunya telah melonjakkan nama Nouvelle Visages menjadi terkenal ketika ini.
Dalam pada itu, ditanya siapa yang menjadi mentor untuknya meneruskan empayar perniagaan tersebut, katanya, bapa kandungnya Bukhairi Mohamed akan memimpin beliau dan adik-adiknya.
Sosilawati, 47, serta pemandu peribadinya, Kamarudin Shamsudin, 44; pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38 dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Setelah lebih seminggu hilang akhirnya misteri itu terjawab apabila polis menahan lapan suspek untuk membantu siasatan kes berkenaan pada 9 dan 10 September lalu.
Keempat-empat mereka dibunuh secara kejam oleh suspek dengan mayatnya dibakar manakala abu pula dibuang ke dalam sungai dekat Ladang Gadong, Banting.