Thursday, June 18, 2015

Xinjiang larang penduduk puasa

Beijing: Beberapa jabatan kerajaan tempatan di Xinjiang, wilayah barat jauh di China, meningkatkan kawalan terhadap penduduk Islam, khususnya etnik Uighur, menjelang Ramadan, termasuk memaksa pegawai berikrar untuk tidak berpuasa.
Bulan suci itu yang bermula hari ini, dianggap tempoh sensitif di Xinjiang berikutan dakwaan Beijing kononnya penduduk Islam di wilayah itu bertanggungjawab terhadap keganasan sepanjang tiga tahun lalu hingga mengorbankan ratusan nyawa.
Sejak beberapa hari lalu, media dan laman web kerajaan di Xinjiang menyiarkan berita dan notis rasmi kerajaan mendesak anggota parti, kakitangan kerajaan, pelajar dan guru supaya tidak berpuasa, sama seperti yang dilakukan tahun lalu.
Di Jinghe, daerah yang bersempadan dengan Kazakhstan, pegawai keselamatan berkata minggu lalu, mereka akan memantau dan menggalakkan restoran halal menjalankan perniagaan seperti biasa sepanjang Ramadan.
Restoran yang berbuat demikian tidak akan diserbu pegawai pemeriksa makanan.
Beberapa institusi lain kerajaan juga mengeluarkan arahan serupa.
Di daerah Maralbexi, tempat 21 orang terbunuh dalam kekacauan pada 2013, pegawai parti dipaksa berikrar secara lisan dan bertulis bahawa mereka ‘tidak ada kepercayaan kepada agama, tidak akan menghadiri aktiviti keagamaan dan tidak akan berpuasa sepanjang Ramadan.’
Kumpulan Uighur yang hidup dalam buangan dan aktivis hak asasi manusia berkata, dasar kerajaan China di Xinjiang, termasuk menyekat amalan keagamaan, menyemarakkan keganasan.
Beijing menafikan dakwaan itu.
Dalam kenyataannya, Dilxat Raxit, jurucakap Kongres Uighur Sedunia, berkata: “KeIslaman etnik Uighur dipolitikkan. Tindakan itu akan mencetuskan lebih banyak bantahan ganas.”
Jurucakap kerajaan Xinjiang yang dihubungi untuk mengulas perkembangan itu enggan menjawab panggilan telefon.
Pihak berkuasa Xinjiang sering menafikan dakwaan mereka menghalang penduduk Islam berpuasa, tetapi mengaku pegawai dan golongan muda berusia bawah 18 tahun diharamkan menyertai aktiviti keagamaan.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 11:05 AM

GAMBAR fail menunjukkan umat Islam di Xinjiang menunaikan solat di sebuah masjid, tahun lalu.

PR berpecah: Azmin jumpa Sultan Selangor

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR - Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dilaporkan akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam masa terdekat.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli pertemuan tersebut diadakan bagi tujuan meyakinkan Baginda bahawa pengurusan pentadbiran negeri itu tidak akan terjejas selepas perpecahan PR.

Menurutnya lagi, Mohamed Azmin juga akan memaklumkan kepada Baginda bahawa ketiga parti Pas, PKR dan DAP akan terus bekerjasama walaupun tidak lagi bersama sebagai sebuah kerajaan campuran.

"Saya diberitahu bahawa Azmin akan memberi taklimat kepada Sultan dalam masa terdekat.

"Keputusan bubar PR dibuat dengan rundingan bersama DAP dan Pas, langkah terbaik adalah meneruskan kerjasama politik dalam bentuk kerajaan campuran di peringkat negeri," katanya seperti dipetik menerusi laporan sebuah portal hari ini.

Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan perikatan PR yang dibina berlandaskan perhubungan PKR, Pas dan DAP telah berkubur.

Dalam satu kenyataan Wan Azizah berkata, gabungan tiga parti itu kini tidak lagi berfungsi secara formal.

[ARTIKEL BERKAITAN: Wan Azizah sahkan PR berkubur]

AS larang penyeksaan

AS larang penyeksaan
Penunjuk perasaan mengadakan bantahan terhadap penyeksaan di hadapan Rumah Putih.

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Senat Amerika Syarikat (AS) kelmarin, membuat undian melarang penyeksaan semasa soal siasat dengan tujuan  menamatkan kekejaman seperti yang dilakukan kepada suspek serangan 11 September 2001.

Menurut  AFP, langkah itu disambut baik apabila mendapat 78 undi sokongan, termasuk semua anggota Demokratik dan 32 ahli Republik, manakala 21 lagi menolak.

Antara menyokong termasuk, John McCain, yang pernah diseksa di Vietnam, di mana beliau merupakan seorang tahanan perang selama lebih lima tahun selepas ditembak di Hanoi pada 1967.

"Pindaan ini memberi jaminan bahawa AS tidak akan lagi menggunakan segala kekerasan untuk keperluan keselamatan jangka pendek," katanya.

Difahamkan, larangan tersebut diluluskan dalam bentuk pindaan kepada Akta Pertahanan Kebenaran Kebangsaan 2016, yang masih dalam perbincangan Kongres.

Dalam satu laporan dikeluarkan Senator Dianne Feinstein akhir tahun lalu, beliau menjelaskan bahawa Agensi Perisikan Pusat (CIA) menggunakan teknik kejam seperti Waterboarding dan memberi makan rektum sebagai langkah penyeksaan.

Dapat MyKad pada usia 73 tahun


Asmah gembira menunjukkan MyKad miliknya di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Seorang wanita warga emas teruja selepas menerima kad pengenalan (MyKad) serta surat beranak daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) buat kali pertama pada usia 73 tahun.
Asmah Deraman, 73, memberitahu, sepanjang hidupnya itu, ini kali pertama dia mempunyai MyKad dan keciciran dalam membuatnya selepas dilahirkan berikutan masalah peribadi.
Kosmo! difahamkan, Asmah pernah berkahwin tapi bercerai. Dalam perkahwinan itu Asmah yang berasal dari Salor, Kota Bharu tidak dikurniakan cahaya mata.
“Perasaan mak cik amat gembira. Dahulu ke klinik pun susah sebab tak ada MyKad. Selepas ini mudahlah mak cik nak mendapatkan rawatan sekiranya sakit,” katanya ketika ditemui selepas menerima MyKad di pejabat JPN, Wisma Persekutuan di sini semalam.
Dokumen itu diserahkan kepada Asmah oleh Pengarah JPN negeri, Nafisah Abdullah.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0618&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3dMewzG3f 
Hakcipta terpelihara 

Keputusan tubuh parti baharu sebulan dua lagi – Mat Sabu


MUAR 17 Jun - Keputusan menubuhkan sebuah parti politik baharu iaitu pecahan daripada Pas akan ditentukan dalam masa sebulan dua lagi.
Mohamad Sabu
Bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, pihaknya akan membuat jelajah di beberapa tempat untuk melihat maklum balas, momentum dan sokongan rakyat sebelum membuat keputusan muktamad tentang perkara itu.
“Kami akan tinjau dan lihat perkembangan, sokongan dan apakah perlu (menubuhkan parti baharu dan keputusan tersebut akan) bergantung kepada penilaian (terhadap maklum balas dan sokongan rakyat) nanti.
“Pilihan lain (yang ada selain menubuhkan parti baharu) ialah sertai mana-mana parti politik atau kekal (dalam Pas) atau menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Penubuhan parti politik yang baharu masih di peringkat perbincangan dan tak ada keputusan rasmi lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Himpunan Jasamu Dikenang di Markas Pas Bakri, Kampung Jeram di sini malam tadi.
Antara yang hadir, bekas Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub; bekas Ketua Penerangan Pas Pusat, Mahfuz Omar; bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
Presiden Persatuan Ummah Malaysia (Pasma), Datuk Pahrolrazi Mohd. Zawawi di Shah Alam pada Ahad lalu mengumumkan penubuhan sebuah parti politik baharu yang mesra pembangkang dan akan menerima penyertaan daripada pelbagai kaum.
Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, jelajah tersebut bermula di Bakri sebelum bergerak ke Pahang dan beberapa tempat lain, namun aktiviti mereka akan disesuaikan dengan bulan Ramadan.
Ditanya berkenaan nama NGO atau kumpulan yang digunakan untuk siri jelajah itu, ketika ini beliau dan beberapa bekas pemimpin Pas lain tidak bergerak menggunakan nama Pasma, sebaliknya berceramah atas nama masing-masing.
Beliau berkata, mereka akan terus bekerjasama dengan DAP dan PKR termasuk NGO pembangkang walaupun pakatan pembangkang sudah dibubarkan semalam serta menyatakan beliau kini tidak terikat dengan protokol parti.
Mengenai hubungan beliau dan bekas pemimpin Pas dengan kepemimpinan Pas yang baharu, Mat Sabu berkata, semuanya seperti biasa dan mereka tidak ‘berkerat rotan’ dengan pucuk pimpinan sedia ada.
Ketika ditanya sekiranya kepemimpinan Pas baharu mengambil tindakan menggantung keahlian semua yang terlibat dalam jelajah tersebut, beliau berkata: “Itu kena tanya pimpinan Pas, kami ahli biasa sahaja.”
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/keputusan-tubuh-parti-baharu-sebulan-dua-lagi-8211-mat-sabu-1.104218#sthash.y8eivkny.dpuf