Sunday, February 10, 2013

Negara OIC desak Assad




9 Februari 2013
 Iyad Madani
Iyad Madani
KAHERAH - Pemimpin Islam sebulat suara menggesa Presiden Syria, Bashar Al Assad mengadakan dialog dengan kumpulan pembebasan rejim itu bagi menghentikan pertumpahan darah yang tercetus lebih 22 bulan di negara terbabit pada hari terakhir persidangan kemuncak Islam di Kaherah.

Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad berkata, Mesir, Turki dan Iran bersedia bekerjasama dengan Syria tetapi menolak campur tangan dalam hal ehwal domestik negara itu.

Sementara itu, bekas menteri Arab Saudi, Iyad Madani, dinamakan sebagai ketua Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menggantikan pemimpin Turki, Ekmeleddin Ihsanoglu.

Madani akan mengambil alih tugas Ihsanoglu bermula Januari tahun depan.

Pemerhati berkata, kumpulan konservatif negara Teluk mencalonkan bekas Menteri Penerangan itu bagi meredakan ketegangan Saudi dan pakatan revolusi Mesir, iaitu sekutu rapat Presiden yang digulingkan, Hosni Mubarak. - AFP

Gadis ditembak Taliban keluar hospital



WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Februari 2013
Malala Yousufzai
Malala Yousufzai
BIRMINGHAM - Gadis yang menjadi simbol perjuangan, Malala Yousufzai, yang ditembak di kepalanya Oktober lalu oleh pejuang Taliban, dibenarkan keluar hospital. Dia meninggalkan hospital Queen Elizabeth di Birmingham, England, semalam.

Dua minggu lalu, gadis yang terkenal menyokong hak pendidikan gadis di Pakistan - yang mencetuskan kemarahan di kalangan Taliban - membuktikan kekuatan luar biasanya apabila menjalani dua pembedahan untuk membaiki tengkorak dan memulihkan pendengarannya.

Tembakan yang disasarkan ke atas gadis itu menyebabkan peluru melekat dalam kepalanya.

"Tuhan telah memberikan saya kehidupan baru ini," katanya baru-baru ini ketika kali pertama bercakap di hadapan kamera selepas beliau ditembak.

 "Saya mahu berkhidmat kepada rakyat. Saya mahu setiap gadis, setiap kanak-kanak, untuk dididik," tambah Malala.

Walaupun tembakan di leher dan kepala Malala menimbulkan banyak keraguan bahawa sama ada dia boleh berjalan kembali, keadaannya terus bertambah baik sejak beberapa bulan yang lalu.

"Saya boleh berjalan sedikit dan saya berasa lebih baik," ujar gadis itu.

Mesir semakin bergolak



penunjuk perasaan yang menentang Presiden Mohamed Mursi melemparkan batu ke arah polis antirusuhan semasa berlaku pertempuran di hadapan Istana Presiden di Kaherah, semalam. - REUTERS
KAHERAH 9 Feb. - Beribu-ribu penunjuk perasaan bertempur dengan polis di beberapa wilayah di Mesir, semalam dalam satu tunjuk perasaan besar-besaran bagi mendesak Presiden Mesir, Mohammed Mursi memenuhi matlamat asal revolusi kebangkitan rakyat dua tahun lalu.
Kementerian Kesihatan berkata, lebih 120 penunjuk perasaan cedera dalam tunjuk perasaan itu, kebanyakan mereka akibat terhidu gas pemedih mata.
Di Kaherah, penunjuk perasaan melontar bom petrol dan menyalakan api, ketika van pasukan keselamatan melalui kumpulan penunjuk perasaan yang memenuhi dataran menuju Istana Presiden.
Pertempuran juga berlaku di beberapa bandar di Lembah Nil, wilayah Gharbiya, yang menyebabkan 28 cedera, kata kementerian itu.
Ketegangan bermula selepas beribu-ribu tunjuk perasaan memenuhi beberapa bandar di Mesir dalam satu tunjuk perasaan anjuran pembangkang yang menggelarkan perhimpunan itu sebagai perhimpunan 'Maruah Jumaat'.
Agensi berita MENA melaporkan, Perdana Menteri, Hisham Qandil mengutuk keganasan tersebut sebagai satu tindakan yang 'tidak wajar.'
"Mereka yang terlibat merosakkan kestabilan negara dan menjejaskan kepentingan rakyat," katanya.
Beberapa bulan kebelakangan ini, Mesir menyaksikan beberapa siri tunjuk perasaan besar-besaran dalam usaha menentang Mursi.
Pembangkang berkata, Presiden Mesir itu mengkhianati revolusi yang menumbangkan pemimpin diktator, Hosni Mubarak, dan menuduh Mursi menggunakan kuasanya bagi menjaga kepentingan pergerakan Ikhwan Muslimin, yang diharamkan Hosni sebelum ini.
Sebanyak 38 pergerakan dan parti pembangkang didakwa menyertai perarakan semalam, yang mendesak agar kerajaan baharu perpaduan ditubuhkan, meminda Perlembagaan yang sebelum ini dirangka golongan Islam dan memberi jaminan kebebasan badan kehakiman. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130210/lu_01/Mesir-semakin-bergolak#ixzz2KRzQOJr4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Julian Assange dorong pegawai Amerika bocorkan rahsia



LOS ANGELES 9 Feb. - Pengasas WikiLeaks, Julian Assange (gambar) menggesa pegawai-pegawai Amerika Syarikat (AS) supaya membocorkan dokumen-dokumen rahsia berhubung serangan drone AS, dengan menganggap serangan tersebut sebagai keruntuhan sistem di AS.
Assange telah mencetuskan kemarahan pegawai-pegawai AS kerana menyebarkan beribu-ribu rahsia, menggunakan televisyen untuk mengecam Presiden Barack Obama yang memberi lampu hijau untuk membunuh warga Amerika yang bersubahat dengan al-Qaeda.
"Saya tidak dapat melihat kejatuhan yang lebih besar apabila eksekutif boleh membunuh rakyatnya sendiri sewenang-wenangnya, secara rahsia, tanpa memaklumkan keputusan itu kepada umum,'' kata Assange menerusi program bual bicara Real Time with Bill Maher, yang disiarkan melalui siaran HBO.
"Itu sebabnya, kami mahu organisasi seperti WikiLeaks. Saya menggalakkan sesiapa di White House yang mempunyai akses kepada peraturan dan prosedur, dan membantu kami. Kami akan merahsiakan identiti anda dan mendedahkan maklumat itu kepada umum,'' katanya.
Assange memberitahu pengacara program itu, Bill Maher yang merupakan penyokong WikiLeaks menerusi pautan video dari Kedutaan Ecuador di London, di mana beliau bersembunyi sejak Jun lalu bagi mengelak diekstradisi ke Sweden.
Pihak berkuasa Sweden berkata, mereka mahu menyoal siasat Assange atas dakwaan jenayah seks.
Bradley Manning, seorang perisik muda tentera di Iraq, ditahan pada Mei 2010 kerana dipercayai menyerahkan surat-surat diplomatik dan data lain ke laman web itu. Dia berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan oleh tribunal tentera.
NBC News menerbitkan dokumen yang tidak diklasifikasikan oleh Jabatan Keadilan minggu ini menunjukkan pegawai kanan al-Qaeda boleh dibunuh, walaupun mereka adalah warga Amerika Syarikat.
Kumpulan hak asasi manusia menyuarakan kemarahan mereka pada September 2011 apabila serangan drone AS di Yemen membunuh pendakwah Anwar al-Awlaki dan pengarang majalah al-Qaeda, Samir Khan. Kedua-dua mereka adalah warga AS yang tidak pernah didakwa terlibat dengan jenayah. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130210/lu_03/Julian-Assange-dorong-pegawai-Amerika-bocorkan-rahsia#ixzz2KRzAU2wJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Presiden Assad rombak Kabinet



DAMSYIK 9 Feb. - Presiden Syria, Bashar al-Assad (gambar) telah melaksanakan rombakan Kabinet membabitkan tujuh menteri, lapor agensi berita SANA, tanpa memberitahu sebarang sebab.
Agensi itu melaporkan Assad telah memisahkan Kementerian Hal Ehwal Buruh dan Sosial kepada dua kementerian, dan membawa calon wanita Shmat Kinda untuk mengetuai Kementerian Buruh. Hassan Hijazi pula dilantik menjadi Menteri Buruh.
Sleiman Abbas mengambil portfolio Sumber Minyak dan Galian, manakala Ismail Ismail menjadi Menteri Kewangan.
Hussein Farzat pula dipilih menjadi Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, manakala Ahmad al-Qadri berpindah kepada Kementerian Pertanian, manakala portfolio Kerja-kerja Awam diserahkan kepada, Hussein Arnus.
Tiada menteri kanan terlibat dalam rombakan itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130210/lu_06/Presiden-Assad-rombak-Kabinet#ixzz2KRz1ZTa2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kerajaan Syria sedia berunding



Penyokong kumpulan pemberontak al-Nusra mengibarkan sepanduk semasa mengadakan demonstrasi selepas solat Jumaat di daerah al-Qasr Bustan di bandar Aleppo, kelmarin. - AFP
BEIRUT 9 Feb. - Kerajaan Syria dilaporkan bersedia mengadakan rundingan dengan pemberontak, tanpa sebarang syarat, kata Menteri Penerangan, Omrane al-Zohbi, semalam.
Ia sebagai reaksi kepada pelawaan ketua pembangkang Syria, Mouaz Al-Khatib pada 1 Februari lalu supaya kedua-dua pihak berunding bagi menamatkan konflik di negara ini.
"Pintu (rundingan) kini terbuka dan kami mengalu-alukan rakyat Syria yang mahu mengadakan rundingan dengan kami," katanya seperti yang disiarkan oleh televisyen tempatan.
Sementara itu, kumpulan pemberontak al-Nusra membunuh tujuh askar Syria berdekatan pusat kawalan tentera di bandar utara Safireh, semalam, selepas kumpulan itu mendakwa lebih 100 anggotanya terbunuh dalam pertempuran selama 72 jam dengan tentera Presiden Bashar al-Assad sejak Rabu lalu.
Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia berkata, pusat kawalan tersebut berfungsi mengawal laluan ke kilang tentera di selatan bandar itu.
"Sekurang-kurangnya 112 pemberontak terbunuh sejak Rabu lalu dalam pertempuran dengan tentera kerajaan antara Safireh dan bandar Khanasir, kira-kira 40 kilometer ke selatan," kata pengarah pertubuhan itu, Rami Abdel Rahman.
Di Washington, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry, semalam berkata, AS sedang mencari jalan bagi menamatkan konflik di Syria, berikutan keputusan White House tidak akan membekalkan senjata kepada pemberontak Syria.
Ia dilihat sebagai keputusan muktamad Presiden AS, Barack Obama semasa penggal pertama pentadbirannya, walaupun beberapa pegawai tertinggi AS mendesak lebih banyak tindakan keras dilakukan di Syria bagi memastikan kesaksamaan pemberontak dalam berdepan tentera kerajaan.
Kerry yang bercakap untuk kali pertama pada sidang media sejak memegang jawatan itu lebih seminggu lalu berkata, besar kemungkinan AS akan menimbang semula keputusan itu, berikutan konflik yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan tamat sejak tercetus lebih 22 bulan lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130210/lu_02/Kerajaan-Syria-sedia-berunding#ixzz2KRxiSEO6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Militan guna taktik serangan berani mati



GAO, Mali, 9 Feb - Seorang militan Islam meletupkan dirinya di utara Mali, semalam, kejadian pertama seumpamanya di negara ini, ketika dua kumpulan tentera yang berseteru bertempur di Bamako, ibu negara Mali.
Penyerang berani mati itu menaiki motorsikal sehingga ke tempat pemeriksaan tentera di Gao, bandar terbesar di utara negara ini yang baru ditawan semula oleh pihak tentera daripada kumpulan militan.
''Seorang anggota militan meletupkan dirinya menyebabkan dia terkorban dan seorang tentera cedera,'' kata seorang pegawai.
Ia merupakan satu taktik terbaru serangan gerila sebagai reaksi kepada campur tangan tentera Perancis di negara ini, yang berjaya menawan bandar oasis Tessalit, sebuah bandar strategik daripada militan Islam, semalam.
Pemuda Tuareg itu, yang memakai pakaian seperti seorang pegawai separa tentera, turut membawa bom yang lebih besar yang gagal meletup.
Jurucakap Movement Oneness and Jihad di Barat Afrika (MUJAO) mengakui bertanggungjawab melancarkan serangan berani mati itu.
MUJAO merupakan satu daripada tiga kumpulan Islam yang menawan utara Mali selama 10 bulan.
Sementara itu, tercetus pertempuran antara dua kumpulan dalam pasukan tentera Mali di Bamako.
Pertempuran berlaku selepas pasukan tentera yang setia kepada bekas Presiden, Amadou Toumani Toure yang disingkir dalam rampasan kuasa tentera pada Mac 2012 melepaskan tembakan ke udara sebagai membantah arahan menyerapkan mereka ke dalam unit lain yang akan dihantar ke barisan depan.
Dua remaja terbunuh dan 13 lagi cedera dalam pertempuran di kem tentera itu, lapor media tempatan.
Presiden sementara, Dioncounda Traore mengarahkan pasukan tentera mematahkan pertempuran itu.
Pertempuran itu membayangi ketibaan 70 pelatih tentera EU, kumpulan pertama 500 anggota tentera yang akan ditugaskan untuk membangunkan semula dan melatih pasukan tentera Mali. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130210/lu_04/Militan-guna-taktik-serangan-berani-mati#ixzz2KRwF5LdA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

India gantung militan atur serangan Parlimen



 
Seorang daripada penunjuk perasaan membawa sepanduk mengecam hukuman mati terhadap Afzal Guru. - Foto REUTERS
Seorang daripada penunjuk perasaan membawa sepanduk mengecam hukuman mati terhadap Afzal Guru. - Foto REUTERS
New Delhi: Seorang lelaki Kashmir yang didapati bersalah terbabit dalam serangan terhadap Parlimen India pada 2001 dihukum gantung semalam selepas rayuan terakhirnya supaya diberi pengampunan, ditolak.

Setiausaha Dalam Negeri, R K Singh memberitahu wartawan, Mohammed Afzal Guru dihukum gantung awal semalam di penjara Tihar, New Delhi.
“Proses undang-undang sudah dilaksanakan,” kata Singh. Guru dikebumikan di satu kawasan penjara berkenaan mengikut cara Islam, lapor Press Trust of India (PTI). Guru sejak awal perbicaraan menafikan terbabit dalam serangan itu dan beberapa kumpulan hak asasi manusia di seluruh India serta pergerakan politik di Kashmir menuduh dia tidak dibicarakan secara adil.


Keluarga tuntut jenazah

Keluarganya di negeri Jammu-Kashmir menuntut jenazahnya tetapi perkara itu dianggap tidak akan berlaku kerana kesnya adalah sensitif.

Guru yang pernah menjadi penjual buah, menunggu hukuman mati dijalankan selepas diumumkan bersalah pada 2002.
Rayuan supaya hukuman lebih ringan dikenakan ditolak sejak itu dan hukuman ditetapkan pada 2006.

Tetapi, hukumannya ditangguhkan selepas isterinya mengemukakan permohonan mendapatkan pengampunan daripada Presiden India yang ditolak awal minggu ini.
Berita mengenai hukuman itu mencetuskan bantahan di Kashmir hingga menyaksikan penunjuk perasaan bergaduh dengan polis dan unit separa tentera.

Empat penunjuk perasaan cedera, seorang daripada mereka tenat, kata pegawai polis.

Di Muzaffarabad, 400 penunjuk perasaan berhimpun dan membakar bendera India selain melaungkan slogan ‘benamkan India, demokrasi India palsu’ dan ‘kami akan terus lakukan misi Guru.’ - AP/AFP

Perisik Indonesia serah suspek kepada CIA



 
Jakarta: Bekas ketua Badan Perisikan Negara (BIN) Indonesia, AM Hendropriyono mengaku menyerahkan tiga suspek militan kepada agensi perisikan pusat Amerika, CIA.

Pada masa sama, beliau menafikan mengetahui rancangan sulit negara kuasa besar itu untuk menahan dan menyeksa suspek pengganas dari seluruh dunia dalam usaha memerangi keganasan.
Hendropriyono berkata, suspek berkenaan ditahan di Poso, Sulawesi Tengah pada 2002 dalam operasi yang tidak ada kaitan dengan CIA.

Dalang pertelingkahan agama

“Kami tidak mendapat sebarang perintah daripada CIA. Saya masih ingat, kami tahan tiga warga asing terbukti mendalangi pertelingkahan antara penganut Kristian dan Islam di Poso pada 2002.

“Akhirnya, saya ambil keputusan untuk menyerahkan tiga suspek berkenaan kepada CIA kerana pihak berkuasa kami, termasuk Polis Nasional dan Dewan Perwakilan Rakyat menolak hasil siasatan kami,” kata Hendropriyono yang dipetik The Jakarta Post, semalam.

Akhbar itu melaporkan, laporan Open Society Justice Initiative (OSJI) berpejabat di New York setebal 213 halaman mendedahkan bahawa sejak 2002, Hendropriyono dipercayai membantu CIA menahan tiga suspek berkenaan. - BERNAMA

Tiga ditahan disyaki punyai rangkaian Jemaah Islamiah



KUALA LUMPUR 8 Feb. - Tiga individu yang ditahan semalam kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan militan, disyaki mempunyai rangkaian dengan kumpulan Jemaah Islamiah (JI) dan merekrut rakyat tempatan dengan menggunakan laman sosial.
Menurut sumber, kegiatan itu dipercayai telah dilakukan rangkaian tersebut sejak 2010.
Beliau berkata, dua daripada individu yang ditahan iaitu Yazid Sufaat dan Halimah Hussin telah didakwa pagi ini manakala seorang lagi, Mohd. Hilmi Hasim masih dalam siasatan mengikut undang-undang baharu iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.
"Polis mempunyai 28 hari untuk menahan dan menjalankan siasatan terhadapnya (Mohd. Hilmi) mengikut undang-undang baharu berkenaan.
"Kita akan melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara dan tindakan selanjutnya ditentukan pihak berkenaan sama ada bukti mencukupi bagi menjatuhkan hukuman atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130209/je_03/Tiga-ditahan-disyaki-punyai-rangkaian-Jemaah-Islamiah#ixzz2KRm81h1l
© Utusan Melayu (M) Bhd 

KDN sahkan tiga ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan



PUTRAJAYA 7 Feb. - Kementerian Dalam Negeri hari ini mengesahkan penahanan tiga rakyat tempatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ketiga-tiga individu tersebut ditangkap dalam satu operasi di Selangor dipercayai terlibat dengan kegiatan militan dan keganasan di dalam dan luar negara.
“Tetapi butiran ini masih begitu sensitif untuk saya umumkan.
“Kalau sekiranya pihak polis hendak maklumkan lebih daripada apa saya hendak umumkan ini, itu terserah kepada pihak polis," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop.
Seramai 204 kakitangan kementerian itu menerima bantuan tersebut.
Hishammuddin berkata, kesemua yang ditahan itu bakal dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh yang ditetapkan dan tugas berkenaan akan dijalan oleh Peguam Negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan tersebut merupakan salah satu pendekatan Pelan Transformasi Politik (PTP) dalam usaha menjaga kepentingan orang ramai dan keselamatan negara.
“Sebab itu tuduhan mengenai pemansuhan ISA tiada asas, kerana akta baru ini jelas memberi cukup kuasa paling asas untuk memastikan keselamatan negara jadi keutamaan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihak kementerian akan memberi penjelasan kepada orang ramai mengenai Akta Perhimpunan Aman, pemansuhan ordinan-ordinan darurat, buang daerah dan bermacam lagi di bawah pelan transformasi.
“Ini perlu dijelaskan kerana merupakan tindakan yang berani diambil oleh pucuk pimpinan," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, setiap tindakan yang dilaksanakan adalah berasaskan kepada tanggungjawab dan bukan didorong oleh populariti dan retorik


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130208/je_02/KDN-sahkan-tiga-ditahan-di-bawah-Akta-Kesalahan-Keselamatan#ixzz2KQAMQ3Nm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga ditahan terlibat militan



KUALA LUMPUR 7 Feb. - Polis hari ini menahan tiga individu termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat merekrut rakyat tempatan dalam kegiatan militan sebelum dihantar ke luar negara bagi menjalankan misi keganasan.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, mereka kini ditahan untuk membantu siasatan polis.
"Ketiga-tiga mereka yang berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun itu disyaki menjadi dalang utama dalam merekrut beberapa rakyat Malaysia bagi tujuan aktiviti keganasan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ismail yang ditemui dalam satu majlis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini petang ini, memberitahu, ketiga-tiga tahanan tersebut akan dibawa ke Mahkamah Ampang, pagi esok.
Dalam pada itu, menurut sumber, salah seorang yang ditahan ialah Yazid Sufaat, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pernah ditahan pada Disember 2001 sebelum dibebaskan tujuh tahun kemudian.
Katanya, penahanan Yazid hari ini dibuat mengikut Seksyen 4(1), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 kerana disyaki mempromosi kegiatan keganasan.
Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 ialah akta baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan tahun lalu.
"Yazid ditahan Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi Kaunter Terorisme) ketika sedang bekerja di sebuah kantin di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, kira-kira pukul 12.30 tengah hari. Turut ditahan ialah pekerjanya, Mohd. Hilmi Hasim.
"Pasukan forensik juga telah membuat pemeriksaan di rumah Yazid di Selangor pukul 1.30 petang sejurus penahanannya dan mengambil beberapa buah buku untuk membantu siasatan.
"Seorang lagi ialah Halimah Husin yang ditahan di rumahnya yang juga di Selangor, dipercayai kerana mempunyai hubungan dengan kegiatan sama sejak dua tahun lalu," katanya.
Sumber berkata, ketiga-tiga individu yang ditahan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI), Allahyarham Mohd. Noor Fikrie Abd. Kahar, 26, yang ditembak mati pihak berkuasa Filipina Disember lalu.
Polis sebelum itu telah mengenal pasti saki-baki anggota kumpulan pengganas sama yang disertai Mohd. Noor Fikrie.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130208/je_01/Tiga-ditahan-terlibat-militan#ixzz2KQA7Bblh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Isteri dakwa Yazid tiada hubungan dengan pengganas



KUALA LUMPUR 8 Feb. - Isteri kepada tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, Yazid Sufaat iaitu Chomel Mohammad hari ini menafikan suaminya mempunyai hubungan dengan pengganas yang ditembak mati di Filipina, Noor Fikrie Abd. Kahar seperti didakwa pihak polis.
Bercakap ketika ditemui pemberita di Mahkamah Majistret Ampang, Chomel memberitahu, mereka tidak pernah berhubung atau mengenali Noor Fikrie melainkan mengetahui tentang beritanya ditembak mati melalui akhbar. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130208/je_12/Isteri-dakwa-Yazid-tiada-hubungan-dengan-pengganas#ixzz2KQ9tIQY1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rohingya perlukan ubat-ubatan



YANGON 7 Feb. - Agensi bantuan ubat-ubatan, Doktor Tanpa Sempadan (MSF), memberi amaran tentang ‘krisis kemanusiaan’ di negeri bergolak di barat Myanmar apabila berpuluh-puluh ribu orang tidak mendapat rawatan yang amat diperlukan.
Agensi bantuan itu berkata, pasukannya yang kini berada di negeri Rakhine berdepan dengan ancaman, penentangan dan tuduhan berat sebelah terhadap kumpulan minoriti Islam Rohingya.
Penduduk yang melarikan diri dan tinggal di dalam khemah-khemah sementara di Rakhine, terputus bantuan ubat-ubatan, air bersih dan keperluan asas lain, menurut kumpulan kemanusiaan yang telah berkhidmat lebih dua dekad di kawasan itu.
“Mereka adalah yang tinggal di sawah padi atau di kawasan genting yang sesak dan amat memerlukan bantuan ubat-ubatan.
“Situasi tidak selamat yang berterusan dan ancaman kumpulan kecil tetapi berpengaruh daripada komuniti Rakhine, memberi kesan teruk kepada keupayaan kami untuk menghantar ubat-ubatan yang boleh menyelamatkan nyawa," kata Ketua Pengarah MSF, Arjan Hehenkamp di dalam satu kenyataan hari ini.
Lebih 100,000 orang yang kebanyakannya etnik Rohingya, kehilangan tempat tinggal dan berpuluh-puluh lagi maut sejak tercetusnya keganasan etnik di negeri Rakhine pada Jun 2012.
Menurut MSF, beberapa wanita mengandung terpaksa bersalin di khemah yang berlumpur tanpa bantuan doktor, manakala tinjauan pula mendedahkan kanak-kanak berdepan dengan masalah kekurangan nutrien.
“Jangkitan kulit, penyakit cacing, batuk kronik dan cirit-birit adalah antara penyakit biasa yang dihadapi oleh mereka," ujar MSF. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130208/lu_05/Rohingya-perlukan-ubat-ubatan#ixzz2KQ8xxyTB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kerajaan daripada golongan teknokrat



Penunjuk perasaan Tunisia bertempur dengan polis antirusuhan di luar bangunan Kementerian Dalam Negeri selepas mereka berang dengan kematian pemimpin pembangkang terkemuka negara ini, Chokri Belaid, kelmarin. - REUTERS
TUNIS 7 Feb. - Perdana Menteri Tunisia hari ini berjanji untuk membentuk kerajaan daripada golongan teknokrat sebelum menjelangnya pilihan raya akan datang.
Ini berikutan demonstrasi berdarah dan serangan terhadap pejabat-pejabat parti pemerintah selepas pembunuhan ketua kumpulan pembangkang, Chokri Belaid (gambar).
Perdana Menteri, Hamadi Jebali berkata, beliau akan membentuk kerajaan baharu yang ditadbir golongan bukan politik ekoran kes pembunuhan Belaid yang ditembak mati di luar rumahnya di Tunis, semalam.
"Saya membuat keputusan untuk membentuk kerajaan baharu yang tidak melibatkan penggabungan parti politik.
"Pentadbiran baharu ini diberi mandat terhad untuk menguruskan urusan dalaman negara sehingga pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat," katanya.
Namun, Hamadi tidak menjelaskan sama ada beliau akan membubarkan barisan kepimpinan yang sedia ada, serta tidak menetapkan tarikh untuk melakukan rombakan pentadbiran tersebut, yang akan diumumkan pada perhimpunan kebangsaan.
Dalam perkembangan lain, Kementerian Dalam Negeri melaporkan, seorang anggota polis terbunuh selepas terkena balingan batu oleh sekumpulan penunjuk perasaan di Tunis.
Jelas kementerian itu, penunjuk perasaan yang berang dengan insiden pembunuhan Belaid, bertindak membina penghadang jalan di tengah bandar Tunis dan pertempuran juga berlaku dengan pihak polis.
Sebuah ambulans yang membawa jenazah Belaid ke pusat bandar turut diiringi beribu-ribu penyokongnya yang mahu melindungi kenderaan tersebut.
Empat parti pembangkang termasuk Parti Barisan Popular pimpinan Belaid menuduh Menteri Dalam Negeri, Ali Laraydeh bertanggungjawab atas pembunuhan Belaid dan mahu beliau dipecat.
Seorang daripada pemimpin parti pembangkang, Nejib Chebbi berkata, Ali wajar dipecat kerana beliau tahu Belaid menerima ugutan sebelum ini namun tiada tindakan daripada pihak kementerian untuk melindunginya.
Keempat-empat pemimpin parti pembangkang terbabit turut sepakat untuk memboikot perhimpunan kebangsaan yang akan diadakan tidak lama lagi. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130208/lu_02/Kerajaan-daripada-golongan-teknokrat#ixzz2KQ4YlTbE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kanak-kanak tiada tulang leher



Hendita memangku anaknya, Ricky yang menderita sejenis penyakit yang menyebabkan kanak-kanak itu kehilangan tulang leher. - AGENSI
JEMBER, Jawa Timur - Derita seorang kanak-kanak di sini yang tidak mempunyai tulang leher masih berlarutan sejak beberapa tahun lalu memandangkan tiada pihak berwajib tampil untuk membantu meringankan penderitaan yang dialami kanak-kanak itu.
Malah beban ibu bapa kanak-kanak malang tersebut, Bambang Herwantoro, 33, dan Hendita Novianti, 29, semakin bertambah apabila mendapati nama anak mereka, Ricky Lilian Putra Dwi Herlambang tidak tersenarai dalam sistem Jaminan Kesihatan Masyarakat (Jamkesmas).
Hal itu menyebabkan Ricky tidak menerima bantuan ubat-ubatan sejak lebih setahun lalu, selepas kanak-kanak berusia empat tahun berkenaan disahkan menderita penyakit kuman tuberkulosis tulang.
Akibat penyakit tersebut, Ricky kehilangan tulang lehernya, menyebabkan dia tidak mampu duduk, berjalan, bercakap dan menyandar kepalanya.
Ibunya, Hendita berkata, anaknya pada awalnya dilahirkan dalam keadaan normal dan tiada tanda-tanda dia diserang kuman tersebut.
"Namun anak saya tiba-tiba tidak sedarkan diri selama sehari beberapa tahun lalu.
"Doktor memaklumkan kepada kami, Ricky diserang kuman tulang dan kami telah menghabiskan wang sebanyak 2.5 juta rupiah (RM794) untuk merawatnya," katanya tribunnews.com.
Menurut Hendita, dia dan suami terpaksa menggadaikan set televisyen dan beberapa peralatan rumah semata-mata mahu memastikan anak kesayangannya itu dapat diubati.
"Saya berharap Jamkesmas dapat menghulurkan bantuan kepada Ricky untuk meringankan beban yang ditanggung kami sekeluarga," ujarnya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130209/lu_10/Kanak-kanak-tiada-tulang-leher#ixzz2KQ3ht2Pj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

55 maut dalam serangan



Pemberontak Syria menunaikan solat di kawasan pergunungan Jabal al-Turkman sambil diawasi sebuah kereta kebal di wilayah utara Latakia, Syria pada 5 Februari lalu. - AFP
BEIRUT 7 Feb. - Sekurang-kurangnya 55 maut dalam tempoh 24 jam di Damsyik, selepas tentera Syria meningkatkan serangan ke atas kubu pemberontak, serangan yang masuk hari kedua berturut-turut sejak semalam.
Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia (SOHR) berkata, antara yang terbunuh adalah lima orang awam, tiga daripadanya wanita, maut akibat bedilan mortar yang mengenai kawasan kediaman sementara mereka di khemah pelarian Yarmuk, selatan Damsyik.
Semalam pertubuhan itu melaporkan, tentera Presiden Syria, Bashar al-Assad melancarkan serangan hebat ke atas kubu pemberontak di pinggir Damsyik, manakala penduduk mendakwa, serangan itu merupakan yang paling buruk berlaku beberapa bulan kebelakangan ini.
Awal pagi ini, SOHR menyatakan sekurang-kurangnya 19 orang awam, 28 pemberontak dan lapan tentera Syria terbunuh sejak serangan itu dilancarkan semalam, yang ditumpukan di selatan dan timur pinggir Damsyik.
Laporan itu turut menyatakan pemberontak menyerang pusat kawalan yang terletak antara daerah timur laut Qaboon dan Dataran Abassid, semalam, mengundang pertempuran hebat di antara kedua-dua pihak.
"Serangan itu bertujuan meluaskan kuasa pemberontak di Daraya," kata aktivis pembangkang, Omar Shakir, merujuk kepada kawasan barat daya Damsyik, yang berterusan menjadi serangan tentera sejak beberapa bulan lalu.
SOHR turut melaporkan tentera Syria memperkukuh pasukan mereka di Daraya, lokasi strategik berdekatan pangkalan tentera udara Al-Mazzeh, dalam usaha kerajaan mengusir pemberontak dari Damsyik.
Pertubuhan itu berkata, kereta kebal tentera membedil daerah Jobar timur dan Tadamun, Assali, Qadam serta Al-Hajar al-Aswad di selatan Damsyik, sepanjang malam tadi. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130208/lu_01/55-maut-dalam-serangan#ixzz2KQ3U5f7g
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jet Syria sekat pemberontak



SUASANA lengang di sebatang jalan dengan bangunan yang ranap akibat dibedil dengan meriam oleh tentera kerajaan Syria di kawasan kediaman Zamalka di pinggir Damsyik, kelmarin. - REUTERS
AMMAN 8 Feb. - Jet perang Syria melancarkan serangan ke atas laluan utama di Damsyik, semalam, serangan yang masuk hari ketiga berturut-turut dalam usaha tentera Presiden Syria, Bashar al-Assad menyekat kemaraan pemberontak ke tengah ibu negara Syria itu.
Komander pemberontak, Aby Ghazi berkata, tentera Syria bersungguh-sungguh ingin mengukuhkan kedudukan mereka dengan menguasai laluan utama tersebut, yang merupakan garisan pertahanan utama di ibu negara.
Menurutnya, penguasaan pemberontak kini semakin hampir ke Dataran Abbaside, kawasan utama di Damsyik, lokasi tentera Syria menjadikan stadium bola sepak sebagai berek tentera.
Sementara itu, di New York, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon mengutuk keras tindakan Assad yang menjadikan alasan menentang keganasan untuk membunuh orang awam dan menyerang perkampungan-perkampungan di Syria.
Menurutnya, krisis di Syria bukan berpunca daripada keganasan, namun tindakan Assad yang berterusan membunuh rakyatnya sendiri menyebabkan elemen pengganas mengambil kesempatan dalam konflik yang berlaku.
"Dia (Assad) sepatutnya sudah lama menamatkan keganasan ini dan rundingan politik sepatutnya sudah lama dimulakan," katanya.
Ki-moon turut menyambut baik cadangan pemimpin pembangkang, Mouaz al-Khatib bagi mengadakan rundingan dan berharap kerajaan Syria menerima pelawaan itu.
Di Washington, Amerika Syarikat (AS), beberapa pemimpin Pentagon memberitahu Kongres, semalam bahawa mereka menyokong rancangan bagi membekalkan senjata kepada pemberontak di Syria oleh Jabatan Negara AS dan Agensi Perisikan Pusat (CIA), namun Presiden AS, Barack Obama berkeras tidak bersetuju dengan cadangan itu.
Pentadbiran Obama, mengehadkan sokongan itu dengan hanya memberi bantuan bukan senjata kepada pemberontak Syria, yang hanya menerima senjata daripada negara-negara seperti Qatar dan Arab Saudi, serta tidak dilengkapi senjata canggih berbanding tentera pro-Assad.
Senator John McCain, daripada Parti Republikan, mengepalai cadangan penglibatan AS di Syria dan menegur tindakan Obama yang tidak mahu AS terlibat dalam konflik di negara itu. - REUTERS/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130209/lu_01/Jet-Syria-sekat-pemberontak#ixzz2KQ1Y32Or
© Utusan Melayu (M) Bhd