Wednesday, December 28, 2011

Belum ada keputusan ke atas nasib Shahrizat kata Muhyiddin

Oleh Shannon Teoh
December 27, 2011
SHAH ALAM, 27 Dis — Kabinet belum memutuskan sama ada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil harus meninggalkan kabinet berikutan skandal Pusat Fidlot nasional (NFC) yang bernilai RM250 juta, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin hanya menggelengkan kepala dan berkata, “Tidak, tidak,” bila ditanya sama ada kabinet sudah memutuskan Menteri pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat itu harus kekal dikabinet atau tidak.
Ketua Wanita Umno (gambar) itu menghadapi desakan supaya meninggalkan kerajaan dan meletak jawatan termasuk desakan daripada mantan Perdanan Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas dikaitkan dengan penggunaan dana kerajaan untuk membeli tanah dan hartanah yang tidak berkaitan dengan projek NFC berkenaan yang dianggarkan bernilai RM27 juta.
Pengerusi NFC, yang juga merupakan suami kepada Shahrizat Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail turut menafikan dakwaan seorang ahli perniagaan, yang ditahan atas kesalahan cubaan merasuah sejumlah RM1.7 juta kepada pegawai penyiasat jabatan siasatan jenayah komersial, mempunyai kaitan dengan dirinya.
Jumaat lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerbu pejabat NFC di Solaris Mont Kiara atas dakwaan penyelewengan wang oleh pentadbirannya.
Isu berkaitan skandal NFC ini menarik minat Pakatan Rakyat terutamanya PKR, dan parti berkenaan kerap membuat pendedahan berterusan terhadap penyelewengan yang berlaku.

Aziz Bari dilamar PAS



Oleh Mohd Farhan Darwis December 28, 2011
KUALA LUMPUR, 28 Dis — Prof Dr Aziz Bari dipelawa Dewan Pemuda PAS Pusat Malaysia (DPMM) untuk menyertai parti berkenaan bagi meneruskan perjuangannya sebagai Pakar Perlembagaan dan Undang-undang negara selepas menamatkan kerjayanya sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) baru-baru ini.

Naib Ketua DPMM, Raja Ahmad Al-Hiss dalam kenyataannya kepada The Malaysian Insider hari ini berkata, pihaknya mengharapkan agar bekas pensyarah UIA itu dapat menyertai parti komponen Pakatan Rakyat itu supaya dapat terus berjuang mengembalikan sistem negara kepada landasan yang betul dan tepat.

“Kami mengalu-alukan penyertaan beliau ke dalam parti sebagai ahli politik bagi membetulkan sistem negara kerana parti amat memerlukan pengalaman dan ilmunya yang luas dalam bidang perundangan.

“PAS yakin penyertaan Aziz (gambar) akan dapat memberikan manfaat yang baik kerana ilmu yang telah di ajarnya selama ini akan diterjemahkan di dalam membentuk sebuah negara mengikut lunas undang-undang yang sebenar,” katanya.

Menurut Raja Ahmad, perjuangan Aziz dalam memelihara Perlembagaan negara akan akan terus berkembang di bawah PAS.

“Kami yakin dengan displin ilmu yang selama ini diamalkannya akan terus terpelihara kerana Aziz bukan sahaja mengajar malah turut menggubal perundangan itu sendiri,” tambahnya.

Jelasnya lagi, PAS yakin penyertaan Aziz akan memantapkan lagi cita-cita mereka untuk melaksanakan Islam di negara ini.

“Kami masih menunggu keputusan beliau, malah kami tetap menghormati Aziz sebagai seorang yang berpegang teguh dengan pendiriannya,” katanya lagi.

Bekas pensyarah Fakulti Undang-undang UIA ini dalam laporan awal The Malaysian Insider sebelum ini tidak menafikan beliau akan meninggalkan universiti berkenaan ekoran siri tekanan termasuk siasatan terhadap kenyataan beliau menyentuh titah Sultan Selangor dalam kes Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan gereja.

Namun demikian, mengulas berkenaan spekulasi yang beliau akan memasuki arena politik, Aziz memberitahu, “politik sebagaimana akademik adalah medan yang perlu untuk perubahan dalam masyarakat.”

“Tetapi politik bukan bidang yang akan jadi profesyen saya sebagaimana akademik. Saya tetap akan berfungsi sebagaimana sebelumnya, khususnya memberi pandangan, menulis dan seumpamanya. Saya harap saya akan kembali ke dunia akademik meskipun tidak semestinya di UIA,” katanya lagi.
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/aziz-bari-dilamar-pas/

Hassan datang minta maaf, Nik Aziz buat kenduri kesyukuran

Salmah Mat Husain

BACHOK, 28 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Datuk Dr Hassan Mohd Ali telah bertemu dengan pimpinan tertinggi PAS semalam dan menarik balik segala kenyataannya terhadap PAS sebelum ini.

Beliau juga berkata, Hassan Ali juga telah meminta maaf dari pimpinan PAS mengenainya.

"Saya melahirkan rasa syukur di atas rasa rendah diri Datuk Hassan Ali yang bersedia memohon maaf serta menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti sebelum ini.

"Bukan mudah bagi orang yang melakukan kesalahan serta mengakuinya dan memohon maaf, jadi tindakan beliau itu begitu mengharukan saya.

"Saya juga berharap, orang lain yang mempunyai masalah seperti ini berlapang dada seperti Datuk Dr Hassan," kata Nik Aziz kepada wartawan di sini.

Nik Aziz bercakap kepada pemberita ketika melawat kesan hakisan ombak di Pantai Irama, Bachok hari ini.

Menurut beliau, pertemuan itu berlangsung di JKR 10 semalam di mana Hassan dan Ustaz Nasharudin Mat Isa bertemu dengan tiga pemimpin tertinggi PAS di Kota Bharu.

(Nik Aziz melawat Pantai Irama, Bachok yang terjejas teruk akibat hakisan ombak)

Dua lagi pemimpin adalah Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.

Menurut Nik Aziz, pertemuan ini dianjurkan oleh PAS Pusat "Dan jika PAS Pusat tak atur pun, saya akan panggil dia."

Kenduri kesyukuran

"Saya sendiri akan membuat kenduri makan tengahari kecil-kecilan di JKR 10 hari ini tanda kesyukuran penyelesaian kes ini.

"Saya berharap PAS Pusat boleh menganjurkan kenduri besar-besaran untuk meraikannya dan ahli-ahli PAS boleh memberi sumbangan untuk menjayakan kenduri kesyukuran ini," cadang beliau.

Nik Aziz yakin, hal ini tidak lagi boleh dijadikan isu oleh Umno kerana ruangnya sudah ditutup rapat

Hassan datang minta maaf, Nik Aziz buat kenduri kesyukuran:

'via Blog this'

Najib takut bertindak bimbang Shahrizat dedah keburukan Umno

Naeem Raffi, TVSelangor

SHAH ALAM, 28 Dis: Keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk bertindak ke atas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil boleh menimbulkan pelbagai persepsi berhubung penyelewengan NFC membabitkan wang rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan Pusat.

Adun Taman Medan, Haniza Mohamed Talha berkata tidak ada sebab munasabah untuk Najib melengah-lengahkan tindakan sedangkan pelbagai pihak termasuk pemimpin Umno sendiri menggesa Shahrizat diambil tindakan, lapor TVSelangor.

“Apakah Najib takut bertindak disebabkan bimbang Shahrizat mendedahkan pelbagai lagi penyelewengan lain yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno lain termasuk keluarga Najib sendiri sekiranya beliau dipecat?.

“Apakah juga disebabkan ada pemimpin lain yang turut terlibat, Kalau tidak mengapa Najib masih membisu” kata beliau mencabar Najib bertindak menjawab segala persepsi yang ada bagi membersihkan imej kerajaan dimata rakyat.

“Sepatutnya sebagai Perdana Menteri, beliau seharusnya mendepani masalah ini kerana beliau adalah ketuanya,” tegas Haniza (gambar) yang juga Timbalan Speaker Dun Selangor.

Melihat kepada kepincangan yang dicetuskan oleh Shahrizat, Haniza menzahirkan rasa kecewa kerana tidakannya itu bukan sahaja mengkhianati wang rakyat, malah turut mengaibkan kaum wanita.

“Ia amat memalukan sebagai seorang ketua wanita dari satu organisasi yang besar pada masa yang sama mewakili kaum melayu terbabit dalam salah laku seperti ini,” katanya.

“Ini adalah pertama kali pemimpin wanita negara melakukan kesalahan secara terang-terangan,” jelas Hanzia ketika dihubungi TVSelangor.

Katanya di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat pemimpin yang terlibat dengan skandal akan segera meletak jawatan sebagai tanda bertanggungjawab.

Namun begitu, Haniza berkata, ini tidak mungkin akan berlaku dalam kepimpinan Umno-BN.

Mengulas lanjut, Haniza berkata penyelewengan tersebut adalah dilema hebat dalam kepimpinan Umno kerana apa jua tindakan yang bakal diambil tetap akan menerima hukuman dan kritikan daripada rakyat.

“Luah mati emak, telan mati bapak. Bagaimana cara sekalipun, Umno tidak akan terlepas daripada diadili oleh rakyat dan tidakan mereka itu akan dilihat sebagai sebuah janji yang telah mengkhianati rakyat, ” kata beliau.

PKR sebelum ini mendakwa sejumlah RM250 juta dana awam diberikan kepada syarikat berkenaan yang dikaitkan dengan suami Menteri Pembangunan, Wanita dan Keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Bagaimanapun wang itu didakwa telah disalahguna sehingga projek tersebut dikatakan dalam ‘kucar-kacir’ seperti dirumuskan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.

PKR kemudiannya mendedahkan wang tersebut digunakan oleh NFC bagi membeli dua buah unit kondominium mewah di Bangsar bernilai RM13.8 juta.

Selain itu, PKR turut mendakwa sejumlah RM5 juta pula dibelanja untuk membeli kereta Mercedes Benz dan tanah di Putrajaya serta RM588,585 disalurkan kepada syarikat-syarikat milik keluarga menteri itu.

Selain PKR, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga berpendapat siasatan awal mendapati beberapa kelemahan yang berlaku pada awal perancangan dan juga perlaksanaan.

Najib takut bertindak bimbang Shahrizat dedah keburukan Umno:

'via Blog this'

Mahathir bukan cerdik sangat - Ku Li

Hishamuddin Rais

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Tengku Razaleigh Hamzah meramalkan dalam pilihanraya umum ke 13 yang akan datang ini United Malay National Party (UMNO) akan menerima kekalahan lagi.

Dari pemerhatian beliau pengundi bukan Melayu semakin menjauhkan dari Barisan Nasional atau lebih tepat lagi lari dari UMNO.

Beliau dakwa ada kemungkinan Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat tidak memiliki majoriti yang meyakinkan. Bila terjadi sedemikian, negara kita mungkin menghadapi krisis.

Menurut Ku Li, hampir 90% peratus pengundi China bersedia untuk mengundi Pakatan Rakyat. Ada pengundi India yang telah kembali menyokong Barisan Nasional, tetapi majoriti masih bersama Pakatan Rakyat. Pengundi Melayu pula kini terbahagi kepada dua.

Ku Li, ahli parlimen Gua Musang semenjak 1974 dan juga bekas Menteri Kewangan Malaysia, menganggap pentabiran dibawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak ini amat lemah dan tidak memahami krisis ekonomi global yang sedang melanda dunia sekarang.

Mengikut Ku Li pentabiran sekarang ini selalu berdulak-dalik - flip flop - apabila mengajukan sesuatu dasar. Dasar sorong tarik ini terjadi kerana banyak dasar-dasar ini tidak difikirkan secara masak terlebih dahulu.

"Mereka tidak peduli satu apa pun... tetapi mereka tidak ingin masuk penjara," Ku Li memberi kesimpulan terhadap pentabiran Najib Razak.

Ku Li, seorang bekas penuntut Malay College Kuala Kangsar (MCKK), berkata demikian dalam satu makan tengah hari bersama beberapa orang murid tua MCKK minggu lalu.

Mengenai isu hak royalti minyak, Ku Li dengan tegas menerangkan bahawa perjanjian antara Petronas dengan negeri-negeri jelas disebutkan hak royalti dan tidak ada fasal yang menyebut wang ehsan.

Malah Ku Li amat berbangga kerana beliau sebagai Pengerusi Petronas 1974 telah bertanggung jawab membuat butiran perjanjian minyak ini atas arahan Tun Abdul Razak.

"Walaupun perjanjian ini dalam bahasa hukum-hakam tetapi amat jelas Petronas wajib memberi 5% kepada negeri dimana minyak ditemui."

Krisis tuntutan Kelantan terhadap royalti minyak ini hanya boleh diselesaikan jika Malaysia memiliki apa yang Ku Li namakan sebagai Mahkamah Perlembagaan atau Constitutional Court.

Beliau berpendapat telah sampai masa Malaysia mewujudkan Mahkamah Perlembagaan khusus untuk menyelesaikan isu yang berkaitan dengan perlembagaan seperti kedudukan Raja Raja Melayu, hak kebebasan rakyat , pilihanraya yang bebas atau tuntutan royalti minyak.

Kecekapan Ku Li ini sebagai pakar ekonomi dan Menteri Keewangan terbukti pada tahun 1979 apabila beliau telah berjaya mengambil alih kembali harta tanah Guthrie dalam apa yang dikenali sebagai 'the dawn raids'. Ketika itu Ku Li dilihat sebagai nasionalis ekonomi yang berjaya mengambil kembali harta negara yang telah dijarah oleh penjajah.

Mengikut lajenda politik Malaysia, Ku Li sepatut telah menang dalam pemilihan Presiden UMNO dalam tahun 1987 tetapi malangnya ketika pengiraan undi berjalan tetiba bilik menjadi gelap dan lampu leterik telah terpadam. Mahathir Muhamad telah berjaya menewaskan Ku Li dengan 43 undi apabila lampu terpasang kembali.

Ku Li tidak menimbulkan hal ini malah pertanyaan mengenai ' kes lampu padam' ini hanya akan dijawab dengan senyuman yang panjang. Ku Li enggan melintasi dilurah yang sama.

"Mahathir ini bukanlah cerdik sangat. Dia selalu menjalankan dasar 'ad hoc'. Selalu mencuri idea dan pandangan orang lain dan mengakui sebagai haknya," dakwa beliau.

"Dia curi-lah. Saya selalu melihat dia 'playing to the gallery'," kata Ku Li, menerangkan pandangan dan pengalaman beliau yang terkumpul selama 5 tahun bersama Mahathir Muhamad sebagai menteri.

Bila ditanya tentang Anwar Ibrahim Ku Li menerangkan bahawa dia hanya mengetahui Anwar sebagai aktivis belia. Walau pun mereka berdua belajar di Malay College tetapi mereka agak jauh bertelingah zaman.

Mengikut surah Ku Li, kali pertama secara rasmi dia dengar nama Anwar ialah dari Putera Muhamad anak kepada Raja Feisal dari Saudi Arabia. Ketika itu Ku Li sedang menjawat Pengerusi Bank Islam OIC. Putera Raja ini bertanya kepada Ku Li apakah patut Anwar Ibrahim dan ABIM ini dibantu oleh dana Yayasan Feisal.

"Sekarang Anwar sedang menjadi dilema kepada Najib. Ini mengikut lojik yang kita lihat. Saya yakin Anwar akan masuk penjara. Kalau Anwar bebas UMNO akan habis. Tidak dapat tidak Anwar akan dipenjara."

Ku Li merumuskan bahawa pentabiran pimpinan Najib Razak kebelakangan ini bukan sahaja lemah malah dalam huru hara. Mengikut pandangan Ku Li , Najib Razak sebagai Presiden UMNO terlepas peluang yang amat besar di Perhimpunan Agong UMNO yang baru berlangsung. Ketika mata dan telinga seluruh negara berpusat memandang ke PWTC, Najib tidak melaku-kan apa-apa terhadap Shahrizat.

"Shahrizat sepatutnya dibuang. Termasuk beberapa orang menteri yang nama mereka telah busuk ditelinga orang ramai. Tetapi Najib senyap membisu," katanya.

Apakah peranan yang masih boleh dimainkan oleh Putera raja dari Kelantan ini masih belum jelas. Ku Li dibesarkan di Istana dan dididik di Malay College — seharusnya menjadi kimia terbaik untuk memimpin negara ini. Ku Li dilihat sebagai sebagai ahli politik yang tidak membawa beban 'kerpai buruk'. Tetapi Ku Li juga adalah sosok yang berkontradiksi.

Ku Li tidak akan memboceng motosikal untuk berkempen jika jalan raya berasak asak. Ku Li juga tidak akan mengambil 'loud hailer' untuk menggumpulkan massa. Jauh sekali Ku Li untuk turun memasang poster atau memasang khemah atau turun berdemo. Tengku Razaleigh bin Tengku Mohd Hamzah ialah putera raja. Mungkin inilah sosok yang digambarkan oleh Sir Frank Swetthenham 100 tahun dahulu : Gentleman Melayu Terakhir — The Last Perfect Malay Gentleman.

Mahathir bukan cerdik sangat - Ku Li:

'via Blog this'

Datuk suspek kes NFC direman tiga hari siasat kes tipu RM280,000

Izany Abdul Ghani
Izany Abdul Ghani
KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan bergelar Datuk yang dikaitkan dengan siasatan penyelewengan dana Pusat Fidlot Nasional (NFC) dan ditahan semula kelmarin berhubung satu kes penipuan lain, direman tiga hari bermula semalam.

Suspek berusia 45 tahun yang mempunyai syarikat pengangkutan, agensi pekerja asing dan syarikat khidmat perundingan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan membabitkan kerugian RM280,000 yang dibuat mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini pada 7 Ogos 2009.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghani, berkata lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan menipu mangsa yang meminta khidmat perundingannya bagi bantuan mendapatkan kiosk stesen minyak di Lembah Klang.
“Suspek ditahan bagi menyiasat dakwaan seorang pengadu wanita yang menyatakan gagal untuk mendapatkan projek kiosk stesen minyak meskipun bayaran sudah dibuat pada 2007.

“Selain itu, Polis Kuala Lumpur turut menjalankan siasatan ke atas suspek sama berhubung beberapa kes penipuan lain yang didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, siasatan berhubung kes NFC dibuat JSJK Bukit Aman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala siasatan kes penipuan dilakukan JSJK Kuala Lumpur.

Suspek itu ditahan Khamis minggu lalu ekoran dakwaan cuba menyogok wang RM1.7 juta, empat pegawai kanan JSJK Bukit Aman yang memintanya membantu siasatan kes NFC.
Apabila tempoh remannya berakhir kelmarin, beliau ditangkap semula Polis Kuala Lumpur untuk siasatan penipuan.

Media sebelum ini melaporkan seorang ahli perniagaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penyelewengan dana NFC ditahan ketika cuba menyogok RM1.7 juta empat pegawai penyiasat kes itu.
Berita Harian Online | Datuk suspek kes NFC direman tiga hari siasat kes tipu RM280,000:

'via Blog this'

Maria maafkan suami?

TANDA TANYA...belum pasti sama ada Maria akan bercerai dengan Schwarzenegger selepas mereka dilihat mesra sempena Krismas baru-baru ini.
TANDA TANYA...belum pasti sama ada Maria akan bercerai dengan Schwarzenegger selepas mereka dilihat mesra sempena Krismas baru-baru ini.

LOS ANGELES: Ada banyak petanda menunjukkan pelakon Hollywood dan bekas gabenor, Arnold Schwarzenegger, akan diterima kembali isterinya, Maria Shriver, tidak lama lagi.

Petanda hubungan itu akan pulih dapat dilihat apabila kedua-dua mereka dilaporkan menghabiskan masa bersama meraikan Krismas di California.


Percutian Schwarzenegger dan Maria turut disertai anak-anak mereka.

Menurut sumber, ada beberapa faktor mengapa kedua-dua tokoh itu boleh rujuk semula selepas rumah tangga mereka runtuh akibat Schwarzenegger berlaku curang ketika menjawat jawatan sebagai gabenor.


Kata sumber itu, Maria seorang wanita yang kuat pegangan beragama dan kepercayaannya kepada ajaran Katolik tidak membenarkan perceraian.


“Untuk lebih menyulitkan keadaan Maria, kami dimaklumkan, Schwarzenegger terdesak untuk memenangi hati isterinya semula dan dia bersikap amat baik ke atas wanita itu,” katanya.

Antara cara Schwarzenegger cuba melembutkan hati Maria, kata sumber itu, ialah dengan memberi pelbagai hadiah.


Maria, 56, membuat permohonan cerai ke atas Schwarzenegger, 64, pada Jun lalu selepas hero filem Terminator itu mengaku menjalin hubungan sulit dengan pembantu rumahnya.

Hubungan itu menyebabkan Mildred Baena melahirkan anak luar nikah 14 tahun lalu.


Kewujudan anak luar nikah itu langsung tidak dicurigai sesiapa sehinggalah di akhir tempoh Schwarzenegger memegang jawatan gabenor. Pendedahan skandal mengejutkan itu juga menjejaskan rancangan Schwarzenegger kembali menghiasi layar perak dan televisyen melalui program animasi mengenai dirinya.


Sumber berkata, sepanjang cuti Krismas kali ini, pasangan terbabit kelihatan cukup mesra dan harmoni meluangkan masa bersama anak mereka, Katherine, Christina, Patrick dan Christopher.


Tidak cukup dengan itu, Maria juga dilihat berada di sisi Schwarzenegger ketika bekas Gabenor California itu meraikan sambutan ulang tahun kelahiran ke-64, Julai lalu.


Ketika ini, Maria menetap di sebuah rumah dibelinya di Brentwood, California. - TMZ

myMetro | Maria maafkan suami?:

'via Blog this'

Naib Yang Dipertua 2 Perkim didakwa pecah amanah


SHAH ALAM 27 Dis. - Naib Yang Dipertua 2 Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Profesor Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pecah amanah terhadap dana projek menaik taraf jalan raya yang bernilai RM3.7 juta milik pertubuhan itu antara tahun 2002 dan 2004.

Turut dituduh bersama-sama Ariffin, 74, yang juga bekas Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atas kesalahan itu ialah dua ahli Perkim Cawangan Damansara Utama, Datuk Baharin Baba, 58, dan Abas Adam, 60.

Ketiga-tiganya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Asmadi Hussin.

Ariffin bersama-sama Baharin dan Abas sebagai pemegang amanah Perkim Cawangan Damansara Utama didakwa pecah amanah terhadap dana projek menaik taraf laluan B9/FT105 dari Lapangan Terbang Subang ke Hospital Sungai Buloh (Fasa A) membabitkan nilai RM3.7 juta.

Ketiga-tiganya didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perkim Cawangan Damansara Utama, Petaling Jaya dekat sini antara 1 April 2002 dan 22 April 2004.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Sinti mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000.

Peguam Najah yang juga anak kepada Ariffin memohon mahkamah mengambil kira penglibatan bapanya dalam pelbagai program kebajikan serta peranan utamanya dalam menjaga dan membimbing saudara baru.

Sehubungan itu, beliau memohon agar Ariffin yang menghidap pelbagai penyakit serta sentiasa memberi kerjasama kepada SPRM semasa disiasat sejak tahun 2006, dibebaskan dengan jaminan tanpa cagaran.

Najah yang turut mewakili Abas memaklumkan seorang lagi anak guamnya itu tidak mempunyai pendapatan tetap selain menghidap penyakit angin ahmar, lemah jantung dan gout.

Selain itu, kata beliau, Abas juga mempunyai keluarga besar dan kebanyakan anak-anaknya masih bersekolah dan menuntut di kolej.

Sementara itu, peguam Normala Lot mewakili Baharin turut memohon jumlah jaminan yang lebih rendah untuk anak guamnya.

Asmadi membenarkan setiap tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 beserta seorang penjamin selain mengarahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Beliau menetapkan 27 Januari ini untuk sebutan semula kes itu.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

Ambil tindakan terhadap Hong Seng - Perkasa



Ibrahim Ali bersama para pemimpin Perkasa pada sidang media berhubung beberapa isu termasuk kenyataan seorang paderi dan perhimpunan membela Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Wan Naqiuddin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR 27 Dis. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan ke atas Dr. Eu Hong Seng di bawah Akta Hasutan kerana mempersoalkan mengenai Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, ini kerana kenyataan Pengerusi National Evangelical Christian Fellowship (NECF) itu pada majlis minum petang di sebuah gereja di Subang Jaya, Sabtu lalu itu berbentuk provokasi, menghasut dan tidak bertanggungjawab.

Jelasnya, kenyataan itu juga menggambarkan beliau serta mana-mana pihak yang mempertikaikan mengenai perkara tersebut seolah-olah mahu 'bermusuh' dengan orang Melayu dan Islam.

"Perkasa tidak senang hati mengenai kenyataan paderi tersebut. Kenyataannya jelas berbentuk provokasi dan tidak bertanggungjawab.

"Perkara 153 adalah kontrak sosial yang tidak boleh disentuh kerana sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Inilah mereka, kalau kita jawab dikatakan rasis, tetapi siapa yang memulakan dahulu (mempertikaikan Perkara 153)?

"Jangan cuba jolok sarang tebuan dan membuat kenyataan provokasi seperti itu. Kita sudah bersabar cukup lama," katanya pada sidang akhbar di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Hong Seng yang antara lain menyifatkan Perkara 153 lebih bersifat 'membuli' jika ia hanya melindungi hak sesuatu kumpulan atau pihak.

Ibrahim berkata, atas dasar itu Perkasa akan membuat laporan polis bagi tindakan selanjutnya.

Beliau kemudiannya menyelar sikap sesetengah pemikir Melayu liberal yang bertindak mempertahankan kenyataan Hong Seng.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, Perkasa tiada masalah untuk menyokong langkah kerajaan memperkenalkan Akta Hubungan Antara Kaum jika ia membawa kebaikan kepada negara.

Utusan Malaysia Online - Politik:

'via Blog this'

SPRM siapkan kertas siasatan kes NFC



KERATAN Kosmo! 24 Disember 2011.


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiapkan kertas siasatan berhubung seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan kes dana Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, kertas siasatan itu akan dihantar kepada pihak pendakwa raya setelah siap.

"Kita tidak menutup kertas siasatan ini walaupun suspek telah dibebaskan setelah reman oleh pihak kami tamat semalam (kelmarin).

"Tetapi sekarang ini kita memberi ruang kepada pihak polis untuk menyiasat suspek berhubung satu kes penipuan," kata beliau ketika dihubungi semalam.

Laporan akhbar menyebut suspek lelaki berusia 45 tahun itu yang direman lima hari sejak Khamis lepas bagi membantu siasatan kes NFC, telah dibebaskan namun ditahan semula oleh polis kelmarin bagi membantu siasatan kes penipuan membabitkan projek stesen minyak.

Mustafar berkata, pegawainya sedang mengumpulkan maklumat daripada semua aspek yang boleh membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'