Saturday, May 9, 2015

Dr Hasrul Sani Muat Naik Gambar Di FB Sebelum Nahas


Diterbitkan: Jumaat, 8 Mei 2015 11:58 PM

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Datuk Dr Hasrul Sani Mujtabar, yang cedera dalam nahas helikopter di kawasan Lembah Naltar, Pakistan awal pagi Jumaat, sempat memuat naik sekeping gambar ke akaun Facebook beliau, dipercayai sebelum tragedi itu berlaku.

Gambar itu, yang dimuat naik di akaun Facebook menggunakan nama Hasrul Sani Mujtabar, menunjukkan Dr Hasrul Sani dan isterinya Datin Habibah Mahmud dan anggota delegasi lain berada di dalam sebuah helikopter.

Gambar itu dimuat naik berserta kapsyen "All set to fly off to Gilgit.Only for the brave hearts...hehehe" (Semua bersedia untuk berlepas ke Gilgit.
Hanya untuk mereka yang berani... hehehe)


Dalam nahas itu, Habibah dan lima orang lagi iaitu Duta-duta Besar Norway, Belanda dan Filipina serta isteri Duta Besar Indonesia terbunuh apabila helikopter yang dinaiki mereka terhempas di kawasan Lembah Naltar.


Kementerian Luar Negeri mengesahkan Dr Hasrul Sani cedera dalam kejadian itu dan kini dirawat di Hospital Gilgit.

"Helikopter itu membawa diplomat asing dan isteri masing-masing. Mereka dalam rangka program rasmi kerajaan Pakistan," kata Wisma Putra dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Sementara itu, dalam temu bual Dr Hasrul Sani dan Habibah bersama seorang wartawan Pakistan, Omar Khalid Butt, tahun lepas, pesuruhjaya tinggi itu  berkata beliau jatuh cinta pandang pertama dengan Habibah ketika bertemu di sebuah pusat penyelidikan semasa melaksanakan tugasan universiti.

"Kami bertemu di sebuah pusat penyelidikan flora dan fauna ketika lawatan belajar semasa menuntut di universiti.

"Ketika itu, kami belajar tentang flora dan fauna Malaysia. Di situlah saya bertemu Habibah, ya, cinta pandang pertama. Walaupun kami dari dua negeri berbeza tetapi belajar di universiti sama," katanya.


Selain itu, Dr Hasrul Sani dan Habibah memberitahu Butt bahawa mereka mempunyai dua anak perempuan dan seorang anak lelaki.

Kedua-dua anak perempuan telah bekerja manakala anak lelaki bongsu mereka masih belajar di universiti di Malaysia.

Rakaman video berdurasi 45 minit dan 48 saat itu itu dimuat naik oleh Butt pada 27 Mei tahun lepas di akaun Twitter miliknya @meezoolibra1510.

Christiano Ronaldo Derma RM27 Juta Kepada Mangsa Gempa Bumi Nepal


Diterbitkan: Sabtu, 9 Mei 2015 10:42 AM

BINTANG bola sepak dunia, Christiano Ronaldo yang merupakan seorang dermawan dilaporkan menghulurkan bantuan sebanyak £5 juta (RM27 juta) kepada mangsa gempa bumi Nepal.
Menurut syarikat penerbitan Perancis, So Foot, Ronaldo menghulurkan sejumlah besar wang kepada sebuah organisasi kemanusiaan sedunia, 'Save The Children'.
'Save the Children' merupakan salah satu pertubuhan amal utama yang terlibat dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi Nepal yang berlaku bulan lalu sehingga mengorbankan seramai 7,000 mangsa.
Tambahnya lagi, Ronaldo, 30, turut menggunakan laman sosial Facebook dan Twitter pada bulan lalu untuk mendorong peminat menghulurkan bantuan bagi mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh mangsa bencana.
Ronaldo, yang juga merupakan seorang bintang kelab ternama Sepanyol, Real Madrid mencipta sejarah sebagai seorang dermawan, disamping prestasinya yang kurang melakukan kesalahan semasa di padang.
Pada tahun lalu, Ronaldo dilaporkan menghulurkan sumbangan berjumlah €60,000 (RM241 ribu) untuk membiayai pembedahan otak kanak-kanak lelaki berusia 10 bulan.
Bintang Portugis tersebut mempamerkan prestasi cemerlang demi pasukannya pada pertengahan minggu lalu walaupun menanggung kekalahan tipis 2-1 kepada Juventus dalam saingan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.
Ronalo membatalkan hasrat pemain lawan, Alvaro Morata untuk melakukan serangan pembukaan namun sepakan penalti yang disempurnakan Carlos Tevez menjadikan kelab Itali tersebut mendahului kemenangan pusingan pertama untuk memudahkan perlawanan pusingan kedua di Bernabeu minggu hadapan.
Disamping itu, tandukan jarak-dekat Ronaldo di Turin merupakan tandukan ke-54 pada musim ini.

Azeez Tidak Layan Desakan Letak Jawatan Pengerusi Tabung Haji


Diterbitkan: Sabtu, 9 Mei 2015 2:50 PM
Abdul Azeez Abdul Rahim. Foto FAIHAN GHANI / THE STAR

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim tidak akan melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) kerana pembelian plot tanah di Tun Razak Exchange (TRX) dari 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak merugikan.
Beliau berkata, pembelian tanah tersebut sebaliknya memberikan keuntungan kepada pelaburan Tabung Haji sebagai pengurus dana Islam dan haji di negara ini.
"Kalau saya rugikan duit dalam Tabung Haji, bolehlah desak Abdul Azeez untuk letak jawatan. Tetapi saya tak rugi malah tanah yang baharu sahaja dibeli ini boleh menguntungkan.
"Kalau ada rugi, ada penyelewengan, penipuan dan ketirisan... bolehlah (letak jawatan), tetapi tak ada," katanya pada sidang media Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji di sini, Sabtu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan pelbagai pihak terutama pembangkang supaya melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji kerana didakwa ‘bail out’ (melindungi) 1MDB berhubung pembelian tanah seluas 1.6 ekar bernilai RM188.5 juta.
Terdahulu dalam sidang media berkenaan, Azeez menjelaskan bahawa pembelian tanah itu merupakan pelaburan yang mengambil kira kepatuhan syariah dan potensi pulangan keuntungan yang baik.
Beliau menambah, pulangan keuntungan itu akan memberi keutamaan untuk subsidi dan pengurusan haji selain agihan dividen kepada pendeposit setiap tahun.
Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling bagaimanapun menyifatkan desakan pelbagai pihak supaya meletakkan jawatan itu merupakan satu serangan politik terhadapnya.
"Saya tahu ini merupakan satu serangan politik. Saya sedar saya sebagai seorang ahli politik, ahli Umno yang mempengerusikan Lembaga Tabung Haji.
"Ada juga pihak-pihak yang tak senang dengan saya. Tetapi percayalah saya bukan dilihat sebagai ahli Umno yang biasa, saya ahli Umno dalam konteks parti saya.
"Dalam kerjaya, saya berpaksikan hablum minallah (pertimbangan Allah) habulum minannas (manfaat manusia)," kata Azeez.
Mengenai kenyataannya di laman sosial Twitter pada Rabu lalu, Azeez berkata, beliau tidak membuat penafian tetapi hanya mengatakan ia tidak benar.
"Blog The Benchmark tersebut mengatakan bahawa Tabung Haji membeli tanah berjumlah RM722 juta di TRX. Itu adalah tidak benar sama sekali," katanya.
Pada Rabu lalu, Azeez menulis kenyataan di Twitter "Tak Betul. TH akan mengeluarkan kenyataan secepat mungkin" dan telah disalah tafsir banyak pihak sehingga beliau dikritik kerana membuat penafian mengenai pembelian tanah dari 1MDB.

Akur Desakan Pelbagai Pihak, TH Jual Tanah TRX


Diterbitkan: Sabtu, 9 Mei 2015 12:48 PM

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) akhirnya akur dengan tekanan dan desakan pelbagai pihak apabila memutuskan untuk menjual semula plot tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang dibeli dari 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, tanah seluas 1.6 ekar bernilai RM188.5 juta itu akan dijual semula selepas mendapat teguran pelbagai pihak termasuk nasihat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menghormati sensitiviti dan kepercayaan pendeposit.
Menurutnya, tanah itu akan dijual dengan unjuran keuntungan sekurang-kurangnya RM5 juta selain mendapat 100 peratus pulangan wang yang dibayar kepada 1MDB bagi pembelian sebelum ini.
"Sekarang ini ada tiga tawaran yang mana ketiga-tiganya akan membayar dengan RM188.5 juta tetapi kita sedang membincangkan dari segi berapa keuntungannya.
"Kita hendak tahu berapa keuntungan yang kita akan dapat (daripada jual semula tanah) kerana itu yang terbaik. Kita hendak selesaikan perkara ini dalam seminggu atau dua minggu lagi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji di sini, Sabtu.
Azeez berkata, pada awalnya semua ahli lembaga pengarah mempertahankan untuk tidak menjual tanah itu demi keuntungan pelaburan namun mahu menyelesaikan isu tersebut daripada berlarutan sehingga menjejaskan nama baik Tabung Haji.
"Itulah nasihat yang diberikan (Najib), bukan satu arahan. Yang Amat Berhomat (perdana menteri) menasihatkan supaya ia jangan berpanjangan dan mengelakkan fitnah untuk menjaga sentimen rakyat," katanya.
Tabung Haji akan menjual semula tanah itu secara baik bagi mendapatkan pulangan keuntungan demi kepentingan pendeposit.
"Dalam masa terdekat ini selepas dapat duit itu, kita akan minta CFO (Ketua Pegawai Kewangan) untuk membuat pengumuman pada sidang media yang duit dah masuk dalam akaun Tabung Haji... dah selesai," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan kepada para pendosit supaya tidak panik dengan mengeluarkan simpanan mereka di Tabung Haji.
"Simpanan makcik, pakcik... walau RM1 pun adalah dijamin oleh kerajaan buat pendeposit," katanya.
Azeez turut mengulangi pendirian Tabung Haji sebelum ini bahawa pembelian tanah bukan ‘bail out’ untuk 1MDB tetapi sebaliknya ia merupakan pelaburan yang mengambil kira kepatuhan syariah dan potensi pulangan keuntungan yang baik.
Beliau menambah, pulangan keuntungan itu akan memberi keutamaan untuk subsidi dan pengurusan haji dan agihan dividen kepada pendeposit.
Jelasnya, Tabung Haji membayar kadar pulangan dividen melebihi enam peratus dan tahun 2014 sahaja manakala pemberian bonus dan dividen 8.5 peratus.
"Kos untuk mengerjakan haji tahun ini adalah RM17,270 tetapi pendeposit hanya dikenakan caj RM9,980. Dan kita beri subsidi sebanyak 7,290 seorang.
"Dari mana kita hendak dapat subsidi ini? Sudah tentu daripada keuntungan menerusi perniagaan dan pelaburan yang dijalankan Tabung Haji," katanya.
Menurut Azeez, Tabung Haji mengagihkan dana mengikut alokasi aset yang diluluskan iaitu kira-kira 15 peratus yang diperuntukan untuk pelaburan hartanah.
"Pembelian tanah ini mengambil peluang sebagai sebuah institusi Islam yang memiliki aset di kawasan pembangunan TRX dengan unjuran keuntungan 27 peratus atau sembilan peratus setahun," katanya.