Thursday, March 8, 2012

Phahrolrazi, Ismail diberi portfolio lain

Berita Harian Online | Phahrolrazi, Ismail diberi portfolio lain:pix_gal0
MB Kedah buat rombakan kecil 

ALOR SETAR: Dua bekas EXCO PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh dijangka diberikan portfolio lain, berbanding portfolio kanan yang dipegang mereka sebelum ini jika dilantik semula ke jawatan itu dalam masa terdekat.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dijangka membuat rombakan kecil portfolio yang turut membabitkan lapan EXCO yang mengangkat sumpah pada 28 Februari lalu untuk disesuaikan dengan kemasukan semula Phahrolrazi dan Dr Ismail.
Sumber berkata, Azizan dijangka tidak akan menawarkan EXCO kanan kepada Phahrolrazi berikutan hubungan dingin mereka. 

Katanya, jika kedua-dua bekas EXCO itu ditawarkan portfolio kanan, ia akan menyukarkan Azizan yang sebelum ini menerima banyak tekanan daripada mereka yang turut cuba menjatuhkan Menteri Besar. 

“Mereka dijangka ditawarkan baki portfolio yang kosong iaitu pertanian dan industri asas tani, pembasmian kemiskinan, pembangunan luar bandar, bioteknologi, sains dan inovasi serta pembangunan usahawan. 

“Mungkin akan ada sedikit rombakan, namun tidak akan membabitkan portfolio kanan yang sudah diisi EXCO lain,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 
Phahrolrazi sebelum ini memegang portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan, Sumber Air dan Tenaga, manakala Dr Ismail pula diberikan portfolio Kesihatan, Badan Bukan Kerajaan, Modal Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi. 

Portfolio dipegang Phahrolrazi selaku EXCO kanan sebelum ini diserahkan kepada Datuk Amiruddin Hamzah yang sudah mengangkat sumpah sebagai EXCO baru. 

Bagaimanapun, sumber berkata, ia bukan hukuman Azizan kepada dua bekas EXCO terbabit, namun lebih kepada proses melicinkan pentadbiran negeri sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). 

Phahrolrazi dan Dr Ismail ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara itu. 

Mesyuarat PAS Pusat yang turut membabitkan Azizan dan Phahrolrazi minggu lalu memutuskan Menteri Besar dikekalkan dengan dua EXCO berkenaan menerima semula jawatan mereka. 

Bagaimanapun, pelbagai pihak menganggap isu berkenaan belum selesai sepenuhnya berikutan penubuhan Jawatankuasa Pemandu bagi memantau pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpin oleh Azizan.
'via Blog this'

UMNO Selangor saman Mustafa didengar 10 Mei

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:


SHAH ALAM 7 Mac - Kes saman UMNO Selangor terhadap Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan lima lagi bagi menuntut ganti rugi RM10 juta kerana didakwa memfitnah parti itu berhubung serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Gereja Methodist Damansara Utama akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 10 Mei ini.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Zaki Husin menetapkan tarikh tersebut selepas membatalkan permohonan Mustafa untuk mengetepikan saman itu berikutan kesilapan teknikal yang dilakukan oleh defendan tersebut.
Sementara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu yang dinamakan sebagai defendan kedua dan ketiga pula menarik balik permohonan yang sama selepas pihak plaintif mengemukakan bantahan awal.
Ketiga-tiga defendan juga diarah membayar kos sebanyak RM5

'via Blog this'

Ananda jual Tanjong Energy kepada 1MDB

Kosmo! Online - Negara:


STESEN jana kuasa elektrik milik Tanjong Energy di Telok Gong, Masjid Tanah, Melaka.


KUALA LUMPUR - Bilionair T. Ananda Krishnan telah menjual aset penjana tenaga bebas (IPP) miliknya, Tanjong Energy Holdings Sdn. Bhd. (Tanjong Energy), kepada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) bernilai RM8.5 bilion dan ia merupakan antara urus niaga terbesar pernah dicatat dalam industri tenaga negara dan di rantau ini.
Perjanjian tersebut telah dimeterai pada Jumaat lalu dan kini ia tertakluk kepada kelulusan daripada pihak berkuasa.
IPP merupakan penjana swasta yang membekalkan tenaga elektrik kepada Tenaga Nasional Bhd.
Syarikat Tanjong Energy yang dimiliki Ananda memiliki lapan loji kuasa yang terletak di Malaysia, Mesir, Bangladesh, Pakistan, Sri Lanka dan Emiriyah Arab Bersatu.
Kapasiti tenaga yang dihasilkan oleh semua loji berkenaan ialah 3,951 megawatt (MW).
Di Malaysia, kesemua loji tenaganya terletak di Melaka iaitu Jana Kuasa Telok Gong 1 dengan kapasiti tenaga 440 MW, Jana Kuasa Telok Gong 2 (720 MW) dan Jana Kuasa Tanjung Kling (330MW).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Halmi, pengambilalihan itu menandakan langkah pertama strategik syarikat itu bagi memenuhi keperluan tenaga negara untuk jangka panjang dan ia dilihat sebagai peluang berharga kepada 1MDB untuk menjadikan Tanjong Energy sebagai pasaran yang baharu muncul dalam pengeluar tenaga bebas.
"Tenaga merupakan antara bidang fokus teras untuk 1MDB. Kami tertarik dengan rekod operasi kukuh Tanjong Energy selain portfolionya yang memiliki pelbagai aset berkualiti, keupayaan dalaman yang mantap dan potensi untuk pertumbuhan baharu di dalam dan luar negara," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

'via Blog this'

Ella, bakal suami hadiri kursus kahwin

Kosmo! Online - Negara:


ELLA dikatakan menghadiri kursus perkahwinan bersama bakal suaminya di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Ratu rock negara, Norzila Aminuddin yang lebih dikenali dengan panggilan Ella dijangka menamatkan zaman daranya tidak lama lagi selepas dia dilihat menghadiri kursus perkahwinan pada 3 Mac lalu bersama bakal suaminya.
Ella, 46, dan lelaki yang dikenali sebagai A itu dikatakan memilih Pusat Kursus Perkahwinan di Pusat Bandar Damansara di sini iaitu tempat yang sama pasangan, Yusry dan Lisa Surihani menghadiri kursus tersebut.
Menurut sumber, jejaka pilihan Ella itu bertugas sebagai seorang juruterbang di sebuah syarikat penerbangan tempatan dan mereka sudah lama berkenalan.
Pada satu ketika, hubungan pasangan tersebut dikatakan pernah terputus tetapi kemudiannya bertaut semula setelah kedua-dua bertemu pada satu konsert Ella pada Disember tahun lalu.

'via Blog this'