Saturday, December 4, 2010

Ganesan takut, balas dendam: Sivakumar





IPOH - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk R Ganesan disifatkan sebagai penakut dan mahu membalas dendam terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V Sivakumar kerana enggan membenarkan bekas Speaker itu berbahas dalam persidangan kali ini. 

Sivakumar berkata, sebanyak 18 kali beliau bangun pada hari perbahasan kedua Bajet 2011, kelmarin sebaliknya Speaker hanya membenarkan ADUN-ADUN Barisan Nasional (BN) yang sudah berkali-kali bangun untuk berbahas. 

Menurutnya, tindakan berkenaan adalah sesuatu yang tidak adil bukan sahaja dalam kalangan ADUN Pakatan Rakyat (PR) tetapi ADUN BN yang tidak mempunyai peluang. 

“Dia (Ganesan) takut dan mahu membalas dendam kepada saya. Sebab itulah dia enggan memberikan saya peluang untuk berbahas. 

“Kita minta supaya sidang DUN ditambah lagi masa supaya banyak lagi perkara penting yang boleh dibahaskan,” katanya dalam sidang media yang dilakukan semasa penggulungan Bajet 2011, semalam.

Beliau berkata, masa rehat selama 45 minit pada sesi perbahasan pada hari kedua, kelmarin sepatut tidak dibuat kerana DUN mempunyai Timbalan Speaker, Datuk Hee Yit Fong. 

Beliau berkata, tempoh rehat itu boleh memberi laluan kepada sekurang-kurangnya tiga ADUN untuk membahaskan bajet berkenaan. 

ADUN Canning, Wong Kah Woh yang turut sama dalam sidang media itu berkata, beliau sendiri tidak berpuas hati dengan tindakan berat sebelah oleh Ganesan. 

Beliau yang bangun sebanyak 17 kali tidak berpeluang untuk menyuarakan permasalahan yang berlaku di kawasan beliau. 

Katanya, masa yang diberikan untuk berbahas tidak mencukupi dan perlu dilanjutkan untuk memberi peluang kepada ADUN yang belum membahaskannya.

Zaibo, pasangan selamat diijabkabulkan





2010/12/04

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak popular, Zainal Ariffin Abdul Hamid atau Zaibo, 54, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Hawa Shawal, 45, di Pejabat Kadi Batu Pahat, kira-kira jam 3 petang semalam. 

Pasangan itu dinikahkan oleh Kadi Daerah Batu Pahat, As Sheikh Mustafa Omar.
Zaibo yang masih bujang memilih ibu tunggal sebagai isterinya.
Majlis pernikahan Zaibo dengan Hawa berlangsung sederhana dan hanya dihadiri keluarga dan sahabat terdekat. 

Zaibo berkata, beliau bersyukur majlis pernikahannya dengan Hawa berjalan lancar. 

Alhamdulillah, segala-galanya dipermudahkan. Semoga perkahwinan ini mendapat restu sekali gus beroleh keberkatan serta mengukuhkan silaturahim, katanya.

Kos hidupan di Singapura naik




2010/12/04


Mata wang kukuh, kenaikan harga jadikannya paling mahal di Asia


SINGAPURA: Kos hidup di republik ini terus meningkat dan kini menjadi lokasi kelapan paling mahal di Asia, meningkat daripada kedudukan kesembilan tahun lalu. 

Mata wang Singapura yang lebih kukuh berbanding mata wang utama serta kenaikan harga menyumbang kepada situasi itu dan menjadikannya antara 10 lokasi utama bagi kos kehidupan tinggi di Asia tahun lalu, menurut tinjauan kos kehidupan syarikat antarabangsa ECA semalam.
Menurut tinjauan ECA itu, jurang kos kehidupan di Singapura semakin dekat dengan kos kehidupan di Hong Kong.
Dua tahun lalu, ada perbezaan 15 peratus (antara Singapura) dengan Hong Kong. Ia merosot kepada tujuh peratus setahun lalu dan kini perbezaannya hanya dua peratus. Tambahan, Singapura kini menduduki tangga lebih tinggi daripada Beijing, kata kenyataan itu. 

Hong Kong menduduki tempat keenam sementara Beijing menduduki tempat kesembilan di Asia. 

Tinjauan itu juga menunjukkan secara global, kedudukan Singapura meningkat daripada 79 kepada 42. 

Ia juga menunjukkan kos kehidupan di Singapura lebih mahal berbanding Tengah London dan sejak beberapa tahun lalu, kedudukan Singapura meningkat melebihi lokasi di Zon Eropah, dengan mata wang di sana termasuk Munich dan Rome menjadi lemah. 
Pengarah Serantau Asia ECA International, Lee Quane, berkata kedudukan Singapura yang semakin meningkat dalam kos kehidupan itu, berikutan kedudukan mata wangnya yang semakin kukuh, mempunyai dua kesan. 

Bagi syarikat yang membawa pekerja berpengalaman ke Singapura, kos bagi satu tugas akan meningkat kerana elaun tinggi diperlukan bagi mengekalkan kuasa membeli pekerja. 

Sebaliknya, syarikat yang menghantar pekerjanya ke luar Singapura boleh mendapatkan elaun kos kehidupan lebih rendah dan masih dapat menyediakan bayaran mencukupi bagi mengekalkan taraf kehidupan baik, tambahnya. 

Tinjauan itu juga mendapati Tokyo, ibu kota Jepun, adalah lokasi teratas kos kehidupan. 

Sementara itu, Kuala Lumpur menunjukkan peningkatan besar dalam kos kehidupan di rantau Asia daripada kedudukannya di tangga ke-36 setahun lalu, kepada tangga ke-31 tahun ini. - Agensi

Kerabat diraja mahu membantu

KUALA TERENGGANU: Penderitaan yang dialami keluarga mangsa simbahan asid mendapat simpati ramai apabila pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan kerabat diraja mula tampil menghulurkan bantuan.
Seorang kerabat diraja negeri ini yang tersentuh hati dengan penderitaan dua beradik yang cacat di muka selepas disimbah asid oleh bapa mereka Ogos lalu bersedia membantu mereka mendapat rawatan termasuk membuat pembedahan plastik.

Tekanan emosi dan penderitaan ditanggung dua kanak-kanak berkenaan, Nurul Dahyatul Mat Haizan, 8, dan adiknya, Muhammad Irfan Firdaus, 2, mendapat perhatian kerabat diraja berkenaan yang mahu kecacatan mereka dirawat segera.

Seorang pegawai kerabat diraja terbabit ketika menghubungi Harian Metro semalam memberitahu bantuan kepada keluarga itu sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya membantu anak negeri ini yang ditimpa musibah atau terhimpit dengan kesusahan.

“Tengku begitu prihatin dengan penderitaan kanak-kanak berkenaan dan mahu berjumpa keluarga itu serta berusaha membantu seberapa yang boleh dengan segera,” katanya.

Sementara itu, ibu kanak-kanak berkenaan, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, ketika dimaklumkan mengenai hasrat kerabat diraja berkenaan membantu mendapatkan rawatan termasuk pembedahan plastik untuk dua anaknya, teruja dan menyambutnya dengan lafaz syukur.

Che Ku Zaimah yang turut cedera akibat simbahan asid itu berkata, dia sedih dengan tekanan emosi ditanggung dua anaknya yang tersinggung dengan ejekan rakan hingga malu ke sekolah, justeru berharap ada kepastian segera mengenai langkah rawatan dan pemulihan. “Sepanjang kami berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan, belum ada kepastian daripada doktor sama ada pembedahan plastik akan dibuat. “Hendak membuat pemeriksaan di hospital swasta sudah tentu kami tidak mampu,” katanya yang kini tinggal di rumah ibunya di Kampung Sekayu, Kuala Berang, ketika dihubungi, semalam. Che Ku Zaimah berkata, Nurul Dahyatul paling mengalami kecacatan di muka paling teruk akibat simbahan asid itu, sebelum ini memakai topeng, tetapi kerana malu diejek rakan, dia tidak memakainya lagi menyebabkan lukanya bertambah parah kerana terdedah kepada panas matahari.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata, kerajaan negeri bersedia menghulurkan bantuan kepada keluarga terbabit menerusi pelbagai bantuan bersesuaian.

Beliau meminta keluarga berkenaan berjumpa doktor pakar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mendapatkan maklumat lanjut mengenai kecederaan dialami dan kos pembedahan diperlukan sebelum mengisi borang dan merujuk kepada pegawainya.

“Di bawah portfolio saya, terdapat Dana Khas Sosial Perubatan untuk membiayai kos perubatan mereka yang menghidap penyakit kronik dan jumlah bantuan sama ada separuh atau penuh ditentukan kemudian bergantung kepada keadaan ekonomi keluarga dan pertimbangan pegawai terbabit.

“Selain itu, keluarga berkenaan juga boleh memohon bantuan menerusi Tabung Darul Iman yang diluluskan peruntukan RM10 juta oleh kerajaan negeri bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, masih terlalu awal menentukan kos pembedahan plastik dan jumlah bantuan yang boleh diberikan kepada keluarga terbabit kerana perlu mengambil kira pelbagai faktor seperti rawatan susulan dan tempoh masa.

Begitupun Dr A Rahman memberi jaminan memberi bantuan berdasarkan latar belakang ibu mangsa yang tidak bekerja selain Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sendiri memberitahu kerajaan negeri memberi apa saja bantuan diperlukan kepada keluarga terbabit ketika melawat mereka di HSNZ, Ogos lalu.

Kisah malang kanak-kanak malang berkenaan berlaku apabila kedua-dua ibu bapa mereka menghadapi krisis rumah tangga dan di ambang untuk berpisah.

Dalam kejadian pada jam 1.45 pagi 15 Ogos lalu, bapa kanak-kanak berkenaan, Mat Haizan Mat Yassin, 32, memecah masuk rumah mentuanya, Minah Omar, 56, dan menyimbah cuka getah yang dibawanya dalam bungkusan plastik dan menyimbah ke arah Che Ku Zaimah tetapi terkena Nurul Dahyatul, Muhammad Irfan dan Minah.

Bapa kanak-kanak berkenaan bertindak demikian kerana marah dengan tindakan Che Ku Zaimah yang meminta cerai.

Bagaimanapun, bapa mereka mendapat balasan atas perbuatannya dan menjalani hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan kerana mengaku salah menyimbah asid kepada Che Ku Zaimah.

Rabu lalu, Mahkamah Sesyen di sini turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan kerana menyimbah asid kepada Nurul Dahyatul dan penjara dua tahun kerana mencederakan Muhammad Irfan Firdaus. Bagaimanapun, kedua-dua hukuman itu berjalan serentak setelah mahkamah mengambil kira pengakuan salah tertuduh.

Harga RON 95, gula naik




ORANG ramai mengambil kesempatan mengisi minyak sementara harga belum naik di sebuah stesen minyak di Kuantan malam tadi.


KUALA LUMPUR - Kerajaan semalam mengumumkan kenaikan harga minyak RON 95 dan diesel sebanyak lima sen seliter serta lima sen bagi setiap kilogram (kg) bagi gas asli cecair (LPG) berkuat kuasa tengah malam tadi.
Berikutan kenaikan itu, harga petrol RON 95 kini ialah RM1.90 seliter, diesel RM1.80 seliter manakala LPG RM1.90 satu kg.
Turut diumumkan naik ialah gula sebanyak 20 sen kepada RM2.10 bagi setiap kg.
Pengumuman itu dibuat melalui kenyataan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Jabatan Perdana Menteri semalam.

Padah berkenalan di Facebook



PENGGUNA Internet dinasihatkan berhati-hati ketika mencari kenalan di laman Facebook. 
- Gambar hiasan


KOTA BHARU – Niat seorang guru wanita untuk membantu seorang lelaki Iraq mempelajari agama Islam bukan sahaja tidak tertunai malah mendakwa kerugian RM15,000 apabila diperdaya suspek yang dikenalinya melalui laman sosial Facebook itu Rabu lalu.
Wanita berumur 42 tahun dan menetap di Taman Uda Murni di sini sebelum itu dikatakan telah berkenalan dengan lelaki terbabit pertengahan bulan lalu.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, selepas bertukar-tukar maklumat melalui laman sosial tersebut beberapa minggu kemudian, suspek memberitahu yang dia berhasrat untuk mempelajari Islam pada 30 November lalu.
Katanya, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa bersetuju untuk membantu suspek.
“Mangsa bagaimanapun telah menerima panggilan daripada suspek keesokan harinya mengatakan yang dia telah ditahan oleh pihak Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana tidak mengisytiharkan wang pound sterling 360,000 (RM1.7 juta) yang dibawanya.

Kes cerai: Pemandu teksi kesal



KUALA LUMPUR 3 Dis. - Seorang pemandu teksi mendakwa Mahkamah Tinggi Syariah di sini tidak bersikap profesional dalam kes tuntutan harta sepencarian antara dia dan bekas isterinya apabila tidak dimaklumkan mengenai pertukaran tarikh perbicaraan.
Muhammad Fisal Adnan, 51, berkata, sudah lima kali pertukaran tarikh perbicaraan tidak dimaklumkan kepadanya selaku defendan iaitu pada 27 Oktober, 16 November, 22 Disember tahun lalu serta 17 Februari dan 29 Mac tahun ini.
Katanya, apa yang lebih dikesalkan ialah semasa dia hadir di Mahkamah Tinggi Syariah 6 pada 29 Mac lalu, dia dimaklumkan bahawa tarikh perbicaraannya telah dipercepatkan seminggu.
"Semua pertukaran tarikh berkenaan tidak dimaklumkan kepada saya. Saya hanya diberitahu apabila hadir di mahkamah. Ekoran itu, saya hilang hak sebagai defendan," katanya ketika datang ke pejabat Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Muhammad Fisal yang tidak diwakili oleh peguam berkata, dia diberitahu bahawa semua pertukaran tarikh itu dipohon oleh peguam bekas isterinya.
"Saya kesal dengan sikap tidak profesional dan tidak bertanggungjawab pihak yang mengendalikan hal-hal berkaitan agama ini," katanya.
Menurutnya, dia kehilangan banyak masa berhadapan dengan kes itu, malah terpaksa meninggalkan anak bongsunya berusia lapan tahun di rumah tanpa penjagaan.
"Namun, kes saya tidak juga dapat diselesaikan sehingga kini dan menuntut saya meluangkan lebih banyak masa," katanya.
Dia berkata, pada mulanya, dia enggan mendedahkan perkara itu di akhbar tetapi terpaksa melakukannya kerana percaya ramai lagi menghadapi masalah seperti itu.
Berikutan itu, katanya, dia kini sedang membawa perkara tersebut ke peringkat lebih tinggi termasuk ke pengetahuan Ketua Hakim Syarie untuk mendapatkan pembelaan.