Sunday, September 4, 2016

Tun M senarai 14 kuasa Perdana Menteri


RAZIATUL HANUM A.RAJAK
4 SEPTEMBER 2016
Tun Dr Mahathir Mohamad


 Tun Dr Mahathir Mohamad
SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyenaraikan 14 kuasa Perdana Menteri Malaysia yang terdapat dalam Perlembagaan dan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau meringkaskan kuasa Perdana Menteri menurut akta tersebut kerana menjangkakan tidak ada sesiapa yang mahu membacanya.

“Saya terpaksa baca keseluruhan Perlembagaan dan Akta Majlis Keselamatan Negara untuk memahami keperluan atau kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri.

“Kuasa Perdana Menteri hampir tiada had,” katanya melalui catatan di blog Chedet, semalam.

Pada 17 Februari lalu, Majlis Raja-raja berpendapat beberapa peruntukan dalam Rang Undang-Undang MKN perlu diperhalusi selepas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail (kini bekas) menyembahkan taklimat mengenai RUU itu pada Mesyuarat Ke-240 Majlis Raja-raja di Istana Negara.

RUU MKN yang memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan telah diluluskan Dewan Rakyat pada 3 Disember 2015 sebelum diluluskan Dewan Negara pada 22 Disember 2015 dan diwartakan menjadi undang-undang pada 7 Jun lalu.

Dalam pada itu, katanya, keperluan untuk membenarkan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan mengisytiharkan darurat kerana undang-undang yang melindungi rakyat tidak terpakai ketika darurat.

“Tapi sekarang Najib (Datuk Seri Najib Razak) sebagai Pengerusi MKN akan menasihati Najib sebagai Perdana Menteri. Kuasa Najib jauh lebih banyak daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Sudah tiada lagi keperluan untuk merujuk atau mendapat kelulusan Yang di-Pertuan Agong. Najib sebagai Pengerusi MKN hanya akan menasihati dirinya sendiri sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Menurutnya lagi, Najib dilindungi sepenuhnya daripada sebarang prosiding undang-undang.

“Malah semua prosiding MKN adalah rahsia rasmi. Tiada mana-mana ahli MKN itu boleh mendedahkan apa-apa.

“Akta ini merendahkan martabat Perlembagaan. Sudah tentu ia salah. Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara. Tapi tiada siapa buat apa-apa apabila ia dicabul,” katanya.

Berikut 14 kuasa Perdana Menteri yang disenaraikan oleh beliau :

1.Menubuhkan Majlis Keselamatan Negara;

2.Mempengerusikan Majlis Keselamatan Negara;

3.Majlis menasihati Perdana Menteri – iaitu dirinya sendiri;

4.Berkuasa untuk : memindahkan orang; isytihar perintah berkurung; mengawal pergerakan, jalan, laluan air dan udara; menahan seseorang; geledah dan rampas serta menggeledah premis untuk keadaan yang bahaya;

5.Menggeledah orang untuk keadaan yang bahaya;

6.Merampas kenderaan, kapal atau pesawat;

7.Berkuasa untuk mengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta boleh alih;

8.Permintaan untuk menggunakan sumber;

9.Kuasa untuk mengarahkan memusnahkan mana-mana bangunan kosong;

10.Kuasa menggunakan pasukan yang perlu dan wajar;

11. Kuasa untuk mengetepikan inkues;

12.Kewajipan untuk menyimpan rahsia;

13.Perlindungan daripada mana-mana prosiding undang-undang dan

14.Status sebagai pegawai kerajaan.

Ibu sembilan anak hidup susah


DIANA SURYA ABD WAHAB
4 SEPTEMBER 2016
Ibu sembilan anak hidup susah

Ibu sembilan anak hidup susah Maimunah bersama empat daripada sembilan anaknya di rumah sewa mereka di tepi padang Perkampungan Sungai Karang Pantai.
KUANTAN - Kesempitan hidup yang ditanggung selepas kehilangan suami ketika keluar ke laut menangkap ikan, lima bulan lalu, memaksa seorang ibu sembilan anak menagih bantuan orang ramai untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Maimunah Abdul Shukor, 37, berkata, buat masa ini dia masih tidak berpeluang bekerja mencari nafkah menggantikan suaminya, Yusof Abu Hussein, 40, yang masih belum pulang memandangkan berada dalam tempoh berpantang anak kesembilan yang baharu lahir, 19 Ogos lalu.

Lebih menyedihkan, dia terpaksa bersalin di rumah tanpa bantuan pakar selain tidak menyediakan sebarang persiapan untuk bayinya.

“Kami mula berhijrah ke Sungai Karang dua tahun lalu dari Kemaman dan suami bekerja sebagai nelayan manakala saya ambil upah mengemas rumah.

“Namun sejak lima bulan lalu, hidup kami sekeluarga makin susah dan sumber wang terputus apabila suami yang keluar ke laut bersama rakan-rakannya bukan sahaja tidak pulang, namun masih tidak ada khabar berita. Saya risau sebab suami warga Myanmar dan setiap hari saya masih menanti kepulangannya," katanya kepada pemberita yang berkunjung ke rumahnya berhampiran padang Perkampungan Sungai Karang Pantai di sini, semalam.

Menurut Maimunah, segala tanggungan seperti sewa RM250 sudah tiga bulan tertunggak malah yuran RM100 persekolahan anak-anak seramai lima orang di Sekolah Anak-anak Rohingya Abim Kuantan pun masih belum berbayar.

"Sekarang, wang belanja pun dah tak ada,” katanya.

Menurutnya lagi, setakat ini, dia tidak memikirkan soal lain, hanya ingin memohon bantuan daripada mana-mana pihak membantu sementara masih belum berpeluang untuk bekerja.

Kewangan Kerajaan Pusat genting


A KADIR JASIN
4 SEPTEMBER 2016
Bajet 2016

Bajet 2016 Bajet 2016
SALAH satu ciri belanjawan yang diidam-idamkan oleh semua negara di dunia dan dituntut oleh badan-badan kewangan antarabangsa adalah keseimbangan di antara hasil dan perbelanjaan.

Inilah yang disebut sebagai belanjawan seimbang. Tetapi ia lebih berupa impian daripada kenyataan bagi kebanyakan negara. Dalam keadaan biasa pun ia sukar dicapai apatah lagi dalam suasana ekonomi yang tidak menentu seperti sekarang.

Antara matlamat dan ikrar utama Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak apabila mengambil alih teraju Kementerian Kewangan pada akhir tahun 2008 ialah menghapuskan defisit belanjawan secara berperingkat.

Kemudian sebagai Perdana Menteri pada tahun 2009 beliau menjadikan belanjawan seimbangan sebagai salah satu matlamat penting Program Transformasi Nasional. Beliau berhasrat mencapai idealisme itu menjelang tahun 2020.

Secara amnya, dasar itu menampakkan kemajuan. Defisit belanjawan, iaitu perbezaan antara hasil dan perbelanjaan, dapat dikurangkan daripada 6.7 peratus pada tahun 2009 kepada 3.2 peratus tahun lalu.

Bagaimanapun, dalam tempoh itu juga hutang kerajaan melambung kerana meminjam dengan banyak untuk membiayai pembangunan. Akibatnya jumlah terkumpul hutang kerajaan naik dari RM250 bilion pada tahun 2010 kepada RM656 bilion pada akhir Jun lalu.

Ini adalah angka rasmi yang disiarkan di internet oleh Bank Negara dan dikemaskinikan pada 30 Ogos iaitu sehari sebelum ulang tahun Hari Kebangsaan ke-59.

Jumlah ini adalah yang paling tinggi dalam sejarah negara dan mencecah had pinjaman yang Mohd Najib sendiri tetapkan iaitu 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada tahun 2008, apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan Kementerian Kewangan kepada Mohd Najib, hutang kerajaan berbanding KDNK adalah 41.24 peratus. Nisbah ini lebih rendah pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Keadaan menjadi tambah meruncing sejak sembilan bulan terakhir sehingga Jun tahun ini. Dalam tempoh itu, hasil kerajaan lebih rendah daripada belanja mengurus. Hal ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

Dalam bahasa yang mudah, hasil yang kerajaan pungut tidak pun cukup untuk membayar gaji kakitangan awam, menyelenggarakan harta awam dan membayar balik hutang. Hatta pungutan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pun telah jatuh di bawah jumlah yang dianggarkan kerana pengguna tidak lagi berbelanja seperti dulu.

Hasil kerajaan pada umumnya hanya cukup untuk belanja pengurusan. Kos pengurusan tinggi kerana bilangan kakitangan awam ramai dan gaji yang mereka terima boleh dikira lumayan berbanding jumlah penduduk dan hasil kerajaan. Bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan subsidi pun datang daripada sumber yang sama. Untuk membangunkan negara kerajaan terpaksa berhutang. Akibatnya hutang kerajaan sangat besar.

Dalam kedua-dua aspek perbelanjaan ini – pengurusan dan pembangunan – berlaku pembaziran yang besar akibat kelemahan pentadbiran, salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah.

Satu lagi tanda bahawa kewangan kerajaan semakin meruncing ialah apabila kerajaan mula bermain dengan pengubahsuaian teknikal bagi memberi gambaran bahawa hasil meningkat dan hutang berkurangan.

Misalnya, baru-baru ini kerajaan memindahkan hutang perumahan kakitangan awam sebanyak RM22 bilion kepada sebuah badan berkanun baru bernama Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam. Untuk mencari modal ia berhutang RM25 bilion dengan menjual bon yang dijamin oleh kerajaan.

Pemindahan dari tangan kanan ke tangan kiri itu telah mengurangkan nisbah hutang kerajaan berbanding KDNK sebanyak kira-kira dua peratus.

Tetapi sebaik saja hutang itu dikurangkan, kerajaan meminjam lebih banyak sehingga menyebabkan hutang terkumpul meningkat RM29 bilion dalam suku kedua tahun ini.

Natijahnya kerajaan wajib kembali kepada ikrar perbelanjaan berhemah dengan mengurangkan pembaziran, salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah bukan dengan memotong peruntukan kepada sektor kritikal seperti pelajaran, kesihatan dan ekonomi.

Pada masa sama, ia perlu berterus terang dengan rakyat jelata mengenai keadaan sebenar ekonomi. Kerajaan boleh menggunakan jentera propaganda untuk memberi gambaran bahawa segala-galanya terkawal sedangkan kehidupan rakyat jelata semakin terdesak.

Ekonomi tidak berbohong. Wallahuaklam.