Tuesday, September 14, 2010

Kereta mangsa hilang kawalan

TAMPIN: Siasatan awal polis mendapati kenderaan dua beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 237.3, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, merempuh sebuah lori yang mengalami kerosakan dan dipandu perlahan dari laluan kanan ke tepi jalan di kawasan berkenaan.
Dalam kejadian pada jam 6.45 pagi semalam, mangsa, Koperal Rubaie Abdul Rahman, 41, dan anak perempuan sulungnya, Nur Aziera, 15, meninggal dunia di tempat kejadian.

Jurucakap polis berkata, kereta dipandu mangsa dipercayai merempuh belakang lori tanpa muatan sebelum hilang kawalan dan terbabas.

Menurut jurucakap itu, kereta mangsa kemudian dilanggar tiga kenderaan lain iaitu Toyota Avanza, Perodua Myvi dan sebuah bas ekspres dari arah belakang di laluan sama yang turut hilang kawalan.

Tragedi kenduri tahlil 100 hari

TAMPIN: “Ketika bersandar di bahu saya, bunyi nafas dan degupan jantungnya amat kencang. Saya kemudian cuba memanggil namanya, namun tidak bersahut dan pilu melihat suami sudah menghembuskan nafas terakhir,” kata Rashidah Abdul Samad, 37.
Kejadian menyayatkan hati itu menyebabkan hasrat seorang anggota polis berpangkat koperal untuk pulang menghadiri kenduri tahlil 100 hari arwah bapanya bertukar tragedi apabila dia dan anak perempuannya terkorban dalam satu kemalangan di Kilometer 237.3 Lebuhraya UtaraSelatan arah selatan berhampiran Plaza Tol Pedas/Linggi, dekat sini, awal pagi semalam. Menurut Rashidah, dia bersama suami, Rubaie Abdul Rahman, 41, serta tiga anak perempuan mereka iaitu Nur Aziera, 15, Fatin Adila, 9, dan Farah Elisa Najwa, 5, dalam perjalanan dari rumah mereka di Ijok, Selangor menuju ke Bukit Gambir, Muar, Johor.
“Kami sekeluarga yang menaiki Proton Waja mahu menghadiri kenduri arwah bapa sempena 100 hari pemergiannya yang meninggal dunia dalam satu kemalangan di Johor sebelum ini. “Berikutan mahu tiba lebih cepat untuk membantu menyediakan persiapan kenduri yang akan diadakan malam ini (semalam), kami bertolak dari rumah pada jam 5.15 pagi,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), di sini, semalam. Menceritakan insiden ngeri itu, katanya, sejurus sebelum kejadian, dia ternampak seolah-olah objek hitam di tengah lebuh raya terbabit dan segera memberitahu suaminya yang sedang memandu.

“Pada waktu itu, suami saya sempat menjerit perkataan ‘apa tu?’ sebelum saya dikejutkan dengan bunyi dentuman amat kuat dan kereta kami seterusnya berpusing sebanyak beberapa kali. “Saya yang masih lagi sedarkan diri kemudian mendapati kepala suami berada di atas bahu saya, manakala anak iaitu Fatin tersepit di tempat duduk belakang meraung kesakitan sambil meminta pertolongan.

“Bagi mengelak keadaan menjadi lebih teruk, saya yang cedera ringan nekad menggagahkan diri untuk membawa keluar anak bongsu iaitu Farah yang turut berada di bahagian belakang kereta terbabit,” katanya.

Rashidah berkata, sejurus meletakkan Farah di tepi jalan, dia tersentak apabila dimaklumkan oleh orang awam bahawa selain suaminya, anak sulungnya iaitu Nur Aziera turut meninggal dunia akibat tercampak keluar dari kereta.

“Saya segera menghubungi saudara mara terdekat memberitahu perkara berkenaan sebelum melihat ketibaan anggota polis dan bomba,” katanya.

Mayat dua beranak berkenaan dibawa ke HT untuk bedah siasat, manakala Fatin yang cedera pada kaki menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban.

Tinjauan Harian Metro semalam mendapati suasana pilu menyelubungi perkarangan bilik mayat hospital berkenaan dengan tangisan ahli keluarga mangsa selain saudara mara dan kenalan rapat.

Menurut Rashidah, dia pada awalnya agak berat hati untuk pulang ke kampung dan langsung tidak menyangka insiden ngeri itu meragut dua insan kesayangannya.

Laman sembang sosial jerat gadis ke kancah zina

KUALA LUMPUR: Laman sembang sosial yang popular untuk mencari rakan, menyalur maklumat dan tempat bersembang menerusi maya dikesan turut disalah guna segelintir lelaki sebagai alat menjerat gadis termasuk masih di bangku sekolah rendah terjebak dalam kancah perzinaan.
Lebih mengejutkan ada mangsa yang terjerat itu seawal usia 11 tahun selepas terperangkap dengan kata-kata manis menerusi laman terbabit.
Mendedahkan barah sosial yang menakutkan itu, seorang mangsa hanya mahu dikenali sebagai Elin, 13, berkata dia didedahkan dengan sembang Internet sejak dari kecil oleh keluarganya.

“Saya jadi obses bersembang di ruang maya hingga sanggup tidak turun makan. Balik sekolah terus menghadap komputer, berjam-jam pun tak menjadi masalah.

“Seronok ada ramai kawan sebab di rumah selalu sunyi. Masa itu pun saya ada lebih 2,000 kawan di ruangan Friendster itu yang kebanyakan tak pernah jumpa bersemuka pun.

“Dalam ramai-ramai, ada juga beberapa lelaki cuba mengurat dengan menghantar ayat cinta dan saya akui seronok,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Menurutnya, tanpa disedari kekerapan bersembang dengan imaginasi yang membuai itu menyebabkan perasaan mahu berjumpa lelaki terbabit membuak-buak.

Pertemuan demi pertemuan selepas itu daripada bermulanya aksi ringan-ringan hinggalah terjadinya perbuatan sumbang yang akhirnya menyebabkan Elin terjebak dengan kehidupan liar.

Seorang mangsa lain, hanya mahu dikenali sebagai Maimun, 16, berkata dia tidak menyangka pergaulan bebas di ruang maya turut dijadikan tempat merancang aktiviti maksiat dengan rakan sealiran.

“Kami bebas meluahkan apa saja tanpa sekatan. Malah saya turut ‘join’ (masuk) dalam kumpulan gadis lain yang menubuhkan kelab sayang balak (teman lelaki).

“Bersembang dengan mereka lebih baik daripada memikirkan masalah keluarga. Saya duduk dengan emak selepas ayah ceraikan emak.
“Emak kerap bawa balik lelaki dan dia juga minum arak. Saya fikir, kalau emak boleh buat macam itu, maknanya saya pun boleh melakukan perkara yang sama. Malah, kali pertama saya masuk ke disko ialah bersama emak,” katanya.

Disebabkan itu Maimun menyatakan dia mula berjinak-jinak dengan laman sembang sosial sebagai satu cara melepaskan tekanan, di samping mencari rakan.

Kali pertama dia terperangkap dalam aktiviti seks bebas menerusi laman sosial ialah dengan kenalan lelaki berusia 22 tahun, manakala Maimun ketika itu masih belajar dalam tingkatan dua atau 14 tahun.

Apapun, Elin dan Maimun yang kini dalam proses pemulihan di Rumah Iman Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim) berharap masih ada sinar kepada mereka untuk bertaubat.
Cuma apa yang ditakutkan mereka ialah bagaimana mahu menghadapi dugaan sebaik saja keluar daripada rumah pemulihan itu kelak, lebih-lebih lagi menerima tiga ancaman moden terbesar dalam hidup mereka sebelum ini iaitu komputer, telefon bimbit dan televisyen.

Pengerusi Sidim, Hanafi Abdul Malek berkata sesuatu perlu dilakukan dalam kes zina berkaitan dengan laman sembang sosial yang nampaknya disalahguna untuk menggalakkan aktiviti seumpamanya.

Tindakan tegas oleh SKMM terhadap penyalahgunaan Internet

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan perkhidmatan komunikasi sebagai platform untuk menggugat keharmonian dan sensitiviti masyarakat berbilang bangsa di negara ini.
SKMM berkata, pihaknya mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas laman web, blog dan portal berita atas talian yang didapati melanggar peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
Akta itu memperuntukkan kesalahan mengikut Seksyen 211 atau 233 berkaitan pemberian kandungan yang sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk mengacau, mendera, mengugut atau mengganggu mana-mana orang atau orang lain.

"Tindakan penguatkuasaan yang diambil termasuk mengeluarkan notis atau amaran, menyekat laman web atau blog mengikut Seksyen 263(2) dan memulakan siasatan berdasarkan peruntukan akta berkenaan," kata SKMM dalam satu kenyataan di sini hari ini. Tindakan turut diambil untuk mendakwa pesalah di mahkamah dengan persetujuan Peguam Negara selain tindakan diambil ke atas kandungan dan aktiviti di internet berdasarkan jenis kesalahan yang dilakukan dan undang-undang di bawah bidang kuasa masing-masing. SKMM menasihatkan agar semua pengguna ICT lebih rasional dan bijak memanfaatkan kemudahan ICT seperti internet agar tidak terkeliru ataupun terpengaruh dengan unsur-unsur negatif yang cuba disalurkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

"Pemilihan dan perkongsian maklumat dan informasi yang baik dan positif melalui internet adalah tanggungjawab kita bersama dan pihak SKMM berharap internet dapat digunakan sebagai wadah untuk membangunkan masyarakat dan negara," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, sebuah pasukan khas diwujudkan bersama polis berhubung isu untuk menangani ancaman terhadap keselamatan dan perpaduan negara menerusi Internet ekoran penerimaan 533 aduan salah guna Internet seperti Facebook dan Twitter.-Bernama

TPM kutuk pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain


14/09/2010 3:35pm

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengutuk kejadian pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain baru-baru ini.
Timbalan Perdana Menteri yang melahirkan rasa terkejut di atas kejadian itu menyifatkan tiada insan berfikiran waras akan bertindak sedemikian serta menggesa pihak berkuasa memastikan pembunuh terbabit dihadapkan ke muka pengadilan. - Utusan

Jangan politikkan, jadikan isu perkauman kes pembunuhan Sosilawati - Shahrizat


14/09/2010 5:44pm

KUALA LUMPUR 14 Sept — Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminta orang ramai tidak mempolitikkan dan menjadikan kes pembunuhan kejam melibatkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi individu sebagai satu isu perkauman.
Katanya, kes tragis itu mesti ditangani dengan rasional dan waras tanpa pengaruh negatif yang boleh mengundang perkara tidak diingini berlaku.
"Jika semua isu dalam negara ini kita lihat daripada segi perkauman, kita hanya akan mengundang bahaya yang amat sangat kepada negara.
"Kita tidak boleh biar sentimen seperti ini (perkauman) berlaku serta berlanjutan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat keluarga Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak dekat sini hari ini.
Shahrizat, yang juga Ketua Wanita UMNO, berkata: “Jangan bawa politik dalam semua aspek kehidupan kerana kita tidak mahu hidup kita hanya berputar dan berlandaskan kepada kepentingan politik semata-mata.” — Bernama

Sosilawati usahawan berjaya dan disegani - Khalid


14/09/2010 6:31pm

KUALA LUMPUR 14 Sept — Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, yang dibunuh dengan kejam bersama tiga individu lain, merupakan usahawan berjaya dan disegani, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Beliau berkata, Sosilawati, yang juga ahli Dewan Perniagaan Melayu Wilayah Persekutuan dan Selangor, mempunyai kebolehan dan keupayaan dalam bidang perniagaan.
Abdul Khalid berharap agar penyiasatan terhadap kes itu dapat dilakukan segera untuk mententeramkan kembali keadaan.
"Saya yakin pihak polis telah menjalankan kerja dengan sebaiknya dan setakat ini pun mereka telah menunjukkan kecekapan dalam mencari maklumat berikutan kes ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat ahli keluarga Sosilawati di Gombak dekat sini hari ini.
Menteri Besar Selangor itu berkata beliau sempat menemui mangsa semasa menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam, dua hari sebelum Sosilawati dilaporkan hilang.
Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.
Pada Ahad, Polis mengesahkan kempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat di Kuala Langat. — Bernama

Tidak pernah dengar pemimpin UMNO mengatakan Melayu lebih superior


14/09/2010 6:36pm

KUALA LUMPUR 14 Sept — Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata beliau tidak pernah dengar mana-mana pemimpin UMNO mengatakan Melayu lebih superior daripada bangsa lain.
Beliau berkata, jika hubungan bangsa di Malaysia “tidak begitu baik seperti yang sepatutnya”, adalah tidak adil untuk menuduh semua pemimpin UMNO sering memperkatakan kedudukan tinggi orang Melayu.
"Dalam hubungan saya dengan UMNO, saya tidak pernah dengar mana-mana pemimpin UMNO yang mengatakan Melayu lebih superior daripada bukan Melayu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi dialog kepimpinan Cina mengenai Bajet 2011 di Wisma MCA di sini hari ini.
Soi Lek mengulas kenyataan negarawan Singapura Lee Kuan Yew dalam temu bual di New York Times pada 1 Sept, yang menyifatkan Malaysia sebagai dalam “keadaan yang paling tidak menggembirakan”.
Lee antara lain dilaporkan dalam temu bual itu berkata, “tidak seperti Singapura, tidak terlalu mempertahankan budaya Cinanya, Malaysia mengambil perkembangan lain dengan rakyat Malaysia melihatnya sebagai sebuah negara Melayu di mana semua yang lain adalah orang tumpangan”.
Soi Lek menerangkan bahawa hubungan bangsa “bukanlah begitu baik seperti yang sepatutnya” kerana selepas pilihan raya umum Mac 2008, terdapat persaingan hebat untuk meraih sokongan.
"Di Malaysia, bangsa merupakan satu isu yang mudah untuk mendapatkan sokongan, tetapi saya tidak fikir ia adalah adil untuk mengatakan bahawa pemimpin Melayu sentiasa mengatakan kedudukan tertinggi Melayu. Ini adalah taktik pembangkang untuk menjadikan UMNO dilihat teruk,” kata beliau. — Bernama

Siasatan kes bunuh empat peguam masih aktif


14/09/2010 6:02pm

PULAU PINANG 14 Sept – Polis tidak pernah menutup kes-kes pembunuhan membabitkan peguam di negeri ini beberapa tahun lalu, malah masih aktif menyiasatnya.
Sehubungan itu, Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini bahawa pihaknya membuka semula siasatan terhadap kes-kes berkenaan adalah tidak benar.
Beliau turut menafikan ada menyebut kes-kes berkenaan mempunyai kaitan dengan pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lelaki lain yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu. – Utusan

Kes bunuh Sosilawati: Penyewa terkejut tuan rumah ditangkap polis



BANTING: Penyewa rumah peguam berpangkat Datuk yang ditahan polis berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya terkejut dengan penahanan tuan rumahnya itu selepas gambarnya disiarkan media semalam.
Seorang peniaga yang juga menguruskan perniagaan katering dan hanya mahu dikenali sebagai Kak Ana, 45, terkejut dan seolah-olah tidak percaya dengan penangkapan peguam itu kerana menyifatkan tuan rumahnya itu seorang lelaki yang baik, peramah dan sentiasa bertegur sapa.
Akak terkejut tengok gambar dia (peguam) dalam akhbar hari ini. Memanglah tahu kes ini libatkan seorang peguam berpangkat Datuk di Banting, tapi tak sangka pula dia…Akak memang tak percaya dia buat semua tu sebab dia baik sangat, katanya. – Bernama
Sumber : Harian Metro

Kes bunuh Sosilawati: Kekasih turut hilang



KUALA LUMPUR: Seorang gadis warga India berusia 19 tahun dan tiga ahli perniagaan lelaki yang dilaporkan hilang dalam tempoh setahun lalu, adalah antara mangsa yang dikaitkan dengan suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, dan tiga lagi individu di Banting, Selangor.
Difahamkan, gadis malang terbabit adalah kekasih peguam bergelar Datuk dan datang ke Malaysia awal tahun lalu untuk membuka perniagaan makanan.
Menurutnya, semasa berada di sini, mangsa berkenalan dengan suspek dan menjadi kekasihnya walaupun menyedari teman lelakinya itu sudah berkahwin.
Bagaimanapun, baru-baru ini, wanita terbabit dilaporkan hilang dan laporan dibuat oleh polis antarabangsa (Interpol) kepada pihak berkuasa di India bagi mendapatkan maklumat mengenai kes terbabit bagi membantu siasatan.
Katanya, dua lagi yang turut dikaitkan dengan peguam berkenaan adalah ahli perniagaan berketurunan Melayu.
Difahamkan, kedua-dua mangsa pada April lalu berurusan dengan peguam terbabit mengenai urusan pembelian tanah dan terus gagal dikesan sehingga kini.
Tambahnya, seorang lagi yang disyaki menjadi mangsa pembunuhan peguam terbabit adalah ahli perniagaan berketurunan India yang juga hilang selepas berurusan dengan suspek pada 18 Januari lalu.
Isteri ahli perniagaan warga India itu dikatakan membuat laporan di Kedutaan India, Jalan Duta di sini sehari selepas gagal menghubungi suaminya.
Difahamkan juga wanita berusia 26 tahun itu membuat laporan polis pada 8 September lalu dan mengatakan dia menerima panggilan telefon meminta wang RM1 juta bagi membebaskan suaminya.
Sumber : Harian Metro

Kes bunuh Sosilawati: Suspek pernah taja program Orang Asli



GOMBAK: Suspek utama pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya, 47, menjadi penaja terbesar pemberian hamper satu program untuk penduduk Orang Asli di Bukit Cheding, Banting, baru-baru ini.
Hal ini didedahkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah yang turut hadir dalam program anjuran penduduk di sana pada 8 September lalu.
Saya diberitahu peguam (suspek) itu salah seorang penaja terbesar untuk program berkenaan. Saya terkejut apabila melihat gambar suspek di media massa, katanya.
Malah beliau berkata, suspek juga pernah menyatakan hasrat untuk menyertai MIC dan ingin menyumbangkan jasa dalam parti berkenaan.
Saya menyuruhnya menghantar borang ke pejabat MIC, dan akan meminta Datuk Seri Samy Vellu mempertimbangkan, tapi siapa sangka rupanya dia peguam yang mempunyai banyak rekod jenayah.
Malam tadi (semalam) saya tidak dapat tidur kerana saya mengingati perwatakan suspek yang pemurah dan peramah. Murugiah juga meminta polis menyiasat lebih terperinci mengenai suspek yang mendapat gelaran Datuk itu.
Saya hairan bagaimana seorang peguam yang mempunyai banyak rekod jenayah, layak mendapat gelaran Datuk, dan dari mana dia mendapatnya, itu semua harus disiasat, katanya.
Sementara itu, Murugiah mewakili kaum India di negara ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan lapan suspek utama kes pembunuhan jutawan terkenal, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, serta tiga lagi rakannya yang mati dibunuh, dibakar kemudian abu mereka dibuang ke dalam sungai berhampiran kawasan Ladang Gadong, Tanjong Sepat, Banting, Selangor.
Beliau menyifatkan tindakan suspek berkenaan adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan hingga sanggup membunuh disebabkan wang.
Saya mewakili kaum India di negara ini mahu polis menyiasat kes ini secara terperinci dan jika betul lapan suspek itu adalah pembunuhnya, bawa mereka ke muka pengadilan.
Jika mereka bersalah, jangan bagi peluang lepas daripada tali gantung, kerana apa yang mereka lakukan sangat kejam, katanya ketika ditemui di pekarangan rumah Sosilawati, semalam.
Sumber : Harian Metro

Kes bunuh Sosilawati: Ujian ibu pemandu bertimpa



KUANTAN: Dua tahun lalu anak sulung saya meninggal dunia akibat sakit barah hati, tetapi tahun ini Kamarudin pula pergi meninggalkan kami sekeluarga. Sungguh kuat ujian Aidilfitri kali ini, kata Zainab Ahmad, 73, ibu kepada Kamarudin Samsudin, 44, pemandu peribadi jutawan kosmetik Sosilawati Lawiya yang mati dibunuh kejam sebelum dibakar.
Menurut Zainab, Kamarudin pulang ke rumahnya di Indera Mahkota di sini, pada 25 Ogos lalu dan sempat berbuka puasa bersama keluarga sebelum kembali ke Kuala Lumpur pada pagi 30 Ogos kerana mempunyai tugas bersama majikannya.
Katanya, ketika pulang bercuti selama lima hari itu, dia tidak melihat sebarang perubahan atau sikap pelik pada diri anak kelima daripada enam adik beradik kecuali Kamarudin menunjukkan sikap semakin peramah dengan keluarga dan adik-beradik.
Kamarudin yang dipanggil Kama di kalangan ahli keluarga, sempat membawa anak bongsunya, Irfan Aiman, 8, yang dijaga seorang lagi anak saya, Ramlah, 49, membeli dua pasang baju Melayu dan beberapa kelengkapan untuk Aidilfitri sebelum pulang ke Kuala Lumpur.
Kama turut memberi saya dua pasang baju kurung dan sepasang telekung yang dihadiahkan Sosilawati. Manakala dua lagi anak Kama iaitu, Izran Ikmal, 9, dan Balqis Dayana, 12, kini dipelihara bekas isteri, Nor Fazillah Ab Sani, 33, di Rembau, Negeri Sembilan, katanya.
Zainab berkata, kebiasaannya setiap kali menjelang Aidilfitri, Kamarudin adalah orang paling sibuk menghias rumah, memasak juadah raya dan juga kuih raya, tetapi semua itu kini tinggal kenangan yang menyedihkan.

Kes bunuh Sosilawati: Polis jejak tanah dibeli mangsa



GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang masih mengesan lokasi tanah di Pulau Pinang yang dikatakan dibeli Datuk Sosilawati Lawiya bagi membantu siasatan pembunuhan kejam jutawan kosmetik itu dan tiga rakannya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, Asisten Komisioner Roslee Chik, berkata Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor meminta bantuan pasukannya untuk mengesan lokasi tanah yang didakwa dibeli jutawan kosmetik berkenaan dan beberapa anggota sudah diarahkan untuk menjalankan siasatan berhubung kes itu.
Menurutnya, namun sehingga kini, pihaknya tidak mendapat sebarang maklumat mengenai lokasi tanah, pemilik, broker yang terbabit dalam urus niaga atau harga sebenar tanah bagi membantu siasatan.
Kami juga belum menerima sebarang laporan polis berhubung kes ini dan masih cuba mengenalpasti tanah yang didakwa dibeli dengan anggaran RM25 juta itu, katanya.
Sosilawati bersama tiga individu lain dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas ke Banting, Selangor, kononnya bagi menguruskan urusan jual beli tanah dan pada 12 September, polis mengesahkan arwah, pemandu dan peguamnya serta pegawai CIMB dibunuh dan dibakar manakala abu mayat mangsa dibuang ke dalam sungai berhampiran kawasan Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Selangor.
Susulan itu, lapan suspek ditahan, iaitu peguam bergelar Datuk yang juga suspek utama, adik serta enam pekerjanya.
Sosilawati dikatakan pernah berurusan dengan suspek berhubung urusan jual beli hartanah sebelum ini.
Sumber : Harian Metro

Motif dan Punca Pembunuhan Datuk Sosilawati



Motif pembunuhan Sosilawati yang disiarkan media semalam masih lagi tidak begitu terperinci kerana polis masih membuat siasatan  mengenai kes bunuh Datuk Sosilawati dan 3 lagi lelaki yang bersamanya.
Dalam Utusan hari ni ada lagi berita tentang motif dan punca pembunuhan Sosilawati. Suspek 'peguam' dikatakan didesak oleh mangsa iaitu Sosilawati supaya memulangkan wang yang telah dibayar kepada suspek 'Peguam' tetapi suspek tidak mahu memulangkan wang yang berjumlah jutaan ringgit tu.

Baca petikan berita penuh ni,



Desakan meminta supaya suspek utama iaitu peguam bergelar Datuk mengembalikan wang miliknya dipercayai menjadi punca jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lelaki bersamanya dibunuh dengan kejam. 


Akibat dihantui rasa tamak, suspek yang berusia 41 tahun itu dikatakan enggan memulangkan wang tersebut dan hilang sifat kemanusiaan sehingga tergamak membunuh keempat-empat mangsa.
Utusan Malaysia difahamkan, Sosilawati telah menggunakan khidmat firma guaman suspek untuk mengemukakan tender tawaran untuk membeli sebidang tanah di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan tanah terbabit dipercayai gagal menyebabkan Sosilawati menuntut supaya wang miliknya berjumlah jutaan ringgit yang sudah diserahkan kepada suspek dipulangkan.

Menurut sumber, berikutan desakan oleh jutawan kosmetik itu, suspek akhirnya mengatur pertemuan dengan Sosilawati di pejabatnya di Banting, Selangor pada 30 Ogos lalu kononnya untuk memulangkan wang milik mangsa.

Namun, bagi memastikan dirinya tidak ditipu, Sosilawati dikatakan membawa bersama pemandu yang juga pembantu peribadinya, Kamaruddin Shamsudin, 44; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadinya, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, untuk menemaninya berjumpa dengan suspek.

Difahamkan, suspek yang mungkin tidak menyangka Sosilawati membawa ramai pembantu kemudian mengajak kesemua mangsa pergi ke ladang miliknya di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting untuk berbincang di situ kerana kononnya pejabat guamannya sudah ditutup.

Sebaik sahaja tiba di ladang yang terlindung itu, semua mangsa telah ditahan sebelum dibunuh oleh suspek bersama beberapa konco-konconya yang kini turut ditahan oleh polis.
Setakat ini, Utusan Malaysia diberitahu, polis sudah pergi ke rumah dan pejabat suspek untuk melakukan siasatan terhadap dokumen yang dimilikinya termasuk beberapa buku cek yang ditemui di pejabat guamannya
.

Kes bunuh Sosilawati: Bijak main sandiwara



KUALA LUMPUR: Peguam yang merancang penipuan dan pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya, 47, dianggap bijak bersandiwara sebagai pembela masyarakat apabila kerap tampil menghulurkan bantuan termasuk khidmat guaman percuma.
Difahamkan peguam berusia 41 tahun terbabit turut bijak menggunakan publisiti media bagi meraih populariti dan keyakinan masyarakat berhubung imejnya yang dilabelkan bersih dan boleh diyakini.
Berdasarkan maklumat, peguam berkenaan pernah beberapa kali memanggil media untuk mengadakan sidang akhbar berhubung mangsa yang dianiaya majikan selain kes membabitkan gangguan seksual.
Perwatakannya seolah-olah individu prihatin menyebabkan suspek popular di kalangan masyarakat India di Banting, Selangor, di sini.
Bagaimanapun, Datuk muda berkenaan yang merancang komplot jahat dengan adik kandungnya berusia 38 tahun, didakwa pernah dikenakan tindakan tatatertib Majlis Peguam Malaysia tiga tahun lalu.
Menurutnya, amalan guaman suspek pernah digantung selama setahun mulai 9 Mac 2007 hingga 30 Mac 2008 lalu.
Individu yang digantung terbabit adalah suspek berkenaan, adiknya dan seorang lagi proksi yang dikenakan tindakan dalam Perkara Akta Undang-Undang Profesyen 1976.
Hukuman terbabit menyebabkan Datuk berkenaan tidak layak menjalankan amalan guaman dan menawarkan perkhidmatan kepada orang ramai.
Sumber polis berkata, adik suspek berusia 38 tahun yang juga seorang peguam turut pernah dikaitkan dengan tiga tuduhan kes pecah amanah membabitkan pertukaran hak milik tanah milik seorang wanita bernilai RM200,000 akhir tahun lalu.
Berdasarkan siasatan, adik suspek dihadapkan ke mahkamah awal Ogos lalu. Suspek didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.
Dia bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 20 September depan, katanya.
Menurutnya, walaupun polis percaya terdapat sekurang-kurangnya empat mangsa lain turut dibunuh dan dihilangkan dengan kaedah sama, namun polis tidak menolak kemungkinan lebih ramai keluarga mangsa akan tampil memberi maklumat.
Sumber : Harian Metro

Syawal tanpa tiga anak


Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com.my
2010/09/14

  
  • Foto
    KEMALANGAN ngeri menyebabkan tiga beradik maut di persimpangan Pusat Bandar Jengka pada 4 Ogos lalu.
  • Foto
    ROSIAH menunjukkan gambar kenangan tiga anak yang maut dalam kemalangan.
Rosiah pilu kenang nahas seminggu sebelum Ramadan

MARAN: Ketibaan Syawal kali ini amat memilukan buat seorang ibu tunggal apabila tidak dapat beraya bersama tiga permata hatinya yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 47.5 Jalan Temerloh – Bandar Jengka, kira-kira seminggu sebelum Ramadan lalu.
Rosiah Mohamed Ismail, 35, berkata tiada lagi keceriaan bagi lebaran kali ini selepas kehilangan tiga anak.
"Saya reda dengan kejadian yang menimpa dan menganggap ini dugaan terbesar buat saya walaupun sebelum ini rasa hilang arah dan tidak dapat menerima kenyataan yang menimpa diri.

"Selepas tragedi itu, saya ke Pulau Pinang untuk berubat selepas pahit untuk menerima kenyataan anak yang disayangi dan dirindui sudah tiada. Alhamdulillah, kini saya lebih yakin dan semangat kembali kuat untuk meneruskan hidup tanpa mereka di sisi," katanya.

Dalam kejadian 4 Ogos lalu, empat terbunuh termasuk tiga anak Rosiah, Fatin Atikah Muhamed Faizal ,16 dan dua adiknya, Fatin Atifah, 15, dan Muhammad Faiz Danial, enam tahun.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu, kereta Perodua Kancil yang mereka naiki bertembung dengan kereta BMW dan turut meragut nyawa rakan Fatin Atikah, Muhamad Azlan Abdul Talib, 21. 
Selain itu, Rosiah berkata, tiada ada yang lebih penting dalam hidupnya melainkan anaknya dan sebelum ini beliau bertungkus lumus bekerja demi membesarkan mereka.

"Jiwa saya kosong tanpa gelak tawa dan keletah mereka, namun hidup tetap perlu diteruskan. 

"Tahun ini juga tiada persiapan raya dibuat kerana merasakan tiada erti untuk bergembira dan terpaksa menyambut sendirian," katanya yang mengusahakan salon kecantikan dan kedai makan di Jengka 14, dekat sini.

Beliau berkata, kini gambar lama ketiga-tiga beradik menjadi tatapannya untuk melepaskan rindu.

"Jika dulu kami bertandang ke rumah sanak saudara pada pagi Syawal untuk berkumpul dan bermaaf-maafan namun kini itu hanya tinggal kenangan.

"Keadaan berbeza tahun ini kerana saya hanya dapat menziarahi pusara anak yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Jengka 8.

"Tanggal 4 Syawal (semalam) genap 40 hari mereka meninggalkan saya dan pemergian itu pasti menjadi kenangan paling pahit dalam hidup saya," katanya. 

Ramai berasa kehilangan tokoh usahawan




2010/09/14

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak termasuk pemimpin negara dan selebriti menyifatkan kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, sebagai satu kehilangan besar dalam sektor keusahawanan negara, khususnya dalam perniagaan kosmetik. 

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie, berkata Sosilawati adalah seorang usahawan yang berjaya dalam kerjaya dan kehilangannya adalah satu kerugian kepada sektor keusahawanan.Beliau yang memuji kecekapan pihak polis dalam siasatan kes itu, turut mengecam kekejaman yang dilakukan suspek pembunuhan berkenaan dan mahu hukuman setimpal dikenakan terhadap pesalah.
“Mereka yang bertanggungjawab dengan pembunuhan ini semestinya dikutuk dan dibawa ke muka pengadilan serta dijatuhkan hukuman setimpal dengan undang-undang,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang juga rakan serta jiran Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak berkata selagi DNA tulang yang ditemui belum mengesahkan ia adalah Sosilawati, selagi itulah beliau masih berharap ada harapan untuk melihat rakannya itu pulang. 

“Saya masih berharap akan berlaku keajaiban dan sehingga belum dapat dipastikan saya tidak menganggap dia sudah menjadi arwah,” katanya ketika mengunjungi keluarga Sosilawati di sini, semalam. 

Presiden Majlis Usahawan Malaysia (MUM), Datuk Suhaimi Yacob berkata, Sosilawati adalah seorang usahawan terkenal dan sudah melahirkan ramai usahawan lain di seluruh negara melalui rangkaian produk kosmetiknya. 
“MUM berharap ahli keluarganya dapat meneruskan usaha Allahyarhamah dan kami berdoa supaya Rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman,” katanya. 

Rakan artis, Erra Fazira berkata, walaupun tidak mengenali rapat Sosilawati, beliau pernah menghubungi jutawan kosmetik itu mengenai perniagaan. 

“Sosilawati adalah seorang yang tidak lokek berkongsi pengalaman dan sedia membantu orang lain, terutama anak bangsanya untuk mengecapi kejayaan dalam perniagaan,” katanya. 

Anak sulung Sosilawati urus perniagaan kosmetik




2010/09/14

ERNI  meninggalkan pejabat di Jalan Raja Bot, Kampung Baru selepas mengambil beberapa dokumen, semalam.
ERNI meninggalkan pejabat di Jalan Raja Bot, Kampung Baru selepas mengambil beberapa dokumen, semalam.
Erni dilantik Pengarah Urusan Nouvelle Beauty Februari lalu 

KUALA LUMPUR: Anak sulung jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, Erni Dekritawati Yuliana Bukhari, 25, akan menguruskan perniagaan produk kosmetik jenama Nouvell Visages susulan kematian ibunya.Erni yang dilantik sebagai Pengarah Urusan Nouvelle Beauty Sdn Bhd sejak Februari lalu oleh ibunya, berkata meskipun seluruh keluarganya masih menunggu keputusan DNA berhubung penemuan mayat kelmarin, buat sementara waktu beliau akan menguruskan empayar perniagaan itu.
Katanya, perniagaan masih berjalan seperti biasa dan stabil tanpa peningkatan atau kemerosotan permintaan daripada stokis di seluruh negara, walaupun kes itu sedang hangat diperkatakan. 

“Urusan perniagaan dan kes ini dua hal berbeza untuk dibincang kerana setakat ini perniagaan tidak terjejas. 

“Bagaimanapun, operasi perniagaan ditutup bermula 10 September lalu dan akan dibuka seperti biasa Rabu ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan pejabat Nouvelle Beauty Sdn Bhd, di sini semalam. 

Tinjauan ke Pejabat Nouvelle Beauty di Jalan Raja Bot, Kampung Baru di sini mendapati ia ditutup sempena Aidilfitri berdasarkan notis makluman di pintu masuk premis. 
Erni menjelaskan, kehadirannya ke premis terbabit bagi mengambil dokumen penting berkaitan urusan perniagaan bagi menyelesaikan kes mahkamah, namun enggan mengulas lanjut sama ada berkaitan kehilangan ibunya. 

Sementara itu, suasana di CIMB Bank cawangan Kampung Baru di sini, iaitu tempat Noorhisham Mohammad, antara rakan Sosilawati yang turut dibunuh bekerja, pula kelihatan seperti biasa sejak dibuka jam 8.30 pagi, semalam. 

Seorang kakitangan bank berkenaan yang ditemui Bernama berkata, pemergian Noorhisham tetap meninggalkan kesan yang mendalam kepada rakan setugas. 

Katanya, pemergian Noorhisham adalah kehilangan besar kepada bank itu kerana beliau pekerja dedikasi dan komited terhadap pekerjaannya. 

“Saya percaya jika rakan setugas anda ‘pergi’ pun, mungkin perasaan sama akan dirasai,” katanya. 

KRONOLOGI 
Kes pembunuhan kejam di Malaysia
 

23 Julai 1993 

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris hilang hampir tiga minggu sebelum ditemui mati dibunuh di Raub. Mayat tokoh politik dan ahli perniagaan itu ditemui dikerat 18 bahagian dan ditanam dalam stor di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong. 

18 Jun 2003 

Penganalisis teknologi maklumat, Canny Ong Li Kian diculik di pusat beli-belah di Bangsar pada 13 Jun 2003 sebelum mayatnya yang rentung ditemui dalam longkang di tapak pembinaan Projek Lebuh Raya Pantai Baru, Petaling Jaya pada 17 Jun 2003. 

25 Disember 2003 

Mayat eksekutif muda dan model sambilan, Noritta Samsudin, 22, ditemui mati dengan kedua-dua tangan diikat ke belakang, leher dijerut, mulut disumbat dan kakinya juga diikat. Beliau disyaki dirogol sebelum dibunuh di rumah sewanya yang terletak di kediaman mewah di Kondominium Puncak Prima Galleria, Sri Hartamas. 

27 November 2006 

Wanita Mongolia, Altantuyaa Shaariibu, 28, dibunuh menggunakan bahan letupan di Mukim Bukit Raja, Selangor antara jam 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006. 

17 September 2007 

Nurin Jazlin Jazimin, 8, dilaporkan hilang pada 20 Ogos 2007 selepas keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju. Mayatnya ditemui 27 hari kemudian dalam sebuah beg sukan yang ditinggalkan di depan sebuah premis perniagaan di Petaling Jaya. Hasil bedah siasat mendapati dia mati akibat didera secara seksual yang melampau. 

5 Januari 2010 

Empat sekeluarga ditemui mati dalam keadaan mengerikan selepas dibunuh oleh cucu sendiri, Rasidi Ismail, 32, di dalam dua rumah di Kampung Batang Rokan di Gemencheh, Tampin. Mayat Atan Daud, 90, ditemui dalam keadaan putus tangan kiri di sebelah mayat isterinya, Sufiah Keatas, 80, yang putus tangan kanannya, selain menantu, Ismail Awang, 76 dan cucunya, Siti Khadijah, 22.