Wednesday, November 11, 2015

Penjara rai banduan kahwin


Riyadh: Seorang lelaki Arab Saudi yang menjalani hukuman bagi kes keselamatan negara mendapat hadiah perkahwinan berbentuk majlis bertaraf lima bintang di dalam penjara selain mendapat cek SR10,000 (RM11,700) oleh menteri dalam negeri.

Akhbar harian ‘Sada’ menyiarkan gambar majlis perkahwinan mewah itu yang turut dihadiri keluarga kedua-dua pengantin.

Malah, akhbar itu melaporkan pengurusan penjara di Dammam itu menggunakan dana penjara untuk menjayakan majlis berkenaan.

Pasangan pengantin itu kemudian menerima cek daripada Menteri Dalam Negeri Putera Mohammed Nayef.

“Pihak pengurusan penjara juga menghiaskan kamar selain memberi waktu untuk mereka berbulan madu di dalam penjara,” kata laporan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 9:59 AM

CEK diterima sebagai hadiah kahwin daripada menteri dalam negeri.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92158#sthash.E7On60Sx.dpuf

Penerbangan sulung pesawat penumpang Mitsubishi


Tokyo: Jet penumpang komersial Jepun yang yang projeknya dimulakan 50 tahun lalu, membuat penerbangan sulung hari ini.

Pesawat 100 tempat duduk Mitsubishi Regional Jet (MRJ) itu melakukan penerbangan selama sejam, berlepas dari Lapangan Terbang Nagoya.

Mitsubishi Heavy Industries yang membina pesawat pejuang Zero ketika Perang Dunia Kedua berharap pesawat komersial berharga $47 juta itu akan menyaingi Bombardier Inc dari Kanada sebagai pengeluar kedua terbesar dunia pesawat penumpang kecil. Pengeluar utama dunia pesawat itu ialah syarikat Brazil, Embraer SA.

MRJ ialah pesawat penumpang komersial pertama Jepun selepas pesawat 64 tempat duduk YS-11 memulakan penerbangan 50 tahun lalu.



Pesawat pertama MRJ akan mula diterima pelanggan pada Jun 2017 iaitu syarikat penerbangan terbesar Jepun, ANA Holdings.

Mitsubishi merancang menjual lebih 2,000 pesawat itu dan sudah menerima 233 tempahan dengan yang terbesar ialah 100 pesawat daripada syarikat penerbangan tempatan Amerika Syarikat, Trans State Holdings.

Menurut Mitsubishi, MRJ mampu mengurangkan sehingga 20 peratus bahan api, menggunakan enjin Pratt & Whitney.

Percubaan Jepun memasuki pasaran penerbangan komersial melalui konsortium yang turut membabitkan Mitsubishi mengeluarkan YS-11 gagal. Hanya 182 pesawat itu dibina.

Mitsubishi kemudian menjadi pembekal utama kepada Boeing Co, teramsuk sayap pesawat. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 4:44 PM

Mitsubishi Regional Jet (MRJ) mendarat di Lapangan Terbang Nagoya selepas melakukan penerbangan sulung selama sejam hari ini. - Foto AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92252#sthash.WibS1gIH.dpuf

Empat Individu Gagal Halang Abdul Hadi Bentang Hudud Di Parlimen


Diterbitkan: Isnin, 9 November 2015 4:44 PM
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR: Empat individu gagal menghalang Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentang rang undang-undang berkaitan hudud di Parlimen.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Abdul Hadi dan empat yang lain untuk membatalkan saman tersebut atas alasan individu berkenaan tiada locus standi (kedudukan di sisi undang-undang) berbuat demikian.

Hakim Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu di dalam kamar dengan dihadiri kesemua pihak.

Peguam Datuk Takiyuddin Hassan yang mewakili Abdul Hadi memberitahu pemberita bahawa Hakim Asmabi juga menyatakan bahawa sebagai anggota Parlimen, Abdul Hadi telah mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan Akta Parlimen.

Selain Abdul Hadi, empat individu tersebut iaitu Mansoor Saat, Azira Aziz,Hasbeemaputra Abu Bakar dan Hazwany Jamaluddin menamakan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat iaitu Datuk Ismail Mohamed Said dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee serta setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah sebagai defendan.

Mereka memfailkan saman pemula itu pada 12 Jun lepas bagi mencabar pembentangan Rang Undang-undang Persendirian iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di Kelantan. 

Keempat-empat individu itu turut memohon satu deklarasi bahawa pembentangan mengenai pindaan itu merupakan satu kemungkiran terma-terma Buku Jingga Pakatan Rakyat oleh Abdul Hadi.

Tambah Takiyuddin, hakim juga menyatakan bahawa keempat-empat individu berkenaan sepatutnya memfailkan permohonan itu melalui semakan kehakiman dan bukan saman pemula.

"Mahkamah menerima hujah bahawa kaedah yang diambil oleh plaintif adalah tidak betul kerana sepatutnya melalui semakan kehakiman. Mahkamah juga bersetuju bahawa plaintif tidak menunjukkan bahawa mereka ini mempunyai hak untuk membawa kes ini ke mahkamah kerana tiada di dalam mana-mana dokumen menjelaskan siapa mereka ini.

"Malah daripada empat plaintif, hanya satu plaintif (Mansoor) yang membuat afidavit dan mewakili tiga yang lain, sama ada mereka pengundi berdaftar atau ahli Pakatan Rakyat.

"Mahkamah juga mendapati plaintif tidak mempunyai locus standi dalam mengambil tindakan ini dan tuntutan yang dibuat adalah pramatang serta hanya andaian semata-mata. Ia menyalahguna proses mahkamah,' katanya.

Takiyuddin berkata mahkamah juga bersetuju bahawa menurut Akta Relif Spesifik 1950, tiada sesiapa yang boleh menyekat anggota Parlimen untuk membawa sesuatu perkara dan usul untuk dibentangkan.

"Hakim turut bersetuju bahawa Akta Prosiding Kerajaan 1956 menetapkan bahawa kakitangan kerajaan tidak boleh dikenakan perintah injunksi. Ia merujuk kepada setiausaha dewan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili empat lagi defendan memberitahu pemberita bahawa dengan keputusan tersebut Abdul Hadi boleh membentangkan rang undang-undang berkenaan tanpa sebarang halangan. - Bernama

"Singkir Najib Keutamaan Saya, Selepas Itu 'Anda Putuskan'"- Tun M


Diterbitkan: Rabu, 11 November 2015 2:23 PM
Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR: Walaupun wujud gesaan kerjasama dengan masyarakat awam bagi memperbaiki sistem semasa kerajaan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata keutamaan beliau adalah untuk menggantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Saya amat mengambil berat tentang perubahan pertama, yang merupakan perubahan dalam kepimpinan. Apa sahaja yang datang selepas ia dicapai adalah terpulang kepada pemimpin seterusnya untuk membuat keputusan," katanya kepada pemberita, Rabu.

Dr Mahathir berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan, pada Isnin yang berkata dia terbuka untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir 'jika beliau cuba untuk memperbaiki sistem semasa kerajaan berbanding hanya menyingkir keluar seorang Perdana Menteri."

Ambiga berkata, keseluruhan sistem perlu diubah selepas menggantikan Najib sebagai Perdana Menteri.

Dr Mahathir berkata sebab utama beliau menyertai perhimpunan Bersih baru-baru ini adalah untuk memberi tekanan kepada Najib untuk meletak jawatan.

"Keutamaan saya supaya Najib berundur. Sebab itu saya menyertai demonstrasi (Bersih). Bagi orang lain, terpulang kepada majoriti untuk membuat keputusan.

"Jika mereka tidak suka dengan orang-orang yang mempunyai kaitan dengan sistem pilihan raya, maka mereka boleh membuang orang itu," kata beliau merujuk kepada permintaan Bersih untuk pilihan raya yang bebas dan adil.

Amanah Sedia Ganti PAS Di Kelantan - Mat Sabu


Diterbitkan: Selasa, 10 November 2015 10:27 AM
Mat Sabu

PASIR MAS: Parti Amanah Negara (Amanah) bersedia menggantikan PAS mentadbir kerajaan Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata Presidennya Mohamad Sabu.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata langkah itu diambil bagi "menyelamatkan" kerajaan Islam yang ditubuhkan oleh Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Bagaimanapun, kita lihat dulu sokongan (yang diterima Amanah). Kalau sambutan dan sokongan itu begitu hebat, kita akan bincang pada waktu itu (untuk bertanding di Kelantan)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan ceramah di Kampung Padang Embun di sini, malam Isnin.

Mat Sabu berkata pada masa ini, Amanah akan memberi fokus kepada penambahan anggota di seluruh negara dan belum membincangkan secara lanjut mengenai kerusi yang akan ditandingi parti itu dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

"Sekarang hal PRU14 kita tak bincang lagi di negeri atau tempat mana, melainkan (Pilihan Raya Negeri) di Sarawak... kami akan cubalah untuk dapatkan kerusi bertanding di sana," katanya.

Perubahan iklim ancam 100 juta penduduk jadi miskin tegar




Gambar hiasan - SEORANG pekerja meleraikan kereta lama di Bangalore, India.


WASHINGTON – Perubahan iklim akan menyebabkan seramai 100 juta lagi penduduk menjadi miskin tegar menjelang 2030 jika dunia gagal bertindak, kata Bank Dunia dalam amarannya.
Dalam sebuah laporan bertajuk Shock Waves: Managing the Impacts of Climate Change on Poverty yang disiarkan di Washington, Bank Dunia memberitahu bahawa penduduk miskin berisiko tinggi mendapat kejutan daripada gelombang perubahan iklim du­nia termasuk tanaman tidak menjadi akibat kekura­ngan hujan, harga makanan melonjak selepas peristiwa cuaca ekstrem dan peningkatan jangkitan penyakit disebabkan gelombang panas serta banjir.
Kejutan akibat perubahan iklim dunia itu boleh mendatangkan kerugian besar dan menyebabkan beberapa kawasan terutamanya di Afrika dan Asia Selatan kembali ke dalam dunia kemiskinan.
Beberapa kajian berpandukan model cuaca mendapati hasil tanaman global diramalkan merosot sebanyak lima peratus menjelang 2030 dan 30 peratus menjelang 2080 akibat perubahan iklim sekali gus mening­katkan kadar kemiskinan di seluruh dunia.
Di Afrika yang merupakan rantau paling miskin di dunia, perubahan iklim boleh menyebabkan harga makanan meningkat seba­nyak 12 peratus menjelang 2030 dan 70 peratus menjelang 2080.
“Perubahan iklim menjejaskan penduduk termiskin paling teruk dan cabaran kita sekaran ialah untuk melindungi berjuta-juta orang daripada jatuh ke jurang kemiskinan tegar disebabkan perubahan iklim,” kata Presiden Bank Dunia, Jim Yong Kim. – Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3r8L328Yp 
Hakcipta terpelihara 

Nasib bapa tunggal berubah selepas kisah jadi viral di internet



MOSS bersama anak lelakinya, Zhi semasa bertemu dengan Logothetis (kanan) di bandar Denver, Colorado baru-baru ini.


DENVER, Colorado – Nasib seorang bapa tunggal berubah apabila kisah hidupnya dirakam dan menjadi viral selepas disiarkan di internet baru-baru ini.
James Moss sebelum ini menjadi gelandangan bersama anaknya Zhi yang berusia satu tahun di bandar ini dan secara kebetulan bertemu dengan penceramah motivasi, Leon Logothetis yang mengembara bagi membuat rakaman kisah kebaikan manusia di seluruh dunia.
Moss memberitahu Logothetis bahawa dia telah berputus asa dengan kehidupannya di New York dan berharap perpindahan ke Colorado dapat mengubah kehidupannya.
Logothetis kemudian memberikan lelaki itu wang AS$1,000 (RM4,400) bagi membolehkan dia tinggal di sebuah hotel selama seminggu dan memuat naik kisahnya di YouTube.
Video di bawah akaun #GoBeKind itu ditonton lebih 600,000 kali sehingga memberi inspirasi seorang wanita, Kayla Heskett dari Kansas untuk menubuhkan dana, GoFundMe yang akhirnya berjaya mengumpul derma kira-kira AS$30,000 (RM131,000).
“Saya tidak pernah terfikir perbuatan kecil seperti itu mencetuskan kesan yang besar,” kata Moss yang membeli sebuah kereta untuk berulang-alik ke tempat kerja baharu selain memiliki kediaman sementara untuknya dua beranak. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3r8JyvG4r 
Hakcipta terpelihara