Thursday, March 5, 2015

Suspek Pengganas Boleh Ditahan Hingga 4 Tahun Di Bawah Akta Baharu


Diterbitkan: Khamis, 5 Mac 2015 5:42 PM
Ahmad Zahid beramah mesra bersama sebahagian anggota Imigresen dan agensi yang terlibat selepas Majlis Apresiasi Petugas Pengurusan Banjir Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) pada Khamis. Turut sama Ketua Pengarah JPAM, Datuk Zaitun Ab Samad (dua kanan). -fotoBERNAMA

KOTA BAHARU: Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) khusus untuk menangani ancaman keganasan seperti kumpulan militan IS akan dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat bulan ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata akta baharu itu nanti merupakan undang-undang pencegahan daripada berlakunya sesuatu keganasan dan anggota IS rakyat Malaysia atau negara lain yang datang ke negara ini akan diambil tindakan melalui POTA.

"Semalam Kabinet telah mendengar pembentangan draf rang undang-undang ini daripada Peguam Negara dan minggu depan ia (draf) akan dimuktamadkan sebelum saya membuat pembentangan di Dewan Rakyat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Aspresiasi Petugas Pengurusan Banjir Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas penglibatan rakyat negara ini dalam kumpulan IS di Syria dan yang terbaru dua militan IS Malaysia dikesan terlibat dalam rakaman video penyembelihan rakyat Syria di negara bergolak tersebut.

Akhbar melaporkan video berdurasi 30 saat itu dipercayai dirakam oleh rakyat negara ini yang dikenal pasti oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Mohd Faris Anuar, 20, berasal dari Gurun, Kedah. Turut berada dalam rakaman tersebut ialah rakannya, Muhammad Wanndy Mohamad Jedi, 25, dari Durian Tunggal, Melaka.

Ahmad Zahid berkata POTA akan memperkasakan lagi undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 walaupun SOSMA dan POCA bukan undang-undang khas untuk pencegahan keganasan.

"Kami sedang meneliti kesahihan video berkenaan kerana saya sendiri melihat wajah itu memang wajah orang Melayu dan unit anti keganasan PDRM dengan kerjasama Interpol sedang membuat penelitian sepenuhnya terhadap video berkenaan dan pasti ada tindakan bukan sekadar melalui undang-undang sedia ada seperti POCA, SOSMA dan Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata di bawah POTA, sebagai langkah pencegahan dan pemulihan, mereka yang disyaki terlibat boleh ditahan selama dua tahun dan tempoh  penahanan itu boleh dilanjutkan selama dua tahun lagi bergantung kepada jenis kes.

Katanya undang-undang bagi menangani ancaman keganasan ini perlu disokong oleh semua pihak termasuk semua anggota Parlimen apabila ia dibentang di Parlimen nanti kerana ia bukan mengantikan mana-mana undang-undang sedia ada.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata JPAM yang kini mempunyai anggota tetap dan sukarelawan berjumlah lebih 800,000 orang di seluruh negara bersiapsiaga menghadapi bencana alam termasuk banjir.
Beliau berkata JPAM menyasarkan anggota tetap dan sukarelawan sehingga satu juta orang dalam tempoh dua tahun lagi dan peralatan serta jentera untuk kegunaan jabatan itu akan ditambah supaya tugas mereka lebih berkesan.

Beliau turut memuji keberkesanan tugas yang dilakukan oleh JPAM dalam operasi membantu mangsa banjir hujung tahun lepas dan kerja pemulihan pasca banjir sekarang.

Ahmad Zahid turut melancarkan 12 buah motosikal lasak berkuasa tinggi untuk kegunaan anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kelantan.

Dr Maza Malukan Saya - Ustaz Kazim


Diterbitkan: Khamis, 5 Mac 2015 4:51 PM

IPOH: Pendakwah terkenal Datuk Mohamad Kazim Elias menyifatkan tindakan Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang tidak bersetuju beliau dipilih menganggotai panel Forum Perdana Hal Ehwal Islam sebagai tidak adil dan memalukan dirinya.

Beliau berkata Mohd Asri mengeluarkan surat melalui Jabatan Mufti Perlis kira-kira dua minggu lepas bagi membatalkan beliau sebagai ahli panel forum yang diadakan sempena Hari Keputeraan ke-72 Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Mei depan.

"Secara peribadi saya malu apabila dituduh periwayat palsu. Saya hormat dia sebagai seorang mufti tetapi bila dia keluarkan kenyataan sebegitu seolah-olah saya menyampaikan benda yang tidak betul kepada pendengar ceramah saya selama ini. Mereka yang pernah dengar ceramah saya akan jadi keliru dengan isu ini.

"Saya terpaksa mempertahankan diri sebab ia menjejaskan kredibiliti dan imej saya sebagai seorang penceramah yang dituduh menggunakan riwayat palsu," katanya dalam sidang media di sini.

Mohamad Kazim, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim, diminta mengulas penyebaran surat berkaitan di media sosial sejak pagi semalam yang menyatakan Jabatan Mufti Perlis tidak bersetuju dengan pemilihan beliau sebagai ahli panel forum berkenaan atas alasan sering menggunakan riwayat palsu dalam ceramahnya.

"Kalau saya dikatakan mengeluarkan riwayat yang tak sahih, sepatutnya perkara ini boleh dibawa berbincang, bukan dengan mengeluarkan surat dan tersebar meluas di media sosial," katanya.

Beliau berkata riwayat palsu yang dimaksudkan dalam surat berkenaan merujuk kepada rakaman di YouTube daripada satu ceramahnya yang antara lain menyatakan 'kenduri Rasulullah SAW menghidangkan roti jala dengan kuah kari.'

Mengulas perkara itu, Mohamad Kazim berkata beliau hanya membuat perbandingan bahawa di negara ini roti jala yang dicecah dengan kuah kari masih boleh dijadikan hidangan pada majlis kenduri.

"Mungkin dia ada isu lain yang tersirat di hati dia. Sebagai orang Islam (kita) sepatutnya saling tolong-menolong, bukannya menyekat," katanya.

Pesawat pengebom Russia ganggu penerbangan di Ireland


DUBLIN: Satu penerbangan dilencongkan manakala satu lagi ditangguhkan bagi mengelak dua pesawat pengebom Russia yang terbang melalui ruang udara yang dikawal Ireland tanpa amaran bulan lalu, menurut Pihak Berkuasa Udara Ireland (IAA).
Gangguan itu dipercayai berlaku semasa insiden sama pada 18 Februari yang mana pesawat pejuang Tentera Udara Diraja British dikerah mengiring dua pesawat pengebom 'Bear' Russia yang terbang berhampiran ruang udara Britain.
Penerbangan itu dilihat sebagai tindakan Russia menunjukkan kekuatan berikutan ketegangan konflik di Ukraine yang mana Perdana Menteri, David Cameron, menuduh Presiden Russia, Vladimir Putin, mencabar kedaulatan wilayah Kiev.
Pihak berkuasa Ireland menyatakan dua pesawat Russia itu terbang dengan transponder dimatikan - peranti yang membantu pesawat dikenal pasti oleh radar pengawal trafik udara.
"Pelepasan sebuah pesawat dari Dublin ditangguhkan berikutan aktiviti pesawat Russia itu di ruang udara yang dikuasai UK," menurut kenyataan IAA.
"Laluan sebuah lagi pesawat diubah bagi memastikan haluannya dijarakkan dengan dua pesawat tentera Russia itu," menurut kenyataan itu.
Menurut akhbar The irish Examiner, penerbangan yang dilencongkan dan ditangguhkan itu adalah pesawat komersial "yang membawa ratusan orang".
Bagaimanapun, IAA menyatakan "tiada ancaman keselamatan terhadap trafik awam di ruang udara yang dikawal Ireland".
Menurut pihak berkuasa, pesawat berkenaan tidak memasuki ruang udara Ireland tetapi terbang melalui ruang udara yang dikawal Ireland pada jarak kira-kira 25 batu nautika (46.3km) dari pantai Ireland antara 1500 GMT dan 1900 GMT.

Pekerja kenal pasti jantina ayam diberi gaji £40,000 setahun



GAMBAR menunjukkan pekerja sedang mengasingkan antara anak ayam jantan dan betina.


LONDON – Industri penternakan ayam di negara ini kini berdepan dengan kesukaran mencari pekerja mahir untuk mengenal pasti jantina anak ayam meskipun ditawarkan dengan gaji tinggi sebanyak £40,000 (RM224,150) setahun.
Tanggungjawab pekerja berkenaan sebenarnya cukup mudah iaitu hanya menentukan jantina anak ayam dengan tempoh masa kerja selama 12 jam sehari.
Bagaimanapun individu tersebut perlu belajar selama tiga tahun untuk mengetahui perbezaan kecil sama ada jantan atau betina dalam masa tiga hingga lima saat sahaja.
Kepakaran menentukan jantina dengan tepat amat diperlukan memandangkan seorang pekerja perlu membuat penelitian kepada 800 hingga 1,200 anak ayam sehari.
Ketua Eksekutif Majlis Ternakan Unggas Britain, Andrew Large memberitahu, persepsi negatif timbul kerana bidang tugas pekerjaan tersebut kelihatan remeh iaitu merenung bahagian belakang anak ayam.
“Kerjaya sama sebenarnya merupakan bidang kerja penting di beberapa negara di Asia Tenggara berbanding di Britain yang menganggap pekerjaan itu sebagai bahan jenaka,” ujarnya. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0305&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3TSaTrLvl 
Hakcipta terpelihara 

Burung belatuk terbangkan wesel jadi viral



Gambar menunjukkan seekor wesel berpaut di atas belakang burung belatuk hijau di Taman Hornchurch Country di timur London.


LONDON – Imej rakaman seorang jurugambar amatur keadaan seekor burung belatuk hijau terbang dengan seekor wesel di atas belakangnya menjadi viral di media sosial baru-baru ini.
Jurugambar tersebut, Martin Le-May, 52 berkata, dia secara kebetulan merakam imej luar biasa itu ketika bersiar-siar bersama-sama isterinya di sekitar Taman Hornchurch Country sebelum memuat naik gambar itu melalui akaun Twitternya.
LE-MAY bersama kameranya.


Menurut Martin, walaupun gambar tersebut menunjukkan dua ekor haiwan itu dalam keadaan baik namun, mamalia kecil tersebut sebenarnya telah menerkam burung berkenaan dan ingin menjadikannya sebagai mangsa.
Sementara itu, Penasihat Hidupan Liar kepada Persatuan Diraja Untuk Perlindungan Burung, Richard James berkata, gambar wesel dan burung belatuk tersebut sangat mengagumkan.
“Wesel adalah pemangsa yang ganas dan sering menyerang mangsa yang lebih besar daripada dirinya sendiri dan dalam hal ini nampaknya haiwan tersebut telah menyasarkan burung belatuk itu sebagai mangsanya.
“Burung itu sangat kuat sehingga mampu menerbangkan wesel seberat 190 gram serta sangat bernasib baik berjaya melepaskan diri,” katanya.
Gambar itu menjadi viral di media sosial apabila ribuan pengguna berkongsi imej berkenaan yang disifatkan sebagai satu dalam sejuta. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0305&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3TSa3RprC 
Hakcipta terpelihara