Saturday, April 14, 2012

‘Jangan beri Pakatan walau satu undi’

Datuk Dr Hasan Mohamed Ali
ALOR SETAR – Pengerusi Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Mohamed Ali meneruskan program jelajahnya ke utara Semenanjung sambil menggesa pengundi Kedah tidak memberi sebarang undi kepada Pakatan Rakyat (PR) – yang dianggotai DAP, PKR dan Pas – pada Pilihan Raya Umum kr-13 (PRU13) atas alasan tidak boleh bergantung harapan pada perikatan itu.

Hasan berkatam tiada apa yang boleh diharapkan daripada DAP dalam memperjuang dan memartabatkan agama Islam dan Melayu dan mendaulatkan institusi raja.

Begitu juga PKR apabila ketua umumnya sendiri tidak menyokong pelaksanaan negara Islam dan undang-undang hudud.

"Pilihan Raya Umum ke-13 dijangka diadakan dalam tempoh beberapa bulan sahaja lagi. Justeru jangan beri walau satu undi pun kepada DAP, jangan beri walau satu undi pun kepada PKR dan jangan beri walau satu undi pun kepada Pas.

"Kedua-dua parti ini (DAP dan PKR) yang mengeluarkan Pas dari landasan, memesongkan perjuangan Pas serta membolak-balikkan aspirasi penyokong Pas," kata beliau sewaktu mengakhiri ceramah umum di Taman Uda, malam tadi.

Hasan yakin bekas Presiden Pas, Datuk Fadzil Mohd Noor dan pemimpin Pas terdahulu tidak akan merelakan apa yang terjadi dalam Pas sekarang ini, sekiranya mereka masih ada.

"Kalau mereka masih hidup, saya yakin mereka tidak akan izinkan Pas bergabung (dengan DAP dan PKR)," kata bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor.

Dalam pada itu, Hasan turut memaklumkan akan menubuhkan Jati di Kedah dan negeri lain termasuk Pulau Pinang.

Ibu serah anak kepada kutu rayau

JOHOR BAHRU: Akibat tekanan hidup, seorang wanita sanggup menyerahkan anak lelakinya berusia tiga tahun kepada seorang kutu-rayau.
Penolong Pegawai Kebajikan Kanan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru, Noraini Md Salleh berkata, ketika ditemui di sekitar pusat bandar raya ini pada 22 Februari lalu, kanak-kanak tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu dipelihara seorang lelaki yang mengaku penjaganya.

“Mohd Syukri Abdullah (gambar) dipercayai ditinggalkan ibu kandungnya yang dikenali sebagai Lisa Rahmat kepada lelaki itu sebelum menghilangkan diri.

“Ketika ditemui, Syukri bersama penjaganya itu didapati berpindah-randah kerana tidak mempunyai tempat tinggal,” katanya, semalam.

Menurut Noraini, orang ramai yang prihatin dengan nasib Syukri memaklumkan kepada JKM.

“Kami sudah berusaha mengesan Lisa di beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini namun hampa.


“Kami meminta orang ramai yang mengenali Lisa menghubungi talian telefon 07-2232606,” katanya.

Pengerusi NFCorp dapat pasport



MOHAMAD SALLEH ditemani Shahrizat keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam selepas hadir mendengar permohonan mendapatkan semula pasportnya.


KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini semalam membenarkan permohonan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail yang menghadapi tuduhan pecah amanah RM49.7 juta dan melanggar Akta Syarikat 1965, mendapatkan semula pasport antarabangsa bagi tugasan rasmi ke luar negara.
Hakim, S. M. Komathy Suppiah memutuskan demikian selepas dimaklumkan peguam Mohamad Salleh, 64, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah bahawa anak guamnya memerlukan pasport buat sementara waktu dan akan dikembalikan pada 16 Mei ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Dzulkefli Ahmad dan Awang Armadajaya Awang Mahmud tidak membantah permohonan tersebut.
Komathy menetapkan 28 Mei untuk sebutan semula kes pecah amanah berkenaan.
Terdahulu, mahkamah diberitahu, tertuduh memfailkan notis permohonan pasport pada Selasa lalu.
Mohamad Salleh hadir ditemani isterinya, bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.