Friday, July 9, 2010

Faisal Tehrani: Pendidikan Seks...Pelacur Sekolah...

Faisal Tehrani: Pendidikan Seks...Pelacur Sekolah...

Agih secara adil – Tun M





KUALA LUMPUR 8 Julai – Pembahagian kekayaan negara tidak boleh dibuat secara sama rata untuk semua tetapi perlu dilakukan secara adil mengikut tahap sosioekonomi sesuatu kaum.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, jika kekayaan negara dibahagikan secara sama rata tanpa mengikut latar belakang sosioekonomi, mereka yang ketinggalan tidak mungkin dapat mengejar golongan yang berada di hadapan.
Menurutnya, tujuan utama pembahagian secara adil adalah supaya pendapatan rakyat daripada setiap kaum disamakan dan jurang perbezaan antara yang kaya dan miskin tidak begitu ketara.
“Permintaan supaya tumpuan lebih diberikan kepada golongan bumiputera bukanlah satu perjuangan bersifat rasis tetapi bagi mencapai pembahagian kekayaan negara secara adil.
“Malangnya, kumpulan bumiputera paling ramai ketinggalan berbanding kaum lain, sebab itu tumpuan lebih perlu diberikan kepada mereka,” katanya pada Forum Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) Kita, Siri Ketiga: Kepentingan Bumiputera Dalam RMK-10 yang disiarkan oleh RTM di sini, malam ini.
Turut hadir Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim; Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali serta kira-kira 500 penonton pelbagai kaum.
Pada penghujung forum tersebut, Dr. Mahathir turut dikejutkan dengan acara memotong pulut kuning sempena hari lahirnya ke-85.
Dr. Mahathir menegaskan, tidak elok jika permintaan bumiputera untuk mendapatkan cuma 30 peratus kekayaan negara dipersoalkan oleh mana-mana pihak memandangkan kaum tersebut mewakili kira-kira 60 peratus populasi rakyat Malaysia.

Karpal tidak betul – Nik Aziz



KOTA BHARU 8 Julai – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh meminta parti itu menghormati pendirian DAP yang menolak konsep negara Islam sebagai tidak betul.
Ini kerana jelasnya, Pas dan pakatan pembangkang lain telah lama menyetujui dasar perjuangan parti itu sebelum membina pakatan untuk menghadapi Barisan Nasional (BN).
Tegasnya, Pas akan tetap dengan dasar negara Islam yang diperjuangkan oleh parti itu sekiranya pakatan pembangkang menerajui kerajaan Pusat.
“Waktu belum kami masuk perikatan, kami dah bincang dah, dasar kami Islam. Oleh yang demikian, kami hormat pada DAP. Dan DAP hormat pada kami mula-mula kami nak buat pakatan dulu lagi, kenapa timbul balik perkara ini

Cuba bebas 50 tahanan politik


HAVANA - Kerajaan Cuba mengumumkan akan membebaskan lebih 50 tahanan politk di negara itu, satu langkah yang dilihat sebagai tanda perubahan oleh kerajaan berfahaman komunis itu. 

Pemerhati sebelum ini menjangkakan Cuba mengambil pendekatan lebih sederhana selepas peralihan kuasa daripada bekas Presiden Cuba, Fidel Castro kepada adiknya, Raul Castro, dua tahun lalu. 

Sebagai permulaan, kerajaan Cuba dilaporkan bersetuju membebaskan lima tahanan politik, kelmarin. 

Gereja Katolik di Cuba berusaha menuntut Presiden Raul Castro supaya membebaskan tahanan politik di negara itu dan pengumuman mengenai pembebasan itu dilakukan semasa pemimpin Gereja Katolik, Jaime Ortega mengadakan perjumpaan dengan Menteri Luar Sepanyol. 

Ortega berkata, kerajaan dijangka membebaskan 47 lagi tahanan politik dalam masa beberapa bulan. 

Cuba berhadapan dengan tekanan untuk membebaskan semua tahanannya selepas seorang tahanan politik, Orlando Zapata Tamayo meninggal dunia selepas melancarkan mogok lapar, Februari lalu.

Beri maklumat rakyat daif




SEREMBAN – Pemimpin masyarakat disarankan memberi maklumat mengenai penduduk yang daif dan masih tidak menerima bantuan kepada pegawai Baitulmal. 

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, operasi baitulmal telah dikukuhkan sehingga peringkat daerah, membabitkan sistem penurunan kuasa yang membolehkan bantuan segera dilaksanakan. 

"Jika masih ada individu, keluarga dan masyarakat dalam keadaan daif serta tidak dapat bantuan, saya harap dan minta pemimpin masyarakat itu sendiri termasuk pengurusan masjid mengambil inisiatif membawa masalah ini ke tengah. 

"Kita tengah mengukuhkan operasi Baitulmal pada peringkat daerah. Ada pejabat Baitulmal dan sistem penurunan kuasa sudah mula dilakukan dengan kes yang memerlukan bantuan segera seperti kecemasan boleh dilakukan pada peringkat daerah tanpa perlu dibawa ke peringkat negeri," katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan bulanan zakat Asnaf Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Dewan Orang Ramai Rantau, dekat sini, semalam. 

Menurutnya, ia adalah proses transformasi Baitulmal demi memudahkan dan melicinkan operasi. 

“Soal sama ada orang yang lebih layak dapat dan yang tidak layak tidak dapat adalah subjektif yang selalu disebut dalam masyarakat.

"Justeru, tugas mencungkil semua masalah rakyat perlu dilakukan dan ia di bawah tanggungjawab pemimpin akar umbi," katanya. 

Sehingga kini, seramai 6,000 orang menerima bantuan dan lebih 12,000 orang menjadi penerima berkala oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Pas terus benci BN



KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau akan menanam sikap kebencian terhadap menteri kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam siri ceramah dan lawatan ke semua tempat di negeri ini. 

Tindakan itu sebagai reaksi balas keputusan Kerajaan Pusat yang enggan memberikan hak royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri Kelantan, 

“Di dunia saya kempen habis-habisan memburuk-burukkan menteri yang khianat kepada rakyat Kelantan yang tidak beri royalti petroleum, ini kerja fasiq dan maksiat merampas harta orang lain,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pertubuhan Armalah Darul Naim Kelantan, di sini semalam. 

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memutuskan untuk membawa kes itu ke mahkamah kerana keengganan Kerajaan Pusat memberi hak kepada Kelantan sebagaimana yang dituntut. 

Berikutan itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bersedia untuk menjadi saksi kepada kes berkenaan memandangkan beliau orang yang bertanggungjawab kepada isu itu ketika menjadi Pengerusi Petronas. 

Terdahulu dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz menyeru kepada golongan ibu tunggal mendoakan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Mustapa Mohamed dan timbalannya, Datuk Dr Awang Adek Hussein membuka pintu hati mereka supaya hak rakyat Kelantan itu dikembalikan. 

Dalam perkembangan lain, Nik Abdul Aziz kesal dengan sikap Pengerusi DAP, Karpal Singh yang berterusan enggan menerima konsep Islam walaupun ia sudah dibicangkan semasa penubuhan gabungan pembangkang dalam Pakatan Rakyat. 

“Sebelum masuk Pakatan Rakyat (PR) kami sudah bincang, dasar kami Islam, oleh yang demikian kami hormat DAP dan dia kena hormat Pas pada mula-mula nak buat Pakatan Rakyat dulu, kenapa timbul balik perkara ini,” katanya. 

Dalam perkemba- ngan lain, Nik Abdul Aziz mendakwa pertubuhan Al-Arqam dan UMNO sama-sama sesat dalam membawa fahaman Islam di negara ini. 

“Al-Arqam dan UMNO serupa je sama sesat. Dia (UMNO) lawan Pas dalam pilihan raya. Puak-puak (mereka ini) ni mengarut,” katanya mengulas tindakan Pas Johor membuat laporan polis pada 5 Julai lalu terhadap Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung ucapannya yang didakwa menuduh parti Islam itu sebagai parti ajaran sesat.

Rumah PM jadi Muzium Warisan Sejarah



KUALA LIPIS - Rumah bekas Setiausaha Kerajaan Negeri di Bukit Bius, di bandar Kuala Lipis menyimpan banyak nostalgia kepada keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Selain itu, rumah berkenaan juga sebuah monumen sejarah untuk tarikan pelancong serta tatapan generasi pada masa akan datang. 

Rumah yang dibina pada 1920 begitu sinonim dengan Najib kerana ayahandanya, Tun Abdul Razak Datuk Hussein pernah tinggal di kediaman itu sewaktu bertugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri apabila Kuala Lipis dijadikan ibu negeri Pahang sejak 1898. 

Di kediaman itulah, Najib dilahirkan, iaitu pada 23 Julai 1953 dan dibesarkan dalam lingkungan masyarakat Melayu di bandar bersejarah Kuala Lipis sebelum bersekolah di Kuala Lumpur. 

Rumah berkenaan kini sudah siap dibaik pulih menerusi Projek Konservasi dan Arkeologi, Jabatan Warisan Negara untuk pemuliharaan sebagai khazanah sejarah dan perspektif pembangunan pelancongan daerah itu. 

Baru-baru ini, ketika merasmikan ulang tahun ke-50 penubuhan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah pada bulan Mac lepas, Najib bersama ibu, Tun Rahah Mohd Noah dan Datin Seri Rosmah Mansor sempat singgah di rumah berkenaan. 

Rumah dua tingkat itu mempunyai reka bentuk seni bina Melayu Palladian, berbumbung ciri tradisional Melayu, manakala ukiran pada pintu dan dinding memaparkan motif Barat. 

Kediaman itu dilengkapi beberapa bilik yang dibina menggunakan kayu hutan bermutu tinggi dan tahan lama tanpa dirosakkan oleh anai-anai dan pemusnah lain. 

Gaya seni bina kediaman itu menggunakan ciri Eropah dan Melayu dengan dan reka bentuk tingkap yang banyak bagi memperoleh suasana udara Bukit Bius yang nyaman. 

Rumah berkenaan mempunyai dua bilik tidur yang luas di kiri dan kanan termasuk bilik mandi yang luas. Dilengkapi dengan ruang untuk keluarga berkumpul di bahagian anjung, sementara ruang tamu, ruang makan dan bilik tidur tetamu terletak di tingkat bawah. 

Sebuah garaj kereta dibina agak jauh dari ruang utama rumah berkenaan, manakala rumah pekerja (amah dan tukang kebun) dihubungkan dengan jalan berbumbung ke ruang dapur di bahagian belakang kediaman itu.

Dari mana hang mai ni?

Misteri dua wanita berselimut 

KUALA TERENGGANU – Kehadiran dua wanita misteri berusia antara 30 dan 40-an di sekitar Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menimbulkan rasa kurang selesa kepada orang ramai, khususnya penumpang yang ingin menaiki bas di kawasan itu. 

Kedua-dua wanita tersebut dilihat tanpa segan silu menjadikan bangku tempat menunggu bas sebagai katil sementara untuk tidur. 

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenal sebagai Siti, berkata, perbuatan dua wanita itu sudah lama ‘bermastautin’ di kawasan hentian bas itu. 

“Malah, mereka berdua akan tidur di bangku tersebut sambil menutup bahagian kepala dengan kain sehingga waktu tengah hari tanpa menghiraukan bunyi bising dan kehadiran orang ramai.

Projek tembikai emas RM50j




KOPERASI Atlet Malaysia Berhad (KAMB) akan menjalankan usahasama dengan Iris Corporatian Berhad untuk membangunkan projek pertanian tanaman tembikai emas secara komersial bernilai RM50 juta.
Projek pertanian berkonsepkan agro pelancongan terbabit dibangunkan di tanah seluas 40 hektar milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak di Tanjung Tualang, dekat Batu Gajah, Perak.
Pengarah Urusan Iris Corporation, Datuk Tan Say Jim berkata, projek dimulakan awal bulan lalu itu dilaksanakan secara berperingkat.

“Bagi tahun pertama, Iris Corporation bertanggungjawab menguruskan ladang berkenaan dan dalam masa sama, pihak kami akan memberikan latihan kepada ahli KAMB,” katanya pada majlis menandatangani kontrak antara KAMB dan Iris Corporation di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau sebelum itu menandatangani perjanjian dengan Pengerusi KAMB, Datuk Paduka Dr Mumtaz Begum Abdul Jaffar.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Anthony Firdauz Bujang.

Tun Razak wiraku – Dr. Barlow, ahli pertanian terkemuka



09/07/2010 5:55pm

MELBOURNE 9 Julai – Ahli pertanian terkemuka Australia memberi penghormatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein atas wawasan beliau dalam membangunkan skim pembangunan tanah dan meningkatkan tahap perkebun kecil di Malaysia pada tahun 1960-an.
"Tun Abdul Razak merupakan wira saya,” kata Dr. Colin Barlow pada persidangan dwitahunan ke-18 Persatuan Pengajian Asia Australia, di University of Adelaide, Australia Selatan semalam, semasa membentangkan kertas kerja berjudul “Peralihan Pertanian Malaysia 1960-2010”.
Dr. Barlow berkata, semasa tiba di Kuala Lumpur pada 1963 untuk berkerja di Institut Penyelidikan Getah, beliau mendapati agensi-agensi luar bandar dan badan-badan penyelidikan tidak berdaya memajukan pertanian Malaysia, dan banyak yang perlu dilakukan.
"Apa yang diperlukan pada situasi 1960-an ini ialah menumpukan terhadap meningkatkan taraf hidup individu dan pekebun kecil. Kita memerlukan tokoh yang mempunyai kuasa, mempunyai perasaan yang sama, selari dengan aspirasi masyarakat luar bandar.
"Dan ciri-ciri tersebut ditemui pada Tun Abdul Razak. Beliau merupakan arkitek yang menggunakan aplikasi amali untuk memenuhi kehendak ramai - wira saya.”
Dr. Barlow berkata, Tun Abdul Razak merupakan individu yang memiliki wawasan hebat serta kemahiran kepimpinan dan pentadbiran.
Beliau memudahkan pengurusan penanaman semula dan skim pembangunan tanah baharu, kata Dr. Barlow.
"Tun Abdul Razak menerajui pembangunan utama terhadap pendidikan dan kesihatan luar bandar, serta pembinaan jalan dan infrastruktur lain, dan meneruskan usaha itu pada 1970-an bagi merintis transformasi nasional yang lebih meluas menerusi Dasar Ekonomi Baru,” katanya.
Dr. Barlow yang terlibat dalam pembangunan luar bandar selama beberapa tahun, khususnya di Malaysia, Indonesia, Filipina dan Sri Lanka, memberitahu persidangan itu, “inisiatif penting tambahan” pada 1960-an di Malaysia termasuklah penubuhan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), yang bermula pada kedudukan yang sukar sehingga menjadi agensi yang sangat berjaya”.
Felda membuka dan mengurus banyak kawasan pertanian baharu, bermula dengan tanaman getah, diikuti kepala sawit, katanya. – Bernama

Tiga polis jujur dapat penghargaan

AMPANG: Sikap jujur seorang pegawai dan dua anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kerana menolak rasuah RM26,000 menerima penghargaan daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Ketiga-tiga mereka iaitu Inspektor Mohd Khairul Hafiz Yaacob, Koperal Ariffin Yahaya dan Koperal Shahrizal Mat Halili menerima sijil penghargaan dan cenderahati kerana penolakan suapan daripada seorang warga Pakistan untuk membebaskan 16 pekerjanya warga asing yang ditahan dalam serbuan, Khamis lalu.
Setiausaha Kerja PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menghargai sikap integriti dan jujur polis dan menganggap ia tanggungjawab terbesar polis.

“Bagi saya, sekiranya anggota polis itu tidak menerima sogokan, saya menganggapnya sebagai 'hero' dalam masyarakat. Oleh itu, saya minta orang ramai untuk terus menyokong kerja polis yang berterusan menyelamatkan nyawa masyarakat,” katanya. Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata lelaki warga Pakistan itu ditahan sebaik dia mengeluarkan wang.

Tetap saman RM200 juta

SUNGKAI: “Macam mana nak kata Felda bankrap. Dari segi wang tunai, Felda kini mempunyai simpanan kira-kira RM1.3 bilion dan ini tidak termasuk yang terdapat dalam beberapa anak syarikatnya seperti Felda Ventures Bhd dan Felda Holdings Bhd,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Oleh itu, katanya, Felda akan tetap meneruskan tindakan mahkamah menyaman akhbar Suara Keadilan dan beberapa pemimpin pembangkang berhubung tuduhan liar dan tidak berasas yang dilontarkan kepada agensi yang banyak berjasa kepada peneroka itu.
Beliau berkata, tempoh diberikan seminggu bagi membolehkan Suara Keadilan memohon maaf atas tuduhan yang diberikan sudah tamat dan tindakan seterusnya adalah meneruskan saman RM200 juta terhadap akhbar Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kerana menyiarkan laporan dengan mendakwa Felda bankrap sebelum ini. “Tempoh seminggu sudah cukup dan kebetulan ia jatuh pada Hari Peneroka yang disambut hari ini (semalam). Oleh itu, suara perhimpunan (Hari Peneroka) memutuskan, kita jumpa di mahkamah,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Peneroka 2010 di Maktab Rendah Sains Mara Felda (MRSMF) Kampus Tun Abdul Razak, di sini semalam. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Afdal serta Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohd Yusuf Noor.

Katanya, Felda bukan sahaja membuat beberapa pelaburan bijak untuk kesejahteraan rakyat namun diiktiraf sebagai sebuah institusi yang berjaya. “Felda mempunyai pelaburan saham dalam beberapa syarikat besar seperti MISC Berhad dan Maybank Bhd yang tersenarai di Bursa Malaysia dan jika saham itu dijual sekarang, ia boleh mencecah RM4.6 bilion. “Selain itu, beberapa ladang dimiliki Felda juga mempunyai nilai kira-kira RM10 bilion. Bagaimana mereka (Suara Keadilan) boleh membuat tuduhan sedemikian sebaliknya mereka yang menuduh Felda bankrap sebenarnya mereka yang bankrap idealisme dan moral,” katanya. Terdahulu, Mohd Najib turut merasmikan MRSMF Kampus Tun Abdul Razak yang paling moden dan tercanggih di negara ini membabitkan kos pembinaan kira-kira RM120 juta.

Sementara itu, lebih 10,000 peneroka dari tanah rancangan Felda di seluruh negara menghadiri majlis itu dan ia adalah sambutan Hari Peneroka paling besar pernah diadakan.

Perkasa bidas Pemuda MCA



KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, menggesa polis menyiasat kenyataan Setiausaha Pemuda MCA, Chai Kim Sen, mengenai isu disifatkan sensitif yang disiarkan sebuah portal berita, Khamis lalu:. 

Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Abu Bakar berkata, kenyataan Kim Sen boleh menimbulkan ketegangan antara kaum serta menjejaskan keharmonian negara. 

Abdul Rahman mengulas kenyataan Kim Sen yang disifatkannya sebagai biadab, apatah lagi ia datang daripada parti komponen Barisan Nasional (BN). 

"Kim Sen juga mengeluarkan kenyataan bahawa Pemuda MCA akan menyerang balik habis-habisan dan sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan maruah MCA sekiranya kerajaan berdiam diri berhubung isu artikel Suara Perkasa yang menggesa Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong, ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mempertikaikan hak istimewa orang Melayu dalam pemberian biasiswa. 

“Ini menimbulkan rasa tidak selamat dalam kalangan ahli Perkasa dan orang Melayu yang menyokong perjuangan Perkasa kerana kenyataan Kim Sen jelas boleh menimbulkan ketegangan antara kaum,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis, semalam. 

Abdul Rahman juga berpendapat, kenyataan Ka Siong yang menyentuh isu sensitif berkaitan biasiswa jelas menunjukkan beliau tidak membawa konsep 1Malaysia, tetapi membawa konsep perjuangan 'Malaysian Malaysia' yang diperjuangkan DAP. 

“Pada pendapat Perkasa, Ka Siong tidak layak jadi Timbalan Menteri Pelajaran kerana terang-terang menimbulkan isu sensitif berhubung Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Melayu akan kehilangan kuasa?


Oleh - A. Aziz Deraman
 

Kecenderungan generasi muda Melayu yang tidak mahu mendaftar sebagai pengundi sangat berbahaya untuk masa hadapan politik Melayu. Mereka mesti mengubah sikap. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula perlu mengambil tindakan yang lebih drastik dari segi pendaftaran pengundi. Situasi sekarang boleh mengubah pola pengundian antara kawasan pilihan raya. Kita bimbang nanti akan terbentuk sifat pengundian kerana kaumnya. Perjuangan perkauman yang menjadi-jadi sekarang akan tergambar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU- 13). Bagi mereka yang berdaftar pula, ada anggapan apakah tidak kena kalau mereka mengubah selera, menolak Kerajaan. Mana-mana parti pun boleh membentuk Kerajaan asalkan parti atau gabungan pakatan parti itu memenangi majoriti undi sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan. Kerajaan boleh dengan teraju pemerintahan yang baharu, tetapi risikonya amat besar. Implikasi kepada Perlembagaan, struktur negara, sistem pemerintahan, dasar dan konsep bernegara akan berubah dengan mudah. 

Rakyat berhak memilih mempertahankan Barisan Nasional (BN) atau memberi peluang kepada Pakatan Rakyat (PR). Banyak alasan yang diberikan, termasuknya kononnya BN sudah lama memerintah, kenapa rakyat harus takut mencuba yang baru. BN bersifat perkongsian dan PR menggunakan konsep yang sama. Apakah itu yang rakyat mahu? Banyak pihak terkejut apabila kajian Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda UMNO mendapati nisbah antara orang Melayu dan bukan Melayu dalam pendaftaran sebagai pengundi baru sejak PRU Ke-12, tahun 2008, jurangnya 1:40 (1 Melayu dan 40 bukan Melayu). Kajian tersebut merangkumi seluruh aspek dari segi umur dan jantina membabitkan golongan tua dan muda. PR mendakwa dan menyelar kajian berkenaan yang dikatakan bermotifkan politik. Bagi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, itulah tandanya kelemahan SPR kerana tidak menggunakan mekanisme daftar pemilih secara automatik. Katanya SPR lebih menjaga kepentingan politik UMNO dan BN kerana melihat kecenderungan pengundi muda menyokong PR. 

Isu di hadapan kita ialah kenapakah terjadi lebih ramai bukan Melayu mendaftar sebagai pengundi selepas PRU 2008? Rakan penulis, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, Timbalan Pengerusi SPR menyebut DAP paling agresif menjalankan program pendaftaran pemilih baru dengan tumpuan khusus di kalangan belia Cina. Malahan DAP jauh lebih aktif menjalankan kerja mendaftar itu di bandar, PKR menumpukan perhatian untuk semua kaum dan Pas mensasarkan belia Melayu. Datuk Seri Mohd Ali Rustam (Melaka Hari Ini, 30 Jun 2010), mengatakan pembangkang terutama DAP di Melaka kini meniru cara atau kaedah yang pernah dilakukan BN dengan membuka kaunter pendaftaran pengundi di kawasan pasar malam. Bagi beliau DAP kerja kuat tetapi BN bekerja lebih kuat. Soalnya bukan siapa dulu, tetapi Melayu jangan ketinggalan. Pengundi Melayu memberi signifikan besar terhadap BN yang diterajui Melayu atau UMNO. Bagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafei Apdal, UMNO kini dianggotai 3,159,484 ahli di seluruh negara (Utusan Malaysia, 28 Jun 2010). Apakah semua ahli UMNO, terutama golongan mudanya sudah berdaftar? Sepatutnya UMNO di peringkat bahagian tanpa henti mempergiatkan usaha mendaftarkan para pengundi baru. Sebenarnya demi Melayu dan Islam, UMNO dan Pas sama-sama bertanggungjawab, jangan kira lagi siapa undi siapa, sebab siapa undi siapa tidak siapa yang tahu. Usahakan pendaftaran. 

Kalau sehingga kini masih ada kira-kira 1.9 juta orang Melayu daripada 4.3 juta rakyat yang layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pengundi, maka kepada siapa mahu dipersalahkan. Kerja-kerja pendaftaran bukan kerja parti, tetapi parti boleh membantu. Tidak bolehkah SPR turun padang, termasuk membuka pusat pendaftaran, meskipun bermusim, selain di pejabat-pejabat SPR sendiri, buka sahaja di taman-taman perumahan, ke institusi pengajian tinggi, di kompleks beli belah, pasar raya, di dewan orang ramai di kampung dan sebagainya. Itu kaedah alternatif selain secara internet dan selagi pendaftaran automatik belum boleh dilaksanakan. Orang Melayu dan bumiputera mesti disedarkan bahawa undi itu kuasa, bahkan satu undi pun adalah kuasa. Gerakan dan kempen mesti diperhebatkan. Parti-parti Melayu dan bumiputera jangan berdiam diri, kaji coraknya dan proaktif. 

Ada banyak kemungkinan kenapa Melayu tidak mahu mendaftar. Pertama, mungkin mereka merasakan bukan suatu keperluan dan tidak mendesak pun. Kedua, generasi muda Melayu agak santai, selesa, memadai dengan memperoleh kerja, hidup menyara diri dan berhiburan. Mereka tidak minat dengan politik dan masa depan bangsa. Ketiga, SPR belum cukup agresif. Ketiga, gerakan parti Cina seperti DAP jauh lebih berpengaruh dengan mendampingi orang Cina, sedangkan MCA dan Gerakan, komponen BN kurang bertindak, tidak seagresif pembangkang. Keempat, faktor geografi dan tempat tinggal yang jauh. SPR mesti mencari jalan terutama bagi penduduk di kawasan pedalaman. Kelima, orang muda tidak mahu bersusah payah menukar alamat untuk mendaftarkan diri di tempat tinggal masing-masing. Ada sikap ‘tidak apa’ dan menganggap remeh. 

Situasi politik mutakhir sudah menjadi lebih kacau dengan kebangkitan semangat kekauman dan perkauman. BN berjaya memerintah Malaysia dengan kemajuan dalam semua bidang serta kesepakatan dalam erti perkongsian kuasa atau pembahagiannya secara bijak sentiasa dicemburui. Parti seperti DAP tidak senang dengan MCA dan Gerakan kerana akur dengan kontrak sosial, manakala Pas tidak akan sekata dengan UMNO kononnya tidak menjulang konsep negara Islam sebenar. Kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara, bagi Pas belum cukup memberi makna. Lalu Pas lebih senang bersekongkol dengan DAP yang terang-terang menolak Islam dan kepentingan Melayu dan bumiputera. Pas dikatakan gadai gagasan negara Islam demi kepentingan politik, menerima kesamarataan bukannya keadilan. PKR yang agak cacamerba, bercampur baur dalam matlamat perjuangan, tetapi menaruh cita-cita untuk berkuasa penuh di atas landasan PR. Dengan sifat dan citra pembangkang sekarang, mana mungkin aspirasi Perlembagaan akan mereka pertahan dan tegakkan. Tinggal lagi sebelum ini, BN lemah kerana kepemimpinan UMNO dan komponen BN itu lemah. Melayu mesti sedar, jika salah langkah Melayu akan hilang kuasa. Kuasa politik mereka boleh terhapus. Mahukah Pas bermuzakarah dengan UMNO? 

Dalam fenomena pertarungan politik di negara demokrasi berparlimen seperti Malaysia ini, apa pun boleh jadi. Penulis terkilan kerana Pas, masih menaruh harap kepada DAP. Karpal Singh terang-terangan menolak konsep negara Islam dan sudah timbul percanggahan dengan Nik Abdul Aziz. Status Malaysia yang sudah diterima dunia sebagai sebuah negara Islam pun dipertikaikan mereka. Kenapa Pas memilih DAP dan PKR yang tidak stabil itu? Apakah rakyat tidak berfikir bahawa gagasan negara Islam tergadai demi kepentingan politik. Pas sepatutnya kaji semula kedudukannya dalam PR. Sesungguhnya rakyat benar-benar belum ada pilihan. Jadi untuk PRU 13, lihatlah jauh ke hadapan jangan emosional tetapi rasional. Buruk baik Kerajaan yang ada, itulah yang terbaik buat semua. Kerajaan pun kena bermuhasabah dan para pemimpin perlu memperbaiki dan membuat penambahbaikan. Buangkan kesombongan politik sebelum tahun 2008 itu dan jangan memperkecilkan kebolehan sesama sendiri. 

Program baru kerajaan dengan gagasan 1Malaysia, transformasi kerajaan, Model Baru Ekonomi (MBE) dan RMK10 sudah disediakan sebagai penawar ‘kedukacitaan rakyat’. Kerajaan juga mahu dilihat tidak mudah bermain dengan dasar-dasar yang sudah mantap dan terbukti. Misalnya Dasar Pendidikan Kebangsaan atau dasar-dasar tonggak yang lain, jika tidak perlu berubah maka jangan diubah. Kita sudah ada pengalaman dengan penolakan PPSMI. Jadi kenapa perlu dimansuhkan UPSR, PMR dan mungkin SPM. Itulah tahap kita mengukur keupayaan pelajar dan kualiti pendidikan kita. Jika rancangan ini diteruskan, dibimbangi sekolah-sekolah dan institusi pendidikan swasta akan melaksanakan sistem peperiksaan mereka sendiri dan pastinya akan meminggirkan bahasa kebangsaan. Matlamat perpaduan dan kesatuan bangsa seperti mana gagasan 1Malaysia sukar tercapai. 

Kuasa politik itu berada di tangan pengundi. Rakyat melihat bagaimana kerajaan menangani isu dan dasar-dasar negara. Kuasa boleh kekal atau tidak terletak di bahu kerajaan dan di tangan rakyat. Maknanya Kerajaan boleh kekal dengan keyakinan rakyat. Untuk kuasa Melayu dalam Kerajaan, Melayu dan bumiputera mesti sedar. Kini lebih dari 60 peratus belia Melayu masih di atas pagar. Mereka dengan penuh insaf mesti mendaftarkan diri beramai-ramai sebagai pengundi, bangkit dari alpa dan keluar mengundi bagi menyelamatkan Malaysia sebelum dijadikan Malaysian-Malaysia dengan konsep kesamarataan dan menolak kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera. Orang Melayu jangan tersesat jalan tetapi tahu akan hakikat kuasa politik dan pemerintahan demi masa depan anak cucu, bangsa, agama dan tanah air.

Kematian dalam tahanan, bukan retorik semata Oleh - Elviza Michele Kamal




DEBAT yang lapuk. Tidak pernah wujud tindakan tegas yang diambil untuk mengekang kematian OKT (orang kena tahan) dalam tahanan. Badan Peguam tidak pernah diam, terpekik terlolong mereka membantah kematian yang secara amnya, telah memanifestasikan ketidakadilan dari pihak yang berkuasa untuk menahan. Suaram juga begitu dan pertubuhan badan bukan kerajaan lain. Namun, pada pendapat saya, perihal kematian dalam tahanan ini hanya retorik semata. 

Apa yang gegak gempita hanyalah debat ilmiah dan kritikan yang mengecam teruk pihak berkuasa, terutamanya Polis Diraja Malaysia. Tiada tindak balas yang positif dapat saya lihat. Undang-undang, polisi dan tatacara untuk mempertahankan hak-hak asasi OKT juga rengsa dan lompang di sana sini. Tidak terhad kepada kematian dalam tahanan berprofil tinggi seperti A Kugan dan Teoh Beng Hock, terdapat juga nama-nama yang sudah mula luntur daripada ingatan kita seperti Francis Udayappan, V Vikines, Tharma Rajan, M Ragupathy, Syed Fadzil Syed Ibrahim, Hasrizal Hamzah, Prakash Moses, Kannan Kanthan, Ahmad Salleh dan ramai lagi. 

Apa yang paling merimaskan saya adalah kenyataan ‘rasmi’ yang keluar daripada mulut ahli-ahli politik tempatan. Kadang-kadang, campur tangan mereka itu boleh mengaburi jurang yang memisahkan antara politik dan kemanusiaan. Harap mereka faham. 

Tetapi, tanggal 30 Jun 2010, bertempat di Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, menjadi tarikh keramat untuk balu serang balu, Suzana Md Aris. 11 tahun lalu, suami Suzana, telah ditahan reman di lokap Balai Polis Rawang kerana disyaki menyalahgunakan najis dadah. Beliau kemudiannya mati ketika dalam tahanan reman kerana serangan radang paru-paru. 

Suzana telah menyaman Deputi Superintenden Ishak Hussin yang ketika itu Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Gombak, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Massari Hashim, Ketua Polis Negara (KPN) ketika itu, Tan Sri Norian Mai dan Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama hingga keempat. 

Hakim asal kes, Kang Hwee Gee telah membenarkan tuntutan Suzana terhadap Defendan Ketiga dan Keempat. Dalam alasan penghakiman, beliau memutuskan bahawa KPN ketika itu dan Kerajaan Malaysia telah cuai sehingga mengakibatkan kematian suami plaintif dalam tahanan. 

Dalam menentukan jumlah ganti rugi Penolong Kanan Pendaftar telah mengarahkan Defendan Ketiga dan Keempat membayar sebanyak RM137,220 kepada plantif. 

Apabila kedua-dua belah pihak memfailkan rayuan dan rayuan balas kerana tidak berpuas hati dengan jumlah diperintahkan, mereka mungkin tidak menyangka hakim yang bakal mendengar rayuan mempunyai fikiran tersendiri. 

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng telah menghembuskan harapan baru dalam isu kematian dalam tahanan, tatkala mendengar rayuan tersebut. Hakim jauhari itu telah memerintahkan agar si balu dibayar sebanyak RM1.4 juta, yang merangkumi ganti rugi tanggungan, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan. Juga faedah pada kadar lapan peratus akan dikenakan dari tarikh kematian sehingga selesai tuntutan. Kental sekali mesej yang ingin disampaikan oleh hakim bijaksana. 

Apa yang saya ulang baca berkali-kali adalah inti pati penghakiman yang berbunyi: “Let the message go forth from this place that any more deaths in police custody is one too many. Steps must be taken that the basic human right of a detained person to seek medical treatment, in this case a suspected drug addict, should be immediately attended to.” 

Pada deria pendengaran saya, tiada melodi yang boleh menandingi keindahan bunyi kata-kata menegakkan keadilan dan keputusan mahkamah yang membela hak asasi manusia. Apa yang pasti apabila cabang Eksekutif dan Legislatif tidak mampu menegakkan hak asasi anda, institusi kehakiman adalah harapan terakhir untuk kita. 

Hari ini, berdasarkan keputusan mutakhir dari kamar Hakim Lee Sweng See, harapan itu masih menyala. 

Apa yang sudah mati tidak mampu bersuara untuk mencari keadilan. Jadi, tugas untuk membela mereka yang mati ketika dalam tahanan, jatuh ke bahu kita yang masih bernafas ini. Fikir-fikirkan selalu. 

� Elviza masih percaya dengan sistem kehakiman negara. Temui beliau di laman Twitter http://twitter.com/elviza

Zahrain serah bukti PKR taja Raja Petra




KUALA LUMPUR - Bukti yang mendakwa Parti Keadilan Rakyat (PKR) membiayai perbelanjaan penulis blog Raja Petra Kamaruddin di London diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, kata Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim. 

Menurutnya, beliau telah menyerahkan bahan bukti itu yang berbentuk kandungan e-mel kepada Mohamed Nazri dan beliau sendiri sedia disoal siasat polis berhubung perkara itu. 

”Saya sudah bagi dokumen itu kepada Nazri. Bukti itu nanti akan didedahkan pada masa yang sesuai dan menteri pun saya percaya dia sedia disiasat polis dan saya pun bersedia jika polis nak jumpa (saya) dan bincang,” katanya di sini, semalam. 

Sabtu lalu, Nazri berkata, kerajaan mempunyai bukti bahawa Raja Petra, yang melarikan diri ke luar negara, dibiayai PKR di London. 

Zahrain berkata, beliau berharap kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan terperangkap dengan permainan politik PKR khususnya yang melibatkan isu Raja Petra dan penyiasat persendirian P Balasubramaniam. 

Sehubungan itu, beliau memuji keputusan SPRM baru-baru ini, untuk tidak menghantar pegawainya ke London bagi mengambil keterangan Balasubramaniam berhubung kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu. 

Zahrain juga menggesa Anwar dan Ketua PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim yang didakwa mempunyai hubungan baik dengan kedua-duanya supaya meminta Balasubramaniam dan Raja Petra pulang ke Malaysia. 

“Kalau mereka ini adalah pemimpin negara yang bertanggungjawab, mereka harus nasihat dan meminta supaya kedua-dua mereka pulang ke Malaysia dan berdepan dengan sesiapa sahaja,” katanya.         

Zahrain juga menyokong kenyataan Ahli Parlimen Bebas, Wee Choo Keong mengenai peranan Anwar dan Zaid dalam kes tersebut. - Bernama

SPRM tahan 194 pemberi rasuah, 140 penjawat awam



KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 194 orang yang didapati menawarkan rasuah kepada penjawat awam sejak Januari hingga bulan lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed berkata, mereka yang memberi rasuah kini tidak terlepas daripada tindakan undang-undang, sama seperti penerima rasuah.

Beliau berkata, orang awam yang ditahan kerana kesalahan rasuah juga melibatkan rakyat asing, antaranya dari Bangladesh, Singapura, Vietnam, Sepanyol dan Argentina.

"Antara kesalahan mereka kerana cuba memberi rasuah kerana ketiadaan dokumen perjalanan diri dan ada ditahan kerana memberi rasuah kepada anggota polis trafik," katanya ketika ditemui selepas melancarkan Bulan Julai sebagai Integriti Amanahraya' di Wisma Amanahraya di sini, hari ini.

Katanya, dalam tempoh sama, seramai 140 penjawat awam turut ditahan kerana kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.

"Statistik bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini menunjukkan agensi penguatkuasa di negeri ini masih terdedah kepada jenayah rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

"Bagaimanapun, kini orang awam yang ditahan lebih ramai berbanding penjawat awam.

Ini mungkin kerana peningkatan integriti dan kesedaran jauhi rasuah dalam kalangan penjawat awam," katanya.

Mengenai aktiviti mencegah rasuah dalam kalangan pekerja di sesebuah organisasi termasuk sektor awam dan swasta diteruskan, SPRM akan menganjurkan kursus Sijil Pegawai Integriti yang akan dimulakan pada bulan ini.

Beliau berkata, kursus pertama itu bakal memberi pengetahuan menyeluruh dan teknik terkini mengenai fahaman integriti dalam usaha membanteras rasuah di negara ini.

“Kursus bagi kumpulan pertama itu akan dijalankan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) selama seminggu pada setiap bulan selama enam bulan,” katanya.

Majikan siasat gangguan seksual



KUALA LUMPUR 8 Julai - Majikan yang gagal melakukan siasatan terhadap aduan gangguan seksual di dalam sesebuah pejabat boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM10,000.
Peraturan tersebut terkandung dalam Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2010 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Pindaan terhadap Akta Kerja 1955 yang dibentang oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan menyebut aduan gangguan seksual boleh dibuat membabitkan pekerja terhadap pekerja, pekerja terhadap majikan, majikan terhadap majikan dan majikan terhadap pekerja.
Pekerja yang didapati bersalah melakukan gangguan seksual boleh dipecat tanpa notis, turun pangkat dan tindakan gantung kerja tanpa gaji tidak melebihi dua minggu.
Jika tertuduh yang terlibat adalah terdiri daripada kalangan majikan, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan garis panduan yang ditetapkan badan disiplin syarikat berkenaan.
Bagi kes-kes gangguan seksual yang dilakukan majikan terhadap pekerja, aduan boleh dibuat secara terus kepada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
Antara tindakan yang boleh diputuskan oleh Ketua Pengarah JTK adalah menamatkan kontrak kerja antara kedua-duanya dan pekerja berkenaan akan diberi ganti rugi.
Mengikut rang undang-undang berkenaan, majikan hanya boleh menolak untuk menyiasat aduan gangguan seksual jika aduan sama telah dibuat sebelum ini dan didapati tiada kes atau jika majikan berpendapat tuduhan dibuat dengan niat tidak baik.
Majikan perlu memberikan jawapan secara bertulis sebab-sebab menolak untuk melakukan siasatan dan ia harus dibuat dalam tempoh tidak lebih daripada 30 hari selepas menerima aduan.
Dalam pada itu, pindaan lain yang dibuat membabitkan langkah mewujudkan peruntukan mewajibkan majikan memasukkan gaji secara terus ke dalam akaun bank pembantu rumah.
Peruntukan baru juga dimasukkan bagi membolehkan pekerja wanita menikmati perlindungan ketika bersalin seawal 22 minggu kehamilan khususnya yang melibatkan kelahiran pramatang atau keguguran.
Pindaan itu turut memasukkan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun sebagai hari cuti umum dan pekerja layak diberi hari kelepasan berbayar.
Sementara itu, Maznah turut membentangkan Rang Undang-Undang Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan) 2010 hari ini bagi menaikkan had umur kanak-kanak yang boleh diambil bekerja daripada 14 tahun kepada 15 tahun.
Kanak-kanak berkenaan hanya boleh melaksanakan kerja-kerja ringan yang sesuai dengan keupayaan mereka termasuk yang dilaksanakan di sekolah dan institusi latihan.
Pindaan berkenaan juga menaikkan had umur orang muda daripada 16 tahun kepada 18 tahun.
Orang muda boleh melakukan semua pekerjaan yang dilakukan kanak-kanak dengan tambahan beberapa pekerjaan lain termasuk sebagai pembantu rumah, kerja di pejabat, kedai, gudang, kilang, bengkel, setor, rumah tumpangan, pawagam, pementasan, kelab dan persatuan.
Hukuman denda dan penjara terhadap mana-mana pihak termasuk ibu bapa dan penjaga yang membenarkan kanak-kanak dan orang muda bekerja dalam sektor tidak dibenarkan turut dinaikkan.
Hukuman penjara tidak lebih enam bulan dinaikkan kepada setahun manakala denda sekarang sebanyak RM2,000 dinaikkan kepada RM5,000.

SPRM tidak siasat dakwaan Barry Wain terhadap Dr. Mahathir - Nazri



kUALA LUMPUR 8 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak bercadang menyiasat segala dakwaan yang dibuat Barry Wain dalam bukunya Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times kerana mendapati tiada elemen perlakuan rasuah berlaku.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, selepas meneliti buku berkenaan, SPRM mendapati tidak berlaku sebarang kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
"SPRM mendapati tiada elemen perlakuan rasuah berlaku seperti didakwa buku itu dan tidak bercadang untuk menyiasat segala dakwaan yang terdapat di dalamnya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Charles Anthony Santiago (DAP-Klang) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Charles bertanya adakah kerajaan merancang menyiasat dakwaan Wain bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad bertanggungjawab ke atas kerugian berjumlah RM100 bilion ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.
Dalam bukunya, Wain bekas Pengarang Urusan Asian Wall Street Journal mendakwa kononnya Mahathir telah membazirkan sehingga RM100 bilion ketika menjadi Perdana Menteri.
Mahathir dalam blognya http://chedet.co.cc/chedetblog/ sebelum ini mengakui pernah berlaku beberapa kerugian dalam tempoh pentadbirannya tetapi jumlahnya tidak pun mencecah RM10 bilion.

Jangan ambil mudah keupayaan BN - Anwar



SHAH ALAM 8 Julai - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meminta barisan kepimpinan parti di Selangor agar lebih berwaspada dan tidak mengambil mudah keupayaan Barisan Nasional (BN) di negeri itu.
Beliau berkata, mereka juga perlu bimbang dengan kemampuan BN negeri yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk merampas kembali Selangor.
"Banyak pihak melahirkan kebimbangan dengan pelbagai perkembangan yang berlaku dalam PKR Selangor sejak akhir-akhir ini.
"Jadi saya minta Khalid (Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) memahami masalah ini dan tumpukan perhatian sepenuhnya," kata beliau ketika berucap pada majlis meraikan kepemimpinan Abdul Khalid di sini petang ini.

Zulkifli, Zahrain nafi sertai jelajah UMNO Selangor



KUALA LUMPUR 8 Julai - Dua bekas Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini wakil rakyat Bebas menafikan dakwaan bahawa mereka akan terlibat dalam program jelajah UMNO Selangor untuk mendedahkan sandiwara pakatan pembangkang di negeri itu.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin sebaliknya berkata, beliau dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim merupakan Ahli Parlimen Bebas dan akan terus bergerak secara neutral tanpa memberi sokongan kepada mana-mana pihak.
"Laporan yang dikeluarkan oleh The Malaysian Insider ini bukan sahaja tidak beretika, ada agenda tersembunyi dan putar belit malah bertujuan melakukan 'pembunuhan karakter' kami sebagai Ahli Parlimen Bebas.
"The Malaysian Insider seharusnya menghubungi saya dahulu untuk mengesahkan perkara itu, tetapi ia tidak dilakukan," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Zulkifli mengulas laporan The Malaysian Insider yang menyebut beliau dan ahli-ahli Parlimen Bebas khususnya mereka yang meninggalkan PKR awal tahun ini akan menyertai program jelajah UMNO Selangor untuk mendedahkan sandiwara pakatan pembangkang di negeri itu.
Laporan yang dikeluarkan itu dikatakan dipetik daripada laman web UMNO online.
Ahad lalu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, UMNO Selangor akan mengadakan program jelajah seluruh Selangor bagi mendedahkan pembohongan yang dilakukan oleh kerajaan pakatan pembangkang terhadap rakyat di negeri itu.
Zahrain berkata, beliau, Zulkifli dan ahli Parlimen dalam Konsensus Bebas yang lain akan terus menjadi wakil rakyat Bebas dan tidak pernah memihak kepada mana-mana parti.
"Perkataan Bebas itu sendiri sudah melambangkan pendirian kami. Jadi, tidak timbul kami akan menyertai program jelajah UMNO itu nanti.
"Saya mahu The Malaysian Insider menarik balik kenyataan itu kerana ia tidak betul," katanya.