Tuesday, August 17, 2010

Pertahan guna dinar



KOTA BHARU- Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam, mempertahankan penggunaan dinar dan dirham di negeri ini walaupun pendekatan itu dinafikan Bank Negara Malaysia (BNM). 

Mursyidul Am Pas itu berkata, tidak ada salahnya menggunakan sistem tersebut memandangkan ia melibatkan pertukaran barangan yang dipersetujui kedua-dua pihak. 

“Misalnya macam cincin, boleh tak saya tukar dengan kain atau kereta, tak da apa (salahnya),” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sejurus tiba dari Kuala Lumpur, semalam. 

Khamis lalu, Nik Aziz melancarkan penggunaan mata wang dinar dan dirham sebagai alternatif kepada wang biasa yang akan digunakan dalam transaksi seharian termasuk pembayaran gaji kepada kakitangan awam. 

Bagaimanapun, BNM dalam satu kenyataan menegaskan hanya mata wang ringgit sah diperakukan bagi pembayaran dan perkhidmatan di negara ini dan menolak penggunaan dinar dan dirham. 

Berikutan itu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa menafikan penggunaan kaedah tersebut bagi menggantikan mata wang biasa sebaliknya ia hanya pengenalan sistem barter yang menggunakan logam emas dan perak. 

Ditanya lanjut bagaimanapun, enggan mengulas kenyataan yang dibuat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad yang mengingatkan agar Kerajaan negeri tidak sewenang-wenangnya mewujudkan dinar dan dirham tanpa merujuk kepada Kerajaan Pusat. 

Semalam, seorang Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Mimi Aminah Nordin, 27, antara individu terawal menggunakan sistem dinar dan dirham dengan membeli sehelai kain disalah sebuah kedai di Pasar Siti Khadijah yang menerima sistem baru tersebut.

Kejadian yang mustahil berlaku di Malaysia

Cetak Artikel

Kashmir sanjung pelempar kasut 


2010/08/17

Abdul Ahad Jan diberi sambutan wira 

SRINAGAR: Anggota polis yang melemparkan kasut ke arah Ketua Menteri Kashmir, Omar Abdullah diberi sambutan sebagai wira semalam, dan beribu-ribu orang mengunjungi rumahnya di kampung untuk mengucapkan tahniah kepada keluarganya.Setiap akhbar utama di India menyiarkan gambar muka depan yang menunjukkan kasut Abdul Ahad Jan melayang di atas kepala Omar, ketika menteri pro-India itu sedang berucap sempena Hari Kebangsaan India di Srinagar.Kasut itu tidak terkena sasarannya dan Abdul Ahad, yang melaungkan ungkapan ‘Kami mahu kebebasan’ dan melambaikan bendera hitam, iaitu simbol pemisahan Kashmir, diterpa oleh pengawal keselamatan sejurus selepas kejadian itu. 

Kejadian itu juga disiarkan secara langsung menerusi televisyen, menyebabkan beribu-ribu orang mengunjungi rumahnya di kawasan perkampungan Ajas, kira-kira 40 kilometer di utara Srinagar. 

Saksi berkata, wanita menabur bunga kepada isteri Abdul Ahad, Bega Jan, dan mencium serta memeluknya, sementara yang lain mengetuk gendang dan meluangkan ungkapan ‘Hidup Ahad Jan’ di luar rumahnya. 

“Apa yang dilakukannya sukar dipercayai. Dia membanggakan kami. Ia adalah manifestasi kemarahan yang dirasai oleh setiap penduduk Kashmir,” kata Merhaj-u-Din, seorang kontraktor yang melawat rumah Ahad Jan di Ajas. 
Sambutan itu diadakan kelmarin menjangkau waktu malam sehingga ke pagi semalam. 

Tempoh dua bulan lalu menyaksikan kejadian keganasan paling teruk di Lembah Kashmir yang mempunyai majoriti penduduk Muslim itu. 

Penunjuk perasaan yang melempar batu bagi menentang pemerintahan India, bertempur dengan polis hampir setiap hari di Srinagar dan pekan lain. 

Hampir 60 penunjuk perasaan dan mereka yang menyaksikannya terbunuh, sebahagian besarnya orang muda atau remaja yang ditembak mati oleh polis. 

Omar adalah pemimpin Persidangan Nasional, parti utama pro-India di Kashmir. – AFP 

Obama cuba ubah pendirian isu masjid di lokasi 9/11




2010/08/17

WASHINGTON: Presiden Barack Obama dilaporkan cuba mengubah pendirian berhubung sokongan diberikannya Jumaat lalu kepada pembinaan masjid berhampiran Ground Zero, tapak serangan pengganas terhadap New York pada September 11, 2001. 

Selepas dikecam di atas sokongannya itu, Obama berkata beliau tidak membuat kenyataannya itu sebagai mengulas kewajaran projek berkenaan tetapi hanya menyentuh soal hak di bawah perlembagaan.Cadangan membina bangunan pusat Islam 15 tingkat di Manhattan, yang termasuk sebuah masjid 2 blok dari tapak serangan 9/11, menimbulkan kemarahan sesetengah pihak di Amerika Syarikat.Di samping itu tinjauan pendapat mendedahkan lebih 60 peratus responden membantah cadangan itu. 

Jumaat lalu, selepas menghadiri majlis berbuka puasa di Rumah Putih, Obama berkata orang Islam mempunyai hak sama seperti warga Amerika lain. 

“Ini termasuklah hak untuk membina tempat beribadat dan pusat masyarakat di tanah persendirian di Manhattan.” – Agensi 

2,000 askar asing mati di Kabul




2010/08/17

ANGGOTA Marin membawa mayat Koperal Kristopher Greer kelmarin di Pangkalan Tentera Udara Dover.
ANGGOTA Marin membawa mayat Koperal Kristopher Greer kelmarin di Pangkalan Tentera Udara Dover.
Sejak sembilan tahun AS ceroboh Afghanistan jumlah korban menakutkan 

KABUL: Angka kematian tentera asing di Afghanistan mencecah paras menakutkan dengan jumlah yang terkorban sejak perang bermula sembilan tahun lalu mencapai lebih 2,000 orang, menurut laman web icasualties.org.Secara keseluruhan, 2,002 anggota tentera antarabangsa terbunuh sejak pencerobohan diketuai Amerika Syarikat pada 2001, termasuk 1,226 tentera Amerika, 331 (Britain) dan 445 anggota bersekutu lain, kata laman web bebas berkenaan.Hingga tahun ini, 434 tentera asing terkorban, berbanding angka tertinggi kematian 521 orang pada 2009, katanya. 

Kematian terbaru dilaporkan Jumaat lalu dengan tiga askar Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) terkorban dalam insiden berasingan di selatan Afghanistan, lokasi pemberontakan Taliban paling hebat. 

Pada masa ini lebih 140,000 anggota tentera diketuai Amerika dan NATO terbabit dalam operasi memburu saki baki pelampau Taliban, yang terus melakukan penentangan selepas digulingkan tentera penjajah pada 2001. 

Minggu lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata jumlah kematian orang awam dalam perang Afghan meningkat mendadak dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kebanyakannya akibat serangan pemberontak. 
Ia berkata, 1,271 orang awam Afghanistan terkorban pada suku pertama dan tambahan 1,997 lagi cedera. 

Dalam temu ramah televisyen Amerika kelmarin, komander Amerika di Afghanistan, Jeneral David Petraeus, berkata beliau tidak terikat dengan tarikh akhir Julai 2011 untuk mengundurkan tentera Amerika. 

Petraeus, yang mengambil alih kepemimpinan tentera asing bulan lalu, berkata tarikh permulaan pengunduran terhad tentera Amerika ditetapkan Presiden Barack Obama bukan muktamad dan perlu dikaji semula bagi memerangi pengganas. 

“Saya rasa Presiden menerangkan dengan jelas bahawa ia satu proses dan mengikut keadaan,” kata Petraeus dalam rancangan televisyen Meet the Press terbitan NBC. 

Kekuatan Amerika cuba mematahkan serangan pemberontakan Taliban di selatan dengan kekuatan unit terakhir 30,000 orang, akan ditambah kepada 100,000 beberapa minggu akan datang. 

Obama dikritik hebat kerana menyatakan tentera Amerika akan mula pulang pertengahan 2011. Pembangkang berkata ia menghantar mesej bahawa AS enggan berperang dalam jangka panjang dan Taliban berpegang kepada janji itu. – AFP 

‘Elak perang besar’



KUALA LUMPUR 16 Ogos – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria (gambar) mengesahkan tahu siapa dan parti politik mana yang terlibat dalam mewujudkan perlembagaan baru tetapi enggan mendedahkannya.
Beliau berkata, langkah itu bagi mengelakkan berlakunya ‘peperangan besar’ di negara ini.
“Saya tahu siapa, parti politik mana terlibat dalam menubuhkan perlembagaan baru itu. Tetapi saya tidak akan dedahkan, biarlah sekadar memberitahu terdapat kegiatan pihak tertentu untuk mewujudkan perlembagaan baru menggantikan Perlembagaan Persekutuan.
“Sekiranya didedahkan kesannya terlalu besar sehingga boleh mencetuskan peperangan besar di negara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Harussani mendedahkan terdapat kegiatan pihak tertentu mewujudkan ‘perlembagaan baru’ bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan dalam satu Wacana Perpaduan Ummah Dalam Kesedaran Penghakisan Hak Orang Melayu di Taman Budaya, Ipoh, Perak.
Menurut beliau, perlembagaan baru itu menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang.
Mengulas lanjut, Harussani bagaimanapun berkata, beliau mungkin akan mendedahkan maklumat mengenai pihak yang terlibat sekiranya mendapat permintaan daripada kerajaan.
“Buat masa ini tiada pendedahan akan dibuat,” katanya.

Balik kepada hukum Islam jangan buat hukum sendiri

Tangani buang bayi tanggungjawab semua - Jamil Khir

PUTRAJAYA 16 Ogos - Jenayah pembuangan bayi yang kian menjadi-jadi sejak kebelakangan ini perlu ditangani secara bersepadu oleh semua pihak termasuk pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta institusi keluarga.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, masalah tersebut tidak sewajarnya diletakkan semata-mata ke atas badan berkuasa agama kerana banyak faktor yang menyumbang kepada perbuatan terkutuk itu termasuk pengabaian pendidikan agama dan pengetahuan reproduksi.
''Saya selalu sebutkan apabila melihat masalah buang anak, jangan lihat ia sebagai perkara yang memerlukan agensi dan badan tertentu.
''Bagi kes zina, semua orang kena rasa bertanggungjawab, bermula dari peringkat rumahtangga, ibu bapa, pendidikan di sekolah dan selepas waktu sekolah, jadi ini adalah proses holistik untuk masyarakat menanganinya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelepasan konvoi berkereta dan bermotosikal program Jelajah Sahabat Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) 1Malaysia 2010 di Masjid Putra di sini hari ini.
Program jelajah seluruh Semenanjung itu yang akan berakhir di Masjid Kampung Baru pada 30 Ogos ini adalah bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 tahun ini.
Hadir sama Yang Dipertua Yadim, Datuk Aziz Jamaluddin Mhd. Tahir
Beliau ditanya mengenai penyelesaian kepada gejala pembuangan bayi yang kian menjadi-jadi dan saban hari menjadi paparan media massa sejak kebelakangan ini.
Menurut Jamil Khir, tindakan terhadap mereka yang membuang bayi adalah tertakluk kepada undang-undang sivil dan bukannya syariah kerana ia melibatkan masalah penderaan kanak-kanak dan pembunuhan.
''Dalam pendekatan hukuman mahkamah syariah, ia lebih bersifat kalau ada berlaku penzinaan, sumbang mahram dan bersekedudukan tanpa nikah.
''Dari segi hukumannya kita akan berusaha untuk tingkatkannya dari semasa ke semasa," katanya.
Ditanya apakah pendekatan dakwah bagi menangani masalah itu, beliau berkata, usaha itu dilakukan secara berterusan oleh agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), jabatan-jabatan agama negeri (JAIN), Yadim dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) melalui siaran radionya.
Jelas beliau, program Jelajah Sahabat Yadim 1Malaysia 2010 melibatkan 208 peserta dengan menaiki 61 buah kenderaan selama 16 hari sepanjang Ramadan juga merupakan salah satu bentuk dakwah.
''Sepanjang jelajah itu, para peserta akan melakukan aktiviti bersama penduduk setempat di lokasi yang mereka singgah seperti memasak bubur lambuk dan berbuka puasa selain melawat rumah-rumah kebajikan dan perlindungan warga emas serta pondok pengajian," katanya.

Akibat menolak hukum hudud

Kes buang bayi meningkat

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Kes buang bayi di negara ini semakin serius apabila ia meningkat mendadak lebih 54 peratus sejak Januari sehingga hari ini berbanding lapan bulan pertama tahun lalu.
Statistik terbaru dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan, terdapat 65 kes buang bayi dilaporkan di seluruh negara sejak awal tahun ini berbanding hanya 42 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, pihaknya bimbang dengan trend peningkatan kes pembuangan bayi itu.
Sehubungan itu, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertimbangkan untuk menyiasat kes pembuangan bayi di bawah Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan.
"Jika kita lihat ada trend peningkatan (kes pembuangan bayi). Saya nampak dalam akhbar-akhbar banyak kes yang dilaporkan, malah Peguam Negara sudah membuat kenyataan berkaitan isu ini.
"Ketua Polis Negara telah kata laksanakan (Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan) kalau itu boleh selesaikan kes-kes pembuangan bayi," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Pada 12 Ogos lalu, Kabinet mengarahkan mana-mana individu yang terlibat dalam kes buang bayi disiasat mengikut Kanun Keseksaan iaitu perbuatan membunuh atau percubaan membunuh.
Mohd. Bakri menjelaskan, sejak tahun 2005 sehingga kini, terdapat 472 kes buang bayi dilaporkan di seluruh negara.
Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 214 bayi yang ditemui masih hidup manakala 258 lagi sudah meninggal dunia.
"Sepanjang tahun lalu, 79 kes pembuangan bayi dilaporkan iaitu 25 kes membabitkan bayi lelaki, 29 bayi perempuan dan 25 kes lagi tidak dapat dipastikan jantinanya kerana dibuang masih janin.
"Jumlah kes meningkat mendadak sejak Januari sehingga hari ini, apabila sudah ada 65 kes dilaporkan iaitu 26 kes membabitkan bayi lelaki, 25 perempuan dan 14 kes janin," katanya.
Dalam tempoh sama, kata Mohd. Bakri, 21 individu terdiri daripada remaja berusia di bawah 18 tahun ditangkap kerana terbabit dalam kes pembuangan bayi.
Beliau berkata, enam daripada mereka sudah didakwa di mahkamah manakala dua lagi dijatuhi hukuman.
Mohd. Bakri berkata, polis menghadapi masalah mengesan individu bertanggungjawab membuang bayi terbabit kerana masyarakat kurang bekerjasama memberikan maklumat.
"Kita minta orang ramai kalau mengetahui individu tertentu melakukan perbuatan demikian (buang bayi) supaya maklumkan kepada polis," ujarnya.
Ditanya punca peningkatan kes terbabit, Mohd. Bakri berkata, ia mempunyai kaitan dengan teknologi maklumat yang semakin canggih iaitu apabila bahan-bahan lucah di Internet semakin mudah disebar dan diakses oleh orang ramai termasuk golongan remaja.
Selain itu, katanya, kerapuhan institusi keluarga akibat kesibukan ibu bapa bekerja untuk mencari sumber kewangan juga menyumbang kepada masalah tersebut.

Remaja hamil luar nikah meningkat



SEREMBAN 16 Ogos – Percaya atau tidak, sebuah hospital kerajaan di sini menerima dua hingga tiga kes remaja hamil luar nikah setiap hari.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Zainab Nasir, perkara tersebut membimbangkan pihaknya.
“Ini adalah laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri. Kes-kes membabitkan remaja hamil luar nikah seperti ini dilihat semakin meningkat dan membimbangkan kita,” katanya di sini hari ini.
Zainab tidak menafikan terdapat kes membabitkan remaja dalam kalangan pelajar termasuk penuntut institusi pengajian tinggi di negeri ini.
Menurutnya, kerajaan negeri melalui jabatan berkaitan melaksanakan pelbagai program di bawah Jawatankuasa Gadis/Wanita Hamil Luar Nikah dalam usaha menangani permasalahan seperti itu sejak 2008.
“Pelbagai program dilaksanakan seperti seminar dan bengkel untuk remaja khususnya agar mereka menjauhi perkara-perkara seperti ini,” kata beliau.
Bagaimanapun, katanya, usaha tersebut bagaimana pun tidak akan berkesan tanpa pembabitan daripada akar umbi iaitu semua anggota keluarga.
“Dalam perkara seperti ini saya ingin menasihatkan ibu bapa agar sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak gadis mereka. Tidak salah kita sedikit mengongkong dalam hal-hal seperti ini.
“Ibu bapa yang mempunyai anak gadis di kolej atau universiti selalulah jenguk mereka, jangan kita tinggalkan mereka pada hari pendaftaran kemudian biarkan begitu saja tanpa bertanya khabar.
“Elok juga jika kita selalu lakukan ‘pemeriksaan mengejut’ di tempat mereka belajar,” jelasnya.
Katanya, remaja yang hidup jauh daripada keluarga dan tanpa bimbingan ibu bapa akan mudah terpengaruh dengan anasir tidak baik akibat pengaruh rakan-rakan.
“Di sinilah institusi keluarga memainkan peranan, walau sebaik manapun program yang kerajaan buat, akhirnya anggota keluarga jugalah yang utama dalam memberi didikan,” katanya.
Mengenai kes buang bayi di negeri ini, katanya, sebanyak 24 kes dilaporkan sejak 2007 termasuk empat kes pada tahun lepas dan dua kes sehingga Ogos tahun ini.
“Kerajaan negeri sangat menyokong cadangan kerajaan agar mereka yang terbabit dengan kes pembuangan bayi disabitkan dengan hukuman mati.
“Sekurang-kurangnya hukuman ini akan menggerunkan mereka daripada melakukan perbuatan terkutuk itu,” tegasnya.

Felda saman Wan Azizah, 5 lain RM200j



Peguam bagi pihak Felda, Mohd. Hafarizam Harun menunjukkan nota saman yang difailkan di Kuala Lumpur, semalam.



KUALA LUMPUR 16 Ogos – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan sebuah syarikat pelaburannya hari ini memfailkan saman fitnah RM200 juta terhadap enam defendan termasuk penerbit serta pencetak akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Suara Keadilan ekoran penyiaran artikel bertajuk Felda Bangkrap.
Felda dan Felda Global Ventures Holdings Sdn. Bhd. selaku plaintif pertama dan kedua memfailkan writ saman tersebut melalui firma guaman, Tetuan Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 3.11 petang.
Pihak plaintif menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presidennya, Dr. Syed Husin Ali yang disaman atas kapasiti pemegang jawatan dalam parti itu selaku defendan pertama dan kedua.
Penerbit akhbar tersebut, Pelita Koridor Sdn. Bhd. dan pencetaknya, Percetakan NPK Sdn. Bhd. selain penyunting, Dzulkarnain Taib serta penulis, Rusnizam Mahat pula masing-masing dinamakan sebagai defendan ketiga hingga keenam.
PKR dinamakan sebagai penerbit kepada Suara Keadilan tertakluk kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), permit yang telah tamat tempoh pada 30 Jun lalu.
Menurut pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa, akhbar Suara Keadilan dalam edisi 22-29 Jun lalu telah menyiarkan artikel di muka depan bertajuk Felda Bangkrap yang didakwa mengandungi perkataan fitnah.
Selain itu, sebuah lagi artikel dalam edisi yang sama dengan keterangan di muka surat pertama bertajuk Kontroversi berserta gambar dan sambungannya di muka surat 3 bertajuk Bina bangunan RM662 juta hanya libatkan tiga individu turut didakwa mengandungi perkataan fitnah.
Plaintif menyatakan, defendan telah dan masih menerbitkan bahagian pertama perkataan fitnah yang membawa maksud bahawa mereka tidak berupaya membayar hutang, hutang melebihi asetnya, tidak mempunyai kelayakan kredit dan merupakan entiti yang tiada sesiapapun yang ingin melakukan perniagaan bersama.
Dakwa plaintif lagi, defendan telah menerbitkan dan masih lagi menerbitkan bahagian kedua dan ketiga artikel mengandungi perkataan fitnah yang serius dan merupakan fitnah bertulis yang amat memudaratkan serta menjejaskan reputasi plaintif.
Selain itu, fitnah tersebut merupakan suatu yang amat serius yang boleh menyebabkan penghinaan dan aib kepada plaintif di khalayak ramai, masyarakat negara ini dan luar negara selain menyebabkan kerugian yang maksimum.
Menurut plaintif, defendan dengan sengaja menerbitkan perkataan fitnah tersebut walaupun mempunyai pengetahuan bahawa perkara itu tidak benar atau palsu serta cuai dan mengabaikan kejujuran.
Plaintif juga menegaskan bahawa perkataan fitnah telah diterbitkan dengan sengaja dan berniat jahat untuk merosakkan dan memusnahkan reputasi kedua-dua syarikat tersebut.
Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi RM200 juta termasuk ganti rugi keterlaluan, teladan untuk fitnah bertulis atau kepalsuan berniat jahat dan mudarat.
Selain itu, plaintif menuntut faedah pada kadar lapan peratus setahun atas ganti rugi dari tarikh penghakiman sehingga tarikh pembayaran penuh serta injunksi bagi menghalang pihak defendan daripada bercakap atau menerbitkan perkataan fitnah secara lisan atau di media cetak atau Internet.
Plaintif juga memohon perintah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis untuk diterbitkan di akhbar dan majalah dengan bentuknya serta terma akan ditentukan oleh plaintif, kos serta relif-relif lain.