Monday, June 3, 2013

Jual peti sejuk mayat


New Jersey: Peti sejuk memang satu kemudahan yang diperlukan di mana-manapun di dunia.

Bagaimanapun, peti sejuk mayat mungkin sesuatu yang tidak dijangkakan akan menarik minat ramai.
Tetapi, itulah yang berlaku selepas Pejabat Kesihatan Mental Manhattan menawarkan peti sejuk wad psikiatrik Manhattan untuk sesiapa yang berminat. Pejabat itu membuat tawaran menerusi eBay dengan menyatakannya sebagai sudah digunakan tetapi dalam keadaan baik.


Iklan pelik

Tawaran iklan pelik itu menyatakan, peti sejuk itu berwarna perak dengan empat pintu untuk simpanan mayat, berkeadaan sedikit lusuh tetapi beroperasi sepenuhnya.

Peti sejuk itu setinggi 2.4 meter, 1.8 meter lebar. Harga terakhir yang disebut ialah AS$202 (RM606).
Sesuatu yang tidak dijangka ialah ada orang yang membuat tawaran membelinya, lapor akhbar di sini.

Peti sejuk itu mulanya ditawarkan pada Khamis lalu dan ada yang menawarkan AS$10 (RM30) selepas beberapa jam. Tempoh tawaran membelinya akan berakhir lewat bulan ini.

Kali pertama dijual

Jurucakap Pejabat Khidmat Awam yang menjual barangan terpakai kerajaan negeri, mengakui ini kali pertama peti sejuk mayat dijual.

Memang sekali sekali kami akan diminta menjual sesuatu yang luar biasa dan ia termasuk dalam kategori itu, kata Heather Groll.

Katanya, tiada peraturan mengenai pihak yang layak membelinya, semua orang atau agensi boleh membeli serta tiada pemeriksaan ke atas pembeli perlu dilakukan.
Sesiapa juga yang membelinya perlu datang untuk membawanya, jadi tentu orang itu sudah tahu bagaimana melakukannya, kata Groll.

Dia mengakui tidak dapat membuat spekulasi mengenai pihak yang berminat membelinya.

Pejabatnya juga pernah menjual kerusi tukang gunting penjara, kereta polis dan besi buruk menerusi eBay, katanya.
AGENSI 

Bendung jenayah, jangan hina penunggang motosikal


Harakahdaily,03 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Cadangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kepada Kerajaan Persekutuan supaya mewujudkan zon tanpa motosikal di bandar-bandar besar dalam usaha untuk memerangi jenayah adalah satu penghinaan kepada rakyat Malaysia khususnya golongan sederhana dan tidak mampu.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melihat kegagalan pihak polis membendung jenayah cuba diselimutkan dengan cadangan yang mengguris perasaan rakyat seolah-olah menunggang motosikal itu penyumbang jenayah.

“Sepatutnya ketua polis yang baru ini melahirkan cadangan bukan sekadar drastik, tetapi perlu realistik,” ujar Penyelaras Segmentasi Anak Muda dan Permotoran SAMM, Yaser Sheikh Abdul Rahman.

Katanya, SAMM sebagai penggerak anak muda yang rata-ratanya terdiri daripada penunggang motosikal menolak cadangan 'bongkak' Ketua Polis Negara dan menyifatkan ia sebagai cadangan 'bebal' yang prejudis terhadap penunggang motosikal.

Beliau berkata, sedarkah wahai Khalid bahawa rakyat Malaysia memilih untuk menunggang motosikal kerana tidak mampu di atas kekangan ekonomi dan kos kehidupan yang jauh meningkat berbanding jumlah pendapatan.

Ini, katanya kerana kesempitan hidup, motosikal menjadi pilihan walaupun statistik menunjukkan risiko kemalangan yang tinggi.

“Tidakkah pihak polis membuat kajian terlebih dahulu apakah cadangan ini memberi kesan terhadap penambahan jurang antara golongan elitis dan golongan sederhana miskin?” tanya beliau.

Beliau menambah, banyak lagi cadangan yang harus diketengah bagi meningkatkan mutu perkhidmatan anggota polis.

Katanya, antara cadangan yang pernah dikemuka SAMM sendiri ialah, pemansuhan sektor polis istimewa atau 'special branch' yang dikenalpasti tidak menjaga keselamatan awam tetapi hanya memastikan pemerintah terus kekal memerintah.

Menurutnya, polis khas berpakaian preman ini harus diletakkan dalam sektor jenayah yang kritikal dan dimanfaatkan sepenuhnya di atas setiap ringgit cukai rakyat yang dibayar kepada mereka.

Akhir sekali, tegasnya sikap Ketua Polis Negara yang melabel penunggang motosikal sebagai perompak dan penjenayah adalah keterlaluan.

“Khalid perlu sedar bahawa rompakan besar pemimpin rakus pemerintah negara inilah yang menyebabkan lebih ramai rakyat menunggang motosikal,” ujarnya.

Kecam tindakan kurang ajar



NADZIM (kiri) dan beberapa anggota NGO membuat laporan polis berhubung tindakan seorang wanita menghina titah Yang di-Pertuan Agong di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis ke atas pemilik akaun laman sosial Facebook yang didakwa menghina titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini semalam.
Keenam-enam NGO itu ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia, Persatuan Veteran Tentera Melayu, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia Wilayah Persekutuan, Kelab Wartawan Muda dan Kelab Ikatan Ukhwah Malaysia.
Menurut Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, pihaknya meminta supaya polis melakukan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam kes berkenaan.
Jelas beliau, perkara itu tidak boleh dipandang remeh kerana ia umpama racun yang akan merebak dan merosakkan tatasusila masyarakat negara ini jika tidak dibendung dengan serius.
"Budaya masyarakat kita pada hari ini sudah terlalu pelik sehingga terlalu bebas mengkritik tanpa batasan tanpa mengira siapa individu yang mereka kritik," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0603&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2V9e1ANws 
Hakcipta terpelihara 

Nekad saman polis, kerajaan



SAADON menunjukkan dokumen saman yang dibuat ke atas lima pegawai polis dan kerajaan Malaysia di Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Seorang bekas penyampai radio memfailkan saman terhadap lima pegawai polis dan kerajaan Malaysia di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin lalu kerana mendakwa ditahan dan digari tanpa perintah reman mahkamah di lokap Balai Polis Kota Setar awal tahun lalu.
Saadon Awang, 47, menamakan Inspektor Aida, Inspektor Amirul, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Setar, Ketua Polis Daerah Kota Setar dan Ketua Polis Kedah masing-masing sebagai defendan pertama hingga kelima.
Saadon selaku plaintif turut menamakan kerajaan Malaysia sebagai defendan. Kesemua defendan didakwa melanggar Artikel 5(4) Perlembagaan Persekutuan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0603&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2V9dWpbMh 
Hakcipta terpelihara 

Lebih 50,000 undi ‘hilang’ di seluruh negara, pengundi lapor polis


(Masdar Wahid)
PETALING JAYA, 3 JUN: Seorang pengundi, Mohd Azlan Mohd Sharif membuat enam laporan polis menuntut siasatan berhubung keputusan pilihan raya umum ke-13 yang digazetkan 22 Mei lalu berbeza dengan yang diumum pegawai pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui borang 16.
azlan_shariff_lapor_polis
Beliau mendapati sebanyak 53,045 kertas undi ‘hilang’ melibatkan semua kerusi Parlimen dan DUN seluruh negara kecuali DUN Sungai Acheh, Pulau Pinang, DUN Banggi dan DUN Labuk, Sabah.
Borang 16 ialah Borang Pengisytiharan Keputusan pilihan raya daripada 222 kawasan Parlimen dan 505 kawasan Dewan Undangan Negeri di seluruh negara.
“Ia satu kesalahan jenayah mengikut seksyen 3(1)(h) dan seksyen 6 (2) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Maka jelas polis dan SPR yang bertugas pada hari, masa dan tempat mengundi bersubahat, membenarkan dan melakukan jenayah ini,” katanya dipetik dalam laporan polisnya yang pertama.
laporan polis
Mohd Azlan, pengundi DUN Sungai Balang dan parlimen Muar, Johor membuat semua laporan itu di balai polis Klang pada 30 Mei.

Enam laporan melibatkan kehilangan kertas undi, salah kira undi, maklumat yang sudah berubah, perbezaan kertas undi yang dikeluar di parlimen dan DUN, maklumat kerusi parlimen dan DUN berbeza sebelum dan selepas diwartakan dan kecuaian anggota polis.
laporan polis 1 jumlah undi hilang
“Saya tidak nampak, tidak tahu, tidak terdengar, tidak terbaca apa-apa berita mengatakan ada tangkapan oleh SPR atau polis terhadap mana-mana pihak yang membawa keluar atau menghilangkan kertas undi yang telah dikeluarkan,” kata Azlan.

Katanya. kemenangan semua calon bagi setiap kerusi itu pada PRU lalu adalah tidak sah dan terbatal sehinggalah kertas undi itu disemak dan disahkan semula.
“Tujuan enam laporan dibuat agar pihak berkuasa termasuk polis menyiasatnya. Sebagai rakyat Malaysia, saya menjunjung semangat Perlembagaan dan Rukun Negara khususnya Keluhuran dan Kedaulatan Undang-undang.
laporan polis 5 table bukti
Dalam laporan polisnya yang keenam, beliau mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengambil tindakan tegas terhadap pegawainya yang cuai menjalankan tugas pada PRU lalu.

“Saya minta KPN menyiasat, menangkap dan mengambil tindakan terhadap pegawai polis yang bertugas pada masa itu disebabkan terbukti cuai, tidak amanah, tidak melaksanakan tanggungjawabnya dan membenarkan jenayah berlaku didepan matanya,” katanya lagi.

Muka Madonna bengkak cetus kontroversi



MUKA Madonna kelihatan bengkak semasa dia menjadi hos konsert The Sound of Change di Stadium Twickenham di London pada Sabtu lalu.


LONDON - Beberapa peminat memberikan komen di Twitter kelmarin berhubung muka Madonna yang kelihatan bengkak semasa dia menjadi pengacara konsert The Sound of Change di Stadium Twickenham di sini, lapor akhbar dalam talian MailOnline semalam.
Konsert itu diadakan bagi memperjuangkan hak-hak wanita di seluruh dunia.
Bagaimanapun, beberapa peminat berjaya mengesan perubahan wajah Madonna itu yang kelihatan bengkak.
"Madonna, tolonglah jangan mengotorkan muka anda. Ia sepatutnya menjadi muka yang cantik dan ia kini kelihatan ganjil," kata seorang peminatnya.
Seorang lagi peminat menyatakan, wajahnya kelihatan pelik sejak akhir-akhir ini.
Salah seorang peminat Madonna turut memberi komen dengan meminta penyanyi tersebut tidak melakukan sebarang perubahan.
Sebelum ini, penyanyi itu kelihatan anggun dan mukannya tidak bengkak semasa dia menghadiri Anugerah Muzik Billboard di Arena Grand MGM, Las Vegas pada 19 Mei lalu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0603&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm#ixzz2V9bWIbFD 
Hakcipta terpelihara 

Erdogan salahkan pembangkang



BEBERAPA orang melintasi sebuah bas yang rosak akibat tunjuk perasaan anti-Erdogan di Dataran Taksim di Istanbul semalam.- AFP


ANKARA - Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan semalam menuduh parti sekular utama Turki sebagai punca memuncaknya gelombang tunjuk perasaan antipemerintahannya.
Erdogan menyatakan, beliau akan meneruskan rancangan untuk membangunkan semula Dataran Taksim walaupun mendapat bantahan daripada sejumlah penduduk.
Beliau menyalahkan Parti Republik Rakyat (CHP) yang ditubuhkan pada tahun 1924 oleh pengasas Turki moden, Mustafa Kemal Ataturk sebagai punca meningkatnya gelombang tunjuk perasaan itu.
"Kami berpendapat, parti pembangkang utama yang membuat desakan penentangan di jalan-jalan raya sebagai menghasut tunjuk perasaan tersebut," katanya menerusi ucapan di televisyen.
Erdogan juga menafikan dakwaan bahawa beliau merupakan seorang pemimpin diktator.
"Jika mereka memanggil seseorang yang berkhidmat sebagai diktator, saya tidak mempunyai apa-apa untuk diperkatakan," katanya pada satu lagi ucapan semasa pertemuannya dengan imigran dari negara-negara Balkan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0603&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2V9azXpE6 
Hakcipta terpelihara 

Lagi tunjuk perasaan anti-Erdogan


BEBERAPA orang penunjuk perasaan bertempur dengan anggota-anggota polis pencegah rusuhan dekat sebuah istana pada zaman Ottoman di Istanbul kelmarin.


ANKARA - Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air semalam ke arah sekumpulan penunjuk perasaan di Ankara.
Tunjuk perasaan yang menentang pemerintahan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan itu telah memasuki hari ketiga.
Anggota-anggota pihak berkuasa turut mengambil beberapa langkah untuk menghentikan kira-kira 1,000 orang penunjuk perasaan yang mahu berarak ke pejabat Erdogan.
Rangkaian televisyen swasta, NTV menyiarkan beberapa imej tunjuk perasaan itu di Dataran Kizilay.
Tunjuk perasaan yang merebak ke seluruh negara itu bermula selepas sekumpulan penduduk tempatan membantah rancangan untuk membangunkan semula sebuah taman dekat Dataran Taksim di Istanbul.
Rancangan yang diatur oleh Erdogan itu adalah untuk membangunkan semula dataran tersebut yang melibatkan 600 buah pokok ditebang.
Rancangan itu juga melibatkan pembinaan sebuah replika berek tentera pada era zaman Empayar Ottoman dengan tujuan untuk menempatkan sebuah pusat kebudayaan.
Bagaimanapun, penduduk yang tinggal berdekatan di kawasan itu bimbang ia akan menjadi sebuah kawasan beli-belah.
Pihak berkuasa perbandaran Istanbul yang dikuasai oleh Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) telah memerintah Turki sejak tahun 2002.
Sejumlah kenderaan dan terbalik dalam tunjuk perasaan itu yang kemudian bertukar menjadi antipentadbiran Erdogan.
Menteri Dalam Negeri, Muammer Guler menyatakan, lebih 1,700 orang telah ditahan dalam tunjuk perasaan antipemerintah itu.
Tunjuk perasaan itu telah merebak ke 67 buah bandar.
"Sejumlah besar tahanan telah dibebaskan selepas disoal siasat dan identiti mereka dikenal pasti," katanya.
Menurutnya, negara ini berdepan dengan 235 tunjuk perasaan sejak Selasa lalu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0603&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2V9aVe0Yy 
Hakcipta terpelihara 

Kalau nak tahu siapa dia lihat kawan dia....

Peguam Negara jawab kenyataan Dr Khir

Abdul Gani Patail
Tan Sri Abdul Gani Patail
BERIKUT adalah kenyataan penuh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung pernyataan bertulis Blog Dr Mohamad Khir Toyo:

Dr Mohamad Khir Toyo telah meluahkan ketidakpuasan hati beliau terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang dibuat pada 30 Mei 2013 dan dalam banyak hal, beliau mempertikaikan beberapa isu yang telah diputuskan oleh mahkamah berkenaan.

Beliau menegaskan untuk kesekelian kali bahawa beliau telah membeli rumah atau hartanah yang berkenaan berdasarkan kepada harga pasaran semasa iaitu RM3.5 juta. Khir Toyo  juga menyatakan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan, khususnya kesalahan rasuah dalam kes ini.
Beliau juga menyatakan beliau tidak memberi apa-apa keistimewaan kepada Shamsuddin Haironi iaitu saksi kedua pendakwaan yang menjual rumah tersebut dengan harga RM3.5 juta kepada beliau. Segala urusan di antara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)  yang mana Khir Toyo adalah Pengerusinya ketika itu dan syarikat Bidara Lumayan Sdn Bhd, yang mana Shamsuddin adalah Pengarahnya, dikatakan mengikut prosedur.

Namun, itu  hanyalah secarik  fakta  dari keseluruhan fakta kes yang dibentangkan oleh pihak pendakwaan di mahkamah sehingga meyakinkan pihak hakim bahawa tiada keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan bahawa Khir Toyo bersalah di bawah pertuduhan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Keterangan yang telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan terhadap Khir Toyo dan hasil penelitian keterangan atau bukti oleh Hakim iaitu dari peringkat Mahkamah Tinggi sehinggalah ke peringkat Mahkamah Rayuan, telah memutuskan harga pasaran bukanlah kayu pengukur dalam menentukan pengertian pembalasan yang mencukupi (sufficient consideration) di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Para hakim telah memutuskan bahawa ia berdasarkan kepada ‘keadaaan kes’ atau circumstances of the case. Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada nas-nas undang-undang yang sedia ada dan juga semangat di sebalik kewujudan peruntukan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Dalam kes ini, Pendakwaan bukan sahaja telah membuktikan bahawa RM3.5 juta itu tidak memadai atau mencukupi bagi harta yang dibeli oleh Khir Toyo  daripada Shamsuddin,  malahan juga telah membuktikan wujud perancangan teliti Khir Toyo  untuk memiliki hartanah tersebut sejak tahun 2004 (tahun di mana Khir Toyo mula bertanyakan harga rumah tersebut) sehinggalah Mei 2007 iaitu tahun di mana perjanjian jual beli rumah tersebut ditandatangani antara Khir Toyo dan Shamsuddin.

Fakta kes ini bukanlah semudah yang dinyatakan oleh Khir Toyo. Namun, yang menjadi teras adalah Khir Toyo telah membeli hartanah tersebut dengan harga RM3.5 juta daripada Shamsudin sedangkan Shamsudin telah membeli hartanah tersebut dengan harga RM6.6 juta.

Suatu jumlah yang tidak akan dijual oleh sesiapa kecuali atas sebab yang munasabah atau kerana terdesak atau kerana masalah kewangan, yang mana tidak berlaku dalam kes ini. Pembelian oleh Shamsuddin itu pula adalah atas arahan Khir Toyo sendiri.

Setelah hartanah tersebut dibeli oleh Shamsuddin, Khir Toyo  telah mengarahkan Shamsuddin untuk menguna khidmat seorang kontraktor yang bernama Nasir Ismail iaitu saksi ketiga Pendakwaan untuk mengubah suai rumah yang sedia ada di atas tanah tersebut kepada reka bentuk Bali.

Pada peringkat awal ubah suai ini, Nasir telah menerima bayaran secara peringkat sehingga berjumlah RM1.5 juta daripada Shamsuddin atas arahan Khir Toyo dan bayaran seterusnya dibuat oleh Khir Toyo sendiri.

Ini berlaku dalam tahun 2006, yang mana ketika itu hartanah tersebut masih berdaftar atas nama syarikat Ditamas Sdn Bhd, yang mana Shamsuddin adalah salah seorang Pengarahnya.

Dalam tahun 2007, Khir Toyo telah menyatakan hasrat kepada Shamsuddin bahawa beliau ingin membeli hartanah tersebut. Pada ketika ini, Shamsuddin telah membelanjakan RM1.5 juta untuk mengubah suai rumah berkenaan mengikut kehendak Khir Toyo sendiri.

Memandangkan Shamsuddin telah menggunakan wang beliau sejumlah RM6.5 juta untuk membeli rumah tersebut dari pemilik asal, maka Shamsuddin pada awalnya bersedia untuk menjual hartanah tersebut kepada Khir Toyo pada harga RM5 juta hingga RM5.5 juta. Namun tidak dipersetujui oleh Khir  Toyo.

Selanjutnya Khir Toyo menyatakan beliau akan membeli pada harga RM3.5 juta sahaja. Keterangan Shamsuddin di mahkamah menunjukkan beliau telah bersetuju dengan harga itu kerana bimbang urusan perniagaan beliau dengan PKNS akan terjejas sekiranya tidak bersetuju. Keterangan ini menyangkal wujudnya elemen ‘willing buyer willing seller’.

Khir Toyo  seterusnya telah melantik HSBC untuk membuat pinjaman bagi membiayai pembelian rumah tersebut. Khir Toyo sendiri telah memaklumkan kepada pegawai  bank berkenaan iaitu saksi pendakwaan ke-14 yang beliau ingin membuat pinjaman sebanyak RM3.5 juta.

Pihak HSBC seterusnya telah melantik Rahim and Co untuk membuat laporan penilaian dan ternyata laporan tersebut menyatakan harga hartanah adalah RM3.5 juta seperti yang dikehendaki Khir Toyo.

Keterangan Nasir bahawa beliau telah diarah oleh Khir Toyo sendiri untuk mengubah suai rumah tersebut sejak 2006 lagi iaitu sebelum perjanjian jual beli antara Khir Toyo dan Shamsuddin termeterai dalam tahun 2007, disokong dengan keterangan pekerja beliau dan dokumen.

Khir Toyo  menyatakan beliau hanya mengupah Nasir pada tahun 2007 iaitu setelah perjanjian jual beli dengan Shamsuddin dimeterai adalah kenyataan tidak berasas. Nasir sendiri telah mengemukakan pelan ubah suai rumah tersebut, yang bertarikh April 2006, kepada pihak Majlis Bandaraya dan ini disokong oleh pekerja beliau yang melukis pelan tersebut iaitu saksi ke-19 pendakwaan.

Khir Toyo menegaskan hartanah dibeli berdasarkan harga semasa tetapi beliau tidak menyatakan fakta keseluruhan kes ini iaitu di mana beliau telah melawat rumah atau hartanah tersebut pada awal tahun 2004 dan Khir Toyo juga telah memberitahu pemilik asal hartanah tersebut pada ketika itu bahawa harga jualan RM7 juta adalah mahal dan pada hampir pertengahan tahun 2004, Khir Toyo telah mengarahkan Shamsuddin membeli hartanah tersebut dan seterusnya pada tahun 2006 melantik Nasir untuk mengubah suai rumah tersebut dan hanya pada tahun 2007 menyatakan hasrat untuk membeli hartanah tersebut daripada Shamsuddin dengan harga RM3.5 juta.

Khir Toyo  amat maklum bahawa Shamsuddin akan kerugian jika ia dijual pada harga tersebut. Shamsuddin sendiri telah membayar RM6.5 juta untuk membeli hartanah tersebut dan telah membelanjakan RM1.5 juta untuk mengubah suai rumah tersebut mengikut kehendak Khir Toyo.

Semua fakta di atas adalah keterangan yang telah dikemukakan di mahkamah semasa perbicaraan dan dokumen-dokumen yang diterima oleh mahkamah mengikut prinsip undang-undang dan disoal panjang lebar oleh barisan peguam Khir Toyo. Namun fakta ini tidak dinyatakan oleh Khir Toyo  dalam blognya pada 31 Mei 2013.

Dalam situasi di atas, apakah wajar Khir Toyo menyatakan beliau tidak bersalah di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan kononnya hartanah dibeli mengikut harga pasaran semasa. Adakah para hakim tersilap menilai keterangan atau tidak arif akan peruntukan undang-undang yang sedia ada sedangkan bukti adalah kukuh.

Segala perancangan teliti Khir Toyo  untuk membeli hartanah tersebut dan menggunakan Shamsuddin untuk mencapai hasrat beliau ini jelas menunjukkan kesalahan yang dilakukan kerana beliau telah menyalahgunakan kedudukan atau pengaruhnya selaku Pengerusi PKNS terhadap seorang yang berurus niaga dengan PKNS.

Khir Toyo juga menyatakan bahawa sehingga ke peringkat rayuan, para Hakim Mahkamah Rayuan masih gagal memutuskan apakah ‘benchmark’ atau tanda aras untuk menyatakan pembelian ini merupakan satu balasan yang mencukupi.

Pernyataan Khir Toyo ini menghampiri batasan menghina mahkamah dan tidak menghormati barisan peguamnya sendiri. Para Hakim dengan bijaksana telah mengupas isu ini dengan panjang lebar dan teliti dalam penghakiman yang dikemukakan pada hari keputusan.

Salah satu isu yang diputuskan oleh para hakim adalah berhubung perkara ini iaitu adakah ‘market price’ menjadi kayu pengukur untuk menentukan sama ada balasan yang diberikan itu memadai atau tidak. Hanya kerana para Hakim Mahkamah Rayuan tidak menerima hujah Khir Toyo tidak bererti isu ini tidak berjawab.

Para Hakim Mahkamah Rayuan telah menjelaskan mereka bersependapat dengan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa ‘market price’ atau harga pasaran semasa bukanlah kayu pengukur, sebaliknya ia perlu dilihat bersandarkan keadaaan  atau ‘circumtances’ kes ini. Dapatan ini bukanlah dibuat begitu saja, tetapi berdasarkan kepada nas-nas yang kukuh dan semangat (spirit) kewujudan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Tertuduh mempersoalkan bahawa tidak wajar bagi beliau membeli rumah tersebut dengan harga RM6.5 juta kerana keadaan rumah yang separuh siap pada masa itu. Namun, beliau tidak pula memikirkan ketidakwajaran Shamsuddin untuk menjual rumah tersebut dengan harga RM3.5 juta sedangkan Shamsuddin telah membelanjakan hampir RM7 juta iaitu harga belian dan kos untuk mengubah suai rumahnya.

Shamsuddin pada masa itu adalah seorang yang tidak menghadapi masalah kewangan. Oleh itu, mengapa beliau harus terdesak untuk menjual hartanah tersebut dengan harga jauh lebih murah berbanding wang yang telah dibelanjakan.

Atas sebab ini, para hakim telah menyatakan Khir Toyo sebenarnya tahu harga sebenar rumah itu, yang telah dibayar oleh Shamsuddin. Namun beliau masih bersahaja meminta Shamsuddin agar menjual rumah itu hanya pada harga RM3.5 juta. Keterangan juga membuktikan Khir Toyo sendiri telah bertanya kepada pemilik asal hartanah tersebut pada awal tahun 2004, dan beliau telah ditawar harga jualan RM7 juta.

Oleh itu, Khir Toyo seharusnya tidak mengaburi fakta kes ini dengan mendakwa hakim tidak menyatakan apakah tanda aras yang boleh digunakan, sedangkan beliau telah dibuktikan telah menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan atau membeli hartanah itu dengan harga yang beliau ketahui tidak munasabah sama sekali dari pemiliknya.

Keputusan yang dibuat oleh hakim-hakim adalah setelah menilai keseluruhan keterangan yang ada. Penyataan Khir Toyo mempertikaikan keputusan hakim-hakim yang tidak menerima pakai laporan penilaian hartanah dari Rahim and Co jelas menunjukkan Khir Toyo sengaja untuk tidak memahami mengapa penilaian ini ditolak.

Para hakim telah menjelaskan bahawa penilaian ini tidak diterima, pertama kerana harga pasaran bukan kayu pengukur, kedua laporan tersebut sendiri jelas menyatakan ia tidak boleh digunakan sebagai bahan rujukan di mahkamah, dan ketiga keterangan membuktikan bahawa harga RM3.5 juta tersebut adalah harga yang ditetapkan sendiri oleh Khir Toyo kepada pegawai bank berkenaaan. Pegawai bank ini adalah saksi yang tidak berkepentingan sama sekali dalam kes ini.

Pertuduhan terhadap Khir Toyo  adalah berdasarkan kepada keterangan yang kukuh dan bukan atas faktor politik atau menjadikan Khir Toyo  sebagai ‘kambing hitam’.

Khir Toyo  telah diwakili oleh barisan peguam yang ternama dan berpengalaman, malahan kes ini telah sampai ke peringkat Mahkamah Rayuan, yang telah didengar oleh tiga hakim kanan yang bijaksana.

Seharusnya Khir Toyo  berhati-hati dan bijak dalam membuat sesuatu andaian, apatah lagi andaian yang tidak berasas. Tambahan pula kes ini telah dibicarakan dengan sepenuhnya dan telah diputuskan berdasarkan prinsip undang-undang dan sistem keadilan jenayah Malaysia.

Berhubung dakwaan Khir Toyo bahawa kes ini bukan rasuah, adalah ditegaskan bahawa Seksyen 165 Kanun Keseksaan merupakan satu kesalahan berjadual (prescribed offence) di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 (pada ketika kesalahan dilakukan), berhubung kesalahan yang dilakukan oleh seorang pegawai atau kakitangan kerajaan yang menerima atau memperolehi sesuatu daripada seseorang yang beliau mengetahui mempunyai urusan rasmi dengan beliau tanpa balasan yang mencukupi.

Seksyen 165 Kanun Keseksaan adalah dikategorikan sebagai kesalahan rasuah juga kerana ia berhubung penyalahgunaaan kedudukan secara tidak langsung terhadap individu berkenaan.

Hukuman  maksimum bagi kesalahan ini adalah dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekala. Ia berbeza dengan kesalahan rasuah yang nyata yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Saya ingin menegaskan bahawa tidak pernah ada sebarang bentuk campur tangan politik ke atas saya. Saya membuat keputusan untuk mendakwa kes ini berdasarkan kepada keterangan yang diperoleh dari hasil siasatan yang telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan bersandarkan kepada peruntukan undang-undang yang sedia ada, sama ada untuk menuduh Khir Toyo atau sebaliknya.

Saya juga ingin menegaskan bahawa Perdana Menteri tidak pernah campur tangan dalam soal mengenakan pertuduhan terhadap sesiapa pun. Tidak pernah ada campur tangan politik dan tidak akan dibiarkan campur tangan politik dalam perkara-perkara yang melibatkan Jabatan Peguam Negara.


Daripada menuding jari ke atas mana-mana pihak kononnya wujud unsur konspirasi atau tekanan, langkah terbaik yang Khir Toyo perlu ambil ialah menyediakan pembelaan beliau di peringkat rayuan Mahkamah Persekutuan.

Tan Sri Abdul Gani Patail
Peguam Negara Malaysia
1 Jun 2013

Pelakon watak Malala dirahsiakan

Pelakon watak Malala dirahsiakanWajah pelakon membawa watak Malala dirahsiakan atas faktor keselamatan.
NEW DELHI - Identiti remaja yang bakal membawa watak ikon remaja dunia, Malala Yousafzai bagi filem biografi Gul Makai arahan Amjad Khan terpaksa dirahsiakan kerana bimbang menjadi sasaran dendam kumpulan militan Taliban.

Khan berkata, pelakon berusia 16 tahun itu hanya dikenali sebagai Fatima Sheikh berasal dari Bangladesh.

“Fatima tidak mempunyai pengalaman berlakon. Kami memilihnya kerana raut wajah beliau seiras Malala. Kami yakin Fatimah dapat menjiwai watak tersebut,” katanya dalam laporan Reuters.

Menurutnya, penggambaran dilakukan sekitar London, Pakistan, Iran dan India bermula bulan hadapan.

“Tajuk Gul Makai dipilih sebagai merujuk kepada laman blog asal Malala yang banyak mencatatkan perjuangannya dalam membela nasib remaja konservatif di Pakistan,” katanya.

Bagaimanapun, baru-baru ini Khan menyiarkan gambar sisi Fatimah ketika didesak media tempatan di India.

Kejadian itu menyebabkan ibu bapa pelakon tersebut mulai bimbang kerana berkemungkinan anaknya bakal menjadi mangsa serangan Taliban.

Oktober lalu, Malala ditembak ketika dalam perjalanan ke sekolah selepas kumpulan militan memecah masuk ke bas sekolahnya di Swat, utara Pakistan.

Beliau kemudiannya diterbangkan ke Britain untuk menjalani rawatan pakar di Hospital Queen Elizabeth, Birmingham.

Dasar perancangan keluarga

Dasar perancangan keluargaDasar perancangan keluarga
DASAR dua anak dalam sebuah keluarga diperkenalkan untuk mengehadkan bilangan penduduk dalam sesebuah negara. Beberapa negara seperti China dan Singapura menggunakan dasar itu untuk mengawal pertumbuhan penduduk sejak lebih tiga dekad lalu.

Dasar berbentuk penganiayaan kepada golongan wanita tersebut bakal dilaksanakan di Myanmar, namun ia dikecam negara antarabangsa kerana peraturan itu hanya dikenakan terhadap penduduk Islam Rohingya yang selama ini menjadi mangsa diskriminasi kaum dan penindasan kerajaan secara berterusan.


China

Dasar satu anak dalam sebuah keluarga di China dilaksanakan pada 1979 dan ia kekal digunakan hingga kini walaupun keadaan politik dan sosial telah berubah sejak lebih tiga dekad lalu.

Ia dicadangkan setahun sebelum itu selepas kerajaan percaya  pertumbuhan penduduk yang pesat akan memberi cabaran lebih besar kepada pembangunan di negara tersebut.

Difahamkan, perkhidmatan perancang keluarga yang bertujuan untuk menjaga kesihatan ibu dan anak sudah mula diperkenalkan sejak 1953.
Langkah yang diambil kerajaan itu telah menyebabkan kadar kematian menurun dan populasi penduduk meningkat secara mendadak kepada 2.8 peratus atau pertambahan seramai 250 juta orang penduduk menjelang 1970.

Selepas satu abad berlaku pemberontakan, peperangan, wabak, dan kejatuhan empayar berkuasa hanya menyaksikan pertumbuhan populasi di China hanya mencecah kurang daripada 0.3 peratus setahun.

Pertumbuhan pesat semasa era 1970-an itu menyebabkan tekanan yang besar kepada kerajaan untuk memenuhi keperluan rakyat.

Rancangan China keempat bagi tempoh lima tahun yang diumumkan pada 1970 turut pertama kali mengandungi sasaran pertumbuhan penduduk.

Perkhidmatan perancang keluarga dan pengguguran juga telah diperluaskan ke kawasan pedalaman.

Dalam tempoh lima tahun, kadar pertumbuhan populasi penduduk menurun sekitar 1.8 peratus dan kerajaan menetapkan sasaran 1.0 peratus pada 1980.

Menjelang 1982, jumlah penduduk di China sudah mencecah lebih satu bilion dan angka itu menyebabkan kerajaan mula menetapkan matlamat untuK memastikan populasi penduduk hanya seramai 1.2 bilion pada 2000.

Di beberapa bandar besar dan maju seperti Shanghai , kebanyakan pasangan  memilih untuk mempunyai seorang anak atas faktor kesibukan bekerja selain peruntukan rumah yang hanya berkeluasan 3.6 meter persegi untuk setiap individu pada 1977.

Dalam kebanyakan keluarga, sekurang-kurangnya seorang daripada mereka ialah penjawat awam dan perkara tersebut menjadikan individu itu terpaksa akur dengan perintah kerajaan.

Walaupun dasar itu dikuatkuasakan secara menyeluruh di kawasan bandar, namun ia dilaksanakan secara berbeza mengikut kawasan.

Di kebanyakan kawasan pedalaman, keluarga dibenarkan untuk mempunyai anak kedua jika anak pertama mereka ialah perempuan atau mengalami kecacatan fizikal, mental atau terencat akal dan jarak kelahiran pula biasanya tiga atau empat tahun.

Keluarga yang melanggar dasar itu akan dikenakan denda dan golongan miskin menganggap ia seperti satu bentuk penindasan kepada mereka.

Setiap kampung ditempatkan pegawai perancang keluarga yang akan merekodkan kitaran haid dan keputusan ujian kehamilan kerana jika mana-mana wanita didapati hamil tanpa kebenaran serta tidak berkemampuan untuk membayar denda 20,000 yuan (RM10,100) akan dipaksa untuk menggugurkan kandungan tersebut.


Singapura

Kawalan populasi di negara itu meliputi dua fasa iaitu untuk melambatkan kelahiran selepas Perang Dunia Kedua dan bermula 1980-an kerajaan menggalakkan pasangan berkahwin untuk mempunyai lebih ramai anak berikutan angka kelahiran menurun di bawah tahap penggantian.

Pada 1960-an dan 1970-an, dasar antinatalist (mengehadkan pertumbuhan penduduk) telah berkembang dan Lembaga Populasi dan Perancang Keluarga (FPPB) turut ditubuhkan.

Menjelang akhir 1960-an, Singapura masih sebuah negara membangun dan belum melalui proses peralihan demografi.

Susulan daripada itu, bekas Perdana Menteri, Lee Kuan Yew melancarkan kempen perancang keluarga, Stop at Two selepas beliau khuatir jika pertumbuhan penduduk membebankan pembangunan ekonomi.

Pengguguran dan pemandulan adalah sah di sisi undang-undang pada 1970.

Golongan wanita juga digesa untuk menjalani proses dimandulkan selepas kelahiran anak kedua.

Wanita yang tidak mempunyai tahap pendidikan tinggi, berpendapatan rendah turut ditawarkan cuti sakit bergaji selama tujuh hari dan insentif wang tunai S$10,000 (RM24,500) jika mereka dengan rela mahu menjalani prosedur tersebut.   

Selain itu, kerajaan juga mengenakan hukuman kepada pasangan yang mempunyai lebih dua anak antara 1969 dan 1972 serta meningkatkan kos sara setiap anak.

Selepas beberapa tahun, Singapura mula melalui proses peralihan demografi selepas kadar kelahiran jatuh secara mendadak.

Kerajaan akhirnya mengubah pendirian mereka menjadi pronatalist dan mengumumkan secara rasmi sebuah keluarga boleh memiliki tiga anak atau lebih (jika berkemampuan) pada 1987.

Usaha untuk memiliki populasi berkualiti diteruskan dengan menggalakkan keluarga berpendapatan rendah untuk mempunyai anak.

Pada 30 Jun 1986, kerajaan telah memansuhkan FPPB dan bekas Perdana Menteri, Goh Chok Tong telah melancarkan slogan baru: Have Three or More (if you can afford it) selepas kadar kesuburan di negara itu menurun kepada 1.44.

Kerajaan juga menggalakkan golongan lelaki untuk memilih wanita dalam kalangan berpendidikan tinggi sebagai isteri di bawah Unit Pembangunan Sosial (SDU) yang ditubuhkan pada 1980-an.

Pada 2009, SDU ditukarkan kepada Rangkaian Pembangunan Sosial untuk menggalakkan pasangan di Singapura berkahwin dalam usaha bagi mengembalikan kadar kelahiran di negara itu.

Awal tahun lalu, kerajaan Singapura menjangkakan populasi di negara itu meningkat kepada 30 peratus antara 6.5 juta dan 6.9 juta menjelang 2030 dengan 45 peratus warga asing daripada jumlah itu.

Menurut kerajaan, kemasukan warga asing diperlukan untuk bantu mengimbangi kadar kelahiran dan penuaan penduduk di negara itu selain mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi.

Tahap kesuburan 1.2 yang mewakili jumlah anak dilahirkan seorang wanita juga kekal berada di bawah kadar penggantian sejak lebih tiga dekad lalu.

Perkara yang paling membimbangkan pada masa ini ialah jumlah penduduk Singapura dijangka berkurangan dan kerajaan mungkin terpaksa bergantung dengan menggalakkan kemasukan warga asing.

Majlis Syura tak sah

KAHERAH - Mahkamah Tinggi Perlembagaan Mesir semalam mengisytiharkan barisan  Dewan Negara dan panel penggubal  Perlembagaan di Mesir sebagai tidak sah.

Dipetik Reuters, akhbar Ahram melaporkan, Dewan Negara (Majlis Syura) akan dibubarkan selepas barisan anggota Kabinet dilantik.

November lalu, Presiden Mesir, Mohamed Mursi mengeluarkan dekri menghalang mahkamah daripada mengekang sebarang keputusan beliau dalam urusan pentadbiran sehingga Perlembagaan baru digubal.

Ekoran daripada tindakan itu, pentadbiran beliau diprotes ribuan propembangkang  dan para hakim sehingga memaksa beberapa kandungan Perlembagaan dikaji semula, dibatalkan serta digubal sebelum disahkan.

Protes Turki merebak di AS

Protes Turki merebak di ASRatusan aktivis pergerakan Occupy Wall Street berarak di New York.
NEW YORK - Perhimpunan antikerajaan di ibu negara Turki yang kini masuk hari ketiga dilaporkan merebak di New York, Amerika Syarikat (AS).

Dipetik Press TV, perhimpunan yang disertai pergerakan Occupy Wall Street turut berhimpun di Wall Street bagi menyatakan sokongan kepada bantahan besar-besaran di Istanbul terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan.

Media tempatan melaporkan, penunjuk perasaan berkumpul di Zuccotti Park sebelum berarak ke Lower Manhattan sejauh lima kilometer sebelum menuju ke Pejabat Konsulat Turki.

Menurut Pergerakan Occupy Wall Street, perhimpunan itu diadakan bagi mengalih pandangan masyarakat supaya menyokong protes yang berlaku di Istanbul Gezi Park.

Kelmarin, kira-kira 5,000 penunjuk perasaan mengepung pejabat Erdogan di Besiktas hingga memaksa anggota keselamatan melepaskan gas pemedih mata dan meriam air.