Friday, December 24, 2010

Jamu selera dalam kelambu



PADANG KERASAK - Kebanyakan rumah penduduk kampung di sini terpaksa berdepan masalah gangguan lalat sejak empat tahun lalu yang difahamkan berpunca dari ladang ayam berdekatan.

Penduduk, Saiful Nadzwan Saad berkata, sebelum ini masalah berkenaan sudah beberapa kali dikeluarkan akhbar, tetapi tiada sebarang tindakan diambil untuk menangani masalah itu.

Menurutnya, sebelum ini hanya satu sahaja ladang ayam beroperasi di sekitar kampung itu, namun mula bertambah kepada tiga sejak dua tahun lalu menyebabkan penduduk menghadapi gangguan lalat pada siang dan malam.

“Setiap hari ruang rumah terutamanya pada bahagian dapur dipenuhi lalat menyebabkan rasa tidak selesa. Lalat dari ladang ayam itu juga jinak sehingga orang pun turut dihurung,” katanya kepada Sinar Harian.

Saiful berkata, setiap kali adanya majlis kenduri yang dianjurkan, penduduk kampung terpaksa berdepan masalah tersebut sehingga ada dalam kalangan tetamu pada majlis kenduri terpaksa menjamu selera dalam kelambu, bagi mengelakkan gangguan lalat ketika makan.

“Kami malu pada orang luar yang datang ke sini terutamanya pada musim kenduri, kerana terpaksa berperang dengan lalat ketika hendak makan,” katanya.

Penduduk kampung, Esah Ali berkata, gangguan lalat berkenaan turut dihadapi ketika waktu malam dan kadang-kala mengganggu waktu tidur.

“Kami tidak tahan dengan lalat yang banyak begini. Waktu malam terpaksa tutup lampu dan ada ahli keluarga saya terpaksa menyumbat kapas di telinga dan selubung kerana bimbang lalat akan masuk telinga” katanya.

Bila tengok duit polis bertukar jadi penyamun

Mangsa pukul dan samun oleh polis
[FMT] KUALA LUMPUR: Tidak cukup dengan duitnya 'dicuri' anggota polis, seorang ahli perniagaan menjadi mangsa sekumpulan polis yang membelasahnya gara-gara kerana tidak mempamerkan cukai jalan yang tamat tempoh di skrin kereta.
Chia Buang Hing, peniaga bingkai lukisan, yang memandu kereta jenis Proton Waja milik isterinya pada 18 Disember lalu, mendakwa dipukul 11 anggota polis dan menanggung kerugian lebih dari RM13,000.
Mangsa berumur 34 tahun turut mengalami kecederaan fizikal di mata kanannya dipukul ekoran enggan menyerahkan sejumlah wang yang dimilikinya.
Mangsa ketika kejadian itu dalam perjalanan ke kedainya di Kota Damansara ditahan sekumpulan anggota polis dalam sekatan jalan di kawasan tersebut.
Chia yang menyedari cukai jalan telah tamat tempoh kemudian meminta untuk disaman atas kesalahan itu, namun anggota polis yang menyeluk seluarnya menyedari beliau memiliki wang sejumlah.
"Apabila dia nampak kad VIP Kelantan saya, seorang anggota polis berkata, awak ingat Kelantan istana banyak besar,banyak besar. Saya cuba ambil gambar anggota polis dengan telefon bimbit saya dan kemudian dua lagi anggota menumbuk saya secara bertubi-tubi.
"Saya digari dan dibawa masuk ke dalam kereta polis sehingga ke balai polis Dataran Sunway. Di balai itu, saya terus dipukul oleh tujuh anggota sehingga muntah darah dan mengalami kecederaan," katanya dalam sidang media di sebuah restoran di Taman Tun Datuk Ismail pagi ini.
Mangsa turut ditemani ahli parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan peguam Ricky Tan Seng Cheong.
"Mau tolak lu mati"
Katanya, beliau yakin dapat mengecam 10 daripada 11 anggota polis yang membelasahnya itu.
"Saya turut dibawa ke satu tempat yang tidak diketahui dan mendengar perbualan polis yang mahu menolak saya. Saya dengar suara polis kata "mau tolak lu mati", masa itu saya sudah muntah darah dan berbuih di mulut.
"Saya dibelasah dari jam 11 malam hingga 3 pagi, 19 Disember itu. Saya yakin dapat mengecam 10 daripada 11 anggota polis itu. Saya juga boleh cam lima orang polis di IPD Petaling Jaya, serta lima lagi yang pukul saya dalam lori polis. Mereka semua memakai uniform ketika kejadian," katanya.
Chia pada 19 Disember dibawa ke mahkamah Petaling Jaya dan direman selama empat hari, namun dilepaskan melalui jaminan mulut pada 22 Disember.
Sementara itu, Lim yang mewakili mangsa berkata kesal dengan tindakan sekumpulan polis terbabit malah keengganan majistret untuk mengambil aduan Chia.
Beliau yang turut menemani mangsa membuat laporan di balai polis Kota Damansara petang semalam, turut menuntut beberapa perkara.
"Kami menuntut beberapa perkara antaranya; tidak mahu pihak ibu pejabat Petaling Jaya mengambil kes ini; mangsa mahu membuat kawad cam; pihak majistret perlu disiasat; kereta mangsa dipulangkan semula serta duit yang dicuri itu," katanya.

Haram pakai baju samai Santa Claus



Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

2010/12/24

JOHOR BAHRU: Mufti Johor, Datuk Tahrir Shamsuddin menasihatkan umat Islam supaya tidak memakai pakaian atau perhiasan yang menyamai 'Santa Claus' kerana ia bercanggah dengan seruan Nabi Muhammad. 

Katanya, kebanyakan umat Islam di negara ini tidak sedar dan kurang pengetahuan mengenai ilmu agama hingga menyebabkan mereka turut serta meraikan perayaan Krismas yang disambut penganut Kristian.
Setiap kali menjelang 25 Disember, ada antara orang Islam memakai pakaian itu. Bagi saya, hukumnya haram kerana ia boleh mempengaruhi dan memesongkan akidah seseorang Islam itu.
Baru-baru ini, saya ada menerima aduan daripada orang ramai yang prihatin mengenai perkara ini malah ada yang meluahkan perasaan sedih kerana ada segelintir masyarakat Islam sanggup berpakaian seperti Santa Claus, " katanya kepada Berita Harian di sini, semalam. 

Tahrir berkata, ada sesetengah masyarakat Islam yang bekerja di pusat beli - belah terpaksa memakai pakaian atau perhiasan berkenaan atas kehendak tugas. 

Pihak atasan organisasi berkenaan seharusnya sedar dan sedia maklum mengenai sensitiviti masyarakat Islam. Mereka sebenarnya boleh mengarahkan pekerja lain dan sebagai contoh pekerja yang beragama Kristian untuk memakai pakaian terbabit, " katanya.
bharian

Pilihan raya kecil DUN Tenang 30 Januari



24/12/2010 2:17pm

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor pada 22 Januari depan dan jika ada pertandingan, pengundian diadakan pada 30 Januari.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Johor pada 17 Disember lalu berhubung kekosongan kerusi DUN Tenang berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha pada hari yang sama.
"Sehubungan itu, SPR mengadakan mesyuarat khas mengenainya pada hari ini dan menetapkan satu pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan yang diputuskan oleh SPR bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama

Rombongan KM Melaka naik pesawat macam naik bas

http://idhamlim.blogspot.com

Kejadian memalukan oleh peserta rombongan yang menaiki pesawat khas jenis BAE 146-200 yang membawa 80 penumpang termasuk Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ditahan di Lapangan Terbang Juanda, Surabaya, Indonesia petang Selasa.

Menurut berita yang disiarkan pesawat itu ditahan kerana ada penumpang turun ke landasan sambil menghisap rokok sewaktu pesawat yang disewa dari Heritage Air berkenaan berhenti untuk mengisi bahan bakar.

Itulah tahap dan displin yang ditunjukkan oleh orang yang ada pendidikan. Atau mungkinkah rombongan yang dibawa oleh Ali Rustam adalah orang Melaka yang tidak ada pendidikan dan tidak tahu peraturan menaiki kapal terbang.

Macamlah kebiasaan yang kita lihat bila ada sahaja bas ekspres yang berhenti ramai yang ambil peluang hisap rokok di samping ada yang ramai bergegas ke tandas dengan hajat masing.

Tidak tahulah pula rombongan Ali Rustam ini, adakah mereka rasa naik kapal terbang macam naik bas?

Untunglah kapal terbang itu tidak meletup kerana dan saya ucapkan tahniah kepada penguasa di Lapangan Terbang Juanda, Surabaya yang bertindak cepat.
kalau tidak dengan lapangan terbang sekali meletup akibat tidak berdisplinnya rombongan yang dibawa oleh Ali Rustam.

Tidakan tegas Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang melihat keadaan itu memeriksa semua penumpang di lapangan terbang itu amatlah saya sokong.

Rombongan kerajaan negeri Melaka itu sedang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam.

Pesawat itu dalam penerbangan pulang dari Dili, Timur Leste dan ditahan pada kira-kira 2 petang waktu Indonesia sebelum dibenarkan berlepas ke Melaka pada pukul 11 malam dan tiba di LTAM di Alor Gajah pada pukul 2.15 pagi.

Namun begitu, enam penumpang pesawat itu termasuk Mohd Ali, isterinya Datin Seri Asmah Abdul Rahman dan pengawal peribadi kepada Ketua Menteri dibenarkan pulang ke Malaysia dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS).

Inilah tahap moral pemimpin Umno selepas 50 tahun lebih kita merdeka, peraturan naik kapal terbang pun tidak tahu atau kalau tahupun nak tunjuk lagak dan dia yang besar dan ada kuasa.
Sepatutnya bagi saya hukuman kepada mereka yang hisap rokok dalam kejadian ini lebih keras kerana ia mengundang risiko keselamatan yang sangat serius
harakah

100 Hari: Najib dan Muhyiddin menggelabah

PM 1Malaysia, dilihat sangat gusar dengan tawaran 100 hari bila berkuasa yang diberikan oleh Pakatan Rakyat, Najib Tun Razak memberi reaksi segera dengan menyifatkan kenyataan Pakatan Rakyat sebagai tidak berpaksi kepada realiti kemampuan sebenar apabila mahu melaksanakan Program 100 Hari jika berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ahad lepas Pakatan Rakyat menawarkan kepada rakyat Malaysia Program 100 Hari mengandungi sembilan perkara termasuk pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika Pakatan Rakyat menang pada pilihan raya umum akan datang.

Najib memberi reaksi segera dan menjanjikan kenyataan lebih terperinci sebagai jawapan balas kepada janji Pakatan Rakyat dalam konvensyen di Pulau Pinang Ahad lalu.

‘‘Kita akan beri reaksi yang lebih jelas sebab apa yang dia nyatakan itu tidak berpaksi kepada realiti kemampuan sebenar,” katanya.

Sejak tawaran ini dikeluarkan pada Ahad lepas saya melihat pemimpin BN sangat menggelabah dan mula memberi jawapan dengan memperkecil tawaran itu. Tawaran ini tidak mengambil kira pelbagai tawaran lain dalam buku Jingga yang menjadi topik perbahasa dalam Konvesnsyen sehari itu.

Muhyiddin Yassin pula menyifatkan Program 100 Hari yang dikemukakan Pakatan Rakyat sebagai satu pembohongan besar yang bertujuan menipu rakyat.

Satu kenyataan yang saya lihat memperbodohkan dirinya sendiri dan rakyat Malaysia bila menafikan satu tawaran yang selama ini diperjuangkan oleh rakyat. Ianya sudah lama sepatutnya dilaksanakan oleh Kerajaan BN .

Lucunya Muhyiddin menganggap kenyataan Pakatan Rakyat itu sekadar umpan untuk menarik pengundi dengan bermacam-macam tawaran istimewa tanpa membuat perkiraan betul terutama dari segi kewangan dengan menyifatkan Pakatan Rakyat tidak mempunyai pengalaman mengepalai Kerajaan Pusat berikutan setiap keputusan memerlukan kajian, penelitian dan kesan tempoh masa panjang.

Perlulah ditegaskan bahawa tawaran itu adalah susuatu yang telah dibuat setelah mengambil kira berbagai aspek kemampuan kewangan negara hasil dari kajian dari sebuah panel dan pakar ekonomi yang dilantik.

Tawaran itu juga mengambil kita pengalaman di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat sehingga sekarang iaitu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Sebelum itu kita buktikan semasa 11 bulan berkuasa di Perak.

Adalah diakui pandang Najib dan Muhyiddin adalah dalam kotak pemikiran pemimpin BN yang berbelanja boros dan tidak mengutamakan kan sesuatu perojek yang perlu diutamakan. Pemimpin BN lebih bangga dengan projek mega dari memberi subsidi kepada rakyat.

Sikap mementingkan kroni dan rasuah serta penyelewengan sehingga berbillion wang negara lesap begitu sahaja memastikan kegagalan usaha memulihkan ekonomi negara yang semakin tenat.

Kerana itu janji 100 hari hanya mampu dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat dengan menjanjikan pemberantasan rasuah secara serius serta mengutamakan rakyat serta berhemat dalam berbelanja.

Terbaru projek pembinaan menara Warisan dengan biaya sebanyak 5 billion mebuktikan itulah watak dan wajah sebenar pemimpin BN dalam membangunkan negara.

Pakatan Rakyat akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pengurusan negara, ekonomi, pendidikan dan sebagainya berdasarkan prinsip yang digariskan di dalam Dasar Bersama.

Sebagai permulaan kepada reformasi tersebut, dalam 100 hari kami mendapat mandat rakyat, pakatan Rakyat menjanjikan akan melaksanakan program berikut:

1. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

2. Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.

3. Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.

4. Menghargai peranan guru sebagai pendidik bangsa dengan Menaikkan memperkenalkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang.

5. Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.

6. Menyediakan perkhidmatan internet wifi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.

7. Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

8. Menaikkan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak kepada 20%.

9. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman.

10. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.
16 Muharram 1431H
harakah

Kelantan peruntuk RM300 ribu anjur nikah perdana

Salmah Mat Husain 
KOTA BHARU, 22 Dis: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi menganjurkan program perkahwinan perdana yang julung kali diadakan di Kelantan pada 25 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar berkata, program berkenaan berkenaan diadakan lebih berbentuk kebajikan bagi membantu golongan belia dan beliawanis berkahwin.

“Peruntukan itu termasuk membiayai mas kahwin, jamuan dan peralatan perkahwinan.

”Seramai 100 pasangan akan mengambil bahagian pada program itu yang akan dirasmikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” katanya di sini.

Menurutnya, mas kahwin sebanyak RM1,000 disediakan kepada pasangan terbabit.

Katanya juga pasangan orang kelainan upaya (OKU) turut mengambil bahagian.

“Kita juga berusaha mendapatkan Emas Dinar sebagai sebahagian dari mas kahwin pada majlis berkenaan,” katanya.

Wan Ubaidah berkata, program berkenaan diadakan bertujuan memberi galakan kepada golongan muda berkahwin bagi mengelakkan mereka terjebak dengan gejala kurang sihat.

Menurutnya mas kahwin sebanyak RM1,000 dicadangkan Menteri Besar supaya umat Islam mendapat keberkatan.

“Jangan menyusahkan soal perkahwinan kerana mas kahwin yang terlalu tinggi boleh mengundang gejala tidak sihat,” ujarnya.

Pada majlis berkenaan pengantin lelaki akan berkumpul di Masjid Muhammadi bermula jam 7 pagi. Kemudian mereka akan diiringi perarakan motosikal klasik dan Persatuan Kereta Viva Kelantan ke Putik.

Manakala pengantin perempuan akan menunggu pasangan masing-masing di Putik. Majlis akad nikah akan disempurnakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Felda 'rayu' jangan saman

Khairil Abdul Rahim

BANDAR JENGKA, 23 Dis: Sudah terhantuk baru terngadah. Begitulah yang diibaratkan kepada pekeliling daripada Pengarah Besar Felda Datuk Dzulkifli Abd Wahab yang disifatkan memujuk peneroka supaya tidak menggunakan saluran undang-undang bagi menuntut hak mereka.

Naib Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Aris Fezul Ismail, menyifatkan risalah bertajuk ‘Penyelesaian masalah, Isu atau Pertelingkahan Melalui Kaedah Timbang Tara’ yang diedarkan kepada peneroka-peneroka serta dibacakan isinya di masjid-masjid di sini seolah-olah melambangkan keresahan Felda menghadapi kebangkitan peneroka.

Antara lain, risalah dua helai itu menyatakan tindakan saman oleh peneroka terhadap agensi pembangunan tanah itu didakwa telah menyebabkan wujud suasana yang tidak harmoni antara peneroka dengan pengurusan Felda.

Kandungan risalah tersebut turut membangkitkan, surat perjanjian asal antara peneroka dengan Felda telah memperuntukkan bahawa sekiranya terdapat perselisihan antara kedua belah pihak perlu dirujuk kepada Penimbang tara iaitu Perdana Menteri selaku menteri yang bertanggungjawab kepada Felda.

Aris yang juga Setiausaha Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pusat mempertikaikan, kenapa baru kini iaitu selepas peneroka menang saman di Felda Kemahang 3 dan Felda Sungai Koyan timbul tawaran menyelesaikan lambakan permasalahan peneroka melalui kaedah Timbang tara.

“Sebelum ini Anak sendiri pernah menghantar memorandum kepada Pengerusi Timbang tara iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi jangankan kata penyelesaian, respons pun tidak ada. Bahkan kalau kita dengar baru-baru ini bagaimana PM dengan angkuhnya menempelak siapa kata Felda bankrap adalah pengkhianat. Bolehkah orang seperti ini mahu dirujuk sebagai penimbang tara?

“Bukan itu saja, baru-baru ini Anak telah menyerahkan memorandum 20 perkara berkaitan masalah peneroka kepada Timbalan Menteri yang menjaga Felda Datuk Ahmad Maslan yang konon katanya nak selesaikan dalam tempoh dua minggu. Tapi sekarang dah hampir dua bulan, respons pun tak dengar.

“Di Pahang ini sendiri, Exco yang menjaga Felda Datuk Tan Aminuddin. Apabila peneroka membangkitkan hak mereka yang diceroboh pada satu ketika dulu, beliau bingkas mencabar mana-mana peneroka yang tak setuju dengan Felda boleh keluar dari tanah rancangan. Pada saya ini satu kenyataan angkuh seolah-olah peneroka-peneroka ini menumpang dan mengemis sedangkan mereka tuan tanah,” hujahnya.

Tambah Aris, suasana yang tidak harmoni dicetuskan sendiri oleh pengurusan Felda. Contohnya dalam kes Felda Kemahang apabila Ketua Hakim Negara berkata Felda terbukti menipu peneroka dalam kes kadar perahan gred (KPG) sawit, Felda masih tidak mengaku kesalahan malah enggan membayar ganti rugi kepada peneroka.

“Begitu juga dengan kes peneroka Felda Sungai Koyan yang mana mahkamah telah putuskan peneroka layak menerima wang tabung tanam semula (TTS) tetapi menterinya kata Felda memang nak bayar sedangkan dalam mahkamah peguam mereka bermati-matian berusaha supaya Felda tidak mahu bayar. Pada saya sikap seperti ini semua tidak membawa keharmonian,” katanya.

Mengenai saranan Pengarah Besar Felda agar peneroka mengemukakan sebarang aduan dan permasalahan kepada pengurusan rancangan melalui blok, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Gabungan Pertubuhan Wanita (GPW) dan pertubuhan belia, Aris berkata ia hampir mustahil kerana semuanya dilantik oleh Felda dan bukan dipilih oleh peneroka malah dikuasai parti politik kerajaan.

“Barangkali Datuk Dzulkifli tidak turun ke bawah melihat bahawa kebanyakan pemilihan ketua-ketua blok yang mewakili 24 orang ahli dipilih berdasarkan mana yang Felda suka, bukannya pilihan peneroka secara mutlak. Naib Pengerusi JKKR yang sepatutnya dipilih melalui mesyuarat agung, tapi hanya ditentukan oleh Felda. Jadi dia mewakili Felda, bukan suara peneroka. Sebab itu dapat dilihat bagaimana sikap mereka terhadap peneroka tanam sendiri iaitu seperti anak tiri yang melakukan satu kesalahan besar.

“Pertubuhan belia pula hanya ada pada nama saja. Mesyuarat agung pun tak pernah sehingga tak tahu siapa AJK. Mana perginya peruntukan kewangan? Sama jugalah dengan AJK masjid, bukan dilantik melalui mesyuarat agung,” jelasnya.
-harakah

Bekas tahanan ISA tuntut ganti rugi $1j

SINGAPURA
Oleh
Nurul Dayana Simangoon
BEKAS tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Encik Michael Fernandez, semalam menuntut ganti rugi $1 juta daripada pemerintah kerana mendakwa diseksa sepanjang sembilan tahun beliau berada dalam tahanan.
Ini dinyatakan peguamnya, Encik M. Ravi, yang berkata beliau memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi semalam.Beliau, yang dihubungi Berita Harian semalam, berkata writ itu menamakan peguam negara sebagai defendan.Pejabat Peguam Negara mempunyai tempoh lapan hari daripada tarikh writ itu difailkan untuk memberi respons.Encik Fernandez, 77 tahun, sebelum ini merupakan aktivis kesatuan berhaluan kiri yang mengadakan mogok selama sebulan melibatkan 11,000 pekerja pada Oktober 1963.Beliau ditahan di bawah ISA pada tahun berikutnya hingga 1973, kerana 'menjejas keselamatan, kestabilan dan kesejahteraan ekonomi Singapura', menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri (MHA).Dalam writ samannya, Encik Fernandez menuntut ganti rugi yang tidak ditentukan jumlahnya bagi 'kesakitan dan penderitaan', 'perasaan malu dan kehilangan reputasi' serta perbelanjaan perubatan pada masa depan.Beliau juga mendakwa diperlakukan secara kasar beberapa kali dan tidak dibenarkan tidur oleh pengawal.Beliau juga mendakwa disuap secara paksa sementara kedua-dua tangannya digari ke belakang, kakinya dibelenggu pada kerusi dan tiub-tiub tebal dimasukkan ke dalam tekaknya secara paksa.Pada 1971, Encik Fernandez mengadakan mogok lapar selama 135 hari untuk membantah keadaan kehidupan serba miskin dan kekurangan catuan makanan ketika itu.Beliau juga mendakwa bilik penjara yang dihuninya 'tidak sesuai didiami manusia', dinding-dindingnya terkena percikan darah dan dipenuhi serangga dan beliau tidak diberi rawatan mencukupi bagi kecederaan-kecederaan yang dialami akibat dibelasah.Encik Fernandez kini mengalami kesan sampingan jangka panjang akibat penahanan itu, menurut writ saman itu lagi.Beliau juga mendakwa mengalami gangguan tidur teruk sepanjang dan selepas ditahan, halusinasi dan menemui ketulan-ketulan di perutnya akibat sering dicubit pihak penjara.Writ saman itu menuntut ganti rugi berdasarkan undang-undang tertentu yang dapat digunakan semasa Encik Fernandez ditahan iaitu ketika Singapura masih berada di bawah pemerintahan Britain.
cyberita

Tekanan menjadi 'isteri' selama lapan bulan terlerai

LEGA KES SELESAI: Cik Siti Sarnan Mat Ail memimpin tangan anaknya sambil diiringi suaminya, Encik Hussin Salleh, meninggalkan Mahkamah Tinggi Syariah di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin. -- Foto UTUSAN MALAYSIA


KOTA BHARU: Tekanan yang ditanggung seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun selama lapan bulan - selepas didakwa dinikahkan oleh ayahnya dengan lelaki berusia 41 tahun - terlerai kelmarin apabila Mahkamah Tinggi Syariah di sini memutuskan perkahwinan mereka tidak sah.
Keputusan tersebut disambut dengan linangan air mata kesyukuran oleh ibu kanak-kanak terbabit, Cik Siti Sarnan Mat Ail, 42 tahun, selaku plaintif yang memfailkan permohonan agar dibatalkan perkahwinan berkenaan.Dalam permohonan itu, plaintif menamakan suaminya, Encik Hussin Salleh, 54 tahun, defendan pertama manakala lelaki yang dikatakan bernikah dengan anaknya, Encik Shamsudin Che Deraman atau dikenali sebagai 'Sudin Ajaib', defendan kedua.Kanak-kanak tersebut, yang hadir di mahkamah dengan memakai baju kurung biru berbunga merah dan bertudung warna kuning keputih-putihan, dilihat resah di galeri awam sementara menunggu keputusan dibacakan.Dalam keputusannya, Hakim Syarie Abdullah Man, berkata mahkamah mendapati tidak ada asas untuk membatalkan perkahwinan tersebut kerana ia tidak mempunyai dokumen yang sah serta sijil nikah.'Pernikahan antara keduaduanya hanya dakwaan pihak plaintif kerana tidak disokong dokumen yang lengkap untuk menjelaskan wujudnya pernikahan tersebut.'Bagaimanapun, mahkamah mengambil kira peranan wali mujbir iaitu ayah kepada kanakkanak tersebut yang mempunyai hak mengahwinkan anak perempuan mereka tanpa mengira usia. Persoalannya, jika mengikut hak wali mujbir apakah perkahwinan itu sah atau tidak?' katanya.Hakim Abdullah menegaskan, berdasarkan keterangan defendan dalam perbicaraan yang lepas, timbul perkara-perkara berunsur penipuan, paksaan dan ugutan semasa pernikahan itu berlangsung.'Mahkamah mendapati semasa memberi keterangan balas, wali seorang yang 'betul', tidak pandai beralasan dan hanya mengikut telunjuk orang lain, seolah-olah tidak mempunyai pegangan.'Walaupun wali terlibat dalam pernikahan tersebut, beliau tidak mempunyai niat mengahwinkan anaknya itu,' ujarnya.Sehubungan itu, perkahwinan tersebut tidak sah mengikut hukum syarak dan Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002.Katanya, akad nikah didakwa berlangsung sebanyak dua kali iaitu pertama kali di Madrasah Pakistan di Machang dan disusuli di sebuah hotel Berek 12 di sini.Sementara itu, Cik Siti Sarnan ketika ditemui di luar mahkamah, melahirkan rasa syukur dengan keputusan tersebut dan berharap Encik Shamsudin tidak lagi mengganggu hidup anaknya.'Syukur banyak-banyak kerana apa yang saya tuntut bagi pihak anak saya selama ini telah selamat, tidak ada apa-apa lagi hubungan antara Sudin dengan anak saya.'Saya tidak berdendam namun berharap Sudin jangan ganggu anak saya.'Malah, sejak perkara ini dihebahkan, dia juga ghaib begitu sahaja,' katanya. -- Utusan Malaysia.

Sambutan Krismas melampau

JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) berkata, hiasan dipasang pemilik kompleks beli-belah, pusat hiburan dan tempat awam sempena Krismas kini keterlaluan dan bersifat provokatif.
Pengerusi MUI, Muhyidin Junaedi, berkata walaupun Islam tidak menghalang sesuatu perayaan agama lain diraikan penganutnya, sambutan itu perlu diadakan secara terkawal dan mengambil kira sensitiviti orang lain.

“Hiasan sempena Krismas mesti dibuat mengikut kesesuaian kerana majoriti penduduk Indonesia beragama Islam.

“Jika tidak, hiasan perayaan itu akan menyinggung pihak lain,” katanya kepada media, semalam.

Bagi menjaga sensitiviti semua pihak, kata Muhyidin, MUI mengeluarkan saranan kepada pemilik kompleks beli-belah dan pusat rekreasi supaya lebih berhati-hati menghias premis masing-masing.

Katanya, MUI menerima aduan daripada ramai kakitangan pusat beli-belah di negara itu yang kurang senang kerana dipaksa mengenakan pakaian Santa Claus.

“Kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku.

“MUI perlu menjaga umat Islam daripada terbabit secara langsung menyertai sebarang perayaan agama lain,” katanya.
Bagaimanapun, setakat ini, kata Muhyidin, MUI tidak bercadang menjadikan saranan dikeluarkan Selasa lalu itu sebagai fatwa. - AFP