Monday, May 12, 2014

Ahmad Razif dilantik Menteri Besar Terengganu yang baharu


KUALA LUMPUR 12 Mei - Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abd Rahman dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Ahmad Razif bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Said itu telah diperkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abdidin.
"Adalah dimaklumkan bahawa Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin telah memberi perkenan peletakan jawatan Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu berkuat kuasa 12 Mei 2014.
"Baginda telah memperkenankan pelantikan ADUN Seberang Takir Ahmad Razif sebagai Menteri Besar Terengganu berkuat kuasa mulai tarikh Yang Berhormat mengangkat sumpah jawatan dan sumpah rahsia di hadapan baginda," katanya.
Najib berkata, pelantikan itu adalah selaras dengan Syarat (1) Perkara 10 Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang dibaca bersama-sama perenggan (a) di bawah Syarat (2) Perkara 14.
Ahmad pertama kali dilantik sebagai menteri besar pada 23 Mac 2008 dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 9 Mei tahun lepas.- BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140512/po_19/Ahmad-Razif-dilantik-Menteri-Besar-Terengganu-yang-baharu#ixzz31VowwuR1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ahmad Said sah lepas jawatan


KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Ahmad Said hari ini meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.


Beliau berkata, peletakan jawatan itu bagi membolehkan pelantikan menteri besar baharu, bagaimanapun beliau enggan mendedahkan siapa bakal menggantikan Ahmad, 57.

"Saya datang jumpa Adun (Anggota Dewan Undangan Negeri)...seperti dimaklumkan ada pertukaran (menteri besar), saya maklum balas dan mereka terima dan tidak ada masalah, memang betul ada pertukaran.


"Kita tunggu (watikah pelantikan menteri besar baru) daripada Tuanku Sultan Terengganu (Sultan Mizan Zainal Abidin) dengan pengesahan daripada pihak istana...dah sah memang disahkan dia (Ahmad Said) dah jumpa Perdana Menteri letak jawatan hari ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan beberapa pemimpin Umno negeri di sini hari ini.


Katanya, pertukaran itu tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada Umno di Terengganu kerana pemimpin negeri akur kepada keputusan pucuk pimpinan parti.

Spekulasi memuncak akhir-akhir ini bahawa Ahmad akan digantikan termasuk cakap-cakap kononnya beliau bersetuju menjadi menteri besar untuk selama setahun selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei tahun lepas.

Ahmad dilantik semula sebagai Menteri Besar selepas menerima watikah pelantikan daripada Sultan Terengganu pada 9 Mei tahun lepas.

Beliau yang juga Adun Kijal pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu pada 22 Mac 2008.

Sepanjang perkhidmatannya, Ahmad cukup terkenal dengan slogan “Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan” sebagai teraju utama dalam kepimpinan beliau.

Pentadbiran yang mesra rakyat menjadi tonggak dan keutamaan beliau dalam memastikan kepentingan dan permasalahan rakyat diselesaikan.

Pada PRU13, Barisan Nasional (BN) Terengganu menang majoriti mudah 17 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri termasuk pilihan raya kecil Kuala Besut pada 24 Julai tahun lalu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/12