Friday, September 24, 2010

Buku baru Zunar sindir k'jaan takutkan kartun

Tindakan kerajaan mengharamkan buku kartunnya rupa-rupanya tidak mematahkan semangat, sebaliknya memberikannya idea baru kepada kartunis Zunar untuk menghasilkan karya yang lebih pedas, tajam dan padat dengan sindiran politik.

Ekoran pengharaman 1Funny Malaysia, Perak Darul Kartun dan Isu Dalam Kartun, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque kali ini menerbitkan pula Cartoon-o-phobia (ketakutan pada kartun) - tindakan yang terus menyindir kerajaan.

NONE"Ketika diharamkan pada Jun lalu, alasan yang diberi kerajaan ialah kerana buku-buku dan majalah saya itu dianggap mengancam ketenteraman awam dan boleh mempengaruhi orang ramai supaya merusuh terhadap kerajaan.

"Kerana itu, nama Cartoon-o-phobia dipilih bagi menggambarkan ketakutan sesetengah pihak kepada karya-karya kartun," kata Zunar (kanan).

Menurut Zunar juga buku tersebut akan diterbitkan oleh Kinibooks - sebuah anak syarikat Malaysiakini. Sebelum ini, beliau juga berkerjasama dengan penerbit yang sama untuk buku 1 Funny Malaysia tahun lalu dan Cartoon On Tun and Others...pada 2005.

Kebanyakan karya-karya kartun dalamCartoon-o-phobia adalah koleksi pilihan kartun-kartun yang tersiar dalamMalaysiakini dari Disember 2009 hingga September 2010.

Dalam satu kenyataan hari ini, Zunar juga secara sinis berkata akan cuba mendaftar istilah Cartoon-o-phobia dalam kamus sebagai satu istilah baru yang menggambarkan defininasi "individu atau pihak yang takut kepada karya kartun sehingga menggunakan pengaruh politik bagi mengambil tindakan terhadap kartunis."

"Saya menyentuh semua isu-isu yang menjadi perbualan awam seperti isu Altantuya, konspirasi terhadap Anwar, isteri PM, kehilangan jet enjin, Scorpene yang tak boleh menyelam, Sarawak, perkauman, korupsi dan lain-lain," katanya.

Menyentuh soal kemungkinan bukunya diharamkan lagi, bekaS kartunis di majalah popular Gila-Gila itu bagaimanapun berkata tidak pernah terfikir soal tersebut semasa berkarya.

"Saya percaya Cartoon-o-phobia mempunyai kekuatan sendiri dan memenuhi kehendak pembaca. Namun saya bersedia menghadapi sebarang risiko jika buku ini diharamkan.

"Jika buku ini tidak dapat dijual di pasaran terbuka (akibat pengharaman), saya bergantung kepada sokongan dari para pembaca," katanya.

Buku setebal 100 muka surat berwarna penuh itu akan dilancarkan pada 24 September ini bertempat di Selangor Chinese Assembly Hall oleh bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin.
Ia dijual dengan harga pasaran RM25 senaskhah secara dalam talian buat masa ini.
malaysiakini

Zunar ditangkap polis, buku terbaru dirampas

Kartunis popular Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee AnwarUlhaque hari ini ditahan polis mengikut seksyen 4 (1) Akta Hasutan.
Beliau kini dilaporkan dibawa kepada ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya.
Sebelum itu, pada sekitar jam 4 petang tadi, polis menggelidah premis Sepakat Efektif Sdn Bhd yang dimiliki Zunar dan merampas kira-kira 67 naskhah terbaru buku Cartoon-O-Phobia yang dijadualkan dilancarkan malam ini.

Menurut Zunar yang sempat menghubungi Malaysiakini dan bercakap secara tergesa-gesa memberitahu pejabatnya yang juga menempatkan Kafe Kartun diserbu oleh sepuluh anggota polis yang diketuai oleh ASP Ari Krishna daripada balai polis Brickfields.

"Kami diberitahu bahawa laporan polis telah dibuat berhubung penerbitan buku itu,” katanya kepada Malaysiakini.

Zunar berkata selain buku terbarunya itu, turut dirampas adalah beberapa lukisan kartunnya.
“Saya sedang cuba melenggah-lenggah masa sehingga peguam saya tiba,” katanya.
Sebelum ini, beberapa bukunya termasuk 1Funny Malaysia, Perak Darul Kartun dan Isu Dalam Kartun, juga diharamkan.

Pada 17 September lalu, Zunar memberitahu Malaysiakini Cartoon-o-phobia (ketakutan pada kartun) sebagai usah terbarunya yang terus menyindir kerajaan.

"Ketika diharamkan pada Jun lalu, alasan yang diberi kerajaan ialah kerana buku-buku dan majalah saya itu dianggap mengancam ketenteraman awam dan boleh mempengaruhi orang ramai supaya merusuh terhadap kerajaan.
"Kerana itu, nama Cartoon-o-phobia dipilih bagi menggambarkan ketakutan sesetengah pihak kepada karya-karya kartun," kata Zunar.

Cartoon-o-phobia diterbitkan oleh Kinibooks - sebuah anak syarikatMalaysiakini.
Kebanyakan karya-karya kartun itu adalah koleksi pilihan kartun-kartun yang tersiar dalam Malaysiakini dari Disember 2009 hingga September 2010.

Antara yang disentuhnya ialah isu-isu yang menjadi perbualan awam seperti isu Altantuya, konspirasi terhadap Anwar, isteri PM, kehilangan jet enjin, Scorpene yang tak boleh menyelam, Sarawak, perkauman, korupsi dan lain-lain.
Cartoon-o-phobia mempunyai 80 halaman berwarna-warni dan dijual ada harga RM25.00. Ia juga boleh dibeli secara online melaluigerakbudaya.com dan cartoonkafe.com.sumber di sini

Mas Selamat dibebas dari ISA, diusir dari Malaysia

Anggota kumpulan militan Jemaah Islamiyah (JI) Singapura, Mas Selamat Kastari, seorang warga Singapura telah dibebaskan dari tahanan dan akan diusir dari negara ini.

Pengarah Pasukan Petugas Khas Bukit Aman Datuk Mohamad Fuzi Harun berkata perintah tahanan ke atas Mas Selamat di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah dibatalkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein bermula hari ini.

azlanBeliau berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa Mas Selamat telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia hari ini untuk tindakan pengusiran.

Anggota kumpulan militan itu bersembunyi di Johor sejak Mac 2008 setelah berjaya melarikan diri dari pusat tahanan Whitley Road, Singapura pada 27 Feb 2008.

Beliau bagaimanapun berjaya ditahan pada 1 April, 2009 di Johor.

Sebelum ini, Mas Selamat melarikan diri dari Singapura pada bulan Disember 2001 selepas kerajaan Singapura melancarkan satu operasi keselamatan bagi membanteras JI.

Menurut kerajaan Singapura sebelum ini, dia adalah antara mereka yang merancang serangan balas terhadap Singapura kerana menahan dan menangkap rakan anggota JI.

Dia turut merancang untuk merampas sebuah kapal terbang dan merempuh Lapangan Terbang Changi tetapi melarikan diri ke Indonesia untuk mengelak dari ditahan.

Mas Selamat, yang dikenal pasti sebagai pemimpin rangkaian JI tempatan Singapura, ditahan oleh pihak berkuasan Indonesia pada Februari 2003 kerana kesalahan memiliki dokumen pengenalan palsu.

Beliau kemudiannya dipenjara 18 bulan atas kesalahan imigresen sebelum ditahan di bawah ISA oleh kerajaan Singapura pada 2006.

- Bernama

Rayuan menantu bekas MB Selangor ditolak dengan kos


KUALA LUMPUR 23 Sept. - Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) hari ini menolak rayuan menantu kepada bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Ahmad Razali Mohd. Ali terhadap keputusan satu kes saman yang tidak memihak kepadanya.
Dalam kes itu, Datuk Noorazman Adnan, 53, selaku defendan diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada April lalu supaya membayar ganti rugi RM150,000 kepada rakan kongsinya, Mohd. Fazzrul Amri Abdul Aziz, 26, kerana didapati memungkiri perjanjian.
Hakim Datuk Has Zanah Mehat memutuskan menolak rayuan itu dengan kos selepas membenarkan bantahan Mohd. Fazzrul Amri ekoran kegagalan defendan melengkapkan rekod rayuannya.
"Saya juga telah meneliti hujahan bertulis kedua-dua pihak dan alasan penghakiman hakim Mahkamah Sesyen. Dari segi merit, saya dapati terdapat perjanjian lisan yang disokong dengan keterangan-keterangan saksi.
"Oleh itu saya dapati hakim terdahulu tidak terkhilaf dalam keputusannya," ujar beliau yang turut mengubah kos guaman yang harus dibayar oleh defendan daripada RM12,000 kepada RM2,000.
Pada 28 April lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Ishak Bahari memutuskan agar defendan membayar ganti rugi tersebut kepada Mohd. Fazzrul Amri selain tunggakan gaji RM6,000 sebulan secara berterusan sehingga mencukupi jumlah RM250,000.
Mahkamah itu turut memerintahkan, sekiranya defendan gagal menjelaskan bayaran tersebut, faedah lapan peratus setahun akan dikenakan terhadapnya bermula dari 31 Mei 2005 sehingga selesai pembayaran.
Pada prosiding hari ini, plaintif diwakili peguam, Ravi Chandran manakala defendan diwakili peguam, Siti Rahimah Mohd. Yusof.
Hadir pada prosiding hari ini ialah bapa plaintif yang juga bekas setiausaha akhbar seorang menteri, Abdul Aziz Abdul Rahman, 59, yang ditemani isteri dan seorang lagi anaknya.
Terdahulu, Siti Rahimah memohon agar defendan diberikan masa untuk memfailkan dokumen tambahan memandangkan rekod rayuan masih tidak teratur kerana ikatan dokumen yang digunakan pada prosiding sebelum ini belum disertakan.
Ravi bagaimanapun membantah permohonan tersebut kerana ia melibatkan hampir kesemua ikatan dokumen dan bukannya membabitkan satu atau dua dokumen.
Dalam tuntutan yang difailkan pada Julai 2007, Mohd. Fazzrul Amri yang merupakan pengarah syarikat pengusaha stesen minyak, Intelligent Partners Sdn. Bhd. mendakwa, defendan gagal menjelaskan tunggakan gaji kepadanya seperti yang dijanjikan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Noorazman didakwa gagal membayar gaji plaintif sebanyak RM6,000 sebulan bermula April 2005 hingga Mei 2007.
Menurutnya, defendan melantiknya sebagai pengarah syarikat itu pada 2003 memandangkan beliau memiliki lesen daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mengusahakan stesen minyak BHP di Sungai Besi.
Dakwa plaintif, beliau yang kekurangan modal pada waktu itu bersetuju apabila defendan ingin membiayai kos dan operasi stesen minyak tersebut.
Antara perjanjian yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak adalah plaintif akan memperoleh 30 peratus saham syarikat manakala defendan memperoleh baki 70 peratus lagi.

Kes saman fitnah Anwar ke atas Saiful Januari depan


KUALA LUMPUR 23 Sept. - Kes saman fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas bekas pembantu peribadinya terpaksa ditetapkan pada Januari tahun depan ekoran perbicaraan kes liwat membabitkan kedua- dua individu itu masih lagi tertangguh.
Penolong Kanan Pendaftar, Khairul Fahri Yusob menetapkan tarikh 10 Januari 2011 bagi pengurusan kes ketika tuntutan saman itu disebut di hadapan beliau di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Pada prosiding tersebut, peguam Jason Teh hadir bagi pihak Ketua Pembangkang itu. Beliau turut menyebut bagi pihak peguam Zambri Idrus yang mewakili Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Perbicaraan kes liwat yang sudah tertangguh beberapa kali dijadualkan untuk disambung pada 14 Oktober ini.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah turut menetapkan beberapa siri tarikh perbicaraan lain sehingga Disember ini.
Pada 30 Jun 2008, Anwar selaku plaintif memfailkan saman terhadap bekas pembantu peribadinya itu yang dinamakan sebagai defendan bagi menuntut ganti rugi.
Menurut pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa, pada 28 Jun tahun yang sama, defendan telah membuat satu laporan polis yang mendakwa dirinya diliwat dua hari sebelum itu oleh beliau.
Dalam laporan tersebut, ujar plaintif, defendan dengan niat jahat dan sebab yang tersembunyi telah memburuk-buruk dan merosakkan imej beliau dari segi politik.
Anwar mendakwa, perkataan-perkataan dalam laporan itu bermakna dan difahami sebagai beliau terlibat dalam perlakuan seks luar tabii, seorang homoseksual, melakukan perbuatan jenayah di bawah Seksyen 377A dan 377C Kanun Keseksaan serta melakukan kesalahan yang bertentangan dengan prinsip agama Islam.
Sementara itu, Mohd. Saiful Bukhari dalam pernyataan pembelaannya pada Mei tahun lalu menyifatkan laporan polis itu adalah wajar dan sekiranya tidak benar maka pendakwa raya tidak akan mendakwa plaintif atas tuduhan meliwat.

'Abaikan Bendera, mereka tidak mungkin bertindak'


Antara 20 orang penunjuk perasaan membawa pelbagai sepanduk mengutuk penganiayaan pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Malaysia, semasa mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, semalam.


KUALA LUMPUR 23 Sept. - Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) hanya pandai mengancam Malaysia tetapi tidak berani untuk melakukan tindakan yang dilaung-laungkan mereka.
Sehubungan itu, Konsul Penerangan Sosial dan Budaya Kedutaan Indonesia di sini, Widyarka Ryananta berharap rakyat Malaysia mengabaikan ancaman berkenaan kerana Bendera tahu mereka tidak akan terlepas daripada undang-undang jika benar-benar bertindak.
Katanya, rakyat negara ini boleh menyaksikan sendiri bahawa semua ancaman yang dibuat Bendera sebelum ini tidak pernah dizahirkan termasuklah rancangan untuk menawan Malaysia pada 8 Oktober tahun lalu.
"Abaikan Bendera, mereka hanya berani menyampaikan ancaman sahaja dan tidak mungkin bertindak.
"Polis Indonesia sendiri telah mengawal kediaman Duta dan Kedutaan Malaysia di Jakarta, sudah-sudahlah... mereka tidak mewakili aspirasi majoriti rakyat Indonesia," katanya kepadaUtusan Malaysia, di sini hari ini.
Kelmarin, kira-kira 500 rakyat Indonesia yang digerakkan oleh Bendera melancarkan protes bermotosikal di luar kediaman Duta Besar Malaysia di Jakarta untuk mengutuk penderaan ke atas pembantu rumah Indonesia oleh majikan di negara ini.
Berang dengan kes terbaru membabitkan rogol dan dera terhadap seorang pembantu rumah Indonesia, mereka mengepung kediaman Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan dan mendesak beliau meninggalkan Indonesia dalam masa dua hari.
Mereka juga mengancam untuk merayau-rayau di sebuah gedung membeli-belah berdekatan dan mengarahkan mana-mana rakyat Malaysia yang dijumpai supaya pulang ke Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, Widyarka menyeru rakyat Malaysia supaya memahami bahawa demonstrasi merupakan salah satu bentuk kebebasan bersuara yang dilindungi undang-undang Indonesia.
Katanya, di Indonesia demonstrasi adalah perkara biasa dan ia tidak perlu diberi perhatian yang berlebihan.
"Untuk pengetahuan saudara, hari ini sahaja ada lapan demonstrasi di Jakarta, tidak termasuk di wilayah-wilayah lain.
"Ada yang berdemonstrasi di hadapan Istana Presiden dan kementerian dengan pelbagai isu yang berbeza," katanya.
Ditanya adakah kebebasan bersuara turut menghalalkan perbuatan membakar Jalur Gemilang sebagaimana yang pernah dilakukan Bendera sebelum ini, beliau menegaskan ia bukannya bendera dalam erti kata sebenar sebaliknya hanya lukisan mirip bendera.
"Jika Jalur Gemilang dari Kedutaan Malaysia di sana yang diambil dan dibakar, pasti mereka akan dikenakan tindakan tegas," katanya.

Melayu hilang kuasa


KUALA LUMPUR 23 Sept. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan orang Melayu bahawa mereka akan kehilangan kuasa dan ‘suara’ jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih pemerintahan negara.
Kata beliau, ia terbukti sewaktu Perak diperintah pakatan pembangkang selepas pilihan raya umum lalu apabila DAP lebih berkuasa di negeri itu walaupun Menteri Besar daripada Pas.
“Kita lihat (Datuk Seri) Mohammad Nizar Jamaluddin di Perak, walaupun dia Menteri Besar tapi dia ikut arahan DAP sehingga (pakatan pembangkang) jatuh. Orang Cina mendakwa ini adalah usaha BN menjatuhkan kerajaan Cina.
“Jadi mereka panggil kerajaan Cina, tak mungkin kita juga akan dapat Perdana Menteri yang semacam Nizar, namanya Melayu, agama Islam tetapi dia bukan sebenarnya bebas, dia adalah alat pada orang lain dan ini boleh berlaku,” katanya.
Beliau yang juga bekas Presiden UMNO berkata demikian dalam wawancara khas dipetik daripada laman web www.umno-online.com yang disiarkan hari ini.
Dr. Mahathir menambah, walaupun Nizar yang mewakili Pas ketika memerintah Perak seolah-olah memperjuangkan Islam, parti itu sebenarnya menggunakan Islam sebagai alat untuk mendapat sokongan.
Sementara itu menurutnya, jawatan sebagai Perdana Menteri di negara ini bukan ‘dikhaskan’ buat orang Melayu atau beragama Islam sahaja sebaliknya ia tertakluk kepada sokongan rakyat ke atas seseorang pemimpin.
“Tidak ada sekatan dalam undang-undang negara, dalam kita punya Perlembagaan tiada yang menghalang orang Cina atau India jadi Perdana Menteri, apa yang perlu sokongan dari majoriti, kalau majoriti dah setuju, kita tak boleh buat apa-apa.” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengkritik hala tuju parti pembangkang lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana dilihat tidak ikhlas memperjuangkan kemahuan rakyat selain hanya mahu merampas tampuk pemerintahan daripada BN.
Sebagai contoh, katanya, PKR wujud bukan kerana mahu menuntut keadilan buat rakyat di negara ini tetapi sebagai platform merealisasikan cita-cita seorang pemimpinnya yang berhasrat menjadi Perdana Menteri.
“Trend itu tidak lagi menjadi tumpuan, tetapi kepada apa saya dapat, apa kau dapat, lebih kepada peribadi. Itulah terbentuknya keadilan, keadilan itu nama sahaja. Tubuh PKR seolah-olah negara ini tidak ada keadilan,” jelasnya.