Friday, February 3, 2012

Penyakit misteri alat sulit menggeleber


NOR AZURA MD AMIN
3 Februari 2012
dollah

PONTIAN - “Saya akan makan Panadol dan ubat batuk sekiranya sakit,” demikian luah lelaki di sini, yang menghidap penyakit misteri di bahagian alat sulitnya.

Lelaki berkenaan, Ali (bukan nama sebenar) berkata, penyakit misteri itu bermula ketika usianya 10 tahun dan sejak itu, bahagian itu semakin membesar dan menggeleber hingga hampir ke paras lutut.

Lebih malang lagi, dia yang dijaga abangnya tidak pernah mendapatkan sebarang rawatan perubatan moden mahupun tradisional bagi mengubati penyakitnya itu.

Ali berkata, kemiskinan menjadi penghalangnya mendapatkan rawatan di klinik atau hospital, selain tidak mahu menyusahkan abang dan kakak iparnya memandangkan mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk membesarkan tiga anak.

Jelasnya, pendapatan yang diperoleh hasil bertukang dikongsi bersama keluarga abangnya yang juga kurang berkemampuan dan mempunyai seorang anak kategori orang kurang upaya (OKU).

Selain itu, perasaan malu untuk memberitahu keadaan penyakitnya itu kepada orang luar, turut menyebabkan dia tidak mahu mendapatkan rawatan.

Ali yang ditemui di rumah abangnya berkata, kesakitan yang dialami ketika penyakit misteri berkenaan menyerangnya semakin teruk sehingga menyebabkan seluruh badannya berpeluh.

“Jika sebelum ini sakitnya cuma bisa sahaja tetapi sejak sebulan yang lalu ia semakin teruk sehingga seluruh badan berpeluh–peluh.

“Selain itu, saya juga sudah semakin sukar bergerak dan mengalami masalah untuk duduk serta bangun,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu kakak iparnya berkata, Ali akan cuba sedaya upaya merahsiakan sakit yang dialami daripada mereka sekeluarga.

Namun, kakak iparnya tidak pernah berputus asa memujuk adik iparnya itu untuk mendapatkan rawatan bagi menyembuhkan penyakitnya.

“Keadaan penyakitnya semakin teruk sejak kebelakangan ini di mana jika sebelum ini sakit yang dialami hanya sekali sekala, namun kini hampir tiap malam dia akan mengadu sakit,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Ali menyatakan kesediaannya untuk menerima sebarang rawatan yang dapat membantu menyelesaikan masalahnya itu.

Dia turut merayu pihak yang sudi tampil membantu meringankan bebannya itu termasuklah perubatan secara tradisional dengan menghubungi 013-7815523.Penyakit misteri alat sulit menggeleber - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'

Rumah timbalan ketua Pas Johor dibakar


G MANIMARAN & FIRDAUS YON
3 Februari 2012
Rumah terbakar
Rumah terbakar

JOHOR BAHRU - Rumah teres dua tingkat milik Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Dzulkifly Ahmad rosak sebahagian dalam kebakaran manakala salah sebuah kereta miliknya rosak teruk, dipercayai akibat perbuatan khianat awal pagi tadi.

Bagaimanapun Dzulkifly bersama isteri dan dua anaknya serta empat saudara maranya selamat dengan bertindak keluar menerusi pintu belakang rumah mereka di Taman Universiti di sini.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 3.40 pagi tadi.

"Kereta dalam garaj dipercayai disimbah minyak meletup. Api marak ke ruang tamu, dan letupan menyebabkan keluarga beliau sedar dan bertindak keluar.

"Beliau (Dzulkifly) ahli keluarga sempat keluar ikut pintu belakang. Anggota polis dan unit forensik ada menemui botol minyak tanah lima liter di kawasan rumah Haji Zulkifli," kata Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat Mazlan Aliman ketika dihubungi Sinar Harian Online awal pagi tadi.

Mazlan yang berada di tempat kejadian ketika dihubungi berkata, pihaknya percaya ia perbuatan khianat pihak-pihak tertentu.

"Haji Dzulkifly akan membuat laporan polis pagi ini," katanya lagi.

Mazlan memberitahu, beliau tidak menolak kemungkinan kejadian itu adalah cubaan membunuh.

Dzulkefly sebelum ini, tambah Mazlan, banyak mendedahkan isu-isu panas di negeri Johor dan dikhuatiri ada pihak yang tidak senang dengan tindakan beliau.

Dalam pada itu, Dzulkifly ketika dihubungi menjelaskan, bahagian depan rumah dan ruang tetamu rosak teruk dalam kejadian awal pagi ini.

"Saya sedar rumah saya terbakar selepas terdengar letupan kuat. Kereta BMW saya rosak sama sekali dan satu lagi kereta rosak sebahagian. Api marak ke ruang tamu, memaksa kami keluar ikut jalan belakang," katanya yang turut mengesahkan ada menemui bekas minyak.

"Ini kali pertama saya alami kejadian ini. Kami ada temui bekas minyak," katanya sama ada beliau percaya ia akibat perbuatan khianat.

Ketika ditemui di rumahnya, beliau berkata, "isteri (saya) bersama jiran turut terjaga kerana letupan ini."

"Sebaik sahaja turun ke aras bawah rumah, saya mendapati bahagian depan rumah dan kereta sudah terbakar. Saya segera memanggil isteri dan lima ahli keluarga lain untuk turun ke bawah. Bimbang dengan keselamatn saya sekeluarga, kami segera menyelamatkan diri menerusi pintu belakang," katanya.

Menurut beliau, kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 pagi sewaktu beliau dengan enam anggota keluarganya sedang nyenyak tidur di tingkat atas rumah.

Kata beliau, pihak bomba berjaya memadamkan api daripada terus marak.Rumah timbalan ketua Pas Johor dibakar - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Organ babi depan masjid


KUALA LUMPUR: Gempar apabila kariah Masjid Al-Hidayah, Sentul di sini, menerima satu bungkusan berwarna putih mengandungi kepala, telinga, kaki dan kulit babi, pagi semalam.
Kejadian jam 7.30 pagi itu berlaku ketika seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid menyapu sampah dan terpandang satu bungkusan mencurigakan di luar pagar masjid yang disangka sampah sebelum menghubungi polis.

Bilal masjid, Mohamad Kofli Shafie, 48, berkata, dia melihat satu plastik putih diletakkan di dalam pintu pagar masjid pada jam 11.30 malam kelmarin.
Katanya, ketika itu, dia mahu pulang ke rumah dan sempat mengalih plastik itu keluar dari masjid menggunakan kaki.

“Pagi ini, AJK masjid memberitahu satu bungkusan ditemui di luar pagar masjid dan ia mengandungi babi,” katanya yang membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu jam 7.45 pagi yang memaklumkan penemuan kepala, kaki, tangan dan kulit babi di dalam satu bungkusan plastik yang diletakkan di luar pagar masjid.
Katanya, siasatan terperinci akan dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana membangkitkan perasaan keresahan dan kemarahan umat Islam yang boleh dikenakan penjara hingga lima tahun.

“Kami menyeru orang ramai supaya tidak panik dan menyerahkan siasatan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Polis merayu orang ramai supaya tidak bertindak balas di atas apa yang terjadi dan menyerahkannya kepada polis untuk menyiasat,” katanya dalam sidang media di tempat kejadian.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, sejak 2010 hingga kini, terdapat lima kes berkaitan kepala babi di masjid.

Katanya, perbuatan itu dirancang dan ada pihak tidak bertanggungjawab cuba membuat provokasi terhadap umat Islam.

“Masalah ini perlu diatasi dan kami minta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas serta mohon kerajaan bersuara.

“Selain itu, anggota Rela perlu diletak di kawasan masjid untuk memantau dan mencadangkan majlis agama negeri memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan masjid,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar menyeru masyarakat supaya tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undang.myMetro | Organ babi depan masjid:

'via Blog this'

Artis dihentak


ANI...pengajaran buat suami
ANI...pengajaran buat suami
KUALA LUMPUR: Penyanyi dangdut dan pelakon, Ani Mayuni membuat laporan polis mendakwa dipukul dan ditendang suaminya selain kepalanya turut dihentak ke dinding bilik di rumah mereka di Desa Rejang, di sini, semalam.
Dalam laporannya, Ani atau nama sebenarnya Aishah An Nur Osman, 33, berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 pagi itu menyebabkan dia mengalami kecederaan di kepala, tangan, dada dan leher.

Sebelum kejadian itu, Ani dikatakan menghubungi suaminya yang berada di luar rumah dan memintanya membeli sarapan.

Bagaimanapun, sebaik pulang ke rumah kira-kira 30 minit kemudian, suaminya terus meluru masuk ke dalam bilik dan mengasarinya.


Bagaimanapun, artis yang popular dengan lagu Sedap itu bernasib baik apabila abang kandungnya yang kebetulan datang ke rumah menyelamatkan dia daripada terus dipukul.myMetro | Artis dihentak:

'via Blog this'

Henti beri wang kepada pengemis - Raja Nong Chik

KUALA LUMPUR 2 Feb. - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memberi wang atau sedekah kepada pengemis kerana tindakan itu hanya akan menyukarkan usaha membanteras gejala tersebut.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, sikap rakyat negara ini yang murah hati itu telah menyebabkan gejala tersebut merebak.
"Masyarakat perlu dididik supaya tidak menyalurkan sumbangan kepada pengemis, sebaliknya menyalurkan sedekah mereka ke rumah anak-anak yatim, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan rumah ibadah yang berdaftar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan kempen "Henti Memberi, Kami Prihatin" di sini baru-baru ini.
Ia merupakan salah satu inisiatif Pelan Transformasi Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama Majlis Kebajikan Pembangunan Masyarakat Kawasan Parlimen (Mayang) Lembah Pantai.
Kempen berterusan selama enam bulan itu akan berakhir pada penghujung Julai.
Raja Nong Chik berkata, kempen itu adalah antara usaha kerajaan untuk membanteras sepenuhnya gejala mengemis di bandar-bandar utama seluruh negara terutama Kuala Lumpur.
"Aktiviti mengemis akan memberi gambaran negatif terhadap Malaysia terutama kepada pelancong asing," katanya.
Katanya, kempen itu menyasarkan penurunan indeks pengemisan dalam bandar raya sebanyak 30 peratus berbanding tahun lepas.
"Pada tahun 2009, seramai 236 orang pengemis telah diselamatkan dan meningkat kepada 373 orang pada 2010. Pada tahun lalu, angkanya meningkat sebanyak 89 kepada 462 kes," katanya.Utusan Malaysia Online - Kota:

'via Blog this'