• Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan permohonan untuk membatalkan saman yang difailkan keluarga penyiasat persendirian, mendiang P Balasubramaniam, yang menuntut ganti rugi mendakwa mereka terpaksa hidup dalam buangan di India.
Permohonan itu dikemukakan melalui peguamnya di mahkamah tinggi di sini, semalam di hadapan pendaftar Morfauzani Mohd Nordin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 Ogos ini untuk pengurusan kes.
Dalam permohonan itu, perdana menteri dan isteri memohon tuntutan terpinda yang dikemukakan plaintif-plaintif bertarikh 23 Jun dibatalkan.

Najib dan Rosmah menyatakan kesemua plaintif tidak ada kuasa tindakan terhadap mereka, selain tuntutan itu mengaibkan, remeh atau menyusahkan, dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Najib turut memohon kebenaran agar mahkamah memberikan kebenaran kepada Rosmah untuk memfailkan pembelaan, sementara menunggu pendengaran permohonan diputuskan.

Turut dituntut, kos permohonan dan kos berbangkit serta lain-lain relif yang ditetapkan mahkamah.

Najib dan Rosmah mengemukakan permohonan itu atas alasan plaintif tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk memulakan atau meneruskan tuntutan.

Pada 23 Jun lalu, Santamil Selvi dan tiga anaknya memfailkan saman dan pernyataan tuntutan terpinda terhadap Najib, Rosmah dan lapan yang lain dengan mendakwa mereka berkonspirasi menyebabkan keluarga itu berpindah ke negara lain.

Mereka memfailkan saman sebanyak RM1 juta sebagai ganti rugi kehilangan pendapatan dengan mendakwa mereka terpaksa hidup dalam buangan di India akibat penarikan balik akuan berkanun.