Saturday, April 25, 2015

Arab Saudi gagalkan serangan bom IS

SABTU, 25 APRIL 2015 @ 12:13 AM



 KUMPULAN militan IS yang dikatakan bertanggungjawab menembak mati dua anggota polis di Riyadh awal bulan ini. - Foto fail AP

 RIYADH: Arab Saudi menyatakan ia menggagalkan rancangan pengeboman oleh kumpulan militan IS yang dikatakan bertanggungjawab menembak mati dua anggota polis di Riyadh awal bulan ini. Menurut pihak berkuasa, tiga kereta yang sarat dengan bom dirampas semasa siasatan pembunuhan itu. Kementerian Dalam Negeri menyatakan seorang lelaki Arab Saudi ditahan di sebuah ladang di utara Riyadh kerana disyaki melakukan pembunuhan itu dan suspek mengaku beliau hanya melaksanakan perintah daripada IS di Syria. Lelaki itu dinamakan sebagai Yazid Mohammed Abdulrahman Abu Niyan, 23. Pihak berkuasa menawarkan satu juta riyal (AS$267,000) bagi penangkapan suspek kedua, seorang lagi rakyat Arab Saudi yang dikenali sebagai Nawaf Sharif Samir al-Anzi. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/49608

'Saya Seorang Wanita' - Bruce Jenner


Diterbitkan: Sabtu, 25 April 2015 10:49 AM

LOS ANGELES: Bruce Jenner, 65, yang merupakan jaguh Sukan Olimpik dan juga bintang program siri realiti tampil sebagai transgender pada Jumaat dengan membuat pengakuan: "Dengan segala niat dan hasrat, saya adalah seorang wanita."
Beliau yang membuat pengakuan menerusi satu temuramah di saluran televisyen ABC News berkata dirinya bergelumang dengan masalah seksualiti itu sejak kecil.
"Saya sentiasa keliru dengan identiti jantina saya sejak kecil," katanya kepada pengacara ABC News, Diane Sawyer.
"Inilah saya, terperangkap... dan saya benci dengan perkataan ini, perempuan yang terperangkap dalam badan lelaki. Saya benci dengan istilah itu."
Bruce Jenner merupakan bintang siri realiti 'Keeping Up with the Kardashians'. 
"Saya melihat begini... Bruce sentiasa bercakap bohong. Dia hidup dengan pembohongan sepanjang hidupnya mengenai siapakah dirinya. Dan saya tidak dapat melakukannya lagi," kata Jenner.
"Otak saya lebih kepada wanita berbanding lelaki," tambahnya.
"Ia sukar bagi semua orang untuk memahaminya, tetapi itulah naluri saya." - ABC News

Tun M: Saya patut terus jadi Perdana Menteri

Tun Mahathir
Tun Mahathir - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR

KUALA LUMPUR - "Kadang-kadang saya rasa saya patut terus jadi Per‎dana Menteri," demikian ujar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya lagi, walaupun sedar diri sudah tidak layak memegang jawatan tersebut, idea tersebut timbul sesekali apabila melihat keadaan negara yang semakin buruk.

"Kadang-kadang saya terfikirkan hal itu saat saya kecewa melihat banyak perkara yang tidak betul sekarang, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa untuk merubahnya.

“Pada masa itu saya akan terfikir, kalaulah saya masih Perdana Menteri, tentu saya akan buat sesuatu,"katanya dalam program Bicara Negarawan yang diadakan di Kelab K, Taman Melawati di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu turut menegur segelintir masyarakat supaya jangan menyokong pemimpin yang korup.

“Kuasa menjadikan kita korup. Tetapi kalau kuasa itu tidak terhad..., kita akan jadi lebih korup daripada yang lain. Sebab itu apabila kita mempunyai kuasa, kita perlu selalu ingatkan diri sendiri supaya sentiasa sedar diri.

“Mak saya selalu berpesan, jangan kita ambil (hak) orang punya. Ini menjadi panduan kepada saya sampai ke hari ini. Kita ambil hak orang lain. Kita fikir orang tidak akan tahu.. Tetapi kita lupa, ALLAH tahu,” katanya lagi sebelum disambut oleh sorakan dan tepukan gemuruh oleh penonton yang memenuhi dewan.

Lampu hijau tembak askar Rusia


Ramzan Kadyrov
Kadyrov
MOSCOW - RUSIA. Pemimpin Chechnya, Ramzan Kadyrov mengarahkan pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke atas tentera persekutuan Rusia jika mereka beroperasi di rantau Kaukasus Utara tanpa kebenarannya.

Kadyrov membuat pengumuman itu, sehari selepas seorang lelaki Chechen terbunuh di Grozny dalam satu operasi khas oleh pihak berkuasa Rusia dari bandar Stavropol.

"Jika ada askar yang muncul di wilayah anda tanpa kebenaran, sama ada mereka dari Moscow atau Stavropol, anda diberi kebenaran untuk menembak mereka," kata Kadyrov.

Kenyataan Kadyrov itu dilihat memburukkan lagi hubungannya dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin. - AFP

China naikkan harga petrol, diesel

minyak

BEIJING - CHINA. China akan menaikkan harga runcit bagi petrol sebanyak 300 yuan (US$49) setan metrik manakala diesel 285 yuan setan metrik, berkuatkuasa esok.

Sejajar kenaikan itu yang juga kali ketiga tahun ini, Suruhanjaya Pembangunan dan Pemulihan Kebangsaan China (NDRC) berkata, harga petrol dan diesel masing-masing akan dinaikkan sebanyak 0.07 yuan seliter dan 0.08 yuan seliter.

"Penyelarasan itu disebabkan kenaikan harga minyak mentah global sejak pertengahan April berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Agensi berita Xinhua melaporkan, harga bahan api itu dikurangkan sebanyak dua kali pada Januari, dinaikkan dua kali pada Februari dan diturunkan semula pada Mac lepas.

Mengikut mekanisme penetapan harga bahan api di China ketika ini, NDRC boleh menyelaraskan harga petrol dan diesel sejajar perubahan harga minyak mentah antarabangsa yang melebihi empat peratus dalam tempoh 10 hari bekerja.

China telah memendekkan tempoh penyelarasan harga bahan api kepada 10 hari daripada 22 hari sejak Mac 2013. - Bernama

Nenek Obama tunai umrah dapat perhatian

Sarah
Sarah merupakan nenek dari pihak ayah Obama yang berasal dari Kenya.

JIKA mempunyai seorang cucu dari kalangan pemimpin dikenali satu dunia, apa saja yang ahli keluarga buat, mesti mendapat perhatian ramai.

Inilah kisah nenek kepada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, Sarah Omar di mana gambar wanita tersebut yang  berada di Arab Saudi untuk menunaikan umrah tersebar dalam media.

Sarah yang berusia  94 tahun dikatakan ke sana bersama beberapa sanak saudara Obama.

Warga emas berkenaan dilaporkan sangat gembira ketika mengunjungi satu pameran  berkaitan  kehidupan Nabi Muhammad SAW di Makkah, selepas menunaikan ibadat berkenaan.

Menurut nenek kepada presiden tersohor itu, beliau kagum dan pameran itu dianggapnya sebagai contoh bagi melihat perkembangan Islam dengan cara yang moden, disokong oleh dokumen saintifik dan sahih.

Sarah merupakan nenek dari pihak ayah Obama yang berasal dari Kenya.

Wanita ini sudah beberapa kali menunaikan haji.

Twitter kerabat Arab Saudi kena godam


Dikritik kerana hadiahkan Bently kepada pengebom
Putera Al-Waleed Talal. (Gambar kecil)
SELEPAS dikritik hebat di laman sosial, seorang kerabat diraja Arab Saudi,  Putera Al-Waleed Talal mendakwa akaun Twitternya digodam.

Media Saudi  melaporkan, kenyataan itu dibuat selepas kerabat Saudi yang juga individu ke-26 terkaya di dunia itu menawarkan 100 kereta Bentley kepada 100 juruterbang yang terlibat dalam kempen pengeboman Yaman.

Kenyataan itu diumumkan selepas tamat fasa pertama pengeboman di negara itu, semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dikritik kerana hadiahkan Bently kepada pengebom]

Bagi pengikut twitter Putera Al-Waleed seramai 3 juta orang, mereka menyokong tindakan tersebut dan tidak kurang juga merasa terhina dengan tawaran terbabit.

Twitter Putera Al-Waleed itu bagaimanapun telah dikongsi lebih 28,000 pengguna dan lebih 5,000 pautan diwujudkan sebelum ia dipadamkan.

Switzerland paling bahagia


Agensi
New York: Switzerland dipilih sebagai negara paling gembira di dunia dalam satu kajian yang dijalankan oleh sekumpulan ahli akademik.
Laporan yang dikeluarkan kelmarin itu memilih Iceland di tempat kedua diikuti, Denmark, Norway dan Kanada.
Laporan Kebahagiaan Dunia 2015 adalah laporan tahunan ketiga yang dikeluarkan bagi menilai dan menjelaskan kebahagiaan di 158 negara di seluruh dunia.
Kajian itu juga bertujuan untuk mempengaruhi dasar kerajaan di seluruh dunia.
Finland, Belanda, Sweden, New Zealand dan Australia semua berada di kedudukan 10 negara paling bahagia.
Laporan itu mendapati tujuh negara sederhana atau kecil di Eropah Barat menduduki tangga 10 negara paling bahagia.
Amerika Syarikat berada di kedudukan ke-15, di belakang Israel dan Mexico manakala Britain berada di tangga ke-21 di bawah Belgium serta Emiriyah Arab Bersatu.
Perancis pula berada di kedudukan ke-29 di belakang Jerman yang berada di tangga ke-26.
Pemboleh ubah utama yang dikira adalah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jangka hayat penduduk, kebebasan untuk membuat pilihan, bebas daripada rasuah dan kemurahan hati penduduk.
Afghanistan dan Syria menyertai lapan lagi negara Afrika, Togo, Burundi, Benin, Rwanda, Burkina Faso, Ivory Coast, Guinea dan Chad di kelompok 10 negara paling tidak menggembirakan.
Walaupun Iraq dilanda konflik tetapi negara itu menduduki tangga ke-112 di atas Afrika Selatan, India, Kenya dan Bulgaria.
“Laporan ini memberikan bukti bagaimana untuk mencapai masyarakat yang bahagia.
“Kebahagiaan bukan sahaja diukur dengan wang tetapi keadilan, kejujuran, kepercayaan dan kesihatan yang baik,” kata pengarah Institut Bumi di Universiti Columbia di sini, Jeffrey Sachs.
John Helliwell dari Universiti British Columbia dan Richard Layard dari Sekolah Ekonomi London turut terbabit menerbitkan laporan setebal 166 muka surat itu.
Helliwell berkata, sains kebahagiaan semakin menekankan kepada perkara yang menggambarkan kualiti kehidupan.
“Kita mesti melabur awal dalam kehidupan anak-anak kita supaya mereka membesar menjadi seorang dewasa yang berdikari, produktif dan gembira serta menyumbang kepada sosial serta ekonomi,” ujarnya.
Indeks kebahagiaan pertama kali diterbitkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2012.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/46208#sthash.q2RR2q9X.dpuf

Bayi 4 tangan, 4 kaki

Dumri-Isri : Ribuan penganut Hindu berkunjung ke bandar kecil ini di negeri Jharkand, timur India, untuk menyembah seorang bayi yang dilahirkan dengan empat kaki dan empat tangan.
Bayi itu yang lahir sedemikian kesan daripada kembar siam tidak menjadi, dianggap sebagai jelmaan Tuhan Ganesha.
Sehingga semalam dia masih belum diberi nama.
Ganesha adalah antara Tuhan yang paling banyak disembah oleh penganut Hindu dan digambarkan sebagai seekor gajah bertangan empat.
Seorang pengunjung Kuntalesh Pandey memberitahu media tempatan, dia datang sejauh 72 kilometer untuk melihat bayi itu.
“Apabila saya menerima gambar bayi berkenaan daripada seorang rakan, saya tidak mempercayainya. Tetapi apabila dia mengesahkan ia benar, saya terus datang,” katanya.
Keadaan ibu bayi itu, Ureda Khatun, tidak diketahui.
Bagaimanapun, ini bukan kali pertama seorang bayi disembah oleh penganut Hindu selepas dilahirkan dengan keadaan fizikal luar biasa.
Tahun lalu, seorang budak yang lahir dengan ‘ekor’ sepanjang suku meter mengumumkan dia mahu menjalani pembedahan membuangnya, walaupun disembah sebagai Tuhan.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:10 AM


BAYI yang dilahirkan dengan empat kaki dan empat tangan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/46227#sthash.z3uT47E7.dpuf

Pakar forensik tunjuk gambar mangsa MH17 dipecat


SEORANG anggota tentera Pro-Rusia memeriksa bangkai pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.


AMSTERDAM – Seorang pakar forensik Belanda yang membantu mengenal pasti identiti mangsa nahas Penerbangan MH17 di Ukraine pada tahun lalu dipecat selepas dia menunjukkan beberapa gambar mangsa pada satu kuliah awam, kata pihak kerajaan kelmarin.
“Kerjasama dengan pakar itu, George Maat telah ditamatkan,” kata Menteri Kehakiman Belanda, Ard van der Steur.
Terdahulu, beliau menyifatkan ceramah yang disampaikan Maat sebagai tidak sesuai kerana ia boleh menyinggung perasaan waris mangsa.
Maat merupakan seorang pakar antropologi Universiti Leiden yang terletak di bandar Maastricht, selatan Belanda.
Beberapa wartawan stesen televisyen swasta Belanda, RTL Nieuws menghadiri kuliah tersebut yang dianjurkan oleh sebuah persatuan pelajar perubatan.
Dalam ceramahnya, Maat menunjukkan beberapa gambar cebisan badan mangsa dan menjelaskan elemen yang digunakan dalam proses pengecaman.
Mengulas situasi tersebut, seorang jurucakap Pasukan Penyiasat Forensik Kebangsaan Belanda (LTFO), Thomas Aling berkata, Maat telah digantung kerja, manakala tindakan lanjut terhadapnya sedang dalam pertimbangan.
“Dia menunjukkan gambar yang tidak wajar dipaparkan dalam kuliah awam.
Maat juga memberi komen di luar kepakarannya terutama mengenai punca nahas berkenaan itu yang menurut Aling, tidak benar.
Kesemua 298 penumpang termasuk anak kapal Malaysia Airlines terbunuh.
Bagaimanapun, gambar-gambar itu sebenarnya boleh ditunjukkan untuk tujuan pendidikan tetapi bukan untuk tontonan umum. Laman Facebook mengenai acara itu pula menyatakan, ia terbuka kepada orang awam.
Mengulas isu itu, Maat menjelaskan, dia menunjukkan gambar-gambar itu kerana menyangka majlis berkenaan hanya dihadiri oleh pelajar perubatan dan tidak mengetahui ia dibuka kepada umum, kata Maat dalam satu kenyataan yang disiarkan polis Belanda.
Ukraine dan Barat sebelum ini menuduh pejuang pemisah pro-Rusia menembak jatuh MH17 dipercayai menggunakan sistem peluru berpandu BUK yang dibekalkan oleh Rusia.
Moscow bagaimanapun menafikan tuduhan itu sebaliknya menuding jari kepada Kiev. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0425&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3YHlAMRUe 
Hakcipta terpelihara