Tuesday, March 27, 2012

James Cameron berjaya ekspedisi selam

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Gambar yang baru didedahkan kelmarin, menunjukkan kakitangan misi projek Cabaran Laut Dalam memeriksa kapal selam khas Deepsea Challenger untuk ujian pertama di Jervis Bay, selatan Sydney, bulan lalu. – REUTERS


WASHINGTON 26 Mac – Pengarah filem Titanic, James Cameron selamat naik ke permukaan laut selepas melakukan ekspedisi solo menyelam di dasar laut paling dalam di Lautan Pasifik, Jurang Mariana, menggunakan kapal selam.
Penganjur ekspedisi projek Cabaran Laut Dalam di laman Twitter menyatakan bahawa ‘Jim Cameron sudah sampai ke permukaan laut! Tahniah kerana melakukan penyelaman bersejarah itu secara solo ke pusat paling dalam di laut berkenaan’.
Rakan misi ekspedisi tersebut, National Geographic berkata, Cameron menyelam pada kedalaman 10,898 meter pada pukul 7.52 pagi ini waktu tempatan (5.52 pagi waktu Malaysia) di Jurang Mariana menggunakan kapal selam yang direka khas.
Pengarah itu ialah individu pertama melakukan penyelaman secara solo di Jurang Mariana, barat daya Guam.
Penyelaman terakhir ke kawasan tersebut dilakukan oleh sepasukan terdiri daripada dua orang pada 1960.
Pengarah filem itu meluangkan masa selama beberapa jam di dasar laut bagi mengumpul sampel untuk kajian saintifik dan mengambil gambar.
Misi Cameron bertujuan membawa balik data dan spesimen dari kawasan yang masih belum dijelajah manusia itu.
Dia dijangka mengumumkan keputusan eksperimen itu tidak lama lagi. – AFP

'via Blog this'

Demonstrasi kenaikan harga minyak di Jakarta

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Polis menghalang tindakan kumpulan mahasiswa menyekat laluan sebuah trak membawa petrol milik syarikat minyak Pertamina, semasa satu bantahan menentang cadangan kerajaan menaikkan harga bahan api di Bondowoso, semalam. - AFP


JAKARTA 26 Mac - Polis Jakarta meminta bantuan 8,000 anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) untuk mengawal keselamatan di ibu negara ini menjelang tunjuk perasaan besar-besaran yang dijadual berlangsung esok bagi membantah kenaikan harga bahan bakar.
Dengan gabungan askar TNI dan anggota polis Jakarta, sejumlah 22,000 anggota pasukan keselamatan akan ditugaskan untuk berkawal semasa protes itu, menjelang kenaikan harga bahan bakar yang dijadual dikuatkuasakan oleh kerajaan pada 1 April ini.
"Tentera Nasional Indonesia (TNI) tidak akan bersemuka dengan orang ramai, tetapi akan berkawal di sekitar objek-objek penting," kata jurucakap Polis Jakarta, Komander Kanan Rikwanto, di sini hari ini.
'Objek penting' yang dimaksudkannya termasuk pelabuhan, lapangan terbang dan jalan bertol.
Polis menerima laporan sekurang-kurangnya 8,000 penunjuk perasaan sudah bersedia untuk melancarkan protes di sini esok bagi membantah kenaikan harga bahan bakar.
Bagaimanapun angka sebenar dijangka jauh lebih besar kerana kesatuan sekerja dan pertubuhan pelajar sudah berikrar akan menyertai demonstrasi itu esok.
Kemungkinan besar mereka akan tertumpu di kawasan protes yang biasa diadakan iaitu di bulatan lalu lintas di Hotel Indonesia dan Istana Presiden di Jakarta Tengah, serta kompleks Parlimen di Jakarta Barat.
Kerahan askar TNI bagi mengawal tunjuk perasaan, yang mula dilancarkan ketika kerajaan mengumumkan pelan kenaikan harga bahan bakar pada awal bulan lepas, mencetuskan pelbagai kritikan termasuk daripada ahli Parlimen dan pemerhati politik.
"Kami berharap protes akan diadakan secara aman dan jika orang ramai berasa bimbang mengenai kemungkinan meletusnya kekacauan, mereka boleh melaporkannya kepada polis," ujar Rikwanto. - AGENSI

'via Blog this'

Tiga juta belum namakan waris

Berita Harian Online | Tiga juta belum namakan waris:
KUALA LUMPUR: Kira-kira tiga juta atau 43 peratus daripada tujuh juta pendeposit Lembaga Tabung Haji dikesan masih belum membuat penamaan waris bagi simpanan mereka. 

Jurucakap Tabung Haji berkata, keadaan itu boleh mendatangkan kesukaran kepada ahli keluarga membuat tuntutan wang pusaka sekiranya pendeposit itu meninggal dunia.
Katanya, Tabung Haji sentiasa merujuk kepada borang penamaan waris sebelum memutuskan sebarang tuntutan wang pusaka bagi kes-kes kematian pendepositnya.
“Pengurusan Tabung Haji menyeru semua pendepositnya yang belum membuat sebarang penamaan waris agar bertindak segera membuat penamaan waris di mana-mana 119 cawangan Tabung Haji di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam. 

Tabung Haji berkata, borang penamaan waris boleh didapati di semua cawangannya atau muat turun dari laman www.tabunghaji.gov.my yang memerlukan pendeposit menyerahkan borang itu di cawangan Tabung Haji berdekatan bagi tujuan keselamatan dan pengesahan. 

Tabung Haji juga menyarankan pendeposit yang membuat penamaan supaya menyemak dan mengemas kini penamaan waris mereka jika ada perubahan membabitkan perkahwinan, perceraian, kelahiran dan kematian. 

Katanya, pendeposit boleh menghubungi Tabung Haji ‘Contact Centre’ di talian 03-62071919 atau faks, 03-77284959 atau e-mel ke th-info.gov.my.

'via Blog this'

Hasan cabar Azmin

Berita Harian Online | Hasan cabar Azmin:
PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dicabar supaya menjelaskan butiran sumber kewangannya untuk membeli saham bernilai jutaan ringgit ketika menjadi pegawai kerajaan pada 1992 hingga 1994 daripada terus mencari kesalahan orang lain.

Ahli Parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa itu diminta segera berbuat demikian kerana ketika itu beliau hanya pegawai kerajaan biasa yang tidak mampu memiliki banyak wang untuk membeli saham bernilai berjuta-juta ringgit.
Bekas EXCO Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, berkata Mohamed Azmin sepatutnya terlebih dulu mencermin diri sebelum melemparkan sebarang tuduhan jahat terhadapnya.
“Sila jelaskan dari mana sumber kewangan YB Bukit Antarabangsa dan isterinya membeli saham yang nilainya mencecah RM2 juta, sedangkan ketika itu saya difahamkan beliau hanya menerima gaji kira-kira RM2,000 saja.

“Sila nafikan laporan yang menyatakan Pengerusi Yayasan Pembangunan India Malaysia, S A Vickneswaran yang mendakwa Azmin dan isteri termasuk seorang ipar memiliki saham mencecah RM8.5 juta pada awal 1990-an. Saya timbulkan perkara ini kerana bagi saya Mohamed Azmin tidak mempunyai ‘locus standi’ untuk berbicara soal kredibiliti, integriti dan ketelusan,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Hasan menganggap tuduhan Mohamed Azmin beliau menggunakan ratusan ribu ringgit untuk membaikpulih pejabat EXCO Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam serta program Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri, sebagai tindakan tersirat yang mahu menjatuhkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Tindakan mempersoalkan kewibawaan saya di DUN baru-baru ini secara langsung mempertikai kredibiliti kerajaan negeri pimpinan Khalid. Ini kerana kelmarin Khalid sendiri sudah mengesahkan perbelanjaan itu mengikut tata cara perbendaharaan negeri. 
“Ini seperti membunuh dua burung dengan sebiji batu. Memang PKR ada perbalahan dalaman di Selangor kerana Azmin menggantikan Khalid sebagai Pengerusi PKR negeri. Malah, dengan kedudukan Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai penasihat ekonomi negeri, pasti lebih selesa buat Azmin,” katanya.

Hasan turut mencadangkan supaya semua perbelanjaan EXCO dan pengarah agensi serta anak syarikat kerajaan negeri diisytiharkan kerana ada pihak lain yang mengeluarkan belanja lebih besar untuk membaik pulih pejabat.

“Saya merasakan jumlah yang saya belanjakan sederhana kerana pengubahsuaian termasuk untuk semua pegawai dan kakitangan Skim Mikro Kredit Selangor (SKIMSEL) berjumlah 19 orang. Mengikut maklumat, kosnya lebih rendah jika dibandingkan pengubahsuaian pejabat EXCO lain,” katanya.

Mengulas isu lain, Hasan berkata, beliau menyokong langkah Datuk S Nallakarupan untuk berdepan dengan Anwar di mahkamah kerana baginya “biar orang yang paling rapat dengan Anwar mendedahkannya kerana rakyat mahu pemimpin yang mempunyai moral tinggi saja berada di Putrajaya.”

Saranan supaya Mohamed Azmin mendedahkan sumber kewangannya, disokong Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim yang menegaskan tidak wajar mencari kesalahan pihak lain sedangkan beliau belum menjawab perkara itu selepas didedahkan bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari.

“Kita ingin tahu siapa insan yang bermurah hati memberikan begitu banyak wang kepada Mohamed Azmin. Isu ini asalnya didedahkan oleh Anuar, iaitu orang yang pernah bersama-sama dengan Mohamed Azmin ketika berkhidmat untuk Anwar. Rakyat juga berharap polis dapat mendedahkan hasil siasatan kerana Anuar sudah menyerahkan segala bukti kepada pihak berkuasa pada 2009,” katanya.

Sementara itu, pada sidang DUN pagi semalam, Hasan mempersoalkan dana RM300 juta di bawah geran Selangorku yang dikatakan tidak direkodkan dalam akaun Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

'via Blog this'