Sunday, September 19, 2010

Peminjam PTPTN wajib bayar semula pinjaman melalui potongan gaji bermula Jun 2010

TEMERLOH: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan melaksanakan pemotongan gaji secara wajib bagi mendapatkan semula pinjaman daripada peminjam yang gagal berbuat demikian mulai Jun tahun depan.
Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, mulai Jun tahun depan, semua peminjam terutama lebih 46,000 peminjam yang liat membayarnya, diwajibkan membayar balik pinjaman itu secara potongan gaji melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Ismail yang mula memegang jawatan sebagai Pengerusi PTPTN bermula 1 September lepas berkata, pelaksanaan itu akan membabitkan pindaan Akta PTPTN 1997. Katanya, cadangan bagi meminda undang-undang itu akan dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya awal tahun depan. "Kita akan membincangkan mengenai pindaan Akta PTPTN 1997 berhubung perkara itu pada hujung bulan ini dengan pihak LHDN dalam mesyuarat ahli lembaga dan cadangan itu akan dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun depan," katanya kepada pemberita di majlis jamuan Aidilfitri Parlimen Kuala Krau dekat sini hari ini. Hadir sama Pemangku Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusuf. Beliau berkata, pihaknya juga akan menunggu keputusan kerajaan berhubung gaji minimum yang akan ditetapkan kepada peminjam sebelum potongan gaji dilakukan. Ismail berkata, usaha itu juga diambil bagi kepentingan semua pihak terutamanya supaya ia tidak mengganggu pemberian pinjaman kepada peminjam lain yang bakal melanjutkan pengajian ekoran sikap peminjam terdahulu yang liat membayar balik pinjaman. Beliau berkata, cara pembayaran secara sukarela oleh peminjam seperti melalui pemotongan gaji, di kaunter bank dan secara online dilihat tidak berkesan di mana 46,000 daripada 1.6 juta peminjam langsung tidak pernah membayar balik pinjaman. Ismail yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Krau berkata sejak 1997 sehingga Julai lalu, PTPTN sudah mengeluarkan dana pinjaman sebanyak RM23 bilion daripada jumlah dana yang diperuntukkan untuknya iaitu RM35 bilion. "Sepatutnya bulan Julai lalu kita sepatutnya berjaya mengutip semula RM3.6 bilion daripada jumlah RM23 bilion itu, namun kita hanya mampu kutip RM1.8 bilion ekoran kedegilan peminjam," katanya. Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan 1.6 juta peminjam, hanya 42 peratus atau 600,000 peminjam yang membayar balik pinjaman setakat ini. Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengarahkan PTPTN supaya bekerjasama dengan kementerian dan jabatan kerajaan terlibat bagi mendapatkan data lengkap peminjam seterusnya mengenal pasti mereka yang masih gagal membayar semula pinjaman untuk memudahkan urusan bayaran balik pinjaman menerusi potongan gaji yang akan dilaksanakan tahun depan. -Bernama

UMNO, Perkasa perjuangan atas landasan berbeza


19/09/2010 5:44pm

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Walaupun UMNO dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memperjuangkan hak orang Melayu namun kedua-duanya berada di atas landasan berbeza, kata Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Datuk Mohamed Aziz.
Beliau berkata, UMNO berjuang sebagai sebuah parti politik sementara Perkasa sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
Namun begitu, beliau berkata perjuangan UMNO adalah lebih luas kerana ia bukan sahaja melibatkan orang Melayu tetapi semua penduduk di negara ini.
“(Oleh itu), tidak ada apa yang bercanggah dari segi matlamat. Dia (Perkasa) dengan perjuangan dia, (sementara) perjuangan UMNO jelas tidak ketepikan kepentingan kaum lain.
“Ini uniknya UMNO. Inilah yang jadikan Malaysia sebuah negara majmuk tapi bersatu padu,” kata Mohamed yang juga Anggota Parlimen Seri Gading kepada pemberita pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Parlimen di sini hari ini. - Bernama

Pemuda UMNO yakin daftar 20,000 pengundi baru

19/09/2010 7:03pm

PARIT 19 Sept. - Pergerakan Pemuda UMNO yakin sasarannya untuk mendaftar lebih 20,000 pengundi baru sepanjang program rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran UMNO bahagian di seluruh negara akan dapat dicapai, kata Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda UMNO, Hisyamuddin Yahya.
Beliau berkata, kaunter yang dibuka Pemuda UMNO di majlis-majlis rumah terbuka yang diadakan telah mendapat sambutan menggalakkan.
"Sehingga kelmarin, semua kaunter yang dibuka sempena Hari Terbuka Aidilfitri di seluruh negara telah mencapai sebanyak 30 peratus dari apa yang disasarkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Parit di sini hari ini. - Bernama

Keluarga rayu bawa pulang anak lelaki dari Medan



19/09/2010 4:23pm

BALING - Sepasang suami isteri dari Kampung Bukit Palong, Bongor di sini merayu kepada mana-mana pihak bagi membantu membawa pulang anak lelaki mereka yang ‘terkandas’ di Medan, Indonesia sejak mengikut isterinya, seorang warga Indonesia ke sana lebih enam tahun lepas.
Mohd. Khalid Mat Amin dan isteri Genah Beram, kedua-duanya berusia 49 tahun, berkata, anak lelaki mereka, Mohamad Shahril, 30, kini berada di Kampung Durian, Kacamatan Sel Balai Kab, Asahan Kisaran, Medan.
Mohamad Shahril ke sana selepas mengikut isterinya, Nur Diana Sibuea, 27, bersama dua anak mereka, dan mendakwa tidak dapat pulang ke Malaysia kerana kesukaran hidup, kata pasangan suami isteri itu.
"Mohamad Shahril beberapa kali merayu supaya keluarga di sini mengirimkan wang kepadanya untuk tambang pulang kerana tidak mampu lagi meneruskan kehidupan di kampung halaman isterinya,” kata Genah.
Dia turut merayu supaya Kelab Putera 1Malaysia yang dipengerusikan Datuk Abd Azeez Abd Rahim yang juga Ketua UMNO Bahagian Baling membantu mereka untuk membawa pulang Mohamad Shahril, isteri dan tiga anaknya ke Malaysia. - Bernama

Wan Chik syukur hajat suami meninggal Jumaat termakbul


Oleh Zaidi Mohamad
bhnews@bharian,com.my
2010/09/19

Wan Chik Daud
Wan Chik Daud
Hasrat pelakon dikebumi bersebelahan pusara ibu juga dilaksana 

KUALA LUMPUR: Isteri kedua pelakon M Rajoli, Wan Chik Daud bersyukur kerana hasrat Allahyarham untuk meninggal dunia pada hari Jumaat termakbul. Allahyarham meninggal dunia di Hospital Ampang pada jam 10.45 malam kelmarin.“Saya diberitahu Allahyarham juga mahu dikebumikan bersebelahan dengan kubur arwah ibunya yang meninggal dunia pada 2 Ramadan tahun lalu dan hal itu juga dipenuhi keluarganya. Saya bersyukur akhirnya dia dijemput Penciptanya kerana memang itu kehendaknya.
“Dulu dia pernah berkata akan menjadi insan yang paling bahagia jika nyawanya dicabut Tuhan pada usia 63 tahun seperti mana usia wafatnya Nabi Muhamad SAW. Memang sudah lama dia bersedia bertemu dengan Tuhan dan persoalan mengenai akhirat sentiasa meniti dibibirnya,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu. 

Bekas pembaca berita RTM itu berkata, beliau juga diberitahu saat Allahyarham sedang nazak, mulutnya tidak pernah lekang menyebut kalimah suci. 

“Allahyarham sangat ceria orangnya. Dia sangat kasih kepada Allah dan Rasul. Dia berlakon pun atas tiket berdakwah dan mencari rezeki yang halal untuk keluarga. Dia juga tak nak saya berkahwin lagi. Dialah pemimpin, kawan dan tempat mengadu saya selama ini. Dia tiada tolok bandingnya,” katanya. 

Menurut Wan Chik lagi, dia tidak mahu mengeruhkan ‘sengketa’ di antaranya dan keluarga isteri pertama yang pernah dilaporkan media sebelum ini. Wan Chik juga mengiyakan bahawa dirinya masih lagi isteri kedua kepada Allahyarham. 
Katanya, dia hanya dapat tahu mengenai berita nazak Allahyarham daripada pelakon Kartina Aziz dan jiran yang menghubungi. 

Mengenai ketiadaannya pada majlis pengebumian itu, Wan Chik berkata tiada guna jika hanya dapat menjenguk mayat suaminya yang sudah terkujur kaku. 

“Sudah setahun setengah saya tidak bertemu dengan suami sepanjang hayatnya masih ada. Jadi kalau alang-alang nak tengok, lebih baik saya dapat melihatnya ketika masih bernyawa. Saya rasa tak perlu untuk saya bertemu dalam keadaan begini. 

“Sekalipun kami tak dapat bersua di dunia, harapnya kami dapat bertemu kembali di akhirat. Saya hanya mampu pasrah dan reda dengan ketentuan ini. Sebagai hamba-Nya, saya hanya mampu menghadiahkan bacaan Yasin dan ayat suci kalamullah kepada Allahyarham. 

“Saya amat merinduinya dan yakin Allahyarham juga melalui perkara yang sama. Tiada guna ke sana (tanah perkuburan) hanya kerana mahu berdepan dengan orang ramai dan menangis sedangkan Allahyarham sudah tiada di muka bumi,” kata Wan Chik. 

Agong tiba untuk lawatan tugas khas di Kanada


MONTREAL (KANADA) - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin tiba di sini pada Sabtu untuk memulakan lawatan tugas khas selama enam hari ke Kanada sempena projek 'Brain Gain' Malaysia.

Keberangkatan tiba baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Pierre Elliot Trudeau pada 6 petang (6 pagi Ahad waktu Malaysia) disambut Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada Selwyn Das.

Lawatan 'Brain Gain' Malaysia yang dianjurkan bersama oleh Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM), Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu antara lain bertujuan membangunkan kepakaran teknikal dan saintifik dalam beberapa bidang strategik antara universiti di Malaysia dan Kanada.

Antaranya ialah bidang perubatan yang melibatkan Universiti McGill di sini dan bidang pertanian serta makanan membabitkan Universiti Guelph di Toronto.

Tuanku Mizan dijadual berangkat menyaksikan beberapa majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) melibatkan Universiti Teknologi Mara, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Putra Malaysia dengan kedua-dua universiti terbabit. 

Baginda juga akan melawat Hospital Besar Montreal untuk meninjau sendiri projek 'Super Hospital' yang dilaksanakan di situ selain melawat Lucky Harvest Therapeutic Riding Centre pada Ahad. - BERNAMA

Mufti saran hukum Qisas



ALOR SETAR - Masyarakat kini harus kembali kepada ajaran al-Quran dengan melaksanakan hukum Qisas atau hukum balas bagi kesalahan jenayah melampau yang disifatkan kejam dan di luar tabii. 

Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, hanya hukuman yang boleh memberi pengajaran kepada pesalah dan orang sekeliling dapat membendung jenayah kejam daripada terus berleluasa. 

“Hukuman sedia ada tidak memberi pengajaran sewajarnya kepada masyarakat, tidak hairanlah jenayah makin berleluasa sehingga ada pihak sanggup membunuh warga emas, kanak-kanak mahupun membuang bayi tanpa ada belas kasihan,” katanya. 

Sheikh Muhamad Baderudin berkata, hukuman Qisas seperti yang termaktub dalam kitab suci adalah sesuai untuk semua zaman, malah Allah SWT telah menyebut bahawa hukuman ini dapat memberi kehidupan yang selesa pada masyarakat. 

“Apabila masyarakat melihat kesan daripada hukuman ini, contohnya mencuri hukumannya potong tangan. Mereka akan takut untuk melakukan jenayah itu kerana boleh menyebabkan mereka hilang anggota badan. Oleh itu mereka tidak berani buat begitu pada orang lain kerana hukum balas ini adalah supaya pesalah merasai keperitan mangsa,” katanya. 

Sheikh Muhamad Baderudin mengulas kejadian tragis yang menimpa jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya yang dipukul, dibunuh dan dibakar selain abu mayat kesemua mangsa dibuang ke dalam sungai, baru-baru ini. 

Tragedi yang turut memberi kesan pada masyarakat ialah insiden seorang warga emas wanita, Lian Osman, 74, yang tinggal bersendirian di Yan, mati dibunuh selepas disamun di dalam rumah sendiri pada 15 Ogos lalu. 

Kejadian lain membabitkan seorang wanita berusia 26 tahun, Suhana Mohd Shariff dari Kota Tanah, dekat sini, yang ditikam rakan baiknya sendiri sebanyak tujuh kali di perut menggunakan sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 17.8 sentimeter. Kejadian pada 2 Mei itu menggemparkan rakyat Kedah kerana dianggap kejam dan tidak berperikemanusiaan. 

Sheikh Muhamad Baderudin berkata, manusia menjadi semakin kejam apabila kehidupan mereka bertunjangkan duniawi sehingga sanggup berbunuhan demi harta kekayaan. 

“Banyak faktor yang menyumbang kepada kekejaman, antaranya tekanan hidup, gila harta dan kuasa. Sikap cintakan duniawi punca berlakunya kepincangan dalam masyarakat. Kita sudah hilang nilai-nilai murni dan agama yang sepatutnya dipupuk sejak kecil,” katanya. 

Menurutnya, ajaran Islam tidak hanya mementingkan hukuman setimpal, sebaliknya sebelum pesalah dikenakan hukuman, mereka perlu diberi didikan. 

“Jika didikan tidak beri kesan, barulah dikenakan hukuman setimpal yang boleh memberi pengajaran. Ini termasuk gejala sosial seperti buang anak dan berzina,” katanya. 

Sheikh Muhamad Baderudin turut kesal kerana perbuatan kejam yang banyak dipaparkan di dada akhbar menunjukkan realiti kepincangan masyarakat kini. 

“Orang yang bertamadun tidak akan melakukan kekejaman yang melampau,” katanya.

UMNO rangka '5P' untuk majukan bangsa: Ahmad



KOTA BHARU - UMNO dan Barisan Nasional (BN) merangka lima perkara yang dikatakan '5P' dalam memajukan bangsa Melayu tanpa melihat kepada batasan parti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agama dan kaum. 

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, antaranya 'P' yang pertama perubahan melalui transformasi yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, supaya sikap dan minda berubah dengan menolak perkara negatif dan mengambil yang positif. 

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, perkara kedua ialah pendidikan dan kerajaan terus mengamalkan sikap kesamarataan bagi memastikan yang susah dibantu supaya menjadi senang. 

“Seterusnya 'P' ketiga, perniagaan, orang Melayu juga perlu maju dan bersaing dengan masyarakat Cina dan India yang lebih maju dalam bidang perniagaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini sempena lawatan sehari beliau ke Kelantan, semalam. 

Beliau berkata, 'P' keempat ialah perpaduan yang menjadi teras utama kepada pembentukan sebuah negara yang maju tanpa perbezaan kaum dapat hidup dengan aman damai. 

Seterusnya beliau ber:kata, 'P' kelima, politik dan pemimpin yang dianggap paling penting dalam mewujudkan sebuah negara maju dan mencapai matlamat untuk rakyat hidup dengan lebih baik lagi. 

“Kalau tersilap pilih pemimpin negara akan tergadai dan masa depan rakyat tidak menentu,” katanya.

Lima pemandu bas positif dadah

PUTRAJAYA: Walaupun tiada pemandu bas ekspres dikesan cuba mengejar ‘trip’ bagi mendapatkan habuan sepanjang Aidilfitri, kaitan pemandu dengan najis dadah masih berterusan apabila lima pemandu bas dikesan positif dadah.
Meskipun jumlah dikesan sehingga kelmarin itu kecil berbanding 30 kes pada tempoh sama tahun lalu, ia tetap menjadi tumpuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan pemandu bas ekspres bebas dadah.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan berkata, pihaknya mengakui pengusaha bas mengambil berat peraturan operasi ditetapkan sepanjang musim perayaan bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang yang ingin balik ke kampung.

Katanya, sebelum ini ada pengusaha bas lebih mengejar ‘trip’ tanpa mengambil kira keletihan pemandu, tetapi masalah itu tidak wujud lagi berdasarkan pemerhatian dilakukan.

“Kita sudah melakukan pemeriksaan di depoh dan hentian bas berkaitan dan bersoal jawab dengan pemandu yang mengakui mereka tidak lagi perlu mengejar trip dan diberi rehat secukupnya sebelum memulakan pemanduan keesokannya.

“Saya melihat pengusaha bas ekspres melakukan penjadualan kepada semua pemandu mereka supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini berikutan pemandu tidak boleh memberi tumpuan disebabkan mengantuk dan letih,” katanya, semalam.

Solah berkata, pemeriksaan lebih teliti juga dilakukan terhadap keadaan fizikal bas ekspres bagi memastikan kenderaan itu dalam keadaan baik, terutama sepanjang musim perayaan.

Oleh itu, katanya, anggota JPJ akan melakukan pemeriksaan lebih kerap di hentian bas dikenal pasti bagi memastikan pengusaha bas mematuhi peraturan ditetapkan JPJ, termasuk memastikan pemandu bebas dadah dan bersedia untuk memandu, terutama membabitkan perjalanan jauh.

Mengulas lanjut, Solah berkata, penguatkuasaan Ops Sikap ke-22 sempena musim perayaan sehingga kelmarin memperlihatkan 6,281 bas diperiksa dan 176 daripadanya dikenakan tindakan.

“Berdasarkan jumlah itu, JPJ mengeluarkan 216 saman terhadap 268 kesalahan sama ada terhadap pengusaha bas atau pemandu bas terbabit dan tidak ada bas disita,” katanya.

Kes bunuh Sosilawati: RM1j setahun

BATU PAHAT: Pengasas rangkaian produk kecantikan Nouvelles Visage, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bukan saja membantu menyediakan pekerjaan bagi membaiki taraf hidup ahli keluarga, malah memperuntukkan RM1 juta setahun bagi membiayai perbelanjaan anak yatim di seluruh negara.
Katanya, keluarga bukan mahu bermegah atau berbangga dengan pemberian kakaknya, namun berasa terharu kerana kakaknya tidak pernah melupakan asal usul dan menghulurkan bantuan kepada pelbagai pihak yang memerlukan.

“Hubungan kami rapat, namun keluarga tidak pernah mengambil tahu perbelanjaan dan cara Kak Wati menggunakan wangnya.

“Namun apabila Dr Robia memberitahu Kak Wati memperuntukkan RM1 juta untuk anak yatim seluruh negara setiap tahun, kami rasa terharu.

“Bukan niat mahu bermegah, tetapi terharu kerana ia membuktikan Kak Wati tidak pernah lupa pada awal perjalanan hidup kami yang susah dengan menghulurkan bantuan bagi membantu insan kurang bernasib baik ketika dia menerima rezeki yang melimpah ruah,” katanya.

Menurutnya, selain menghulurkan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik, kakaknya tidak lupa membantu adik-beradiknya bagi membolehkan mereka membaiki taraf hidup.

Katanya, selain sifat tidak suka meninggi diri, Kak Wati sentiasa mencari peluang membantu adik beradik, terutama menyediakan peluang pekerjaan.

Ketua Kampung Sri Menanti, Sri Medan, Omar Salleh, 63, berkata Sosilawati sebenarnya tidak suka pemberiannya diperbesarkan kerana tidak mahu dianggap menunjuk-nunjuk sedangkan dia ikhlas memberi bantuan.

“Sifat pemurah Sosilawati banyak membantu penduduk dengan memberi bantuan berterusan kepada Masjid Seri Dayong, Sri Medan; surau di Kampung Sri Menanti dan sekolah angkatnya, Sekolah Kebangsaan Seri Dayong serta Sekolah Agama Seri Dayong.

“Ketiadaannya bukan saja menyedihkan keluarga dan penduduk, malah murid sekolah yang banyak merasai pemberiannya sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, penduduk kampung berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dengan teliti bagi menjawab kehilangan Sosilawati.

Seorang penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, penduduk menghormati keluarga itu yang melalui pelbagai dugaan sepanjang tahun ini, terutama kehilangan Sosilawati.

“Jika benar suspek melakukan pembunuhan kejam itu, kami berharap hukuman keras dijatuhkan terhadap mereka.

“Kehilangan Sosilawati bukan saja ditangisi keluarga, malah penduduk kampung terasa kehilangan beliau yang banyak menabur jasa di kampung ini.

“Wang boleh dicari tetapi nyawa tidak boleh diganti, berikutan itu penduduk berharap jika benar Sosilawati dibunuh, biar pelakunya mendapat balasan setimpal,” katanya.

Katanya, hampir setiap hari dia melawat keluarga Sosilawati untuk memberi sokongan dan berharap keluarga berkenaan tetap tabah mengharungi ujian ini.

Seorang lagi penduduk, Tukinah Samsuri, 40, berkata kali terakhir dia menemui Sosilawati ketika kenduri tahlil arwah sebelum Ramadan lalu.

“Sejak berita pembunuhannya disiarkan akhbar, perasaan bimbang penduduk bertukar sedih dan berharap penjenayah berkenaan akan dikenakan tindakan tegas,” katanya.

Adik ipar Sosilawati, Misjan Jamikun, 48, berkata keluarganya membuat persiapan bagi mengkebumikan jenazah berbentuk tulang atau cebisan daging jutawan itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Menanti.

Bantahan anti-Jepun meluap-luap di China



RIBUAN penduduk Hong Kong semalam menyertai bantahan anti-Jepun sempena ulang tahun ke-79 penaklukan Jepun ke atas China semalam.


BEIJING - Puluhan ribu rakyat China menyambut ulang tahun ke-79 penaklukan Jepun semalam dengan melancarkan siri bantahan anti-Jepun terbesar di lima buah bandar raya sehingga keadaan menjadi hampir tidak terkawal.
Tunjuk perasaan berlaku ketika Beijing cuba meredakan kemarahan rakyatnya susulan krisis penahanan sekumpulan nelayan China oleh pihak berkuasa Jepun bulan lalu yang mencetuskan pertelingkahan diplomatik paling buruk.
Kumpulan penunjuk perasaan melaungkan slogan 'Hapuskan syaitan Jepun' sambil memijak bendera Jepun di luar Kedutaan Jepun di sini sebagai memperingati peristiwa tentera Jepun mula menceroboh China pada tahun 1931.
Sentimen anti-Jepun juga dilapor di Shanghai, Shenzen dan Shenyang apabila ramai mengadakan protes terhadap tindakan Jepun masih menahan nelayan China berhampiran Kepulauan Diaoyu yang dituntut dua negara jiran itu.
Di Hong Kong, penunjuk perasaan meminta penduduk pulau bekas jajahan British itu untuk memboikot gedung-gedung perniagaan milik firma Jepun selain memulaukan semua produk keluaran Negara Matahari Terbit itu.
Tokyo setakat ini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung siri tunjuk perasaan di China selain isu pertikaian tuntutan bertindih Kepulauan Diaoyu dan kemelut penahanan nelayan China baru-baru ini. - AP

Dikebumikan sebelah kubur ibu



HASHIMAH menyiram air mawar ke atas pusara Allahyarham M. Rajoli di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Permintaan terakhir Allahyarham M. Rajoli untuk dikebumikan bersebelahan kubur ibunya, Khatijah Udin di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat ditunaikan oleh keluarganya di sini semalam.
Isterinya, Hashimah Mohd. Din, 56, berkata, hasrat suaminya itu pernah disampaikan oleh arwah semasa dia terlantar di hospital sebelum ini.
"Alhamdulillah, jenazah abang (M. Rajoli) dapat disemadikan berhampiran dengan kubur ibunya hari ini (semalam). Apa-apa pun saya reda dengan pemergiannya. Saya harap semua maafkan dia," katanya ketika ditemui di sini semalam.
M. Rajoli atau nama sebenarnya Mohd. Rajoli @ Mohd. Rajab Mohamed Zain, 65, meninggal dunia pada pukul 10.45 malam semalam kerana mengalami tekanan darah rendah dan masalah jantung di Hospital Ampang di sini.

Suami isteri ditahan dera amah




KONG MENG menunjukkan gambar
kecederaan yang dialami seorang pembantu rumah yang didera di George Town semalam.




GEORGE TOWN - Sepasang suami isteri ditahan di sebuah pangsapuri di Jelutong dekat sini kelmarin selepas dipercayai mendera dan merogol pembantu rumah mereka.
Kedua-dua suspek berusia 41 dan 36 tahun itu ditahan pada pukul 9.15 malam selepas mangsa yang berusia 26 tahun dan berasal dari Jawa Timur membuat laporan di Balai Polis Nibong Tebal pada 12 September lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, selain kecederaan di tubuhnya, hasil pemeriksaan kesihatan juga menunjukkan terdapat kesan mangsa dirogol.
Menurut Kong Meng, mangsa yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang datang ke negara ini Januari lalu dan mula berkerja dengan pasangan berketurunan India itu sejak 2 Februari lalu.
"Pasangan itu merupakan majikan keduanya dan mangsa mendakwa dia mula didera sejak Mei termasuk dipukul di kepala, di belakang badan serta turut diseterika di dada.
"Sehinggalah pada 11 September lalu, pasangan suami isteri itu membawa mangsa keluar sebelum meninggalkannya di satu kawasan perumahan dekat Nibong Tebal kira-kira 40 kilometer dari kediaman mereka tanpa sebarang pengenalan diri," ujarnya.

Rakan Sosilawati ditemui mati tergantung


Sarina


BUKIT MERTAJAM - Seorang pengasas produk kecantikan jenama Aveer, Sarina Jaafar, 43, yang juga rakan Datuk Sosilawati Lawiya ditemui mati dalam keadaan tergantung di dalam bilik di rumahnya di Taman Pauh Jaya di sini semalam.
Kejadian itu disedari oleh anak bongsu Sarina yang berusia 16 tahun kira-kira pukul 8.30 pagi ketika masuk ke biliknya.
Bagaimanapun sehingga semalam polis masih mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan menolak sebarang kaitan dengan unsur jenayah.
Menurut anak sulung mangsa, Mohd. Azrul Affendi Zakaria, 24, ketika kejadian dia berada di Kuala Lumpur dan bergegas pulang sebaik mendengar mengenai berita kematian ibunya itu.
Tambahnya, sebelum ini ibunya pernah menyatakan rasa terkilan dengan nasib malang yang menimpa rakannya, Sosilawati yang dibunuh dengan kejam baru-baru ini.
"Ibu dan Datuk Sosilawati memang sudah berkawan lama kerana mereka sama-sama terlibat dalam bidang produk kecantikan dan sejak kebelakangan ini ibu sering memberitahu dia berasa sedih dengan nasib yang menimpa Sosilawati," katanya.

Patmanaban simpan wanita asing





KUALA LUMPUR - Peguam K. Patmanaban yang tahanan remannya dilanjutkan sehingga 25 September ini didapati menyimpan dua pekerja wanita warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Dua wanita terbabit ialah seorang wanita warga Indonesia dan seorang rakyat Filipina berusia lingkungan 30-an.
Kedua-dua wanita itu dipercayai diambil bekerja oleh Patmanaban sebagai pembantu rumah yang menguruskan semua kerja rumah di ladang ternakan ayam dan kambing di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting. Ladang Gadong ialah lokasi jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga rakannya dibunuh.
Tugas kedua-dua wanita itu termasuklah melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak dan membasuh pakaian semua pekerja ladang selain membantu menguruskan adik Patmanaban dan Patmanaban sendiri.
Mereka juga dibayar gaji namun belum diketahui berapa jumlahnya.
Difahamkan, kedua-dua wanita itu diambil bekerja di situ kerana isteri dan anak-anak Patmanaban tidak tinggal di rumah ladang tersebut, sebaliknya menetap di rumah lain di Puchong.
"Kita percaya pembantu Indonesia yang berbadan gempal, rendah dan berkulit sawo matang serta wanita warga Filipina yang berketinggian 150 sentimeter dan berkulit cerah itu mula bekerja dengan Patmanaban sejak ladang itu dibuka di antara dua hingga tiga tahun lalu," kata satu sumber ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Bantah tubuh Sekolah Harapan di Sarawak


WILLIAM Ghani Bina menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Wisma STU di Jalan Song, Kuching, kelmarin.


KUCHING 17 Sept. - Kesatuan Guru Sarawak (STU) membantah sebarang cadangan penubuhan Sekolah Harapan untuk pelajar hamil di negeri ini kerana bimbang ia bakal mencetuskan 'epidemik' hamil luar nikah di kalangan pelajar.
Presidennya, William Ghani Bina berkata, sekolah khas itu hanya akan menggalakkan lebih ramai pelajar perempuan hamil luar nikah jika penubuhannya dilihat sebagai jalan penyelesaian.
Katanya, tiada keperluan untuk menyediakan sekolah khas ini jika ibu bapa, sekolah dan masyarakat bersama-sama menyedari bahawa itu adalah tanggungjawab bersama untuk menyelesaikannya
''STU tidak bersetuju sama sekali cadangan penubuhan Sekolah Harapan di Sarawak kerana ia seakan-akan kita menggalakkan peningkatan masalah hamil luar nikah di kalangan pelajar.
''Sehubungan itu, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka melindungi serta mendidik anak mereka dengan sempurna," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Wisma STU di Jalan Song di sini semalam.
Majlis perasmian Wisma STU disempurnakan oleh Pengarah Pelajaran negeri, Mortadza Alop.
Terdahulu ketika diminta mengulas keperluan penubuhan Sekolah Harapan di Sarawak seperti yang diwujudkan di Melaka khas untuk pelajar hamil luar nikah yang dijangka dibuka mula esok.
Ghani berkata, penubuhan Sekolah Harapan itu tidak sepatutnya dijadikan tempat untuk menutup malu perbuatan yang dilakukan oleh pelajar.
Kata beliau, seharusnya dalam kes seumpama ini, mana-mana individu yang mengakibatkan pelajar perempuan itu hamil perlu dikesan sebagai alternatif menyelesaikan masalah ini dan bukannya meletakkan kesalahan di bahu pelajar wanita sahaja.
Terdahulu dalam ucapannya, William memberitahu, pihaknya akan mengemukakan cadangan sekurang-kurangnya 70 peratus guru yang mengajar di negeri ini adalah rakyat tempatan kepada Kementerian Pelajaran dalam tempoh terdekat ini.
Menurutnya, beliau optimis jika 70 peratus guru yang mengajar di negeri ini adalah rakyat tempatan, maka beberapa masalah membabitkan guru dan masyarakat setempat dapat diatasi.
Tambahnya, jika anak jati Sarawak ditempatkan di negeri ini maka tidak timbul masalah komunikasi antara guru dan penduduk tempatan kerana kelebihannya mereka adalah rakyat tempatan yang lebih memahami situasi, budaya dan cara hidup penduduk di sini.
''Ini sudah tentu akan memberi manfaat kepada semua pihak iaitu guru, ibu bapa dan pelajar," katanya.

Tanah mendap di Bukit Antarabangsa



FAUZIAH Jamaluddin menunjukkan tanah jerlus di belakang bahagian dapur rumahnya di Kampung Sungai Sering, Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 18 Sept. - Empat sekeluarga terkejut apabila mendapati bahagian dapur rumah mereka mendap sedalam kira-kira empat meter yang membentuk seakan-akan sebuah kolam.
Mereka yang baru pulang dari menyambut sambutan Aidilfitri di Langkawi menyedari kejadian itu pada pukul 2.30 pagi sebaik tiba di rumah yang terletak di Kampung Sungai Sering, Bukit Antarabangsa, di sini.
Menurut mangsa, Fauziah Jamaluddin, 31, kejadian itu dimaklumkan oleh anak lelakinya yang berusia tujuh tahun yang pada awalnya menyangka ibunya mahu membina kolam di bahagian dapur terbabit.
"Saya terus meluru ke bahagian dapur dan terkejut melihat tanah mendap yang turut menenggelamkan bahagian dapur dan peralatan memasak ke dalam lubang itu.
"Suami saya terus menghubungi pihak bomba dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi memaklumkan kejadian itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, malam ini.
Fauziah memberitahu, kejadian itu kali pertama berlaku di kawasan rumah yang dihuni sejak 11 tahun lalu dan dia percaya ia berpunca akibat longkang bawah tanah yang pecah dan menyebabkan tanah mendap.
Jelasnya, jiran-jirannya mendakwa tidak menyedari bila kejadian itu berlaku kerana tidak mendengar apa-apa bunyi yang mencurigakan sepanjang peninggalan mereka sejak seminggu lalu.
"Pihak MPAJ menasihatkan kami sekeluarga tidak tinggal di sini buat sementara kerana bimbangkan keselamatan kami.
"Kontraktor yang ditugaskan MPAJ akan menambak bahagian tanah mendap berkenaan esok, manakala pada hari Isnin kerja-kerja membaiki longkang bawah tanah yang pecah akan dijalankan," katanya.
Dalam pada itu, dia bersyukur kerana ketika kejadian itu berlaku mereka sekeluarga tidak berada di rumah.
Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pernah menjadi perhatian ramai apabila 14 buah rumah musnah dan lima nyawa terkorban dalam kejadian di Taman Bukit Mewah pada 6 Disember 2008.

AS, Indonesia tekad selesai isu hangat


HILLARY diikuti Marty setibanya di sidang akhbar selepas pertemuan di Jabatan Negara di Washington, kelmarin. - REUTERS


WASHINGTON 18 Sept. - Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia semalam bertekad meluaskan kerjasama ke peringkat global dan menyatakan kedua-dua negara boleh memainkan peranan dalam membantu menangani isu-isu hangat dari peranan Islam hinggalah kepada konflik Asia Barat.
Menerusi satu ikatan julung-julung kalinya yang dinamakan 'Suruhanjaya Bersama', Washington dan negara Islam terbesar itu sepakat untuk menunaikan janji dalam perjanjian-perjanjian terbaru seperti menggalakkan pertukaran pelajar dan memerangi perubahan iklim.
"Indonesia bukan sahaja rakan kongsi dua hala yang baik, ia juga adalah pemimpin yang mewakili banyak isu penting yang ditekankan dua negara," kata Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton pada satu sidang akhbar.
Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa sebelum itu berkata, negara ketiga dan keempat paling padat di dunia itu perlu melengkapi antara satu sama lain di peringkat antarabangsa.
"Kami sedia bekerjasama dengan AS dalam menggalakkan pemahaman dua negara, setiap kali berhadapan konflik atau ketegangan.
"Tidak kira konflik Israel-Palestin atau isu nuklear semenanjung Korea, kami akan sentiasa berusaha untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaiannya," katanya di Pusat Strategik dan Kajian Antarabangsa.
Indonesia tidak mengiktiraf Israel, namun negara kepulauan itu mempunyai pelbagai latar belakang penduduk dengan kebanyakannya mengamalkan Islam sederhana.
Jakarta sudah lama menjalin hubungan dengan Korea Utara, malah kadang kala pernah menjadi orang tengah dengan negara komunis itu.
Pentadbiran Presiden Barack Obama meletakkan satu penekanan baru terhadap Asia Tenggara, yang dirasakan gagal dilakukan bekas Presiden George W. Bush yang terlalu memberi perhatian kepada perang di Iraq dan Afghanistan. - AFP

Pertubuhan Islam AS bersidang


NEW YORK 18 Sept. - Sebahagian penduduk Islam Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini tidak begitu memberi perhatian kepada rancangan pembinaan sebuah pusat Islam dan masjid berhampiran Ground Zero, kini bersatu selepas mendapati agama suci mereka 'diserang'.
Satu sidang kemuncak pertubuhan-pertubuhan Islam diadakan hari ini dan esok di New York bagi membincangkan tentang kedua-dua projek tersebut serta peningkatan sentimen anti-Islam dan retorik yang timbul berikutan projek terbabit.
Masih belum jelas sama ada pertemuan kumpulan tersebut akan menghasilkan satu pendirian tegas berhubung pembinaan pusat masyarakat yang dicadangkan iaitu 'Park51'.
Objektif utama pertemuan selama dua hari itu adalah untuk berbincang mengenai langkah menangani isu ketaksuban agama.
Shaik Ubaid dari Majlis Kepimpinan Islam Metropolitan New York, sebuah daripada kumpulan yang menganjurkan pertemuan tersebut berkata, beliau yakin projek tersebut dialu-alukan rakyat Amerika beragama Islam dan pertubuhan-pertubuhan Islam AS selepas kebimbangan awal tercetus sebelum ini.
"Sebaik ia menjadi satu 'laungan perang' untuk pihak pelampau, kami tidak mempunyai pilihan lain selain menyokong Feisal Rauf," katanya merujuk kepada Imam New York, Feisal Abdul Rauf, yang mengetuai rancangan pembinaan masjid dan pusat Islam tersebut.
Antara pertubuhan yang menyertai sidang kemuncak tersebut adalah Pertubuhan Islam Amerika Utara, Lingkungan Islam Amerika Utara, Gabungan Islam Amerika Utara dan Majlis Hubungan Islam Amerika.
Mendapatkan sokongan untuk pembinaan pusat itu daripada rakyat Islam AS juga bukanlah mudah kerana mereka datang daripada pelbagai latar belakang berbeza termasuk dari golongan Afrika-Amerika yang memeluk Islam semasa pergerakan hak sivil serta pendatang yang datang dari seluruh pelosok dunia.
"Saya rasa kebanyakan penduduk Islam di luar New York lebih bimbang tentang serangan hebat terhadap Islam berbanding rancangan pembinaan pusat Islam dan masjid itu yang kebanyakan daripada mereka tidak mendapat sebarang manfaat daripadanya.
"Sokongan akar umbi kini semakin bertambah, tetapi ia kemungkinan disebabkan persekitaran anti-Islam yang wujud," kata Shahed Amanullah, ketua penyunting laman web altmuslim.com. - AP

Ladang Gadong masih jadi tumpuan orang awam


KUALA LANGAT 18 Sept. - Meskipun polis memaklumkan siasatan di lokasi pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya telah selesai, namun kawasan berhampiran Ladang Gadong masih mendapat perhatian para petugas media untuk membuat liputan.
Malah, sehingga hari ini, ia masih menjadi tumpuan orang awam yang melalui kawasan berkenaan apabila dilihat banyak yang memberhentikan kenderaan di situ.
Selain orang awam yang cuba menghampiri kawasan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat, Datuk Dr. Karim Mansor bersama beberapa ahli keluarganya juga dilihat cuba memasuki ladang berkenaan pada pukul 10 pagi ini.
Difahamkan, ADUN itu dan keluarganya ingin pergi ke pusat perniagaan buah longan yang terletak di dalam ladang itu, namun hampa apabila mereka diarah supaya berpatah balik oleh anggota polis peronda bertugas berikutan ladang longan itu ditutup.
Tinjauan Mingguan Malaysia di kawasan itu mendapati, petugas media yang 'menumpang' di sebuah kuil di sebelah kiri jalan utama juga diawasi ketat oleh anggota polis bagi mengelak mereka menghampiri lokasi kejadian.
Selain itu, tinjauan di lokasi turut mendapati beberapa kenderaan unit forensik Polis Diraja Malaysia dan beberapa anggota polis berpakaian preman masih keluar masuk dari lokasi kejadian pembunuhan tersebut.
Bagaimanapun, tiada bukti-bukti baru dilihat dibawa keluar oleh mana-mana kenderaan tersebut.

Hubungan saya dengan anak-anak Sosilawati baik - Nash


SEBAHAGIAN hadirin pada majlis tahlil di kediaman Allahyarham Sosilawati di Taman Harmoni, Gombak, malam tadi.


KUALA LUMPUR 18 Sept. - Kediaman jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya terus dikunjungi kaum keluarga dan para sahabat serta orang ramai untuk mengucapkan takziah dan menghulurkan simpati.
Tinjauan Mingguan Malaysia ke rumah arwah di Taman Harmonis, Gombak di sini mendapati, kediaman mewah itu terus menjadi tumpuan sejak berita kehilangannya dilaporkan oleh media.
Mingguan Malaysia difahamkan keluarga arwah menganjurkan majlis khatam al-Quran pada petang ini dengan menjemput ahli keluarga terdekat manakala pada sebelah malam akan diadakan majlis tahlil dan doa selamat.
Hari ini, keluarga Allahyarham turut dikunjungi oleh bekas suaminya, Nasharudin Elias atau Nash yang datang bersama keluarganya.
Bekas penyanyi kumpulan Lefthanded itu ketika ditemui memberitahu, kunjungan itu merupaakan yang pertama selepas mendapat tahu mengenai kematian tragis bekas isterinya itu.
"Saya baru berkesempatan untuk ke rumah ini hari ini kerana ketika kejadian, saya berada di Sabah. Namun begitu, saya masih berkesempatan untuk menghubungi keluarga ini untuk mengucapkan takziah," katanya ketika ditemui di sini.
Tambah Nash, beliau masih terkejut dengan pembunuhan kejam ke atas bekas isterinya dan tiga yang lain itu dan berasa sangat sedih dengan nasib yang menimpa mereka.
"Saya seperti rakyat Malaysia yang lain, benar-benar terkejut dan berharap mereka yang melakukan perbuatan kejam itu dihadapkan ke pengadilan dan mendapat hukumannya," ujar beliau lagi.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai hubungan dengan anak-anak tirinya, Nash menjelaskan, hubungan mereka masih baik dan menyifatkan anak-anak arwah sangat menghormati orang tua.
"Saya tiada masalah dengan semua bekas anak tiri saya dan kami juga tidak pernah bermasam muka kerana saling menghormati antara satu sama lain," katanya.
Tambah Nash, sebagai individu yang pernah menjadi bapa kepada anak-anak Sosilawati, beliau berasa terpanggil untuk memberi perangsang dan sokongan kepada Erni Dekritawati Yuliana Bukhairi dan adik-adiknya.
"Sebagai anak sulung, dia mempunyai tanggungjawab yang berat untuk meneruskan usaha ibunya itu dan saya akan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka sekeluarga," ujarnya.