Monday, March 21, 2011

Hentikan segera politik kotor dan lucah

SH: "

Saya mengecam konspirasi terbaru untuk memfitnah dan mengaibkan saya serta keluarga. Visual yang ditayangkan tengahari tadi di Carcossa merupakan satu rekayasa jahat musuh politik yang berhasrat untuk membantutkan kemaraan Pakatan Rakyat.

Kita beri amaran kepada musuh politik Pakatan Rakyat agar hentikan segera politik kotor dan lucah ini. Jangan heret rakyat dan negara ini terjebak ke dalam politik kotor kamu.

Tayangan tengahari tadi kelihatannya dirancang dengan penuh teliti.Rancangan untuk mengadakan tayangan ini juga hanya didedahkan kepada ketua-ketua editor media arus perdana terlebih dahulu. Saya difahamkan acara tadi juga membabitkan ahli pasukan Special Branch (SB).

Fitnah terbaru ini muncul pada ketika pendakwaan fitnah II pasti berkecai dan hampir pasti tewas. Kerana terdesak musuh politik saya terpaksa mereka fitnah baru demi memburukkan serta menjejaskan reputasi saya. Ini juga bertujuan untuk mengalih perhatian rakyat dari isu nasional serta pilihanraya negeri Sarawak. Musuh politik Pakatan Rakyat terdesak untuk lari dari membahaskan rasuah dan kepincangan pentadbiran Taib Mahmud. Maka tidak hairan lah sekiranya sekali lagi musuh politik bertindak menurut warisan politik usang yang jelik.

ANWAR IBRAHIM
KETUA UMUM KEADILAN
KETUA PEMBANGKANG DEWAN RAKYAT MALAYSIA
Dipetik daripada blog Anwar Ibrahim"

Operasi awal berjaya


WASHINGTON: Peringkat permulaan operasi antarabangsa untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya dikatakan berjaya.
Serentak dengan itu serangan tentera kerajaan terhadap Benghazi yang dikuasai pemberontak sudah terhenti.

Pemerintah kanan tentera Amerika Syarikat, Michael Mullen memberitahu program ‘This Week’ terbitan ABC, tentera Libya yang setia kepada Gaddafi tidak lagi mara ke Benghazi.

Kenyataan itu dibuat selepas Amerika Syarikat melancarkan serangan terhadap pertahanan udara kerajaan Muammar Gaddafi dalam apa yang disifatkan oleh Presiden Barack Obama sebagai ‘tindakan ketenteraan yang terhad.’ Kapal perang Amerika Syarikat dan sebuah kapal selam Britain melancarkan sekurang-kurangnya 110 peluru berpandu Tomahawk terhadap Libya dengan mensasarkan peluru peluru berpandu anti pesawat dan radarnya. Laksamana William Gorney memberitahu wartawan di Pentagon, peluru berpandu itu mengena lebih 20 sistem pertahanan bersepadu udara dan kemudahan pertahanan lain.” Sebelum itu, tiga pesawat pengebom stealth B-2 Amerika menggugurkan 40 bom terhadap sebuah lapangan terbang utama Libya dalam usaha memusnahkan pasukan tentera udara negara itu.

Secara keseluruhan, 19 pesawat Amerika Syarikat, termasuk kapal terbang pengebom stealth itu mengambil bahagian dalam serangan berkenaan, menurut Markas Afrika Amerika Syarikat yang berpangkalan di Jerman. - AFP
metro

Serangan terhad: Obama


WASHINGTON: Walaupun Amerika Syarikat melancarkan serangan udara ke atas sistem pertahanan Libya, Washington tetap menolak kemungkinan menggunakan tentera darat dalam operasi ‘ketenteraan terhad’ itu.
Presiden AS, Barack Obama, berkata campur tangan i itu dibuat kerana Muammar Gaddafi mengancam nyawa orang awam.

Katanya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan sokongan negara Arab juga memberi mandat kepada tentera Barat menguatkuasakan zon larangan terbang.

“Kita perlu jelas - setiap tindakan membawa kesan dan kehendak masyarakat antarabangsa mesti dilaksanakan,” katanya kepada media ketika melawat Brazil, semalam.

Kata Obama, semua pihak perlu membantu orang awam yang terancam.

“Kita bertindak atas kepentingan AS dan dunia,” katanya.


Ketika hampir 100,000 tentera AS bertugas di Afghanistan, Obama menegaskan, operasi Fajar Odyssey itu tidak membabitkan penghantaran pasukan keselamatan ke Libya. “AS tidak akan menghantar tentera bertugas di Libya,” katanya. - AFP
metro

Pengajaran untuk pemimpin Libya: Ki-Moon


PARIS: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, berkata Muammar Gaddafi kini dapat merasakan kesungguhan masyarakat antarabangsa selepas kempen ketenteraan dilancarkan ke atas Libya.
“Gaddafi membunuh rakyatnya sendiri. Dia mengisytiharkan untuk mencari pemberontak dari satu rumah ke satu rumah dan membunuh mereka.

“Perbuatan itu tidak boleh diterima,” katanya kepada media, semalam, sejurus sebelum memulakan lawatan rasmi ke Mesir dan Tunisia.

Kata Ban, dia berharap pihak berkuasa Libya mematuhi sepenuhnya resolusi Majlis Keselamatan PBB dengan melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan mengambil segala langkah perlu melindungi rakyatnya.

Ban turut menyatakan hilang keyakinan terhadap kemampuan Gaddafi ‘bercakap benar.’ Awal pagi semalam, Amerika Syarikat, Britain dan Perancis melancarkan serangan udara ke atas Libya selepas Majlis Keselamatan PBB memberi kebenaran untuk ‘menggunakan segala cara yang perlu’ melindungi penduduk awam Libya.

PBB juga memberi mandat kepada negara kuasa besar itu memaksa Libya mematuhi gencatan senjata dan zon larangan terbang ke atas tentera rejim Gaddafi. - AFP
metro

Sanggup mati demi Gaddafi


TRIPOLI: Beratus-ratus rakyat Libya yang setia kepada Muammar Gaddafi berkumpul di depan ibu pejabatnya di Bab al-Aziziyah dan lapangan terbang antarabangsa ketika Perancis melancarkan serangan udara terhadap negara itu.
Sementara itu, 50 wartawan asing dibawa melawat Bab al-Aziziyah, di selatan Tripoli.

“Rakyat di sekitar kawasan itu menjadi sasaran Perancis,” lapor televisyen Libya, sambil menunjukkan gambar orang ramai mengibarkan bendera di depan pejabat Gaddafi dan lapangan terbang berkenaan.

Kira-kira 1,000 orang mengibar bendera hijau, simbol revolusi yang membawa Gaddafi ke puncak kuasa lebih empat dekad lalu juga memenuhi kawasan sekitar ibu pejabat pemimpin Libya itu.

Turut bersama mereka ialah anak perempuannya, Aisha yang menyertai orang ramai melaungkan slogan memuji bapanya.

Perhimpunan itu yang kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak mengekori kata-kata yang memuji Gaddafi.


Pekarangan ibu pejabat itu dikelilingi trak yang lengkap dengan meriam antipesawat.

Seorang anak angkat Gaddafi terbunuh pada 1986 apabila Amerika Syarikat mengebom Libya. Turut menjadi sasaran ketika itu ialah Bab al-Aziziyah.
Ketika penyokong Gaddafi itu berkumpul, Perancis melancarkan serangan udara, memulakan kempen antarabangsa untuk menghalang pemimpin Libya itu daripada menumpaskan kebangkitan yang bermula sebulan lalu.

“Ada 5,000 suku kaum yang bersedia untuk datang ke sini dan berjuang untuk Gaddafi. Lebih baik bagi Barat supaya tidak cuba menyerang negara kami,” kata Mahmoud el-Mansouri yang turut serta dalam perhimpunan itu. - Reuters
metro

Pesawat Barat sasar orang awam


TRIPOLI: Televisyen Libya melaporkan, pesawat tentera Barat mensasarkan orang awam di bandar raya ini semalam, menyebabkan kematian, selepas kempen pelbagai negara menentang Muammar Gaddafi.
“Orang awam di Tripoli menjadi sasaran serangan tentera Pakatan Salib,” lapor stesen televisyen itu.

Agensi berita Libya, Jana juga melaporkan beberapa orang awam mati akibat serangan berkenaan.

Terdahulu, saksi berkata, beberapa letupan kuat kedengaran di timur Tripoli dan kepulan asap dapat di lihat di ufuk.

“Kami tidak tahu di mana letupan itu berlaku,” kata seorang penduduk.

Seorang lagi saksi berkata, pengeboman itu mensasarkan satu batalion tentera yang ditempatkan kira-kira 20 kilometer ke timur ibu negara Libya itu. - AFP
metro

Orang kanan Muammar Gaddafi


SAIF al-Islam Gaddafi: Dilahirkan pada 1972, paling terkenal di antara anak Muammar Gaddafi sebaia pemimpin sayap permodenan dalam keluarganya. Pada asalnya mengikuti kursus kejuruteraan tetapi menulis tesis untuk ijazah falsafahnya di London School of Economics mengenai Peranan Masyarakat Dalam Pendemokrasian.
SAADI Gaddafi: Dilahirkan pada 1973, Pernah terkenal sebagai pemain bola sepak profesional di Malta dan Itali tetapi muncul semula sebagai ketua sebuah pasukan khas tentera Libya. Juga memainkan peranan utama dalam mematahkan kebangkitan rakyat negara itu.

MUTTASIM Gaddafi: Dilahirkan pada 1977, Mutassim ialah anak keempat Gaddafi tetapi mungkin yang paling berpengaruh. Bekas pegawai tentera, dia kini menjadi Penasihat Keselamatan Kebangsaan bapanya.


KHAMIS Gaddafi: Umur tidak diketahui. Menjalani latihan di Russia, Khamis dipercayai oleh bapanya untuk mengetuai pasukan elit tentera Libya, Briged Khamis yang menjadi barisan depan dalam serangan terhadap kebanyakan kawasan yang dikuasai pemberontak.


MOUSA Kusa, 62: Dia adalah penasihat utama Gaddafi mengenai hubungan luar. Bekas duta ke London dan ketua perisikan asing, Moussa kini ialah Menteri Luar, yang dilihat sebagai penurunan pangkat.


ABDULLAH al-Senussi, 61: Ketua Keselamatan Dalam Negeri yang sering dianggap sebagai sekutu paling rapat Gaddafi serta adik iparnya. Kedudukan dan peranannya ketika ini tidak ketahui. Ada laporan yang mendakwa dia dipecat dan ditembak mati.

Russia desak serangan tentera keatas Libya dihentikan


MOSCOW: Russia menggesa serangan membuta-tuli ke atas Libya dihentikan.
Kenyataan Kementerian Luar semalam berkata, serangan Barat itu turut memusnahkan jalan raya, jambatan dan sebuah pusat kardiologi.
“Russia tidak dapat menerima penggunaan Resolusi 1973 kerana ia melebihi apa yang sepatutnya,” kata kenyataan itu. - AFP

4 petugas stesen Al-Jazeera ditawan


TRIPOLI: Empat wartawan Al-Jazeera ditawan oleh tentera Libya di bandar raya ini.
Jurukamera, Kamel Atalua ditangkap bersama-sama seorang lagi jurukamera, Ammar al-Hamdan dan koresponden, Lotfi al-Messaoudi serta Ahmed Vall Ould Addin.

Sumber stesen televisyen itu berkata, kumpulan berkenaan membuat liputan dari Tripoli sejak beberapa hari lalu.

Menurut sumber berkenaan, pihak berkuasa Libya akan dipertanggungjawabkan berhubung keselamatan wartawan terbabit dan usaha untuk mendapatkan pembebasan mereka sudahpun dilakukan.

Lotfi ialah warga Tunisia, Ahmed pula rakyat Mauritania sementara Ammar rakyat Norway.

Rabu lalu, wartawan Guardian, Ghaith Abdul-Ahad dibebaskan selepas hilang selama dua minggu.

Loji nuklear akan ditutup

OSAKA: Jurucakap kanan kerajaan Jepun berkata loji nuklear yang terjejas teruk akibat gempa bumi dan tsunami negara itu akan ditutup.
Kenyataan Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano itu adalah yang pertama daripada pegawai kerajaan mengenai penutupan loji nuklear Dai-ichi Fukushima sebaik pemanasan reaktornya berjaya dikawal.

Langkah menutupnya tidak boleh dielakkan memandang air laut yang digunakan untuk menyejukkan reaktor itu boleh menyebabkan karat sekali gus menjadikan bahagian pentingnya tidak boleh digunakan. Menurut Edano, keadaan loji itu kemungkinannya tidak boleh dibuka semula. - AP

Cetus banyak persoalan


TRIPOLI: Tentera Eropah dan Amerika Syarikat melancarkan serangan peluru berpandu dari pesawat pejuang dan kapal selam terhadap tentera Libya, awal pagi semalam (waktu tempatan). Televisyen Libya melaporkan, 48 orang terbunuh dan 150 cedera akibat serangan itu.
TRIPOLI: Tentera Eropah dan Amerika Syarikat melancarkan serangan peluru berpandu dari pesawat pejuang dan kapal selam terhadap tentera Libya, awal pagi semalam (waktu tempatan). Televisyen Libya melaporkan, 48 orang terbunuh dan 150 cedera akibat serangan itu.

KUALA LUMPUR: Tindakan serangan udara ke atas Libya oleh Barat yang diketuai Amerika Syarikat (AS) akan menimbulkan banyak persoalan daripada pelbagai pihak dan mereka perlu memberi penjelasan motif sebenar serangan ke atas negara pimpinan Muammar Gaddafi.
Penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar berkata, serangan itu memang sudah diramalkan beberapa pihak dan beberapa negara Arab juga turut menyokongnya susulan daripada kebangkitan rakyat terhadap kepemimpinan Gaddafi sebelum ini.
“Namun, timbul beberapa soalan iaitu sekiranya serangan dilakukan bertujuan menyelamatkan dan melindungi orang awam daripada krisis yang melanda negara itu, tapi apa yang jelas orang awam tetap akan menjadi mangsa.

“Persoalannya, adakah tindakan ketenteraan ini akan hapuskan rejim Gaddafi, saya yakin kita belum pasti akan perkara itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Pagi semalam, kapal perang dan kapal selam Amerika dan British melancarkan fasa pertama serangan peluru berpandu ke atas pertahanan udara Libya.

Menurut laporan Associated Press (AP), dalam serangan itu, 112 peluru berpandu Tomahawk dilancarkan ke atas lebih 20 sasaran di pantai untuk membuka laluan kepada pasukan udara bersekutu bertindak melumpuhkan pertahanan udara Libya.

Dr Chandra berkata, serangan itu menunjukkan sikap berat sebelah Barat terhadap Libya berkemungkinan negara itu bukan negara sekutunya berbeza semasa serangan ketenteraan di Bahrain, tiada tindakan daripada Barat mungkin disebabkan negara itu menjadi pangkalan tentera AS.

“Malah, ketika serangan ke atas Gaza pada Januari 2009, mengapa tidak fikir mahu selamatkan rakyat Palestin jika benar matlamat mereka mahu menyelamatkan dan melindungi orang awam. Jelas sekali, rakyat Palestin juga turut menjadi mangsa ketidakadilan kuasa besar itu.

“Justeru, tidak mustahil akan timbul tanda tanya mungkin serangan ke atas Libya itu bukan mahu selamatkan mana-mana pihak tapi hanya agenda tersembunyi kerana Libya antara negara paling kaya dengan hasil minyak dan gas,” katanya
metro

Pejabat JKM Sepang caris waris 2 beradik


KUALA LUMPUR: Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Sepang mencari waris dua beradik berusia lima dan lapan tahun yang kini berada di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budhriah, Cheras.
Kedua-dua adik-beradik itu Nur Syazana Firdaus dan adiknya, Muhammad Airieyl Danish, ditempatkan di rumah perlindungan berkenaan sejak 9 Mei 2007 dan sehingga kini ibu kandung mereka yang dikenali sebagai Aida Bakry 32, tidak dapat dikesan.
Pegawai Kebajikan, Norhafiza Abdul Salam berkata, ibu kandung kanak-kanak berkenaan diharap dapat menghubungi pihak jabatan kerana jika tidak mereka akan ditempatkan di Rumah Tunas Harapan agar mendapat perhatian dan kasih sayang sewajarnya daripada keluarga ganti.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keluarga atau waris kanak-kanak itu diminta menghubungi talian 03-8706106 atau 03-87065763.

2 ditemui masih hidup


TOKYO: Seorang wanita berusia 80 tahun dan seorang remaja berumur 16 tahun ditemui masih hidup di bawah runtuhan bangunan di bandar Ishinomaki, semalam, sembilan hari selepas gempa bumi dan tsunami melanda wilayah timur laut negara itu.
Stesen penyiaran NHK memetik polis di wilayah Miyagi sebagai berkata, kedua-duanya menyahut jeritan anggota pasukan penyelamat polis di wilayah Miyagi sebelum ditarik keluar.

Mereka dalam keadaan lemah tetapi sedar. Seorang pegawai Palang Merah Hospital Ishinomaki berkata, kedua-dua mangsa kini berada di hospital berkenaan untuk dirawat. “Saya hanya dapat melihat seketika wanita itu. Matanya tertutup. Tetapi dia tidak mati,” kata seorang pegawai. Dia bagaimanapun tidak dapat menyatakan sama ada seorang lagi mangsa remaja lelaki atau perempuan kerana wajahnya dilindungi topi.

Polis di Ishinomaki tidak dapat dihubungi untuk pengesahan.

Kelmarin, agensi berita Kyodo melaporkan seorang pemuda berjaya diselamatkan selepas lapan hari tertimbus. Bagaimanapun, ia menarik balik laporan itu selepas mendapati pemuda berkenaan pulang ke rumahnya selepas dipindahkan ke pusat perlindungan pada hari pertama bencana melanda. Sementara itu, jumlah kematian akibat bencana itu yang terbesar sejak gempa Great Kanto memusnahkan sebahagian besar Tokyo, meningkat kepada 8,133 dengan 12,272 lagi dilapor hilang, dikhuatiri dihanyutkan oleh tsunami atau tertimbus dalam runtuhan bangunan.

Di Miyagi, wilayah paling teruk terjejas, jumlah rasmi kematian ialah 4,882.


Bagaimanapun, Ketua Polis wilayah itu, Naoto Takeuchi memberitahu wartawan semalam, seramai 15,000 orang mungkin mati di wilayah itu saja. - AP

Krisis nuklear Jepun pengaruhi pembinaan loji AS





2011/03/21

WASHINGTON: Krisis nuklear Jepun dijangka mempengaruhi pemilihan tapak pembinaan loji nuklear dirancang di Amerika Syarikat dan operasi sedia ada di loji di New York akan disemak semula. 

“Sudah tentu proses pemilihan tapak loji nuklear akan jauh berbeza berbanding kaedah yang digunakan sebelum ini,” Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat, Steven Chu memberitahu rancangan televisyen Fox News Sunday, semalam.
Jepun berupaya memulihkan kuasa elektrik di loji nuklear di Fukushima Daiichi yang terputus akibat gempa bumi dan tsunami sembilan hari lalu, perkembangan yang dilihat mampu membantu menyejukkan reaktor yang semakin panas sehingga mengancam menyebabkan kebocoran radiasi.
Selain di Amerika, krisis di Jepun itu turut menyebabkan banyak negara lain menyemak rancangan masing-masing untuk membina loji nuklear. 

Presiden Barack Obama berkata Khamis lalu pentadbiran beliau sudah mengarahkan semakan menyeluruh terhadap kemudahan nuklear di AS, tetapi menegaskan pihaknya tetap menggalakkan penggunaan kuasa nuklear. 

Ditanya sama ada loji nuklear di Indian Point, terletak kira-kira 64 km di utara bandar raya New York patut terus beroperasi, Chu berkata: “Kita perlu menyemak semula sama ada reaktor ini harus kekal di situ.” 

Beliau berkata keputusan mengenai perkara itu akan dibuat oleh Suruhanjaya Pengawalseliaan Nuklear tetapi beliau yakin loji terbabit adalah selamat. 
Loji Indian Point di New York, di tebing sungai Hudson River jika berdepan dengan krisis seperti di Fukushima boleh mengancam 20 juta penduduk yang berada dalam lingkungan 80 kilometer dari loji itu. 

Loji itu terletak di atas dua garisan rekahan bumi tetapi syarikat pengendalinya Entergy berkata loji itu boleh bertahan sehingga gempa bumi magnitud 6.0. – Reuters 

Azean bersyukur Benjy dibebas



Oleh Fairoz Azizan

2011/03/21

pix_gal0
Pelakon tetap dalam pemantauan polis

KUALA LUMPUR: Ibu pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 33, yang ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak, Muar, Johor sejak 25 Mac tahun lalu bersyukur dengan pembebasan anaknya, Khamis lalu, meskipun diletakkan di bawah Ordinan Pencegahan Jenayah (PCO).

Azean Irdawaty berkata, berkat doa dan permohonan bertulisnya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Benjy akhirnya dibebaskan.
Benjy sebelum ini ditahan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
“Peguam Benjy ada hubungi saya sehari sebelum dia dibebaskan, minta saya datang ke mahkamah jam 8.30 pagi keesokan harinya sebab nak terima perintah daripada KDN bagi membawa pulang Benjy. Bila saya dengar perkhabaran gembira itu, saya jadi kelu dan bersyukur sangat.

“Lepas itu, kira-kira jam 11.30 malam, saya dapat panggilan daripada Benjy minta kami sekeluarga menjemputnya kerana dia sudah dibebaskan. 

“Kami sekeluarga bertolak ke Muar malam itu juga untuk membawa dia balik,” katanya ketika dihubungi semalam.

Azean berkata, walaupun Benjy dibebaskan dengan pemantauan polis dan dikehendaki berada di Kuantan, Pahang, selama 14 bulan, dia masih boleh bekerja serta bergerak bebas dengan kebenaran. 
Katanya, Benjy masih boleh meneruskan kariernya dan bekerja di ibu negara dengan mendapat keizinan daripada polis berikutan anaknya dikenakan perintah sekatan dalam tempoh terbabit. 

“Kalau rekod dia baik, tempoh sekatan ke atas dirinya akan dipendekkan, macam tempoh tahanan selama dua tahun di pusat pemulihan yang dikenakan,” katanya.
Benjy ditahan polis pada 12 Mac tahun lalu di sebuah kondominium di Kepong di sini, berkaitan kes dadah. 

Dia kemudian ditahan di pusat pemulihan akhlak terbabit selama dua tahun, namun dibebaskan pada 17 Mac lalu.
-Bharian

Banyaknya anak haram diMalaysia


Anak tak sah taraf cecah 234,647
Oleh Johari Ibrahim 

2011/03/21

JPN ajak pelbagai pihak tangani segera gejala sosial

PUTRAJAYA: Jumlah kelahiran anak tidak sah taraf iaitu bayi hasil hubungan luar nikah, menunjukkan pola meningkat antara 2006 hingga 2010 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 234,647 didaftarkan dalam tempoh itu daripada lebih dua juta kelahiran didaftarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
-Bharian

Akad nikah di masjid didakwa amalan Kristian



KANGAR - Menjadikan masjid sebagai lokasi akad nikah adalah menyimpang daripada amalan Rasulullah, kata seorang anggota Majlis Fatwa Perlis, Datuk Ahmad Jusoh.
Beliau berkata, Rasulullah pernah mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan akad nikah dalam masjid kerana ia meniru penganut Kristian yang menikah dalam gereja dan Yahudi di rumah ibadat mereka.
Ahmad yang juga ahli Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkata, walaupun pernah berlaku peristiwa akad nikah dalam masjid pada zaman Rasulullah namun, ia berpunca dari kehadiran seorang wanita ke dalam masjid yang mahu dirinya dikahwini.

AS guna Tomahawk terbaru di Libya





KAPAL pemusnah AS, Arleigh Burke melancarkan peluru berpandu Tomahawk (gambar kecil) ke arah Libya di Laut Mediterrranean kelmarin.



TRIPOLI – Tentera perikatan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) menjadikan sasaran ketenteraan Libya untuk menguji kekuatan dan kecanggihan peluru berpandu Tomahawk edisi terbaru.
Peluru itu bukan sahaja meninggalkan kesan kemusnahan malah mampu memastikan tentera perikatan berada pada tahap risiko yang kecil kerana ia boleh dilancarkan dengan tepat, jauh dari kawasan konflik iaitu dari kapal perang atau kapal selam.
Senjata itu digunakan oleh pihak Britain dan AS kerana ia sukar untuk dikesan dan mampu terbang pada ketinggian yang rendah dan laluan sukar.
Selain itu, ia mampu terbang pada kelajuan supersonik dan telah digunakan secara meluas ketika konflik Perang Teluk dan operasi susulan pada Jun 1993.
Kemunculan Tomahawk menuju ke Iraq pada waktu siang menjadi satu daripada imej yang mengagumkan ketika konflik tercetus pada 1991.
Tomahawk turut digunakan ketika perang Bosnia pada 1995 dan di Iraq sekali lagi pada 1996. Peluru berpandu itu boleh juga dilengkapi dengan senjata konvensional atau bom nuklear.
Tomahawk mula diperkenalkan oleh syarikat General Dynamics pada tahun 1970-an dan digunakan secara rasmi oleh Tentera AS pada 1983 sehingga ke hari ini.
Ia mengalami pelbagai pembaharuan beberapa kali bagi meningkatkan keupayaannya.
-kosmo