Monday, December 1, 2014

Ketua Wanita PKR Dihalang Masuk Sarawak


Diterbitkan: Isnin, 1 Disember 2014 8:40 AM

KUCHING: Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin dihalang daripada memasuki Sarawak iaitu buat kali kedua tahun ini.

Ahli Parlimen Ampang itu menaiki penerbangan Malindo Air pada pukul 7.15 pagi Ahad dari Kuala Lumpur ke Kuching.

Turut bersama beliau dalam penerbangan itu ialah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad.

"Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada pukul 9.30 pagi dan menuju ke kaunter imigresen. Saya lepasi pemeriksaan tanpa masalah," kata Nik Nazmi pada Ahad.

Bagaimanapun seorang pegawai imigresen meminta Zuraida supaya menunggu sebelum diberitahu bahawa namanya berada dalam senarai hitam.

Zuraida kemudiannya diarahkan pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki pesawat Malindo Air pada pukul 4.30 petang.

Mereka berada di Sarawak sebagai sebahagian daripada kempen 'Rakyat Hakim Negara' di seluruh negara untuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zuraida pertama kali dihalang memasuki Sarawak ketika Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian pada bulan Mac.

Bagaimanapun beliau dibenarkan memasuki kembali negeri itu pada 19 April lalu ketika berkempen sempena pemilihan PKR.

Angkat martabat ubi rebus


Jakarta: Menteri Reformasi Birokrasi Indonesia, Yuddy Chrisnandi semalam mencadangkan kakitangan kerajaan ‘mengangkat martabat’ ubi rebus dengan menyajikannya di majlis rasmi kementerian.
Saranan itu dibuat Yuddy melalui surat pekeliling kepada semua kementerian dan anggota Kabinet Kerja Presiden Jokowi bertarikh 20 November lalu.
Saranan itu diketahui umum apabila maklumat mengenainya tersebar melalui media sosial.
Dalam surat berkenaan, Yuddy mencadangkan makanan tradisional seperti ubi rebus serta hidangan lain dijadikan menu utama dan ianya dilengkapi dengan hanya air kopi, teh atau air mineral.
Sementara itu dalam pertemuan Yuddy dengan pentadbir daerah Tasikmalaya kelmarin, dia menyampaikan arahan Jokowi yang mahu semua pihak berjimat-cermat.
Satu daripada arahan itu ialah melarang sajian jamuan menggunakan bahan import.
“Antaranya ialah anggur dan oren,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:06 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13174#sthash.zcYMVA39.dpuf

Harga petrol RON95 turun 4 sen


PENGHAPUSAN subsidi bahan api RON95 dan diesel diumumkan kerajaan pada 21 November lalu. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Harga jualan runcit petrol RON95 bagi bulan Disember 2014 dikurangkan sebanyak 4 sen seliter kepada RM2.26 seliter berkuat kuasa hari ini selaras pelaksanaan kaedah pengapungan terkawal harga petrol dan diesel di negara ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, harga jualan runcit RON97 pula dikurangkan sebanyak 9 sen selitar kepada RM2.46 seliter manakala harga runcit diesel dinaikkan 3 sen seliter kepada RM2.23 seliter.
“Harga baharu ini akan berkuat kuasa hanya bagi bulan Disember. Kerajaan akan sentiasa mengikuti perkembangan pasaran harga minyak mentah dunia dan kadar pertukaran mata wang untuk menetapkan harga runcit petrol dan diesel bagi bulan-bulan berikutnya.
“Saya mengingatkan semua syarikat minyak serta pengusaha stesen minyak agar patuh kepada penetapan harga ini.
“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak yang melanggar peraturan harga baharu yang telah ditetapkan kerajaan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam satu kenyataan semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1201&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3KapDDYR9 
Hakcipta terpelihara 

Tuah wajah serupa watak filem Frozen


CARLSON memperoleh pendapatan lumayan kerana sering muncul dalam majalah dan program televisyen di Amerika Syarikat. - Agensi


TALLAHASSEE, Amerika Syarikat – Seorang gadis berusia 18 tahun menerima banyak tawaran dari agensi model dan syarikat televisyen kerana wajahnya menyerupai watak utama dalam filem animasi popular, Frozen.
Gadis tersebut, Anna Faith Carlson menjadi sensasi di internet selepas dia bergambar di sebelah gambar watak Puteri Elsa yang merupakan watak utama filem animasi Frozen terbitan syarikat Walt Disney pada tahun lalu.
Sejak gambar itu tersebar di laman sosial, Carlson yang berasal dari Daytona Beach di sini menjadi popular sekelip mata selepas ramai beranggapan wajahnya menyerupai dengan watak Puteri Elsa.
Sejak itu dia mula mendapat pelbagai tawaran untuk muncul dalam program televisyen dan kontrak oleh agensi model serta meraih pendapatan yang cukup lumayan.
“Kehidupan saya berubah sekelip mata dan semuanya terjadi seperti sebuah cerita dongeng,” kata Carlson.
Menurutnya, selain menerima tawaran muncul di televisyen dan majalah, dia juga sering memakai kostum seperti watak Puteri Elsa untuk menghiburkan kanak-kanak di hospital secara percuma. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1201&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3KaouaAxH 
Hakcipta terpelihara 

Polis India dapat malu



PENGARAH CBI, Ranjit Sinha dirakam tertidur semasa Perdana Menteri Narendra Modi berucap di negeri Assam semalam.


NEW DELHI – Polis India mendapat malu kelmarin selepas aksi ketua mereka tidur semasa Perdana Menteri Narendra Modi berucap mengenai amalan kepolisan, SMART disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan.
Barisan pegawai kanan polis sebelum itu berkumpul di negeri Assam, timur laut India untuk menghadiri satu persidangan utama melibatkan isu keselamatan negara.
Semasa Modi berucap tentang keperluan polis untuk sentiasa siap siaga, bertanggungjawab dan responsif kamera menunjukkan pengarah Biro Siasatan Pusat (CBI), Ranjit Sinha beberapa kali tertidur.
“Dengan amalan perinsip SMART, saya bermaksud S untuk tegas tetapi sensitif, M untuk moden dan mobiliti, A untuk siap siaga dan bertanggungjawab, R untuk boleh diharap dan responsif serta T untuk cekap teknologi dan terlatih,” kata Modi.
Sinha yang mengetuai agensi siasatan jenayah utama di India dirakam oleh stesen televisyen NDTV turut tidur semasa menteri dalam negeri menyampaikan ucapan mengenai ancaman militan.
Seorang jurucakap CBI enggan mengulas tentang rakaman tersebut tetapi menambah bahawa Sinha tiada mengalami masalah kesihatan yang boleh menyebabkan beliau tertidur.
Sinha yang akan bersara tidak lama lagi terpalit kontroversi berhubung siasatan CBI terhadap kes penjualan lesen perkhidmatan telekomunikasi 2G pada harga terlalu rendah.
Mahkamah Agung India menggugurkan Sinha daripada kes berkenaan awal bulan ini selepas beliau dituduh menemui beberapa suspek yang terlibat dalam komplot itu ketika CBI masih menjalankan siasatan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1201&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3Kaoet3f5 
Hakcipta terpelihara 

Ibu mangsa MH17 saman Ukraine


beberapa orang pakar dari Belanda memantau kerja-kerja mengalihkan
BEBERAPA orang pakar dari Belanda memantau kerja-kerja mengalihkan serpihan pesawat MH17 di Grabove, timur Ukraine pada 16 November lalu. – AFP
BERLIN 30 Nov. - Seorang ibu kepada penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, yang ditembak jatuh di Grabove di timur Ukraine pada Julai lalu, mengemukakan saman terhadap kerajaan Ukraine dan menuntut ganti rugi berjumlah AS$1 juta (RM3.3 juta) atas kecuaian itu sehingga menyebabkan kematian.
Menurut akhbar tempatan, wanita berkenaan yang hanya dikenali sebagai Bild dalam tuntutannya di Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah pada minggu lalu, menuduh Kiev gagal menutup ruang udaranya kepada penerbangan awam ketika berlaku pertempuran antara tentera Ukraine dan kumpulan pemberontak pro-Rusia di timur negara itu, semata-mata kerana tidak mahu mengalami kerugian.
Penerbangan MH17 meletup di udara selepas dipercayai terkena tembakan peluru berpandu ketika melalui ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai lalu, menyebabkan 298 penumpang dan anak kapalnya terbunuh.
Menurutnya, kira-kira 700 penerbangan melalui ruang udara di wilayah Ukraine itu setiap hari, menyumbang pendapatan yang banyak kepada kerajaan negara tersebut.
Seorang peguam dan profesor undang-undang penerbangan, Elmar Giemulla yang mewakili wanita itu, sebelum ini berpendapat kerajaan Ukraine perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan penerbangan.
“Kerajaan (Ukraine) perlu memastikan keselamatan penerbangan. Jika ini tidak boleh dilakukan, ini bermakna ruang udara itu perlu ditutup,” kata Giemulla kepada AFP pada September lalu.
Kiev dan negara Barat saling menyalahkan dengan Kiev menuduh pemberontak pro-Rusia dan Moscow bertanggungjawab menembak jatuh pesawat itu, manakala pemberontak dan Moscow menuduh tentera Ukraine bertanggungjawab dalam insiden berkenaan. –AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ibu-mangsa-mh17-saman-ukraine-1.31158#sthash.3j6Jopkh.dpuf

Skandal Hollande-Gayet, 
lima staf Istana Elysee ditukar


Julie Gayet
Julie Gayet
PARIS 30 Nov. – Seramai lima orang kakitangan kediaman rasmi Presiden, Istana Elysee, di sini ditukarkan ke jabatan yang tidak didedahkan selepas gambar Presiden Perancis, Francois Hollande bersama aktres, Julie Gayet di bahagian taman bangunan tersebut tersebar, baru-baru ini.
Menurut portal berita Al-Jazeera, skandal Hollande dengan aktres jelita tersebut telah menjadi tajuk utama akhbar di seluruh dunia Januari lalu, tetapi gambar pertama mereka berdua yang dirakamkan secara rahsia itu menimbulkan kebimbangan kepada Hollande.
Majalah selebriti, Voici turut memaparkan gambar tersebut pada bahagian muka depannya, diikuti dua keping lagi gambar Hollande, 60, dan Gayet, 42, duduk berdua-duaan sambil berbincang sesuatu.
Menurut akhbar tempatan, Liberation, satu siasatan telah dijalankan bagi mengenal pasti individu yang merakamkan gambar tersebut.
Polis bagaimanapun yakin, individu itu terdiri daripada kakitangan Istana Elysee yang merakamkan gambar terbabit menggunakan telefon bimbit.
Liberation melaporkan, empat daripada lima kakitangan itu telah berkhidmat di istana tersebut sejak zaman Presiden, Nicolas Sarkozy, sekali gus menambahkan prasangka bahawa tindakan itu didalangi bekas Presiden tersebut yang mahu mengambil kesempatan kembali bertanding dalam pilihan raya akan datang.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/skandal-hollande-gayet-8232-lima-staf-istana-elysee-ditukar-1.31112#sthash.hM5fNHV9.dpuf