Wednesday, December 10, 2014

Orang layak tak diberi peluang jadi pemimpin


Dr Mahathir
Dr Mahathir
TIADA siapa dapat menafikan, selepas 11 tahun meninggalkan kerajaan, pengaruh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kalangan pemimpin dan rakyat di negara ini masih kuat. Nasihat beliau masih dialu-alukan banyak pihak, dan pandangannya dalam pelbagai isu sering menjadi rujukan.

Baru-baru ini, Dr Mahathir, dalam satu lagi wawancara eksklusif bersama Sinar Harian, berkongsi pendapatnya mengenai pelbagai isu, termasuk kesan kelemahan orang Islam dalam bidang sains dan teknologi, kebebasan rakyat, ekonomi, politik dan perkara yang tidak kurang menarik, ialah bagaimana beliau melihat Malaysia hari ini dan meramal masa depannya.

Ikutilah wawancara beliau bersama Editor Edisi Nasional Sinar Harian, Badruldin Zakaria, Ketua Wartawan Meja Am Sinar Harian, Farah Zamira Farush Khan, ketua jurugambar, Mizan Mat Tamin serta jurukamera kanan, Muhamad Fauzi Mohamed. Wawancara ini juga boleh ditonton di laman web Sinar Harian Online.


SINAR HARIAN: Tun banyak beri pandangan yang dianggap luar biasa berkaitan Islam, contohnya baru-baru ini Tun ada menyebut bahawa ada fatwa yang perlu disemak semula. Secara peribadi apa pendekatan yang Tun guna untuk pembelajaran agama?

DR MAHATHIR: Saya dapati ada fatwa yg sebenarnya tidak boleh dilaksanakan. Masa saya kecil dulu, (ada) fatwa tak boleh guna elektrik dalam masjid, tak boleh guna kereta bermotor, tak boleh ada gambar, lukisan dalam atau di luar rumah. Jadi perkara ini sekarang didapati tak praktikal, tak boleh nak elak. Gambar mesti ada, kita ambil fotografi, (gambar) dah bergerak pun, boleh bercakap pun (iaitu televisyen). Jadi larangan ini (ditujukan) kepada (masyarakat) Arab jahiliah dahulu supaya mereka tak sembah (gambar).

Kerana Arab jahiliah ini daripada sejarah kita tahu, dia nampak batu yang pelik bentuk saja, dia sembah. Tetapi sekarang ini, kita tahu kita tak sembah gambar. Orang Islam tak sembah gambar kalau iman dia kuat, (kalau) dia belajar agama (dengan) betul dia tak akan sembah gambar.

Jadi nampak yang ditafsirkan dahulu itu sekarang ini tak kena, macam tak boleh pakai elektrik dalam masjid. Sekarang ini kita ketawa. Ini semua fatwa pada masa dulu. Sekarang ini kita tahu tak betul. Jadi berapa banyak lagi fatwa yang tak betul? (Ada orang) kata kita tak boleh lagi soal apa yang telah dijelaskan dulu, tak boleh dibuka lagi pintu ijtihad, sudah ditutup. (Ini) keputusan siapa? Bukan keputusan Nabi (Muhammad SAW atau ALLAH SWT).

Ini keputusan manusia. Walaupun dia terpelajar dalam bidang agama, manusia sering membuat kesalahan. Jadi apabila kita dapati keadaan fatwa yang tidak lagi sesuai, kita harus kaji semula.


SINAR HARIAN: Sekarang ini, macam mana Tun lihat pendekatan orang Islam terhadap agama? Adakah mereka terlalu berfikiran sempit kerana terikat dengan fatwa dahulu kala?

DR MAHATHIR: Kebanyakan mereka tidak menyoal dan terima bulat-bulat fatwa yang lama ini (walaupun) kadang tidak lagi boleh kita amalkan pada waktu ini. Tetapi yang jadi masalah dalam kalangan orang Islam sekarang ini, tumpuan ialah kepada fardhu ain, iaitu menyediakan diri untuk akhirat.

Tapi dalam Islam dia kata bukan sahaja akhirat, dunia ini pun penting bahkan (ayat 201, Surah al-Baqarah menyebut) ‘rabbana atina fid-dunya hasanah, wa-fil akhiratai hasanah’ (bermaksud ‘Aku memohon daripada Engkau (ALLAH) kebaikan di dunia, dan aku memohon kepada Engkau kebaikan di akhirat).

Dunia dulu baru akhirat. Jadi kita kena ambil bahagian kita di dunia ini. Kalau kita tak ambil bahagian kita di dunia, kita jadi orang yang lemah, orang yang tak boleh pertahankan diri, kita sebenarnya tidak boleh amal ajaran al-Quran. Al-Quran kata orang Islam perlu mempertahankan diri.

Keupayaan mempertahankan diri itu penting, tetapi pasal dia (orang Islam) tak ada pengetahuan pasal nak buat senjata apa semua, (sekarang) ini dia bergantung kepada orang. Orang bagi senjata kepada dia, dia bunuh orang dia (sendiri).


SINAR HARIAN: Itu ada kaitan dengan soalan ketiga. Mengenai pencapaian orang Islam dalam bidang sains teknologi, sangat rendah berbanding Barat sedangkan Islam agama progresif. Adakah sebab ulama kita terlalu fokus mengenai hukum hakam berbanding bincang isu ekonomi, politik, sains dan teknologi?

DR MAHATHIR: Saya belajar sejarah Islam, pada mulanya orang Islam ini sangat maju dalam bidang sains, matematik, pelayaran, pergerakan bintang-bintang, semua dia tahu. Tapi pada abad ke-15 Masihi, datang fatwa bahawa semua pelajaran yang bukan berkenaan dengan agama Islam tidak memberi pahala, tidak memberi merit kepada kita untuk akhirat.

Dengan itu, maka saintis-saintis (Islam) beralih daripada sains kepada agama. Tumpuan kepada pelajaran agama, menulis kitab berkenaan agama. Malangnya terdapat percanggahan antara mereka yang menyebabkan ada kekeliruan sekarang ini antara kita. Kita dapati bahawa orang yang menulis buku-buku ini, pendapat mereka tak sama.

Jadi kerana tak sama kita jadi pengikut kuat (kepada pendapat ulama yang berbeza) dan kita berpecah. Sebab itu kita perlu ingat bahawa iqra adalah ayat yang pertama disampaikan kepada Nabi (Muhammad SAW). Kerana baca itu penting. Waktu itu tak ada agama Islam lagi, baru ada wahyu daripada Tuhan suruh baca.

Dia (orang Islam) nak baca apa? Tak ada apa pun tertulis. Dia baca apa yang ditulis oleh orang-orang Greek, Roman, China, India dan dengan itu (orang Islam) menjadi bangsa yang terpelajar, dapat mendirikan tamadun Islam yang canggih, yang lebih maju daripada Eropah yang pada masa itu ada di zaman gelap, The Dark Ages.

Jadi sebab itu kita kena baca, bukan sahaja baca al-Quran, baca kitab (agama). Kita baca yang itu pun tetapi kita kena baca dalam bidang lain, termasuk sains, kerana sains ini boleh menyumbang kepada ketahanan kita.

Kalau kita tak ada pengetahuan dalam sains, kita ketinggalan seperti sekarang ini. Sebab itulah kita jangan kata mempelajari sains itu tidak mendatangkan pahala kerana daripada sains itu kita akan berupaya mengamalkan ajaran Islam, iaitu mempertahankan umat Islam dan agama Islam.

Sekarang ini orang menghina Islam, kita tak boleh buat apa-apa pasal kita lemah. Pasal apa kita lemah? Pasal kita tak ada ilmu. Pasal apa kita tak ada ilmu?

Pasal kita cuma baca berkenaan dengan agama saja. Amalan daripada ajaran itu kita tak buat.


SINAR HARIAN: Apabila orang terlalu terikat dengan fatwa, ia mewujudkan kumpulan pelampau agama. Sekarang ini kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membawa konsep wasatiyyah (kesederhanaan). Adakah konsep ini boleh kekang pelampau agama sebab kita galakkan Islam sederhana atau sebaliknya menyebabkan lebih banyak pula kewujudan golongan liberal?

DR MAHATHIR: Sebenarnya agama Islam ini sudah pun sederhana. Kalau kita baca al-Quran, dia suruh kita tadbir dengan baik, terima adanya orang bukan Islam, tidak ada paksaan dalam Islam. Semua ini menunjukkan bahawa agama Islam itu adalah agama yang sederhana, tak ada paksaan.

Tetapi yang berlaku sekarang ini ialah penganut agama Islam ini keterlaluan, lebih daripada yang disuruh oleh agama. Dan benda yang dilarang oleh agama pun mereka buat dengan nama agama. Umpamanya, dia bunuh orang Islam atas nama Islam.

Itu tak kena. Itu bukan ajaran Islam. Jadi ini penyelewengan. Bukan agama itu tidak sederhana. Agama itu sudah pun sederhana, tak payah disederhanakan.

Tetapi kita keterlaluan, yang perlu kita asingkan, (yang perlu kita) tolak ialah keterlaluan membuat tafsiran yang tidak tepat kepada ajaran Islam. Kita buat apa pun, kita kata ‘Bismillahirrahmanirrahim’. ALLAH maha pengasih, maha penyayang.

(Tetapi) kita gambarkan ALLAH itu sebagai ALLAH yang maha kejam, bengis, nak bunuh orang saja. Itu gambaran yang kita suka nak bagi. Sebenarnya agama Islam menunjukkan 99 nama Tuhan, kebanyakannya sederhana.

Tak payah nak sederhana lagi lah. Tuhan dah tunjuk kepada kita dalam al-Quran, dalam hadis, kita adalah agama yang sederhana.

Penunjuk perasaan diarah bersurai


Khemah penunjuk perasaan memenuhi jalan raya di tapak bantahan utama di sekitar bandar Hong Kong.
Khemah penunjuk perasaan memenuhi jalan raya di tapak bantahan utama di sekitar bandar Hong Kong.
HONG KONG - CHINA . Penunjuk perasaan di Hong Kong diberi tempoh sehingga esok dan perlu meninggalkan tapak bantahan utama di sekitar bandar di negara itu sebelum pukul 9 pagi (waktu tempatan).

Susulan itu, pihak berkuasa Hong Kong kini sedang membuat persediaan terakhir untuk membersihkan tapak bantahan selepas ia diduduki penunjuk perasaan selama lebih dua bulan.

Satu keputusan Mahkamah Tinggi yang diumumkan semalam memerintahkan pembersihan tiga bahagian tapak bantahan utama di Admiralty, iaitu di tengah-tengah pusat perniagaan Hong Kong.

Keputusan dibuat selepas sebuah syarikat bas tempatan memohon injunksi yang membolehkan bailif untuk meminta bantuan polis jika perlu sepanjang operasi pembersihan di sekitar kawasan ibu pejabat kerajaan dilakukan.

Terdahulu, kumpulan pelajar menggesa untuk mengadakan pilihan raya bebas menerusi perhimpunan aman yang dikenali sebagai Gerakan Payung, dan ketegangan mula tercetus selepas pemerintah membatalkan pilihan raya umum itu. - Reuters

Jangan balik ke Malaysia semula


Reaksi Khairy terhadap status Facebook Ali, semalam.
Reaksi Khairy terhadap status Facebook Ali, semalam.
SHAH ALAM - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyarankan aktivis politik, Ali Abdul Jalil, yang pasportnya dibatalkan Jabatan Imigresen tidak balik lagi ke Malaysia.

“Jangan sesekali pulang semula,” katanya menerusi Twitternya.

Kenyataan itu adalah reaksi Khairy terhadap kemas kini Ali dalam laman Facebooknya yang menyatakan dia sudah menerima kad suaka politik daripada kerajaan Sweden.

Kelmarin, Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) milik blogger kontroversi, Alvin Tan dan Ali disenaraihitamkan dan ditarik balik Jabatan Imigresen berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, penyenaraian itu menyebabkan pasport dipegang dua individu terbabit terbatal secara automatik.

Tiada hasrat ekstradisi Alvin dan Ali


PUTRAJAYA: Kerajaan tidak berhasrat membuat permohonan ekstradisi blogger kontroversi Alvin Tan dan aktivis politik Ali Abdul Jalil ke Malaysia bagi menghadapi tindakan undang-undang, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Kita tiada cadangan atau usaha melakukan extradisi setakat ini walaupun ada perjanjian extradisi dengan negara berkenaan,” katanya selepas menerima kunjungan Penolong Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat, Alan Bersin, di pejabatnya di sini hari ini.
Ahmad Zahid bagaimanapun yakin Tan dan Ali yang kini berada di luar negara untuk mendapatkan perlindungan politik akan pulang ke tanah air suatu hari nanti.
“Sejauh-jauh bangau terbang, akan balik ke belakang kerbau,” katanya.
Apabila ditanya sama ada kerajaan akan menggugurkan kerakyatan Tan dan Ali, Ahmad Zahid berkata kerajaan Malaysia tidak sekejam itu.
“Mereka adalah anak kelahiran Malaysia. Tiada pasport sudah cukup menyeksa,” katanya.
Semalam, Jabatan Imigresen Malaysia mengumumkan bahawa pasport Malaysia Antarabangsa Tan dan Ali ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.
Tan atau nama sebenarnya Tan Jye Yee melarikan diri ke Amerika Syarikat bagi mendapatkan perlindungan politik dan mengelak daripada ditahan pihak berkuasa di Malaysia atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan.
Ali pula melarikan diri ke Sweden bagi mendapatkan perlindungan politik.
Ali berdepan tuduhan menghasut kerana menghina institusi Raja di negara ini melalui laman Facebooknya. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 8:25 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/14918#sthash.6bHmSPVy.dpuf

Perlu RM20,000 untuk pembedahan



ZAINAL ABIDIN memperkatakan sesuatu kepada Nur Suzana yang menderita penyakit jantung berlubang di kediaman mereka di Rumah Pangsa Senawang Jaya Fasa 1, Seremban semalam.


SEREMBAN – Hati seorang bapa bagai dihiris apabila hanya terdaya untuk merayu bantuan orang ramai bagi membiayai pembedahan jantung anaknya di Institut Jantung Negara (IJN) yang dijangka dijalankan pada Januari depan.
Anaknya, Nur Suzana, 15, seorang pelajar tingkatan tiga yang menderita jantung berlubang lebih setahun lalu memerlukan lebih RM20,000 bagi menjalani pembedahan memasukkan bateri ke dalam jantungnya itu.
Zainal Abidin Sidek, 51, pula tidak mampu bekerja sejak lapan tahun lalu kerana menghidapi penyakit berkaitan urat saraf dan hanya bergantung kepada pendapatan isterinya, Sabariah Ismail, 46, yang bekerja sebagai operator kilang dengan pendapatan sebanyak RM1,000 sebulan.
“Ingin sekali saya mengerahkan kudrat diri untuk bekerja mencari belanja bagi pembedahan Nur Suzana, namun saya tidak berdaya sedangkan kami hanya mempunyai tempoh tidak sampai sebulan untuk mengumpul wang sebanyak itu.
“Setakat ini kami hanya berjaya mengumpul lebih RM4,000 hasil sumbangan orang ramai manakala kos yang dikenakan oleh IJN untuk pembedahan yang dijadualkan pada 7 Januari depan sebanyak RM25,000,” katanya dalam nada sayu ketika ditemui di kediamannya di Senawang di sini semalam.
Zainal Abidin yang turut mempunyai tiga lagi anak berusia antara lima hingga 10 tahun memberitahu, Nur Suzana yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang sering pengsan ekoran masalah kesihatan itu sebelum ini.
Sementara itu, Nur Suzana yang kelihatan lesu dan kurang bermaya menaruh harapan untuk menjalani kehidupan seperti remaja lain yang sihat.
Orang ramai yang ingin membantu pelajar ini boleh menghubungi Zainal Abidin di talian 014-2204 295.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1210&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3LRnc8rHG 
Hakcipta terpelihara 

Khir Toyo buat rayuan terakhir



MOhamad KHIR (kiri) bersama isteri, Zahrah Kechik berjalan keluar dari Mahkamah Persekutuan Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Mahkamah Ra­yuan terkhilaf kerana bersandarkan kepada pertuduhan yang cacat ketika mengekalkan sabitan dan hukuman penjara setahun terhadap Dr. Mohamad Khir Toyo atas kesalahan mendapatkan untuk beliau dan isteri, dua lot tanah dan sebuah banglo bernilai jutaan ringgit.
Peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah membe­ritahu Mahkamah Persekutuan semalam, pendakwaan berpandukan kepada pertuduhan bahawa anak guamnya selaku Menteri Besar membeli hartanah dengan harga RM3.5 juta pada tahun 2007 tanpa pertimbangan yang mencukupi.
Beliau berhujah, Mohamad Khir yang ketika itu merupakan Pengerusi dan ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dituduh atas kapasitinya sebagai Menteri Besar.
Beliau berhujah, Menteri Besar mahupun Pengerusi atau ahli lembaga pengarah PKNS bukan me­rupakan penjawat awam kerana jawatan itu tidak terjumlah dalam lingkungan Seksyen 21(i) Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika memutuskan pendakwaan terhadap Mohamad Khir memenuhi intipati pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu tuduhan yang melibatkan penjawat awam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1210&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3LRn4uGEs 
Hakcipta terpelihara 

30,054 jutawan menjelang 2018


BANGUNAN Berjaya Times Square milik Berjaya Group yang sebahagian daripada lambang kejayaan bilionair Malaysia, Tan Sri Vincent Tan. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka mempunyai seramai 30,054 jutawan pada tahun 2018 berdasarkan laporan sebuah firma penyelidikan, Pusat Pangkalan Data Risikan Wealthinsight yang berpangkalan di London.
Jangkaan itu dibuat berdasarkan kepada pe­ningkatan seba­nyak 45.5 peratus jutawan atau individu berpendapatan tinggi bersih yang melebihi AS$1 juta (RM3.4 juta) di Malaysia sepanjang tahun 2009 sehingga 2013.
Menurut laporan itu, terdapat seramai 26,014 individu yang berpendapatan lebih AS$1 juta di Malaysia pada tahun lalu de­ngan kekayaan ke­seluruhan mereka ialah AS$151 bilion (RM527.87 bilion) iaitu peningkatan kira-kira 11,706 orang sejak tahun 2009.
Justeru, Malaysia dijangka memiliki seramai 30,054 jutawan dengan kekayaan terkumpul AS$206 bilion (RM719.04 bilion) menjelang tahun 2018 berdasarkan peningkatan memberangsangkan kadar pendapatan bersih lebih AS$1 juta.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1210&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3LRmTY27e 
Hakcipta terpelihara 

Malala terima Hadiah Nobel hari ini



AFP - MALALA (kiri) bersama Satyarthi ketika satu sidang akhbar di Institut Nobel di Oslo, Norway semalam.


OSLO – Seorang aktivis kanak-kanak dari Pakistan, Malala Yousafzai dijadual menerima Hadiah Nobel Keamanan 2014 pada hari ini dan pada majlis tersebut sepasang uniform sekolah yang dipakai gadis itu ketika ditembak pejuang Taliban dua tahun lalu turut dipamerkan.
Malala, 17, berkongsi hadiah tersebut dengan seorang lagi aktivis kanak-kanak warga India, Kailash Satyarthi, 60, yang telah berjuang selama 35 tahun untuk membebaskan kanak-kanak daripada menjadi buruh paksaan.
Remaja itu tiba di Norway bersama lima aktivis remaja dari Pakistan, Syria dan Nigeria termasuk dua rakannya yang turut cedera selepas pejuang Taliban menyerang bas sekolah yang dinaiki mereka pada 9 Oktober 2012.
Malala diserang dan ditembak di kepala selepas dia lantang menuntut pendidikan diberikan kepada kanak-kanak perempuan di Pakistan.
Dia diterbangkan ke Britain untuk mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Birmingham dan sejak itu gadis berkenaan menetap di negara tersebut.
Sempena majlis penyampaian hadiah tersebut, penganjur telah mempamerkan sepasang uniform sekolah milik Malala yang masih mempunyai kesan darah di Pusat Hadiah Nobel Keamanan di sini.
“Uniform sekolah ini sangat penting bagi saya kerana saya ditembak ketika memperjuangkan hak untuk mendapat pendidikan dengan memakai pakaian ini.
“Saya mahu menunjukkan uniform ini kepada semua kanak-kanak di seluruh dunia kerana ia melambangkan hak saya dan hak semua kanak-kanak untuk ke sekolah,” katanya. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1210&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3LRlJhZx7 
Hakcipta terpelihara