Pertempuran berterusan di Istanbul
Protes antikerajaan di Istanbul turut merebak ke Ankara sejak minggu lalu.
ISTANBUL - Pihak berkuasa sekali lagi bertempur dengan penunjuk perasaan antikerajaan di daerah Gazi, di sini, kelmarin hingga mereka terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan kumpulan itu.

Difahamkan, protes sama turut diadakan di ibu negara selepas Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan menggesa demonstrasi yang menentang kepimpinan beliau dihentikan, dipetik dari Press TV.

Gesaan itu dibuat selepas Pesuruhjaya Pembesaran Kesatuan Eropah (EU), Stefan Fule mengarahkan satu siasatan dibuat selepas pihak berkuasa didakwa menggunakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan.

Amnesty International turut mengecam polis Turki berhubung taktik yang digunakan oleh mereka untuk mengawal penunjuk perasaan.

Sementara itu, sekurang-kurangnya empat maut termasuk anggota polis manakala lebih 4,000 lagi cedera sejak tunjuk perasaan tersebut tercetus di seluruh negara, minggu lalu.