Thursday, June 4, 2015

Pas kekal dalam PR selagi tak langgar syarak

Abdul Hadi Awang
Hadi Awang

KUALA SELANGOR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu akan terus bertahaluf siyasi bersama PR selagi tidak bercanggah dengan panduan al-Quran dan Sunnah.

Menurut beliau, semua kerjasama politik yang dijalin Pas selama ini dilakukan dengan kaedah dibenarkan syarak dan syarat yang tidak mengikat parti itu untuk membawa Islam.

Oleh itu, katanya, sebarang persepakatan yang mengikat Pas untuk meninggalkan perjuangan dan agenda Islam adalah tidak boleh diikuti sama sekali.

“Maka sebagaimana yang berkali-kali diperjelaskan sebelum ini, Pas melaksanakan tahaluf siyasi bersama PR dalam perkara yang dipersetujui. Antaranya menentang kezaliman, rasuah, ketirisan dan urus tadbir telus yang menjadi titik pertemuan (dalam PR).

“Agenda ini kita rangkakan sebagai panduan dan perkara yang dipersetujui dalam polisi bersama PR,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di Muktamar Tahunan Pas ke-61, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, setiap parti akan memperjuangkan agenda masing-masing sekiranya ia berbeza dengan pendirian rakan PR lain atau tiada dalam polisi bersama.

“Sebab itulah, walaupun kita tahu parti kawan kita memperjuangkan perlembagaan sekular yang bercanggah dengan dasar Pas, tetapi kita tidak pernah meminta mereka mengkaji dan dan membawa dasar sekular ini dalam perbincangan.

“Apatah lagi kita tidak pernah mencampuri siapa yang patut atau tidak patut berada dalam kepimpinan parti masing-masing, walau kita diserang siang dan malam,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut mengingatkan ahli Pas agar tidak ghairah mempertahankan tahaluf siyasi sehingga meninggallkan prinsip dan perjuangan parti.

Pas menjalinkan tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP sejak 2008 menggunakan nama PR selepas PRU-12.

Bagaimanapun, hala tuju kerjasama politik antara Pas dan DAP kini menjadi tanda tanya berikutan keputusan DAP memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi, tetapi masih bekerjasama dengan Pas.

Isu tersebut juga semakin berlarutan apabila Dewan Ulama Pas Pusat semalam meluluskan usul tergempar agar Pas memutuskan hubungan dengan DAP.

Pihak Matrikulasi Perlis jawab isu lambang 'salib'

Pihak Matrikulasi Perlis jawab isu lambang 'salib'
Kunci rantai yang didakwa menyerupai lambang salib.

SHAH ALAM - Pengarah Kolej Matrikulasi Perlis, Nuzrin Nuiman tampil menjawab isu 'salib' yang dikatakan terdapat pada rantai kunci yang diberikan oleh pihak kolej berkenaan kepada pelajar baharu sesi 2015/2016 minggu lalu.

Nuzrin berkata, pihak kolej pada Sabtu lalu telah menerima aduan daripada seorang pelajar yang mendakwa terdapat lambang salib pada rantai kunci kolej.

"Sebenarnya simbol seumpama lambang salib itu digunakan untuk dijadikan tapak untuk melekatkan plate logo Kolej Matrikulasi Perlis.

"Untuk mengelakkan isu ini berpanjangan, pihak kolej telah memaklumkan kepada pembekal untuk menarik balik dan menggantikan dengan kunci rantai yang baharu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Nuzrin berkata, pada Ahad lalu, pihak kolej telah membuat pengumuman kepada semua pelajar untuk menyerahkan semula rantai kunci yang dibekalkan kepada pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) Kolej Matrikulasi Perlis.

"Proses kutipan balik selesai pada 1 Jun (kelmarin) dan diserahkan kepada pembekal," katanya.

Isu berkaitan lambang salib ini telah menjadi viral di laman sosial sejak petang semalam.

Tahaluf siyasi bukannya taat membuta tuli

Tahaluf siyasi bukannya taat membuta tuli
Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din menyampaikan ucapan perasmian pada Muktamar Dewan Ulama Pas ke 54. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB

GOMBAK - Tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara Pas dengan parti komponen PR pada masa ini bukanlah satu janji atau ketaatan yang perlu dilakukan secara membuta tuli.

Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din menegaskan tahaluf siyasi dengan parti sosialis dan parti yang berasaskan kepada pelbagai kaum itu boleh diteruskan selagi mana ia ada kepentingan umum.

"Tahaluf yang berlaku sekarang ini ialah bukan janji atau ketaatan membuta tuli.

"Ada maslahah teruskan.. (Jika) tiada, faham-fahamlah," katanya pada Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat ke-54 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini, hari ini.

Haron juga berkata, Pas bertahaluf bukan kerana mahu menambah bilangan penyokong bagi memenangkan parti itu dalam pilihan raya semata-mata.

"Kalau semata-mata nak menang pilihan raya, tak kisah tahaluf itu lulus syariah atau tidak, maka kita bimbang kita mungkin beruntung sedikit di dunia, dan akan rugi-seruginya di akhirat kelak.

"Atas itulah keutamaan dilihat kepada lulus syariah atau tidak," ujarnya.

Dalam pada itu, Haron turut menyenaraikan enam garis panduan bagi tujuan tahaluf siyasi yang dibuat sejak 2009.

Antaranya tahaluf siyasi yang diharuskan mestilah dijadikan wasilah untuk menegak dan memperkukuhkan Islam serta membuka ruang kepada pelaksanaan hukum Islam.

Selain itu, katanya lagi, kerjasama politik itu mestilah menjadi Islam sebagai dasar utama untuk dipertahankan.

"Tahaluf siyasi perlu menuruti ketaatan wala' mutlak, hendaklah diberikan kepada kepimpinan Pas, bukan kepada parti lain yang bertahaluf.

"Kemudian, ia hendaklah dijadikan ruang dan medan menyampaikan dakwah, matlamat kemenangan Islam tidak boleh menghalalkan tahaluf secara mutlak.

"Akhirnya, Majlis Syura Ulama Pas mempunyai kuasa membuat keputusan mengenai kesinambungan tahaluf siyasi ini berdasarkan kepada maslahah dari semasa ke semasa," katanya lagi.

TPM disambut dengan laungan 'selamatkan Malaysia'

Muhyiddin Yassin

SEPANG - Ketibaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam disambut laungan "Hidup Tan Sri" dan "Selamatkan Malaysia" ‎oleh penyokongnya, semalam.
 
‎Lebih 100 penyokong Muhyiddin turut menyambut ketibaan beliau di Balai perlepasan pada jam 9.30 malam.
 
Muhyiddin sebelum ini dilaporkan bercuti di Australia.
Sebaik tiba di Balai Perlepasan, Aras 5, KLIA, Muhyiddin kelihatan tenang dan hanya melemparkan senyuman kepada pihak media.
 
Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila video ucapan beliau dalam satu mesyuarat tertutup bersama kepimpinan politik lain dalam satu kursus politik yang tersebar di internet.
 
Dalam video tersebut, beliau menyatakan pendiriannya supaya ahli lembaga pengarah One Malaysia Development Berhad (1MDB) harus dipecat.
 
Sementara itu, memetik laporan sebuah portal berita, menteri-menteri Kabinet telah menghadiri suatu perjumpaan tertutup, dipercayai berhubung isu 1MDB, di Majestic Hotel, semalam.
 
Antara menteri yang hadir termasuklah Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Abdul Rahman Dahlan; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
 
Turut kelihatan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel dan Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan.
 
Laporan itu dipetik, Majestic Hotel, yang juga menyaksikan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk acara yang berlainan, dikawal ketat oleh pihak polis.

Saya tidak akan lepaskan jawatan, kata Hishamuddin

 Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menafikan beliau akan melepaskan jawatannya dalam kabinet seperti yang dilaporkan sebuah portal berita.

Dalam respons kepada soalan pengikut Twitter beliau @Nessie43: "adakah Datuk Seri akan keluar (daripada kabinet)? Apakah yang akan mereka lakukan tanpa Datuk Seri", Hishammuddin menjawab: "Tidak. saya tidak akan (keluar). Putar belit oleh pihak tidak bertanggungjawab."

Laporan portal berita portal berita yang meramalkan Hishammuddin berkemungkinan melepaskan jawatan beliau dalam kabinet, dipetik oleh akhbar harian berbahasa Inggeris, hari ini.

Selain Hishammuddin, laporan itu turut meramalkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mungkin turut meletak jawatannya dalam kabinet.

NST hari ini melaporkan perkara itu timbul berikutan kata dua yang diberi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu IMalaysia Development Berhad (1MDB).

Laporan menyebut Hishammuddin tidak hadir dalam mesyuarat mingguan kabinet pada Jumaat lepas ketika Najib dilaporkan memberi kata dua kepada jemaah menteri, meminta mereka melepaskan jawatan sekiranya mereka tidak menyokong beliau berhubung isu 1MDB.

Dalam tweet pada Isnin lepas, Hishammuddin berkata, beliau akan menyokong kata dua itu asalkan ia memenuhi tiga syarat, yang mengetengahkan pentingnya kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam menyelesaikan hutang syarikat itu yang berjumlah RM42 bilion.

Menteri pertahanan dalam mesej Twitter pada Isnin, menyatakan: "Setuju, dengan syarat: 1) rasionalisasi 1MDB, 2) kebertanggungjawaban jika ada kesalahan, dan 3) ketelusan (dalam syarat 1 dan 2)."

Sementara itu, dalam sidang media petang ini, Hishammuddin menyelar tindakan sesetengah pihak yang memutar belit kenyataan dan mendakwa beliau akan meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan isu 1MDB.
  
Mengulangi pendiriannya untuk tidak meletak jawatan dalam Kabinet, Hishammuddin berkata pihak terbabit cuba melaga-lagakan Jemaah Menteri berkaitan isu tersebut namun tidak akan berjaya sama sekali.
  
"Tidak timbul isu letak jawatan. Ada pihak cuba lagakan. Saya percaya ia tidak akan berjaya.
  
"Isu (1MDB) sudah dibincang di peringkat Kabinet. Jadi desas-desus lagakan kami satu perkara yang tidak masuk akal. Ia 'negative spin' untuk tidak mahu kita bergerak sebagai satu pasukan," katanya. - Bernama

Haron Din: Ada perkara besar diselindungkan PM

Haron Din
Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din menyampaikan ucapan perasmian pada Muktamar Dewan Ulama Pas ke 54. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB

GOMBAK - "Ada perkara besar berlaku dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diselindungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," kata Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din.
 
Jika tidak katanya, mana mungkin Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara lantang boleh bersuara agar semua ahli lembaga pengarah syarikat pelaburan itu dipecat serta-merta.
 
"Nampaknya semakin parah (1MDB), PM dan TPM sedang bertelagah tanpa dapat diselindung lagi. 
 
"PM nampaknya sudah berang dengan komen daripada TPM dengan menyatakan mana-mana menteri yang tak bersetuju dengannya polisi kerajaan menangani 1MDB, sila letak jawatan sekarang. 
 
"(Perkara) ini jelas merujuk kepada TPM," katanya ketika berucap pada perasmian Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat ke-54 di sini, hari ini.
 
Pada 30 Jun lalu, Perdana Menteri meminta anggota Kabinet yang tidak bersama dengannya dalam usaha pemulihan 1MDB agar meletak jawatan.
 
Mengulas lanjut, Dr Haron turut menyindir Perdana Menteri berikutan jawapannya di Parlimen mengenai dana 1MDB dari Kepulauan Cayman yang dibawa balik ke sebuah bank di Singapura hanyalah satu penipuan semata-mata.
 
"Malangnya bank di Singapura menafikan tidak ada wang 1MDB yang masuk ke Singapura.
 
"PM menarik balik jawapan bertulis itu dan membetulkan balik dengan mengatakan bukan wang tunai yang dibawa dari Kepulauan Cayman ke Singapura tetapi aset yang dibawa," katanya lagi.

Ikan laut dalam gergasi dijumpai terdampar

Ikan laut dalam gergasi dijumpai terdampar
Ikan jenis Oarfish yang ditemui Isnin lepas. - Foto CNN

LOS ANGELES - AMERIKA SYARIKAT. Seekor ikan spesis laut dalam yang dikenali sebagai 'Oarfish' dijumpai terdampar di pantai pulau Catalina, Isnin lepas.

Menurut laporan CNN, ikan tersebut berukuran 17 kaki panjang.

Wanita tersebut, Annie MacAulay memberitahu, dia membawa anaknya untuk bermain kayak di pulau tersebut.

Katanya, dia sedia maklum mengenai spesis ikan tersebut, namun tidak pernah menemuinya.

"Saya kebetulan berada di sini," kata beliau yang juga menyandang jawatan presiden dalam organisasi Mountain and Sea Adventures, sebuah organisasi kesedaran alam sekitar.

Difahamkan, kali terakhir Oarfish ditemui di pulau Catalina adalah pada Oktober 2013.

"Ikan tersebut dipercayai hidup pada kedalaman 3,000 kaki.

"Tidak ramai yang menyelidik mengenai ikan tersebut, jadi tingkah laku dan populasi ikan tersebut tidak diketahui," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Institusi Marin Pulau Catlina pada 2013.

Dewan Ulama Lulus Usul Tergempar PAS-DAP 'Bercerai'


Diterbitkan: Rabu, 3 Jun 2015 7:39 PM

GOMBAK: Dewan Ulama PAS Pusat sebulat suara meluluskan tanpa bahas usul supaya parti Islam itu memutuskan hubungan dengan DAP.
Bagaimanapun Dewan itu mahu PAS kekal dalam Pakatan Rakyat bersama Parti Keadilan Rakyat.
“Menyedari DAP secara berterusan dan konsisten melakukan pelbagai provokasi terhadap kedudukan PAS dan Pakatan Rakyat, Dewan Ulama PAS ke-54 mencadangkan kepada Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat supaya hubungan kerjasama politik dengan DAP dibatalkan dan PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat,” kata Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS, Mokhtar Senik.
Beliau yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Pahang berkata demikian ketika menyampaikan usul tergempar Dewan Ulama PAS Pusat.
Usul berkenaan kemudian diterima tanpa bahas apabila 644 perwakilan bangun sebagai tanda bersetuju dengan laungan takbir.
Terdahulu perwakilan Perak, Nor Azli Musa ketika tampil untuk membahaskan usul berkenaan bagaimanapun berkata: “Saya tidak mahu berucap, tapi saya menyeru semua perwakilan dan pemerhati bangun sebagai tanda kita semua bersetuju dengan usul ini, takbir!"
Berikut Usul Tergempar Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat ke-54 yang bersidang pada 3 Jun 2015/16 Syaaban 1436 H di KUIZM.
Tahaaluf Siyaasi (Kerjasama Politik) Dengan DAP:
1. Menyedari bahawa DAP sebagai rakan kerjasama politik PAS menerusi Pakatan Rakyat secara rasmi telah memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Pusat selaku ketua kepada parti.
2. Menyedari juga bahawa Pakatan Rakyat di Sarawak dan Sabah telah dibubarkan ekoran tekanan daripada DAP.
3. Menyedari bahawa DAP telah melangkaui batasan daripada hanya tidak bersetuju kepada menentang dan mengkritik secara lantang dan keras serta melobi ahli-ahli PAS untuk menolak usaha memperkasakan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang telah dikanunkan pada 1993 sebelum penubuhan Pakatan Rakyat.
4. Menyedari bahawa DAP menerusi Lim Kit Siang dalam satu soalan rasmi ke Parlimen bertarikh 18 Mei 2015 melakukan provokasi terhadap usaha PAS Kelantan untuk meminda perlembagaan bagi melaksanakan Undang-undang Jenayah Islam di Malaysia dengan cuba menyifatkannya sebagai bertentangan dengan semangat kenegaraan dan boleh memecah-belahkan negara.
5. Menyedari bahawa DAP secara konsisten dan berterusan menyerang Presiden PAS dengan pelbagai tohmahan dan kutukan.
6. Menyedari bahawa DAP secara berterusan dan konsisten melakukan pelbagai provokasi terhadap kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat.
7. Menyedari bahawa DAP telah gagal untuk berpegang kepada prinsip "setuju untuk tidak bersetuju" dalam prinsip dan perjuangan bersendiri setiap parti dalam Pakatan Rakyat seperti perjuangan untuk melaksanakan Undang-undang Jenayah Islam.
8. Menyedari bahawa antara syarat-syarat Tahaaluf Siyaaasi (kerjasama politik) dengan parti yang tidak berlandaskan Islam mestilah dijadikan wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk pelaksanaan Islam serta mestilah dipastikan dasar-dasar Islam dipertahankan.
9. Menyedari bahawa sebahagian syarat-syarat keharusan kerjasama politik dengan parti tidak Islam telah dilanggar oleh sebahagian ahli PAS antaranya intimak (penggabungan diri) dan walak ahli hendaklah kepada parti Islam.
Maka Muktamar Dewan Ulamak PAS kali ke 54 mencadangkan kepada Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat supaya hubungan kerjasama politik dengan DAP dibatalkan dan PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat.