Thursday, November 4, 2010

Perlis, Kedah hampir lumpuh




KENDERAAN polis terpaksa dialihkan ke tempat tinggi selepas Ibu Pejabat Trafik Negeri Perlis turut dilanda banjir di Kangar semalam.


ALOR SETAR - Banjir yang melanda Perlis dan Kedah sudah mengatasi bencana yang sama pada 2005 apabila bilangan penduduk yang dipindahkan di kedua-dua negeri melebihi 16,000 orang dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan mangsa meningkat kepada 37,000 orang selain melumpuhkan rangkaian sistem pengangkutan darat dan udara.
Sewaktu banjir besar pada 2005, hanya seramai 21,000 orang dipindahkan di kedua-dua negeri tersebut.
Angka korban juga bertambah empat orang lagi semalam, menjadikan enam mangsa meninggal dunia akibat banjir setakat petang semalam.
Mangsa terbaru yang masih hilang ialah dua beradik berusia 13 tahun dan lapan tahun di Kedah, seorang remaja yang terjatuh di Terusan Arau, Kangar serta penemuan mayat budak perempuan berusia 12 tahun di Bachok, Kelantan.
Di Kedah, semua penerbangan dibatalkan melainkan helikopter apabila Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar ditutup selepas landasannya digenangi air sedalam satu meter.
Lapangan terbang itu yang mengendalikan tujuh penerbangan sehari pernah ditutup sewaktu banjir pada 2005.
Jurucakap bilik gerakan banjir negeri Kedah berkata, seramai 25,088 penduduk dipindahkan ke 88 buah pusat penempatan sementara di Kubang Pasu (40 buah), Padang Terap (35), Kota Setar (sembilan) dan Pokok Sena (empat).
Sebanyak 24 batang jalan ditutup termasuk laluan di Kilometer 35.8, Kilometer 34.8 dan Kilometer 32.6 (kedua-dua arah) antara Kepala Batas dan Jitra di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).
Sementara itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan perkhidmatan tren antara bandar bagi laluan Arau-Tunjang dibatalkan untuk jadual perjalanan semalam dan hari ini.

PM Itali langgan pelacur kelas atasan



NADIA MACRI


ROM - Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi yang cukup terkenal dengan sikap suka berfoya-foya berdepan satu dakwaan terbaru apabila beliau dikatakan membayar seorang pelacur kelas atasan untuk mendapatkan khidmat seks, lapor sebuah akhbar semalam.
Pelacur cantik bernama Nadia Macri itu memberitahu dia menghabiskan masa bersama Berlusconi sebanyak dua kali di rumahnya dengan bayaran mencecah AS$14,495 (RM44,738), selain diberi barangan kemas.
Nadia yang berusia 28 tahun itu turut mendakwa melihat Berlusconi melakukan hubungan seks dengan beberapa orang wanita di dalam sebuah jakuzi.
Dakwaan itu dibuat dalam satu kenyataan kepada pihak pendakwa raya yang melakukan siasatan berhubung parti-parti seks dan dadah yang diadakan di rumah percutian milik Berlusconi.
Nadia menyatakan, ganja ditawarkan kepada wanita-wanita pada parti itu.
Menurutnya, dadah itu ada di dalam pesawat rasmi Berlusconi.
Jika benar, dakwaan tersebut boleh menjejaskan karier Perdana Menteri itu.
Peguam Berlusconi, Niccolo Ghedini bagaimanapun menafikan semua dakwaan itu.
"Tiada perkara yang tidak senonoh berlaku di rumah Berlusconi," katanya.
Kenyataan Nadia setebal 300 muka surat itu bocor kepada media Itali.
Sebelum ini, Berlusconi mendapat liputan meluas berikutan hubungannya dengan seorang penari gelek, Karima Keyek yang berumur 18 tahun. - Agensi

Proses pengundian di Galas, Batu Sapi berakhir


PETUGAS Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membawa turun peti undi dari Daerah Orang Asli Pos Brooke untuk dijumlahkan di Dewan Pusat Sivik Gua Musang pada pilihan raya kecil DUN Galas hari ini. - Foto BERNAMA
Nov 4, 2010 5:49 pm




2010/11/04

KUALA LUMPUR: Proses pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Gua Musang, Kelantan, dan Parlimen Batu Sapi di Sandakan, Sabah, yang bermula 8 pagi tadi berakhir apabila pusat pengundian ditutup jam 5 petang tadi.

Pertandingan di DUN Galas membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Ab Aziz Yusoff, dan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed.

Dua laporan polis dibuat ke atas Nik Aziz



GUA MUSANG 3 Nov. - Dua laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang di sini petang ini berhubung tindakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberikan wang kepada Orang Asli di Pos Sendrop kelmarin.
Laporan pertama dibuat Naib Ketua Wira Perkasa Malaysia, Irwan Fahmi Ideris, 33, pada pukul 3.13 petang manakala laporan kedua oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tendong, Datuk Mohd. Fauzi Muhammad, 55, kira-kira 17 minit kemudian.
Kedua-dua individu terbabit menggesa siasatan segera dijalankan memandangkan wang berkenaan diberikan ketika calon Pas, Dr. Zulkefli Mohamad turut berada di situ dan menimbulkan kecurigaan.
"Kita mahu polis menyiasat perkara ini kerana ia jelas disiarkan dalam akhbar hari ini yang menunjukkan Menteri Besar, telah memberi wang kepada Orang Asli.
"Persoalannya apa tujuan wang itu memandangkan Dr. Zulkefli yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas juga berada di situ," kata Mohd. Fauzi ketika ditemui selepas membuat laporan itu di sini hari ini.
Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas menyampaikan sumbangan berkenaan kepada beberapa pemuda Orang Asli selepas mengislamkan mereka pada Majlis Mesra Rakyat bersama Menteri Besar di Pos Sandrop kelmarin.
Ia merupakan sebahagian program sempena kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang akan diadakan Khamis ini.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan kira-kira 75 sijil penyertaan projek perumahan berkelompok kepada masyarakat Orang Asli di situ.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah dan Dr. Zulkefli.