Monday, April 20, 2015

Zahid: Peserta Demo Turunkan Salib Berhadapan Akta Hasutan


Diterbitkan: Isnin, 20 April 2015 8:38 PM
Antara peserta demonstrasi membantah sebuah gereja di Taman Medan di pada Ahad lalu,

SERDANG: Peserta demonstrasi di sebuah gereja di Taman Medan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Sudah tentu tindakan yang perlu akan diambil. Saya dan pihak polis tidak memilih bulu dalam menjalankan tugas. Sesiapa juga... tindakan perlu diambil dan akan diambil.

"Tidak kira siapa yang terlibat, jika sesiapa sahaja menyentuh mana-mana agama, mereka tertakluk kepada Akta Hasutan," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Ketika ditanya sama ada ahli-ahli Umno akan turut berhadapan tindakan disiplin sekiranya mereka terlibat, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden parti itu, berkata: "Sudah tentu, kerana ia melanggar undang-undang dan perlembagaan Umno, kita perlu menghormati agama-agama lain, jadi mereka perlu berhadapan kesannya."

Pada Ahad, penduduk di kawasan berkenaan mengadakan demonstrasi di luar gereja itu mendesak supaya simbol salib pada bangunan itu diturunkan.

Ketika kejadian, gereja berkenaan mengadakan sesi ceramah agama mingguannya.

Isu Gereja: "Saya Sudah Jelaskan Kepada Khalid"


Diterbitkan: Isnin, 20 April 2015 8:35 PM
Abdullah Abu Bakar

PETALING JAYA: Abang kepada Tan Sri Khalid Abu Bakar sudah menjelaskan kepada Ketua Polis Negara mengenai tindakan penduduk beragama Islam mengadakan demonstrasi bagi mendesak pihak gereja di Taman Medan menurunkan simbol salib.
Datuk Abdullah Abu Bakar yang juga salah seorang yang terbabit pada kejadian yang berlaku Ahad berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada adiknya dan sudah memaklumkan kepada Khalid bahawa isu membabitkan gereja itu sudah selesai.
"Dia (Khalid) bertanya kepada saya: "Alang, apa cerita? dan saya maklumkan kepadanya bahawa kami sudah bercakap dengan wakil gereja itu yang memahami masalah kami, jadi tiada lagi isu kerana semuanya sudah diselesaikan.
"Dia (Khalid) terima penjelasan saya dan berkata "Ok"," jelas Abdullah kepada wartawan pada Isnin.
Abdullah yang juga Ketua Umno Cawangan Taman Lindungan Jaya terbabit dalam kontroversi itu kerana menyertai demokstrasi berkenaan, selain mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Khalid.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa protes itu tidak membabitkan adiknya, sebaliknya ia isu yang melibatkan penduduk Islam di Taman Medan dan gereja yang baru beroperasi itu.
"Tidak mudah menjadi abang IGP, jika timbul sebarang isu, orang ramai akan berjumpa saya untuk mendapatkan pertolongan," katanya.
Abdullah memberitahu wartawan bahawa pihak gereja berkenaan sudah bersetuju untuk menurunkan simbol salib kerana memahami sensitiviti umat Islam di kawasan berkenaan.
"Koordinator gereja, Sister Victoria memahami apa yang kami sampaikan dan kami berterima kasih kepadanya," katanya.
Beliau dan beberapa penduduk lain mendakwa mereka berperanan sebagai orang tengah ketika penduduk di taman berkenaan mengadakan protes itu pada Ahad.
"Kawasan kediaman kami juga ada kuil Hindu yang berusia 20 tahun dan kami tidak berdepan sebarang masalah," kata Harun Ismail, 54 yang menetap di situ sejak 40 tahun lalu.
Malahan, katanya, pihanya juga tidak menentang gereja ini menjalankan kegiatan agama, cuma meminta mereka menurunkan simbol salib.

Pemilihan PAS: Mat Sabu Ketinggalan


Diterbitkan: Isnin, 20 April 2015 8:03 PM

PETALING JAYA: Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man terus mengungguli pencalonan dengan meninggalkan Mohamad Sabu jauh kebelakang bagi saingan merebut jawatan Timbalan Presiden PAS pada pemilihan parti itu Jun depan.

Berdasarkan rekod tidak rasmi membabitkan 116 daripada 191 kawasan PAS di seluruh negara yang selesai menjalankan mesyuarat agung tahunan masing-masing, Tuan Ibrahim yang kini menyandang jawatan Naib Presiden memperoleh 78 pencalonan.

Sementara itu, penyandang jawatan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu hanya memperoleh sembilan pencalonan.

Selain itu, trend pemilihan PAS kali ini juga menunjukkan kumpulan pro-ulama terus mendominasi pencalonan apabila Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut meninggalkan calon lain bagi jawatan Presiden PAS.

Hadi memperoleh 80 pencalonan berbanding penama lain iaitu Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan bekas Naib Presiden PAS, Ahmad Awang yang masing-masing hanya memperoleh kurang daripada 10 pencalonan daripada kawasan.

Husam mendapat lapan pencalonan, sementara Ahmad memperoleh hanya tiga pencalonan setakat ini.

Bagi jawatan Naib Presiden, Idris Ahmad berada di depan dengan 64 pencalonan, Salahuddin Ayub (40) dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (36).

Lain-lain pencalonan ialah Datuk Mahfuz Omar (34), Nasrudin Hassan (33), Datuk Iskandar Samad (20), Datuk Husam Musa (10), Tuan Ibrahim (6) dan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (3).

Tiga PAS Kawasan Pulau Pinang Calon Hadi Sebagai Presiden


Diterbitkan: Ahad, 19 April 2015 10:11 PM

GEORGE TOWN: Tiga daripada lima PAS kawasan di Pulau Pinang yang mengadakan mesyuarat agung tahunan pada Ahad mencalonkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk jawatan presiden parti itu pada pemilihan parti Jun ini. 

PAS kawasan Bayan Baru, Balik Pulau dan Nibong Tebal turut sebulat suara menamakan Pesuruhjaya PAS Pahang sebagai calon timbalan presiden. 

Dua lagi PAS kawasan yang bermesyuarat iaitu Permatang Pauh dan Jelutong menangguhkan mesyuarat mereka untuk pemilihan parti itu. 

PAS kawasan Jelutong akan mengadakan mesyuarat pemilihan parti minggu hadapan manakala PAS Permatang Pauh belum menetapkan tarikh mesyuarat mereka. 

Yang Dipertua PAS Kawasan Bayan Baru Iszuree Ibrahim ketika dihubungi Bernama berkata Abdul Hadi dicalon untuk terus menerajui parti itu berikutan ketegasan dan kelantangannya dalam mempertahankan Islam. 

"Beliau seorang yang tegas dalam hal-hal berkaitan Islam dan sentiasa mempertahankan Islam. Ketegasannya ini telah dibuktikan oleh beliau sendiri dalam beberapa isu yang dibangkitkan kebelakangan ini.

"Kami tidak mahu pemimpin yang lembik, tidak tegas, samar-samar memimpin parti...jika pemimpin pun tidak tegas maka ahli-ahlinya pun akan turut sama,"katanya.