INDIANA - AMERIKA SYARIKAT. Foto seorang jurulatih yang berdoa bersama pemain pasukan bola keranjang telah menimbulkan kontroversi dan menyebabkan dia dilarang menyertai aktiviti sedemikian.
Laporan ABC News mengatakan Scott Spahr dirakam berdoa bersama pemain pasukan bola keranjang wanita Morristown Elementary School dan pasukan lawan, Waldron Elementary pada 1 Disember lepas.
Pengetua kedua-dua sekolah kemudian menerima e-mel dari American Humanist Association (AHA) Jumaat lepas yang mendakwa tindakan Scott 'melanggar konstitusi negara'.
"Penyertaan kakitangan dalam berdoa bersama pelajar ketika acara melibatkan sekolah melambangkan penggalakkan agama dan mencipta atmosfera yang memaksa pelajar untuk menyertai aktiviti keagamaan," kata e-emel tersebut yang ditulis oleh pengarah undang-undang AHA, David Niose.
Melalui laman web pertubuhan tersebut, AHA 'sedaya-upaya mewujudkan masyarakat di mana menjadi baik tanpa (bantuan) Tuhan adalah satu gaya hidup yang diterima dan dihormati'.
Sementara itu, Scott yang terkejut dengan reaksi AHA bagaimanapun menegaskan penyertaan beliau dalam sesi doa tersebut adalah berdasarkan permintaan pemain sendiri.
"Pemain-pemain yang baru berusia 10 dan 11 tahun kini keliru dengan isu ini," kata Scott yang sudah berkhidmat bersama Morristown selama enam musim.
"Saya tak tahu apa yang pemain-pemain (tersebut) fikirkan (ketika berdoa).
"Sesi berdoa adalah untuk pemain-pemain bermuhasabah diri. Sesi doa bukan sahaja berkain dengan Tuhan atau satu agama. Ia berkait rapat dengan diri mereka sendiri," jelas Scott.
Scott bagaimanapun tidak akan menyertai sebarang sesi doa selepas ini.