Thursday, December 31, 2015

Trump belanja besar untuk iklan politik




AP - Trump menyampaikan ucapan pada kempen politiknya di Council Bluffs, Iowa kelmarin.


WASHINGTON – Pendahulu senarai calon Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Republikan, Donald Trump mengumumkan beliau akan berbelanja sehingga berjuta-juta dolar untuk iklan kempen politiknya menjelang Pilihan Raya Presiden AS 2016.
Trump yang merupakan seorang bilionair hartanah menaja sendiri kempennya dan setakat ini belum membelanjakan wangnya untuk iklan politik di televisyen. Namun, situasi itu akan berubah tidak lama lagi.
“Saya akan membelanjakan sekurang-kurangnya AS$2 juta (RM8.6 juta) seminggu dan mungkin jauh lebih banyak daripada itu,” katanya kepada wartawan ketika berada di dalam pesawat peri­badinya.
Trump mendahului di peringkat kebangsaan dalam semua tinjauan sejak beberapa bulan lalu , manakala gaya bombastik dan provokatifnya mencuri tumpuan media. Beliau tidak membelanjakan dana AS$35 juta (RM150 juta) yang dijangkanya perlu digunakan untuk iklan sehingga 1 Januari 2016.
“Saya berbangga kerana merupakan calon paling sikit berbelanja tetapi secara jujur, saya tidak mahu ambil risiko,” katanya.
Undian di Iowa adalah yang pertama dalam pemilihan calon Parti Republikan itu pada 1 Februari depan. Undian di New Hampshire akan berjalan lapan hari selepas Iowa disusuli Carolina Selatan dan Nevada.
Trump mengumumkan akan melaksanakan kempen iklan yang ‘sangat besar’ di Iowa, New Hampshire dan Carolina Selatan. Iklan itu akan memberi perhatian kepada isu sempadan, perdagangan, menentang pelampau Islamic State dan keselamatan negara.
Dia turut memberi isyarat tidak akan teragak-agak melancarkan serangan melalui iklan terhadap saingannya jika ada antara mereka mencelanya secara langsung. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1231&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3vrDkd7Xa 
Hakcipta terpelihara