Wednesday, August 6, 2014

BOIKOT HSBC!

Isu MB Selangor: Nik Aziz pertahan Abdul Khalid


  • Nik Abdul Aziz NikNik Abdul Aziz Nik

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini sekali lagi mempertahankan kenyataannya agar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor.
  
Nik Abdul Aziz yang juga bekas Menteri Besar Kelantan berkata tidak ada sebab baginya untuk mengubah pendirian berhubung kemelut isu Menteri Besar Selangor itu.
  
"Saya cakap sekali sahaja, bukan dua kali. Anda boleh 'check' (periksa) kenyataan saya dahulu," katanya ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka di sini.
  
Beliau yang kelihatan sedikit uzur menasihatkan pihak lain yang menuduh Abdul Khalid terbabit dengan salah laku semasa memegang jawatan itu agar tidak berterusan memburukkan Menteri Besar itu.
  
"Sebarang tuduhan sesama sendiri boleh membawa kesan yang tidak baik. Tidak elok untuk membuka keaiban orang lain," katanya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution baru-baru ini mendakwa Abdul Khalid perlu ditukar kerana terdapat masalah keraguan integriti susulan isu penyelesaian hutang Abdul Khalid dengan sebuah bank.
  
Nik Abdul Aziz dalam kenyatannya sebelum ini mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang mahu menggugurkan Abdul Khalid daripada kedudukannya sebagai Menteri Besar.
  
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut mempertahankan Abdul Khalid untuk mengekal jawatan berkenaan kerana menurutnya Abdul Khalid tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.
  
Turut bersama menyokong adalah Dewan Ulama Pas Pusat yang menegaskan Abdul Khalid patut dibenarkan meneruskan tugasnya sebagai Menteri Besar Selangor sehingga ke akhir penggal kerana tiada sebarang alasan syarie yang kukuh dikemukakan setakat ini untuk mewajarkan penukarannya.
  
Kemelut itu semakin memuncak apabila Abdul Khalid dilaporkan diberi tempoh sehingga Jumaat ini untuk menjawab surat tunjuk sebab kenapa beliau ingkar untuk berundur dari jawatan itu. - Bernama

200 cebisan mayat sampai ke Belanda


Oleh Suraya Roslan, Kalidevi Mogan Kumarappa dan Aizat Sharif
Kiev: Semua lebih 200 cebisan mayat penumpang MH17 yang dimasukkan ke dalam sebuah keranda selamat tiba di Belanda bagi proses pengecaman mayat semalam.

Semua cebisan mayat itu yang mula dikutip sejak Jumaat lalu dibawa ke Amsterdam, Belanda, dengan menaiki pesawat pengangkut tentera Belanda.

Turut dibawa di dalam pesawat itu adalah barangan peribadi milik mangsa yang ditemui dan disimpan di bandaraya Donetsk, timur Ukraine sebelum ini.

Agensi media AFP berkata, sebanyak 227 keranda berisi mayat mangsa MH17 sudah dibawa ke kem ketenteraan Hilversum di Belanda untuk proses Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) pada 23 Julai lalu.

Sementara itu pakar dari Malaysia menyertai pasukan polis Belanda dan Australia buat pertama kali kelmarin bagi misi mencari kesan cebisan mayat mangsa.

Lebih 100 penyiasat dari Belanda, Australia dan Malaysia menjalankan usaha pencarian itu dengan menggunakan anjing pengesan di sekitar kawasan perkampungan Petropavlivka sejak kelmarin, dan berjaya menjumpai barangan peribadi termasuk album gambar dan pasport mangsa.

Pasukan pakar dari Malaysia mengadakan doa selamat di lokasi kejadian sambil disaksikan oleh ketua misi polis Belanda di Ukraine, Pieter-Jaap Aalbersberg.



Dalam tragedi sebelum ini, seramai 298 penumpang dan kru pesawat MH13 terbunuh apabila pesawat yang dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur ditembak jatuh pada 17 Julai lalu.

Amerika Syarikat mendakwa pesawat terbabit ditembak jatuh tentera pemberontak pro-Russia menggunakan peluru berpandu dari permukaan bumi ke udara yang dibekalkan oleh Russia.

Bagaimanapun Moscow dan pemberontak pula menuduh tentera Ukraine sebagai bertanggungjawab.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

Menteri Britain letak jawatan kerana krisis Gaza

Warsi memuatnaik status mengenai peletakkan jawatannya melalui laman Twitternya hari ini.
Warsi memuatnaik status mengenai peletakkan jawatannya melalui laman Twitternya hari ini.
LONDON - BRITAIN. Menteri Luar Britain, Baroness Warsi hari ini dilaporkan telah meletak  jawatan berikutan percanggahannya dengan polisi kerajaan terhadap Gaza.

Perletakan jawatannya disahkan oleh beliau sendiri melalui sebuah status yang dimuatnaik melalui akaun laman sosial Twitternya pada hari ini.

“Dengan penuh kesal saya mengakui telah menlis surat kepada Perdana Menteri untuk mengusulkan perletakan jawatan saya.

“Saya tidak boleh pertahankan sokongan saya ke atas polisi kerajaan terhadap Gaza,” katanya seperti yang dipetik melalui status dari akaun Twitternya.

Merurut sebuah laporan yang dipetik dari portal, perletakan jawatan Warsi dikatakan menjadi tamparan buat Perdana Menteri, David Cameron yang dikritik hebat oleh pelbagai  pihak kerana gagal mengutuk tindakan rejim Zionis yang membedil dan menyerang penduduk Gaza di Palestin.

Cameron juga dikatakan gagal menyelar tindakan tentera Israel yang telah melakukan serangan udara ke atas sebuah sekolah yang dikendalikan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Rafah baru-baru ini.

Dalam surat perletakan jawatannya, beliau berpendapat bahawa Cameron harus lebih tegas menyatakan pendirian beliau mengenai pendekatan dan pandangan kerajaan dalam konflik Israel-Palestin dari segi moral dan bukannya demi kepentingan negara.

“Dasar kita menekankan kepentingan proses hubungan damai di Timur Tengah secara amnya, namun baru-baru ini perdekatan kita berhubung krisis semasa di Gaza disifatkan tidak kukuh dari segi moral, ia turut akan menjejaskan dan memudaratkan reputasi kita di peringkat antarabangsa dan dalam negara dalam jangka masa panjang,” katanya melalui surat tersebut.

Beliau yang dilantik sebagai Menteri Luar sejak 2012 kerap menyatakan pandangan beliau  mengenai pertempuran yang berlaku antara Palestin dan Israel melalui akaun Twitternya yang mempunyai 35,000 pengikut.

Ismail Sabri batal kad kredit asing tanda protes


  • Ismail Sabri batal kad kredit asing tanda protes

KUALA LUMPUR - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub hari ini membatalkan penggunaan kad kredit sebuah bank asing sebagai tanda protes terhadap bank berkenaan yang menutup akaun pertubuhan yang menyokong perjuangan rakyat Palestin baru-baru ini.
  
Ismail dalam akaun instagramnya @ismailsabri60 memuat naik gambar beliau menggunting kad kredit berkenaan bersama sekeping lagi gambar surat pemberitahuan bahawa beliau mahu membatalkan akaun itu berkuat kuasa serta-merta.
  
"(Ini) Protes terhadap bank itu yang menutup akaun pertubuhan yang menyokong perjuangan rakyat Palestin...saya sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin yang ditindas Israel," katanya dalam kapsyen yang dimuat naik bersama-sama gambar tersebut.
  
Tindakan Ismail Sabri itu mendapat banyak komen positif daripada pengikutnya yang rata-rata memuji tindakannya selain status berkenaan juga telah dikongsi ke beberapa laman sosial lain antaranya Twitter dan Facebook. - Bernama

Dapat bukti baru


Agensi media Dailymail.Uk dipetik berkata, bukti yang juga petunjuk utama itu boleh mengaitkan pemberontak pro-Russia berikutan pemilik kenderaan itu mendakwa kumpulan pemberontak merampas trak itu sembilan hari sebelum kejadian.
Pemilik trak Volvo berwarna putih berasal dari Wilayah Donetsk mengenal pasti kenderaan itu miliknya dan mendakwa ia digunakan pemberontak untuk menembak pesawat MH17 pada 17 Julai lalu.

Rakaman itu yang diperoleh polis Ukraine menunjukkan imej sistem peluru berpandu BUK pada trak Volvo diseludup keluar dari timur Ukraine pada awal pagi 18 Julai, sehari selepas tragedi pesawat MH17.
Foto
GAMBAR yang menunjukkan sistem peluru berpandu BUK dipindah menggunakan trak Volvo.

Berita di laman web Lithuanian mendedahkan pemilik trak dikenali sebagai Vasiliy itu memberitahu agensi perisikan Barat memperoleh imej pergerakan trak miliknya itu.

Laman web itu berkata, Vasiliy kini saksi baru untuk jenayah dahsyat berkenaan.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

Lembaga Disiplin PKR serah surat tunjuk sebab


2014/08/06 - 06:56:54
Shah Alam: Sehari selepas khabar angin mengatakan surat pemecatan dihantar kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Lembaga Disiplin PKR semalam, mengeluarkan surat tunjuk terhadap Menteri Besar Selangor itu.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong, berkata surat tunjuk sebab itu dikeluarkan susulan arahan Biro Politik PKR yang bermesyuarat pada Ahad lalu.


Jawab sebelum Jumaat


Beliau berkata, Abdul Khalid perlu menjawab surat tunjuk sebab terbabit sebelum atau pada Jumaat ini, sebelum Lembaga Disiplin mengambil tindakan.

“Lembaga Disiplin ingin memaklumkan, mesyuarat khas dijalankan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 15 Januari 2014, bersetuju dengan keputusan pertukaran Menteri Besar Selangor.

“Mesyuarat Khas MPP pada 21 Julai lalu, seterusnya membuat keputusan sebulat suara bahawa Presiden PKR merangkap ADUN Kajang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.
“Namun, kenyataan media Abdul Khalid pada 22 Julai lalu secara terang-terangan mengingkari keputusan itu, dengan menyatakan keengganan beliau meletak jawatan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kee Kwong berkata, kegagalan Abdul Khalid menjawab surat tunjuk sebab itu menyebabkan pihaknya akan meneruskan tindakan disiplin berdasarkan bukti yang ada.

Usaha media untuk mendapatkan penjelasan Abdul Khalid mengenai surat tunjuk itu bagaimanapun tidak berhasil apabila beliau tidak menjawab panggilan.

Nahas MH17: Mahu kubur bertanda buat tatapan keluarga

Nahas MH17: Mahu kubur bertanda buat tatapan keluarga2014/08/06 - 06:48:41
“Walau apa pun keadaannya, biarlah jenazah dapat dibawa pulang ke tanah air supaya kuburnya bertanda untuk tatapan kami, terutama anaknya, Abderrahman yang baru berusia sembilan bulan”.

Itu harapan Dr Hanapi Mohd Noor, 67, bapa kepada pembantu juruterbang pesawat MH17, Ahmad Hakimi, 29, sambil turut memaklumkan, keluarga mereka sudah dapat menerima pemergian mangsa dan reda dengan kejadian berkenaan.

Sebak lihat gambar


“Ini adalah ketentuan yang sudah ditetapkan dan kami tidak menyalahkan sesiapa. Alhamdulillah, kami sekeluarga terutama isteri saya sudah boleh menerima pemergian Hakimi, cuma kalau melihat gambarnya, kami sebak dan tidak dapat menahan air mata,” katanya.

Ketika ditemui di rumahnya di sini, bekas pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi awam ini berkata, pemergian anak lelaki tunggalnya itu begitu dirasai ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini kerana Hakimi rapat dengan keluarga terutama ibunya, Noriah Daud, 57.

“Sebelum Allahyarham berangkat ke Amsterdam (Belanda), beliau banyak menghias rumah ini termasuk menanam rumput di halaman. Walaupun sering bertugas di luar negara, masa cutinya hanya dihabiskan dengan keluarga seperti membawa kami semua keluar makan dan bersiar-siar,”katanya.

Katanya, anak ketiga daripada empat beradik itu yang menggemari makanan tradisional Kelantan seperti nasi kerabu serta nasi dagang selain masakan Pulau Pinang terutama nasi kandar, sepatutnya menyambut hari raya tahun ini bersama mereka di Melor, Kota Bharu, Kelantan.

Nahas MH17: Pertempuran di Donestk sukarkan misi pencarian


2014/08/06 - 06:54:11
Kiev (Ukraine): Pasukan penyiasat antarabangsa mengakui sukar melengkapkan tugas pencarian di lokasi nahas MH17 di Wilayah Donestk ekoran pertempuran di antara kumpulan pemisah dan tentera Ukraine semakin kritikal.

Selain mengancam keselamatan mereka, pasukan dianggotai tiga negara, Belanda, Australia dan Malaysia juga tidak menolak kemungkinan menangguhkan pencarian seketika.


Ketua misi pasukan khas Australia, Angus Houston bagaimanapun memberi jaminan, pertempuran tidak akan mengganggu konvoi pasukan khas itu, namun mengakui ia berlaku pada jarak sangat dekat dengan lokasi tumpuan pencarian mereka.

Selain mengesahkan pergerakan pasukan berkenaan sentiasa dipantau secara berterusan oleh tentera Ukraine, beliau juga memberitahu, penyiasat tidak akan berjalan jauh dari kawasan misi.

Konflik di sekeliling

“Realitinya kami bekerja dalam persekitaran di mana terdapat konflik di sekelilingnya. Kami hanya akan tinggal di sekitar sini (lokasi nahas MH17) selama ia membenarkan, dengan syarat keadaan di sini membenarkannya.

“Jika ada apa-apa keraguan (ancaman), kita akan berhenti (mencari) seperti yang kita lakukan hari ini (semalam),” katanya seperti dipetik portal radio ABC dan agensi, AP semalam.

Abdul Khalid sedia disiasat

Abdul Khalid sedia disiasat2014/08/06 - 06:58:35 AM 
Abdul Khalid dikerumuni wakil media sejurus selepas keluar dari mahkamah di Shah Alam, semalam, selepas beliau selesai memberi keterangan dalam perbicaraan kes rampasan tanah milik YBK Selangor.

Nafi dakwaan tak amanah, dipecat daripada PKR

Shah Alam: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedia berdepan siasatan dan dihakimi, sekiranya beliau tidak berlaku amanah sepanjang pentadbirannya. Beliau mendakwa, sentiasa berpegang pada konsep ketelusan dan bertanggungjawab sepanjang menjalankan tugasnya selama ini.

“Saya bersedia dihakimi atau disemak, jadi pada saya itu adalah reformasi yang dilalui, maknanya kita percaya pada ketelusan dan bertanggungjawab.

Sedia terima teguran



“Saya (bersedia) menerima segala teguran terhadap kelemahan dan kesilapan sepanjang pentadbiran saya dalam kerajaan negeri tetapi ia perlu dilakukan secara berhemah,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika ditemui selepas memberi keterangan dalam perbicaraan kes rampasan tanah milik Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor di mahkamah di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, kelmarin bahawa Abdul Khalid berpeluang mengekalkan kedudukan selaku teraju utama negeri itu sekiranya memb eri p enjelasan lanjut terhadap beberapa isu yang menimbulkan konflik dalaman parti.

Masih ahli PKR

Abdul Khalid turut menafikan menerima surat pemecatan ahli daripada PKR seperti yang tersebar kelmarin, sebaliknya menegaskan yang sehingga kini beliau masih sah sebagai ahli parti itu.

“Saya belum menerima apa-apa surat berkaitan perkara itu (pemecatan). Jadi saya rasa tidak perlu mengulas lanjut mengenai perkara itu,” katanya.

Kelmarin, khabar angin mendakwa Abdul Khalid dipecat kerana enggan meletakkan jawatan bagi membolehkan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik menduduki jawatan itu.

Sementara itu, mengulas perkembangan semasa mengenai kapasiti air empangan di Selangor, Abdul Khalid memberi jaminan tidak akan berlaku catuan ketika ini.

“Kita sedang merancang langkah perlu untuk mengekalkan paras air semasa untuk tempoh sekurang-kurangnya sebulan lagi,” katanya.

Tentera AS tiba di Ukraine bantu siasatan nahas MH17


WASHINGTON: Satu pasukan kecil tentera Amerika Syarikat (AS) tiba di Kiev hari ini untuk membantu siasatan nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17. 

Pasukan itu mengandungi 10 anggota termasuk dari bahagian operasi khas, logistik, komunikasi dan pegawai udara. 
Mereka akan mengendalikan siasatan dari ibu negara Kiev dan tidak akan melawat tapak nahas yang masih menjadi zon konflik antara tentera Ukraine dengan kumpulan pemisah.


Minggu lalu, Pentagon mengumumkan akan memaklumkan Kongres mengenai pelan peruntukan AS$19 juta bagi melatih beberapa unit dalam Pengawal Kebangsaan Ukraine mengenai 'pertahanan dalam negeri'. 

Bagaimanapun, usul berkenaan belum diluluskan ahli Kongres. - REUTERS 

Pesta bogel canggah tatasusila, singgung umat Islam


SALMIYAH HARUN | .
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang kesal dengan penganjuran program 'Penang Nude Sports Game' yang dilaporkan diadakan di pulau rahsia berhampiran pantai Teluk Bahang Pulau Pinang.

Video Penang Nude Sports Game' yang boleh ditonton dari pautan sebuah laman web dan kini menjadi viral di laman sosial.

Menurut Sertiausaha Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang Afnan Hamimi Taib Azamudden, program itu jelas membelakangkan adab tatasusila masyarakat Malaysia sekaligus menyinggung sensitiviti umat Islam khasnya di Pulau Pinang disaat umat Islam baru sahaja selesai menjalani ibadah bulan Ramadhan.

"Ia juga telah mencemarkan nama Pulau Pinang apabila nama negeri ini digunakan dalam sebahagian nama program tidak berakhlak ini," katanya.

Pemuda PAS mendesak supaya pihak berkuasa termasuk Kerajaan Negeri, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan pihak-pihak berwajib lain yang berkaitan supaya menyiasat serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap penganjur yang turut merancang untuk menganjurkan aktiviti yang sama pada 5 Disember 2014 nanti.

Tegasnya, program sangat tidak bermoral seperti ini tidak boleh berulang lagi dan boleh mengundang gejala tidak sihat di kalangan masyarakat.

"Kami bersetuju supaya semua enakmen, peraturan dan garis panduan berkaitan penganjuran aktiviti seumpama ini dikemas kini supaya selari dengan syariat Islam serta budaya masyarakat Malaysia selain dipertingkatkan penguatkuasaannya dari masa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan.

Daripada ringkasan video yang disiarkan dan diberi kredit kepada Albert Yam mendakwa seramai 18 orang yang mengambil bahagian dalam acara tersebut. - HARAKAHDAILY 5/8/2014

Kalau bapa tinggalkan helang, Mukriz pula airport?


AHMAD FADHLI SHAARI | .
Sayup-sayup kedengaran dari utara berita Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mengangkat cadangan agar satu lapangan terbang dibina di Kulim berikutan keperluan untuk menarik pelaburan ke bandar ini selain menepati permintaan penduduk tempatan.

Pada saya, cadangan yang dikemukakan oleh Mukhriz ini hanyalah satu agenda peribadi dan sama sekali tidak perlu disegerakan. Ini kerana negeri Kedah itu sendiri telah mempunya dua lapangan terbang buat masa sekarang iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar dan Lapangan Terbang Langkawi. Ini ditambah pula dengan lokasi Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas yang terletak di Pulau Pinang juga tidak jauh jaraknya daripada negeri Kedah iaitu hanya 44 kilometer.

Dalam hal ini, saya ingin menarik perhatian semua pihak bahawa Kelantan wajib didahulukan dalam urusan pembinaan dan pembesaran lapangan terbang demi kemaslahatan bersama semua pihak.

Keperluan pembesaran terminal penumpang dan landasan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu tidak boleh dinafikan lagi memandangkan jumlah penerbangan di lapangan ini sebanyak 31 penerbangan sehari.

Ini berikutan jumlah penerbangan yang begitu banyak direkodkan di lapangan terbang ini iaitu MAS sebanyak enam penerbangan, Air Asia lapan penerbangan, Firefly tiga belas penerbangan dan Malindo Air empat penerbangan.

Jika pembinaan lapangan terbang di Kulim dikatakan untuk memenuhi keperluan lima tahun akan datang, maka pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra adalah untuk memenuhi keperluan segera.

Hari ini, dengan kepanjangan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra iaitu 2,400 meter dan kelebaran 3,500 meter menyukarkan pesawat besar seperti A330 300, B777 200, B747 400 untuk melakukan pendaratan menyebabkan Lapangan Terbang Kota Bharu tidak boleh dinaik taraf sebagai lapangan terbang bertaraf antarabangsa.

Persoalannya, apakah faktor kegagalan kerajaan melakukan pembesaran lapangan terbang ini memandangkan pengambilan balik tanah telah dibuat semenjak tahun 1980-an lagi namun sehingga sekarang ia hanya digunakan untuk penanaman kelapa?

Perlu diingatkan, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu adalah antara lapangan terbang tersibuk di Malaysia. Menurut data dari pihak Malaysia Airports sendiri, jumlah pengendalian penumpang di lapangan terbang ini semakin meningkat saban tahun.

Pada tahun 2011 contohnya, jumlah kendalian penumpang ialah seramai 1,132,345 orang dan ia meningkat kepada 1,259,205 orang pada tahun 2012. Ia jauh lebih ramai dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ahmad Shah di Kuantan yang mencatatkan jumlah kendalian penumpang seramai 248,846 penumpang sahaja pada tahun 2011 dan hanya meningkat kepada 280,074 pada tahun 2012.

Bahkan jika dibandingkan dengan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Star, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra masih jauh di hadapan. Untuk rekod, jumlah kendalian penumpang di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim pada tahun 2011 ialah seramai 407,717 orang dan pada tahun 2012 ialah seramai 433,644 sahaja. Data ini boleh diakses dengan mudah di laman web http://www.malaysiaairports.com.my/.

Kerajaan wajib menyedari bahawa pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra bukan lagi isu politik. Ia wajar dipertimbangkan merentasi pertimbangan politik partisan yang sentiasa memenjara akal rasional.

Lokasi Kota Bharu atau lebih khusus lagi Pengkalan Chepa sebagai lokasi terakhir kepada mana-mana penerbangan dari Semenanjung Malaysia merentasi Laut China Selatan wajar dipertimbangkan sebagai lokasi yang paling dekat untuk pendaratan sekiranya berlaku sebarang keperluan di tengah-tengah lautan.

Tragedi yang menimpa MH370 pada bulan Mac lepas wajib dijadikan pengajaran bahawa ruang langit yang terbentang luas sentiasa terdedah kepada apa jua kemungkinan.

Hakikatnya, cadangan ini ialah untuk mewujudkan legasi Datuk Seri Mukhriz di bumi Darul Aman ini. Mukhriz masih belum meninggalkan apa-apa di negeri Kedah untuk dicanang sebagai kejayaan peribadi beliau semenjak menjadi Menteri Besar.

Paling tidak, bapanya telah meninggalkan seekor helang yang besar di Langkawi. Andainya cadangan untuk membina lapangan terbang di Kulim ini diterima dan dilaksana yang khabarnya kos pembinaannya dianggarkan RM1.6 billion, saya kira wajar sekali Kedah digelar sebagai Darul Airport selepas ini.

Penulis ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan. Beliau boleh dihubungi melalui laman sosial facebook di alamat : http://www.facebook.com/ahmadfadhli80

Doktor Miang Tangkap Gambar Kemal*an Setiap Pesakit Wanita Terima Padah

Baltimore: Ribuan wanita diberi peluang berkongsi tuntutan pampasan berjumlah AS$190 juta (RM600 juta) selepas gambar kemaluan mereka dipercayai diambil ketika pemeriksaan dengan pakar sakit puan di Hospital John Hopkins.

Peguam Jonathan Schochor dari firma yang mengendalikan kes itu berkata, cuma satu syarat dikenakan, mereka perlu menceritakan trauma dialami akibat kejadian itu sebelum pampasan diberikan.

“Setiap wanita layak mendapat pampasan, namun perlu menunjukkan mereka ‘cedera’ tidak kiralah secara fizikal atau emosi.“Jika tidak, keadaan mereka boleh diumpamakan seperti keluar melulu dari di simpang tanpa berhenti, namun tiada kemalangan berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, syarat itu mungkin susah diterima wanita yang merasakan diri dicabuli akibat perbuatan Dr Nikita Levy yang membunuh diri pada Februari 2013 selepas didedahkan memiliki ratusan gambar alat sulit wanita.

Disebabkan itu ramai juga wanita terbabit menganggap wang itu tidak berbaloi, terutama apabila ada dalam kalangan mereka tidak ingat sebarang kejadian pelik apatah lagi trauma ketika melalui pemeriksaan.Seorang wanita mengakui tidak ingat Levy, tetapi mahu mencuba nasibnya mendapatkan wang itu.

“Mana tahu, mungkin saya juga antara mangsanya dan jika benar sudah tentu saya berhak mendapat pampasan atas perbuatannya mengambil kesempatan terhadap saya di tempat yang sepatutnya selamat,” katanya.

Sehingga 80,000 wanita dan remaja perempuan menyertai saman itu setakat ini dan jumlah itu dijangka bertambah.

Levy bekerja di sebuah klinik di Baltimore yang juga satu cabang daripada Hospital John Hopkins sehingga dipecat pada Februari 2013 akibat kejadian itu.Pasukan penyiasat menemui 1,200 video dan 140 gambar di dalam komputer peribadi Levy yang dipercayai diambil secara tersembunyi menggunakan kamera kecil berbentuk pen dipakai di lehernya.

Namun tidak satu pun video serta gambar itu dapat dikaitkan dengan setiap pesakit, selain tidak dikongsikan. Levy membunuh diri tidak lama selepas itu.

Menurut firma guaman yang mengendalikan kes itu, mangsa boleh mendapat sehingga 35 peratus daripada jumlah ditawarkan untuk kos perundangan manakala AS$123.5 juta (RM392 juta) dalam akaun berfaedah sehingga setiap tuntutan dapat diselesaikan.- Arkib Agensi.

Read more: http://www.beritahariann.net/2014/08/doktor-miang-tangkap-gambar-kemalan.html#ixzz39Z92XXzB

Pembaca berita tidak bertudung


Pembaca berita Britain membangkitkan kemarahan rakyat Arab Saudi kerana tampil menyampaikan buletin berita tanpa memakai tudung. - AGENSI
RIYADH 5 Ogos - Seorang pembaca berita wanita Britain yang bekerja untuk stesen televisyen Arab Saudi, membangkitkan kemarahan rakyat negara ini selepas dia tampil menyampaikan berita tanpa memakai tudung, minggu lalu.
Pembaca berita dari stesen televisyen milik kerajaan, Al Ekhbariya itu membaca berita berkenaan dalam bahasa Arab dari studio stesen berkenaan di London, saluran pertama yang menampilkan pembaca berita wanita sejak dilancarkan sejak sedekad lalu.
Penampilan wanita tanpa tudung sering dilihat di kaca televisyen di Arab Saudi, namun pembaca berita itu dipercayai yang pertama tampil tanpa bertudung di stesen televisyen milik kerajaan.
Kejadian itu pada minggu lalu itu membangkitkan reaksi berbeza di laman sosial Twitter dan laman-laman web di negara tersebut, lapor Mail Online.
Penggunaan hashtag di Twitter dalam bahasa Arab mula merebak dan boleh diterjemah sebagai #NewsEncouragesAdornments dengan seorang pengguna, @HoNABIL menyifatkan saluran itu sebagai 'Zionis musuh agama'.
Terdapat juga tweet dari @maysaaX menyatakan bahawa keadaan itu adalah satu 'tamparan psikologi' bagi negara konservatif ini.
Beberapa pengguna lain turut mengulas mengenai senario janggal itu, namun ada antaranya mengalu-alukan langkah tersebut yang disifatkan sebagai kebebasan individu dan hak asasi wanita.
Klip video yang masih boleh didapati secara dalam talian itu menunjukkan pembaca berita tersebut tidak memakai tudung bagi sekurang-kurangnya dua slot bacaan berita.
Bagaimanapun, saluran Al Ekhbariya dalam kenyataan mereka kesal dengan insiden itu dan berjanji kejadian tersebut tidak akan berulang. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140806/lu_11/Pembaca-berita-tidak-bertudung#ixzz39Ye4tnRH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

285,000 jadi pelarian di timur Ukraine


GENEVA 6 Ogos - Sekurang-kurangnya 285,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka berikutan konflik di timur Ukraine, lapor Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) semalam.
Ketua Pengarah Biro UNHCR Eropah, Vincent Cochetel berkata, jumlah itu juga boleh meningkat sekiranya keadaan di kawasan berkenaan terus tegang.
"Bilangan pelarian yang direkodkan ini agak rendah memandangkan ramai di antaranya mereka tidak mendaftar dengan UNHCR kerana bimbang dihantar pulang ke Ukraine," katanya di sini.
Jelas beliau, selain itu, sebanyak 168,000 rakyat Ukraine telah mengemukakan permohonan suaka serta pelbagai status perlindungan lain seperti permit penduduk sementara. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140806/lu_02/285000-jadi-pelarian-di-timur-Ukraine#ixzz39YdgreBk
© Utusan Melayu (M) Bhd