Friday, November 11, 2011

Mahasiswa dakwa dikasari ketika sambut PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov: Sekumpulan mahasiswa mendakwa telah dikasari pemuda BN sewaktu menyambut ketibaan Perdana Menteri di Majlis Rumah Terbuka Deepavali Malaysia 2011, di Kampung Jawa Klang malam tadi.

Mereka terdiri dari empat orang, dari Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) mendakwa dikepung oleh 30 pemuda BN ketika cuba mempamerkan sepanduk yang bertulis "Mahasiswa gesa kerajaan pinda AUKU dan Akta 174" kira-kira jam 8.30 malam sebelum ketibaan Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Kami, Khairul Rafidi yang mengesahkan perkara itu kepada Harakahdaily berkata, ketika kejadian pemuda BN tersebut telah datang berjumpa kumpulan mereka dan mengugut agar tidak menaikkan sebarang banner.

Menurutnya, keadaan kemudian menjadi tegang apabila mahasiswa tersebut tidak mahu berganjak.

Dua ahli Kami yang terlibat dalam kejadian itu, Haziq Fikri dan Khalid Mohd Ismath pula mendakwa mereka didatangi kumpulan pemuda BN itu secara kasar dan terus menolak mereka.

"Mereka datang seperti gangster. Mereka ugut dan sentuh kami malah menolak kami dengan kasar", kata Haziq yang mendakwa mereka hanya diam kerana khuatir akan keselamatan mereka memandangkan jumlah pemuda BN terlalu ramai.

Selepas itu katanya, beberapa anggota Angkatan Muda Keadilan Cabang Kota Raja yang juga berada di tempat kejadian datang membantu mereka keluar dari kepungan tersebut.

Ekoran kejadian itu juga, mereka terpaksa membatalkan hasrat mereka untuk menaikkan sepanduk tersebut ketika perdana menteri tiba di situ.
Mahasiswa dakwa dikasari ketika sambut PM:

'via Blog this'