Friday, August 6, 2010

Desak mansuh saman ekor




PUTRAJAYA – Jawatankuasa Bertindak Kempen Anti Saman Ekor (Kase) mendesak kerajaan agar memansuhkan saman ekor dan menghentikan amalan menyenarai hitam pemilik kenderaan. 

Pengerusi Kase, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan kerajaan itu sebagai tidak berperlembagaan dan menafikan hak pengguna daripada menggunakan kenderaan sebagai harta persendirian. 

“Isu ini membabitkan semua golongan rakyat yang menghadapi masalah untuk memperbaharui cukai jalan akibat saman ekor terutamanya menjelang musim perayaan. 

“Tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyenarai hitam pemilik kenderaan untuk memperbaharui cukai jalan seolah-olah menolak rezeki kepada pendapatan negara,” katanya. 

Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Kementerian Pengangkutan, semalam. 

Namun hasrat Mahfuz untuk bertemu Datuk Ko Chong Ha tidak tertunai kerana Menteri Pengangkutan itu mempunyai urusan mesyuarat di tempat lain. 

“Saya kecewa kerana gagal menyerahkan memorandum dan membuat perbincangan dengan menteri berkenaan perkara ini. 

“Memorandum hanya dapat diserahkan kepada Setiausaha Akhbar, Yeong Kah Choon walaupun temu janji awal telah dibuat terlebih dahulu,” katanya 

Beliau berkata, pihaknya hanya mengetahui temu janji dibatalkan pada lewat petang semalam. 

“Saya minta kalau menteri tidak boleh, wakilkan Timbalan Menteri, Jelaing Anak Mersat dan Ketua Setiausaha bersama Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membincangkan isu ini namun diberitahu semua tiada dan meminta temu janji dibatalkan.

“Tapi saya tetap akan datang untuk serahkan memorandum hari ini (semalam) kerana sudah sampai ke Kuala Lumpur,” katanya. 

Beliau berharap supaya satu pertemuan dapat dilaksanakan pada 9 dan 10 Ogos ini bersama Chong Ha untuk membincangkan memorandum bantahan tersebut.

WAO bantah remaja bawah 16 tahun dibenar kahwin


 




2010/08/06

KUALA LUMPUR: Cadangan untuk membenarkan remaja wanita di bawah umur 16 tahun berkahwin dibantah sebuah pertubuhan wanita yang menganggap langkah itu merendahkan martabat wanita dan menganiayai kanak-kanak. 

Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Ivy Josiah mempertikai cadangan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) walaupun objektifnya menggalakkan ibu bapa memberi kebenaran kepada anak mereka berkahwin awal bagi mengekang gejala hamil luar nikah.
Ivy berkata, cadangan itu adalah tidak wajar sama sekali dan pihaknya membantah sekeras-kerasnya kerana ia merendahkan martabat wanita.
“Mereka ini masih kanak-kanak, mengikut Akta Kanak-Kanak usia di bawah 18 tahun adalah kanak-kanak. 

“Mereka sepatutnya diberikan pendidikan dan bukannya digalakkan berkahwin,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini semalam. 

Beliau mengulas cadangan MAIM membenarkan remaja lelaki termasuk pelajar di bawah umur 18 tahun dan 16 tahun bagi pelajar perempuan di negeri itu bernikah. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berpendapat keputusan itu dapat mengurangkan kes kelahiran bayi luar nikah di negeri itu. 
sekali gus membendung kes zina yang semakin menular kebelakangan ini. 
Sementara itu, Naib Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM), Prof Madya Dr Harlina Haliza Siraj, berkata, jika kerajaan Melaka mahu melaksanakan cadangan itu, ia perlu diikuti dengan pemantauan yang teliti. 

Ini kerana katanya, remaja bawah umur masih belum matang dan perlu dibimbing supaya kehidupan mereka tidak tersilap langkah. 

“Kita tidak mahu mereka dianiayai selepas kebenaran diberi untuk berkahwin. Kita mahu mereka ini dilindungi,” katanya.

Pegawai PDRM turut jaga pusat tahanan



Oleh Haika Khazi dan Siti Fatimah Mohamed Anwar
bhnews@bharian.com.my
2010/08/06

Polis bantu pertingkat kawalan 

PUTRAJAYA: Pegawai perhubungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditempatkan di semua 13 pusat tahanan sementara imigresen di seluruh negara, berkuat kuasa serta-merta.
Langkah itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Pengurusan Depoh Jabatan Imigresen di sini, semalam.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mahmood Adam, berkata penempatan 13 pegawai polis itu adalah tambahan kepada 210 pegawai RELA, 39 pegawai penjara dan 998 pegawai Imigresen yang diberi tanggungjawab untuk meningkatkan kawalan keselamatan di semua depoh tahanan terbabit. 

Katanya, KDN mengakui ada kelemahan aspek kawalan keselamatan di depoh tahanan di seluruh negara kerana kebanyakan pegawai imigresen tidak diberikan pendedahan dan pengalaman menjaga tahanan kes pemerdagangan orang. 

“Pegawai imigresen bukan dilatih untuk menjaga orang (tahanan), apabila kita sudah mesyuarat, baru kita nampak kita tidak ada kemahiran. Untuk melengkapkan kemahiran itu, kita sepadukan dengan (semua) jabatan di KDN. 

"Kita berharap penempatan 13 pegawai polis berkenaan berkuat kuasa mulai jam 2 petang ini (semalam) dapat meningkatkan lagi keselamatan di semua depoh tahanan pada masa depan," katanya pada sidang media di sini, semalam. 
Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong mengumumkan tanggungjawab pengurusan Depoh Jabatan Imigresen kepada tiga jabatan di dalam KDN iaitu Jabatan Penjara, Imigresen dan RELA, berkuat kuasa kelmarin. 

Sementara itu, di ALOR SETAR, Ketua Pengarah Penjara, Datuk Zulkifli Omar, berkata jabatan itu sedia menyumbang kepakaran dalam bidang kawalan keselamatan dan kepenjaraan, termasuk membekalkan kekuatan anggota di Depoh Tahanan Imigresen seluruh negara bagi mengelak insiden tahanan bolos berulang. 

Katanya, jabatan itu akan melaksanakan kajian membabitkan aspek keselamatan di Depoh Tahanan Imigresen yang dikenal pasti bermasalah sebelum mempertingkatkan tahap kekuatan anggota dan kawalan keselamatan di pusat tahanan terbabit. 

Beliau berkata, buat permulaan tiga anggotanya iaitu Penguasa Penjara, Timbalan Penguasa Penjara, Sub Inspektor atau Sarjan Mejar akan ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen KLIA di Sepang, Juru di Pulau Pinang dan Lenggeng, Negeri Sembilan. 

"Kita hanya membantu dalam aspek menyelaras kawalan keselamatan dalam usaha memperkemaskan mutu perkhidmatan dan pengurusan di Depoh Tahanan Imigresen berkenaan. 

"Jabatan Penjara akan bersama-sama dua agensi berkaitan membantu memperkemaskan mutu pengawasan supaya kejadian tidak diingini yang berlaku seperti sebelum ini tidak berulang. 

"Pegawai Jabatan Penjara yang dihantar akan melihat apakah aspek yang perlu untuk diambil tindakan. Justeru, yang mana kita perlu kemaskan, kita akan kemaskan," katanya selepas Majlis Perasmian Galeri Produk Penjara Zon Utara di sini, semalam.

Tingkat jumlah janda muda





KUALA LUMPUR 5 Ogos - Langkah membenarkan pelajar berkahwin ketika di bangku sekolah dikhuatiri akan meningkatkan jumlah 'janda muda' di negara ini pada masa depan.
Presiden Persatuan Ibu Tunggal Negeri Pulau Pinang, Latifah Hussain berkata, kemungkinan untuk bercerai bagi pasangan yang berkahwin muda adalah tinggi kerana masing-masing tidak memahami tanggungjawab sebagai suami isteri.
''Daripada membenarkan pelajar berkahwin, lebih baik usaha dilakukan untuk meningkatkan kesedaran mereka tentang tanggungjawab dalam membina sebuah keluarga yang harmoni,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau mengulas langkah kerajaan negeri Melaka menggalakkan ibu bapa memberi kebenaran kepada anak-anak mereka berkahwin walaupun masih bersekolah bagi mengekang gejala hamil luar nikah.
Bagi tujuan tersebut, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bersetuju memberikan kelonggaran bernikah kepada pelajar lelaki bawah umur 18 tahun dan bawah 16 tahun bagi pelajar perempuan.
Pengarah Eksekutif Pusat Kesedaran Wanita (WCC) Pulau Pinang, Loh Cheng Kooi pula berkata, langkah itu akan mempengaruhi pembelajaran pelajar terlibat sehingga tidak sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurutnya, langkah memasukkan pelajar mengandung ke sekolah khas seperti yang mahu dilakukan di Melaka juga akan menimbulkan stigma negatif di kalangan masyarakat terhadap golongan terlibat.
"Mereka akan dipandang rendah oleh orang ramai jika diletakkan di sekolah itu,'' katanya.
Cheng Kooi berkata, pihak berkuasa seharusnya menyalurkan pendidikan seksual secara rasmi di sekolah sebagai tindakan awal mencegah kejadian tidak diingini.
"Kerajaan perlu memberikan pendidikan seksual di sekolah bagi membolehkan pelajar memahami risiko jika menjalinkan hubungan intim pada usia muda," katanya.
Jelasnya, pendidikan berkenaan perlu menekankan bahawa mengandung dalam usia terlalu muda akan memberi kesan kepada kesihatan.
Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar pula mempunyai pandangan berbeza apabila bersetuju dengan langkah kerajaan negeri Melaka itu.
Jelasnya, tindakan tersebut akan membantu mengelakkan zina berleluasa di negara ini.
"Ia merupakan langkah yang baik untuk mengatasi masalah kehamilan luar nikah di negara ini,'' katanya.

Melayu paling ramai hidap HIV/AIDS





KUALA LUMPUR 5 Ogos – Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia, Datuk Dr. Faisal Ibrahim mendedahkan, daripada 63 penagih dadah yang dikesan setiap hari, 44 daripadanya Melayu.
Lebih menyedihkan katanya, daripada sembilan kes HIV/AIDS yang dikesan, enam daripadanya melibatkan individu Melayu dengan purata tiga kematian setiap hari.
“Fakta diperoleh daripada Kementerian Kesihatan. Bermula dengan cuma empat kes pada 1986, sebanyak 87,710 kes HIV dikesan sehingga penghujung 2009.
“Sebanyak 71.8 peratus atau 62,975 daripada kes itu terdiri daripada individu Melayu diikuti Cina (14.6 peratus) dan India (8 peratus). Ia menunjukkan betapa serius gejala itu di kalangan masyarakat Melayu negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja Seminar Menyambung Kasih Ilahi: HIV/AIDS Bersama Ditangani di Pusat Islam, Jabatan Agama Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan Presiden Majlis AIDS Malaysia, Datuk Zaman Khan.
Faisal menambah, kajian dilakukan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendapati 60 peratus ibu hamil yang dijangkiti HIV menerima virus itu melalui suami.
“Masalahnya, mereka ini lama-kelamaan dijangkiti pula virus AIDS yang membawa maut. Hal ini menyebabkan kira-kira 6,000 kanak-kanak berusia 13 tahun ke bawah menjadi yatim piatu.
“Pastinya ketiadaan ibu dan ayah membawa kesan sosial yang besar kepada anak itu. Ia secara tidak langsung turut merugikan negara,” katanya.
Beliau turut mengingatkan kira-kira 1,000 peserta seminar tersebut agar memberi tumpuan kepada langkah-langkah pencegahan di kalangan masyarakat bagi membanteras penyalahgunaan dadah di negara ini.
“Pencegahan merupakan satu-satunya jalan kepada masalah ini kerana tiada ubat dan vaksin yang mampu membunuh virus HIV.
“Apa yang ada hanyalah ubat untuk menyekat pembiakan virus itu. Itu pun ia memerlukan belanja yang besar sehingga mencecah ribuan ringgit setahun,” ujarnya.

Saman: Tiada diskaun diberikan



KUALA LUMPUR 5 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengekalkan pendirian untuk tidak menawarkan diskaun kepada pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak sebaliknya akan mengemukakan cadangan agar kompaun diberikan pada kadar mampu dibayar oleh orang ramai.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, keputusan itu tidak akan diubah kerana menyedari tawaran istimewa itu akan lebih banyak memberi keburukan berbanding kebaikan.
Jelasnya, ini kerana tawaran diskaun tersebut akan menyebabkan pesalah trafik lebih ‘liat’ untuk membayar saman kerana masing-masing mahu menunggu diskaun.
“Jika kita bagi diskaun (saman), kita akan menjadi lebih susah kerana pesalah trafik yang membayar saman awal akan marah sebab mereka bayar mahal berbanding orang lain yang diberikan diskaun.
“Lama-kelamaan, semua orang tak nak bayar saman sebab masing-masing nak tunggu diskaun,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menutup Majlis Tilawah al-Quran peringkat PDRM 2010/1431 Hijrah di Masjid Bukit Aman di sini hari ini.
Menurut Musa, ketika ini, PDRM bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji semula saman ekor.
Malah, katanya, beliau sendiri sudah mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya bayaran permulaan bagi saman direndahkan agar mampu dibayar oleh pesalah trafik.
“Kadar bayaran rendah yang dikenakan bagaimanapun bergantung kepada kesalahan misalnya pesalah trafik yang menyebabkan kematian kerana kecuaian tidak boleh ditawarkan keistimewaan tersebut.
“Pesalah trafik juga harus membuat pembayaran awal iaitu dalam tempoh dua minggu dan jika melebihi tarikh ditetapkan, maka automatik jumlah kompaun akan dinaikkan,” katanya.
Bagi menyelesaikan masalah saman ekor, Musa mencadangkan agar nombor pendaftaran kenderaan dikeluarkan oleh kerajaan bukan lagi dibuat di kedai seperti sekarang.
Sementara itu, kerajaan akan mengumumkan kedudukan muktamad isu saman ekor termasuk menetapkan kadar bayaran yang sesuai dalam tempoh sebulan ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam.
Menurutnya, sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan akan membincangkan perkara itu selepas diarahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
‘‘Saya percaya kerajaan dapat menimbang dan mengkaji kaedah baru untuk menyelesaikan masalah itu di samping memberi kesedaran kepada orang ramai untuk mematuhi undang-undang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Rumah uzur warga emas dibaik pulih



ABD. Rahim Man (kiri) menyerahkan plak program bantuan rumah kepada Hasan Shariff di Kampung Bukit Indera Muda, Bukit Mertajam, baru-baru ini.


BUKIT MERTAJAM 5 Ogos - Sepasang suami isteri warga emas, Hasan Shariff, 70, dan Mariam Osman, 57, dari Kampung Bukit Indera Muda, Penanti boleh menarik nafas lega apabila rumah mereka yang sebelum ini uzur telah dibaik pulih dengan peruntukan kerajaan Pusat.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Abd Rahim Man berkata, peruntukan RM11,000 itu diberi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR).
Menurutnya, keadaan rumah pasangan suami isteri itu begitu uzur sehinggakan setiap kali hujan lebat, lantainya digenangi air.
"Disebabkan agak sukar bagi mendapat wang sebanyak itu bagi membaiki rumahnya, kita ambil inisiatif dengan menyalurkan peruntukan dan akhirnya kerja-kerja itu berjaya disiapkan sepenuhnya.
"Seramai empat orang pelatih Pusat Giat Mara Permatang Pauh bekerja menggantikan bumbung rumah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Beliau menambah, selain menggantikan bumbung baru, mereka juga membaiki tandas dan tingkap yang rosak.
Sementara itu, Hasan ketika ditemui melahirkan kegembiraan dengan bantuan tersebut.
"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada kementerian kerana sanggup membaiki rumah saya dan selepas ini, saya dan isteri tidak rasa bimbang lagi bila hujan lebat.
"Saya tidak mampu membaiki sendiri kerana pendapatan saya hanya kira-kira RM300 sebulan, hasil jualan sayur di pasar malam di sekitar Penanti dan Bukit Mertajam," ujarnya.

Dua lagi aduan polis





AHLI Pemuda UMNO Selayang dan Gombak yang diketuai Sohaimi Shahadan (dua dari kanan) dan Megat Zulkarnain Omardin (empat dari kiri) menunjukkan keratan akhbar dan laporan polis yang dibuat ke atas Tony Pua di IPD Gombak, semalam.


KUALA LUMPUR 5 Ogos - Pergerakan Pemuda UMNO Selayang dan Gombak awal hari ini membuat laporan polis berhubung cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua supaya kerajaan negeri Selangor memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan mewah di negeri itu.
Ketua Pemuda UMNO Selayang, Datuk Sohaimi Shahadan dan Gombak, Megat Zulkarnain Omardin membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Gombak pada pukul 12.05 tengah malam dengan disertai 54 Exco Pemuda kedua-dua bahagian itu.
Laporan polis itu dibuat berdasarkan kenyataan Tony yang menimbulkan provokasi dan mencabar Perlembagaan Persekutuan di bawah perkara 153 dan boleh disabitkan kesalahan di bawah Akta Hasutan.
Sohaimi berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan dan mengambil tindakan tegas berhubung kenyataan Tony.
"Tony seolah-olah mempersenda kedaulatan negara dan cuba menimbulkan perasaan benci dan tidak puas hati di kalangan kaum bukan Melayu terhadap dasar-dasar pentadbiran negara.
''Tindakan beliau langsung tidak memikirkan sensitiviti masyarakat bumiputera khususnya orang Melayu di negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tindakan Pemuda UMNO Selayang dan Gombak itu menjadikan setakat ini tiga laporan polis dibuat ke atas Tony. Semalam, Pemuda UMNO Selangor turut membuat laporan yang sama.
Sohaimi berkata, kebiadaban Tony tidak boleh dibiarkan kerana ia boleh memporak-perandakan kerukunan kaum di negara ini dan menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat.
"Sebab itulah kita membuat laporan polis supaya beliau tidak lagi sewenang-wenangnya membuat kenyataan yang semata-mata hanya demi meraih sokongan politik,'' katanya.